Advs

Followers

July 31, 2011

Ahlan Ya Ramadhan


Jangan lupa!!!
Pergi sembahyang terawih dan rajin-rajin bangun bersahur.

Di kesempatan yang ada ini, saya ingin memohon maaf andai ada yang serba tidak kena dari pihak saya. Semoga kita dapat melangkah ke bulan yang mulia ini dengan hati yang ikhlas dan untuk mendapatkan redha dari NYA. InsyaAllah.

Selamat mengerjakan ibadah puasa.

Sabda Nabi S.A.W
"Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari : 3277, Muslim : 1079]

July 28, 2011

[10]

Tuan 'Singa' Milikku

RUNSING! Itulah yang buat aku pening kepala sekarang ini. Tidak ada masalah, tapi aku cari masalah. Elok Asad tengah berjiwa romantika dengan aku. Tup! Tup! Tak nak cakap terus. Aduh!!! Pening pula kepala aku fikirkan cara untuk memujuk ‘singa’ manja ini.
            Masuk hari ini, bukan sehari dua. Tapi hampir seminggu dah. Apa yang aku hendak buat? Semuanya seakan tak jalan. Kalau gaya main bowling itu, pasti semua bola masuk longkang. Satu pun tidak dapat menjatuhkan pin. Betul-betul merajuk ini Tuan singa.
            Pintu bilik yang terkuak, membuatkan aku tersentak. Terintai-intai mata aku dekat pintu. Kononnya hendak tengok, siapa itu. Walhal, dalam rumah ini ada dua manusia sahaja pun! Macam bodoh pula aksi aku ini.
            Asad tanpa kata sudah melabuhkan punggung di birai katil. Aku yang dekat sebelah ini, dia pandang sebelah mata pun tidak. Hurm… sepatutnya aku mengandung, aku yang merajuk. Ini  kenapa dia pula yang terlebih emosi?! Musykil betul…
            “Abang…” panggilku. Aku sudah tidak tahan dengan keadaan begini. Duduk rumah berdua, tapi yang bernyawanya seperti aku seorang sahaja. Iyalah, kalau yang bercakapnya aku seorang, mana hendak rasa duanya!
            Dia statik. Aku sudah mengetap bibir. Kejam sungguh singa ini! Ini dia sudah nekad hendak menunjukkan taring ‘singa’nya dengan aku! Aku rasalah… itulah agenda yang tersembunyi. Tuan singa seorang ini begitu bersemangat agaknya hendak mendera jiwa ragaku. Semuanya gara-gara mulut aku yang kurang insurans ini juga. Siapa suruh aku pandai-pandai bercakap pasal rancangan singa itu? Kan tak pasal, suami aku sudah merajuk begini.
            “Abang…” aku panggil lagi. Kali ini aku sudah merapatkan diri dengannya. Kalau dia beremosi buat-buat bergerak ke kiri, aku akan tidur terus. Tapi dia statik juga. Jadi aku assume, dia seronok juga dapat duduk sebelah aku.
            “Abang… I’m sorry.”
            Tanpa kata, Asad membaringkan tubuhnya. Aku pula terkaku, tidak tercapai dek akal. Marahnya dia!!! Sampai langsung tak nak cakap sepatah pun dengan aku.
            Aku masih begitu. Duduk memandang tepat ke wajahnya yang membelakangiku. Sedih pula rasa hati ini. Kami masih berada di bawah bumbung yang sama, tapi macam tinggal asing-asing juga.   
            Tanpa dapat dikawal. Air mata aku sudah mula menitis. Biasalah, aku kan drama queen! Scene biasa pun aku boleh menangis, apatah lagi kalau scene sebegini. Lebih daripada perlu untuk aku menangis!

            “AKU tengok… kau dengan abang singa, macam ada konflik aje. Iya ke?” hampir sahaja aku tersembur air sirap yang sedang dihirup pada saat ini. Sampai semua orang boleh nampak? Ketara sangatkah konflik aku dengan Asad?
            “Tak ada apalah… biasalah, suami isteri… siapa yang tak pernah ada konflik.” Aku balas sekadar hendak menutup hati yang sudah mula banjir. Haih! Jangan aku silap buat babak tangkap leleh dekat sini pula.
            “Tapi macam lain sangatlah… dulu, dia marah jugak kau dalam ofis. Tapi sekarang, nak jeling pun tak nak… apatah lagi nak marah.”
            Hati aku sudah mula resah. Adila ini kan… cuba jangan buat aku rasa gelisah tidak kena gaya. Sudahlah aku risau, suami aku tidak melayan aku seperti biasa. Sekarang ini, sudah ada yang perasan pula. Lagi aku rasa tidak senang duduk.
            “Tak ada apalah…” hanya itu yang mampu aku luahkan pada saat ini. Hatiku sudah mengeluh panjang. Entah apa yang aku kena buat untuk menormalkan semula hubungan kami. Sham… Sham… kenapalah suka sangat buat perangai orang gila. Tidak cukup dengan gila-gila zaman kolej dulu. Sekarang pun aku hendak jadi gila juga ke???

BEBERAPA tahun lepas….
Aku dah lambat! Aku dah lambat! Kelam kabut sangat aku bersiap pagi itu. Seperti biasa, baju kegemaran yang elok bersidai pada penyangkut aku rembat laju. Tudung yang sememangnya penuh dengan garisan simetri, latitud dan longitud aku sarung tanpa sebarang rasa malu. Aku memang macam ini. Orang kutuk selekeh bagai nak rak pun, belum tentu aku berubah.
            Dengan muka tidak bertempek bedak walau seinci, aku keluar juga dari bilik dengan keadaan begini. Selipar jepun sahaja aku sarung di kaki dan laju sekali aku melangkah keluar dari hostel.
            Bus stop yang agak lengang itu membuatkan aku resah. Waktu-waktu aku terlalu perlukan kehadiran bas… sebiji pun tidak akan muncul. Sakit hati! Aku terpacak lagak tiang bendera dekat situ dengan penuh kesabaran. Sabar sahaja la… takkan aku hendak berjalan kaki pula. Bukannya dekat. Mahu esok baru aku sampai kalau berjalan kaki.
            Elok aku sedang meninjau-ninjau bas dari sebelah kanan, bunyi seretan tayar yang begitu kuat membuatkan aku tersentak. Huish! Excident ke? Mataku laju mencari punca bunyi. Sudah gaya hendak buat laporan berita pula. Hendak tulis berita apanya, aku tengok jiran bilik sebelah fikirkan slug berita pun macam nak pecah kepala! Ish… susah… susah… aku hanya layak bermain dengan akaun sahaja. Itulah minat aku. Itulah jiwa aku.
            Sebut sahaja jiwa… dengan tiba-tiba aku rasa berdebar. Seakan terasa, ada sepasang mata yang melekap dengan kemas pada wajahku. Err… siapa pula yang boleh mengusha minah selekeh macam aku ini?
           Rasa hati yang begitu mendesak, membuatkan aku perlahan-lahan mengalihkan mata. Ingin tahu… siapa dia?! Sekali… terkedu aku dibuatnya. Weh… kacak gila mamat seorang ini. Tapi, mukanya serius tanpa senyuman walau seinci. Walau apapun, aku rasa… aku sudah cair dengan renungan mata itu. Tajam dan beku. Mata itu juga seolah memberitahu aku… betapa selekehnya aku di saat ini. Tiba-tiba sahaja aku rasa malu.
            Akhirnya… setelah berusia 22 tahun di atas muka bumi ini. Aku berjaya discover perkataan malu dalam diri aku.

            “SHAMINA!!!” laung emak aku, gaya termakan speaker dua ketul! Kuatnya macam nak bagi satu rukun tetangga. Sedangkan aku tengah elok bersimpuh depan mata dia sahaja.
            “Ya mak…” malas-malas aku sambut panggilan emak.
            “Ni ha… baju yang Sham tempah, dah siap. Cuba dulu… kalau rasa ada yang tak kena, mak bagi balik dekat Kak Ton balik suruh ubah.”
            Baju?! Oh ya… baru aku teringat. Entah hantu mana yang merasuk masuk dalam kepala, sejak aku ‘terjatuh’ hati secara tidak sengaja dengan mamat yang aku tak tahu siapa… tiba-tiba sahaja, aku telefon mak. Bukan cakap yang aku sudah jatuh cinta. Tapi aku minta emak tempahkan baju kurung untuk aku. Err… macam pelik. Shamina dengan baju kurung tapi aku okeykan juga. Bila lagi aku hendak berubah jadi ayu?
            “Yang Sham tiba-tiba minat dengan baju kurung ni, sebab apa? Dulu tu… bukan main susah. Kalau buka aje mulut… cakap nak beli kain ela, hilang terus dari pandangan mata,” bebel emak. Aku tersengih. Dulu lain… sekarang lain mak.
            Dulu, orang pandang aku dengan pandangan yang macam mana pun aku tidak pernah kisah. Terus kekal jadi selekeh walau ke mana sahaja. Tapi sekarang… cukup satu pandangan tajam itu untuk menyedarkan kepala gila aku ini. Aduh! Malu pula kalau hendak dikenangkan babak itu. Sudahlah orang itu kacak… dan imej aku, argh! Tercemar!
            “Tak ada apalah mak… anak mak jadi ayu sikit, senanglah mak nak promosi cari suami untuk Sham nanti.” Selamba aku cakap macam itu dan terus mencicit masuk ke dalam bilik.

