Advs

Followers

December 13, 2016

Husna [2]

Bab 2
SUDAH masuk tiga jam dia berteleku di meja food court Queensbay Mall ini seorang diri. Sudah masuk tiga jenis air yang ditelan. Rasa nak terkencing pun ada. Tapi dia masih memilih untuk setia duduk di situ. Matanya masih ralit berlari ke kiri dan kanan mengikut langkah kaki setiap individu yang diperhatikannya.
            Oppsss!!! Jangan salah sangka.
            Dia bukan spy. Dia cuma seorang gadis comel yang diberi nama Husna. Sudah lebih tiga tahun dia berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Sekarang ini dia cuba mengalihkan minatnya untuk menjadi spy pula!
            “Cubalah hang pergi duduk satu tempat, tengok gelagat orang, tengok persekitaran dan tengoklah apa-apa saja. Mungkin dengan cara tu boleh bantu otak hang membebaskan diri daripada segala sekatan yang sedang hang alami sekarang ni.” Cadangan yang dialunkan Hanani terngiang di telinga.
            “Kalau hang boring nak pergi sorang, aku temankan.” Ayat itu meniti sekali bibir adiknya.
Dan tidak Husna sangka, keyakinan terhadap ayat Hanani itu hanya sia-sia. Adiknya sudah melesap untuk menonton wayang dengan kawan sekolah.
Sorry Husna… depa last minute mesej cakap nak tengok wayang kat sini. Bukan selalu aku boleh jumpa. Time cuti semester macam ni yang dapat peluang. Hang pun tak minat nak tengok wayang kan? Aku pi mai sekejap aje…” Ayat itu adalah yang terakhir diungkapkan oleh Hanani sebelum meninggalkan dia tercongok di food court itu seorang diri.
            Matanya masih melilau mencari sekiranya kelihatan kelibatnya adiknya yang konon akan ‘pi mai sekejap aje’ tu. Takkan cerita yang ditayang tu ambil masa lebih daripada dua jam? Tipu sangatlah. Memanglah Husna tak suka tengok wayang, tapi dia layan juga movie dekat rumah.
            Disebabkan sudah terlalu bosan, Husna bangkit dari duduk. Satu pusingan dilakukan mengelilingi kedai-kedai yang terdapat di situ. Perut pun sudah berbunyi lapar. Lantas dipilih menu paling ringkas; nasi ayam untuk mengurangkan gendang yang sedang rancak berbunyi di dalam perut.
            Baru sahaja dia melabuhkan punggung di kerusi yang sama, telinganya menangkap sebaris nama yang tidak asing dari hidupnya.
            “Tuuu… aku nampak Una Chan.”
            Gulppp!!!
Husna menelan liur. Dia baru hendak memulakan sesi mengisi perut, tapi terasa tekaknya sudah tidak mampu menerima sebarang makanan di saat ini. Perutnya memulas pula.
            “Betullah aku nampak Una Chan… aku kenallah, pernah tengok gambar dia dalam Facebook!”
            Suara itu jelas menampar gegendang telinga Husna. Terasa kilang peluh sedang bekerja keras di saat itu. Di bawah suhu yang dingin, sebaris nama itu sudah menyebabkan Husna berpeluh rancak. Nasi ayam yang dibeli itu disuakan juga ke dalam mulut dengan rasa susah payah. Dalam masa yang sama, hatinya terus berdoa supaya Hanani segera sampai.
