Advs

Followers

October 27, 2012

Cerpen: Suka awak. Sayang awak [Part 1]



TEGAK dudukku apabila mendengar jeritan kuat dari luar rumah. Kepala sakit. Terasa bingung seketika. Entah dah pukul berapa sekarang ni? Pukul berapa ni? Aku masih mamai.
            Mata dengan perlahan bergerak mencari jam. Mana jam? Aku dah gadaikan ke semua jam dalam rumah ni? Apa yang singgah di ruang mataku secara tiba-tiba hanya membuatkan badanku seakan terkena cas elektrik aje.
            “10.00 pagi???” aku dah terjerit sendiri. Mati aku!!!
            Assignment pukul 9.30 pagi dan aku tengah bersenang lenang atas katil lagi. Mati aku! Matilah kau Wawa!!!
            Tak nak buang masa lagi, aku laju mencapai tuala dekat penyangkut. Mandi pun macam ya dengan tak aje. Asal hilangkan bau. Gosok gigi, tak boleh nak skip. Memang wajib pun! Nanti elok tengah interview, ada orang pengsan pulak sebab ‘perfume’ semulajadi aku ni.
            Aku pakai saja apa yang ada dekat depan mata. Tak ada masa nak gosok. Tak ada masa nak melawa. Terpaksa aku follow nasihat mak, natural beauty sudah! Tangan pun laju saja hantar mesej pada Johan. Aku tahu, assignment macam ni memang dia yang akan kena cover. Pak cik tu memang suka kalau bab makan-makan.
            Hang tak payahlah duk mai ala kelibut. Take ur time. Lambat lagi nak tunggu vip sampai. Make sure tak lupa pakai perfume. Jangan sampai aku malu nak duduk sebelah hang. –Johan-
            Mesej Johan aku baca sampai tersedak. Bengong punya kawan! Tak patut betul kutuk bau badan aku. Tapi bagus jugak dia ingatkan aku. Tak nak termalu sendiri macam kes bulan lepas. Aku terlupa pakai perfume sampai satu row kerusi dah tak senang duduk. Memang memalukan!

SENGIHKU lebar. Johan dah mencebik pandang aku. Aku tahulah sekejap lagi dia mesti kutuk fesyen baju aku. Dengan pandangan kening terangkat sebelah dia ni pun, aku dah tahu.
            “Dah tak ada baju lain ke? Kut iya pun terlewat bangun, janganlah sampai macam ni sekali deria fesyen hang. Malu aku nak mengaku kawan.” Macam biasa, pujian ‘baik-baik’ macam ni, sememangnya dah jadi kegemaran Johan. Lagi-lagi kalau pujian itu untuk aku!
            “Kira okeylah ni, aku pakai baju. Kalau tak pakai apa?!” balasku geram. Kerusi kosong tepi Johan jadi tempat untuk aku lepaskan kemarahan sekejap. Tapi aku nampak si Johan ni dah tersenyum senget.
            “Untunglah aku…” jawabnya.
            Aku blur. Untung apa?
            “Free show.” Sambungnya.
            Dan tidak perlu menanti lebih lama, beg sandang sudah melayang ke kepala Johan. Padan muka! Biar senget kepala dia yang bengong tu.
            “Bodoh!” sempat lagi aku cakap kuat-kuat sampai semua reporter lain pandang aku semacam. Tapi aku tak peduli, asalkan si mangkuk sebelah aku ini tahu apa yang aku rasa dengan ayat tak bertatasusila itu.
            “Mak singa.” Perlahan sahaja suara Johan, tapi aku dengar.
            “Bapak buaya!!!” aku cakap lagi kuat. Dia tersengih.
            “Buaya makan singa tak?” soalnya dengan sengihan busuk. Aku tak nak cakap macam kerang busuk, sebab kerang tu favorite aku. Jadi biar sengih Johan aje busuk.
            “Tak belajar sains? Buaya makan singa ke pun tak tahu?” geram lagi aku menjawab. Tangan dah mula selongkar dalam beg. Aku keluarkan segala perkakas yang aku perlu ada. Recorder, buku catatan, kamera dan… Damn!!! Kenapalah aku boleh lupa benda yang paling penting dalam kehidupan kerjaya aku. Rasa macam dah tak berguna sangat. Itulah, bangun lambat lagi. Memang padan dengan muka serabai aku, jadi benda-benda di luar jangkaan macam ini.
         Aku mengeluh perlahan dan menarik nafas untuk mengawal kemarahan.
       “Wawa… aku tanya ni, buaya makan singa tak?” dan soalan bodoh itu diulang kembali. Memang kena sangat dengan masa untuk menaikkan temperature darah aku yang sudah mula menggelegak ini.

