PROLOG
MERIAH
sekali kediaman Encik Johan dikerumuni sanak saudara. Hari ini merupakan hari
paling bahagia. Anak kesayangan mereka bakal diserahkan kepada imamnya. Berkat
doa daripada semua, hatinya hanya menginginkan majlis ini berjalan dengan penuh
barakah dan rahmat daripada Allah.
Disebabkan itu juga, walaupun
muda-mudi zaman kini lebih selesa bercinta untuk memilih pasangan hidup mereka.
Namun dia bertegas dengan anaknya, perkahwinan ini akan berlangsung mengikut
apa yang telah disyariatkan oleh Allah.
Mungkin ramai melihat tidak salah
bercinta. Tidak salah keluar berdua. Tidak salah semuanya asalkan mendapatkan
keizinan daripada ibu dan bapa mereka. Tidak salah asalkan pandai menjaga batas
yang ditetapkan dalam Islam. Encik Johan tersenyum seketika dengan kebiasaan
yang sudah menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat pada akhir zaman ini.
Tetapi, ramai yang terleka. Tidak
sedar dengan keadaan yang menyebabkan masing-masing menyumbang kepada keadaan
dosa anak-anak mereka. Ah, manusia… sentiasa alpa. Hanya dengan peringatan
Allah dapat mengembalikan kita ke jalan yang diredhai-Nya.
“Abahnya… duk berdiri lagi dekat
sini kenapa? Semua dah siap-siap nak ke masjid.” Teguran yang menyentakkan
fikiran Encik Johan. Wajah isterinya, Puan Hayati tersenyum di sisi. Dengan
satu perasaan tenang, senyuman itu berbalas mesra.
“Anak kita mana?” soalnya.
Tanpa jawapan pun, Encik Johan
sudah berjawab soalannya. Disebalik beberapa anak saudara yang berpakaian
sedondon berwarna hijau muda, kelihatan seorang anak gadis yang dirias bagaikan
bidadari. Senyuman daripada bibir itu berkuntum untuknya. Sebak mulai terasa.
Kaki melangkah dan kini dia berdiri
di hadapan satu-satunya anak gadis dalam keluarga mereka, Jelita Suria. Permata
yang lahir dengan izin-Nya, 25 tahun yang dahulu.
“Abah…” Jelita Suria sudah mengucup
tangan abahnya. Seiring itu, sebuah kucupan singgah di ubun-ubun. Kepala yang
berlitup dengan tudung satin ivory white
itu diusap penuh kasih.
“Jelita dah sedia?” soal Encik
Johan buat sekian kalinya.
Jelita Suria memandang wajah
abahnya. Kemudian beralih ke wajah, emaknya pula. Jujur hatinya mulai terasa
gementar. Takut. Risau. Tidak dapat digambarkan perasaan itu tatkala memandang
wajah emak dan abah kini.
“Jelita dah ready.” Akhirnya, jawapan itu keluar juga dalam keadaan yang gugup
sekali.
“Emak dan abah pengantin… cuba
cepat sikit iring anak ke kereta. Nanti pengantin laki dekat masjid tu ingat,
pengantin perempuan tak jadi mai pulak.” Encik Rahman, Pak Ngah Jelita Suria
sudah memanggil dari luar.
Serentak, lapan buah kereta
bergerak mengiringi kereta pengantin ke Masjid Umar Al-Khattab di Bayan Baru.
Di dalam kereta, Jelita Suria mulai menggenggam jemari sepupunya, Akma. Segala
gemuruh di dada disalurkan melalui pegangan erat itu.
“Nervous sangat.” Ujarnya sambil tergelak kecil.
Akma turut tersenyum. “Jangan
risau, semua akan okey. Doa terus pada Allah.”
Untuk sebaris kata itu, Jelita
Suria terus menyinarkan wajahnya dengan senyuman. Kerana dia tahu, hanya pada
Allah Yang Maha Esa, dia harus sandarkan segala keyakinan dalam hidup ini.
Tanpa izin-Nya, tiada apa yang akan terjadi. Jika tiada izin-Nya, tidak akan
sampai dia ke masjid untuk akad nikah hari ini.
“Abang Wan!!!” suara Akma cemas
tiba-tiba menegur Ikhwan yang memandu kereta pengantin itu.
