Advs

Followers

November 19, 2012

Minat berkarya?

Kepada rakan pembaca saya yang minat menulis dan mungkin ada di antara anda yang sudah menulis. Di sini, ingin saya promosikan kepada anda yang berminat dengan penulisan untuk menghantar karya kepada ANA MUSLIM. :)

Kak Siti Aznor, editor Ana Muslim ada contact saya tadi... dan beliau juga minta saya sebarkan ini kepada semua. Jika sesiapa berminat untuk menulis karya bagi pembaca kategori umur remaja (15 tahun ke atas), ciri karya: mengandungi mesej islamik, dan minimum patah perkataan ialah 23000 patah perkataan sehingga 28000 patah perkataan. Anda boleh menghantar proposal iaitu sinopsis ringkas mengenai cerita yang ingin dikarang. Jika diterima, boleh diteruskan ke peringkat penulisan manuskrip. Berminat?

Apa kata mencuba? Mungkin ada rezeki di sini :)
Selamat ya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi : 012-9030046 / 03-41069119 (Siti Aznor- Editor)
e-mail: aznor@blue-t.com.my

any question @ benda nak bagi clear, boleh tanya dekat saya di sini. Apa yang boleh dibantu, In sha Allah, saya akan cuba. :)

November 12, 2012

Cerpen: Suka awak. Sayang awak [End]



AKU terpaksa menikus sejak tadi apabila suara emak berdentum-dentum di ruang tamu ini. Atas arahan cumpolsary aku terpaksa balik kampung. Emak marah bersungguh-sungguh sambil menyindir perangai aku yang tidak senonoh itu. Aku malas hendak menyampuk sebab aku sedar, memang salah aku pun. Mana mungkin ada manusia yang tidak reti jaga adab sopan seperti yang aku dah lakukan depan emak Mawardi. Memang memalukan lagi mendukacitakan.
            “Awatlah hang jadi macam tu Wawa? Malu mak bila dapat kawan hang telefon cakap macam tu. Hang ni, langsung tak dak rasa malu ka?” mata emak berhenti tepat di wajah aku.
            “Malu.” Pendek sahaja jawapan yang aku beri.
            “Tau malu… tapi awat yang buat perangai lagu tu?” emak soal lagi. Kuat. Sampai aku ternampak kepala Acik Jannah terjenguk mengintai dari jendela rumah. Busybody sungguh!
            “Mak macam tak kenal Wawa… Wawa kan kalau dah lapaq memang cepat lupa diri sikit.”
            “Tu bukannya lupa diri sikit. Memang lupa diri terus. Malu mak bila dapat tau, anak mak boleh kena reject on the spot!
            Mata aku membulat. Emak terus menjengil.
            “Apa? Hang ingat aku tak reti cakap bahasa Inggeris? Inggeris aku lagi power pada hang tau!” sambung emak. Aku diam kembali. Aku tahu syarahan hari ini akan selesai selewat yang mungkin. Mujur esok dan lusa, aku cuti. Memang sengaja aku apply cuti untuk memudahkan waktu berkuliah dengan emak.
            “Sekarang ni, mak nak tanya… Wawa ni suka dekat siapa sebenarnya?”
            Sekali lagi mata aku membulat. Berapa ramai orang yang aku suka? Setahu aku, Mawardi seorang sahaja. Ada yang lain ke?
            “Tak payahlah duk buat muka terkejut macam tu. Mak tanya elok ni…” suara emak menurun. Emak pun dah datang duduk sebelah aku. “Jawab dengan jujur dan ikhlas, Wawa suka dengan siapa sebenarnya? Mak ingatkan hang dengan Johan selama ni. Tiba-tiba muncul pulak Wardi yang mak tak pernah kenal pun…” emak teruskan berkata-kata. Namun minda aku seakan tidak mampu mencerna. Ia seakan terhenti di saat emak menyebut nama Johan. Johan???
            “Kenapa mak kata Wawa dengan Johan?”
            Emak menjeling tajam. Aku salah cakapkah?
            “Hampa ni dah kawan berapa lama?” soal emak serius.
            Aku menelan liur. “Lama tu… lama jugaklah, sejak Wawa kerja kat Penang tu.”
            “Dah tu… tak ada cakap-cakap pasal hal ni?”
            Emak tengah bercakap tentang hal apa? Aku kurang jelas pula. Tapi emak masih menjeling tajam sehingga bibir aku terasa berat untuk bertanya. Hal apa ya?
            “Johan tak cakap dengan hang ka, Wawa?” suara emak meninggi.
            Aku menelan liur lagi. Apa bendalah yang Johan dah cakap dengan emak aku? Dan kenapa aku boleh tak tahu tentang perkara itu?
            Emak menggelengkan kepala. “Mak tak fahamlah dengan hampa ni. Budak-budak zaman sekarang ni memang suka buat bagi jadi life complicated.”
            Dan aku terdiam. Complicated? Dari segi mana itu komplikasi dalam hal ini? Otak aku dah mula tersekat.

TELEFON yang berbunyi dari petang tadi, aku pandang sahaja tanpa perasan. Hilang sudah mood aku. Rasa macam tak nak balik ke Penang terus. Jadi pembantu bisnes emak dekat kampung ni lagi bagus.
            Telefon berbunyi lagi. Bingit kepala. Panjang tangan aku mencapai dan menekan butang reject call. Puas hati. Laju juga aku menaip pesanan ringkas, biar dia tahu yang aku marah. Sangat marah.
            Aku tak pernah tahu yang hang ni, kawan makan kawan. Putus kawan! –Wawa-
            Dah macam budak-budak sangat mesej yang aku hantar. Tapi, itu yang terdetik dalam hati. Rasa macam nak menangis pula bila difikirkan apa yang terjadi ini. Aku terus menyembamkan muka ke atas bantal. Ketika itu telefon berbunyi lagi. Pesanan ringkas masuk.
            Tak kisah putus kawan… -Johan-
            Membulat mata aku. Bodoh punya Johan. Nampak sangat tak pernah ikhlas berkawan dengan aku. Kalau tadi aku rasa nak menangis, sekarang ini, aku menangis betul. Berjurai-jurai pula air mata aku. Sedih sangat. Baru ingat nak matikan telefon, pesanan ringkas masuk lagi. Dengan rasa geram, aku buka juga untuk membaca.
            Putus kawan, sambung balik… boleh kan?;) –Johan-
            Dia ingat aku main-main!
            Tak boleh! –Wawa-
            Yeke? Tak boleh? Kalau macam tu aku sambung kawan dengan Amira jelah. Dia pun baru putus kawan dengan Syam Kosmo. She’s lonely right now. Sama kondisi dengan aku, jadi aku sambung kabel dekat sana jela… -Johan-
            Amira??? Amira yang suka menggedik tak tentu hala itu?
            Jangan nak menggatal okey! Kawan dengan aku cukup. Tak payah nak menggedik dengan Amira gedik tu. Pandailah dia nak cari kawan lain. –Wawa-
            Haha…tau pun takut. I sayang you la, Wawa. –Johan-
            Pesanan ringkas yang membuatkan aku mengeluh. Air mata yang masih bersisa aku lap perlahan. Johan suka sangat bermain dengan kata-kata. Sampaikan emak pun percaya dengan dia. Tapi kenapa dia cakap macam itu dengan emak?
            Emak cakap, Johan jujur. Johan ikhlas. Johan yang terbaik. Yang terbaik? Aku terus lari masuk tandas. Termuntah. Memang suatu refleks yang tidak terjangka, namun itu yang terjadi bila emak mula memuji dengan lambungan yang tinggi untuk lelaki bernama Johan!
            Malas hendak fikirkan hal itu, aku terus melelapkan mata. Biar tidur ini dapat menghilangkan segala pening kepala.