MATA memang tak boleh berkompromi. Terlalu berat dan terasa letih. Tapi bunyi bingit dekat tepi telinga ni menjadi gangguan besar untuk aku lelapkan mata. Manusia manalah yang tak beretika langsung, telefon aku waktu ni?
            Telefon aku lekapkan ke telinga sambil memejamkan mata.
            “Sayang… teman baby makan. Lapar…” suara yang sengaja diseksi-seksakan itu membuatkan aku bangun mengejut. Terkejut dengan pelawaan luar alam dan bila pula aku ada baby??? Eeeiii… geli!
            Nombor yang tertera di skrin aku pandang sekilas. Cis, bedebah!
            “Hoi mamat tak sedar diri… tolong jangan nak baby, baby dengan aku okey! Geli! Tengah-tengah malam buta pulak tu. Buang tebiat.” Macam peluru aku sembur. Sememangnya hanya lelaki bernama Johan itu yang sanggup nak buat kerja tak mendatangkan faedah ini.
            Dia ketawa seketika. Macam happy pula. “Ala sayang… jom makan.” Ulangnya dengan nada yang lebih serius. Makan? Oh, makan!!!
           
DAN ‘makanan’ pun sudah terhidang depan aku. Kemalangan di Jelutong Ekspressway yang meragut nyawa lima sekeluarga. Aduh, sedih dan pilu. Yang lebih memilukan apabila mereka dalam perjalanan untuk menjemput anak yang bakal tiba di KLIA pagi ini. Makin pilu apabila si anak itu masih belum dapat dihubungi kerana mungkin masih dalam perjalanan dari New York.
            “Hang okey?” soalan dan secawan air milo panas sudah terhidang depan aku. Aku mengangguk perlahan.
            “Okeylah… nak buat macam mana, benda dah jadi. So, naikkan apa?”
            “Lori tulah! Mabuk dan hilang kawalan.”
            Aku diam. Mengiakan. Memang salah si pemandu lori tu. Memandu dalam keadaan tidak waras akal dan fikiran. Akhirnya manusia lain yang menjadi mangsa keadaan. Bukan aku hendak menidakkan takdir, tetapi… ah, benda sudah hendak jadi asbab kepada keadaan itu!
            “Aku nak follow up dengan anak dia.” Aku terus bangun berdiri. Dalam kepala sudah terbayang KLIA.
            Johan segera menahan. “Jangan nak buat gila. Call ja member dekat sana. Kenapa hang pulak nak pi sampai situ. Ingat dekat ke? Story ni pun tak siap lagi, nak follow up pulak…” perlinya.
            “Itulah story…” balasku bersemangat. Aku betul-betul nak tengok reaksi orang tu depan mata aku. Tapi… “Macam tak logiklah pulak aku ni.” Aku terus duduk balik. Johan sudah mengangguk laju.
            “Memang tak logik pun idea tak masuk akal hang ni… buat story ni dulu. Nanti follow up, aku teman.” Dia sudah berjanji. Tapi aku macam hairan, perlu ke dia teman? Macam aku ini tak ada kredibliti untuk cari news sendiri?
            “Kenapa pulak hang nak teman?” soalku pelik. Dia pun tengok aku dengan pelik. Konon-konon inilah soalan yang paling luar alam yang pernah dia dengar.
            “Sayang… jangan cakap macam ni. Baby kata nak teman means, temanlah.” Ucap Johan dengan suara lembut yang sengaja dibuat-buat.
            Aku pula ternganga tahap tidak mampu nak katup mulut semula. Ini kenapa pula? Memang sengaja nak terima sekehan percuma daripada aku tepat jam lima pagi ni!

