Advs

Followers

December 02, 2013

Jangan biar aku pergi 3

Bab 7
TERASA aneh sekali perasaannya hari ini. Terasa diekori sejak dari tadi. Tapi siapa pula yang nak buat kerja tak berfaedah mengekor dirinya?
            Mata itu mula mengerling ke kiri dan ke kanan. Sengaja nak puaskan hati sendiri walaupun terasa juga, ada juga part yang tidak logik dengan andaian mindanya itu.
            “Siapa pulak kan yang nak stalk aku. Macamlah kita ni artis!”
            Bibir itu tergelak sendiri. Tanpa berlengah, dia meneruskan kerjanya. Menyusun stok baru seperti yang diarahkan oleh penyelia. Dua kotak yang penuh berisi paket susu tepung dibuka. Laju sahaja dia menyusun barang tersebut di rak yang sudah mempamerkan kelopongan di situ. Kalau lambat buat kerja, nanti adalah murai yang hendak menyerang pula.

November 28, 2013

Jangan biar aku pergi 2

Nota kaki: Jangan terkeliru dengan Anas. Seorang Anas dan seorang lagi Iman Anas. ;) Peace, enjoy your reading, and drop by your comments.

Bab 4
CEPAT sungguh berlalu seminggu. Hari ini sudah kembali ke Jumaat lagi satu. Masih bernafas dia di sini. Masih berkudrat memasakkan hidangan untuk anak-anak yang dihantar ke taman asuhan ini.
            Jam sudah berdetik ke angka lapan. Tidak mahu membuang masa, Asma terus ke singki. Isi ayam yang dikeluarkan dari peti sejuk seawal pagi tadi mula dicuci. Mengikut kepada jadual, hidangan yang perlu disediakan hari ini ialah sup ayam. Maka, lebih mudah kerjanya.
            Beras sudah dibasuh dan dimasukkan ke dalam periuk nasi. Sekali tekan sahaja, periuk sudah mula menjalankan tugasnya sendiri. Tiada apa yang susah dengan kerja yang dilakukannya kini. Untuk itu, Asma bersyukur. Dia masih mempunyai ruang untuk bekerja tanpa menyusahkan sesiapa.

November 25, 2013

Jangan biar aku pergi 1

Bab 1
SEBUNGKUS besar plastik yang berisi barang dapur diletakkan di atas meja. Asma yang baru keluar dari dapur tersenyum melihat Hanina. Terduduk lesu gadis itu di kerusi kecil yang tersedia untuk anak-anak kecil di situ.
“Penat sangat kot…”
Asma menghulurkan segelas air kosong kepada Hanina. Kebiasaannya, itu adalah menu wajib yang akan dipinta oleh Hanina. Air kosong untuk isi kekosongan dalam perut.
Thanks Asma… awak tahu sangat rutin minuman saya.”
Hanina menyambut gembira air kosong yang dihulurkan oleh Asma. Dengan lafaz bismillah, diteguk perlahan. Terasa air melalui tekak. Bagai ada bayu sejuk yang mendamaikan. Mendinginkan tekak kering akibat bahang cuaca di luar. Walaupun waktu mulai menginjak ke senja namun bahang kepanasan di siang hari masih terasa.

August 11, 2013

Tidak ku sangka 21-End



10 SYAWAL. Masing-masing sibuk menyiapkan rumah. Walaupun sehari sebelum Syawal menjelma, sudah dikemas semua. Tetapi di mata Puan Amina, terasa masih ada yang belum sempurna. Lantas dikerahkan semua tenaga yang ada dalam rumah mereka untuk menyumbangkan tenaga.
“Mak, pasu ni nak letak mana?” jerit Bahar kuat dari luar. Pasu kosong yang sudah lama terbiar, hari ini juga terkesan pada pandangan mata. Kalau sebelum ini, lalu sebelah pun tak nampak.
“Telangkupkan. Lepas tu, letak pasu cili dekat atas… elok-elok, jangan bagi jatuh.” Puan Amina mengarahkan dari dalam. Cekap sungguh semua anak-anaknya menyiapkan kerja. Produktif dan proaktif. Kecuali seorang yang sudah tersadai kepenatan.
Melihatkan tubuh yang lesu itu, Puan Amina melangkah menghampiri. Kepala anaknya itu diusap perlahan.
“Pergilah baring dekat dalam… Asma mesti penatkan.” Tuturnya lembut.

August 07, 2013

Tidak ku sangka 20



Tidak disangka itu, kisahnya. Kisah yang makin tidak disangka-sangka apabila Anis menerima kunjungan Iman Anas ketika sibuk membeli-belah di gudang pakaian Gulati’s. Hendak mencari kain untuk dibuat baju nikah. Dan memang tidak disangka, Anis telah bersetuju untuk mengikut cadangan Iman Anas walaupun adik-adiknya membangkang keras dengan alasan peperiksaan. Kata, Kamilia boleh penuhkan tiga kuota itu… jadi tak kisahlah!
Bulan-bulan puasa ini, hendak melayan sedih lama-lama pun tidak kuasa. Hanya menambahkan penat dan lelah sahaja.
Adila masih setia di sisi menemani Anis walaupun tangan tidak melepaskan nota walaupun seminit. Tetapi tengok kain yang lebih daripada menelaah nota.
“Akak… cantik yang ni!” Adila menggamit pandangan Anis untuk melihat kain ela di hadapannya. Namun, belum sempat Anis berpaling, Iman Anas sudah memangkah tidak suka.
“Elok apa Abang Iman… cantik untuk akak.” Komen Adila pelik.