            “ZUL… Sham mana?” tersedak aku yang sedang duduk elok belakang Zulfahmi. Muka Sani aku pandang tidak berkelip. Buta ke pak cik seorang itu. Aku tengah duduk elok dekat belakang Zul, boleh pula dia cari melilau satu dewan kuliah.
            “Aku pun tak nampak dia dari tadi!” ini lagi aku rasa hendak terbatuk besar. Kiranya Zul yang dari tadi duduk depan aku, langsung tidak perasan… aku ada di belakangnya?!
            “Aku ada ni!” sahut aku menyedarkan kedua lelaki yang sedang duduk elok di depan ini. Keduanya kalih serentak. Tergamam wajah mereka. Erk!!! Kenapa pula dah?
            “Sham!!!” ucap Zul.
            “Wei!!!” Sani pula.
            “Kenapa?” celah aku laju.
            “Kau… jadi apa ni?” soal Sani. Berkerut-kerut dahinya. Aku ikut pelik sekali. Jadi apa? Kenapa?
            “Kenapa?” aku soal lagi tanpa memberi jawapan. Jujurnya, aku sangat pelik dengan soalan itu.
            “Aku tak pernah tau… kawan aku lawa macam ni!” sambung Zulfahmi dengan mata yang masih tidak berkelip. Aku tersengih kelat. Lawa ke? Aku rasa macam biasa sahaja. Okey… bukan biasa Sham! Tapi ini luar biasa.
            Aku bangun awal hari ini. Dengan rajinnya aku seterika baju kurung bercorak bunga. Dipadankan dengan tudung bawal dengan rona yang sepadan dengan baju. Yang pasti, segalanya dari hujung kepala ke hujung kaki, bergosok hari ini. Dan yang pasti juga, aku berwarna-warni hari ini.
            “Sham! Sham! Sham!” Sani panggil aku laju sebaik sahaja tamat kuliah. Aku membrekkan langkah walaupun gaya aku seperti ada perjumpaan terbesar selepas ini.
            “Laju betullah kau ni. Nak pergi meeting kan? Jomlah gerak sekali.” Ucapnya dengan suara yang termengah-mengah. Penat kejar aku agaknya.
            “Jomlah!”
            “Mana pergi Sham serba hitam?” soalnya tanpa bertangguh. Aku menjeling. Nama tak glamour langsung. Ada ke patut dilabelkan aku dengan panggilan Sham serba hitam?!
            “Saja… nak tukar angin. Asyik hitam aje… sampai tak ada siapa pun nampak aku!”
            Sani sudah tersenyum-senyum. “Cewah!!! Untuk siapa ni? Diam-diam ubi berisi ya Sham… tak cakap pun dengan member. Siapa? Senior sini ke? Degree? Master? Siapa Sham?” bertubi-tubi soalan yang diajukan pada aku. Aku sudah pening!
            “Siapa-siapa pulak? Tak ada siapalah.” Jujur jawapan yang aku bagi, tapi Sani tetap tidak mahu percaya dengan jawapan aku yang sangat jujur ini.
            “Malas nak layan kau!” akhirnya aku mengalah. Andaikan apa sahaja. Aku tidak kisah. Asalkan aku bahagia… cukup dengan pandangan mata yang tajam itu.
            Pintu bilik mesyuarat untuk kelab usahawan itu kutolak dari luar. Tidak sampai sesaat, jantungku sudah berdegup kencang. Aku jadi statue dekat tempat yang aku sedang berpijak di saat ini. Jodoh ke? Mata tajam itu kembali mencairkan hati aku. Arghhh… boleh jatuh cinta kalau begini gayanya. 

___________
Sudi-sudi komen. Kalau tak sempat, tinggalkan aje rating anda :)
Buat beberapa bab, kita imbau kenangan. Boleh ya? 
Terima kasih semua.

July 27, 2011

[9]

Tuan 'Singa' Milikku

MULUTKU sudah menyanyi-nyanyi kecil sambil mengacau minuman dalam teko. Senyuman di bibir tidak lekang sejak dari semalam. Kenyang sudah perut dan hatiku dapat menyantap char kuey teow yang begitu enak sekali. Entah di mana Asad beli, aku tidak sempat hendak bertanya. Bila bungkusan sudah ada di depan mata, aku jadi lupa tentang segalanya.
            Pagi ini, aku rajin sedikit. Aku sediakan roti jala dengan kari ayam untuk sarapan. Teringin pula aku hendak makan hidangan itu. Tambah pula, hari ini cuti kan. Makin rajinlah tangan aku memproses peti sejuk mencari bahan untuk menyediakan hidangan yang aku inginkan.
            Asad yang baru bangun ketika itu sudah terpisat-pisat matanya memandang aku. Kesian dia. Sudahlah tidur lambat semalam. Lalu diqadha tidur sesudah subuh tadi. Aku pula sudah tidak mampu hendak menyambung tidur, jadi melepak sahaja di dalam dapur ini. Buat apa-apa yang patut.
            “Masak ke?” soal Asad sambil melangkah menghampiriku. Wajahnya begitu mamai sekali. Kesiannya!
            “Sham buat roti jala… abang pergilah mandi dulu, nanti kita makan sekali.”
            “Roti jala?!” terbuka biji matanya yang hampir terkatup tadi. Matanya sudah bercahaya. Maklumlah, makanan kegemaran dia. Mujur aku teringin hendak makan kegemaran Asad. Dapat juga aku beli jiwa dia sebab dia belikan aku char kuey teow tengah malam semalam. Apa orang cakap… sambil menyelam, sambil minum air. Kiranya hati aku senang, perut dia pun kenyang. Aku tersenyum sendiri.
            “Sayang banyak-banyaklah macam ni!” ucapnya sambil menghampirkan wajahnya denganku.      
            “Sayang banyak tu… Sham tahu! Tapi abang please… toilet ada dekat situ.”
            Dia mencebik. Jelas sekali cebikan itu ditujukan untuk ayatku yang seolah memerli dirinya. Belum  mandi lagi kan.
            “Eleh… macam dia wangi sangat…” katanya yang sudah mula berlalu dari dapur. “Abang bau ayam dekat Sham!” laungnya kuat.
            “Abang!!!” sempat pula dia kenakan aku.

            “MAMA ajak ke rumah…” ujar Asad usai sahaja selesai menghabiskan beberapa keping roti jala di dalam pinggannya.
            Aku diam seketika. Sudah lama rasanya kami tidak ke rumah mama. Maklumlah, sebelum ini seakan ada krisis sahaja. Dua tahun berkahwin dan masih tidak punya anak, membuatkan orang tua itu asyik merungut sahaja. Aku faham waktu itu, tapi hendak buat bagaimana. Kadangkala, perasaan ini sukar dikawal juga. Ada sahaja perkara yang membuatkan hati ini terasa dengan kata-kata ibu mertuaku.
            Tapi sekarang, kasihnya seakan mencurah-curah semula. Mestilah… waris anaknya sedang membesar di dalam rahimku. ALLAH Maha Kuasa! Mujur aku masih diberi peluang untuk merasakan proses ini.
            “Nak pergi bila?” terus aku tanya setelah menyepi. Mata Asad pun melekat lama di wajahku seakan menantikan kata putus.
            “Sham masih terasa dengan mama ke?” tebaknya. Aku tersentak.
            “Kenapa abang tanya macam tu?”
            “Iyalah… dulu masa Sham belum mengandung, mama layan acuh tak acuh aje. Sekarang ni… dah makin sayang. Dah makin ambil berat. Kalau sehari tak telefon tanya khabar, mama takkan senang duduk dekat rumah…”
            Aku mengeluh kecil. Kalau dulu terasa, betullah. Memang aku sering makan hati dengan kata-kata mama. Tapi sekarang… buat apalah hendak disimpan dalam hati. Perkara yang berlalu, biarkan berlalu. Macam pepatah orang putih, let bygones, be bygones. Kalau orang itu sendiri sudah berbesar hati hendak menerima diri kita, buat apa hendak diungkit dengan layanan kurang memuaskan yang pernah kita terima.
            Aku yakin, mama buat macam itu… bukannya dia bencikan aku. Cuma dia terkilan, anak sulungnya ini masih belum ada waris. Bukankah tujuan perkahwinan untuk memanjangkan zuriat. Tapi, itulah… rezeki di tangan ALLAH. Kita sebagai manusia hanya boleh berusaha. Segala ketetapan hanya daripada DIA. Cepat atau lambat, itu semua kerja DIA.
            “Sham…” suara Asad memanggil.
            “Sham dah tak simpan dalam hati semua tu. Sekarang mama dah happy nak dapat cucu, buat apa Sham nak ungkit-ungkit hal dulu… kan?” ucap aku ikhlas.
            “Betul?”
            “Iya abang… betul!” tekanku. Risau sungguh Asad! Mestilah dia risau… disebelah kanan ibu dan sebelah kiri isteri. Dua-dua pun penting. Masakan dia dapat bertenang kalau ada persengketaan antara kami.
           “Lega abang dengar Sham cakap macam ni…” dia menghela nafas perlahan. Tanganku sudah digenggam erat. Matanya sudah berkaca. Eh… kenapa pula dah?! Am I missing something? Suami aku tengah sebak habis, tapi aku tidak tahu kenapa?!
            “Kenapa ni? Menangis kenapa? Sham ada buat salah ke? Abang… Sham minta maaf, Sham janji takkan sakitkan hati abang… Sham janji akan taat pada abang. Abang janganlah menangis, Sham pun rasa nak menangis!” air mata aku tidak sabar-sabar mahu jatuh sekali. Aku sudah menangis, lebih terus daripada Asad. Iyalah, yang mata berkaca dia… yang menangis over, kalah drama queen, aku!
            “Lah… kenapa menangis pulak?” soal Asad hairan. Aku pun naik hairan bila wajahnya sudah beriak biasa. Tidak basah pula pipinya. Dengan esakan kecil dari bibir aku pandang tepat ke wajahnya.
            “Habis… mata abang berkaca tadi kenapa? Bukan marahkan Sham ke?”
            Dia menggeleng laju. “Mana ada… ni ha, macam mana boleh tersesat cabai hidup dalam kari ayam Sham ni!” aku sudah terlopong. Entah-entah terjatuh masa aku kalut tarik serbuk cabai dalam bekas bergantung itu. Mungkin.
            Asad sudah ketawa. “Menangis ingat abang marahlah ya?”
            “Iyalah… tiba-tiba mata berkaca, ingatkan abang marahlah,” ucapku sambil mengesat air mataku laju. Ish, aku ini memang suka sangat buat drama air mata. Lagi-lagi dengan Asad, air mata itu lagi senang mencurah-curah bagai ke ladang gandum dalam iklan cocokrunch itu.
            “Abang tak marah…” tidak sempat aku hendak mengelak, tangan Asad sudah mencubit pipiku laju.