“TOLONGLAH jangan malukan mak macam ni lagi!!!”
            Aduh, sakit otak! Emak sampai aje rumah sewa aku ni tepat jam tujuh pagi tadi, dia dah mula membebel gaya tak jumpa fullstop. Aku sudahlah tak cukup tidur sebab pergi cover story kemalangan tengah malam tadi. Tambah dengan kehadiran emak yang mengejut macam ni, lagi bertambah pening. Sakit kepala.
            “Ya Allah, hang ni tak reti basuh baju ka? Entah-entah tak basuh pun baju, main ulang-ulang pakai ja???” soal emak terkejut bila dia terlalu tepi bakul kain aku. Alamak! Aku pun terpaksa tepuk dahi laju-laju. Niat untuk kumpul baju bagi satu bakul penuh nampaknya telah mencetuskan topik hangat di pagi ini. Emak mesti membebel sampai esok pagi. Percayalah!
            “Wawa… awatlah hang jadi lagu ni! Dah la pemalas… pengotor pulak tu! Mana mak nak letak muka kalau hang makin duk buat perangai lagu ni… cuba-cuba jadi macam perempuan sikit. Tengok adik dengan kakak hang, elok ja depa dua. Tak la macam hang ni… serba-serbi tak kena…”
            Aku urut kepala perlahan. Malas nak cakap apa. Biarlah emak puaskan hati dia kalau ini yang mampu buat dia gembira.
            “Si Dahlia dah selamat kahwin. Biaq tak lawa, tapi pandai buat kerja rumah. Tu yang Zulhisyam berkenan sangat. Adik hang pun, dah ada yang nak. Mak rasa kalau tunggu orang masuk meminang hang dulu, pakat dua-dua jadi anak dara tua. Hujung bulan depan, mak ingat nak langsung ja kenduri Jasmin. Hang jangan duk perangai tak mau balik kampung… kalau nak kena sekeh dengan mak, buat la perangai.”
            Aku sudah menyandarkan kepada ke sofa. Tengok aje emak yang terus berkuliah pasal kenduri Jasmin dengan dibandingkan secara kejam perangai aku dan Jasmin yang tidak ubah seperti langit dan bumi. Dan masuk kali ini, dah tiga puluh kali emak ulang suara pasal anak dara tua. Eeeiii… mendoakan sangat!
            Telefon dekat sebelah dah berkelip. Terkejut aku bila jam dah menginjak angka sembilan setengah dan emak pula tak berhenti bercakap lagi. Respect betul aku!
            Mesej daripada Johan. Mesti nak tanya aku dah bangun ke belum.
            Oi minah… dah bangun? Cukup-cukuplah tu membuta. Bangun dan pergi kemas rumah hang yang macam sarang tikus tu. Cuti kan? –Johan-
            Nafas aku sudah laju macam pelari pecut. Kenapa dia cakap rumah aku macam sarang tikus? Mata aku terus laju meliar ke sekeliling rumah.  Ditolak bahagian dapur yang sedang dikemaskan oleh emak, ruang lain sememangnya nampak begitu buruk sekali. Eeeiii… teruk betul aku ni. Bila sekali-sekala tengok rumah sendiri baru tersedar yang aku ada perangai malas di tahap kronik. Emak pulak dah macam orang gaji upahan aku, sebulan sekali datang membebel dan mengemas rumah aku sekali. Untunglah emak nak kemas!
            “Mak…” aku laung perlahan. Suara jelas mempamerkan bahawa aku tak larat.
            “Apa dianya? Tak nampak ka mak duk sibuk sental lantai rumah hang yang kotoq ni!”
            Down betul jiwa aku bila dengar jawapan itu.
            “Biaq orang buat mak. Mak tak payah duk sibuk sental lantai, dinding semua. Satgi malam duk complain sakit badan la, lutut larilah…” aku perli emak balik.
            “Mak rela sakit badan daripada percaya yang hang nak tolong kemas rumah bagi berkilat.”
            Zappp!!! Aku terus hilang bicara.
           