July 27, 2013

Tidak ku sangka 19



MEMANG itu pun yang hendak dikatakan oleh Anis. Mana boleh kahwin awal tahun depan. Kandungan Asma sudah mencapai usia sembilan bulan. Pasti akan menunggu masa untuk bersalin pula. Takkan hendak diadakan majlis pada masa itu seperti yang telah dirancangkan.
“Kita tangguh, boleh…” Anis mengetap bibir. Sebenarnya, dia terasa sangat berat hati untuk menangguhkan apa yang telah dirancang. Bimbang, tak jadi terus.
“Kalau tangguh, nak buat bila?” soal Iman Anas.
“Pertengahan tahun, boleh?”
Iman Anas menggeleng. “Tak boleh.”
Mata Anis pula yang membulat. “Kenapa?” Risau mulai memuncak. Jangan Iman Anas hendak berkata batal terus pula. Memang dia akan meraung secara spontan di sini.

July 22, 2013

Tidak ku sangka 18



TERMENUNG.
Itu yang dilakukan oleh Asma sejak Zahran datang melemparkan kata-kata nista pada dirinya. Tidak cukup dimalukan dirinya, diheret sekali emak ke dalam cacian itu. Asma tahu, salahnya. Semakin banyak kesedihan yang sedang dihadiahkan buat mereka yang mempercayai dirinya. Abah, emak, Kak Anis dan adik-adiknya. Biarpun mereka melayannya dengan baik, tetapi hatinya menjadi sakit. Dia telah mempalitkan najis pada maruah keluarga.
Lebih malu lagi jadinya apabila bakal mentua Anis juga sudah tahu akan hal itu. Bertambah malu apabila adik Iman Anas, Qaiser mencadangkan sesuatu. Mungkin cadangan itu ikhlas, tapi Asma takkan melupakan pandangan sinis yang dihadiahkan buat dirinya. Terasa diri ini jijik. Dah memang salah kau, Asma…

July 20, 2013

Tidak ku sangka 17



MERAH muka Adila. Tidak disangka, seawal ini dia akan tertangkap. Oleh Anis pula tu! Masaklah… Melihat Anis mengetap bibir dengan kuat, Adila tahu sangat, dia bakal menerima kemarahan sejumlah yang tidak dapat dispesifikkan.
“Berani kan?” soal Anis dengan nada yang meninggi. Namun segera direndahkan suara apabila ada mata lain yang mula memandang.
“Akak…”
“Yang Adila nak sibuk-sibuk dalam hal ni, kenapa? Adila tu nak periksa… kenapa nak serabutkan kepala. Fikir pelajaran sudah!” Bebel Anis.
“Akak…”
“Dah, jom ikut akak balik!” Anis sudah menarik lengan Adila yang kemas berbaju kurung cotton. Berani sungguh adiknya keluar dari rumah seorang diri dan datang untuk bertemu dengan Anas. Padahal, kalau pergi kelas tambahan pun berjemput dan berhantar dengan abah.

July 18, 2013

Tidak ku sangka 16



SUDAH dua minggu berlalu, Asma memang tidak keluar dari rumah langsung. Itu arahan dan amaran keras daripada Encik Bohari. Puan Amina juga tidak membantah. Biarlah anaknya itu dikurung dalam rumah, sehingga selesai masalah.
Anis pula masih berusaha untuk bertemu dengan Anas! Disebut sahaja nama, terasa sakit seluruh jiwa.
Cepatnya manusia berubah. Kenapa Anas yang dulu selalu nampak sopan di ruang mata tergamak melakukan perkara sedemikian. Anis langsung tidak menyangka. Dan hatinya mengambil masa yang lama untuk menelan kenyataan itu. Melihat wajah Asma yang semakin sugul itu, dia bertambah kasihan.
Sekarang ini di awal bulan, nanti bila dah perut membesar, pasti adiknya akan lebih tertekan. Dia tahu Asma menyesal. Puas adiknya dimarahi abah dan emak. Dan Anis sangat bersyukur kerana Encik Bohari dan Puan Amina masih memberi peluang kepada Asma untuk berada di teratak mereka. Jika dihalau keluar, pasti lebih merana hidup Asma. Sudahlah Anas itu tidak mahu menjawab panggilan adiknya.

July 15, 2013

Tidak ku sangka 15



SENYAP sahaja suasana dalam kereta. Anis memandu tanpa banyak tanya. Dipandu sahaja mengikut arah yang diisyaratkan oleh Asma. Hatinya terasa tawar. Pada mulanya terasa hendak marah lelaki yang menjadikan Asma begini. Tetapi bila difikir semula, bukankah Asma juga bersalah? Kenapa tidak dipertahankan maruah itu?
Perempuan tak boleh lemah dan bersikap menyerah! Dan menyerah dalam situasi Asma ini sangat tidak kena pada tempatnya. Apa yang haram itu, ada sebabnya. Allah tidak menetapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan hamba-Nya. Sebab itu dikatakan janganlah sesekali kita mendekati zina. Dan akibatnya, seperti inilah.
Anis mengerling ke arah Asma yang sedang mempamerkan aksi cacing kepanasan. Telefon bimbit itu berkali-kali ditekan dan dilekapkan ke telinga. Dan seketika kemudian, adiknya itu mengeluh pula. Tidak perlu Asma bercerita, Anis sudah dapat mengagak apa sebabnya. Pastinya lelaki kesayangan Asma itu tidak mahu menjawab panggilan.