            “RINDUNYA…” kaki aku baru melangkah setapak ke dalam rumah mama Asad. Dalam sekelip mata tubuhku sudah dirangkul erat. Aku pun balaskan sahaja. Takkan hendak buat-buat rimas pula. Sudah dapat mertua yang nak sayangkan aku, lagi mahu apa!
           “Sham sihat? Baby sihat? Meragam tak?” soalnya dengan riak risau. Tidak mampu hendak menahan rasa lucu. Aku lepaskan ketawa sebebasnya. Jelas wajah mama terpinga-pinga. Mungkin sudah terdetik dalam hati, menantu aku ini waras ke tidak!
            “Baby sihat baru nak masuk tiga bulan… tak meragam pun!” aku menjawab dengan yakin.
            “Iyalah tu mama… pukul satu pagi minta char kuey teow, cucu mama ni!” sampuk Asad yang sudah berdiri di belakangku. Aku tersengih kelat bila mama tayang wajah terkejut. Entah-entah dia tengah fikir, aku dera anak lelaki dia ini tak?! Tengah-tengah malam suruh pergi cari makan sebab aku teringin.
            Tapi lain pula jawabnya.
            “Biasalah… ibu mengandung…” mama sudah menarik tanganku untuk duduk di sofa. “Mama dulu… masa mengandungkan Asad ni, lagi teruk Sham. Mengandung baru sebulan… asyik muntah, sampai lagi seminit nak bersalin pun mama muntah lagi. Mengandungkan budak ni lah…” mama sudah mencubit pipi Asad yang melabuhkan punggung di sisinya. Aku sudah tergelak. Hehehe… sejarah Tuan singa sudah mula bersiaran langsung di telinga.
            “Mama selalu teringin apa masa mengandungkan abang?” teruja pula aku hendak ambil tahu tentang perkara itu.
           “Dengan budak ni… selalu suka makan pedas-pedas. Kalau sehari tak makan pedas, memang tak sah!” uish!!! Aku sudah membulatkan mata. Berani sungguh ibu mertua aku ini. Makan pedas-pedas. Yang aku tahu, tak elok makan pedas sebabnya, aku pun bukan peminat kelab makanan pedas.
            “Patutlah anak mama ni selalu berasap telinganya. Tapi di pejabat sajalah…” gumamku sendiri. Tapi tak sangka pula, jelas pula di telinga ‘singa’ itu.
            “Asad ni… masa kecil lagi dah nampak aura garang macam singa dia tu. Elok sangatlah nama dia pun Asad.” Sambung mama lagi. Dia sudah ketawa seketika.
            “Sham jangan tak tahu… masa mengandung Asad, mama selalu tengok gambar singa. Apa-apa rancangan yang ada singa, tak kisahlah… filem ke, dokumentari ke… semua mama tengok. Teruja pulak tu.” Aku pula yang naik teruja bila mama sebutkan fakta itu. Tapi belum sempat aku bertanya banyak, mama sudah ke dapur hendak ambil air katanya.
            Aku sudah menjeling ke arah Asad di sebelah. Bibirku tersenyum sedikit.
            “Patutlah abang sebijik macam singa… rupanya…” aku leretkan sahaja ayat itu. Tidak sambung pun dia tahu agaknya. “Nanti… Sham tak nak la, tengok-tengok gambar singa semua… nanti anak kita pula jadi suka mengamuk. Jadi singa junior Tuan Asad.” Aku sudah ketawa. Tapi bila panahan tajam dari mata Asad menikam wajahku, lidahku menjadi kelu. Over sangat ke aku ketawa tadi?! Errr…
            “Memanglah ‘singa’ ni garang… tapi, tak cukup romantik ke dengan sayang…” aku terdiam. Memang tidak boleh hendak membalas kata. Sebab apa yang diucapkan Asad itu adalah fakta. Sahih dan benar belaka.
            “Biar garang kena dengan waktu. Asal dengan orang-orang yang sepatutnya kasih sayang abang melimpah ruah… tak cukup macam tu?” soalnya padaku. Aku diam lagi.
            “Ke Sham nak abang lebarkan sayap kasih sayang ni dengan orang lain? Bukan tak ada yang sudi. Sham pun tahu kan…”
            ZAPPP!!! Tersentap jantungku. Argh! Rasa macam nak stapler sahaja mulut aku ini. Suka sangat membuka topik yang membuatkan jantungku berdegup kencang begini. Orang lain itu siapa lagi, kalau bukan Elisa yang tergila-gilakan suamiku ini.
            “Tak nak la!!!” ucapku laju. Tidak sanggup untuk menerima hakikat itu.
            “Kalau tak nak… cuba jangan cakap macam tu lagi. Sham buat abang terasa macam tak reti jaga hati isteri!” ucapnya seakan berjauh hati.
            Aku terdiam lagi. Iya ke? Aduh… kadang-kadang, lidah ini sukar dikawal bicaranya. Sehingga membuatkan orang itu terasa terguris hati. Itulah Sham… bercakap itu, berfikir dahulu. Tengok… kan Asad dah terasa hati. Akhirnya aku mengeluh sendiri. 

____________________
Sudi-sudi tinggalkan komen anda. Kalau silent readers tu, ringan-ringankan jari bagi rating untuk karya ini ya. :) 
Bukan apa, baru saya boleh tahu, tahap karya saya... sekadar syok sendiri atau dapat memuaskan hati pembaca.
Terima kasih semua. Selamat Menyambut Kehadiran Ramadhan Al-Mubarak. Semoga kita dapat persiapkan diri dengan selayaknya. InsyaAllah.

July 20, 2011

[8]


Tuan 'Singa' Milikku

PUFFHHH!!!
            Hanya dengan seteguk air ‘fresh orange’ hasil tangan aku, perempuan itu sudah menyemburkan semuanya keluar dari mulutnya. Terus aku tersenyum senang dan perlahan-lahan hendak melangkah keluar dari bilik Asad.
            Namun langkahku terbantut apabila perempuan itu naik angin dan mula memanggil aku. Amboi! Ingat aku takut…
            “Hey stupid! Air apa yang kau buat ni? Buat air pun tak reti ke?” marahnya padaku. Aku sekadar menayangkan wajah tidak berperasaan.
            Bodoh! Dia itu yang bodoh, dikatanya aku pula yang bodoh. Ikutkan hati, hendak sahaja aku sediakan racun tikus yang terselit di bawah sinki pantry. Tapi aku waraskan juga fikiran, tidak mahu sandang gelaran pembunuh terhormat, jadi aku ringankan sedikit rancangan aku itu. Sebaliknya, aku cuma sediakan air ‘fresh orange’ dengan menambahkan sedikit perisa MSG ke dalam airnya. Satu sudu penuh… sikit aje kan?
            “Darling... you tengok perempuan ni. Entah apa yang dia letakkan dalam air I ni.” Adu perempuan itu pada Asad pula. Aku menjeling menyampah.
            Yang Asad ini pun satu… sudah hilang suarakah? Cuba buka mulut itu dan mengaku tentang status kami. Aku isteri dia. Satu pejabat mengetahuinya. Perempuan ini sahaja yang ketinggalan berita agaknya.
            “You buat air lain! Sekarang!” aku mencebik. Geram aku dengan tingkah perempuan ini.
            “Kalau nak… pergi buat sendiri. I bukan tukang bancuh air dekat sini!” ucapku sambil menjeling sekilas ke arah Asad. Biar dia pun terasa sekali dengan ayat aku.
            “She’s one of the financial department assistant.”
            Ha… ada juga suara suami aku ini. Kufikir sudah bisu.
            “Assistant aje kan? Not the boss right?” sindir perempuan itu.
            Aku sudah geram tahap maksima. Dulang minuman yang berada di tangan aku sejak tadi ku pandang sekejap sebelum melampiaskan rasa marahku. Dulang itu kuhempas laju pada meja kopi di depan Asad dan perempuan itu. Tergamam keduanya.
            Aku rasa marah aku tidak begitu berkepuk sangat untuk perempuan itu. Tetapi kemarahan lebih marak buat Tuan singa yang asyik diam sahaja. Aku rasa macam nak hempuk dulang itu atas kepala dia!
            “Sham…” hah! Baru nak buka mulut.
            Asad sudah bangun berdiri bertentang dengan aku. Aku marah! Laju aku berpusing hendak keluar dari bilik itu.
            Baru selangkah, lenganku ditarik.
            “Asad… why?” soal perempuan itu dengan nada terkejut. Reaksi muka dia, aku tidak mahu ambil tahu. Hendak pandang pun aku tidak berminat.
            “Jangan marah okey.” Asad pujuk aku tanpa mempedulikan perempuan itu. Sekarang ini aku rasa macam kami berdua pula sedang berdrama.
            “Sham keluar dulu… nanti abang bagi tahu dia. Okey sayang…” Asad membisik pada telingaku. Aku menjeling lagi.
            Kenapa kena tunggu aku keluar dulu? Kalau cakap sekarang jatuh hukum berdosa ke? Tak faham aku dengan Asad ini. Aku tengah panas membahang, dia boleh buat main dengan perasaan aku.
            “Cakap sekarang!” arahku dengan selamba. Aku sudah lupa, ini adalah pejabat. Dan di pejabat, watak utama Asad ialah sebagai Tuan singa. Disebabkan terlalu marah dengan situasi panas ini membuatkan aku lupa akan semua itu. Yang aku tahu, aku nak perempuan gedik itu tahu akan status suami-isteri kami. Sekarang juga!
            Asad mengeluh kecil dan keluhan itu begitu jelas pada cuping telingaku. Aku memandang Asad dengan pandangan yang begitu aneh.
            Kenapa susah sangat Asad hendak mengaku di depan perempuan ini tentang status kami? Siapa perempuan ini sebenarnya?  Hati kecilku sudah mula tertanya-tanya. Dalam masa yang sama, ada rasa tidak enak yang menyusup ke dalam hati apabila mataku menangkap pandangan mata perempuan itu yang jatuh tepat ke wajah Asad. Aku benar-benar ingin tahu, siapa perempuan itu!!!
           