“APA jawapan Wawa?” soal emak terus sebaik sahaja sesuap nasi lemak masuk ke dalam mulut aku. Argh! Potong mood.
            “Mak… kita cakap lepas makan.” Emak mengangguk tanda faham I’m not in the mood.
            Selesai sahaja makan, emak terus soal semula. Emak ini nampak gaya, sudah tidak sabar. Aku sebenarnya, fikir pun belum. Nak bagi jawapan macam mana?
            “Mak rasa macam mana?” aku pula soal emak. Dan aku rasa, ini adalah soalan yang paling tidak selamat untuk diajukan kepada emak. Emak sudah tersenyum gaya dapat bunga.
            “Kalau emak, memang Wawa dah tahulah jawapannya. Tapi yang mak nak tau, Wawa tu. Dalam hati Wawa duk pikiaq siapa. Nak dekat siapa? Jangan main ikutkan sangat perasaan hati. Fikir dengan waras. Itu yang mak pesan, jangan suka-suka nak berkawan dengan lelaki. Ni berkawan dengan Wardi langsung tak maklum pada mak. Ikut suka hati dia ja pergi jumpa so called bakal mak mentua.”
            Amboi emak! Perli aku tak agak.
            “Mak pun sama jugak macam Wawa. Langsung tak maklum bila jumpa dengan so called besan depa.”
            “Mak tak cakaplah, mak ingat hang tau. Nampak elok ja duk berkawan dengan Johan. Mak telefon pun, mulut hang tak pernah tak bercerita pasal Johan. Johan marah la. Johan merajuk la. Johan sakit la. Semua pun hang bagi tau dekat mak. Pernah dak hang cerita pasal Wardi dengan mak? Mananya mak takkan salah faham kalau macam tu…” emak mengeluh.
            Oh my! Kiranya semua ini disebabkan salah aku. Salah aku yang bersikap terlalu dungu. Dungukah aku sampai terlupa nak bercerita tentang Mawardi pada emak? Kenapa aku tak pernah bercerita? Sebab aku takut emak tak percaya. Tapi disebabkan itu, terjadi masalah lain pula. Emak dengan senang-lenangnya sudah bersetuju dengan pinangan emak Johan yang langsung aku tak tahu. Johan itu pun satu, tak pernah nak cakap pun dengan aku.
            “Wawa dengan Johan, kawan baik la mak. Mak pun dah kenal dia, sebab tu yang Wawa rajin cerita.” Aku cuba untuk berhujah. Tapi emak sudah memotong.
            “Kawan baik? Kalau dia tak sayang hang, Wawa… dia takkan suruh emak, ayah dia mai minta izin mak untuk berkawan dengan hang.”
            “Minta izin berkawan ja. Bukan berkahwin…” balasku selamba. Satu ketukan terus singgah di kepala. Aduh!
            “Berkawan lepas tu nak ajak kahwin la! Awatlah hang ni…” emak sudah mengetap bibir. Tapi aku masih dengan niat hendak melawan.
            “Itu sebab mak Johan belum kenal perangai Wawa… kalau mak dia tengok, mesti jadi macam mak Wardi jugak. Reject on the spot.” Balasku bangga. Macam dah suka pula bila kena reject.
            Emak tersenyum memerli. “Hang ingat dak mak cik yang mai duk bersembang dengan hang masa kenduri Jasmin? Yang hang duk puji-puji kata lawa…”
            Aku ternganga. Jangan cakap itu mak Johan. Alamak! Memalukan dan mengharukan. Depan mak cik itu aku sudah mempamerkan segala perangai ‘buruk’ aku.
            “Mak… mak Johan cakap apa mak?” aku sudah tidak sabar untuk mendengar komen pula. Terasa berdebar. Sebabnya emak Johan asyik tersenyum aje sepanjang duduk bersama dengan aku. Entah apalah yang disumpahnya tentang aku dalam hati. Ya Allah. Insaflah kau Wawa… sudah dua kali memalukan diri depan mak cik yang boleh dipanggil sebagai mak mentua.
            Emak tersenyum lebar. “Mak dia kata… bertuah orang yang bermenantukan Wawa.”
            Aku mengetap bibir. Malu. Itu pujian menyindir namanya. Takkan emak tak perasan semua itu?
            “Mak dia kata lagi... mana nak dapat menantu yang sayang gila dekat anak dia yang perangai macam-macam jugak.”
            Aku terdiam seketika. Macam mana emak Johan boleh jump into that kind of conclusion? Kepala aku sudah mula terasa gatal. Aku berfikir lagi, selain daripada aku makan berdiri, bercakap macam nak tersembur dan basuh pinggan macam nak retak, dalam masa yang sama depan emak Johan, apa lagi benda memalukan yang aku buat?
Oh ya, macam terlupa. Aku sedang asyik layan mesej daripada Johan, sampai tercerita dengan emak dia pasal best friend aku yang seorang tu. Aku memang begitu, dengan orang yang tak kenal pun aku boleh jadi ramah-tamah terlebih perisa. Sampaikan aku terpuji-puji Johan depan emak dia sendiri walaupun perangai Johan itu lebih banyak menyakitkan hati. Manalah orang tua tak fikir yang aku sayang anak dia. Tapi iya ke aku sayang Johan?
“Dan bila mak dengan ayah Johan mai nak meminang hang, mak apalagi, memang say yes terus la. Sebab mak tau, tak ada orang lain dah yang nak menantu macam hang. Dan memang tekaan mak tu mengena. Mak Wardi pun dah reject hang, sekali jumpa.” Tambah emak menjerukkan rasa hati aku.
Teringatkan Mawardi, aku jadi sedih kembali. “Wardi cakap mak boleh pujuk emak dia.” Aku cuba ingatkan emak. Tapi emak menggeleng. Bahu aku mula jatuh, tidak bersemangat. Takkan aku kena setuju dengan Johan?
“Kalau iya pun mak boleh pujuk mak Wardi tu, hang ingat sama ka? Mak dia mungkin terima sebab anak dia dah suka, tapi untuk mak dia nak buang persepsi pasal Wawa, hang ingat senang ka? Mak tak maulah anak mak jadi menantu yang mentua tak suka… walaupun perangai hang memang payah nak buat orang suka.” Emak dengan bangganya mengutuk aku lagi.
“Wawa nak kahwin dengan Wardi aje. Bukannya nak kahwin dengan mak dia.” Aku menjawab lagi.
Emak pandang aku dengan tajam. Seakan hendak memberikan kefahaman kepada otak aku yang degil ini.
“Wawa… anak mak… yang paling mak sayang…” emak sebut dengan penuh lemah lembutnya, sampaikan lemah lutut aku. “Wawa faham dak konsep berkahwin ni? Berkahwin bukan kena ambil kira suka antara pasangan tu ja, tapi kena kira apa yang mak dan ayah dia rasa sama. Kita kahwin satu keluarga… bukannya dengan pasangannya ja. Esok-esok dah kahwin, kalau ada orang yang tak suka… banyak masalah, Wawa.”
Aku terdiam. Habis, kalau hendak difikirkan suka semua orang, sampai ke sudah aku membujang nampaknya.
Terasa pelukan erat di bahu. Emak sudah rapat disisi aku. Mata aku terus bergenang. Sedih hendak memikirkan siapa yang aku suka dan siapa yang aku sayang. Sedih juga mengenangkan siapa yang suka aku dan siapa yang sayang aku.
“Mak takkan halang kalau mak yakin Wawa akan bahagia dengan Wardi. Tapi mak tak nak Wawa tersilap langkah… pilih yang betul-betul hargai diri Wawa… masa Wawa cantik pun dia nampak Wawa. Masa Wawa buruk pun, dia nampak juga Wawa…” dan aku terus memeluk emak. Berdrama sebabak di pagi Sabtu yang indah.