July 14, 2013

Tidak ku sangka 14



“KALAU kata bulan malam tadi terang, terang lagi muka kau hari ni.” Usik Kamilia. Hampir dua minggu lalu dia melihat wajah serabut Anis dek kerana kecuaian mulut gadis itu sendiri. Hari ini baru nampak macam muka manusia bernyawa. Tersengih tidak sudah. Macam orang dapat bunga. Padahal, dapat cekodok saja pun dari rumah mentua. Tapi okey juga cekodok, dia boleh tumpang rasa buat kenyangkan perut.
“Cekodok, sedap!” Anis terus mencapai seketul lagi dan disumbat ke dalam mulut. Komen Kamilia disambut dengan senyuman saja. Tahu tak betapa leganya perasaan dia bila dapat sahkan kenormalan Iman Anas. Ah, Iman Anas memang normal, tapi Anis yang kurang normal agaknya!
“Seronoklah, ada adik ipar yang boleh tolong deliver makanan yang disediakan mak mentua.” Usik Kamilia lagi.
“Anas buat…” balas Anis dengan sengih yang tidak jumpa penghujungnya. Tidak disangka, Iman Anas pun ada bakat di dapur juga. Lega rasanya! Tak perlulah dia bersusah payah seorang diri di dapur lepas kahwin nanti.

July 12, 2013

Tidak ku sangka 13



“SAYA memang belum kahwin lagi… tapi awakkan tunang orang.” Fairuz terpaksa mengalah dan menjawab juga. Anis berkali-kali pula menyoalnya kerana Iman Anas terus statik di belakang mereka tanpa sebarang isyarat.
Anis ketawa. “Memanglah saya tunang orang… awak ni fikir apa? Saya ada lagi dua orang adik perempuan okey… melepaslah saya nak jadikan awak adik ipar!” sambungnya dengan rasa lucu. Boleh pula Fairuz terfikirkan begitu.
Dan mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Anis, Fairuz melepaskan nafas lega. Terselamat mukanya daripada menjadi mangsa tumbukan Iman Anas jika tersalah dialog yang dilafazkan oleh Anis.
“Ingatkan awak nak kahwin dengan saya pulak, hampir heart attack jugak.” Gumam Fairuz perlahan. Anis sahaja bergembira, sedangkan hatinya sudah berdetak laju. Nanti lari pula plot cerita kalau dia masuk campur dalam hubungan Anis dan Iman Anas.

July 10, 2013

Tidak ku sangka 12



“ARWAH abah pun kerja macam Iman jugak.” Bicara Qaiser sebagai mukadimah bagi menjawab pertanyaan Anis. Baru kini gadis itu hendak bertanya setelah tunggang terbalik jadinya apabila Iman Anas sudah seminggu membawa rajuk.
Abangnya itu juga seakan sudah lupa jalan hendak pulang ke rumah. Daripada Fairuz yang mereka mendapat makluman, Iman Anas menyewa bersama teman mereka.
“Jadi?”
“Jadi, mak risau… kalau Iman akan terlalu obses dengan kerja dan jadi macam arwah abah. Abah meninggal lepas masuk sendiri dalam kandang singa yang baru dibawa masuk untuk pemeriksaan. Sebab abah tak sedar, ubat pelali yang diberi dah hilang kesannya. Abah saya kena baham sampai koma! Seminggu dalam ICU… lepas tu abah disahkan meninggal.”
Tersentak Anis mendengar kenyataan itu.
“Mak hanya risaukan tentang diri Iman, tentang keselamatan Iman…disebabkan perkara yang pernah terjadi dekat arwah abah tu. Tapi awak? Saya sedih bila Kak Anis sanggup syak Iman dengan benda yang tak masuk akal. Fikir yang Iman mungkin ada perasaan yang songsang dengan haiwan yang dijaga. Dan Kak Anis ceritakan pulak pada emak. Apa Kak Anis fikir Iman tak ada didikan agama untuk lampiaskan nafsu dengan cara tu?” Sindiran Qaiser. Hangat hatinya.
Kerisauan Puan Rohani sangat berasas. Tetapi Anis? Sungguh tidak kena pada tempat. Qaiser menarik nafas perlahan untuk meredakan perasaannya. Wajah Anis yang serba salah terhidang di depan mata.
“Saya tak sengaja…” Itu sahaja alasan terbaik yang difikirkan oleh Anis. Sungguh, harus diakui buruk prasangka yang ditaruhkan. Tetapi, itu hanya gangguan minda daripada sikap dan perlakuan Iman Anas.
“Tak sengaja tu bukan satu jawapan… sekarang ni, usahalah untuk pujuk Iman sendiri. Mak dengan saya dah sehabis daya, tapi Iman merajuk sungguh sebab dah bertahun dia dalam bidang tu, tapi mak masih tak percaya dengan dia. Iman tu, walaupun terlalu kagum dengan abah, tapi ada satu sifat abah yang langsung tak boleh diterima oleh Iman…” Qaiser memandang wajah Anis lebih lama.
“Iman tak pernah pentingkan diri sendiri. Dia selalu fikirkan tentang mak yang risaukan dia di rumah.”
“Jadi, sayalah yang pentingkan diri?” Anis bersuara dengan rasa marah. Tutur kata Qaiser menyindir dan menyentap hatinya. Dia tak pernah pentingkan diri!
“Kenapa nak terasa kalau Kak Anis bukan begitu orangnya?” Sindiran lagi yang dituju.
“Okey… saya minta maaf.” Anis mengalah. “Saya akan cuba pujuk Iman.” Tuturnya dengan tidak yakin. Dalam kepala sudah timbul bermacam persoalan. Bagaimana hendak memujuk Iman Anas? Senangkah? Nampak macam susah sahaja? Mungkin Anis kena berkawan dengan Anita, baru Iman Anas akan memaafkan dirinya.
All the best!” Qaiser sudah bangun hendak bergerak. Namun teringatkan sesuatu, dia kembali berpaling menghadap Anis. Bibirnya tersenyum tawar.
“Tak semua benda yang kita rasa dalam hati, kena disuarakan pada orang lain. Kadang-kadang masalah tu tak datang dekat kita, tapi kita yang cari akibat kecuaian daripada diri sendiri. Mungkin Kak Anis kena belajar berfikir sebelum bertanya… dan pastikan apa yang ditanya tu ada rasionalnya. Jangan praktikkan macam ni dengan student pulak.” Secebis nasihat yang sinis nadanya.
Anis menelan liur yang terasa kesat. Ya… ya! Bentak hatinya kuat. Dia yang salah! Dia tahu! Dia sedar! Tak perlulah semua orang pun bernada sinis sentiasa untuk menyedarkan dirinya yang terlebih sedar ini!
Perginya langkah Qaiser dari situ, membuahkan keluhan pendek di bibir Anis. Kepala yang sudah agak sewel sejak kebelakang ini, diketuk kuat. Biar sakit asalkan kepala itu tidak lagi mengeluarkan andaian yang menyakitkan hati orang lain.