            “JADI, inilah isteri you?” soal Elisa dengan riak tidak percaya. Lupa aku nak beritahu, perempuan cantik lagi seksi di depan aku ini, namanya Elisa. Kedudukan dia dalam syarikat ini, jangan ditanya. Anak pemilik syer terbesar dalam syarikat ini. Ikutkan hati, hendak sahaja aku berkurang ajar. Tapi difikirkan semula status dia dan status aku, terpaksa aku menikus di tepi Tuan singa ini.
            “Yes… this the one and only, my lovely Shamina.”
            Kembang kempis jadinya hidung aku bila Asad menuturkan ayat itu. Tadi aku rasa panas membahang. Sekarang aku rasa macam baru dikeluarkan dari peti sejuk beku. Sejuk hingga ke hujung kuku. Aku tersenyum nipis. Sambil itu, sempat lagi aku menghadiahkan jelingan buat Elisa. Tak faham-faham lagi akan status suami isteri kami? Pelik betul aku dengan manusia macam ini.
            “Tapi Asad, awak lelaki! Awak boleh kahwin lebih daripada seorang. Kenapa awak tak boleh berkahwin dengan saya?!” soal Elisa dengan penuh perasaan. Saat itu jantungku seakan berhenti berdetak. Jadi, inilah perempuan yang sudi menjadi maduku. Perempuan yang begitu tegar mengejar suamiku. Inilah dia. Elisa Datuk Mokhtar.
            Genggaman erat daripada jemari Asad langsung tidak menghilangkan resah dalam hatiku. Aku sudah mula risau. Dengan pangkat dan kedudukan yang ada pada perempuan itu, aku yakin sekali… dia pasti akan melakukan apa sahaja untuk memiliki Asad. Aku menjadi gentar untuk berada di situ. Seakan terlupa seketika tentang status aku yang lebih kukuh daripada apa yang perempuan itu miliki. Aku isteri Asad. Sah pada hukum agama dan syarak. Maka, aku lebih berhak ke atas suamiku.
            “Elisa… listen!” suara Asad sudah berubah kepada nada tegas. Aku pula yang menelan liur walaupun nama Elisa yang disebut.
            “She is my only wife. And will remain as one and only, forever. Hope you understand and don’t talk about this second wife topic with me anymore!” serius sekali ayat yang diucapkan Asad. Dan aku harap Elisa faham sama seperti aku memahami nada Asad pada ketika ini. Nada serius menunjukkan Asad tidak akan berkompromi walaupun ada rayuan susulan tentang perkara ini.
            “But I love you!” degil pula perempuan ini.
            Mata aku laju sekali meluncur pada dulang yang setia berada di atas meja. Boleh tak, aku ambil dan hempuk ke atas kepala Elisa? Rasanya tidak ada salahnya sebab dia sedang cuba lakukan sesi perampasan suami secara terang-terangan di depan mata aku. How dare her!!!
            “She loves me, more than you do!”
            Sekali lagi aku rasa hendak kembang setaman. Kacak pula suami aku bila bercakap tentang perasaan aku. Hatiku tersenyum sendiri tanpa menyedari, si gila Elisa itu sedang menjelingku dengan tajam sekali. Semuanya sebab, Asad memeluk bahuku dengan erat sekali.
            Mata kami berdua bersabung. Aku dapat merasakan api yang sedang marak di anak matanya. Aku menelan liur berkali-kali.
            Rasanya, kalau Asad tiada di sisi, sudah lama aku sudah makan pelempang daripada perempuan ini. Gerun pula kalau hendak dibayangkan keadaan itu. Tapi kenapa pula dia yang hendak marah-marah? Suami aku, hak aku! Kalau sudah suami aku pun tidak rela memadukan isterinya apatah lagi aku.

            “JANGAN fikir sangat pasal Elisa. Tak elok untuk kesihatan Sham. Sometimes stress also can cause miscarriage sayang…” Ayat itu sudah berulang berkali-kali di bibir Asad sejak dari tadi. Jujurnya, aku tidak berapa risau dengan fakta itu. Sebab tiada kajian yang membuktikan tekanan semata-mata boleh menyebabkan keguguran. Stress cuma disebabkan perubahan hormon. Sudah aku terangkan perkara itu kepada Asad, tetapi suamiku itu tetap hendak mempertahankan tentang fakta itu.
            “Kenapa dia macam tu?” soal aku dengan nada yang agak risau. Siapa yang tidak risau, kalau diugutnya aku depan suami aku sendiri.
            “You… jangan ingat I akan senang-senang lepaskan Asad!”
            Tergamam aku mendengar ayat yang diucapkan dengan lantang itu di hadapan Asad. Berubah terus persepsi aku tentang diri Elisa yang aku labelkan sebagai cantik di awal tadi. Dengan perangai serupa itu, aku langsung tidak merasakan dia seorang yang cantik. Cantik rupa tapi akhlak hancur. Lebih elok serikan kecantikan peribadi daripada kecantikan luaran yang akan pudar ditelan seiring dengan peredaran zaman.
            “Obsession sayang. Manusia kalau dah terlalu obses dengan suatu benda, dia akan buat apa je sampai dia dapat,” tenang sekali Asad menuturkan ayat itu. Sedangkan aku, makin meletup-letup degupan jantungku.
            “Obses dengan abang… jadi dia akan buat apa je untuk dapatkan abang. If the only way the get you is by killing me, she’ll do so…” menggeletar bibirku mengucapkan ayat itu. Bila terbayangkan wajah Elisa yang sedang mengugutku di hadapan Asad, hanya itu yang berlayar dalam kepala. Aku  akan dibunuh ke? Boleh jadi juga.
            “Astaghfirullahalazim...” Asad sudah beristighfar panjang. Matanya tajam sekali menikam wajahku. “Kenapa nak fikir yang bukan-bukan? Kenapa nak fikir sampai dia nak bunuh Sham? Kalaupun dia dah ada plan nak buat macam tu dengan isteri abang… takkan abang nak duduk dan tengok je? Cuba jangan fikirkan perempuan tu… nanti Sham jugak yang sakit.”
            “Tapi…”
            “Tapi apa lagi Shamina?” aku menelan liur.
            “Abang janganlah marah Sham,” balasku dengan nada yang merajuk. Sepatutnya dia marah Elisa itu, bukannya aku. Muncungku tidak menunggu sesaat untuk terbentuk di bibir.
            “Cantik sangatlah… buat muncung itik tu!” dia marah lagi. Makin panjang muncungku.
            Cuppp!!!
            Membulat mataku bila bibir Asad mengenai muncungku. Langsung tiada amaran pula itu. Pandai sungguh lelaki ini bermain dengan taktik. Aku lihat Asad sudah tersenyum-senyum melihat wajahku yang sudah merona merah.
            “Abang!!!”
            “Janganlah marah… janganlah muncung je. Nanti baby keluar dengan mulut muncung.” Usiknya dengan selamba.
            “Macam betul sangat fakta tu…” perliku.
            Asad lepas ketawa. Topik yang tadinya agak menegangkan keadaan seakan reda dengan sendirinya. Gelak tawa Asad seperti memulihkan moodku. Senyuman dia sudah cukup untuk memikat hatiku yang bercelaru memikirkan perempuan yang bernama Elisa itu.
            “Abang…” perlahan aku memanggil Asad.
            “Ya sayang,” manja sekali dia menyahut dengan senyuman melebar di bibir. Aku ikut tersenyum kecil.
            “Belikan char kuey teow Pak cik Sani.” Mati terus senyuman di bibir Asad. Matanya terus mengerling ke arah jam di dinding.
            “You’re kidding right? At this time, Sham nak abang pergi beli char kuey teow Pak cik Sani?” soalnya tidak percaya.
            Mata aku ikut berlari ke arah jam di dinding. Melihatkan jarum yang sudah berdetik ke angka satu membuatkan aku tersenyum kelat. Sudah pukul satu pagi, aku dan Asad belum tidur lagi. Takkan sebab aku teringin nak makan char kuey teow, Pak cik Sani kena buka kedai pukul satu pagi pula. Tapi… tekak ini teringin hendak makan char kuey teow. Teringin sangat.
            Mataku sudah mula bersinar dengan cahaya menagih simpati daripada Asad. Aku kelipkan kelopak mata dua, tiga kali dengan harapan ‘singa’ ini akan cair. Dan bila Asad bangun sambil mencapai kunci kereta dan dompet, aku sudah bersorak riang. Sayang betullah aku dengan Asad.
            “Abang, dua bungkus!” sempat lagi aku menaikkan angka pesanan.
            Biji matanya yang sudah membulat tidak aku pedulikan. Dengan gelengan berpanjangan di kepala, dia sudah melangkah keluar.

 ___________________
Susun sepuluh jari, sorry. 
Agak lambat update sekarang ni. Hope anda tak bosan menanti, InsyaAllah... I'll try to update soon. :)

July 17, 2011

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati


JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.
            Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.
            Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.
            “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”
            Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!
            “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus berubah kelat.
            Tidak ingin menanti lebih lama, dia terus bangkit berdiri dan berlalu dari situ. Malu pula jika Selina melihat riak wajahnya yang keruh pada tika ini. Hari demi hari, hatinya terasa makin dirobek. Bersusah-payah dia ke sini untuk mengambil hati Irfan. Tapi apa yang dia dapat, hanyalah kebencian yang tidak berpenghujung.
            Kenapa kau bencikan aku,  Irfan? Sedangkan aku hanya inginkan kau bahagia. Rintihan hatinya terasa makin pedih. Makin melemahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan ini.

***

            “HAI, seorang je?”
            Eryna menjeling tajam. “Taklah! Sekampung.” Sinis sahaja nada Eryna.
            Lelaki itu tertawa riang. Lantas, kerusi kosong di hadapan Eryna ditarik dengan selamba. Tanpa mempedulikan jelingan gadis itu, dia terus sahaja melabuhkan punggungnya berdepan dengan Eryna.
            “Macam dah tak ada tempat kosong lain kan!” marah Eryna. Dia nak makan pun tidak senang. Ada sahaja yang hendak mengganggu.
            “Kenapa kau moody sangat hari ni?” kemarahan Eryna tidak dipedulikan. Safwan terus menukarkan topik perbualan. Kasihan pula dia melihat wajah Eryna yang sudah tidak seceria dulu. Kenapa? Hatinya tidak akan senang selagi dia tidak tahu apa yang disembunyikan oleh Eryna.
            “None of your business!” nada Eryna masih begitu. Sentiasa dingin.
            Safwan melepaskan keluhan. Eryna sentiasa dingin dengannya. “It is my business too!”
            Wajah Eryna sudah merah, menahan amarah. Kenapa lelaki seorang ini terlalu sibuk akan halnya!!! “Kenapa kau suka sangat kacau aku?” soalnya dengan rasa marah. Sungguh dia perlukan ruang untuk bertenang. Kenapa lelaki itu tidak faham?!
            “Ini bukan kacau tak bersebab. Aku kacau sebab report yang kau submit tadi banyak mistakes! What is your problem Eryna?” Safwan bersuara senada dengan Eryna.
            Eryna terdiam terus.

