Advs

Followers

January 30, 2012

Kampung Girl [14]

Jangan lupa untuk mendapatkan novel Kampung Girl terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.


Bab 14

KELUHAN berat meniti bibirnya. Mindanya dikerahkan untuk menghasilkan buah pemikiran yang dapat memberi kesan besar untuk projek ini. Wajah Wan Shafie salah seorang sahabat sejati yang turut bertungkus-lumus mengeluarkan idea dipandang sekejap. Kelihatan dahi Wan Shafie berkerut. Tekun juga dia berfikir.
            Fail di depan mata cuba dibelek beberapa kali, mana tahu dapat ilham. Boleh juga aku bersorak riang. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tapi kalau batu… dengan dia sekali akan tenggelam terus. Tak boleh jadi macam ini. Lantas mejanya diketuk kuat.
            Wan Shafie yang tekun berfikir ikut tersentak.
            “Kau ketuk meja kenapa? Dah hilang habis idea yang datang!” rungutnya dengan pandangan tidak puas hati.
            “Betul ke Wan? Dah hilang ke idea? Allah!!!” Ashraf tiba-tiba saja menarik rambutnya gaya orang gila. Wan Shafie yang melihatnya, naik pelik. Boleh jadi kena serangan mental ke sahabatnya yang seorang ini?
            Bro… relaks. Kenapa nak tension sampai macam ni? Relaks okey.” Wan Shafie cuba menenangkan Ashraf yang kelihatan sangat kusut itu.
            “Tak boleh… tak boleh… kalau kita relaks, I mean… kalau aku relaks, maknanya… gagallah projek ni!”
            Wan Shafie melepaskan tawa melihat wajah serius Ashraf menyebut perkataan projek untuk rancangan yang sedang direncanakan oleh mereka.
            “Kau jangan gelak Wan… terbakar aku tengok!”
            Terus mati tawa yang berlagu riang di bibir Wan Shafie. Ini betul-betul serius. Ditambah dengan wajah Ashraf yang tidak bercalit senyuman, memang akan membuatkan siapa saja gerun mendekatinya. Tapi, hakikatnya Ashraf tak adalah gerun mana sangat. Kalau dah kenal, bolehlah tahu perangai sebenar dia.
            “Relaks bro! Hal kecik saja ni!” ucap Wan Shafie dengan bersemangat. Tetapi dalam hati, dia sebenarnya meragui kata-katanya sendiri. Hal kecil ke? Rasanya ini merupakan hal yang paling besar, lebih besar daripada projek-projek yang pernah mereka uruskan sebelum ini.
            Projek apakah ini yang begitu besar sekali dan sekaligus menyerabutkan kepala Ashraf tahap bangunan KLCC. Projek apa lagi, kalau bukan projek penyatuan dua hati yang diketuai oleh mummy Ashraf, Puan Mazlin.
            “Aku dah tak boleh relaks. Sesaat pun tak boleh… kau kena tolong aku! Carikan aku perempuan, secepat mungkin! Secepat mungkin!!!” ucap Ashraf kalut. Bercakap dengan satu nafas. Langkahnya juga tidak mati apabila dia asyik berpusing-pusing ke sana, ke mari. Sampai naik pening Wan Shafie melihatnya.
            “Perempuan tu kena sopan dan santun, okey! Kalau boleh yang pandai speaking. Paling penting, kena lagi lawa dari budak kampung tu,” tambah Ashraf lagi sambil menyatakan kriteria yang perlu ada pada gadis pencarian mereka.
            “Kau ni… gaya mencari perempuan macam nak kahwin dah pulak!”           
            “Kahwin-kahwin jangan disebut!” marah Ashraf. Terasa alergik pula dengar perkataan itu.
            “Budak kampung yang kau cerita ni… buruk sangat ke sampai kau tak nak kahwin dengan dia?” Wan Shafie sudah memulakan sesi menyoal siasat. Sejak dari tadi telinganya hanya asyik mendengar ayat Ashraf, ‘aku tak nak kahwin dengan budak kampung tu’. Tapi siapa budak kampung itu, bagaimana rupanya, wataknya, semua tidak diceritakan secara terperinci oleh Ashraf.
            “Dia…” Ashraf terdiam seketika. Takkan nak cakap Ainnur itu buruk rupanya, sangatlah tidak patut kalau macam itu. Tapi… “Muka dia macam nenek kebayan!” tanpa perasaan, dia mengucapkan juga gelaran yang diberikan pada gadis manis itu.