PUAS berfikir. Aku tahu rasa hati aku ini untuk Mawardi. Aku memang sayangkan dia. Tapi macam yang emak cakap, jangan fikirkan dua hati sahaja. Ada banyak lagi hati yang perlu diambil kira. Maka, aku tidak boleh terburu-buru untuk buat keputusan. Tambahan pula, aku secara tidak rasminya sudah menjadi tunang orang. Sakit kepala!
            Telefon bimbit atas meja kopi aku capai. Terasa nak cakap dengan Dahlia walaupun aku tidaklah mesra sangat dengan dia. Telefon berdering dan suara Dahlia menyambut.
            “Aku ni…” langsung tak adab bercakap. Sampai aku tersedak bila Dahlia tegur aku suruh bagi salam. Memang payah nak insaf. Macam manalah emak Johan boleh berkenan dengan aku. Mesti something wrong somewhere ni.
            “Lia…”
           “Awat Wawa… hang ni tak pernah-pernah nak telefon aku. Ni ada masalah apa?” lembut sangat suara Dahlia. Oh, how do I wish… aku boleh jadi selembut Dahlia. Silap emak bagi nama Wardah dekat aku, memang mawar berduri sungguh!
            “Masalah cinta.”
            Dahlia ketawa. Tapi dengarnya macam irama, lembut dan mengasyikkan. Aku jadi jakun pula. Macam kali pertama dengar perempuan ketawa dengan lemah lembutnya. Baru aku sedar kenapa emak sangat berbangga dengan dia. Biarpun tak pandai dan tak lawa, macam aku… ehem! Tapi dia sangatlah menyejukkan hati orang tua dari segala aspek yang lain.
            “Masalah apa sayang?” sangat terasa kasih sayang dengan perkataan yang dituturkannya. Aku pun cuba bercerita dengan kasih sayang yang melimpah ruah kepada seorang kakak. Walaupun nampak seakan tidak menjadi dengan percubaan pertama, tapi aku hendak terus mencuba.
            “Apa kata… Wawa test dua orang tu.”
            “Test?” sudah blur pula aku.
            “Iya, test… nak tengok mana yang asli, mana yang palsu,” sahut Dahlia. Dan aku terasa ayatnya tersenyum pada aku.
            “Contoh test?” Semua benda pun aku nak bertanya pada dia. Seronok juga rupanya bersembang dengan kakak. Mana aku nak tahu seronok atau tidak, tak pernah aku nak bersembang dengan dia melainkan kalau balik rumah.
            “Wawa buat macam yang aku cakap ni. InsyaAllah, nanti hang nilai ikut jawapan yang depa bagi. Kalau susah juga nak buat keputusan lagi, share dengan aku… paling penting, jangan lupa minta permudah urusan dengan Allah. Okey sayang?”
            “Okey Lia.” Aku tersenyum lega.
            Tanpa menunggu lama, aku kirimkan pesanan ringkas seperti yang dicadangkan oleh Dahlia. Satu pesanan yang sama kepada dua orang yang berbeza. Berdebar-debar aku menantikan jawapannya. Sementara menunggu, azan sudah berkumandang. Aku terus bangun hendak bersolat. Emak yang sedang bergosip panas dekat rumah Acik Jannah aku laung kuat, panggil balik solat.

