Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2013

Tidak ku sangka 19

MEMANG itu pun yang hendak dikatakan oleh Anis. Mana boleh kahwin awal tahun depan. Kandungan Asma sudah mencapai usia sembilan bulan. Pasti akan menunggu masa untuk bersalin pula. Takkan hendak diadakan majlis pada masa itu seperti yang telah dirancangkan. “Kita tangguh, boleh…” Anis mengetap bibir. Sebenarnya, dia terasa sangat berat hati untuk menangguhkan apa yang telah dirancang. Bimbang, tak jadi terus. “Kalau tangguh, nak buat bila?” soal Iman Anas. “Pertengahan tahun, boleh?” Iman Anas menggeleng. “Tak boleh.” Mata Anis pula yang membulat. “Kenapa?” Risau mulai memuncak. Jangan Iman Anas hendak berkata batal terus pula. Memang dia akan meraung secara spontan di sini.

Tidak ku sangka 18

TERMENUNG. Itu yang dilakukan oleh Asma sejak Zahran datang melemparkan kata-kata nista pada dirinya. Tidak cukup dimalukan dirinya, diheret sekali emak ke dalam cacian itu. Asma tahu, salahnya. Semakin banyak kesedihan yang sedang dihadiahkan buat mereka yang mempercayai dirinya. Abah, emak, Kak Anis dan adik-adiknya. Biarpun mereka melayannya dengan baik, tetapi hatinya menjadi sakit. Dia telah mempalitkan najis pada maruah keluarga. Lebih malu lagi jadinya apabila bakal mentua Anis juga sudah tahu akan hal itu. Bertambah malu apabila adik Iman Anas, Qaiser mencadangkan sesuatu. Mungkin cadangan itu ikhlas, tapi Asma takkan melupakan pandangan sinis yang dihadiahkan buat dirinya. Terasa diri ini jijik. Dah memang salah kau, Asma…

Tidak ku sangka 17

MERAH muka Adila. Tidak disangka, seawal ini dia akan tertangkap. Oleh Anis pula tu! Masaklah… Melihat Anis mengetap bibir dengan kuat, Adila tahu sangat, dia bakal menerima kemarahan sejumlah yang tidak dapat dispesifikkan. “Berani kan?” soal Anis dengan nada yang meninggi. Namun segera direndahkan suara apabila ada mata lain yang mula memandang. “Akak…” “Yang Adila nak sibuk-sibuk dalam hal ni, kenapa? Adila tu nak periksa… kenapa nak serabutkan kepala. Fikir pelajaran sudah!” Bebel Anis. “Akak…” “Dah, jom ikut akak balik!” Anis sudah menarik lengan Adila yang kemas berbaju kurung cotton. Berani sungguh adiknya keluar dari rumah seorang diri dan datang untuk bertemu dengan Anas. Padahal, kalau pergi kelas tambahan pun berjemput dan berhantar dengan abah.

Tidak ku sangka 16

SUDAH dua minggu berlalu, Asma memang tidak keluar dari rumah langsung. Itu arahan dan amaran keras daripada Encik Bohari. Puan Amina juga tidak membantah. Biarlah anaknya itu dikurung dalam rumah, sehingga selesai masalah. Anis pula masih berusaha untuk bertemu dengan Anas! Disebut sahaja nama, terasa sakit seluruh jiwa. Cepatnya manusia berubah. Kenapa Anas yang dulu selalu nampak sopan di ruang mata tergamak melakukan perkara sedemikian. Anis langsung tidak menyangka. Dan hatinya mengambil masa yang lama untuk menelan kenyataan itu. Melihat wajah Asma yang semakin sugul itu, dia bertambah kasihan. Sekarang ini di awal bulan, nanti bila dah perut membesar, pasti adiknya akan lebih tertekan. Dia tahu Asma menyesal. Puas adiknya dimarahi abah dan emak. Dan Anis sangat bersyukur kerana Encik Bohari dan Puan Amina masih memberi peluang kepada Asma untuk berada di teratak mereka. Jika dihalau keluar, pasti lebih merana hidup Asma. Sudahlah Anas itu tidak mahu menjawab panggilan

Tidak ku sangka 15

SENYAP sahaja suasana dalam kereta. Anis memandu tanpa banyak tanya. Dipandu sahaja mengikut arah yang diisyaratkan oleh Asma. Hatinya terasa tawar. Pada mulanya terasa hendak marah lelaki yang menjadikan Asma begini. Tetapi bila difikir semula, bukankah Asma juga bersalah? Kenapa tidak dipertahankan maruah itu? Perempuan tak boleh lemah dan bersikap menyerah! Dan menyerah dalam situasi Asma ini sangat tidak kena pada tempatnya. Apa yang haram itu, ada sebabnya. Allah tidak menetapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan hamba-Nya. Sebab itu dikatakan janganlah sesekali kita mendekati zina. Dan akibatnya, seperti inilah. Anis mengerling ke arah Asma yang sedang mempamerkan aksi cacing kepanasan. Telefon bimbit itu berkali-kali ditekan dan dilekapkan ke telinga. Dan seketika kemudian, adiknya itu mengeluh pula. Tidak perlu Asma bercerita, Anis sudah dapat mengagak apa sebabnya. Pastinya lelaki kesayangan Asma itu tidak mahu menjawab panggilan.

