Skip to main content

Jangan biar aku pergi 5

Bab 11
LAMA Hanina termenung menghadap meja makan. Permintaan yang dibangkitkan oleh emaknya bukanlah satu perancangan yang baik bagi menjamin masa hadapan. Dia tidak keliru, jauh sekali buntu. Namun, jawapan yang diberi langsung tidak melekat di hati seorang ibu.
            “Nina... dengarlah cakap mak.”
            Hanina menggeleng laju. Apa pun yang bakal diucapkan oleh emaknya, dia tidak berniat untuk mempertimbangkan. Langsung tidak!
            “Apa salahnya Nina?”
            “Nina tak nak.” Mata Hanina memaku di wajah emaknya, Puan Faridah. “Kenapa mak nak sangat tunduk dengan permintaan saudara mak tu? Sangat tak masuk akal! Nek Ngah pun tak setuju, mak tahu kan?” Mata si gadis sudah membulat. Suaranya cuba dikawal.
            Bukan permintaan emak yang hendak dipertikai. Namun jiwanya terasa hancur saat mendengar atas sebab apa sebuah hajat itu dituntut.
            “Bila masa pulak keluarga kita ni hidup atas belas ihsan keluarga Datuk dan Datin tu?” Hanina menyindir. Mendengar dengusan kecil daripada Puan Faridah pun dia tahu, emaknya tidak suka dengan bicara sindiran itu.
Tapi dia tidak peduli. Hidup susah tidak bermakna mereka boleh dipijak. Kemewahan tak mampu membeli sebuah kebahagiaan. Hanina percaya akan itu. Disebabkan itu juga, dia menentang keras cadangan emaknya.
“Nina, jangan cakap macam ni...” Puan Faridah cuba memujuk. Kalau tidak mampu dipujuk Hanina, dia bimbang akan perkara lain pula yang bakal terjadi. Andai sahaja Hanina tidak bersetuju.
“Nina tetap takkan setuju mak. Kalau mak nak gantikan dengan Salina atau Farina sekalipun, Nina tetap takkan setuju!” Hanina terus berdiri tegak di depan emaknya. Mengkhabarkan betapa tidak sukanya dia atas perkara yang dibicarakan itu.
Sebelum berlalu, Hanina sempat lagi berbicara. “Biarpun harta kita tak sebanyak orang tu mak, tak bermakna dia boleh jual beli maruah kita. Nina belajar tentang nikmat hidup ni pun, daripada kesusahan mak dengan abah. Kalau senang-senang orang lain datang, nak buat cerita tentang kisah dongeng yang tak mungkin Nina akan percaya, tak usah buang masa mak... Nina bukan budak-budak. Dan mak... mak sanggup nak tengok Nina hidup dengan lelaki yang tak ada pedoman hidup macam tu?”
Soalan daripada Hanina hanya mengelukan lidah Puan Faridah. Lantas mata si ibu melepaskan anaknya berlalu.
Hampir menitis air matanya saat terasa bahu disentuh. Wajah Salina, puteri kedua muncul dengan senyuman. Lembut sahaja raut wajah itu, selembut tutur dan kata yang biasa diungkap.
“Janganlah paksa Kak Nina, mak. Mak pun tahu kan, dia dah banyak berusaha untuk keluarga kita.” Salina memegang erat jemari Puan Faridah pula.
“Mak tak pernah nak paksa dia. Tapi Lina tahu kan... keluarga Datuk Zaman dengan Datin Juhairah tu macam mana. Mak tak tahu macam mana nak sampaikan kata tolak, takut pula nanti mulut mereka tu terlebih bisa dalam bicara. Bimbang hati anak mak yang akan terluka.” Puan Faridah sudah menunduk.
Salina tersenyum nipis. Dia tahu, malah sangat tahu. Datuk Zaman itu dua pupu dengan emak. Keluarga Puan Faridah sangat luas salasilah dan rantaian itu sangat rumit untuk diingati. Tetapi, keluarga besar itu semuanya saling mengenali. Mungkin kerana setiap kali perayaan pun, anak dan cucu akan berkumpul di rumah peninggalan arwah moyang mereka.
Salina juga tahu, biarpun secara kasar hubungan keluarga besar itu nampak akrab tetapi tidak semua dapat menghidu apa sebenarnya yang terkandung di dalam isi hati masing-masing. Datuk Zaman dan Datin Juhairah, pastinya tidak akan masuk dalam senarai hati kakaknya, Hanina sebagai calon mertua pilihan. Dia sangat pasti tentang itu.
            “Kenapa tiba-tiba aje dia orang tanyakan akak?” Salina pelik. Tetapi, harus diketepikan juga rasa itu. Beberapa bulan sudah pun, hajat yang sama disampaikan oleh keluarga itu. Jawapan daripada kakaknya hanyalah, membisu.
            Puan Faridah menarik senyum tawar di bibir. Semuanya hanya kerana kelibat Hanina terkesan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh, Perak. Penyebab kepada hasrat yang pernah ditolak kembali dipinta. Bila dinyatakan kepada Salina, anak keduanya itu tersenyum nipis.
            “Pantang betul kan Abang Zahran tu...” Bibirnya menggumam perlahan. Hati kecilnya sudah berdoa, semoga kakaknya tidak akan menjadi mangsa keadaan semata-mata.
            “Auntie Juhairah bagitau mak, dia orang nak langsung sekali dua majlis. Sebab tu, kalau boleh dia nak sangat Kak Nina setuju.” Tiada sebarang rasa gembira yang timbul tatkala membicarakan soal itu.
            “Alasan ajelah mak semua tu...” Farina menyampuk dari belakang. Sedari tadi dia berdiri di situ, mendengar segala bicara antara emak dan kakaknya. Bibirnya mengoyak senyum sinis.
            “Auntie Juhairah tu bercakap, macam kita tak tau pulak... Berbulu aje mata anak dia tu setiap kali nampak Kak Nina. Hisy! Minta simpang mak, Rina tak nak abang ipar macam tu.” Jujur Farina memberi pandangan. Jujur juga, dia tidak mahukan abang ipar kalau calonnya itu bernama Zahran bin Datuk Zaman!