BEBERAPA bulan lepas, hatiku terasa kecamuk tidak menentu. Sekarang, aku rasa boleh tarik nafas dan lepas dengan lancarnya. Alhamdulillah. Tanganku sudah mula mengemas meja pejabat yang bakal ditinggalkan beberapa hari lagi. Macam tak percaya, aku akan melangkah keluar daripada negeri Pulau Mutiara ini.
            “Dah pergi tempat orang tu, jangan lupa kami dekat sini.” Lili bersuara sedih. Aku tersenyum nipis.
            “Iyalah, takkan mungkin kulupa.”
            “Souvenir bulanan… tu penting.” Nisa pula menyampuk dari belakang.
            “Hang ingat aku ada mesin cetak duit peribadi ke?” aku sudah mencekak pinggang. Masing-masing duk order barang gaya seperti aku ini telah dinobatkan menjadi jutawan pula.
            “Alah… susah apa. Laki hang kan ada…” serentak mereka berdua berkata. Terjungkit kening aku.
            So?” Aku tak nampak kepentingan laki aku dekat sini?
            “Wawa semenjak dah berlaki ni, makin kedekut pula.” Songeh Lili. Aku sengih terus. Mana ada aku kedekut. Jika dibandingkan dari dulu, pemurah lagi sekarang.
            “Iyalah, aku cuba dapatkan mana yang boleh.”
            “Dah kemas?” satu suara bertanya dari belakang. Aku tersenyum mengangguk. Rajin dia datang teman aku dekat pejabat ini semata-mata hendak mengangkut barang yang tidak begitu banyak.
            “Amboi cik abang… tak sampai setengah jam isteri dia dalam ofis ni, dia dah tak senang duduk dalam kereta tu. Biarlah Wawa sekejap dekat sini, malam nanti mailah ambil.” Lili bersenda. Aku dan Nisa sudah ketawa melihatkan wajah itu berubah riak. Memang tidak mungkin dia hendak meninggalkan aku sekejap dekat sini. Dia yang dulunya pemurah, sekarang sudah bertambah kedekut hendak berkongsi aku dengan kawan-kawan.
            “Memang takkanlah kan…” jawabnya bersahaja sambil menarik lenganku untuk bergerak.
            “Jom, cakap nak singgah rumah mak lagi.”
            Aku terus menepuk dahi. Terlupa. Terus aku berpamit, mengucapkan selamat pada Nisa dan Lili. Tidak tahu bila pula kami hendak berjumpa lagi.
            Masuk sahaja ke dalam kereta, dia sudah tersenyum seperti biasa. “Jangan fikir nak lari daripada abang.” Ucapnya seakan mengugut. Ugutan penuh kasih, kata hatiku. Aku tersengih riang.
            “Kalau nak lari, dah lama dah Wawa buat. Tak payah tunggu berserah diri dulu.”
            “Berlagak.” Perlinya.
            “Tengoklah isteri kepada siapa.” Balasku tidak mahu mengalah. Dan tidak mungkin aku hendak mengaku kalah.
            Keputusan yang tidak pernah aku jangka, aku akan menjadi isteri kepada seorang lelaki seperti ini. Dan memang cadangan Dahlia adalah yang terbaik. Teringatkan itu, aku terasa bahagia. Betul kata emak, jangan buat keputusan dengan akal yang tidak waras. Impaknya mungkin tidak akan jadi begini akhirnya.
            “Percaya tak, Wawa pernah test abang sebelum kita kahwin?” soalku tiba-tiba.
            “Test? Test apa tu?”
            “Di situlah terletak rahsianya…” balasku berahsia.
            “Tak payah duk rahsia sangat, cepat cerita.”
            “Ingat tak… Wawa tanya, lepas kahwin benda pertama yang abang nak Wawa ubah?”
            Dia mengangguk. Aku tersenyum.
            “Abang nak Wawa ubah daripada Miss Wardah kepada Mrs abang…” aku sebut tanpa dapat menahan tawa daripada terlepas. Memang masa itu, aku tergelak berhari-hari sebab jawapan ini. Dan bila aku ceritakan pada Dahlia, dia juga merasakan sama seperti aku. Dahlia cakap, itu yang asli.
            Ada sebab kenapa Dahlia berkata begitu kerana jawapan lain yang aku peroleh, sememangnya melukakan hati aku sendiri. Seseorang yang ingin aku mengubah kebiasaan diri semata-mata untuk menyenangkan hati orang lain. Aku tersenyum pedih ketika membaca ayat itu. Maknanya aku terpaksa hidup dalam kepura-puraan demi memberikan bahagia kepada orang lain. Memang tidak salah, tetapi aku risau tidak berjaya. Tambah pula, aku ini Wawa… yang emak kata payah nak buat orang suka.
            “Wawa… awat yang diam pulak?”
            Aku menggeleng sambil memaling wajah ke sebelah. Memandang dia yang sudi menerima segala kekurangan dan kelemahan diri aku ini tanpa mengharapkan aku berubah untuk sesiapa pun.
            “Kenapa abang tak balas mesej tu dengan harapan Wawa berubah?” aku tanya juga biarpun sudah berlalu sekian bulan.
            Dia tersenyum. “Tau tak konsep terima seadanya?”
            Aku mengjungkitkan bahu.
            “Saya terima awak seadanya. Saya suka awak seadanya. Sayang awak seadanya. Bukan dengan harapan melihat awak yang lain depan saya… tapi melihat awak yang sama seperti pada mula hati saya jatuh suka dan sayang pada awak. Walaupun saya tak minta awak berubah… tapi awak dah berubah kan sekarang? Awak berubah atas kesedaran diri awak sendiri… atas rasa tanggungjawab awak sebagai seorang isteri… atas rasa kasih dan sayang awak pada saya.” Dia mengenyitkan mata di hujung kata. Aku mencebik, menyampah. Tak pernah bersaya-awak sebelum ni.
            “Dah menyampah?”
            Pandai dia meneka.
            “Suka awak. Sayang awak…” dia sebut lagi dengan nada mengusik. Aku menjeling tak suka. Macam sangat remaja dengan awak-awak tu.
            “Cakaplah, suka Wawa… sayang Wawa.” Aku pula yang meminta sengaja nak puaskan hati.
            “Awak dan Wawa tu, bunyi dah dekat sama. Ejaan aje lain.” Dalihnya.
            “Alah… pokok pangkalnya, awak tu bukan Wawa. Cepatlah sebut…” gesaku tidak sabar. Kepala sudah mula membayangkan wajahnya yang manis bila bibirnya berkata dia sayangkan aku.
            “Eh, abang hari-hari cakap tau. Wawa tu langsung tak pernah cakap.”
            Aku diam, memeluk tubuh. Tapi betul juga, hari-hari dia yang cakap. Aku mana pernah cakap. Kedekut!
            “Dalam kiraan 10, baik Wawa cakap. Kalau tak, abang mogok tak bercakap seminggu.”
            Eleh, main ugut pula. Ingat aku takut sangat.
            “Satu…” dia memulakan kiraan dengan nada yang begitu menggerunkan.
            Aku main-main dengan telefon dekat tangan. Sampai kiraan ke lima. Aku masih buat tak endah. Lapan sudah… aku berdebar, namun berusaha cover juga. Sambil otak sudah ligat berfikir, kalau dia mogok… aku hendak bercakap dengan siapa? Bahana usah ditempah. Sembilan. Aku menelan liur.
            “Sepu…” baru dia hendak menyudahkan, aku potong laju.
            “Suka Johan. Sayang Johan. I love you Johan.” Dah kelam kabut sangat, semua aku sebut. Rasa semput. Fuhhh… aku sangat suka bermain dengan risiko.
            That’s my girl.” Johan mencuit hidung aku. Dan aku menghela nafas panjang. Lega bila keputusannya aku tak perlu bermogok tak bercakap tanpa rela.
            “Wawa jangan ingat abang tak tahu apa yang Wawa tengah fikir.”
            Johan bercakap dengan nada yang sungguh sarkastik dan aku hanya mampu beralamak dalam hati. Mogok juga ke walaupun pada hakikatnya aku memang sayang dia? Tidak!
            Seakan mendengar bisikan hati aku, Johan ketawa dan bergema suaranya dalam kereta sampai ke rumah emak. Bila Johan melangkah keluar dari kereta, aku melihat langkahnya yang diatur dengan rasa gembira. Mungkin perjalanan hidup ini tidak akan sama kalau aku pilih Mawardi sebagai teman hidup kerana terlalu banyak perubahan yang didamba walaupun dia juga menyayangi aku. Bukan Mawardi tidak kecewa bila aku katakan tidak tetapi aku pasti kecewa itu beransur hilang seiring dengan waktu.

