Skip to main content

Posts

Tidak ku sangka 21-End

10 SYAWAL. Masing-masing sibuk menyiapkan rumah. Walaupun sehari sebelum Syawal menjelma, sudah dikemas semua. Tetapi di mata Puan Amina, terasa masih ada yang belum sempurna. Lantas dikerahkan semua tenaga yang ada dalam rumah mereka untuk menyumbangkan tenaga. “Mak, pasu ni nak letak mana?” jerit Bahar kuat dari luar. Pasu kosong yang sudah lama terbiar, hari ini juga terkesan pada pandangan mata. Kalau sebelum ini, lalu sebelah pun tak nampak. “Telangkupkan. Lepas tu, letak pasu cili dekat atas… elok-elok, jangan bagi jatuh.” Puan Amina mengarahkan dari dalam. Cekap sungguh semua anak-anaknya menyiapkan kerja. Produktif dan proaktif. Kecuali seorang yang sudah tersadai kepenatan. Melihatkan tubuh yang lesu itu, Puan Amina melangkah menghampiri. Kepala anaknya itu diusap perlahan. “Pergilah baring dekat dalam… Asma mesti penatkan.” Tuturnya lembut.

Tidak ku sangka 20

Tidak disangka itu, kisahnya. Kisah yang makin tidak disangka-sangka apabila Anis menerima kunjungan Iman Anas ketika sibuk membeli-belah di gudang pakaian Gulati’s. Hendak mencari kain untuk dibuat baju nikah. Dan memang tidak disangka, Anis telah bersetuju untuk mengikut cadangan Iman Anas walaupun adik-adiknya membangkang keras dengan alasan peperiksaan. Kata, Kamilia boleh penuhkan tiga kuota itu… jadi tak kisahlah! Bulan-bulan puasa ini, hendak melayan sedih lama-lama pun tidak kuasa. Hanya menambahkan penat dan lelah sahaja. Adila masih setia di sisi menemani Anis walaupun tangan tidak melepaskan nota walaupun seminit. Tetapi tengok kain yang lebih daripada menelaah nota. “Akak… cantik yang ni!” Adila menggamit pandangan Anis untuk melihat kain ela di hadapannya. Namun, belum sempat Anis berpaling, Iman Anas sudah memangkah tidak suka. “Elok apa Abang Iman… cantik untuk akak.” Komen Adila pelik.

Tidak ku sangka 19

MEMANG itu pun yang hendak dikatakan oleh Anis. Mana boleh kahwin awal tahun depan. Kandungan Asma sudah mencapai usia sembilan bulan. Pasti akan menunggu masa untuk bersalin pula. Takkan hendak diadakan majlis pada masa itu seperti yang telah dirancangkan. “Kita tangguh, boleh…” Anis mengetap bibir. Sebenarnya, dia terasa sangat berat hati untuk menangguhkan apa yang telah dirancang. Bimbang, tak jadi terus. “Kalau tangguh, nak buat bila?” soal Iman Anas. “Pertengahan tahun, boleh?” Iman Anas menggeleng. “Tak boleh.” Mata Anis pula yang membulat. “Kenapa?” Risau mulai memuncak. Jangan Iman Anas hendak berkata batal terus pula. Memang dia akan meraung secara spontan di sini.

Tidak ku sangka 18

TERMENUNG. Itu yang dilakukan oleh Asma sejak Zahran datang melemparkan kata-kata nista pada dirinya. Tidak cukup dimalukan dirinya, diheret sekali emak ke dalam cacian itu. Asma tahu, salahnya. Semakin banyak kesedihan yang sedang dihadiahkan buat mereka yang mempercayai dirinya. Abah, emak, Kak Anis dan adik-adiknya. Biarpun mereka melayannya dengan baik, tetapi hatinya menjadi sakit. Dia telah mempalitkan najis pada maruah keluarga. Lebih malu lagi jadinya apabila bakal mentua Anis juga sudah tahu akan hal itu. Bertambah malu apabila adik Iman Anas, Qaiser mencadangkan sesuatu. Mungkin cadangan itu ikhlas, tapi Asma takkan melupakan pandangan sinis yang dihadiahkan buat dirinya. Terasa diri ini jijik. Dah memang salah kau, Asma…

Tidak ku sangka 17

MERAH muka Adila. Tidak disangka, seawal ini dia akan tertangkap. Oleh Anis pula tu! Masaklah… Melihat Anis mengetap bibir dengan kuat, Adila tahu sangat, dia bakal menerima kemarahan sejumlah yang tidak dapat dispesifikkan. “Berani kan?” soal Anis dengan nada yang meninggi. Namun segera direndahkan suara apabila ada mata lain yang mula memandang. “Akak…” “Yang Adila nak sibuk-sibuk dalam hal ni, kenapa? Adila tu nak periksa… kenapa nak serabutkan kepala. Fikir pelajaran sudah!” Bebel Anis. “Akak…” “Dah, jom ikut akak balik!” Anis sudah menarik lengan Adila yang kemas berbaju kurung cotton. Berani sungguh adiknya keluar dari rumah seorang diri dan datang untuk bertemu dengan Anas. Padahal, kalau pergi kelas tambahan pun berjemput dan berhantar dengan abah.

Tidak ku sangka 16

SUDAH dua minggu berlalu, Asma memang tidak keluar dari rumah langsung. Itu arahan dan amaran keras daripada Encik Bohari. Puan Amina juga tidak membantah. Biarlah anaknya itu dikurung dalam rumah, sehingga selesai masalah. Anis pula masih berusaha untuk bertemu dengan Anas! Disebut sahaja nama, terasa sakit seluruh jiwa. Cepatnya manusia berubah. Kenapa Anas yang dulu selalu nampak sopan di ruang mata tergamak melakukan perkara sedemikian. Anis langsung tidak menyangka. Dan hatinya mengambil masa yang lama untuk menelan kenyataan itu. Melihat wajah Asma yang semakin sugul itu, dia bertambah kasihan. Sekarang ini di awal bulan, nanti bila dah perut membesar, pasti adiknya akan lebih tertekan. Dia tahu Asma menyesal. Puas adiknya dimarahi abah dan emak. Dan Anis sangat bersyukur kerana Encik Bohari dan Puan Amina masih memberi peluang kepada Asma untuk berada di teratak mereka. Jika dihalau keluar, pasti lebih merana hidup Asma. Sudahlah Anas itu tidak mahu menjawab panggilan...

Tidak ku sangka 15

SENYAP sahaja suasana dalam kereta. Anis memandu tanpa banyak tanya. Dipandu sahaja mengikut arah yang diisyaratkan oleh Asma. Hatinya terasa tawar. Pada mulanya terasa hendak marah lelaki yang menjadikan Asma begini. Tetapi bila difikir semula, bukankah Asma juga bersalah? Kenapa tidak dipertahankan maruah itu? Perempuan tak boleh lemah dan bersikap menyerah! Dan menyerah dalam situasi Asma ini sangat tidak kena pada tempatnya. Apa yang haram itu, ada sebabnya. Allah tidak menetapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan hamba-Nya. Sebab itu dikatakan janganlah sesekali kita mendekati zina. Dan akibatnya, seperti inilah. Anis mengerling ke arah Asma yang sedang mempamerkan aksi cacing kepanasan. Telefon bimbit itu berkali-kali ditekan dan dilekapkan ke telinga. Dan seketika kemudian, adiknya itu mengeluh pula. Tidak perlu Asma bercerita, Anis sudah dapat mengagak apa sebabnya. Pastinya lelaki kesayangan Asma itu tidak mahu menjawab panggilan.