SEKALI lagi, dia berada di situ. Orang kata, hendak seribu daya kalau nak berusaha. Jadi, Anis menolak seribu dalih yang asyik hendak mengherotkan laluannya. Matanya meliar ke sekeliling kawasan yang menghijau itu. Sejuk dan damai.
Tetapi rasa itu tidak mampu berkekalan dalam hatinya. Rasa bersalah kepada Iman Anas melebihi segala rasa lain yang hendak bertapak.
Deheman kecil memanggil Anis untuk berkalih ke sisi. Seraut wajah yang tidak dikenali menyapa ruang mata. Pandangan Anis kosong. Tiada rasa untuk bertanya atau apa sahaja. Lantas dia memilih untuk buat tak tahu.
“Cari Iman?” Suara itu bertanya.
Anis berkalih sekali lagi dengan pantas.
“Mana Anas?” soal Anis dengan nama itu. Kerutan dahi insan yang tidak dikenali nama itu tidak dipedulikan. Iman Anas tetap Anas baginya!
Biarpun tuan punya diri pun tidak suka dengan panggilan itu. Anis tidak peduli. Ah… sememangnya Anis memang sangat pentingkan diri. Terasa terpukul sendiri dengan sikap yang baru disedari ini.
“Iman cuti hari ni…”
Jawapan itu mengecewakan Anis. Pandangan terus ditala ke hadapan dengan wajah yang sudah beriak muram. Dia juga sudah mengambil cuti semata-mata untuk datang ke sini. Nampaknya, ia sia-sia. Usahanya tidak akan berhasil.
“Awak boleh ikut saya…”
Pelawaan itu kedengaran pelik pada pendengaran Anis.
“Ikutlah… saya boleh bercerita tentang diri Iman yang mungkin awak susah nak faham dengan sendiri.”
Anis tergelak kecil. “Kalau saya tetap tak boleh nak kenal dengan Anas walaupun selepas dengan cerita daripada awak?” Tawa Anis terus menjadi hambar.
“Saya bukan pendiam macam Iman. Saya pandai bergaul dengan manusia. Yang pasti, sangat kena dengan cara… jangan risau, Iman tu untuk awak, Anis…”
Mata Anis terbuka luas.
“Saya Fairuz…” Fairuz tersenyum melihat wajah Anis yang terlukis raut bingung dan bimbang dalam masa yang sama. Terus dirinya terkenangnya Iman Anas yang juga berada pada kondisi yang serupa itu di rumah. Dalam hati, dia sudah hendak tergelak. Apalah nasib pasangan tunang ini?
“Anis...” ucap Anis pendek walaupun orang itu kelihatan mengenali dirinya.                 
Fairuz tergelak kecil. “Saya tahu… jom!” Gamitnya. “Saya ada banyak benda nak dicerita… jadi perbualan setempat mungkin hanya akan membosankan kita berdua. Mungkin boleh mula dengan sarapan kegemaran Iman…” usik Fairuz. Sempat dia mengerling melihat jam di pergelangan tangan.
“Saya tak lapar.” Balas Anis lemah.
Dan Fairuz ketawa lagi. “Saya tak ajak awak makan… saya ajak awak untuk berkenalan dengan Iman. This is going to be an interesting day. I promise you… Anis takkan pulang dengan tangan kosong.” Tuturnya yakin.
Melihatkan kemesraan yang dipamerkan oleh Fairuz di awal pagi ini, Anis tersenyum nipis. Sekurang-kurangnya ada juga yang sudi memberikan semangat buatnya.
Tidak mahu Fairuz menanti lebih lama, Anis sudah bangun dari duduknya. Perjalanan masih jauh. Yang pastinya, dia tidak boleh pulang dengan tangan kosong.