“SEBENARNYA, abang pun hairan… kenapa Wawa setuju dengan abang sedangkan sukakan Wardi?” soal Johan tiba-tiba. Aku yang sedang tersenyum lebar pada dia, terbatuk-batuk seketika. Cuba mencari jawapan rasional tanpa tergelabah.
            “Dah memang kita bertunang kan? Memang Wawa kena kahwin dengan abanglah.”
            “Itu jawapan mengelak. Tak mungkinlah you simply reject him for me…” dia soal lagi dengan cubaan mendapatkan jawapan.
            Aku diam seketika. Menyusun ayat.
            “Memang Wawa sukakan Wardi… tapi bila dia dah cakap, bila kahwin Wawa mesti ubah sekian-sekian perkara, Wawa rasa tak yakin. Kalau Wawa tak boleh nak berubah… macam mak pernah cakap dengan Wawa, mesti ada masalah lepas tu. Jadi… yang terbaiknya, abanglah.”
            “Memang abang yang terbaik pun.” Sambutnya bangga diiringi ketawa.
            Aku sudah duduk di sebelahnya. Memandang Johan yang kelihatan bahagia. “I’m happy because you are happy.
            I will always be happy if you stay forever by my side, sayang. Kan baby dah kata…” balas Johan.
            Dengar sahaja baby tu, aku jadi geli semula. Sudah diingatkan berkali-kali, tetapi Johan buat tidak peduli. Aku rasa dia hanya akan peduli, bila aku muntah betul-betul depan dia nanti.
            “Kalau muntah berisi… baby tak kisah sayang…”
            Tekak aku menjadi kembang. Janganlah disebut lagi. Johan dah standby tangan untuk menadah. Main-main nampaknya dia ini. Aku mun…
            Dan memang aku termuntah betul. Johan tergamam. Padan muka!

** Tamat **

November 04, 2012

Cerpen: Suka awak. Sayang awak [Part 2]



AKU sangat bersemangat untuk buat kerja. Aku perasan benda tu. Dan aku pun tak tahu kenapa, sekarang ni aku kurangkan secara perlahan-lahan perangai selekeh dan serabai aku. Walaupun tak bergaya sangat, tapi aku pastikan aku nampak bersih dan kemas. Johan pun selalu sangat perli sebab aku makin wangi lebih daripada biasa.
            Malam ni, aku nak keluar makan dengan Mawardi. Aduh, kembang hati! Seronok aje aku rasa sejak dia tukar kerja ke Pulau Pinang. Rasa macam penuh hidup aku ini. Happy sentiasa. Kalau hari-hari dapat pergi buat assignment dengan dia, lagi bahagia. Tapi itulah, dia selalu dihantar ke Seberang Perai. Alih-alih aku kena menghadap muka Johan jugak. Bosan!
            Bunyi telefon dah buat aku rasa happy. Cepat-cepat aku capai dan lekapkan ke telinga. Belum sempat Mawardi bersuara, aku dah potong laju.
            “Wardi, aku dah siap.”
            Senyap.
            “Hang dah keluar ke?”
            Nafas dihela.
            “Aku, Johan.”
            Klik, talian terputus.
            Aku terpinga-pinga seketika. Bukan Mawardi yang call? Kenapa aku bodoh sangat? Kenapa tak tengok dulu nombor dekat skrin tadi? Aku cepat-cepat telefon Johan semula. Risau pula kalau dia nak cover story. Aku tak kisah kalau tak dapat ikut sekali, tapi aku tak mahu bos bising pulak. Ada berita tapi tak sampai kepada pemberita. Itu memang dah kes tak ada sensitiviti untuk dapatkan berita. Memang tak payah jadi wartawanlah kalau begitu.
            “Awat Wawa?” soal Johan malas sebaik sahaja jawab panggilan aku.
            “Ingatkan ada story?” aku soal dia.
            “Jadi… aku boleh call, hanya bila ada story?”
            Aku terdiam. Alamak! Kenapa kawan aku yang seorang ini macam agak beremosi pula? Aku baru perasan, sejak Mawardi ada dekat sini, mana ada aku lepak dengan Johan macam dulu-dulu. Maknanya sudah lebih dua bulan aku abaikan kerja kebajikan dekat kawan aku ini. Sibuk sangat melayan perasaan dengan Mawardi, aku terlupa tentang Johan.
            “Bukan macam tulah…” aku sengaja meleretkan suara. Johan mengeluh lagi. “Boleh aje nak call. Nak keluar makan ke. Nak minum ke. Boleh aje…” kononnya ceria, aku tergelak sorang-sorang. Tapi Johan sepi aje dihujung talian. Rasa macam bodoh pula gelak seorang diri.
            “Tak apalah Wawa… hang sibuk. Dah ada life sendiri. Aku tak nak kacau.” Sudah macam berjauh hati pula pak cik ni.
            “Janganlah cakap tu… you are my bestfriend! BBFF!!!”
            “BBFF???”
            “Best Boy Friend Forever.” Aku tersenyum.
            “Iya ke?” suara Johan seakan sudah ceria sedikit.
            “Mestilah… eh…” tiba-tiba ada waiting call daripada Mawardi. “Johan, Wardi call… nanti aku call hang balik, okey.” Tanpa tunggu balasan daripada Johan, aku terus sambut panggilan Mawardi.
            “Hey Mawar… dah ready?”
            Aku tersenyum lebar. “Of course dah!”