Mata Jelita Suria tertala ke
hadapan. Membulat matanya, spontan juga ia tertutup kembali. Tidak tahu apa
akan terjadi, hanya kalimah Allah membasahi bibir di saat itu. Bersama degupan
gemuruh jantung. Bunyi hentakan dan jeritan memadamkan segalanya.
PONNN!!! Hon mulai bunyi
berpanjangan daripada kereta yang sudah terbalik di persimpangan jalan menuju
ke Jalan Mayang Pasir itu.
BAB 1
LAUNGAN
azan dan diikuti iqamat pada telinga kiri dan kanan permata hati Encik Johan
dan Puan Hayati selamat disempurnakan. Amalan sunat ini untuk memastikan
kalimah pertama yang didengari oleh bayi itu adalah kalimah suci dan kalimah
kebesaran Allah. Ia juga untuk menghalau iblis dan syaitan yang sentiasa
mencari ruang dan peluang bagi menyesatkan anak cucu Adam.
Tersenyum
Encik Johan apabila bertemu pandang dengan mata isterinya. Nyata wajah itu
mempamerkan kelesuan. Berjuang hampir dua jam untuk melahirkan anak yang
dinantikan dalam hidup mereka. Besarnya pengorbanan seorang ibu terasa dekat di
hatinya apabila melihat dengan mata sendiri, bagaimana sakitnya si isteri ini
menahan perit. Namun kini, senyuman sudah mula terlakar di bibir wanita itu.
Itulah kasih seorang ibu!
Usai
dipindahkan ke wad, Puan Hayati mulai didatangi saudara-mara yang turut berada
di Pulau Pinang. Ibu kepada Encik Johan, Puan Kamariah seronok melihat cucu
sulung keluarga mereka.
“Jelita
Suria…” ucapnya.
Dahi
Encik Johan sudah berkerut. “Apa mak?”
“Nama
anak hang nilah. Jelita Suria…” ulang Puan Kamariah dengan senyuman.
Sesungguhnya sejak dari dulu lagi dia mengidamkan seorang anak gadis, namun
rezeki yang diberikan Allah, semuanya hero belaka. Tetapi dia tidak kisah,
syukur dengan nikmat yang diberi. Dan kini, apabila anak sulungnya sudah
mendapat seorang bayi perempuan, lantas hendak diberi nama yang berada di minda
sejak sekian lama.
“Mak…
kan Johan dah bagi tau Johan dengan Yati dah…” tidak sempat Encik Johan
menyudahkan kata-katanya, tangannya sudah ditarik oleh si isteri di sebelah.
Puan Hayati mulai menggeleng kecil sambil mengisyaratkan ke arah Puan Kamariah
yang mula berubah riak wajahnya.
“Tak
apalah kalau tak sudi.” Nada itu seakan berjauh hati.
“Entah
bila mak nak merasa panggil anak cucu sendiri dengan nama yang mak pilih…”
sambung Puan Kamariah lagi. Bibirnya sudah mulai muncung sedikit.
“Abang…”
tegur Puan Hayati perlahan. “Ikutlah cakap mak. Kesian pulak… takkan nak
kecikkan hati dia.”
Encik
Johan mengeluh kecil.
“Iyalah
mak… Jelita Suria.”
Dan
Puan Kamariah terus tersenyum lebar.
“MACAM
tulah kisahnya.” Encik Johan menutup tafsir yang terbuka di hadapannya. Anak
gadisnya yang jelita itu, Jelita Suria begitu mendesak untuk mendengar kisah
yang tidak popular itu. Bagaimana munculnya nama Jelita Suria dalam keluarga
mereka. Lebih-lebih lagi menjadi nama anaknya itu.
“Jelita
tak nak lah nama ni abah…” rungut Jelita manja. Sejak dari seminggu yang lalu,
dia asyik menjadi bahan ketawa teman-teman barunya di sekolah. Sedangkan
sebelum ini di sekolah rendah, tiada siapa pun mengusiknya dengan nama Jelita
Suria itu. Adakah disebabkan abahnya guru besar di Sekolah Kebangsaan Bayan
Baru dan atas alasan itu, tiada siapa pun yang berani mengusiknya? Mungkin
juga.