HILANG mood aku sejak balik dari kampung tempoh hari. Menyesal pula aku tak buat-buat busy dan cari alasan terbaik untuk tak dapat pergi ke kenduri Jasmin. Sudahnya aku juga yang makan hati berulam jantung.
            “Kakak tak langsung lagi, adik dah lepas. Memang payah la nak dapat calon.”
           Tak tahulah apa yang menyedihkan sangat dengan bicara itu walaupun pada hakikatnya aku tak kisah. Mungkin aku sedih sebab kata-kata itu disambut baik oleh emak. Mungkin emak tak sengaja, tapi aku sedih sangat. Terasa down dan sangat down!
            “Aku tak yakin pun yang Wawa ni boleh dapat calon. Dengan perangai dia yang tak serupa perempuan tu, sapa yang nak…”
            Itu memang pedas dan berapi.
       Emak… emak… tak tahulah kenapa aku asyik terkenang-kenangkan sangat sumpahan emak tu. Memang perangai aku buruk dan teruk, tapi… aduh! Memang teruk pun agaknya kalau sampai sekarang tak pernah ada yang merisik dengan emak pasal diri aku. Nampak sangat tak laku untuk dibuat menantu.
            “Macam lempeng basi ja aku tengok.”
            Aku angkat muka dan Johan tersengih lebar. Aku sengaja mesej dia untuk maklumkan perihal jiwa kacau aku ini. Tak sangka, dia datang. Tapi aku tak boleh nak bercerita pula. Tidak mahu berbicara, aku terus pandang nasi dalam pinggan.
            “Kenapa sedih sangat ni? Selama tiga tahun sampai naik bosan hadap muka hang, tak pernah lagi aku tengok muka moody macam ni?” jujur pula Johan ini memberi komen. Lagi buat aku sedih.
            Aku diam lagi sambil menguis nasi dalam pinggan. Mata Johan sudah melayar ke arah sekumpulan gadis berbaju kurung yang masuk ke kedai makan ini. Aku nampak lagi sengih gatal dia. Huh!
            “Tak payah la nak tersenyum gatal macam tu depan aku.”
            Dia tengok aku. Lepas tu, siap tersenyum… memerli!
            “Mencuci mata, untung-untung dapat calon untuk jadi isteri. Rugi tu melepaskan aweksss yang cun berbaju kurung. Macam tulah yang mak aku nak untuk jadikan menantu…” balas Johan bersemangat.
            Baju kurung??? Aku macam tak boleh menerima fakta. Apa kaitan berbaju kurung dengan hakikat dipilih sebagai calon isteri? Kalau itulah kriteria yang semua ibu mentua nak… habislah aku. Memang tak layak pun. Gagal sebelum dapat masuk bertanding.
            “Mak cakap aku ni tak laku… tak ada orang nak masuk meminang,” ucap aku tanpa sedar.
            “Memang pun! Sapa yang nak berkenan kalau macam ni…” laju aje Johan menyambut. Kening aku berkerut. Macam ni???
            “Selekeh. Serabai. Busuk. Tak kemas. Tak ayu. Harapkan muka aje lawa, yang lain semua out. Totally out!”
            Johan ulang sebut totally out dengan kuat. Macam aku dah pekak. Terasa melurut jatuh bahu aku bila dengar komen ikhlas macam tu. Sedih. Makin sedih. Memang aku bakal jadi anak dara tua nampaknya.
            “Teruk sangat ke?” soalku perlahan.
            “Sangat teruk.” Serius sekali jawapan Johan. Sampaikan aku hilang selera makan.

PEJABAT lengang. Aku masuk kerja pun sudah hampir jam dua petang. Hari ini macam dry, tak ada story. Mengharapkan kes-kes kecemasan atau jenayah. Aku tengok Nisa, officemate aku dah tersandar lesu.
            “Pergi mana, Nisa?”
            “Court. Dua kes sekali.”
            Aku mengangguk aje. Tak nak komen sebab muka dia nampak penat. Baru aku nak bangun ke pantri, aku nampak bos masuk. Terus nama aku yang disebut.
            “Ada demo dekat Jalan Penang, Wawa tak dak story lagi kan hari ni?”
            Aku mengangguk, pasrah. Memang tak ada story tapi macam malas pula nak pergi ‘berdemo’ ni.
            “Orang dulu jugak ka bos?” soalku. Sebelum ni pun dah jadi isu besar kes peniaga buat demonstrasi. Ini mesti kes susulan. Sudah reda buat beberapa minggu, mereka hendak mulakan semula agaknya.
            “Orang sama la. Selagi tak ada action, selagi tulah akan ada demo. Itulah…” Bos aku pun meneruskan ucapan ‘sepatah dua’ yang tidak dipinta buat beberapa ketika. Dan aku pun cepat-cepat kemas barang sebab tak nak terlepas berita. Nisa sudah buat muka tak puas hati, sebab aku yang mencetuskan perbualan berbaur politik manusia ini. Nak tak nak, Nisa kenalah dengar lecture daripada bos hari ni.
            Aku keluar aje ke tempat parking, seorang lagi officemate aku, Lili keluar daripada kereta. Aku terus tersengih lebar. Makin rancaklah kuliah bos sebab dah bertambah korum manusia dalam pejabat tu.
            “Selamat berkuliah.” Aku jerit kuat. Lili terus tepuk dahi.
            “Ni mesti kerja hang, Wawa!!!” Dia pun jerit balik. Aku tak kata apa, terus start kereta dan blah. Sangat lega bila aku terlepas daripada momen-momen begini. Kereta terus aku halakan ke Jalan Penang.