MASALAH besar bila Mawardi minta aku pakai baju kurung sebab dia nak ajak pergi kenduri kahwin sepupu dia. Lagi masalah bila aku tak ada satu pun baju kurung dalam stok simpanan peribadi. Takkan aku nak cakap dekat Mawardi dengan jujurnya??? Memang taklah kan… jadi, hanya seorang ini yang aku boleh cari. Untuk selesaikan masalah yang memeningkan kepala ini.
I need your help. Urgent!!!” aku pekik kuat. Pak cik depan aku sudah mengeluh. Nampak sangat bosan dan tidak sudi.
            “Kalau tak nak tolong, tak apalah.” Balasku berjauh hati.
            “Tolong apa?” dia berespon. Aku tersengih.
            “Teman cari kain buat baju kurung.”
            Dia pandang aku dengan begitu pelik sekali. “Baju kurung? What for?
            “Adalah… nak teman atau tak?” aku buat sedih balik. Dengan Johan ajelah aku boleh minta tolong, sebab dia sorang aje faham perangai buruk aku. Taste aku macam mana. Hanya dia yang boleh tolong dalam keadaan desparate macam ini.
            “Iyalah… aku teman.” Johan mengalah.
            “Macam tulah my BBFF.” Aku tersenyum ceria. Johan menjeling, malas.
            Dan setelah sejam berpusing dalam shopping mall. Sekarang aku dan Johan tengah berdiri depan lima gulung kain yang sudah finalise untuk pilihan. Johan sengaja macam nak mendera aku, bila dia suruh aku pick one daripada lima kain ini.
            “Aku mana reti… hang la pilih. Please…” Sangat memalukan kaum perempuan jawapan yang aku bagi. Teruk betul sense memilih kain untuk dibuat baju kurung. Sebab selama ini pun, emak aje yang belikan untuk aku. Nasib sebab emak belikan, jadi adalah beberapa helai baju kurung dalam almari dekat kampung. Dekat sini, kirim salam ajelah. Tak mungkin aku nak berbaju kurung dan apa-apa yang sewaktu dengannya.
            “Boleh aku tahu tak, hang nak pakai bila?” soal Johan yang sedang membelek kain-kain ela itu.
            “Lusa.”
            “What???
            “Why???
            “Hang nak pakai lusa? And what are we doing here?” soalnya terkejut.
            “Beli kain ela la… silly.” Aku pula capai kain berwarna merah jambu di depan mata.
            “Wawa oi… nak pakai lusa, baik beli baju siap. Mana sempat orang nak jahit.”
            “Tak sempat ke?” aku macam tak percaya. Emak boleh aje jahit baju aku dalam sehari. Johan ini, nak kelentong aku tak agak-agak. Aku ini ada experience la. Anak tukang jahit okey!
            “Aku tahu hang fikir apa… mak hang lain okey. Dia jahit baju untuk family, memanglah akan sempat. Dekat Penang ni, hang ada kenai mana-mana orang ke yang boleh siapkan dengan segera?”
            Dan untuk soalan mengejut itu, aku hanya menggeleng. Tapi, takkan tak sempat?
            “Jangan duk tercegat dekat situ lagi, jom pi butik.” Johan sudah melaung kuat.
            “Tapi mahaiii…” dasar kedekut. Aku dengan tidak rela, melangkah juga mengikuti Johan.

TENGOK harga aje, aku rasa macam nak pengsan. Mana mungkin aku laburkan semahal ini untuk baju yang mungkin aku pakai bagi tempoh sejam dua sahaja? Tak masuk akal.
            “Johan… kita beli kain ela aje la… murah sikit. Sini semua mahal…” bebelku.
            “Cuba jangan buat perangai macam papa kedana. Aku tau hang banyak duit. Cuba jangan nak berkira untuk melawa. Sekali-sekala jadilah cantik sikit…” Johan pun ikut bebel. Sempat dia capai baju kurung moden warna merah jambu dan disuakan pada aku.
            “Comel…” komennya dengan senyuman. “Try this… mesti cantik.”
            “Mahal.” Aku buat muka.
            Johan mengeluh. Cermin mata hitam yang tersarung elok di wajah, terus dia tanggalkan. Aku menelan liur. Aku ini sudah masuk kategori mencari nahas. Sudahlah ajak Johan teman, lepas tu banyak sangat songeh tak masuk akal. Kalau orang lain, entah-entah dah dapat tamparan percuma.
            Mata Johan tepat memandang mata aku. Fuhhh… renungan tajam yang mengancam. Menggerunkan.
            “Pergi try sayang… baby nak tengok.”
            Eeeiii… dia buat lagi ayat yang aku geli nak dengar! Tak mahu dengar baby tu lagi, aku terus sambut baju yang dihulurkan pada aku.
            Baju yang Johan pilih ini muat elok aje dengan badan aku. Aku pun suka sebab warnanya. Wardah itu kan bunga mawar. Mawar berwarna merah jambu sememangnya sangat cantik. Aku tersenyum sendiri. Pandai aku berangan dengan jiwa sastera pula sekarang ni.
            “Wawa… aku nak tengok.” Panggil Johan. “Pakai dengan tudung ni, okey.” Sehelai tudung dihulurkan dari atas. Amboi, sempat aje dia memilih! Cepat-cepat aku sarung sebab badan dah mula rasa gatal. Mana biasa aku berbaju kurung dengan labuci dan manik. Selalu suruh emak jahit, baju kurung yang paling biasa aje.
            Aku buka pintu fitting room, Johan terus snap gambar. Dia tak cakap apa pun, cuma tersenyum.
            “Cantik abang pilih tudung… kena sangat dengan girlfriend abang. Nampak cantik.” Puji jurujual dekat sebelah. Aku rasa kembang tekak. Bila pula aku jadi girlfriend Johan???
          “Dia memang sentiasa cantik. Even pakai baju kuning, tudung hijau dan seluar merah pun dia nampak cantik.”
            Aku ternganga. Bengong punya kawan! Tak patut betul menggambarkan keterukan deria fesyen aku. “Perli nampak…” aku ketap bibir geram.
            “No sayang… baby hanya cakap benda betul. Sayang selalu nampak cantik.” Dia senyum.
            Aku menjeling menyampah bila dia masih dengan mood baby sayang dia tu.
            “So, hang nak pakai pergi mana ni?” soalnya setelah menyepi seketika. Aku rasa mood baby sayang tu sudah hilang akhirnya.
            Aku pula tersenyum ceria. “Nak pergi kenduri dengan Wardi.”
            Wajah Johan berubah riak. “Oh… okey. Cepatlah bayar… aku dah nak balik, ada kerja.”
            “Aik, bukan hang nak belanja?” aku cuba melawak.
            “Lebih proper kalau minta Wardi yang belanja.” Balasnya tanpa memandang wajah aku. Lepas tu dia mula sibuk dengan telefon bimbit dia. Macam tak hairan dengan aku dekat sebelah. Benci!