MEMANDU dengan kelajuan sederhana. Minda Hanina menerawang sahaja sepanjang perjalanan ke taska. Biarpun hari ini, hari Sabtu tetapi dia rasa hanya taska sahaja tempat yang mampu dituju di saat minda dilanda rasa kusut.
            Kusut kepala kalau Puan Faridah mula mengasaknya dengan nama si jejaka yang tidak disukai itu.
            “Zahran...” bibirnya menggumam. Geram.
            “Kau fikir aku akan tunduk macam tu aje dengan permintaan mama dan papa kau?” Hanina berbicara sendiri. Bibirnya mencebik. Sungguh dia geram. “Kau silap oranglah!” Jeritnya kuat.
            Hampir terlepas genggaman stereng dan saat telinga menangkap bunyi hon kuat, baru Hanina tersedar. Hon yang bertalu-talu menyedarkan dia akan keadaan. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Memang patut pun kena hon. Berangan masa memandu. Membahayakan jiwa dan jasad!
            Kereta kemudiannya diberhenti di bahu jalan. Hanina membuang pandang ke luar jalan. Deruan bunyi kereta masih tidak dapat menfokuskan minda. Terganggu benar diri di saat hendak menikmati hidup.
            Sekali lagi rasa terganggu menyerbu apabila telinga menangkap bunyi daripada telefon bimbit. Dengan rasa geram yang bersisa, dicapai telefon dengan rasa amarah. Namun apa yang tertera di skrin telefon, hanya menyalurkan rasa indah. Bibir terus tersenyum.
            Asma dah selamat bersalin. Baby boy. Awak nanti datang tengok tak. Nina? – Qaiser
            InsyaAllah, kalau tak ada hal, saya datang. :) – Hanina
            Telefon yang dicapai dengan rasa geram tadi, terus diusap penuh kasih. Sekelip mata, rasa terbang segala kekusutan. Macam magik sangat!
            “Iyalah sangat, magik...” Hanina mengumam sambil melepaskan tawa kecil.
            Tidak mahu terus berhenti di sisi jalan raya, Hanina menyalakan isyarat dan menekan pedal minyak. Jalan menuju ke taska disusur dengan rasa riang. Sekali lagi bunyi telefon menandakan kiriman pesanan ringkas. Tanpa mempedulikan peraturan jalan raya, Hanina mencapai juga telefon bimbit dan mata mengerling sekilas di skrin. Bibir yang tersenyum indah tadi, terus mati!
            At last... you gonna be mine, baby! – Zahran
            Hanina terkejut. Kaki terus membrek mengejut. Dan saat itu…
Bummm!!!