KOPI dan roti bakar disapu dengan kaya serta marjerin dipesan oleh Fairuz. Dan menu itu bukan untuk dirinya. Itu adalah menu wajib Iman Anas kalau berkesempatan sarapan dengannya. Itu juga menu yang pernah menjadi kegemaran arwah abah Iman Anas.
“Makan tau…” pelawa Fairuz apabila melihat Anis sudah mengerutkan dahi. “Kopinya pahit sikit… tapi, ini yang Iman suka. So, you should try…” sambung Fairuz lagi.
Kali ini dia sendiri sudah menjamah sarapan yang dipesannya. Tidak mahu melihat reaksi wajah Anis apabila menelan kopi itu nanti. Dia menahan senyum dalam hati. Iman Anas, aku minta maaf dunia dan akhirat.
Anis mengunyah sedikit roti bakar. Sedap dan manis. Hampir separuh roti sudah selamat masuk ke dalam perutnya. Beralih pula pada kopi yang begitu kuat memikat deria baunya dengan aroma yang menyelerakan. Dihirup sedikit. Dan…
Erk! Hampir tersembur keluar semula. Kopi… ini yang dikatakan pahit sedikit. Matanya terus mencari Fairuz. Khusyuknya lelaki itu menikmati sarapan. Atau sengaja tidak mahu melihat reaksinya?
“Apa macam kopi tu?” soal Fairuz tanpa mengangkat muka. Dia memang tak mahu melihat wajah Anis yang sudah bertukar kelat itu. Sememangnya kegemaran Iman Anas itu, sangat pahit. Dan sangat sukar untuk ditelan.
Soalan Fairuz itu hanya dibiarkan sepi. Fairuz menjadi hairan. Matanya dihala ke hadapannya. Seakan hendak terkeluar biji mata melihat Anis menghabiskan kopi pahit itu dalam sekelip mata.
“Awak tak perlu begitu rakus sekali!” komen Fairuz seakan trauma melihat babak itu.
“Kalau tak rakus, takkan habis!” balas Anis dengan jujurnya.
“Tapi… saya rasa, saya dapat sesuatu daripada ni.” Sambung Anis yang sudah tersenyum kecil. Mujur kopi yang pahit itu tidak mematikan senyuman untuk berkuntum di wajah.
“Apa?”
“Pahit dan manis, disekalikan dalam satu hidangan. Sebab Anas tahu, hidup ni harus seimbang. Kalau manis sentiasa, kita akan selesa. Adanya pahit, buat kita berjaga-jaga dan tak terlalu leka… this is life.”
Fairuz tersenyum. “Awak memang dah dididik oleh Iman agaknya…” komen pendek diberikan. Mungkin Anis cuma harus didedahkan dengan segala perkara tentang diri Iman Anas. Mungkin dengan itu, Anis akan lebih memahami apa yang Iman Anas cuba sampaikan melalui setiap perkara. Itu saja… tak susah.
“Lepas ni kita pergi mana?” soal Anis dengan teruja. Sarapan ringkas yang dipesan oleh Fairuz itu seakan membangkitkan semangatnya. Dia sudah tidak sabar untuk belajar tentang Iman Anas. Semuanya tentang Iman Anas.
“Mungkin kita kena masuk kandang Anita.”
Mendengarkan nama itu, mati senyuman Anis. “Dia pun termasuk dalam aktiviti hari ni ke?” soal Anis ragu.
Fairuz tergelak. Pucat sungguh wajah Anis dikala ini. “Itu paling wajib. Kekasih Iman kot… awak kena tackle dia, baru boleh dapat Iman.”
Anis terus menayangkan wajah kurang yakinnya. Tidak pula dia menyangka, untuk dapatkan Iman Anas… dia harus tackle Anita. Ini parah!

SEDANG dia bersantai sambil membelek majalah Wildlife, telefon bimbit di atas meja kopi berkelip-kelip. Ini mesti mesej daripada Fairuz. Makhluk yang seorang itu memang tidak akan senang bekerja kalau dia bercuti kerja.
Dan Iman Anas hanya tersenyum bangga apabila tekaannya mengena. Tetapi tidak begitu lama, senyuman itu mati dan berganti dengan kerutan di dahi pula. MMS yang diterima hanya membuatkan jantung berdetak dengan lajunya. Permainan apa pula Fairuz ini cuba lakukan?
Melihat Anis yang ketakutan meletakkan tangan pada badan Anita. Darah Iman Anas seakan mendidih. Tangannya sudah laju mendail nombor Fairuz.
“Apa yang kau tengah buat?” marah Iman Anas.
“Tengah ajar Anis berkenalan dengan kaulah!”
“Tapi dengan Anita… kenapa?” marahnya lagi.
Tawa Fairuz hanya membakar hati. “Biarlah… Anita tu bestfriend kau. Anis patut tahu tu. Lagipun, kau nak risau apa. Aku ada. Bukan tak ada supervision.
“Anis tu takut dengan Anita… kalau Anita baham dia macam mana?” disuarakan kerisauan itu laju. Fairuz ini suka sangat buat main dengan perkara sebegitu. Bukan Iman Anas tidak ingat, bagaimana gemuruhnya Anis ketika pertama kali dikenalkan dengan Anita. Singa betina itu pula, banyak juga songehnya. Harus ambil masa yang lama untuk bermesra.
“Eh, hari tu, kau jugak yang cakap… nak bagi dia kena baham dengan Anita.” Perli Fairuz. Dan lelaki itu ketawa menyindir. Iman Anas menahan rasa hati yang semakin panas.
“Bengong… takkan aku betul-betul nak bagi Anita baham dia.” Tekan Iman Anas dengan rasa geram. Dahinya sudah berpeluh-peluh. “Anis mana?” soalnya.
“Ada lagi, tengah main-main dengan Anita… eh, tangan dia macam berdarah…” suara Fairuz yang cemas menampar cuping telinga Iman Anas.
“Iman, aku letak dulu…” Talian dimatikan.
Iman Anas terkaku seketika sebelum laju mencapai kunci di atas meja. Fairuz ini memang sengaja hendak menerima penampar sulungnya!