“WOW… sangat lain. Mawar nampak cantik sangat.” Ayat pertama yang mengalir dari bibir Mawardi.
            “Aku tak makan pujian. Aku makan nasi aje. Cepat sikit, dah lapar!” balasku laju. Geram sebenarnya. Dia janji nak datang ambil aku pukul berapa? Sekarang dah pukul berapa? Mati kelaparan aku semata-mata menunggu mamat bernama Mawardi ni. Tapi disebabkan dia nampak handsome dan bergaya dengan baju melayu, aku rasa bolehlah untuk kenyangkan perut buat seketika.
            “Sorry… aku tak sengaja, lambat. Hantar adik pergi make up.” Terangnya walaupun aku tak pinta. Daripada penerangan itu juga aku tahu, adik dia jadi pengapit untuk sepupu mereka.
            “Tahu tak, sebelum ni mak pernah nak jodohkan aku dengan cousin aku yang nak kahwin ni…” Mawardi seakan nak memancing reaksi aku.
            “Iya ke? Habis kenapa tak kahwin?” soalku pura-pura teruja. Sedangkan perut dah lapar sangat. Hilang mood untuk bercerita.
            “Sebab aku tunggu Mawar,” balasnya selamba.
            “Wardi!!!”
            “Wardah!!!” dia perli aku.
            “Jangan main-main boleh tak. Cuba serius! Aku lapar sekarang… so cuba kau fokus, dan bawa kereta selaju mungkin… sebab aku lapar, sangat!”
            Mawardi mengeluh. “Aku baru nak feeling-feeling… kau dah potong.” Suara itu seakan merungut.
            “Feeling lepas makan, please…”
            Mawardi tidak berkata apa. Dia sekadar memecut kereta sehingga masuk ke simpang jalan menuju Sungai Ara. Nampak sahaja khemah, aku menjadi teruja.
            “Wardi… I can smell the nasi minyak. Sangat wangi dan sedap.”
            “Gelojoh la hang ni… depan parents aku, tolong control sikit.” Arahnya serius. Aku buat tak hairan. Satu lagi tabiat buruk aku, mudah melupakan diri dan situasi apabila kelaparan berada di tahap kronik.
            Aku harapkan Mawardi bawa aku ke meja buffet terus. Tapi sangkaan aku meleset bila aku dikerahkan untuk bersalam dengan semua mak cik dia. Of course dia perkenalkan aku dengan parents dia. Dan tiba-tiba datang seorang mak cik yang aku tidak kenali, hulurkan bakul cenderahati untuk bagi dekat tetamu yang datang kenduri.
            Aku laparlah!!! Dia tak dengar ke perut aku sudah menangis keperitan. Mawardi pula tak cakap apa, dia pun macam sibuk layan tetamu. Geram aku. Bukan aku ni malas nak tolong dekat kenduri ni, tapi pelawalah aku makan dulu.
            “Wardah…” aku berpaling. Emak Mawardi panggil aku. Bakul dekat tangan pun dia ambil. “Pergi makan dulu. Wardi bagitahu, Wardah tak makan lagi.”
            Aku melepaskan nafas lega. Ingatkan Mawardi sudah tidak perasan dengan aku.
            Pinggan yang berisi nasi, ayam, daging, sayur dan buah, aku bawa ke meja. Emak Mawardi sudah menunggu aku.  Aku pelawa suruh makan, dia menolak. Dah dia tolak, aku assume dia sudah kenyang. Jadi, aku teruskan aje sesi melantak tanpa sebarang adegan covering segala kelemahan.
            “Wardah memang macam ni ke?” soalan pertama yang aku dapat.
            Mulut penuh, tak boleh nak cakap. Aku telan dulu sebelum tanya, “Macam mana tu mak cik?” aku suap lagi nasi dengan ayam.
            “Makan… macam gelojoh.”
            Aku telan lagi. “Bukan gelojoh, tapi dah lapar sangat… saya tunggu Wardi dua jam, tak makan. Itu yang perut rasa pedih.”
            “Wardi kata… Wardah lemah lembut.”
            Aku tersedak. Aku terlupa terus yang kalau depan Mawardi, hampir keseluruhan masanya aku control tak kira. Oh, suka punya pasal membuatkan aku lupa daratan. Aku bukan Wawa… aku Mawar. Mawar yang cantik dan penuh kelembutan. Tapi sekarang…
            “Perempuan ni kalau kasar sangat, susah…” komen emak Mawardi. Aku diam. Teruskan aje suapan dengan speed yang dikurangkan.
            “Tak cantik tak apa… asal dari sudut lain, sedap dipandang mata.”
            Adakah mak cik tengah mengutuk saya? Soal hatiku kuat. Air sirap aku teguk dengan rakus. Kalaulah emak tahu aku sedang berdepan dengan “bakal mak mentua” dan aku pula dengan jayanya mempamerkan perangai macam hantu, mesti dia kejar aku satu kampung.
            “Adik beradik semua laki ke?”
            “Semua perempuan mak cik…” aku jawab. Dan seketika, aku tersendawa. Kuat. Dan entah kenapa, waktu itu juga keadaan sepi seketika sehingga sudah ada mata-mata yang memandang dengan peliknya. Alamak!!!
            Saat itu juga aku menangkap kelibat Mawardi yang menepuk dahinya. Aku dah agak, mesti FAIL!
            Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku diam sahaja. Aku tahu, aku dah buat kesalahan besar. Sendawa dengan besar depan “bakal mak mentua” yang baru sahaja declare tidak jadi sebentar tadi. Memalukan.
            “Mawar… Mawar…” Mawardi seakan mengeluh.
            “Aku tak kisah sekuat mana pun hang nak sendawa depan aku. Sebab sayang, semua pun nampak cantik aje. Cuma aku minta cover depan parents aku aje… mungkin salah aku jugak, tak ingatkan hang untuk cover depan semua tetamu yang hadir. Itu yang kejadian macam ni boleh jadi…” keluhnya.
            “Wardi… aku tak sengaja.”          
            “Dah tak ada harapan, Mawar.”
            “Kenapa?”
            “Mak aku… memang takkan approve la menantu sendawa besar macam hang.”
            “Wardi!!!”
            “What? Don’t tell me that I didn’t remind you?” dia seakan menyindir.
            Dan aku rasa ini adalah detik yang akan kekal terpahat di minda. Dengan ini, secara rasminya… aku tidak akan dipinang oleh mana-mana ibu mentua sebab tadi bila aku sendawa, semua mak cik pandang aku dengan gaya… mata terbeliak, jari telunjuk tepat di hidung mereka. Sangat… sangat memalukan!