SKRIN telefon bimbit mula dihiasi gambar si comel, Afi. Gambar yang dikirimkan oleh Bahar sebentar tadi. Siap dengan pesanan berjela panjangnya. Adila tersenyum sahaja membaca.
            Perasaan resah sejak dua hari lepas, mengenangkan Kak Asmanya mula mengadu sakit, terasa hilang dalam sekelip mata. Alhamdulillah. Mujur selamat ibu dan anak.
            Telefon kemudian dimasukkan kembali ke dalam loker bersama dengan dompet. Pantas dikunci dan tangan membawa anak kunci ke kocek seluar. Memandangkan waktu rehatnya sudah sampai ke penghujung, kaki hendak melangkah, menyambung kerja. Saat tubuh itu berpaling, terkaku Adila. Tersandar tubuh ke sisi loker.
            “Encik...” Bibir Adila menggeletar. Terkejut bukan kepalang. Pusing-pusing belakang ada jasad orang! Nasiblah bukan jembalang…
            “Saya nak pergi sambung kerja, breaktime saya dah habis.” Sambung Adila lagi. Dilihatnya lelaki itu seolah tidak dengar sahaja bicaranya.
            “Saya dengar, awak dah nak berhenti kerja. Pergi mana?”
            “Tak pergi mana... saja, nak berhenti.” Adila mengetap bibir kuat. Tidak tahu kenapa, lelaki seorang ini hanya sentiasa menghadirkan rasa gerun dalam jiwa. Disebabkan itu juga, dia sentiasa berwaspada ketika menyusun kata. Tidak mahu sebarang bicara mendedahkan perihal dirinya. Walaupun Adila rasa, mindanya bersikap tidak logik sekali. Masakan lelaki itu tidak tahu sebab dia akan berhenti.
            Bibir si jejaka mengoyak senyum. “Saja nak berhenti? Kalau macam tu, saya pun boleh kan kalau saja tak nak terima surat letak jawatan awak tu, Adila?”
            Adila mengetap bibir. “Encik Fayyad...” Disebut nama itu dengan nada yang paling perlahan. “Saya nak sambung belajar...” Adila terus menunduk. Tidak betah hendak melihat wajah yang sudah tersenyum di hadapannya itu.
            “Tahu...”
            Sepantas kilat, mata Adila dipaku ke wajah itu. Kalau sudah tahu, kenapa bertanya? Sudahlah membuang masa aku! Geramnya... Namun semua itu terluah di dalam hati saja. Secara zahirnya, Adila tidak berani untuk mengatakan apa-apa. Fayyad masih tersenyum memandangnya. Dan tidak tahu kenapa, ringan pula bibir Adila bertanya.
            “Saya nampak kereta Encik Fayyad, dua minggu lepas. Ikut sampai simpang jalan kawasan rumah saya. Saya nampak kereta Encik Fayyad, dua hari lepas. Ikut sampai jalan besar sebelum masuk kawasan perumahan saya. Kenapa?”
            “Iya?”
            Adila mengangguk bersungguh. Wajah Fayyad yang sedang berpeluk tubuh di hadapannya dipandang sebelum matanya terus tertunduk ke bawah.
            “Awak ni kuat berangan ya?” Fayyad bertanya dengan nada memerli. Adila yang sememangnya sangat pemalu di depannya kelihatan makin termalu sendiri.
            “Awak ingat saya tak ada kerja lain ke nak follow awak? Saya bukan peminat tegar Adila Bohari. Atau, awak yang tengah syok dekat saya?” Serius bunyi soalan itu. Tetapi senyuman nakal terpamer di bibir yang bertanya itu. Tidak menanti, Fayyad terus melangkah meninggalkan Adila di situ.
            Adila, terlopong!
            Tiba-tiba saja pipinya terasa berbahang. Biarpun Fayyad sudah hilang daripada pandangan mata, aura itu terasa melekat di sisinya.
            Tepukan di bahu, menyedarkan Adila. Wajah garang penyelia, Cik Syakira muncul di depan mata.
            “Makan gaji buta ke apa? Dah habis masa rehat kan, masuklah sambung kerja.”
            Adila mencicit laju bila dah dapat ‘habuan’ di situ. Malang betul! Elok dia dah boleh dapat nama pekerja cemerlang, ada pula gangguan daripada lalang-lalang tak berkenaan. Fayyad!
            Apa mahu lelaki itu? Selama ini tak pernah sekali pun bercakap dengannya, hari ini... tiba-tiba pula. Pelik Adila memikirkan. Elok dia nak berhenti kerja dengan rasa yang tenang, terus jadi tak senang.