“AKU pergi mana pun macam dibayangi jasad hang aje!”
            Aku terus buat muka. “Habis, ingat aku suka sangat!!! Macamlah dalam ofis tu, kita dua ja reporter. Asyik-asyik pi assignment, tengok muka yang serupa,” rungutku pula. Terasa kecil hati bila si Johan, my bestfriend cakap begitu. Macam dah menyampah sangat kena tengok muka aku.
            “Ini namanya jodoh…” suara itu. Aku terus kalih dengan muka masam.
            “Abang Man!!! Tak payahlah nak doa sangat.”
            Abang Man, photographer Suarakini, tergelak besar.
            “Abang Man doa pun, belum tentu jadi realiti. Dah lupa doa-doa mak hang?” Johan dah mula nak mencari pasal. Aku datang untuk buat kerja dengan tenang, nampaknya dia tidak suka melihat ketenangan yang aku pamerkan ini.
            “Yelah… aku memang tak laku pun. Tak layak untuk mana-mana laki pun. Puas hati!” balasku geram. Johan tersengih menang. Bukan nak menidakkan kata-kata aku. Sengaja nak tambahkan rasa down aku tentang hakikat “tak laku” itu. Akhirnya aku tertunduk aje menghadap lantai. Mesti ‘pendemo’ pun nak tunggu reporter lain sampai dulu sebelum demo dimulakan. Daripada aku sakitkan hati bercakap dengan Johan, ada baiknya aku senyap sementara menanti yang lain.
            “Abang Man…” aku terdengar suara yang asing panggil Abang Man. Tapi aku tak ambil pusing untuk tahu siapa itu, sekadar memasang telinga mengambil tahu isi perbualan.
            “Hah… hang pi mana? Awat baru sampai?” soal Abang Man.
            “Tersesat.” Dan suara asing itu gelak. Abang Man pun ikut gelak sekali. Hurm… tersesat pun boleh jadi satu isu untuk manusia bergelak ketawa. Tapi kalau aku mesti dah menangis. Sebab aku pernah tersesat dan terlepas story dan tak dapat nak hubungi siapa pun untuk tahu perkembangan news yang patut aku buat liputan itu. Kesimpulannya, aku kena hentam teruk dengan bos sebab event tu adalah berita terpenting pada hari itu.
            “Kenalkan, ni Johan…” Abang Man kenalkan Johan agaknya.
            “Dan yang ini…” giliran aku pula. Tidak mahu berlagak sombong sebab aku rasa suara asing itu orang baru di sini. Aku pun berpaling.
            “Mawar.”
            Aku terkaku. Dia panggil aku dengan nama epik itu??? Dia???
            “Mana ada orang nama Mawar dekat sini?” Johan mencelah dengan soalan kurang cerdik itu. Tapi aku tak cakap apa sebab orang depan aku sudah tersenyum. Dan aku kira senyuman itu terbentuk cantik untuk tatapan aku.
            “She’s my mawar.” Jawabnya bangga sambil mata tepat memandang aku.
            Aku terasa kembang pula. Ya, memang aku mawar dia pun. Mawardah. Itu yang selalu diulang-ulang supaya aku ingat namanya. Nama yang aku selalu perli, tak sedap untuk didengar. Mawardi. Bunyi macam keperempuanan tapi nama lelaki.
            “Nama dia bukan Mawar.” Johan mengulang lagi. Aku menjeling kecil. Mawardi tersenyum. Dia memang suka senyum dan senyumannya itu sangat manis.
            “Wardah… Mawardi and Wardah, together became Mawar.”
            Abang Man tersenyum-senyum. Johan pula pandang dengan renungan kurang percaya. Aku jelirkan lidah. Aku harap sekarang jugak dia akan tarik semula ayat tuduhan tak laku tu sebab hero pujaan hati aku dah ada depan mata. Tersenyum lebar aku bila Mawardi datang duduk sebelah. Nampak gaya, aku tak boleh fokus dengan kerja dah. Demonstrasi ke mana, mata aku ke mana. 

October 25, 2012

Salam Aidiladha

Assalamualaikum... 

Buat sekalian pembaca yang saya sayang.... 
 SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. 

Maaf, boleh post yang ni je... sebab saya sibuk sampai tak sempat nak ketuk story. InsyaAllah, kalau saya rajin dan berdedikasi dan gigih dan bersemangat... dan dan dan.... 
segala yang sewaktu dengannya, maka akan adalah manuskrip baru daripada saya. 

Buat masa ni, sedang cuba... tapi macam kadar pergerakan manuskrip pada tahap 0.00 km/sebulan. Doakan saya rajin selalu. 

Nak study lagi, nak buat story lagi. Jangan sampai ada yang menyampah nak jenguk blog ni sebab penulis dia malas sangat nak update story. :)