***

BEKAS milo yang sudah kosong itu dipandang sepi. Hanya jasadnya berada di situ. Fikirannya menerawang jauh. Kenapa segala ini harus menimpa dirinya. Keadaannya seperti diluah mati emak, ditelan mati bapak. Kenapa???!
            Gelas di rak dicapai dan diisi dengan air kosong. Kakinya sudah diheret ke ruang tamu rumah yang sunyi dan sepi. Beginilah keadaannya setiap hari. Sunyi. Kosong sudah hidup Eryna Badra sejak menjadi isteri kepada Irfan Naufal.
            Kepalanya disandarkan pada sofa di tepi balkoni. Matanya sudah meliar di ruang tamu yang luas itu. Pandangannya dengan tidak sengaja jatuh pada frame gambar di sisi televisyen. Tanpa dipinta hatinya bergetar juga. Suraya! serunya di dalam hati.
            Perlahan, air matanya sudah jatuh membasahi pipi. Kepada siapa lagi harus dia luahkan rasa hati ini. Amanah dari arwah Suraya sudah menjerut dirinya ke dalam ikatan ini. Permintaan terakhir daripada seorang sahabat baik yang menoktahkan kehidupannya di dalam perkahwinan tanpa cinta ini.
            Cinta Irfan begitu kukuh buat Suraya. Buktinya, setiap gambar kenangan mereka berdua masih ada dalam rumah ini. Eryna semakin terluka. Awal-awal dulu dia mampu bertahan lagi. Tapi tidak sekarang. Dia akhirnya sedar, dia juga seorang manusia biasa. Dia juga ingin merasai perasaan bercinta dan dicintai oleh insan yang bergelar suami dalam hidupnya.
            Irfan Naufal… aku bukanlah hendak merampas tempat istimewa Suraya dalam hati kau. Tapi cukuplah sekadar mendapat ruang yang kecil untuk menempatkan kasihku.

***

LANGKAHNYA terhenti apabila masuk ke dalam rumah. Gelap sekali ruang itu bagaikan tiada penghuni sahaja.
            “Takkan perempuan tu tak balik lagi?” omelnya sendiri sambil menekan suis lampu.
            Sebaik sahaja lampu terpasang, Irfan sudah mula hendak melangkah ke bilik. Namun langkahnya terhenti apabila terpandangkan sekujur tubuh yang terlena di atas sofa. Keluhan panjang sudah meniti bibirnya.
            Briefcase diletakkan di atas meja dan kakinya sudah mula bergerak mendekati Eryna yang begitu lena sekali. Langsung tidak menyedari kehadirannya di sisi. Matanya sudah jatuh pada wajah mulus itu. Jelas sekali di pandangannya, pipi gadis itu basah dengan air mata. Pandangannya jatuh lagi pada tangan Eryna yang sedang menggenggam frame gambar.
            Perlahan dia sudah mengambil frame itu. Foto yang merakamkan dirinya bersama arwah Suraya dipandang sepi. Tahulah dia untuk apa tangisan itu. Tanpa dia sedari, ada juga rasa simpati yang menyusup ke dalam hati buat Eryna.
            Tanpa mengejutkan Eryna yang terlena di atas sofa, Irfan terus melangkah menuju ke biliknya. Usai membersihkan diri, dia terus menunaikan solat. Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap hamba ALLAH di atas muka bumi ini.

***

WAJAH Eryna pucat sekali. Sesekali dia terintai-intai ke arah Irfan yang sedang berada di ruang tamu.
            Macam mana aku nak cakap ni? Kalau aku bagitahu, agaknya dia akan cakap aku hendak ambil kesempatan pula! Tapi, yang ini betul-betul darurat. Terpaksa, cakap juga.
            Dengan langkah yang diberanikan, Eryna melangkah juga mendekati Irfan yang sedang duduk membaca akhbar di ruang tamu. Mujur juga, lelaki itu masih berada di rumah pada waktu-waktu begini. Kalau kebiasaannya memang Irfan tidak akan melekat di rumah langsung. Lagi-lagi kalau dia ada sekali, lebih cepatlah lelaki itu menghilangkan diri.
            “Irfan…” serunya perlahan. Namun tiada sebarang balasan. Tapi tidak mengapa. Dia sudah terbiasa. “Mak dengan abah telefon. Dia orang dah on the way ke rumah kita.”
            Irfan masih kaku tanpa reaksi. Eryna mengetap bibir. Ya ALLAH, aku mohon kesabaran daripada-Mu.
            “Irfan, mak dengan abah… dah sampai dekat tol Juru.”
            “What???” akhirnya, keluar juga suara Irfan dengan nada yang terkejut. “Sekarang baru kau nak cakap?!” marah Irfan.
            “Kau memang sengaja kan!!!” tambah Irfan lagi. Sedikit pun dia tidak mempedulikan hati Eryna yang juga sedang dilanda resah. Kalau mak dengan abah sampai ke sini, habislah mereka. Habislah semuanya.
            “Baru sekejap tadi mak call. Ryna langsung tak tahu apa-apa. Tak ada niat pun nak bagi Irfan marah,” balas Eryna dengan nada yang merendah. Dia tahu, dia cakap apa pun, Irfan pasti akan palitkan kesalahan pada dirinya juga.
            Irfan terdiam. Tidak tahu kenapa dia sentiasa akan rasa marah kalau berdepan dengan Eryna dalam keadaan begini. Melihatkan wajah Eryna yang sudah berubah sugul membuatkan hatinya diulit simpati. Terasa bersalah juga kerana sentiasa melayan gadis itu dengan perasaan benci yang tidak bertepi. Walaupun dia tahu, ikatan perkahwinan ini bukanlah sesuatu yang Eryna impikan, sama juga seperti dirinya. Namun, nadanya terus meninggi mengarahkan Eryna mengemaskan itu dan ini. Kenapa dia tidak boleh berlembut sedikit dengan Eryna, dia pun tidak mengerti!
            Memang kena benar dengan dirinya dengan peribahasa, lain di mulut, lain di hati.

***

            “BERSERI-seri mak tengok Ryna sekarang ni.”
            Hampir tercekik tulang ikan dalam tekak Eryna mendengarkan ucapan emak. Berseri-seri kata emak. Kenapa dirinya sendiri tidak merasakan seri itu? Teringat pula kata-kata Safwan padanya tempoh hari…
            “Semakin hari, semakin hilang seri di wajah bulan aku yang cantik ni… ke mana hilang serinya Eryna Badra? Kau dah gadaikan di pajak gadai ke?” dengan nada yang bersenda sahaja lelaki itu menyoal. Namun sudah cukup membuatkan hatinya terusik dengan rasa pilu.
            Aku pun tidak tahu ke mana hilangnya seri itu. Bisiknya hatinya pilu. Tetapi, dengan sedaya upaya wajahnya cuba dimaniskan di depan emak dan abah. Bimbang pula kalau mereka dapat mengesan ada yang tidak kena dalam kehidupan rumahtangga anak tunggal mereka ini. Sungguh dia tidak sanggup untuk melukakan hati mereka.
            “Ryna biasa je mak…” balasnya perlahan. Tidak mahu emak berlebihan pula memuji seri di wajahnya. Bimbang kalau dia tidak dapat menahan empangan air mata.
            “Ada pulak biasa. Ryna nampak berseri kan bang…” emak sudah beralih pandang pada wajah abah pula. Eryna menjadi kalut sendiri. Seakan tidak senang dengan nada emaknya itu. Seakan ada sesuatu. Pantas matanya dilirikkan pada Irfan di sebelah yang diam tidak berkutik.
            “Ryna tak nak cakap dengan mak dan abah ya?” nada emak yang seakan mengusik itu hanya membuatkan Eryna berpeluh-peluh. Cakap apa pula?
            “Dah berapa bulan?” terbuntang mata Eryna mendengar soalan itu. Tanpa dapat ditahan, dia terus tersedak kuat. Batuknya tidak henti. Air di depan mata diteguk dengan rakus sekali. Dan saat dia terasa ada tangan yang mengusap belakangnya dengan lembut, dia sudah terpana. Irfan!

***

BELUM pernah dia melihat wajah Eryna setegang ini. Kalau pernah pun, sebelum mereka berkahwin ada la.
            “Kenapa Irfan tipu mak dengan abah?” Eryna sudah tidak mampu mengawal nada suaranya.
            “Hei… cakap tu, slow la sikit. Nanti mak dengan abah dengar.” Irfan sudah beriak risau.
            “Kenapa tipu?!” marah Eryna lagi. Kali ini nadanya sudah mengendur sedikit. Hatinya turut disapa rasa bimbang. Bimbang kalau hati emak dan abah terluka.
            “Aku tak dapat nak elak. Semuanya terkeluar dengan spontan.”
            Eryna mendengus kasar. “Sampai kena menipu?”
            “It was spontaneous. I didn’t plan to say so… mak dengan abah tanya berkali-kali, Ryna belum ada apa-apa ke…”
            “Habis… sekarang, kalau mak dengan abah tanya, Ryna nak jawab apa?” merah muka Eryna menyoal sambil menahan rasa marah. Dia nampak Irfan di depan matanya itu sebesar semut sahaja. Kalau tidak fikirkan suami, sudah lama dia pijak sampai mati!
            “Apa susah… dalam dua tiga minggu lagi, kita cakaplah yang kau terjatuh tangga. Baby can’t be saved.”
            Terbuntang biji mata Eryna dengan ayat selamba Irfan. Dia tahu Irfan tidak punya sekelumit perasaan padanya. Dia juga tidak kisah kalau hatinya terluka. Tapi kalau sudah masuk bab melukakan hati emak dan abahnya, dia tidak boleh terima. Hati yang dikuasai rasa amarah membuatkan dia hilang kawalan.
            Eryna meluru laju ke arah Irfan. Dada lelaki itu menjadi mangsa tumbukan bertalu-talu dari tangannya.
          “Kenapa buat Ryna macam ni?!!! Apa salah mak dengan abah pada Irfan? Kenapa Irfan sanggup tipu mereka? Kenapa? Ryna tak kisah kalau Irfan tak boleh sayangkan Ryna… Ryna tak kisah kalau hati Ryna terluka… Ryna tak kisah kalau Irfan bencikan Ryna sampai bila-bila… tapi jangan lukakan hati emak dan abah Ryna! Irfan tak ada hak! Irfan tak boleh buat macam ni!!! Ryna benci Irfan!!!” dengan air mata yang tidak dapat dikawal, Eryna meluahkan segala rasa hatinya di situ. Tangisan semakin rancak. Dia benar-benar terluka. Dia sudah tidak sanggup untuk memerap rasa.
            “A… aku…” Irfan sudah kehilangan kata. Air mata Eryna mematikan bicaranya. Kali terakhir dia melihat tangisan serancak ini pada hari kematian arwah Suraya. Hari ini sekali lagi dia melihatnya. Namun kali ini, penyebab tangisan itu bukanlah kematian sesiapa tetapi kerana bicaranya yang tidak memikirkan perasaan Eryna. Tanpa dia sedar, sudah ada rasa bersalah yang meluap-luap di dalam hatinya. Wajah yang basah dengan tangisan itu menarik-narik bibirnya untuk mengungkapkan kata maaf. Namun beratnya terasa bukan sedikit.
            Lagi-lagi dia terasa, lain di mulut, lain di hati. Kenapa boleh jadi begini?!