BAB 12

“DIA okey ke?” Si jejaka bertanya pada si gadis di sebelahnya.
            “Okey rasanya… Kan doktor cakap, mungkin sebab terhentak tadi. Tunggu sekejap lagi…” Tangan si gadis sudah mengelus jemari sekujur tubuh yang terbaring di atas katil wad kecemasan ini. Bibirnya tersenyum nipis. Biarpun pertemuan itu terjadi dalam keadaan yang mencemaskan, tapi Allah lebih mengetahui atas sebab apa mereka ditemukan.
            “Senyum pulak dia. Tengok orang sakit pun seronok ke?”
            Kepalanya digelengkan. Lelaki di sebelahnya ini sudah salah faham. Hendak diterangkan, tidak sesuai dengan keadaan.
            “Abang, pergilah tunggu dekat luar. Nia tunggu dia sekejap.” Arahnya.
            Lelaki itu menurut tanpa bersoal. Iyalah, takkan nak berkampung di wad kecemasan hospital. Tadi pun, kejadian terlalu mengejut. Kereta mereka dilanggar dari belakang. Dan impaknya lebih besar kepada si pemandu wanita itu. Hentakan kepala di stereng menyebabkan Hanina tidak sedarkan diri. Lantas dipandu terus ke hospital yang berdekatan situ. Lebih mudah untuk pastikan wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.
            Sementara itu, jemari Rania masih erat menggengam Hanina. Saat mata itu terbuka, melebar senyumannya.
            “Nina!” ucap Rania gembira.
            “Nia?” Hanina terasa bingung seketika. Rasa berdengung kepala. Macam kena hempuk dengan tiang. Eh? Kan kepala aku terhentak stereng kereta. Mujur tak hilang ingatan!
            “Alhamdulillah… Kau dah sedar. Kau boleh bangun tak ni? Doktor kata dah boleh balik… Luka kat dahi tu pun, doktor dah tampal.”
            Hanina segera bangun. Dirinya dibantu oleh Rania, teman baik di universiti. Tidak sangka pula, bertemunya mereka dalam keadaan begini. Di saat dia terlalu kusut dengan permasalahan peribadi.
            “Aku langgar kereta kau ke, Nia?” Soal Hanina sambil menyarung kasut. Rania tersenyum sahaja dengan soalan yang diajukan. Rania ni, bukan nak menjawab pakai suara. Main senyum aje. Memang dari dulu pun, macam itulah! “Nia… jawablah!”
            “Kereta suami aku… tapi jangan risau, nanti kita selesaikan hal tu. Jom, aku hantar kau balik…” Lengan Hanina dipimpin keluar dari wad kecemasan. Sampai sahaja di luar, suaminya sudah sedia menunggu.
            “Kenalkan Nina, suami aku… Abang Lukman.”
            Hanina tersenyum nipis. Dia pernah melihat lelaki itu. Cuma tidak kenal sangat saja. Senior dari fakulti sains hayat di universiti.
            “Minta maaf bang, terlanggar tadi.” Serba salah Hanina. Sudahlah memang salahnya. Iyalah, siapa suruh baca mesej masa memandu. Kan, tak pasal dah bertampal dahi aku!
            “Yang penting Nina okey…” Laju Lukman membalas. Takkan dia nak sound Hanina di depan-depan hospital. Macam orang tak ada perikemanusiaan.
            “Abang, Nia drive kereta Nina. Abang follow dari belakang. Kita hantar dia sampai rumah…” Rania sudah memutuskan. Lukman tiada bantahan. Hanina pula terpaksa menurut arahan biarpun hati sudah malu hendak menyusahkan orang lain.
            Masuk sahaja ke dalam kereta, Hanina sekali lagi meminta maaf pada Rania.
            “Kau tak payahlah nak berlagu sendu, Nina. Yang lebih penting sekarang ni, aku dapat jumpa kau. Kau tau tak betapa eksaitednya aku ni!” Rania menjerit kuat. Suara yang ditahan sejak tadi dilepaskan. Ingat nak dapat ke jerit macam ni depan si suami. Mahu terkujat cik abang sayangnya di tempat berdiri.
            “Amboi, Nia!” Hanina melepaskan tawa. “Depan suami sopan bukan main.”
            “Of course la! Terlompat jantung dia kalau tau aku suka menjerit macam ni… arghhh!!!” Rania menjerit lagi. Seronok sangat. “Kau bukan tak tau, aku punya control ayu masa dia nak tackle aku. Hei, kau ingat kan Abang Lukman, senior aku?”
            “Ingatlah… gambar dia yang penuh dekat meja kau, kan?” Hanina mengusik. Sambil itu bibir sudah memberi arahan untuk membelok ke kiri. “Seksyen 15, Nia.”
            “Kau dah pindah ek?”
            “Lepas habis belajar, kami pindah sini. Rumah biasa aje Nia, setakat yang mampu dibeli.” Hanina merendah diri.
            “Hei, janganlah merendah diri sangat. Kau ingat aku tak ambil tahu pasal kau ke? Kau dah buka taska. Dah ada business sendiri. Kau dah jadi bos. Dah beli rumah dan kereta. Kau jaga mak, ayah dan adik-adik kau. You are doing well, Nina. Aku sangat bangga dengan kau.” Rania melirik mata pada wajah Hanina yang sudah tertunduk. Bibirnya tersenyum.
            “Nina… apa cerita kau dengan Qaiser?”
            Dan Hanina terkedu. Qaiser… bagaimana dia boleh terlupa. Dia juga seperti Rania. Jika Rania pernah gilakan Lukman, dia juga pernah gilakan Qaiser. Kegilaan yang kalau dikenang sekarang, hanya melahirkan rasa malu. Aku tak sedar pula yang aku sungguh tak tahu malu pada masa tu!