            “Nenek kebayan?!” berkerut dahi Wan Shafie. Lama dia terdiam, seolah berfikir dengan serius. Lama-kelamaan senyuman sudah mula tersungging di bibir. Ashraf pula berkerut berlapis di dahi.
            “Pernah dengar mitos tak… nenek kebayan tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang yang Sultan Mahmud pada masa tu memerintah Melaka hantar rombongan untuk meminang dia.”
            Kening Ashraf bertaut. Apa kaitan mitos Puteri Gunung Ledang dengan kisah hidup dia? Bukannya dia nak kahwin dengan puteri raja pun.
            “Apa kena-mengena dengan kisah hidup aku ni?” soalnya lurus. Wan Shafie ketawa dua harakat. Haha!
            “Puteri Gunung Ledang, digambarkan tentang kecantikan dia yang begitu memikat pandangan Sultan Mahmud sehinggakan Sultan nak meminang dia. Puteri Gunung Ledang sewaktu sampai perutusan Sultan, dia dikatakan menyamar menjadi nenek tua dan menyatakan syarat untuk menolak peminangan Sultan,” terang Wan Shafie tanpa memberikan jawapan yang tepat lagi untuk persoalan Ashraf. Jelas kelihatan wajah Ashraf yang terkebil-kebil mendengar Hikayat Kesultanan Melaka dan dia pun tahu, Ashraf ini sangatlah liat kalau dibangkitkan bab sejarah di depannya.
            “Kau jangan ambil jalan kampung boleh tak… highway terus. Aku tak faham!” Ashraf sudah kembali melabuhkan punggung di kerusinya. Wajah Wan Shafie yang sedang tersenyum nipis terbias di ruang mata. Apa kaitan Puteri Gunung Ledang, nenek kebayan dan… budak kampung?
            “Kau cakap budak kampung tu macam nenek kebayan… jadi, aku anggap dia cantiklah. Macam mitos yang aku ceritakan… nenek kebayan tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang. Betulkan? Budak kampung kau ni cantik orangnya…”
            Tersentap Ashraf dengan jawapan Wan Shafie. Nenek kebayan, Puteri Gunung Ledang dan Ainnur! Err… tergagap pula Ashraf dibuatnya. Betullah Ainnur itu bukan buruk rupanya. Tapi takkan nak cakap, ‘Ya, budak kampung tu memang lawa!’. Takkan boleh Ashraf berkata begitu. Kenapa? Tercalar ego.
            Sudahlah dia tidak sukakan budak kampung itu, kalau dipuji-puji… maknanya dia sudah memalukan statement yang pernah diungkapkannya sendiri. Mana boleh macam itu! Langsung tidak dibolehkan sama sekali.
            “Sekarang ni kau nak tolong aku carikan perempuan ke tidak, untuk calon sementara ni?” soal Ashraf sengaja hendak mengalihkan topik.
            Sehingga kini mereka masih belum menemui penyelesaian masalah yang sedang dibebaninya. Selepas mendengar kutukan yang tidak putus-putus dari bibir budak kampung tempoh hari, Ashraf sudah bertekad akan membuktikan bahawa dia mampu untuk mencari calon sendiri.
            Sekilas dia mengerling jam yang terletak elok di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menginjak ke angka tiga. Pantas dia teringatkan sesuatu. Belum sempat dia hendak membuka mulut berkata, pintu bilik sudah diketuk dari luar.
            “Masuk,” arahnya. Nada suaranya serius.
            Pintu ditolak dari luar. Muncul wajah Annisa, setiausahanya dengan senyuman manis di wajah. Turut dihadiahkan senyuman buat Wan Shafie yang berada di situ.
            “Encik Ashraf ada meeting dengan wakil dari Berjaya Groups,” Annisa mengingatkan kembali seperti yang sudah dipesan oleh Ashraf padanya. 
            “Mereka dah sampai ke?”
            Annisa menggeleng. “Baru saja Encik Andrew call, dia cakap dalam sepuluh minit lagi mereka akan sampai,” Annisa memaklumkan. Ashraf mengangguk.
            “Okey… once dia orang dah sampai, you inform me okay.”
            Setelah itu, Annisa sudah meminta diri. Tiba saja di depan pintu, namanya dilaung kembali. Dia berpaling.
            Don’t forget the document that I ask you to re-check,” pesan Ashraf sama seperti di awal pagi tadi.