***

            “ENCIK Irfan… termenung jauh,” tegur Selina apabila Irfan tidak memberi tumpuan pada bicaranya.
            Irfan tersentak. Bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Hari ini terasa bagaikan tidak lengkap sahaja harinya.
            “I feel like something missing somewhere…” ucapnya perlahan.
            Selina tersenyum kecil. “Saya pun rasa macam tu jugak. Macam kurang sesuatu je hari ni.”
            “Awak tahu? Apa ya… saya fikir dari tadi, tapi tak jumpa-jumpa jawapan tu.”
            Selina tersenyum lagi. Melihatkan wajah Irfan yang begitu teruja hendak mendengar jawapannya membuatkan dia disapa dengan rasa lucu. Ini yang orang kata, bila ada tidak dihargai, bila tidak ada sudah mula mencari-cari.
            “Jambangan bunga ros yang menyerikan hari Encik Irfan.” Yakin sekali jawapan Selina membuatkan Irfan terkedu. Hilang kata. Benarkah bunga ros itu menyerikan hidupnya? Bunga ros kiriman Eryna? Eryna yang pernah dibenci sepenuh hati?!
            Hatinya sudah keliru sendiri.
            Kata-kata Selina terus menghantui diri sehingga pulang ke rumah lewat petang itu. Keadaan rumah begitu sepi. Cahaya yang terbias dari bilik Eryna menandakan gadis itu sudah pulang ke rumah. Sepi sungguh keadaan di antara mereka. Sejak emak dan abah pulang ke kampung, Eryna sudah menghentikan penghantaran bunga ros ke pejabatnya. Mungkin benar, Eryna benar-benar terasa dengan sikapnya.
            Ketika melintasi depan bilik Eryna, langkahnya terhenti. Tangannya sudah diangkat untuk mengetuk pintu bilik. Namun masih ada sesuatu yang menghalang. Rasa hati yang benci. Lantas dimatikan terus niatnya.

***

            “Tahu pun nak senyum… kalau tak asyik masam je bila nampak muka aku.” Usikan Safwan membuatkan Eryna tersenyum terus. Entah kenapa, hari ini dengan senang hatinya dia menerima pelawaan lelaki itu untuk makan tengah hari bersama. Mungkin kerana dia ingin menggembirakan hati di hari istimewa ini. Hari kelahirannya yang tidak mungkin Irfan ingati.
            “Kau jangan nak mengusik lebih-lebih. Aku keluar makan ni pun… dah cukup bagus!” balas Eryna pura-pura marah. Namun bibirnya tersenyum juga.
            “I’m happy to see you smiling like this… inilah kecantikan cahaya bulan yang aku cari. Eryna Badra,” bicara Safwan dengan lembut sekali. Eryna menjadi gugup sendiri. Renungan mata itu hanya membuatkan dia menjadi kelu. Renungan mata yang sarat dengan kasih. Kenapa tidak mata itu milik Irfan? Kenapa tidak Irfan yang memandangkan dengan renungan itu?
            Hati Eryna tidak dapat berhenti untuk mengharapkan yang tidak-tidak. Walaupun dia tahu, indah lagi mimpi daripada realiti.
            “Happy Birthday Eryna Badra… I wish you all the happiness in your life.”
            Eryna terpana. Kek yang berada di depan mata dipandang dengan rasa berbaur. Lagi-lagi hatinya mengharapkan yang tidak-tidak. Kenapa tidak Irfan yang meraikan hari lahirnya. Kenapa mesti Safwan? Kenapa?
            “Thanks…” hanya itu yang terungkap di bibir. 

***

            “SERONOK nampak keluar makan siang tadi.” Baru selangkah kaki Eryna masuk ke dalam rumah, telinganya sudah dihadiahkan ucapan yang sinis itu. Dalam pada hatinya terhiris dengan luka, mindanya sudah terasa aneh juga. Kenapa lelaki itu tiba-tiba hendak menyoal perihal dirinya. Sedangkan sebelum ini dia tidak mempedulikan aku sebagai isterinya.
            Tanpa sebarang keinginan untuk menjawab soalan Irfan, Eryna sudah mula melangkah ke bilik. Namun, belum sempat tangannya memulas tombol pintu, lengannya direntap laju.
            Mata Irfan yang penuh dengan rasa amarah berlaga dengan matanya. Tidak semena-mena, Eryna terasa kecut perut. Bimbang juga kalau Irfan mengamuk.
            “Aku tak izinkan kau keluar dengan lelaki lain!!!” marah Irfan dengan tiba-tiba. Eryna tersentak.
            “Lagi sekali aku nampak kau makan berdua dengan lelaki tu… siap kau!” sambung Irfan lagi.
            Eryna sudah melepaskan pandangan yang aneh sekali. Tiba-tiba sahaja lelaki itu mengamuk begini. “Kenapa nak marah? Selama ni pun bukannya Irfan peduli Ryna keluar dengan siapa semua? Sekarang dah pasang spy pulak ke nak intip gerak geri Ryna?” sinis nada Eryna menyoal. Entah kenapa, dia terasa aneh dengan kelakuan Irfan hari ini.
            Selama ini, hendak bertegur pun tidak. Hari ini, hendak marah-marah pula.
            “Aku cakap jangan, janganlah! Tak faham?!”
            “Bukan tak faham… tapi pelik. Kenapa Ryna kena ikut cakap Irfan? Selama ni mana pernah Irfan ambil tahu pasal hal Ryna?”
            “Aku suami kau… aku ada hak!”
            “Dan sejak bila pula wujudnya hak tu?” soal Eryna geram.
            “Sejak aku…” Irfan terdiam. Tidak jadi hendak meneruskan kata. Mata Eryna direnungnya lama. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus marah. Melihat wajah Eryna yang tersenyum di samping lelaki yang segak itu, mengundang rasa cemburu di jiwa. Jiwa kacau betul!
            Sudahlah hari-hari diucapkan kata benci, tapi rasa cemburu ini hanya membuatkan dia bertambah-tambah tidak pasti dengan ungkapan bibir sendiri. Lain di mulut, lain di hati. Betapa sukarnya untuk menafsirkan rasa hati ini.
            “Ryna happy sangat ada orang sudi sambut hari lahir Ryna hari ni. Kalau Irfan tak keberatan, boleh tak jangan buat Ryna sedih hari ni?” permintaan Eryna benar-benar tulus dari hati. Dia ingin memejamkan mata dengan rasa gembira hari ini. Dia ingin melupakan sekejap rasa benci Irfan pada dirinya. Kalau boleh…
            Irfan tergamam. Hari ini, hari lahir Eryna. Patutlah dia nampak wajah gembira Eryna ketika memotong ke bersaiz kecil itu tadi. Perlahan-lahan, lengan Eryna dilepaskan. Walaupun hatinya terasa bersalah, bibirnya masih tidak sudi untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada Eryna. Egokah dia?

***

KOTAK-kotak lama di dalam bilik stor itu dialihkan satu persatu. Waktu-waktu beginilah lelaki itu hendak menyuruh aku memunggah satu-satu barang! Orang nak rehat pun tak senang. Tapi merungut-rungut pun di dalam hati sahaja. Tangannya masih tangkas membuat kerja.
            “Jumpa tak?” lembut sekali suara Irfan bertanya. Eryna mencebik. Minta tolong punya pasal, nada suara pun jadi lembut tidak terkata. Sampai Eryna rasa hendak jatuh cinta berkali-kali dengan suaminya. Tapi angan-angan buah berangan sahaja. Dia tahu, hasrat itu tidak akan kesampaian sampai bila-bila.
            “Tak jumpa lagi.”
            “Apa lama sangat cari?”
            “Cuba cari sendiri!” marah Eryna. Hendak mengarah bukan main lagi Irfan ini. Dia mana tahu betapa peritnya untuk mengangkat kotak-kotak yang sangat berat ini. Sudahlah berhabuk. Entah-entah ada lipas dan tikus sekali dalam bilik ini. Boleh jadi!
            “Okey-okey… janganlah marah. Aku tanya je. Jom cari sekali…” Irfan dengan sendiri sudah mula membuka kotak-kotak yang berada di dalam bilik itu. Sebenarnya benda yang diminta Eryna carikan itu tidaklah penting mana. Tapi disebabkan dia hendak cuba berbual bicara dengan gadis itu, terpaksa menggunakan taktik ini. Entah Eryna sedar atau tidak, matanya sudah tidak mahu beralih dari wajah itu.
            Petikan jari tepat di depan mata sudah menangkap perbuatan Irfan yang begitu asyik merenung Eryna.
            “Dah jumpa ke apa yang Irfan cari?” soal Eryna pura-pura tenang. Berdebar-debar jatungnya melihat renungan Irfan yang menyusup ke dalam hati. Sama ada dia tersalah lihat, atau dia tersalah tafsir, renungan itu kelihatan sarat dengan rasa kasih buat dirinya. Benarkah begitu?
            “Irfan… dah jumpa ke?” tekan Eryna.
            Irfan mengukir senyum segaris. Bibir diam tidak berkata. Cuma hatinya berbicara. Irfan dah jumpa…
            “Dah jumpa?” soal Eryna lagi. Bosan pula bila Irfan diam macam tunggul di depannya.
            Dah jumpa… ada depan mata. Sahut hati Irfan lagi. Namun untuk ucapkan di bibir, dia rasa begitu berat sekali. Bagaikan ada ketulan emas yang menganggu aliran suaranya. Atau rasa ego masih melangit di dalam hati?
            “Irfan…” panggil Eryna apabila lelaki itu dilihat seakan berkhayal.
            “Ya sayang…” tanpa sedar Irfan mengucapkan kata. Tetapi perlahan sahaja.
            “Hah?!” jantung Eryna sudah berdebar kencang. Seakan terdengar sesuatu sahaja dari bibir lelaki itu.
            “Ni ha… dah jumpa.” Irfan yang sudah tersedar, terus mencapai sebuah kotak kecil yang terselit di dalam kotak besar itu. Kononnya itulah kotak yang dicari. Harap-harap Eryna tidak dapat menghidu keadaan yang sengaja diwujudkan ini.

