Skip to main content

Posts

Showing posts from 2014

Jangan biar aku pergi 6

Bab 13 MELIHAT wajah si kecil yang nyenyak tidur itu, hatinya terasa berbaur. Baru sekejap tadi abah menyelesaikan pendaftaran bagi anak yang dilahirkan ini. Sesak dada melihat ruangan nama bagi bapa yang kosong tidak berisi. Menitis juga air mata yang ditahan sejak tadi.             Sudah dihuraikan dalam hukum, anak luar nikah dan anak hasil daripada zina tidak boleh dibinkan dengan nama bapanya. Walaupun si ibu sudah berkahwin dengan lelaki itu, namun anak yang dilahirkan tetap tidak boleh dinasabkan kepada nama bapanya.             Sedih hati mengenangkan itu.             Afi Sani Bin Abdullah.             Nama yang tercatat di sijil kelahiran anaknya. Encik Bohari ada juga menerangkan, dibolehkan untuk anak itu berbinkan nama ibu sendiri, iaitu dirinya. Tapi, Asma menolak. Dia malu. Anaknya pasti akan menyoal tentang perkara itu kelak. Dia pasti!

Jangan biar aku pergi 5

Bab 11 LAMA Hanina termenung menghadap meja makan. Permintaan yang dibangkitkan oleh emaknya bukanlah satu perancangan yang baik bagi menjamin masa hadapan. Dia tidak keliru, jauh sekali buntu. Namun, jawapan yang diberi langsung tidak melekat di hati seorang ibu.             “Nina... dengarlah cakap mak.”             Hanina menggeleng laju. Apa pun yang bakal diucapkan oleh emaknya, dia tidak berniat untuk mempertimbangkan. Langsung tidak!             “Apa salahnya Nina?”             “Nina tak nak.” Mata Hanina memaku di wajah emaknya, Puan Faridah. “Kenapa mak nak sangat tunduk dengan permintaan saudara mak tu? Sangat tak masuk akal! Nek Ngah pun tak setuju, mak tahu kan?” Mata si gadis sudah membulat. Suaranya cuba dikawal.             Bukan permintaan emak yang hendak dipertikai. Namun jiwanya terasa hancur saat mendengar atas sebab apa sebuah hajat itu dituntut.

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Jangan biar aku pergi 4

Bab 9 ELOK sahaja dia keluar daripada kawasan perumahan berhampiran pasaraya Giant, ternampak wajah seseorang yang dikenali. Terjenguk-jenguk ke arah jalan seolah menantikan seseorang. Paras rupa yang mirip dengan Anis itu hanya mencambahkan senyuman di wajah. Terus sahaja stereng kereta dipusing dan brek ditekan perlahan sebagai sahaja berada di depan gadis itu.             Wajah Adila berubah riak dan dia nampak dengan jelas. Mungkin disebabkan hari ini dia tidak memandu keretanya seperti biasa, maka gadis itu kelihatan sedikit keliru dengan kemunculan kereta ini secara tiba-tiba.             Cermin kereta diturunkan, senyuman dikuntum lagi.             “Adila, jom! Abang hantar balik...” pelawanya.             Adila menunduk perlahan. Memerhatikan wajah yang memanggil namanya agar lebih jelas. Suara yang tidak asing lagi walaupun kereta yang dihadapannya ini terasa begitu asing sekali. Kereta Nissan model lama.