“COMELNYA dia…” puji Anis. Seekor anak monyet yang bergayut di bahu Fairuz menarik perhatiannya. “Nama apa pulak ni? Queen Elizabeth?” Dan Anis ketawa dengan soalannya.
“Pandai awak…” Fairuz pun ikut sekali.
“Yang ni tak glamour sampai ke tahap tu. Iman aje boleh fikirkan nama sempoi macam tu. Si kecik, biasa aje. Panggil Jambu…”
“Jambu?”
“Dia suka makan jambu, walaupun saya rasa pisang lebih sesuai untuk identiti seekor monyet.” Fairuz memberi jawapan dengan riak selamba. Namun jawapan yang diberi sudah membuatkan Anis ketawa.
Merah sudah wajah Anis kerana terlalu banyak ketawa. Fairuz ternyata begitu lucu orangnya. Dan sesi mengenali Iman Anas, langsung tidak membosankan. Lagipun, Iman Anas bukanlah subjek sejarah… kan.
“Apa kaitan Jambu dengan Anas?” soal Anis tidak sabar.
Fairuz menggeleng dengan senyuman. “Tak ada.”
“Kenapa?”
“Jambu ni, kesayangan saya… lagipun, takkan Iman aje sepanjang hari. Kita kena ada selingan dengan subjek yang kurang bosannya. Macam saya…” balas Fairuz selamba.
Anis tersenyum dengan gelengan. Fairuz ini ada sahaja yang mencuit hatinya. Melihat lelaki itu seakan leka melayan Jambu, Anis merenung dalam diam. Fairuz, seorang lelaki yang sangat peramah, tidak lokek dengan lawak selambanya dan paling penting, sangat berbudi bahasa.
“Awak dah kahwin?” soal Anis spontan. Soalan yang terlintas di fikiran.
Fairuz kelihatan tergamam dengan soalan itu. Wajah Anis yang begitu teruja menanti jawapan dipandang sebelum pandangan itu jatuh pada Iman Anas yang sudah berpeluk tubuh sambil bersandar di tiang. Merenung ke arah dirinya dan Anis dengan pandangan yang tajam sekali.
Bro, aku tak mengurat tunang kau. Bisiknya melalui pandangan. Harap Iman Anas fahamlah telepati yang cuba disampaikan.
Dan Anis yang masih belum menyedari kehadiran Iman Anas terus mengulang soal itu kepada Fairuz. “Jawablah… dah kahwin ke?” soalnya tidak sabar. “Kalau dah kahwin melepaslah saya…” sambungnya dengan riak kecewa.
Fairuz benar-benar tergamam sehingga tidak mampu untuk bersuara. Tidak disangka, soalan itu akan diterima jawapan yang sedemikian rupa. Dan rupa Iman Anas pula… aduh, tak perlu dicerita. Lebih menggerunkan daripada Anita ketika mengaum kelaparan.

July 08, 2013

Tidak ku sangka 11



“ANIS datang tadi.” Beritahu Puan Rohani. Wajahnya muram. Tiada seri. Risau kembali bertandang di hati.
“Iman bawa dia ke mana masa keluar hari tu?” soal Puan Rohani. Kerisauan yang menggamit diri sejak langkah Anis meninggalkan rumah ini tidak reda lagi. Kesugulan di wajah Anis hanya mengendurkan semangatnya untuk melihat Iman Anas berkahwin seperti yang direncanakan.
Qaiser mendiamkan diri, memasang telinga. Wajah Iman Anas dipandangnya. Tenang sahaja wajah itu. Mungkin masalah tidak besar mana, tetapi emak yang sudah berasa gelisah. Qaiser mengandaikan sendiri.
“Kenapa mak?” Iman membuka mulut menyoal.
“Dia suruh mak pulangkan ni pada Iman… dia macam tak nak teruskan.”
Luluh jiwa Puan Rohani. Ditahan rasa sebaknya. Kotak yang diberikan oleh Anis tadi, diserahkan kepada Iman Anas.
Iman menyambut kotak yang dihulurkan itu dengan penuh tanda tanya. Itu adalah salah satu kotak yang diberikan kepada Anis semasa pertunangan mereka.
“Apa maksud semua ni, Iman?” soal Puan Rohani sebak. Pulangnya Anis dari rumah mereka, Puan Rohani menerima panggilan daripada Puan Amina. Suara wanita itu juga serak. Sebak menghantui diri mereka. Masing-masing tidak tahu apa yang terjadi antara Iman Anas dan Anis sehingga menyebabkan gadis itu hendak memutuskan tali pertunangan.
Iman Anas memandang wajah emaknya dengan rasa keliru. Dia tidak tahu!
Matanya beralih pada Qaiser. Cuba memohon pandangan. Tetapi hampa. Qaiser juga menggeleng tanda tidak mengerti.
Qaiser juga terkejut untuk melihat semua ini. Dan wajah Iman Anas dipandang lagi. Terukir satu riak yang menghantar rasa hiba di hati seorang adik ini. Iman Anas terasa hampa. Jelas wajah itu menunjukkan kesedihan nyata. Qaiser tidak menyangka, Anis akan mengambil keputusan sedemikian rupa.
“Iman tak tahu apa-apa mak… Anis tak ada cakap apa pun dekat Iman…” balas Iman separuh gugup. Jantungnya mula berdetak laju. Jelas, dia tidak mampu menghadam apa yang terjadi ini.
Tidak tahu di mana salahnya. Apa salahnya? Soalnya dalam hati. Bukankah Anis pernah menyatakan bahawa Anis berkenan dengan dirinya tanpa sebarang paksaan?
“Iman bawa Anis pergi mana hari tu? Iman tak jawab soalan mak?” soal Puan Rohani sekali lagi. Dia mahukan jawapan kerana hati tuanya merasakan ia pasti ada kaitannya dengan itu.
“Iman bawa dia untuk kenal dengan kehidupan Iman.” Perlahan dan lemah ayat yang dituturkan oleh Iman Anas.
“Dan Iman tahukan apa yang mak risaukan sangat pasal Iman?”
Sebaik sahaja Puan Rohani menyudahkan soalan itu, Qaiser sudah bangun memeluk erat bahu emaknya. Dia tidak mahu emaknya menuturkan jawapan untuk soalan itu.
Cukup hatinya terseksa melihat riak terluka di wajah Iman Anas dengan soalan Puan Rohani pada ketika itu. Cukuplah setakat ini luka yang diberikan kepada abangnya. Biarpun Iman Anas pelik, Qaiser tetap percaya ada sebahagian daripada Iman Anas yang tidak dapat digapai oleh mereka. Ia sangat jauh…
Tanpa kata, Iman Anas sudah berlalu meninggalkan Puan Rohani dan Qaiser.
Bunyi enjin yang menderu mengejutkan isi rumah. Dan Qaiser pula mempamerkan riak kecewa di wajah. “Kenapa mak cakap macam tu dengan Iman?”
“Mak tak sengaja…” Puan Rohani terus melepaskan tangisannya.
“Mak takut…” sambung Puan Rohani lagi.
Qaiser mengeluh. Wajah terluka Iman Anas. Wajah kesedihan Puan Rohani. Semuanya menghadiahkan duka. Mencarikkan luka.