Encik
Johan tersenyum, lengan Jelita Suria yang kini sudah berusia 13 tahun, ditarik
merapat dengannya. “Kenapa Jelita? Cerita dengan abah…”
“Bila
Jelita kenalkan nama, hai saya Jelita…” Jelita Suria melakonkan semula aksinya.
“Lepas tu mesti ada yang datang balas, hai saya rupawan, hai saya dermawan, hai
saya kachak! Jelita tak sukalah, abah. Menyampah tau tak…” sungut Jelita Suria.
Keadaan itu membuatkan mood belajarnya terganggu. Disebabkan itu juga, dia
sudah mula belajar untuk menapis teman-teman. Tidak mahu ada teman yang suka
mengambil kesempatan dengan mengusik namanya yang kedengaran pelik untuk
telinga orang biasa.
“Jelita
Suria… selagi nama tu mendoakan perkara yang baik untuk anak abah, rasanya tak
ada yang salah. Tak perlu rasanya sampai bertukar nama. Kecik hati nenek nanti.”
Pujuk Encik Johan.
“Mak…”
Jelita Suria mulai merengek kepada Puan Hayati yang sudah mengambil tempat di
sisi Encik Johan. “Cakaplah dengan abah…” pintanya.
“Macam
abah cakap, tak jadi isu pun dengan nama Jelita Suria ni. Kenapa? Tak
semestinya orang mengusik, nama tu akan jadi tak sesuai dengan Jelita. Selama
ni kan elok aja. Dah tiga belas tahun dah… sayang.” Pujuk Puan Hayati pula.
Jelita
Suria mulai menunjukkan muncungnya. Dia tahu, dia tidak akan berjaya menukarkan
Jelita Suria kepada apa-apa nama yang lebih menarik agaknya. Tapi kata abah,
harus diiyakan juga. Selagi nama itu mendoakan perkara yang baik buat dirinya,
mengapa hendak ditukar pula.
Lainlah kalau sebaris nama Jelita
Suria itu membawa maksud kecelakaan atau keburukan buat dirinya, maka haruslah
ditukar. Dalam Islam pun telah diberi panduan untuk memberikan nama yang
bermaksud baik-baik kepada anak. Kerana setiap panggilan itu, akan mendoakan
anak itu kelak.
“Ada apa pada nama Jelita, andai
akhlak tak dirias dengan indah, nama yang paling glamour pun takkan bawa kita ke syurga kelak.”
Jelita Suria tersenyum nipis. Terus
dagunya disangkut pada lutut abah. Dia tahu, mukadimah abah itu akan membawa
kepada suatu kisah. Kisah yang didendangkan pada setiap malam. Dan kisah yang
baginya akan menjentik ruang hati dengan suatu rasa halus. Rasa sebagai seorang
hamba yang harus mengucapkan rasa syukur tidak terhingga kepada pencipta. Dia
Yang Maha Esa.
“JELITA
Suria…” Mendengarkan namanya dilaung oleh Cikgu Zehra, terus Jelita Suria
mengangkat tinggi tangannya. Biar kepantasannya ini akan menutup mulut-mulut
sumbang yang seringkali menyahut panggilan gurunya itu. Namun sangkaannya
meleset apabila ada juga ‘monyet-monyet’ di belakang kelas yang tidak
henti-henti menyahut dengan nama rekaan mereka.
“Saya,
Purnama Merindu…”
“Saya
cikgu, Sang Mentari Pagi.”
“Embun
Senja, hadir.”
Serentak
itu, satu kelas melepaskan tawa dengan galak sekali. Renungan tajam daripada
Jelita Suria tidak mampu menghentikan semua itu. Sekali dengan Cikgu Zehra
tersenyum-senyum. Huh! Hati Jelita Suria menjadi panas serta-merta. Apa yang
terlalu kelakar dengan sebaris namanya? Perlu ke dia diusik untuk puaskan hati
semua manusia dalam kelas ini?
Ingin
sahaja dia bangkit berdiri dan menampar setiap mulut yang mentertawakan
dirinya. Tetapi sebaris ayat yang diucapkan oleh abah menerpa mindanya, “Bila
ada orang yang menyakitkan hati kita, maka berjanjilah dengan diri dan Allah
Yang Esa, kita takkan melakukan perkara yang serupa. Sesungguhnya insan yang
memberikan maaf itu, banyak ganjarannya.”