            “Ada apa-apa lagi encik?” soal Annisa sopan. Ashraf menggeleng.
            “Annisa pun okey jugak!” ujar Wan Shafie sebaik saja gadis kecil molek itu hilang di balik pintu.
            “Kau nak suruh aku kena tetak dengan suami dia!”
            Membuntang terus mata Wan Shafie mendengar jawapan Ashraf. Biar betul!!!
            “Wei… aku mati-mati ingat dia tak kahwin lagi!”
            “Dia dah kahwin!” balas Ashraf sambil menala pandangan di wajah Wan Shafie. “Kau ni kenapa? Jangan cakap dah simpan perasaan dekat bini orang pulak!” Ashraf menyerkap jarang. Wan Shafie pula yang terkelu lidah.
            “Aku tak tahu pulak dia tu dah berkahwin… kau ni sure ke? Re-check profile dia. Aku rasa macam belum saja!” Wan Shafie sudah gelabah. Gelabah bukan sebab apa, adalah dalam dua tiga kali dia mengirimkan bunga untuk menyampaikan hasrat hati. Walaupun tidak bertulis nama, tapi gelabahnya tetap ada. Mahunya Annisa tahu dia yang mengirimkan kuntuman bunga itu, lalu diserahkan pada suami… erk! Nak menyebut pun terasa pelik.
            “Betullah… aku selalu nampak ada orang nanti pick up dia masa habis kerja.” Ashraf dengan yakinnya menjawab sebab itu yang selalu dilihatnya.
            “Kau nampak lelaki datang ambil dia… terus kau buat kesimpulan yang dia dah kahwin?” soal Wan Shafie musykil dengan kenyataan itu.
            Laju saja Ashraf mengangguk menjawab pertanyaan Wan Shafie. Tidak perlu menunggu lama, sebatang pen sudah melayang dan mendarat di dahi Ashraf.
            “Oit!!!” sahut Ashraf. Dahinya digosok-gosok perlahan. Main baling pen pula Wan Shafie ini.
           “Apa punya spesies la kau ni Ashraf Khairi! Suka sangat buat konklusi awal… kalau pick up lepas habis kerja, tak bermakna dia dah berkahwin… boleh jadi tu abang dia ke, adik dia ke…” ayat-ayat penenang jiwa dilagukan oleh bibir Wan Shafie untuk ketenangan diri sendiri.
            “Pakwe dia pun boleh jadi kan?” Ashraf pula makin bersemangat hendak membakar hati yang berlagu kecewa di hadapannya ini. Senyuman sinis tersungging di bibir.
            “Aku tak nak tolong kau cari perempuan!” Wan Shafie terus bangun berdiri. Ashraf pula jadi gelabah macam tak cukup kaki. Mana boleh macam ini?
            “Janganlah Wan… kau saja harapan yang aku ada,” ayat simpati sudah mula memasuki trek. Namun itulah kebenarannya. Dia mana boleh cari perempuan sendiri. Gerenti semua perempuan akan lari. Sebabnya, tidak ada langsung skill yang tersembunyi dalam diri Ashraf Khairi untuk membeli jiwa sang gadis pujaan hati.
            “Kau re-check profile Annisa!”
            “Okey… okey… aku re-check,” laju sekali Ashraf bersetuju. Wan Shafie tersenyum puas. Lega!
            “Kut iya pun… tak perlulah nak pamerkan senyuman gatal kau dekat sini…” erk! Mati terus senyuman di bibir Wan Shafie. Dia baru saja nak mula berangankan Annisa yang ayu itu.
            “Eh… kalau betul Annisa tak kahwin lagi, tak nak ke ‘pinjam’ dia sekejap?” otak geliga Wan Shafie kembali melontarkan idea.
            “Kau jangan nak buat gila Wan… sudahlah dia tu ‘anak’ kesayangan daddy! Nak buat pinjam-pinjam untuk hal macam ni, mahunya aku pula yang kena sembelih…”
            “Ala… tapi pinjam bukan nak ajak kahwin kan? Cuma nak tunjuk depan your kampung girl saja kan?” Wan Shafie masih mencuba. Kening Ashraf terangkat. Raut wajah itu jelas menunjukkan dia sedang berfikir dengan serius.
            “Boleh jadi berjaya tak?” soalnya pada Wan Shafie. Lelaki itu pula terus saja mengangkat ibu jarinya untuk menunjukkan tanda sukses.
            “Gerenti… berjaya terus!” ucap Wan Shafie bersemangat.
            Detik itu terus saja membungakan senyuman penuh firasat di wajah Ashraf. Siap kau kampung girl! Aku dah sediakan pesaing terbaik untuk kau.