KERETA dipandu laju. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Sakit dengan kenyataan yang dilemparkan kepada dirinya. Sakit dengan semua orang yang seakan tidak dapat membaca apa yang cuba disampaikan melalui tingkahnya. Dia tidak seteruk itu!
Iman Anas menjerit sekuat hati. Di dalam kereta bergema suaranya.
Lelah dengan keadaan itu, keretanya dibrek di sebuah stesen minyak berdekatan. Kereta diparkir dan dia sudah bersandar lemah. Terasa melurut jatuh bahunya. Semua ini tidak langsung disangka akan berlaku dalam sesaat yang tidak pernah dijangka.
Kotak yang diberikan oleh emak tadi dipandang sepi. Entah kenapa diusung benda itu sekali. Apabila dipandang makin terasa sakit hati. Anis…
Terasa gegaran daripada telefon bimbit. Mesej diterima dan dibaca tanpa semangat.
Baliklah… mak cakap sorry. Mak tak sengaja tadi, Iman. Aku tau, kau takkan bimbangkan mak. Aku selalu percayakan kau, Iman…
Ayat pujukan Qaiser dipandang sepi.
Mungkin benar emak tidak bermaksud. Tetapi ayat itu menunjukkan emak masih tidak yakin dengannya. Emak masih memikirkan Iman Anas akan mengikuti jejak abah dalam semua perkara. Sememangnya Iman Anas sangat menyanjungi abahnya, namun begitu dia masih waras. Masih waras akalnya!
Tetapi percayakah emaknya akan hal itu?
‘Iman waras mak… selagi dikurniakan akal yang sihat, Iman takkan buat perkara yang mak bimbangkan tu. Takkan mak…’ bisik hatinya dengan rasa sendu.
Menitis air mata Iman Anas di malam yang hening. Bunyi azan yang kuat menyentakkan gegendang telinga seakan menerbangkan seluruh kecewa yang bersawang dalam hati. Biarlah jika tiada sesiapa pun yang memahami isi hati. Dia masih punya Allah untuk diluahkan segala resah ini.
Dipandu kereta mencari masjid yang kelihatan dari stesen minyak itu. Hendak menunaikan kewajipan waktu Isyak yang sudah memanggil hamba Allah bersujud kembali.

TERJAGA Iman Anas daripada lena yang panjang. Lena yang tidak nyenyak. Deringan telefon asyik menganggu waktu amannya. Malas hendak dimatikan, lantas dibiarkan deringan itu. Tidak tahan dengan bunyi yang tidak mahu berhenti itu, dicapai juga dan dilekapkan pada telinga.
“Anas…”
Suara itu pula yang menyapa.
“Anas… ada dekat mana?” soal Anis risau.
“Awak nak apa?” soal Iman Anas tanpa nada. “Bukan nak putus ke?” sambung Iman Anas lagi. Rasa kecewa itu makin menampar hati.
“Jawablah soalan saya… awak dekat mana?” soal Anis. Bertegas.
“Saya ada dekat mana-mana. Bumi Allah ni luas… kalau ada satu tempat yang orang tak boleh terima diri saya, banyak lagi tempat yang saya boleh pergi. Yang penting, saya takkan kacau sesiapa… cukuplah saya dan kehidupan saya.” Balas Iman Anas dingin.
“Anas… saya minta maaf.”
“Tak perlu… saya bukan manusia sempurna. Ada cacat cela di mana saja. Awak boleh cari yang lebih baik!” Iman Anas makin mendingin. Membekukan setiap patah Anis dengan kedinginan luar biasa.
“Kenapa nak cari lain? Saya cari awak kan?” Soalan Anis itu membuatkan Iman Anas ketawa menyindir.
“Apa yang awak nak ni, Anis?” Iman Anas menyoal dengan rasa malas. Sempat dikerling pada jam dashboard yang menunjukkan sudah jam lima suku. Gelap suasana di sekeliling. Dia tertidur dalam kereta selepas bertafakur seketika di masjid semalam.
“Saya nak minta maaf… saya tak patut fikir macam tu tentang awak. Saya tersalah cakap dekat mak… saya minta maaf.”
“Saya maafkan. Assalamualaikum.”
Iman Anas terus mematikan telefon. Tidak mahu terus mendengar suara Anis di pagi hari ini. Makin terjerut hatinya. Orang-orang yang cuba disayanginya hanya menghadiahkan rasa kecewa padanya.
Telefon di tangan dipandang sepi. Hati tidak mahu pulang lagi. Dan… kata-kata Anis menganggu mindanya. Apa yang gadis itu fikirkan tentang dirinya? Adakah sama seperti apa yang dirisaukan oleh Puan Rohani tentang dirinya?
Kotak yang tidak dilihat isinya sejak semalam dicapai. Buka sahaja kotak itu, makin remuk hati Iman Anas. Poskad yang pernah diberikan kepada Anis, sudah hilang rupanya.
Kecewa yang cuba dipulihkan, hanya makin bertimpa. Iman Anas langsung tidak menyangka, begini jadinya.