***

Eryna Badra,

Sahabat aku dunia akhirat. Sahabat yang aku kasih dan sayang sepenuh hati. Nukilan warkah ini pasti akan melukakan hatimu. Aku tahu. Tapi aku juga tahu, bahawa kau memiliki sekeping hati yang sangat tulus dan murni.
Ryna… aku sangat sayangkan kau seperti mana aku kasihkan abang Irfan. Dan kerana rasa kasih itu juga, aku ingin meminta sesuatu daripadamu. Harapan aku sangat tinggi agar kau tidak berkata tidak… aku mohon Ryna.
Andai ditakdirkan aku pergi, aku ingin sekali meminta agar kau membahagiakan abang Irfan. Bukan aku tidak tahu, antara kamu berdua hanyalah wujud benci. Tapi mungkin kamu berdua yang tidak sedar, di sebalik rasa benci itu aku dapat melihat ada kasih yang sedang mula bersemi. Baik kau Ryna, mahupun abang Irfan. Masing-masing sebenarnya sedang menyembunyikan rasa kasih yang wujud di dalam hati. Mulut sahaja mengungkapkan benci, tetapi kasih begitu menggunung di dalam hati. Jangan kau nafikan perasaan itu untuk aku, Ryna. Tolong!
Aku tidak marah Ryna. Bahkan aku gembira. Aku gembira jika kau bakal mengantikan tempatku di hati abang Irfan. Aku akan sentiasa tenang jika ALLAH mengambil nyawaku di saat ini. Kerana aku tahu, hanya kau layak berdiri di sisi abang Irfan.
Ini bukan sekadar permintaan Ryna… ini adalah harapan. Aku harap, aku tidak akan dikecewakan. Kau telah berikan janji Ryna. Dan aku sangat berharap, kau kotakan janji itu dengan mengahwini abang Irfan. Jangan kecewakan aku Ryna. Demi kasih kau, tolong tunaikan janji ini.

Sentiasa menyayangimu,
Suraya.

            Kertas yang sudah berlipat seribu itu diletakkan kembali ke dalam bekasnya. Tidak sekalipun Irfan menyangka, arwah Suraya dapat merasakan segalanya. Begitu jauh sekali pandangan arwah sehingga dapat menangkap rasa kasih yang dia sendiri tidak pernah sedar akan kewujudannya di dalam hati.
            Memang benar, dia dan Eryna sering bertengkar. Bercakaran. Semua itu dia yang selalu mulakan. Alasannya, sengaja! Dia sengaja mencari ruang dan peluang untuk berbalah. Namun pada ketika itu, dia hanya merasakan keseronokan bila dapat melihat wajah Eryna yang merah menahan marah. Tidak pula dia sedar bahawa semua itu telah mewujudkan rasa kasih buat gadis itu. Benarkah begitu?
            Kotak yang dicapai secara tidak sengaja tadi, diletakkan di sisi meja. Matanya terpaku pada gambar arwah Suraya yang terletak di sudut meja di dalam bilik itu. Perlahan gambar itu ditarik keluar dari bingkainya.
            “Kalau abang jatuh cinta pada orang lain, Su akan marah tak?” soalan yang pernah diajukan pada arwah Suraya menjengah di minda.
            Gadis itu tersenyum. “Kalau orang lain… Su marah. Tapi kalau Ryna, Su takkan marah.”
            “Ryna?! Huh! Baik tak payah jatuh cinta macam tu!”
            “Kenapa? Ryna okey apa.”
            “Okeylah sangat… benci abang tengok dia.”
            “Benci di mulut, sayang di hati. Su lebih suka untuk tafsirkan begini.” Tenang sekali jawapan arwah pada masa itu. Disangkanya Suraya hanya main-main sahaja. Namun tidak pula dia menduga, ini yang bakal terjadi. 

***

            “CEPATLAH!!!” gesa Irfan.
            Eryna laju lagi menghadiahkan jelingan pada orang itu. Menyampah! Janjinya tidak, tiba-tiba sahaja suruh dia bersiap untuk ajak keluar. Tapi tidak tahu bersabar pula. Ikutkan hati, Eryna tak nak ikut. Tapi ikutkan hati juga, dah tersayang… suami sendiri ajak takkan dia hendak menolak pula.
            “Dah, boleh gerak!” balas Eryna dengan nada memerli. Kakinya sudah melangkah mendahului Irfan.
            “Eh, tunggulah. Kenapa yang jalan laju sangat.” Tegur Irfan.
            Eryna menjeling lagi. “Lambat salah. Cepat salah. Semua salah. Habis apa yang tak salah?” soal Eryna geram.
            Namun Irfan hanya tersenyum tenang. Terpana Eryna melihat senyuman di wajah kacak itu. Terpukau dia dibuatnya. Hari-hari begini, boleh hanyut di dalam lautan cinta. Boleh lemas terus sebab dia tidak tahu berenang.
            Pantas sahaja Eryna melarikan pandangannya ke arah lain. Bimbang dia terlemas sendiri. Entah-entah lelaki itu tidak sedar pun yang dia sedang tersenyum. Makin pelik pula Eryna dengan sikap Irfan beberapa hari ini. Semenjak dari kejadian hari lahirnya, Irfan sudah berubah. Lelaki itu sudah mula berbicara dengannya. Sudah mula menghadiahkan renungan yang mengasyikkan dirinya. Dan terkini, sudah boleh mengajaknya keluar berdua begini.
            Walaupun tidak dapat kepastian tentang perasaan lelaki itu, Eryna terasa bahagia juga diperlakukan begini. Biarlah begini, sekurang-kurangnya dapat juga dia merasakan kehadiran lelaki itu di sisinya.
            “Kita nak pergi mana?” soal Eryna sambil matanya melilau ke arah jalan raya yang dilimpahi cahaya lampu.
            “Ryna nak pergi mana?” Eryna tersentak dengan soalan itu. Dia tidak salah dengar bukan? Irfan memanggil dirinya Ryna, iya kan?
            “Ryna…” kelu terus lidah Eryna. Sesungguhnya rasa yang begitu menggebu dalam hatinya di saat ini membuatkan dia kehilangan kata. Irfan terasa seperti orang lain sahaja di sisinya.
            “Ryna nak pergi mana? Abang boleh bawa.” Nada Irfan kedengaran begitu mesra sekali.
            Mata Eryna sudah terkebil-kebil. Ini betul ke Irfan? Betul ke suami aku ni?
            “Ryna fikir lambat sangat… abang ajak Ryna makan seafood, okey?” cadang Irfan sendiri. Eryna sekadar mengangguk kecil. Walaupun wajahnya kelihatan tenang, namun hatinya sudah tidak tenang memikirkan kepelikan sikap Irfan di saat ini. Atau sudah tersampuk ke suami aku ini?
            “Irfan…” panggil Eryna perlahan. Sementara menunggu pesanan mereka sampai, terasa ringan pula bibirnya untuk bertanya. “Irfan demam ke?” soal Eryna. Hanya itu sahaja andaian yang muncul dalam kepalanya pada ketika ini. Mungkin sebab demam, jadi tingkah Irfan pun aneh-aneh sahaja.
            Irfan terus melepaskan tawa. Wajah Eryna yang tertanya-tanya itu mengundang rasa lucu dalam dirinya. Comel pula dia melihat reaksi itu.
            “Abang sihatlah… tengah duduk elok depan Ryna ni. Takkan demam pulak.”
            Eryna tersenyum, kelat. Kenapa dia terasa makin aneh. Entah-entah Irfan buat macam ini, semata-mata hendak minta izin kahwin lain tak? Terus sahaja hatinya disapa resah. Kahwin lain? Sanggupkah dia?!
            “Kenapa Ryna?”
            “Irfan nak kahwin lain ke? Nak minta izin Ryna ke? Sebab tu Irfan baik sangat hari ni. Betul kan?” soal Eryna terus. Malas sudah dia hendak berteka-teki dengan fikiran sendiri. Baik tanya terus dengan tuan badan. Habis cerita. Dia terluka pun tidak mengapa. Sudah terbiasa.
            Sekali lagi Irfan melepaskan tawanya yang galak. Eryna terpinga-pinga. Gelak tawa Irfan langsung tidak menerbitkan rasa lucu dalam hatinya. Makin resah ada la.
            “Kenapa yang fikir abang nak kahwin lain?”
            “Habis tu… kenapa pelik sangat hari ni? Selalu tu nak bercakap pun tak nak. Tengok muka Ryna pun Irfan dah cukup benci. Hari ni siap boleh ajak makan, bergelak ketawa lagi. Ryna nak fikir apa lagi, yang itu jelah yang ada dalam kepala Ryna ni.”
            Irfan tersenyum. Baru sahaja dia hendak membuka mulut untuk menjawab, makanan sudah sampai. “Kita makan dulu okey, nanti kita cakap.” Ujarnya terus. Wajah Eryna yang jelas tidak puas hati itu terus mengundang tawa kecilnya.
            Rengusan Eryna yang kedengaran manja singgah di cuping telinga. Namun tidak dipedulikan. Dia terus menikmati hidangan di depan mata dengan senyuman yang makin memekar di bibir.