January 27, 2012

Kampung Girl: Komen

Assalamualaikum...

Salam Jumaat semua. Alhamdulillah, hari ni dah masuk hari kedua, novel Kampung Girl dah ada yang sampai di tangan pembaca. Bagi yang belum, insyaAllah... tak lama sampai la tu. Dan bagi yang nak tunggu di kedai-kedai seperti MPH dan Popular, insyaAllah... dalam masa terdekat ini, Kampung Girl akan berada di rak buku. :)

Kalau dah semua dapat baca, so, umi pun nak dapatkan feedback daripada anda semua. Macam mana KG ni? Okey ke? Tak okey ke? Apa yang boleh diperbaiki? Apa yang umi kena tekankan lagi? Semua yang anda rasa tentang KG.... boleh hantarkan review anda ke alamat e-mail ini, umikalsom_29@yahoo.com

Sudi-sudilah berkongsi review anda supaya umi dapat meningkatkan mutu penulisan di masa yang akan datang.

Terima kasih semua. :)

Kampung Girl [13]

Jangan lupa untuk mendapatkan novel Kampung Girl terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.

 
Bab 13

WAJAH Ashraf dipandang dengan renungan yang maha tajam. Gara-gara si cekodok basi ini dia sudah terlepas untuk mengejar basnya. Akhirnya, tersadailah dia di sini duduk menghadap wajah lelaki itu yang masih menyepi dari tadi.
            Trauma kot! Desis Ainnur sendiri. Tanpa sedar ketawanya sudah lepas.
            “Yang kau gelak ni kenapa?” cepat saja Ashraf menyambut.
             Ainnur ketawa lagi. Mana boleh tak gelak untuk benda-benda macam ini. Lebih-lebih lagi mangsa kejadian, Encik Ashraf Khairi! Maka makin menariklah jadinya.
            “Kau baik diam sebelum aku sumbat bungkus nasi lemak ni dalam mulut kau,” marah Ashraf lagi. Rasa seakan tercalar maruahnya bila diketawakan sakan oleh gadis itu. Tapi, dalam diam dia sebenarnya bersyukur sangat… ada juga Ainnur tadi untuk menyelamatkannya dari genggaman ‘gadis ayu’ yang dilanggarnya.
            Seakan terimbas kembali kejadian yang berlaku setengah jam yang lalu…
            Wajahnya Ashraf langsung berubah menjadi pucat apabila ‘gadis ayu’ yang memandangnya mula bertindak sedikit ‘agresif’. Kalau dia gadis betul, aku bolehlah nak handle juga, tapi ini… bikin wa geli saja!!! Eeeiii…
            Hendak membayangkan semula adegan tadi pun rasa macam nak termuntah.
            It’s okay bang… laki kacak macam abang ni, sengaja langgar pun I sudi terima.”
            Ashraf yang terkedu seketika dengan ucapan itu terus saja terkejut bila encik ‘gadis ayu’ itu melarikan jemari dan bersentuhan dengan kulitnya.
            “Bang… you free malam ni, boleh kita hang out sama-sama.”
            Ucapan dari bibir yang merah dicalit lipstick itu membuatkan Ashraf disapa rasa gelisah. Dia hendak melarikan diri, dalam masa yang sama hendak mencari Ainnur juga. Dicuba tarik tangannya yang dipegang-pegang oleh orang itu, namun tidak berjaya. Makin kukuh pula simpulannya.
            “Bang… you kenapa nak lari dari I? I tak scary pun tau… you cuba try test satu malam.”
            Dengan suara yang sudah kedengaran sengau di telinga Ashraf, ‘gadis ayu’ itu menyampaikan hasratnya.
            “Eh… sorry, you’re not my type!” balas Ashraf yang akhirnya sudah mula menjauh sedikit. Aku bukan peminat golongan sejenis! Tambahnya dalam hati. Baru dia hendak mengatur langkah untuk berlari, sekali lagi tangannya direntap dari belakang.