Tidak ku sangka 14

“KALAU kata bulan malam tadi terang, terang lagi muka kau hari ni.” Usik Kamilia. Hampir dua minggu lalu dia melihat wajah serabut Anis dek kerana kecuaian mulut gadis itu sendiri. Hari ini baru nampak macam muka manusia bernyawa. Tersengih tidak sudah. Macam orang dapat bunga. Padahal, dapat cekodok saja pun dari rumah mentua. Tapi okey juga cekodok, dia boleh tumpang rasa buat kenyangkan perut. “Cekodok, sedap!” Anis terus mencapai seketul lagi dan disumbat ke dalam mulut. Komen Kamilia disambut dengan senyuman saja. Tahu tak betapa leganya perasaan dia bila dapat sahkan kenormalan Iman Anas. Ah, Iman Anas memang normal, tapi Anis yang kurang normal agaknya! “Seronoklah, ada adik ipar yang boleh tolong deliver makanan yang disediakan mak mentua.” Usik Kamilia lagi. “Anas buat…” balas Anis dengan sengih yang tidak jumpa penghujungnya. Tidak disangka, Iman Anas pun ada bakat di dapur juga. Lega rasanya! Tak perlulah dia bersusah payah seorang diri di dapur lepas kahwin nant

Tidak ku sangka 13

“SAYA memang belum kahwin lagi… tapi awakkan tunang orang.” Fairuz terpaksa mengalah dan menjawab juga. Anis berkali-kali pula menyoalnya kerana Iman Anas terus statik di belakang mereka tanpa sebarang isyarat. Anis ketawa. “Memanglah saya tunang orang… awak ni fikir apa? Saya ada lagi dua orang adik perempuan okey… melepaslah saya nak jadikan awak adik ipar!” sambungnya dengan rasa lucu. Boleh pula Fairuz terfikirkan begitu. Dan mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Anis, Fairuz melepaskan nafas lega. Terselamat mukanya daripada menjadi mangsa tumbukan Iman Anas jika tersalah dialog yang dilafazkan oleh Anis. “Ingatkan awak nak kahwin dengan saya pulak, hampir heart attack jugak.” Gumam Fairuz perlahan. Anis sahaja bergembira, sedangkan hatinya sudah berdetak laju. Nanti lari pula plot cerita kalau dia masuk campur dalam hubungan Anis dan Iman Anas.

Tidak ku sangka 12

“ARWAH abah pun kerja macam Iman jugak.” Bicara Qaiser sebagai mukadimah bagi menjawab pertanyaan Anis. Baru kini gadis itu hendak bertanya setelah tunggang terbalik jadinya apabila Iman Anas sudah seminggu membawa rajuk. Abangnya itu juga seakan sudah lupa jalan hendak pulang ke rumah. Daripada Fairuz yang mereka mendapat makluman, Iman Anas menyewa bersama teman mereka. “Jadi?” “Jadi, mak risau… kalau Iman akan terlalu obses dengan kerja dan jadi macam arwah abah. Abah meninggal lepas masuk sendiri dalam kandang singa yang baru dibawa masuk untuk pemeriksaan. Sebab abah tak sedar, ubat pelali yang diberi dah hilang kesannya. Abah saya kena baham sampai koma! Seminggu dalam ICU… lepas tu abah disahkan meninggal.” Tersentak Anis mendengar kenyataan itu. “Mak hanya risaukan tentang diri Iman, tentang keselamatan Iman…disebabkan perkara yang pernah terjadi dekat arwah abah tu. Tapi awak? Saya sedih bila Kak Anis sanggup syak Iman dengan benda yang tak masuk akal. Fikir yan

Tidak ku sangka 11

“ANIS datang tadi.” Beritahu Puan Rohani. Wajahnya muram. Tiada seri. Risau kembali bertandang di hati. “Iman bawa dia ke mana masa keluar hari tu?” soal Puan Rohani. Kerisauan yang menggamit diri sejak langkah Anis meninggalkan rumah ini tidak reda lagi. Kesugulan di wajah Anis hanya mengendurkan semangatnya untuk melihat Iman Anas berkahwin seperti yang direncanakan. Qaiser mendiamkan diri, memasang telinga. Wajah Iman Anas dipandangnya. Tenang sahaja wajah itu. Mungkin masalah tidak besar mana, tetapi emak yang sudah berasa gelisah. Qaiser mengandaikan sendiri. “Kenapa mak?” Iman membuka mulut menyoal. “Dia suruh mak pulangkan ni pada Iman… dia macam tak nak teruskan.” Luluh jiwa Puan Rohani. Ditahan rasa sebaknya. Kotak yang diberikan oleh Anis tadi, diserahkan kepada Iman Anas. Iman menyambut kotak yang dihulurkan itu dengan penuh tanda tanya. Itu adalah salah satu kotak yang diberikan kepada Anis semasa pertunangan mereka. “Apa maksud semua ni, Iman?” soal Puan