Kata-kata
itu mempegunkan segala tindakannya. Lantas dipekakkan sahaja telinga. Biarlah
mereka hendak mengusik. Sampai sakit mulut pun boleh usik namanya.
Dipersilakan. Tapi nanti masa hari pembalasan, harap semuanya akan tampil
memberi jawapan bernas kepada Allah, atas sebab apa diusik sebaris namanya itu?
Adakah ia memberi sumbangan kepada agama Islam?
Jika dia mendebatkan tentang
perkara ini, pasti tergamam semuanya. Apa mereka fikir setiap perbuatan itu
akan berlalu tanpa disoal kelak? Manusia cepat sangat terlupa, ada pemerhati
yang mengawasi setiap gerak-geri mereka, luaran dan dalam. Dialah Ar-Raqib.
Yang mengawasi!
Sementara itu, dari luar kelas,
terhenti seketika langkah seorang jejaka apabila melintasi kelas yang diserikan
dengan hilai tawa pelajar. Paling menarik, cikgu di hadapan kelas pun ikut
mengkekek sekali.
“Kenapa yang kelas Klasik Nasional
ni meriah sangat?” soalnya pada rakan di sebelah.
Rakannya melepaskan tawa sebelum
menjawab. “Hang tak tau?”
“Kalau tau, tak tanya.” Perlinya.
“Lupa, hang tak incharge untuk minggu orientasi kan. Ada
sorang girl ni, nama dia unik sikit.
Aku rasa nama tu cantik aja. Tapi tak tau kenapa yang budak kelas ni meriah
sangat duk perli dia. Dah seminggu mula kelas, still duk kena perli lagi.”
Telingannya mendengar sahaja
penerangan teman di sebelah yang juga berbaju kemeja berwarna biru sepertinya.
Pelik sangat ke nama itu? Soalnya dalam hati. Seakan mengerti, temannya sudah
memberi jawapan.
“Jelita Suria… cantikkan nama dia.
Aku rasa okey lagi nama dia… pada hang…” ketawa mulai mengambil tempat.
Tangannya sudah dikepal. Dia pula
menjadi geram, namanya menjadi bahan usikan.
“Perkasa Armana!”
Dan temannya yang bernama Sarip Dol
itu terus ketawa. Tak sedar yang nama dia pun boleh jadi bahan perlian tapi ada
hati nak memerli nama orang lain. Ini mesti kes, mak dan ayah dia minat dengan
lakonan Sarip Dol masa muda-muda. Sehinggakan terus diletakkan pada anak
mereka. Dalam diam, hatinya terus digeletak dengan rasa lucu.
akan habis kt blog ke? hope so. :D
ReplyDeleteinsyaAllah, saya dh plan utk jadikan as manuskrip ketiga. apa2 saya mesti update pada readers :)
ReplyDeletemanarik...
ReplyDeletebestlah.
ReplyDeleteBest sangat umi... bile bace novel baru tahu kisah dari mula antara jelita ngn perkasa ni... bila tengok nama sarip dol ni tbe2 WC teringat masa zaman sekolah dulu, time tu cikgu tgh mengajar... tbe2 de sorg laki ketuk pntu nk cari anak dia... cikgu WC tnye nak cari sape, dia ckp nak cari anak dia...
ReplyDeletecikgu WC tnye lagi name anak ape? dia jawab erra fazira... WC ngn kwn2 terus terkejut... rasa nk gelak pon de tp tahan je tkot pakcik tu ckp ape pulak... hahaha...
WC... hehehe, ada jugak ya kes mcm ni kat realiti. muehehe... kira WC and geng, sgt tabah sbb dapat tahan gelak. ;)
ReplyDeletebest citer ni.. lagi2x tang yg kena perli tu... mcm2 nama keluar
ReplyDeleteBest dan menarik.... #^_^
ReplyDeletebest...kelakar masa yg dia perli tu hahaha
ReplyDeletebest! best! :)
ReplyDeletemenarik nama diorang. awesome. nk bantai gelak gak.
ReplyDeletekui,kui,gelak x abis lagi nih, lawak la...nama punya pasai pun boleh jadi satu citer..
ReplyDelete