            “Bang… you ni kenapa? Nampak takut saja dengan II tak pernah makan orang la… tapi I rasa nak makan you saja… bibir you seksi!” Ashraf terlopong lagi. Peluh sudah mula merintik di dahi. Apa nasib badan hari ini! Nak buat scene hindi dengan ‘heroin’ pada asalnya. Sekali yang muncul err… nak dikategorikan sebagai apa ini?
            “Bang…” sekali lagi ‘gadis ayu’ membuka mulutnya.
            “Abang Ash!”
            Ashraf terus berpaling. Ainnur! Alhamdulillah.
            “Maaflah bang… isteri saya dah sampai!” spontan saja ayat itu terkeluar dari bibir Ashraf. Dengan rentapan yang kuat, dia meloloskan diri daripada tangan kasar yang mencengkam jarinya sedari tadi. Ashraf dapat juga menangkap pandangan tidak puas hati yang terlayar di wajah ‘gadis ayu’ itu tetapi dia sudah tidak mahu berpaling walaupun sayup kedengaran panggilan abang dari bibir lelaki separa wanita itu.
            Selamba sambil mengatur langkah, Ashraf sudah mencapai lengan Ainnur untuk berjalan bersama dengannya.
            “Pak cik! Lepas tangan Ainlah!” bentak Ainnur.
            “Diamlah!” Ashraf marah semula.
            Dikukuhkan lagi simpulan pada jemari Ainnur sehingga mereka agak jauh dari ‘pemangsa’ tadi. Sebaik saja wajah lelaki itu tidak kelihatan, Ashraf segera melepaskan lengan Ainnur. Wajah gadis itu yang nyata bengang dengan tindakannya hanya dibalas dengan riak wajah yang selamba.
            “Suka hati dia saja nak pegang-pegang tangan orang!” marah Ainnur.
            “Alah… bukan luak mana pun!” Ashraf tak nak kalah.
            “Tak luak mana? Pak cik… tangan ni untuk suami Ain tau! Suami!!! Bukan untuk orang lain pegang sesuka hati!”
            “Aku pegang sekejap saja kan? Itu pun nak bising ke…” suara Ashraf tiba-tiba saja berubah tinggi. Ainnur mendengus kasar.
            “Bang… ada masalah ke?” suara itu kedengaran kembali. Ashraf kembali gelabah. Dia sudah tidak mampu berfikir dengan waras. Lantas ditariknya Ainnur yang sudah mempamerkan wajah berapi.
            Ainnur terus tersentak. Ini melampau gila!!!
            “Ainnur… tolong jangan marah-marah sampai mak nyah tu pergi jauh sikit dari sini!” Ainnur terkedu. Ashraf dengan suara yang lembut sekali meminta. Ditambah dengan posisi yang begitu erat antara mereka, err… habislah! Habis semuanya! Lelaki ini pula yang rasmi dulu sebelum menjadi suami yang sah.
            “Mak nyah tu dah pergi!” ucap Ainnur dengan suara yang hampir tersekat di kerongkong. Tetapi Ashraf macam tidak dengar pula. Tangannya masih lagi melingkar pinggang Ainnur.
            Ainnur mengetap bibir. Sesedap aiskrim strawberry saja dia peluk-peluk aku dekat tempat awam macam ini. Nafasnya sudah naik turun, diiringi dengan debaran hati yang tidak sudah-sudah memalukan irama yang dia tidak ketahui. Dia berdebar-debar. Tanpa menunggu lama, tangannya sudah menolak dada Ashraf untuk menjarakkan diri mereka.
            Wajah Ashraf yang tertunduk dipandangnya lama. Ini kenapa? Gaya macam kena sampuk pun ada.
            “Kenapa ni abang Ash?” soal Ainnur pelik. Dia hendak malu lebih-lebih  sebab pelukan tadi pun sudah tidak jadi bila Ashraf pula yang terlebih kedu.
            “Nyah tu ajak aku tidur satu malam!”