SO how was the function? Mesti dah jumpa bakal-bakal mentua?” soal Johan yang sedang sibuk memilih udang dalam tray buffet. Pagi Isnin lagi dah ada assignment dan kena menghadap muka dia pula.
            “Disaster.” Itu aje aku boleh cakap. Memang sangat disaster.
            “Kenapa?” soalnya sambil mengambil tempat di depan aku.
            Disebabkan depan aku ini adalah lelaki bernama Johan, jadi aku tanpa rasa malu menceritakan segala yang terjadi. Dari A to Z tanpa tercicir sebarang babak. Terasa panas pula muka aku.
            “Kalau aku jadi mak dia pun, aku reject.” Sambut Johan dengan ketawa besar.
            “Hang ni kan, keji!”
            Johan tidak ambil pusing. Dia teruskan suapan nasi ke dalam mulut. Bila tengok dia makan, aku pun rasa lapar sangat. Lapar yang didorong rasa kecewa. Aku makan dengan gelojoh. Masih tidak insaf rupanya.
            Sedang asyik aku menyuap, tiba-tiba rasa pelik. Terasa diperhatikan. Mata Johan tepat ke wajah aku. Terus terhenti suapan. Refleks membuatkan aku menyapu pipi, takut comot. Dan Johan ketawa sebelum mengungkapkan kata.
            “Walaupun hang ni perempuan paling gelojoh yang pernah aku kenal tapi aku still rasa gelojoh dan Wawa adalah satu perkara yang sangat comel dan sangat fascinating bila diamati dengan jiwa penuh kasih sayang.”
            “Apa tu?” aku macam blur.
            “Tak ada apalah Wawa…” balasnya dengan suara yang meleret. Senyuman masih tersungging di bibir Johan.
           
JABATAN kebajikan masyarakat dengan kerjasama badan bukan kerajaan menganjurkan aktiviti untuk kumpul dana. Jadi semua wartawan di Pulau Pinang dijemput untuk turut serta memeriahkan majlis. Alkisah hati aku yang tidak ceria semenjak dua menjak ini, jadi aku paksakan hati untuk  join sekali. Takdir agaknya, Mawardi pun hadir sekali. Kami berdua senyap aje. Masing-masing macam tak tahu nak cakap apa. Aku ambil keputusan, duduk jauh daripada dia. Tapi, dia datang juga duduk di sebelah aku.
            “Mawar… I’m so sorry.” Ucapnya perlahan.
            “Aku tahu, tidak wajar mengharapkan kesempurnaan bila mana diri aku pun tidak sempurna. Tapi bila ketidaksempurnaan itu sampai ke penglihatan orang lain, itu yang menyebabkan masalah yang berantai macam ni.”
            “Aku faham… no need to convince,” balasku laju. Emak Mawardi pun dah telefon cakap direct dengan aku, yang dia langsung tak berkenan dengan perangai aku. Siap nasihat suruh ubah perangai-perangai buruk aku. Tapi dengan peringatan bahawasanya aku tak boleh jadi menantu dia. Aku pasrah. Kalau dulu emak membebel, aku malas nak dengar. Sekarang ni, aku macam nak suruh emak bebel selalu biar aku ubah perangai jadi molek sikit.
            “Aku tak harap kita end up macam ni… aku nak dan aku memang nak Mawar aku.” Ayat itu diulang untuk dua, tiga kali. Daripada jumlah itu, aku nampak kesungguhan Mawardi. Tapi… what to do, his mother don’t like me!
            “Restu ibu bapa tu penting Wardi… hang tak boleh berdegil kalau mak hang tak suka.”
            Macam bagus sangat aku mengeluarkan nasihat. Sedangkan segala masalah ini takkan terjadi kalau aku lebih berhati-hati menjaga adab depan tetamu.
            “Tapi mak Mawar dah setuju nak pujuk mak aku. Please Mawar, jangan cakap tak.”
            Membulat mata aku bila Mawardi sebut emak. Emak siapa? Emak aku ke? Bila dan di mana dia menghubungi emak aku? Tanpa pengetahuan aku pula tu.
            “Bila hang call mak?” soalku terkejut. Nasib baik, aku tak ada sejarah lemah jantung. Kalau tidak, mahu aku collapse di sini. Patutlah! Aku baru teringat, Jasmin hantar mesej beberapa hari yang lepas. Tapi disebabkan mesej itu daripada Jasmin, aku ingatkan tak penting dan aku terus terlupa nak baca.
            “Dua hari lepas.”
            “Then? Apa jadi?” aku rasa cuak. Emak pasti akan pelangkung aku bila dia dapat tahu aku jalinkan hubungan lelaki-perempuan di luar pengetahuan dia. Emak aku sangat tidak berkenan dengan istilah berkawan antara lelaki dan perempuan melainkan berkahwin. Johan itu, special kes. Sebab emak langsung tak pernah marah aku kawan dengan dia.
            “Emak hang cakap okey. Anggap aje dah beres.”
            Makin membulat mata aku. “Apa yang beres?”
            “Masalah kitalah. Mak Mawar akan cakap dengan mak aku… tapi… Mawar kenalah cakap yes.” Dia pandang muka aku, lama. Gaya kucing hendak meminta ikan. Sangat comel. Hati aku yang sekeras kuih bahulu pun boleh cair kalau dimakan cicah dengan air teh.
            “Tengoklah…”
            “Aku tak nak tengok. Aku nak yes. Mawar, yes.” Pujuknya bersungguh.
            “Aku…” baru sahaja aku berkira-kira hendak cakap ya, telefon bimbit aku yang ‘silent mode’ bergegar. Lambat-lambat aje aku sentuh skrin. Sengaja hendak mendera Mawardi sedangkan hati aku sendiri sudah berkuntum dengan bunga mawar…
            Skrin aku tatap. Kemudian aku tatap wajah Mawardi lama. Lidahku sudah kelu. Tidak pernah aku terfikirkan keadaan ini akan terjadi. Tetapi hari ini, aku seakan mengalami mimpi di siang hari. Namun aku terpaksa tolak mimpi ini. Wajarkah?
            “Aku kena fikir dulu…” itu adalah jawapan terbaik yang aku rasakan patut diberi.
            Sekali aku tatap skrin yang bercahaya di tangan aku.
            Please… jangan cakap yes lagi. Bukan sekarang, Wawa. –Johan-
            Mesej daripada Johan yang aku tidak tahu kenapa muncul di saat ini. Dan ketika itu baru aku dapat menangkap kelibat tubuhnya yang sedang berdiri di belakang Mawardi sambil membelakangi aku.