ANIS memegang dahinya yang tidak berhenti berdenyut dari tadi. Encik Bohari di hadapannya. Puan Amina di sisinya. Wajah kedua insan itu ditenungnya. Dia tahu ada salah faham besar yang terjadi di sini. Salah faham yang ada sumbangan beberapa peratus daripada dirinya.
“Anis cakap apa ni?” Puan Amina seperti hendak marah.
“Sabar… bincang elok-elok.” Encik Bohari mencelah.
“Anis cakap biasa aje mak… mak yang salah faham!” Anis tegas dengan hujahnya. Bukan salah dia kalau emak yang terburu-buru menelefon Puan Rohani memaklumkan tentang putus tunang. Dia tidak memikirkan tentang itu langsung.
“Anis tak ada sebut pun pasal putus tunang… mak yang salah faham!” sambung Anis lagi. Dia percaya, bukan seratus peratus kesalahan itu daripada dirinya.
Namun senyuman sinis daripada Puan Amina seakan menidakkan katanya itu.
“Anis tak sebut?” soal Puan Amina kecewa. Dia sendiri mendengar ayat itu dituturkan oleh Anis tempoh hari. Pulangnya anak itu dengan wajah yang sedih dan sembab. Sudahnya dihangatkan lagi jiwa tuanya dengan sepotong ayat yang memarakkan kerisauan dalam jiwa.
“Anis rasa macam nak putus.”
Disebut ayat itu semula buat pendengaran Anis.
Dan Anis dihadapannya makin gelisah.
“Anis tak maksudkan macam tu…” Anis meraup wajahnya kembali.
Rasa hendak putus itu ditimbulkan atas sebab kesalahan dirinya. Kelemahan dirinya yang tidak mampu hendak memahami Iman Anas. Dia bimbang dia akan melukakan Iman Anas dengan andaian-andaian kurang waras itu. Kerana itu juga dia berkunjung ke rumah Puan Rohani atas alasan hendak berjumpa dengan Iman Anas.
Tidak sengaja, bibirnya tersuarakan kebimbangan yang bermaharajalela. Salahnya… Andai sahaja dia tidak terburu-buru untuk ke rumah itu! Tetapi emak juga tidak wajar menelefon Puan Rohani dengan terburu-buru. Anis menyuarakan rasa itu sekadar dalam hati. Untuk menuturkan terus, dia tidak betah.
“Sekarang ni macam mana?” soal Puan Amina resah. Wajah Encik Bohari di sebelah digamit melalui pandangan.
Puan Rohani sudah maklumkan bahawa Iman Anas tidak pulang sejak semalam lagi. Panggilan daripada sesiapa pun sudah tidak dapat disambungkan kerana talian tiada dalam perkhidmatan.
“Kalau tanya abang… biarlah Iman menyendiri sekejap. Kita jangan serabutkan kepala dia, mungkin dia terkejut. Dan Anis pun, dengar nasihat abah ni, lain kali dalam hal apa pun, bawa berunding dulu. Jangan nak terburu-buru!” Tegas Encik Bohari. Sekadar memberi peringatan agar perkara sebegitu tidak berulang lagi.
Anis tertunduk menekur kaki sendiri. Kata-kata itu dipahat kukuh dalam ingatan. Dan Iman Anas terus berlayar dalam fikiran. Entah ke mana sahaja perginya dia…

AWAL pagi, dia sudah sampai di sini. Semua kerja tidak dapat dibuat. Terasa serabut kepala. Memikirkan masalah yang bermula daripada diri-sendiri. Bencinya dia dengan keadaan ini.
Dari jauh juga dia sudah nampak susuk tubuh yang dicari. Tidak menunggu, langkahnya sudah diatur mendekati. Melihat raut wajah yang muram itu dari sisi, hatinya terasa sakit. Salah dia juga. Kenapa dia terlalu terburu-buru. Anis tidak pernah begitu, tetapi kali ini dia sendiri tidak mengerti.
Perbualannya malam tadi dengan Qaiser masih segar. Rasa bersalah semakin berkembang bagai bunga yang tidak mahu kuncup.
“Kak Anis tak patut fikirkan macam tu pasal Iman. Kenapa tak tanya saya dulu sebelum cakap dengan mak? Jujur… saya rasa sedih sangat bila tengok Iman macam ni. Sepelik-pelik Iman sebelum ni, belum pernah dia tak balik rumah.”
Qaiser juga bernada dingin dengannya. Semua kerana salahnya.
Kini jaraknya hanya selangkah daripada Iman Anas. Terasa gugup. Bila dah buat salah, memang hati tidak akan tenang sentiasa. Belum sempat Anis bersuara, Iman Anas sudah berpaling menghadapnya. Tidak tertelan liur Anis dengan renungan tajam penuh rasa dingin itu.
“Awak tersesat ke sampai ke sini?”
Dinginnya begitu jelas dipamerkan.
Satu soalan yang dituju kepada Anis. Tanpa menunggu jawapan pun, Iman Anas sudah berlalu meninggalkan Anis sendiri.
Panjang juga langkah Anis mengekor. Nama Iman Anas dilaung. Sekali lagi dapat dilihat wajah Iman Anas berubah mendadak.
“Jangan panggil saya Anas… saya tak suka! Awak pekak? Atau awak tak faham bahasa?” Kasar Iman Anas menyoal.
Tersentak Anis dengan jerkahan itu. Jantung yang sememangnya berdegup kencang sejak tadi makin menambahkan kelajuannya. Ada bisikan hati yang menyuruhnya pergi. Namun ada separuh lagi yang terus memarakkan semangat diri.
“Anas…” Sekali lagi Anis mencuba.
“Kalau ada yang rasa nak kena baham dengan Anita, awak boleh terus laung nama tu sebanyak yang awak suka!” Ugut Iman Anas.
Wajah Anis terus berubah. Pucat tidak berdarah. Memikirkan Anita, si singa betina itu… kecut perutnya. Tengok anjing menyalak pun, dia boleh berlari dengan sekuat hati. Inikan pula dengan singa… jangan dibuat main!

________________
Esok tak ada entry Anis dan Anas, makanya... ia akan di upload pada 1 Ramadhan. InsyaAllah. Jangan stressssss...  Selamat menjalani ibadah puasa dan bertarawih. :)