KENAPA asyik masuk voicemail? Qaiser sudah mendengus. Sekali lagi, didail nombor itu. Nombor yang sedang cuba dihubungi sejak siang tadi. Masih tidak berjawab lagi. Rasa risau bertandang di hati.
            “Yang nampak resah sangat ni, kenapa? Macam kucing hilang anak. Anak pun belum ada. Hilang kucing ke?”
            Qaiser tersengih. Emak kalau bab nak memerli. Baik punya!
            Puan Rohani menggeleng kecil. Air teh yang sudah tersedia satu teko diletakkan atas meja. Dicapai cawan dari kabinet dan disusun atas meja.
            “Kak Anis tak balik sini ke mak?” Qaiser sengaja menyoal perihal kakak iparnya. Sengaja hendak mengalihkan perasaannya yang mulai berkata tidak-tidak. Kenapa masuk voicemail? Minda diketuk dengan ayat itu lagi.
            Puan Rohani menjeling kecil. Ada juga yang tak kena dengan Qaiser ni!
            Matanya wanita itu sudah terpaku pada jasad yang sedang berdiri di belakang Qaiser. Bahu dinaikkan untuk pertanyaan bisu daripada bibir si menantu.
            Anis yang tercegat di belakang Qaiser pun terasa pelik. Qaiser juga yang menjemputnya di hospital tadi lepas melawat Asma. Mimpi di siang hari ke?
            “Qaiser nak makan ke? Mak ada buat bihun goreng…”
            “Bolehlah mak… Lapar pulak.”
            “Anis, nak ke?” Soal Puan Rohani pada Anis yang sudah mengambil tempat berhadapan Qaiser.
            Qaiser tersentak. Errr…
            Anis tersenyum lebar. Siap mengucapkan, “Hai adik ipar. Ada masalah teknikal berkenaan jiwa ke? Tak apa, jangan risau. Kak Anis dengan mak, boleh tolong setel. Tak gitu mak?” Anis sudah mengenyitkan mata pada Puan Rohani. Ibu mertuanya juga membalas dengan menaikkan ibu jari. Thumbs up, okey!
            “Okey, sambil menikmati hidangan minum petang terbaik daripada Puan Rohani… Apa kata, Qaiser luahkan apa yang terpendam dalam hati. Siapa yang duk ganggu minda adik ipar akak ni…” Dengan nada bersenda, Anis terus berbicara.
Puan Rohani turut mengambil tempat di sisi Qaiser. Wajah anaknya itu direnung sekilas. Cuba diselami, namun sukar. Qaiser, pandai betul sembunyikan perasaan.
“Tak ada masalah apa pun…” Qaiser menyuap bihun ke dalam mulut. Renungan daripada kedua wanita di depannya ini, cuba diabaikan. Perasaan cuba diluruskan. Tapi bila diluruskan pandangan, wajah Anis menyapa dengan senyuman nakal.
You blushed!” Anis ketawa. Bertambah kuat tawanya bila warna wajah Qaiser makin memerah dengan tegurannya. Puan Rohani juga cepat mengintai wajah si anak teruna. Malu pulak dah!!!
“Kak Anis dengan mak ni… Qaiser biasa ajelah.” Terasa berbahang wajah Qaiser. Tidak tercerna rasanya bihun yang ditelan tanpa dikunyah tadi. Dengan pandangan ngeri dua wanita ini, terasa kenyang terus.
“Kita tak adalah pulak cakap dia nampak luar biasa kan, Anis…” Puan Rohani turut mengusik. Kalau dengan usikan itu akan keluar kebenaran daripada bibir Qaiser, dia rela untuk terus berbuat begitu. Punyalah kuat azam untuk tambah menantu dalam rumah. Kalaulah Qaiser dapat membaca hasratnya itu.
“Mentanglah Iman tak ada… Kak Anis dengan mak duk buli Qaiser. Tak apa… tak apa…” balas Qaiser seolah berjauh hati. Teh dalam cawan dihirup perlahan. Masih hendak mengelak daripada memberi jawapan. Dia hendak segera berlalu daripada ruang ini.
Huh, tak sangka pula aku, emak dan Anis kalau bergabung tenaga, aku kena teruk nanti. Jangan cari nahas, bhai!
“Qaiser naik atas dulu.” Laju sahaja Qaiser bangun dan melangkah ke arah tangga. Sesaat sebelum langkahnya ternoktah semula. Deringan yang mula mengocak jiwa. Dia kenal bunyi itu. Telefon bimbit! Ah, sudah…
Tertinggal atas meja makan. Dan bila dia berpaling, Puan Rohani sudah menghadiahkan senyuman. Bila telefon bimbit dicapai, reaksi emaknya masih tidak berubah. Siap dihadiahkan kata hikmat yang berjaya membuatkan wajahnya terasa membahang semula.
“Kalau yang ini calonnya, mak pun tak kisah…” Puan Rohani tersenyum meleret.
Mata Qaiser segera dijatuhkan pada skrin. Membulat matanya. Terus terpaku pada wajah emak. Oh, parah! Cepat-cepat kaki sudah mendaki tangga, dan skrin telefon bimbit disentuh dengn hujung jari.
“Assalamualaikum… awak telefon ke tadi? Ada hal penting ke? Asma okey ke?”
Qaiser menghela nafas lega. “Waalaikumsalam… awak pergi mana, Nina? Kenapa masuk voicemail banyak kali?” Tak menjawab soalan yang diajukan, Hanina pula disoal. Sepi di hujung talian. Kedengaran seperti Hanina gugup mendengar soalan yang diajukan. Dah kenapa?
“Kak Nina kami ni, accident! Berangankan putera raja kot masa memandu kereta sampai terlanggar kereta orang lain. Nasib baik luka sikit aje… Abang Qaiser, cuba nasihatkan sikit si kepala batu ni, memandu kereta tu biar fokus dengan jalan bukan asyik nak berangan…” Serentak itu hilai ketawa kedengaran di hujung talian. Dan Qaiser pula rasa terhenyak. Accident???
“Nina, awak okey ke?”
“Okey… tak ada pun. Rina ni, suka sangat lebih kuah dari sudu. Benda kecik aje pun. Hah, awak dah tengok Asma ke? Comel tak baby dia?” Ceria Hanina menyoal.
Dan Qaiser pula seolah tidak mendengar soalan itu. Hati mula terasa berdebar. Hanina… dia terlalu banyak menyusahkan gadis itu!
“Nina, nak saya datang sana ke?” Lembut nadanya menyoal.
Seperti yang dijangkakan, langsung tiada balasan dari bibir Hanina. Sepi dan terus sepi. Sehingga bunyi tut… tut… tut kedengaran. Talian dimatikan. Qaiser terkedu. Bibir diketap laju.
Apa yang aku cuba buat tadi? Kepalanya digaru.
“Nina… nak saya datang sana ke?” Soalan itu diulang. Tapi bibir lain yang mengungkap. Dan ketawa mula berpadu. Kalau dia tidak berkalih pun, dia sudah tahu. Dah kena stalk dengan mak dan kakak ipar sendiri! Stresnya aku!
           