            “Tak percaya cakap aku? Nanti aku tunjukkan bukti.”
            Gulp!
            Husna terus menerus menelan air liur sambil diselangi dengan kunyahan nasi ayam. Dapat dirasakan kelazatan nasi ayam itu tenggelam di sebalik debaran yang maha hebat menguasai dirinya di kala ini.
            “Mana pulak si budak bertuah ni? Takkan tertidur dalam panggung wayang pulak kot!” Rungut Husna sendiri. Hatinya sudah tidak keruan. Dia hendak segera beredar dari ruangan itu.
            “Sorry cik kak… baru habis movie.”
            Akhirnya, Hanani muncul juga dengan sengihan lebar di wajah. Dilebarkan lagi senyuman biarpun ia sudah cukup terukir pada tahap maksima. Bukan apa, tak mahu Husna ‘meletup’ pula kerana dia tidak menepati janji yang diberi.
            “Movie apa lama sangat macam ni! Jomlah balik… aku dah boring gila duduk sini.” Husna berkata laju sambil menyudahkan suapan terakhir nasi ayam. Nasi itu disuap dan ditelan tanpa dikunyah. Terasa hendak tercekik dibuatnya bila makan tanpa mengunyah.
            “Nak balik dah ke?” Hanani menyoal dengan wajah minta simpati.
            Husna menjeling. Ingat dia nak cair dengan muka macam capati tu?
            “Jom balik!” Tegasnya.
            “Dah dapat ke ilham yang hang cari? Jomlah lepak sekejap lagi. Aku nak masuk Jusco sat. Boleh cuci mata sekali.” Hanani cuba memujuk Husna. Tapi cubaan itu hanyalah sia-sia.
            Husna sudah berdiri tegak dan mengalas beg sandang yang dibawanya. Hanya dengan gerakan mata, Husna mengarahkan Hanani untuk berdiri sama dan bergerak meninggalkan tempat itu.
            “Husna… jomlah teman aku sekejap. Tak payahlah balik lagi?” Pujuk Hanani lagi.
            Tak reti berputus asa langsung.
            Husna menjeling geram. Tak kuasa dia nak melayan permintaan si Hanani itu. Dia hendak meninggalkan tempat itu sebelum darah gemuruhnya menyerang dengan lebih kritikal.
            “Kedekutlah Una Chan ni! Tak mau kasi can langsung!” Ucap Hanani dalam nada memerli. Dijuihkan bibir pada pandangan Husna, sengaja hendak mengekspresikan perasaan secara berlebihan.
            Namun wajah Husna di kala itu sudah mempamerkan riak cuak.
            “Awat ni?” soal Hanani pelik.
            “Una Chan…” Ada satu suara lagi yang memanggil.
            Wajah Husna sudah semakin pucat.
Hanani sudah menggeleng kepala. Patutlah…
“Una Chan… nak minta selfie satu.”
Si pemilik suara yang berdiri di belakang Husna melemparkan senyuman manis.
Hanani sudah menaikkan kening pada si kakak.
Dan Husna… gigit bibir dan tertunduk ke bawah.