            Mulut Ainnur terlopong terus. Mak aih! Dahsyat betul. Tapi kenapa dia ajak Ashraf? Wahai nyah, ketahuilah kau bahawa lelaki ini adalah seorang yang tak ada sense dengan homo sapiens yang sejenis dengan dia.
            Ainnur pada mulanya diam saja memandang wajah Ashraf yang kelihatan sangat terkejut itu, akhirnya main lepas gelak. Gelak punya gelak, sampai bas dah bergerak pun dia tidak sedar. Padan muka!
            Kini, duduklah mereka berdua di gerai makan sambil berpandangan sesama sendiri. Ashraf menggenggam tangan. Pandangan ditala ke wajah Ainnur yang sudah menghentikan tawanya. Ainnur pula menongkat dagu dan membalas pandangan Ashraf.
            “Aku pesan jangan balikkan! Kenapa tak dengar cakap?” tanpa mukadimah bibir Ashraf sudah berdesup mengajukan soalan.
            Ainnur tersentak, tidak bersedia menerima soalan sebenarnya. Wajahnya terkulat-kulat memandang Ashraf. Cepat sungguh pak cik ini meredakan mood kena sampuk dengan nyah dan sudah kembali bersemangat untuk memarahinya.
            “Kalau abang Ash pesan, Ain kena dengarlah? Sebab apa?” Ainnur membalas senada dengan Ashraf.
            “Sebab aku abang!” Ainnur mencebik. Dah tak ada modal dan alasan lain agaknya untuk pastikan orang lain dengar cakap dia!
            “Abang Ash nak jumpa sebab apa?” soal Ainnur dengan malas.
            “Sekarang baru reti berfikir nak jumpa sebab apa? Kalau tadi sebelum datang ke sini kau fikir pasal tu, boleh jimat masa dan tenaga aku… tak adalah aku kena gangguan seksual dengan mak nyah!” luah Ashraf tidak puas hati. Ainnur mengecilkan biji mata.
            “Kalau macam tu, abang Ash pun dikira buat gangguan seksual pada Ain,” balas Ainnur selamba.
            “Hei!!!” Ashraf menjadi tidak senang. “Aku sentuh kau bukan dengan keinginan seks tau! Aku cuma nak selamatkan diri. Betulkan balik ayat kau tu…” tegur Ashraf apabila hatinya sudah dipalit rasa tidak enak. Gangguan seksual ke apa yang dia lakukan pada Ainnur?
            Dia mula berfikir semula, tindakan spontan yang tidak mampu dia kawal. Rasanya masih terasa lagi tangannya melingkari pinggang gadis itu dan kedudukan mereka sangat rapat. Tapi masa dia peluk tadi, mindanya lebih fokus fikirkan mak nyah yang tengah tunggu peluang di belakang. Memang sungguh, dia tak rasa apa-apa masa terpeluk Ainnur. Jadi, bukan gangguan seksual namanya! Tegasnya dalam hati.
            “Kau jangan nak pandai-pandai tuduh aku buat gangguan seksual dengan kau ya! Aku tak pernah pun buat macam tu dengan orang lain!” sambung Ashraf lagi. Dilihatnya Ainnur mencebik seakan tidak percaya dengan kata-katanya.
            “Lelaki… tahu nak ambil kesempatan saja!”
            Ashraf mendengus marah.
            “Aku cakap bukan gangguan seksual kan! Yang kau ni tak puas hati kenapa?”
            “Abang Ash peluk Ain… tercemar hak suami Ain!” balas Ainnur dengan nada yang serupa Ashraf. Pandangannya tajam sekali pada wajah Ashraf. Sesekali dia menjeling. Menyampah!
            “Eh… bukan kau nak kahwin dengan aku ke?” soal Ashraf sinis. Keningnya dijungkitkan beberapa kali.
            Ainnur mencebik. Kalau iya pun nak kahwin, takkan semua yang haram boleh dihalalkan. Desisnya tidak puas hati.