***

            “UNTUK Ryna…” kening Eryna terangkat saat Irfan menghulurkan sebuah kotak berwarna merah kepadanya. Teragak-agak sahaja dia menyambut kotak itu. Perlahan penutupnya dibuka. Saat isi di dalam kotak itu singgah di pandangan mata, Eryna tersentap. Terdiam seketika dia ketika melihat isi di dalamnya. Tidak semena-mena matanya bergenang. Irfan memang sengaja! Dia tetap akan bencikan aku sampai bila-bila.
            “Ryna tak kisah… kalau Irfan nak bencikan Ryna untuk seumur hidup Irfan. Tapi tolong… Ryna merayu. Tolong jangan seksa hati Ryna macam ni. Ryna tak sanggup. Ryna tak boleh terima…” tanpa dapat ditahan air mata Eryna sudah membasahi pipinya.
            Irfan menjadi kaget. Untuk apa tangisan Eryna itu? Sungguh dia tidak ada niat untuk mengundang tangisan di wajah Eryna. Sungguh dia sudah memasang niat untuk membetulkan segala yang salah. Dan sesungguhnya dia sudah sedar, dalam hatinya juga ada rasa yang ingin dikongsi bersama isterinya. Dia tahu, biar beribu kali dia mengungkapkan benci namun kasih buat Eryna tetap berkuntum jauh di sudut hati. Terpencil dan sukar dijumpai. Sebab itu juga dia seakan tenggelam seketika dengan perasaan benci yang tidak bertepi sebelum ini.
            “Ryna tahu… cinta Irfan hanya untuk arwah Suraya. Ryna takkan minta pun Irfan cintakan Ryna… tapi, jangan buat Ryna macam ni. Jangan buat Ryna menangis lagi… tolong…” suara Eryna makin tenggelam ditelan sendunya. Selendang yang bercorak abstrak berlipat elok di dalam kotak itu dicapai. Dia sama sekali tidak menyangka, Irfan akan memberikan sesuatu yang dihadiahkan buat arwah Suraya kepada dirinya pula. Semakin terdera perasaannya dengan pemberian ini. Semakin jelas di mata hatinya, bahawa dia tidak mungkin dapat meraih cinta Irfan walaupun buat sedetik ini.
            “Ryna… abang janji, Ryna takkan menangis lagi,” ucap Irfan perlahan. Tangannya sudah mencapai jemari Eryna ke dalam genggamannya. Erat sekali pegangan Irfan seakan tidak mahu dilepaskan lagi jemari Eryna.
            “Irfan tipu!”
            “Tak sayang… abang tak tipu. Abang janji, Ryna takkan menangis lagi sebab abang.” Begitu jelas ayat itu menyapa pendengaran Eryna. Terpana Eryna mendengar ucapan sayang yang dilagukan buat dirinya.
            “Abang sayangkan Ryna…”
            “Tipu!” nyata Eryna tidak mahu menerima ucapan sayang dengan semudah itu.
            “Abang tak tipu… abang betul sayangkan Ryna.” Bersungguh-sungguh Irfan mengungkapkan kata.
            “Kalau sayang… kenapa hadiahkan Ryna selendang arwah Suraya?” soal Eryna tanpa dapat menahan rasa pedih di hati.
            Irfan terdiam. Selendang Suraya? Dia pula yang menjadi pelik.
            “Mana ada selendang arwah Suraya!”
           “Selendang ni, Irfan belikan untuk arwah kan masa Irfan ke Surabaya, kan? Arwah pernah pakai depan Ryna. Sekalipun Irfan bencikan Ryna, jangan buat Ryna macam ni! Jangan hadiahkan Ryna sesuatu yang pernah jadi milik arwah. Ryna pun ada rasa dalam hati ni… Ryna tak sanggup…”
            “Ryna… sayang, listen!”
            “Don’t sayang me! You don’t even love me.” Potong Eryna laju.
            “No, you have to listen this… yes, it is true… abang ada belikan arwah, selendang yang sama. Tapi, yang ni… abang memang belikan untuk Ryna.”
            “Selendang dengan warna yang sama?” soal Eryna sinis. Irfan fikir dia bodoh agaknya hendak percayakan cerita karut begini.
            “Abang memang beli dua selendang yang sama, untuk Ryna dan arwah. Ryna percaya atau tak, itu adalah kebenaran. Abang memang dah berniat nak belikan untuk Ryna. Tapi bila nak bagi, abang rasa macam tak perlu. Ryna pun tahu kan… kita macam mana dulu. Macam anjing dengan kucing. Kalau berjumpa nak bergaduh… jadi, abang batalkan je niat nak berikan hadiah pada Ryna. Abang simpan selendang tu sampai hari ni. Dan sekarang… abang dah berikan pada Ryna.” Panjang lebar penjelasan dari bibir Irfan. Nafas dihela panjang. Penat seketika berbicara tanpa noktah. Tetapi entah percaya atau tidak Eryna dengan penjelasannya.
            “Tipu!” balas Eryna sepatah sambil melangkah meninggalkan Irfan yang terpinga-pinga dengan responnya.

***

MASUK kali ini, entah sudah berapa kali dia membelek selendang itu. Selendang yang kelihatan serupa pada pandangan pertama. Tetapi ternyata, ada perbezaannya. Jika ditenung lebih lama, akan dapat dikesan juga. Disebabkan hal itu, Eryna sudah tersenyum sendiri.
            Beria-ria dia cakap Irfan tipu. Tapi sekarang, dia yang sudah angau bagai orang kehilangan bangau! Malu pula bila mengenangkan bibirnya yang begitu selamba membuat luahan jiwa di hadapan lelaki itu. Ditambah dengan air mata yang tidak putus-putus mengalir untuk menambahkan rencah di babak itu. Aduh, malu sungguh!
            “Abang sayangkan Ryna…” seakan terbayang kembali di ruang mata, ucapan beserta reaksi lelaki itu di hadapannya. Sungguh dia rasa gembira. Jika orang pernah kata, penantian itu suatu penyiksaan… dia rela tersiksa buat seketika jika manis dihujungnya.
            “Ryna sayangkan abang jugak…” terucap juga di bibir Eryna ucapan keramat itu. Sudah lama dia menyimpan ungkapan itu. Belum pernah sekali pun terluah dari bibirnya.
            “Cuba cakap kuat sikit.”
            “Allahuakhbar!!!” terlompat terus Eryna yang sedang elok duduk di atas katil. Selendang di tangan sudah dicampak ke bawah sebab terkejut sangat dengan kehadiran di dalam biliknya.
           Melihatkan senyuman nakal di bibir Irfan sudah cukup untuk membuatkan dada Eryna melantun dengan kuat. Apabila langkah lelaki itu semakin mendekat, membuatkan dirinya terjerat. Dirinya sudah bersandar di dinding bilik. Irfan berdiri dengan jarak setapak kaki darinya. Begitu dekat sehingga dia dapat merasakan setiap helaan nafas lelaki itu.
            “Ryna sayangkan abang jugak…” ucap lelaki itu sambil tersenyum nakal. Eryna sudah mengetap bibir. Malu tidak sudah! Wajahnya pula terasa panas sekali. Melihat renungan Irfan, membuatkan dia lemas.
            Irfan sudah disapa rasa lucu dengan perubahan wajah Eryna. Timbul pula niat nakal dalam hati, hendak mengusik Eryna. Perlahan ditundukkan wajahnya sehingga bertemu hidung keduanya. Jelas sekali wajah Eryna begitu merah. Irfan menahan tawa. Langsung dia tidak menyangka, Eryna yang begitu terkenal dengan sikap selambanya dulu kini boleh merona dengan aksinya yang biasa-biasa begini. Kalau luar biasa bagaimana? Hatinya sudah berdendang dengan rasa nakal tidak sudah.
            “Ryna…” panggil Irfan lembut. “Abang pernah bercinta… dan cinta itu bukan Ryna.” Ucapan itu membuatkan Eryna tersentap seketika. “Tapi sekali lagi abang rasa sudah jatuh cinta…”
            Kening Eryna sudah terangkat sedikit. Menantikan butir bicara yang selanjutnya.
            “Abang rasa… abang dah jatuh cinta dengan isteri abang.” Eryna tergamam. Seakan tidak percaya, dia mendengar ucapan cinta dari bibir Irfan Naufal.
            “Abang cintakan Eryna Badra dengan seikhlas hati. Biarpun dia bukan yang pertama, tapi insyaALLAH, dia adalah yang terakhir di hati ini.” Eryna menjadi gugup sendiri mendengar ungkapan dengan nada yang romantis itu. Dia benar-benar sudah lemas kali ini.
            “Kenapa… baru sekarang?” soal Eryna tiba-tiba.
            “Perasaan ni bukan sesuatu yang baru Ryna… mungkin ia dah ada lama dalam hati ni, cuma abang yang tak sedar. Arwah Suraya pernah cakap dengan abang, di sebalik kebencian kita, dia nampak ada rasa kasih di situ. Abang tak sedar masa tu…”
            “Bila abang rasa semua tu?” potong Eryna laju.
            Irfan menggeleng kecil. “Abang pun tak tahu… yang abang tahu, rasa benci itu cuma dapat diungkapkan di mulut je. Bukan di hati. Itu yang arwah Suraya cakap… lain di mulut, lain di hati. Mulut cakap benci, tapi hati cakap sayang… macam Ryna la…” Irfan yang sedang elok tenggelam dibawa emosi, sudah kembali dengan mood mengusik.
            Rasa lucu pula bila teringat Eryna yang sedang membuat luahan perasaan di depan selendang yang dihadiahkan kepadanya. Eleh… cakap tipu. Boleh pula dia tersenyum sorang-sorang dalam bilik ini. Itulah… mulut cakap tipu, hati cakap…
            “I love you sayang…” serentak dengan ucapan itu bibir Irfan singgah di dahi Eryna. Seakan terakam kembali memori di hari pernikahan mereka. Memori yang dahulunya jika dikenang, rasa sakit hati. Tetapi kini bila dikenang, rasa nyaman sekali.
            “Lain di mulut, lain di hati…” Eryna tersenyum sendiri. Betullah. Buat rugi sahaja kalau berterusan menyimpan rasa di hati. Ungkapan benci atau sayang, semuanya biar sejajar dengan apa yang tersimpan dalam hati. Jangan hati kata sayang, mulut ungkap benci. Kan dah rugi tempoh selama setahun pernikahan mereka ini.
            “Ryna…” panggil Irfan bila Eryna terus tersenyum sendiri.
            “Hhmmm,” manja sahaja Eryna menyahut.
            “Sayang abang tak?”
            Malu-malu sahaja Eryna menganggukkan kepalanya.
            “Sebab Ryna sayangkan abang… jadi terpaksalah abang bagi hadiah.”
            Berkerut dahi Eryna. Terpaksa bagi hadiah? Dan saat itu, sekeping sampul sudah dilayangkan di depan matanya.
            “Sebelum mak Ryna dan mak abang mula bertanya semula pasal cucu invisible dia orang, baik kita pergi tempah siap-siap,” ucap Irfan dengan sengihan panjang. Membuntang biji mata Eryna dengan ayat selamba itu.
            “Flight ticket… honeymoon to Pulau Sipadan.” Wajah Irfan begitu teruja sekali.
            “Kalau Ryna tak setuju?” sengaja Eryna hendak menduga. Tercuit pula hatinya melihat reaksi Irfan yang begitu teruja itu.
            “Erk!!! Takkan tak setuju pulak.” Wajah itu sudah menjadi mendung. Namun seketika sahaja, dia tersenyum semula. “Tak apa… tak nak jauh-jauh, yang dekat pun boleh.” Usik Irfan dengan nada yang nakal.
            Eryna sudah cuak apabila lelaki itu mula merapatkan semula jarak di antara mereka. “Ya…yang… de… dekat…” tergagap-gagap Eryna kerana terlalu cuak.
            “Sinilah. Sekarang.” Eryna tergamam terus. Namun dia sudah tidak menghalang malah bibirnya sudah menguntumkan senyuman manis buat tatapan lelaki itu. Dia sudah tidak ingin merugikan masa antara mereka dengan sikap yang terbawa dengan peribahasa lain di mulut, lain hati. Akhirnya, siapa yang rugi… diri sendiri juga.