DARI jauh dia sudah nampak. Seperti kebiasaan, Adila menaiki skuter Yamaha Ego berwarna biru. Apabila Adila sudah bergerak, keretanya juga mula dipandu perlahan. Tetapi tidak semena-mena kakinya menekan brek segera. Adila sudah memberhentikan skuter. Dari jauh kelihatan teman kerja gadis itu menyapa.
            Hei, waktu malam yang dah gelap ni pun nak bertegur sapa lagi ke? Pelik betullah…
            Adila menanggalkan topi keledar. Wajah Ratna yang menahannya tadi dipandang. “Kenapa?” soalnya hairan.
            “Tak ada… nak pesan dengan kau, hati-hati balik.”
            Adila tersenyum. “Itu aje ke? Insya-Allah, aku bawa motor elok-elok. Jangan risau.”
            “Dari minggu lepas lagi aku dah nampak, Encik Fayyad asyik follow kau aje. Aku rasa tak sedap hati pula walaupun dia baik orangnya. Tapi apa-apa pun, kau hati-hati ya…” Ratna memaklumkan.
            “Hah???”
            “Dia ada dekat belakang kau… tengok dekat side mirror.”
            Mata Adila perlahan melirik pandangan ke dalam cermin. Memang sah! Kereta yang sama. Tuan yang sama. Tapi apa masalah lelaki itu?
            Adila tersenyum tawar di hadapan Ratna. “Mungkin kita salah faham kot. Jalan nak ke rumah dia, sama macam aku.” Rasa tidak enak cuba ditepis. Sementelah langit yang gelap itu menghadirkan rasa yang tidak senang sekali. Resah.
            “Aku pun follow dia hari tu, rumah dia tak perlu pun ikut laluan jalan ke rumah kau. Aku nak ingatkan aje. Hati-hati ya…” Sekali lagi, jemarinya ditepuk perlahan oleh tangan Ratna. Gadis itu sudah berlalu ke tempat parking motorsikal. Pasti Ratna juga hendak pulang. Bekerja di shif petang memang macam inilah. Tambah pula bekerja di pasaraya yang rata-rata dikunjungi oleh manusia di malam hari. Makin lambatlah waktu tamat kerja.
            Baik aku balik sekarang daripada diikut benda lain pula. Adila segera menyarungkan topi keledar. Baru tangan nak memulas minyak, ada jasad lain pula yang berdiri di sebelah. Apa pulak dah??? Takut pula nak angkat muka.
            “Adila…”
            Fuhhh… dia sebut nama aku. Eh, tunggu! Itu…
            “Awak buat apa kat sini?” soal Adila terkejut melihat wajah itu. Jam dikerling, sudah tepat 11 malam.
            “Saya hantar awak balik.”
            “Hah???” Sekali lagi Adila terkejut. Apa ni!!! “Awak ada masalah ke?” soal Adila. Keraguan menapak di hati. Sudah berminggu hati cuba ditenangkan sendiri, kini dia muncul lagi. Ada masalah apa dengan seorang yang bernama Anas ini?
            “Saya ada masalah dengan awak!”
            Membulat mata Adila. Nada Anas begitu serius. Kecut pula perut mendengarnya. Dia ada buat salah ke? Selama ini dia rasa dia dah cukup baik, tak ganggu ikatan pertunangan lelaki itu. Atau dia memang ada buat benda tak baik tanpa dia sendiri sedar? Ini kalau Kak Anis tahu, mati aku!
            Mata Adila redup. Gugup bibirnya untuk bersuara. Tapi waktu begini sudah tidak sesuai untuk dia berlama. Fayyad di belakang. Anas di sebelah. Tempat ini memang patut diiktiraf sebagai zon kurang selamat buat dirinya.
            “Saya nak balik dah ni… dah lewat sangat.” Hati Adila berdebar. Jemari Anas elok diletak atas badan skuter. Muka lelaki itu pula, serius tanpa segarit senyuman. Oh, ini bukan lagi Anas yang manis, yang berjaya mengocakkan jiwa remajanya. Ini Anas yang gerun, yang hanya menghadirkan rasa seram dalam jiwa. Mata mengerling pada cermin sisi secara tak sengaja.
            Alamak! Dia datang sini pula…
            “Adila, ada masalah ke? Encik ni siapa?”
            Anas menjeling pada lelaki yang lebih kurang sama ketinggian dengannya di sebelah. Bibir masih tidak mahu mengoyak senyuman ramah.
            “Awak ni siapa pula?” soalnya sinis. Anas pun sudah tidak mengerti. Hatinya terlalu sakit daripada siang tadi. Dia cuba berpura-pura fokus dengan kerja, tapi tidak jalan juga. Lantas, kereta dipandu ke sini. Dinanti sehingga Adila keluar. Dan kenapa Adila juga yang dicari di saat hati resah dan dirundung pilu?
            “Jangan cakap... hati awak pun terbabas ke bila tengok saya?” Soalan yang pernah diucapkan oleh Adila bergema di minda. Wajah si gadis yang cuak itu dipandang dengan rasa simpati.
            “Saya nak balik!” Adila bertegas. “Encik Fayyad baliklah, tak payah nak follow saya. Awak pun…” Mata Adila menapak di wajah Anas pula. Mata lelaki itu, terlalu redup dan… fokus Adila!!! Jeritan dalam hati mencantas bunga yang hendak memekar.
“Awak pun, baliklah…” ucapnya perlahan dengan nada yang menyenangkan. Buat beberapa ketika, mata Anas memanah wajahnya. Dan kepala itu diangguk juga.
“Saya call awak nanti. Please, pick up the call.” Tanpa menanti jawapan daripada Adila, Anas sudah melangkah menuju ke kereta. Lelaki itu sudah tidak berpaling lagi.
Adila mengeluh kecil.
“Siapa tu? Siap nak call awak lagi?” Soal Fayyad, memang sangat tidak puas hati. Dia perasan, mata Adila menjeling tajam.
“Encik Fayyad… baliklah!” Adila menjawab malas. Dia sudah penat!
“Siapa dia? Boyfriend awak?” Fayyad memang tidak akan berlalu selagi tidak mendapatkan jawapan. Susah sangat ke untuk menjawab soalan. Hah, Adila… tolong jawab!
“Bukan teman lelaki. Bukan tunang. Bukan juga bakal suami. Kenalan aje. Puas hati dengan jawapan tu? Sekarang saya nak balik.”
Hujung bibir Fayyad mula tersungging senyuman kecil. “Saya follow awak sampai simpang ke rumah… dan tolong, jangan jawab call dia.”
Berkerut dahi Adila dengan ayat terakhir itu. Belum sempat dia bertanya, Fayyad sudah menyambung.
“Hati awak akan cedera parah.”
Adila menjeling. Macam tahu-tahu aje Fayyad ni! Memang pun, tidak dapat dinafikan fakta itu. Hatinya memang akan tercedera kalau terus melayan Anas. Tapi, Anas macam ada masalah. Takkan aku nak biarkan macam tu saja? Eh, kau ni adiwira yang nak selamatkan semua makhluk di muka bumi ke, Adila? Jangan nak perasan!
“Errr…” Suara itu muncul lagi.
Tak pergi lagi makhluk ni? Adila menjeling lebih tajam. Fayyad tersengih serba salah. Apa lagi yang kau nak daripada aku ni, Fayyad?
“Kalau jawab juga call tu… jangan lupa call saya. Saya ada ubat, yang boleh sembuhkan luka awak.” Serentak itu, Fayyad menekan telefon bimbit di tangan. Tidak lama, telinganya sudah menangkap bunyi deringan.
“Nombor saya, save tau. Nanti Abang Fayyad boleh sembuhkan kecederaan kronik dalam hati Adila. Sekarang, jom… balik!” Fayyad terus berlalu ke keretanya dengan senyuman manis.
“Bukan tu jugak ke hasrat aku dari tadi. Balik…” gumam Adila sendiri.