            Mata Ashraf memerhatikan saja tingkah Ainnur di hadapannya itu. Wajah Ainnur yang sedang berapi itu ditatapnya lama. Tanpa dipinta, matanya mula meratah ke segenap sudut wajah gadis itu. Keadaan yang cerah dan kedudukan di depan mata, membuatkan wajah Ainnur lebih jelas di mata Ashraf.
            Keadaan yang sepi apabila Ainnur tidak membalas jawapannya, membuatkan Ashraf makin leka. Mata Ainnur yang terkelip-kelip seketika menyerlahkan bulu matanya yang melentik. Anak mata yang berwarna hitam pekat itu sedikit besar dan kelihatan bersinar. Ashraf menjadi lemas dengan pandangannya sendiri. Wajah yang pernah disamakan dengan nenek kebayan kini menarik-narik pandangan matanya untuk terus terpaku di situ.
            She’s beautiful!’ bisikan hati bergema kembali. Kali ini dia tidak mampu menyangkal apa yang bermain dalam hati. Budak kampung ini sudah makin cantik lebih daripada biasa.
            Ainnur yang perasan akan renungan itu sedari tadi mula mengetap bibir. Tolonglah pak cik Ashraf ini! Boleh pula dia main-main tenung aku tengah-tengah alam ini sampai macam itu sekali. Lantas Ainnur mencapai botol air yang terselit dalam begnya. Nak kena dah pak cik ini!
            Ashraf masih lagi statik dengan posisinya. Mata lelaki itu juga masih statik pada wajah Ainnur. Nampak macam sedang berkhayal pun ada.
            Apa sajalah Ashraf ini. Kalau ikutkan hati Ainnur, dia nak baling botol ini terus ke muka Ashraf. Tapi ikutkan akal yang normal, air dituangkan sedikit pada tapak tangannya dan dipercikkan pada wajah Ashraf. Lelaki itu tersentak kuat. Amboi! Memang jauh betul dia mengelamun. Desis Ainnur lagi.
            “Kenapa baling air?” marah Ashraf sambil mengelap wajahnya yang basah sedikit dengan percikan air. Ainnur tersenyum sinis.
            “Gangguan seksual!”
            Membulat biji mata Ashraf mendengar balasan dari Ainnur. Mana ada gangguan seksual! Takkan tengok pun tak boleh?
            “Tolonglah… tak ada selera aku, nak buat gangguan seksual dengan kau!” balas Ashraf dengan bongkak. Ainnur mencebik. Kalau bercakap, mesti dia saja yang nak menang kan?
            Snobbish!” ucap Ainnur perlahan. Namun Ashraf sudah memandangnya pelik. Ainnur sudah menelan liur. Kenapa? Takkan dia dengar juga perkataan yang aku sebut dengan perlahan?
            “Kenapa kau nak kahwin dengan aku?”
            Fuhhh!!! Ainnur menghembuskan nafas lega. Ingatkan kenapa, rupanya nak tanya soalan saja. Kenapa aku nak kahwin dengan dia. Buta ke apa dia ini?! Tak nampak ke, aku punya sayangkan dia dari dulu lagi! Perlu ke aku announce dekat gerai ini? Tak perlulah Ainnur, kau hanya akan memalukan diri sendiri.
            “Sebab Ain rasa tak ada orang lain yang akan kahwin dengan abang Ash, melainkan Ain sorang!” ucapan itu lembut saja lahir di bibir Ainnur namun bisanya kuat sekali menyerang Ashraf.
            Pedih beb! Pedih! Nampak sangat tak ada siapa pun yang nak dengan dia walaupun dia punya pakej yang lengkap sebagai seorang hero Malaya. Eceh! Ashraf… pandai kau, masuk lif tekan sendiri.
            “Kau tak payah nak susah-susah berkahwin dengan aku.  Aku tak nak!”
            “Ain nak!”
            “Tak faham bahasa ke?” soal Ashraf dengan berang. Ainnur terus tersenyum tayang gigi. Kaedah untuk membakar hati yang sudah sedia terbakar di depannya.
            “Abang Ash lagilah wajib kahwin dengan Ain!”
            “Sebab?” Ashraf menjadi pelik. Suka-suka dia saja meletakkan hukum wajib supaya aku berkahwin dengan dia. Kenapa pula? Dia ingat aku tak ada kerja lain agaknya daripada nak cari calon dan berkahwin.
            “Sebab abang Ash dah sentuh Ain secara melampau tadi!” Ashraf terkedu. Mana ada secara melampau! Bentak Ashraf dalam hati.
            ‘Iya ke tak melampau Ash?’ hatinya menyindir sendiri.
            ‘Peluk rapat gila, tak melampau ke Ash?’ timbul suara dalam mindanya pula.
            “Tapi takkan sampai aku kena kahwin dengan kau! Kau ni suka cakap tak logik kan!” balas Ashraf yang masih lagi dengan kenyataan menang sendiri.
            Ainnur sudah mencebik berkali-kali. “Kau… kau… dia tau nak melembukan aku saja. Cuba panggil aku Ain… selera sikit telinga aku nak dengar,” gumam Ainnur dengan pandangan yang menyampah.
            “Kau tak payahlah kahwin dengan aku! Cari saja budak dalam kampung yang sesuai untuk kau… jangan nak berangan tinggi sangat nak datang duduk bandar,” ucap Ashraf dengan selamba badak.
            Ainnur sudah menggenggam kuat botol mineral di tangannya. Gaya bahasa encik seorang ini bercakap, macam aku ini anak dara tak laku. Eh, pak cik… tolonglah sedar, I’m thousand miles better than you! Ada juga orang yang berkenan dengan aku, cuma aku saja yang tak nak. Masih lagi nak terhegeh belakang mu!
            Ainnur cuba menenangkan jiwanya yang sedang membara. Ini tak boleh jadi! Ashraf sudah menaikkan suhu di hatinya. Menggelegak bagai nak gila. Aku pun kena panaskan hati dia semula, baru dikatakan adil dan saksama. Kalau orang putih kata, fair and square.
            “Abang Ash ni… sibuk-sibuk tolak Ain, ada ke perempuan yang nak menikah dengan abang? Ada ke abang Ash?” dengan nada yang paling sinis Ainnur mengajukan soalan. Tanpa menunggu sesaat, riak wajah cekodok di depannya sudah berubah menjadi basi. Cekodok basi!
            “Kenapa tak ada pula? Mestilah ada!” balas Ashraf dengan riak bangga. Sedangkan dalam hati sudah tercalar maruah. Memanglah tak ada siapa pun yang akan berkahwin dengan dia, sebab tiada siapa pun yang dapat memikat hatinya dengan begitu mudah.
            “Jangan berlagak sangat abang Ash. Ain ni… jenis sepupu yang maklum semua hal sepupu yang lain… macam Ain tak tahu saja gaya hidup abang Ash macam mana… boleh kerat jarilah, kalau abang cari calon sendiri. Siapa yang nak dengan abang? Siapa pun tak nak!!!” kutuk Ainnur dengan penuh semangat. Makin bertambah teruk riak wajah Ashraf.
            ‘Kurang asam punya budak kampung! Bagi peluang duduk semeja untuk bincang, dikutuknya aku main sedap mulut dia saja. Dia tak tahu… aku pun boleh cari calon dengan mudah!’ ucapnya dalam hati.
            ‘Kau tak payah beranganlah Ash! Betullah cakap Ain tu… siapa yang nak dengan kau? Rasanya baru seminit pergi dating, dah kena baling kasut. Kelancangan mulut tidak mampu dikawal’ sindir separuh hati lagi.
            Mata Ashraf kembali menatap wajah Ainnur yang begitu asyik sekali dengan senyuman sinisnya. Argh!!! Aku tak boleh kalah dengan budak kampung ini! Tidak mungkin sama sekali!!!