HANANI menarik jemari Husna untuk rapat dengan tubuhnya. Jemari kakaknya itu mulai menggigil dengan kadar sederhana. Itu tandanya Husna mula diserang perasaan gemuruh yang tidak mampu dikawal melainkan melarikan diri sahaja.
            Sungguh dia tak faham dengan insan bernama Husna itu. Kariernya penulis, tapi kalau bab nak bertemu peminat, mesti sahaja diserang rasa gemuruh. Sudahnya, Husna tidak pernah memenuhi sebarang jemputan daripada syarikat penerbitan novelnya itu ke mana-mana majlis sesi bertemu peminat.
            Memang tersalah pilih karier betullah cik kak ini!
            “Una Chan… boleh ke nak selfie? Kakak saya peminat buku awak.” Permintaan itu diajukan lagi. Sebaris senyuman diberikan.
            “Minta maaflah, Una Chan ni tak berapa gemar sangat untuk selfie, tambah pulak dengan orang yang dia tak kenal langsung.” Hanani tolong jawab bagi pihak Husna. Kalau nak tunggu Husna jawab, memang takkan terjawablah alamatnya.
            “Saya ikhlas.” Senyuman diberikan lagi.
            “Tak kisahlah awak ikhlas ke tidak, pokoknya Una Chan takkan boleh berselfie. Tambah pulak awak ni lelaki, mana boleh selfie dengan perempuan suka-suka hati.” Balas Hanani dengan tegas. Tetapi jawapannya itu disambut dengan ketawa riang. Hanani melemparkan pandangan pelik yang turut disambut oleh Husna. Keduanya menjungkitkan bahu. Tak faham.
            “Maaf, maksud saya… nama saya Ikhlas.” Ikhlas tersenyum lagi. Hasratnya disampaikan lagi menerusi mata yang menagih persetujuan.
            Hanani mengeluh kecil.
            “Macam nilah Encik Ikhlas… kalau awak nak autograf, saya boleh jugak suruh Una Chan sign. Tapi bab-bab gambar ni, mohon maaf banyak-banyak. Saya takut Una Chan pengsan aje sebelum awak siap ambil gambar. Dia ni nerves sikit dengan kamera.” Balas Hanani yang membuka kelemahan Husna tanpa disengajakan.
            Sempat dirasakan jari telunjuk Husna mencucuk pinggangnya disebabkan rasa marah.
            “Lagipun, tak selamat kalau awak simpan gambar dia. Mana tahu awak berniat jahat dekat Una Chan. Bukan boleh percaya semua orang zaman sekarang ni, biarpun nama awak tu Ikhlas.” Sambung Hanani lagi. Cuba merelevankan alasan yang dihujahkan pada ketika itu.
            Ikhlas meraup wajahnya seketika. Silapnya sendiri kerana berjanji dan membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun dia sudah menjangkakan penolakan ini. Wajah Una Chan atau yang bernama Husna itu dipandang sekilas. Bibirnya melirik senyum lagi.
            “Kalau nak dapat autograf, boleh ya?” soal Ikhlas.
            Hanani tersenyum dan mengangguk laju. Namun sekali lagi pinggangnya dicucuk oleh telunjuk Husna. Mujurlah dia bukan spesies yang suka melatah. Lantas dibuat tak tahu saja.
            “Jomlah cari buku dekat Popular sana, boleh sign terus.” Ikhlas terus mengatur langkah dan mengajak kedua gadis itu untuk ikutnya bersama.
            “Aku tak naklah!” Husna berbisik geram pada Hanani.
            Hanani menjeling geram.
            “Gediklah hang ni. Nak kena bagi autograf saja pun, bukan susah. Kalau takut sangat nak kena berdepan dengan peminat, janganlah jadi penulis.” Balas Hanani senada.
            Lengan Husna terus ditarik untuk mengekor langkahnya ke kedai buku Popular itu. Sudah kelihatan Ikhlas mencari buku Husna yang masih tersusun di rak buku. Sebuah senyuman daripada bibir lelaki itu kembali dihadiahkan buat pandangan kedua gadis itu sebelum bergerak ke kaunter untuk membuat bayaran.
            Dari jauh Husna memerhati, lelaki yang bernama Ikhlas itu sudah mula melangkah mendekati dirinya dan Hanani dengan sebatang pen dalam genggaman.
            “Aku nerves la bab-bab nak sign depan orang ni.” Keluh Husna. Wajah sedih cuba dipamerkan untuk menarik simpati daripada Hanani. Tapi si adik yang seorang ini, berhati batu betul! Sanggup mendedahkan kelemahan si kakak sendiri.
            “Encik Ikhlas… awak kena berdiri jauh sebatu demi memastikan Una Chan dapat sign dengan aman. Kita tak mahu berlaku kejadian tidak diingini seperti penulis pengsan masa nak bagi otograp.” Ucap Hanani selamba.
Dia kemudiannya melangkah meninggalkan Husna sendiri di satu penjuru. Langkah itu turut diikuti Ikhlas.
“Dia memang nerves nak bagi autograf ke?” soal Ikhlas spontan.
“Dia memang macam tu sejak dilahirkan agaknya. Saya pun tak berapa nak pasti.” Balas Hanani acuh tak acuh. Karang cakap lebih-lebih, bahaya pula. Dia sekadar berwaspada. Tak boleh jadi baik sangat percayakan orang yang baru dijumpai biarpun orang tu nak minta autograf Husna.
“Agak-agak kalau saya nak minta alamat emel dia, boleh dapat tak?” soal Ikhlas teragak-agak.
Kening Hanani terangkat.
“Alamat emel dia ada dekat belakang buku tu rasanya. Boleh cari dekat profil dia.”
“Errr… nombor telefon?” soal Ikhlas lagi dengan sengihan serba salah di wajah.

Kali ini Hanani menghadiahkan jelingan tajam pula. Di saat itu juga Husna sudah melambaikan tangan ke arahnya. Selesai juga akhirnya!