KEPALA Anas sudah mencari bantal. Sampai saja ke rumah, dia terus naik ke bilik. Sempat juga dia berselisih bahu dengan Zahran, tapi bibir terasa berat untuk mengungkap perkataan. Huh! Sungguh, dia tidak faham apa yang difikirkan oleh Zahran.
            Asma sudah selamat melahirkan anak lelaki. Dan dia tahu itu secara kebetulan bila dia terserempak dengan Anis di hospital. Mujur juga nenek ada pemeriksaan bulanan, disebabkan nasib baik itu dia mendapat berita ini. Tapi kecewanya, bila diberitakan kepada Zahran… lelaki itu menempelak.
            “Aku dah kata kan, bukan anak akulah! Kau tak payahlah Anas, nak jaga sangat kebajikan perempuan tu. Pandai-pandai dia uruskan hidup dia sendiri. Kau ni, fikirkan hidup kau. Tak lama lagi nak kahwin…” Bahunya ditepuk berkali-kali. Dengan selamba, Zahran melangkah pergi.
            Mudahnya melahirkan kata-kata!
            Manusia mudah sangat terlupa.
            Disebabkan itu, hati Anas bergelegak. Hendak diluahkan, tapi siapa yang mahu mendengarnya? Siapa yang mahu percaya, kalau tuan punya badan sendiri menafikan kebenaran. Terasa dirinya bodoh dan tidak berguna. Patutnya awal lagi dia menggesa Asma untuk mendapatkan hak yang sebetulnya. Tapi… bila difikirkan mama dan papa… ah, payah!
            “Zahran tu bukan jenis bawa anak orang masuk hotel… dia tu bersosial aje lebih, tapi pandailah dia jaga diri. Anas tak payahlah nak sibuk jadi ustaz dekat sini…” Itu yang dikatakan oleh Datin Juhairah di kala bibirnya cuba menegur kebatilan.
            Lantaran, kecewa makin merudung hati.
            Kalau aku ceritakan pada nenek, mahu mengamuk orang tua tu. Silap-silap diparangnya Zahran!
            Anas menggeleng kepala, laju. Buntu fikirannya. Telefon bimbit di sisi dicapai. Seperti yang dijanjikan, dia hendak menghubungi Adila. Tapi, kenapa? Apa yang Adila boleh buat untuk selesaikan masalah ini? Ah, gasaklah! Yang penting, dia dapat berbual dengan si comel itu.
            Ya, comel. Bibirnya mengorak senyum.
            Tak sedar diri! Tak padan dengan status tunang orang, ada hati nak bersandiwara dengan anak dara Pak Cik Bohari. Ah, tak peduli juga…
            Deringan kedengaran. Seketika kemudian, talian sudah berjawab. Makin melebar senyuman.
            “Adila…” Perlahan dia memanggil.
            “Kak Adila, dah tidur… abang telefon nanti-nantilah ya?” Suara lelaki yang menyapa. Pasti Bahar. Dia kecewa lagi. Tapi, hendak dikata apa.
            “Okey… Assalamualaikum.” Talian dimatikan. Keluhan berat dilepaskan.
            Sementara itu, di kediaman Encik Bohari, Adila terus memeluk erat bahu Bahar.
            “Terima kasih banyak-banyak, sayang Bahar dunia akhirat!” Kurang tak dicium pipi Bahar saja. Bibir Adila tersenyum lebar. Suka! Iyalah, takkan nak bergayut dengan tunang orang. Anas pula tu. Kalau bergayut juga, memang namanya nak minta penampar percuma daripada Kak Anis.
            “Sayang, sayang juga… upahnya, mana?”
            Adila mencebik. Sekeping not lima ringgit dikeluarkan dari dompet.
            “Lima ringgit aje?” Bahar pura-pura terkejut. Konon, harapan Adila menaikkan kadar upah untuk kerja sukarela yang dijalankan tadi.
            “Tumbuk, aku boleh bagi…” Dan buku lima Adila pula yang tersua di depan mata.
            “Iyalah… lima ringgit pun, bolehlah. Daripada tak ada langsung! Terima kasih…” Dan Bahar sudah bangkit hendak keluar daripada bilik Adila. Tapi sampai di pintu, dia berpaling semula.
            “Kalau dia telefon lagi, aku bagitau abah.” Serius pula bicara Bahar. Tapi itu yang sebetulnya. Dia tak suka lelaki yang berstatus tunang orang itu, menelefon kakaknya di malam hari begini. Apa dah tak ada waktu lain nak telefon? Kalau dah terlalu penting sangat, biar dia saja yang jadi perantara.
            Tidak sempat Adila membalas, Bahar sudah berlalu. Membulat juga biji matanya itu. Haish, silap banyaklah kalau abah tahu. Aku tak mahu terjebak dengan benda yang tak masuk akal ni. Say no to Anas! Yes…
            Adila tersenyum puas.
            Tiba-tiba, telefon berdering kembali. Alamak… tak sudah lagi ke? Tidak mahu peduli lagi dengan bunyi itu, Adila menarik selimut laju. Biarlah telefon nak ‘berkaraoke’ malam-malam sendiri.

__________________
masing-masing keliru jiwanya. Hei, apa nak jadi....

Comments

  1. muncul watak baru la, fayyad...asal rasa dia ni jd saingan anas, walu anas tu tunang org. asma dh bersalin, qaiser ni hati dia mmg kt hanina or ada terselit kasih kt asma

    ReplyDelete
  2. Byk sgt watak yg nmpk mcm hero2 & heroin2... So citer ni sebenarnya fokus kat sape ye.....

    ReplyDelete
  3. ske baca part adila....kalau bkn anas fayyad pon boleeee

    ReplyDelete
  4. bagi saya, baca cite banyak watak nie best jugak.. otak tercabar sikit utk mengingati setiap watak dgn cite masing2, tapiiiiii, amat suka kalu watak adila & anas di 'up' kan jadik watak utama.. macam osem je.. tambah2 dgn kehadiran fayyad.. - mati2 selama nie ingat dak anas yg dok skodeng adila, rupanyer fayyad..

    ReplyDelete
  5. Betul2 mati2 ingat anas yang skodeng.. Kalo buleh la kan nak adila ngan anas ,asma ngan qaiser... Ehhh leh ke....

    ReplyDelete
  6. thumbs up umi..no comment, sambil baca senyum sampai telinga tak sudah-sudah.
    sangat teruja dgn setiap watak yang ditonjolkan iaitu anis dan adik-adiknya :)

    ReplyDelete
  7. Bab ni banyak wat WC senyum. Part fayyad tu. hahaha... mst dia jodoh adila. Qaiser mcm memang ngn hanina je. asma pulak xkn sorg plk en...

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  9. Adila yg kedua call en fayyad yg berlagak tu... hihihi

    ReplyDelete
  10. qaiser ngan hanina, asma ngan zahran, adila ngan fayyad, dan anas semestinya dengan tunang dia.....bulehkan writer?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia