Advs

Followers

March 22, 2013

Ini Kisah Jelita & Perkasa [10]



BAB 10

“TERSENGIH panjang… menyampah aku tengok!” Perkasa Armana yang baru masuk ke dalam rumah dengan beg barang dapur di tangan, cepat sahaja melaungkan komen pada Mirza Haidar. Selalunya waktu begini, Mirza Haidar pasti menggantikan tidur yang tidak cukup di malam hari. Tetapi hari ini, mata itu cerah. Secerah langit hari ini.
            “Aku ada sorang adik yang sangat comel, yang suka buat benda bukan-bukan!” Mirza Haidar tergelak. Membaca kiriman emel daripada Marlisa pada ketika ini hanya menerbitkan rasa lucu dalam hatinya. Ada-ada saja!
            Sementara itu minda Perkasa Armana terus terpanggil dengan nama Putra Azad. Cebikan terzahir di bibir mengenangkan si Doraemon yang kini sudah menjelma menjadi Prince Charming itu.
“Huh? Sorang adik yang sangat comel? Aku ada sorang adik yang perasan sangat kacak dan suka jugak buat benda yang bukan-bukan. Kita patut jadi besan!” Tutur Perkasa Armana sambil membayangkan Putra Azad dengan kegilaannya pada Jelita! Dan apa nama penuh Jelita yang disukai Putra Azad ya? Kenapa wujud begitu banyak makhluk yang bernama Jelita yang disukai insan di sekelilingnya? Sungguh dia tak faham. Disebabkan itu terasa macam ada bayang-bayang Jelita yang mulai menghantui dirinya. Erk! Itu sangat berbahaya.
            “Hang takkan percaya apa yang adik aku dah tolong buat without me asking to do it.”
          Pertanyaan itu menggamit pandangan Perkasa Armana. “Apa yang dia buat? Pergi meminang Jelita Suria ke?” soal Perkasa Armana tanpa sedar. Spontan juga terkeluar nama itu yang sudah mula berlegar-legar di ruang kepala. Hendak dinyahkan, tidak berjaya pula.
            “Eh? Hang tau nama dia Jelita Suria?” Mirza Haidar hairan. Kerutan terbias di dahi.
            “Hang pernah cakap…” malas saja jawabnya. “Jadi, kembali kepada topik asal… apa yang adik hang buat?”
            Mirza Haidar tergelak dahulu sebelum menjawab. “Boleh pulak dia letakkan album gambar yang penuh dengan gambar aku, semata-mata nak bagi Jelita tengok. And you would not believe, how did Jelita react!” Mirza Haidar buat muka teruja.
            Perkasa Armana sudah mencebik. “Mesti dia pun tersengih sorang-sorang macam nampak hang depan mata!” sinisnya. Sindrom manusia yang dilamun cinta, macam dia tidak pernah tengok sahaja. Sejak dari zaman sekolah dia sudah terbiasa expose dengan babak-babak yang meloyakan itu.
            Mirza Haidar menggeleng. “Nampaknya hang duk underestimate Jelita Suria. Dia bukan macam perempuan-perempuan lain yang senang nak melting bila nampak lelaki yang depa suka. Dia sangat lain dan sangat mahal.” Terkuntum senyuman di bibir Mirza Haidar. Mutiara! Itulah Jelita Suria. “She is just like a pearl that covered by the hard shelf which can only be touched and  discovered by the right hand. Expensive and very exclusive.
            “Sebab hang suka dia… hang pujilah bagai nak gila!” sindir Perkasa Armana. Masih dengan cebikannya. Mana mungkin dia percaya dengan hujah Mirza Haidar. Mana ada perempuan hendak menolak permandangan indah di depan mata. Jelita Suria itu mahal sampai tak pandang lelaki ke? Mustahil!
            “Aku tak faham kenapa hang kena bangkang setiap hujah aku tentang Jelita… tapi apa yang aku boleh cakap, beruntunglah setiap suami kalau dapat isteri yang betul-betul menjaga hati hanya untuk jodoh yang tertulis untuk dia.”
            “Untung ke isteri hang kalau setiap masa hang asyik teringatkan Jelita Suria aja?”
            Tersentak Mirza Haidar. Soalan yang tidak pernah terlintas di kepala. Soalan daripada Perkasa Armana yang berwajah serius itu mengkakukan lidahnya. Kesudahannya, sepi mengambil tempat di ruang antara dua jejaka itu.

AKHIRNYA, kakinya menjejak juga sekali lagi ke bumi Ireland. Kedatangan yang sebelum ini saja-saja meluaskan pandangan mata. Namun kini, ada misi yang hendak dijalankan. Disebabkan itu terpacak dirinya di hadapan Apartment Brookland, Nulty Lane yang didiami temannya, Suzi. Suzi menuntut di University College Dublin. Sama seperti orang itu! Orang yang tidak mempunyai perasaan dan berhati batu itu.
            Mengenangkan orang itu, hatinya yang selalu sejuk pun terasa panas. Kalaulah dia terserempak dengan makhluk tidak berperasaan itu di saat ini, entah apa pulak akan jadinya. Tidak mahu membuang masa, bagasi merah yang dibawa ditarik. Langkahnya laju dan yakin. Alamat yang tercatit dalam Iphone dicari.
            Namun langkah yang begitu yakin sekali, terkaku di situ. Mata yang berwarna hitam pekat itu terasa bersinar. Kalau tadi bila fikir orang itu, rasa macam nak marah. Tapi tak sangka pula, kalau sudah berdiri di depan mata… asyiknya!
            “Hai…” spontan Zalfa menegur. Senyuman sememangnya sudah sedia berkuntum di bibir. Siapa yang tak mahu senyum pada Perkasa Armana. Semakin kacak dan hanya akan sentiasa kacak walau dipandang dari sudut mana sekalipun.
            “Zalfa?” Perkasa Armana terkejut. Disangkanya tadi pelanduk dua serupa tapi tak sangka pula, sebetulnya itu Zalfa. Aduh! Apa pula minah berdarah kacuk itu buat di sini?
            “Ingatkan dah takkan tegur…”
            “Buat apa dekat sini?” soal Perkasa Armana tidak mahu bertangguh. Selepas dapat jawapan, dia hendak terus berjalan ke library. Nescaya, kalau Zalfa ada urusan di kawasan perumahan itu, dia akan cuba usahakan sehabis baik untuk tidak pulang ke rumah hari ini. Lebih baik begitu daripada dia terus diganggu oleh bayangan si cantik ini.
            “Bercuti.” Zalfa tersenyum. Wajah Perkasa Armana yang resah itu hanya menggamit perasaan lucu dalam hatinya. Apa lelaki itu fikir, sepinya akan membuatkan Zalfa lelah? Tidak mungkinlah. Kalau tidak, dia tidak akan segigih ini. Datang dari London, semata-mata hendak bertemu dengan Perkasa Armana yang hanya tahu menyombong diri. Dulu, Perkasa Armana tidak begini. Tetapi kenapa sekarang lagak lelaki itu seakan orang lain.
           “Cuti? Untunglah…” gumam Perkasa Armana. Matanya sudah pura-pura melihat jam. Pura-pura beraksi kalut. Sedangkan dia tiada urusan yang mengejar masa.
            I have to go…” kononnya rushing, Perkasa Armana buat-buat macam tak cukup kaki untuk jejak tanah. Tetapi hairan juga, Zalfa tersenyum mendengar alasannya. Mungkin dia saja yang perasan Zalfa datang ke sini untuk menganggu-gugat ketenteraman dirinya. Mungkin juga Zalfa sudah insaf daripada penyakit “obses” dengan diri Perkasa Armana. Mungkin…
            “Okey.” Balas Zalfa. Tidak bersoal panjang. Namun maksud senyuman di bibir itu, hanya hati yang mengetahui. Perkasa Armana fikir dia boleh lari? Larilah… kalau sempat. Desis hati yang sudah mulai berbunga di saat ini. Melihat sahaja langkah Perkasa Armana menuju ke jalan besar, dia sudah berpaling mencari apartment bernombor 46 itu. Suzi, thank you!

TIDAK dapat dikira, sudah berapa kali dia menggelengkan kepala. Aksi Marlisa hanya membuatkan kepalanya terasa pening pula. Sejak bila kawannya yang seorang ini dibius “cinta” dengan subjek agama? Selalu kalau nak menyelak baca satu bab pun, banyak sungguh alasannya. Sekarang ini, begitu tekun pula. Jelita Suria cuba mengintai apa yang begitu menarik dalam helaian buku itu yang berjaya menguntumkan senyuman lebar Marlisa sejak tadi. Tak tahu pula dia, buku agama ini sudah menjadi surat cinta buat Marlisa.
            “Apa yang seronok sangat sampai tersenyum tak berhenti?”
            Terkejut Marlisa dengan teguran Jelita Suria. Kalut sahaja aksinya menutup buku di depan mata. Tidak mahu Jelita Suria menghidu keadaan sebenar.
           “Tak ada apa-apa…” balas Marlisa berlagak selamba. Botol air di hujung meja dicapai dan air kosong diteguk. Sambil itu matanya jatuh pada wajah Jelita Suria yang kelihatan hairan. Jelas terukir riak tidak puas hati.
            “Kalau tak ada apa-apa…” tekan Jelita Suria. “Kenapa sampai nak tutup buku dan larikan bawah meja. Mesti ada apa-apa kan? Dan hang tak nak aku tahu, kan?” Tebak Jelita Suria. Jelas, pasti ada apa-apa. Dan tebakan itu seakan terjawab dengan sendiri apabila Marlisa tersedak kuat. Langsung tak boleh simpan rahsia. Desis Jelita Suria. Sekejap lagi pasti Marlisa sendiri akan buka mulut dan bercerita tanpa perlu dia bertanya apa-apa. Itu tersangat pasti!
            “Tak adalah!” dalih Marlisa. Sisa air kosong yang melekat di muka, dilap dengan gopoh. Riak selamba dengan dirinya tidak mudah dikekalkan nampaknya. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan Jelita Suria, si ‘bakal ipar’ yang begitu garang… opppsss!
            “Kalau tak ada apa, baguslah. Jangan ada apa-apa yang bukan-bukan pulak. Hang tu budak sekolah lagi… ingat tu!” tegas Jelita Suria menekankan kata-katanya. Dia seakan dapat menghidu sahaja kenapa Marlisa begitu. Bukan dia tidak perasan, ada beberapa perubahan yang sedang terjadi secara perlahan. Seakan ada musim bunga yang sedang mengambil tempat di dalam hati gadis itu. Tidak mahu melihat perkara itu dengan menerima seperti biasa, Jelita Suria tergerak untuk menegur juga. Tetapi, mampukah Marlisa menerima?
            Belum sempat Jelita Suria membuka mulut untuk bersuara, sudah ada wajah yang menjengah di balik tingkap kelas mereka. Serta-merta wajah Marlisa berubah rona dan tertunduk ke bawah. Spontan juga mata Jelita Suria berpaling ke sisi dengan rasa marah. Wajah si dia yang cuba menyuntik perasaan tidak-tidak dalam hati sahabatnya itu dijeling keras. Namun apa yang diterima, kenyitan nakal yang melahirkan rasa meluat dalam hati. Jengkel sekali rasanya menyaksikan panorama sebegini.
            Sekali lagi dia menjadi tidak faham, apalah yang dikejarkan dengan hubungan lelaki dan perempuan dari zaman persekolahan? Sedangkan duit makan dan pengangkutan pun ibu bapa yang bayarkan. Ada hati pula hendak mengurat anak dara orang! Sungguh, perkara itu hanya membangkitkan kemarahan dalam hati Jelita Suria.
Baginya, cinta itu tidak boleh terjadi atas dasar suka-suka dan hendak cuba-cuba. Dan dia pasti itu yang sedang terjadi antara Marlisa dengan Najmi, ketua pelajar yang perasan hot di sekolah ini.
“Marlisa!!!” Tidak mahu menyaksikan sahaja, Jelita Suria hendak bersuara juga.
“Kalau hang rasa cinta yang Allah wujudkan dalam hati manusia ni sebagai suatu perkara yang begitu tinggi nilainya… hang jangan rosakkan hati hang dengan berangan-angan tentang makhluk berbaju biru dekat luar tu.” Sempat lagi Jelita Suria melayangkan jelingan buat kali kedua apabila wajah Najmi masih jelas di luar koridor kelas mereka.
Wajah Marlisa tersentak. Kalut juga dia merenung Najmi di luar kelas yang mungkin tidak mendengar butir bicara yang dikatakan oleh Jelita Suria.
“Kenapa? Aku dengan dia tak buat apa-apa pun. Nak berkawan aja, salah ke?”
“Salah!”
“Apa salahnya?” Marlisa mengetap bibir. Terasa marah. Terasa bahawa apa yang dirasakan dalam hati ini seakan didustakan oleh kawan baik sendiri.
“Salah bermaksud salah. Tidak dibenarkan oleh agama. Perkara yang melekakan hati hanya akan membawa padah kepada manusia. Syaitan tu tahu aja mana kelemahan kita. Dia lebih arif tentang keadaan diri kita dan itu yang menyebabkan kita mudah lupa pada Tuhan. Allah dah pesan, jaga batas hubungan antara lelaki dan perempuan. Jaga pandangan. Jaga kehormatan. Tapi manusia selalu anggap perkara tu sebagai sesuatu yang sangat remeh. Tak bermakna hang tak keluar dengan dia, tak berlaku apa-apa. Hati tu Marlisa… kawal nafsu tu!” Tegas sekali Jelita Suria berhujah.
“Aku tahulah nak kawal nafsu aku… takkan sebab hang tak suka berkawan dengan lelaki, aku tak ada kebebasan untuk tu? Berkawan untuk berkawan. Bukan berkawan untuk mengawal kawan. Aku tak suka hang kawal-kawal hidup aku. Aku akan buat apa yang aku suka! Dan aku suka Najmi, hang nak kata apa?” balas Marlisa tidak kurang tegasnya. Rasa suka pada Najmi kini berada di tangga teratas dalam hati. Terlupa terus pada persahabatan antara dirinya dan Jelita Suria yang terjalin sekian lama. Hanya kerana cinta yang mulai mengambil tempat. Hanya kerana nafsu mula menguasai keadaan.
Jelita Suria tersenyum nipis. Hendak marah, dia tahu dirinya akan dihentam semula. Marlisa tidak pernah begini. Dan dia tahu, keadaan sebegini tidak akan kekal lama. Dia akan kembali mendapatkan temannya, namun dia harus bersabar.
“Pesan aku, jaga hati, jaga iman… dan aku tak berkawan untuk mengawal. Aku berkawan untuk menjadi sahabat. Sahabat yang takkan tinggalkan temannya walau dalam apa keadaan. Kalau hang rasa aku tak ada hak untuk menegur hanya dengan status kawan tu, aku minta maaf.”
Serentak itu Jelita Suria bangkit dari kerusinya. Fail yang berisi nota dan peta minda dicapai. Tanpa kata, kakinya menyusun langkah. Dia tidak mahu berada di hadapan Marlisa buat seketika. Mungkin melepak di perpustakaan lebih baik buat masa ini. Nasib juga tiada guru ganti untuk mata pelajaran sivik yang berada di penghujung waktu sekolah ini.
Sambil kakinya melangkah, menerawang mindanya memikirkan sebaris hadis yang dibaca tempoh hari. Sebaris hadis yang mengingatkan diri tentang apa itu sahabat. Apa ertinya hidup dengan adanya teman di sisi. Dan ia bukanlah seperti yang didakwa oleh Marlisa sebentar tadi. Berkawan itu bukanlah untuk mengawal.
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat harumnya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Hadis Al-Bukhari dari Abu Musa Al-Asy’ari)
Dan Jelita Suria tidak mahu menjadi yang busuk kerana ia hanya merosakkan keadaan. Walaupun hanya sekecil-kecil kulat dalam roti kesannya pasti dapat dirasai andai ditelan juga biarpun amaran sudah diberi.

March 04, 2013

Ini Kisah Jelita & Perkasa [9]



BAB 9

PERKASA Armana yang baru pulang daripada kuliah, mengintai seketika insan di bilik sebelah. Lena sungguh tidur Mirza Haidar. Maklumlah, pelajar tahun akhir perubatan, memang tidak akan kenal erti berehat yang semoleknya. Kena cari kes di hospital, review, pembentangan lagi. Lima tahun pengajian yang begitu mencabar otak! Bukan mudah kalau sudah melangkah kaki ke dunia perubatan. Tapi dalam dunia ini, ada ke perkara yang mudah?
            Disebabkan itulah Perkasa Armana terpujuk dengan kata-kata emak dan abahnya untuk menerima tawaran ke Kolej Mara Banting sebagai persediaan berangkat ke oversea mengikuti pengajian. Pada mulanya memang langkah ini diambil untuk menyenangkan hati emak dan abah, tapi mungkin benar seperti yang pernah dititipkan Mirza Haidar padanya.
            “Redha Allah akan mengiringi diri kita andai adanya redha emak dan bapa. Jangan fikir kita buat ni semata-mata untuk gembirakan hati orang tua kita, fikir untuk agama. Ada hikmahnya kenapa Allah pilih setiap manusia berada dalam bidang-bidang yang mungkin kita tak jangka… apa pun, kita yang kena tahu manfaatkan setiap tu untuk agama Allah.”
            Dengar sahaja nasihat itu, terasa sejuk hatinya. Mirza Haidar bukan sekadar bakal doktor, bakal ustaz pun ya agaknya. Mana tidak, sentiasa memberikan khidmat tazkirah percuma. Selalu juga dia tengok Mirza Haidar mengikuti kem usrah yang dijalankan oleh persatuan pelajar islam di sini. Bila diusik dengan title ustaz, pasti lelaki itu tertawa senang dengan membalas bicara.
            “Aku nak siapkan diri sebaiknya. Barulah abah Jelita Suria boleh yakin, aku boleh jaga anak dia!”
            Entah bila dia hendak mendapat hidayah untuk lebih serius mendalami ilmu agama seperti Mirza Haidar? Atau… dia juga harus mencari satu pemangkin dalam hidupnya? Si ‘jelita’ mungkin? Baru ada semangat hendak berubah? Tapi… salah niat pula. Kenapa sebab perempuan pula dia kena berubah? Aduh Perkasa Armana… memang dah tak betul suis-suis dalam kepala. Kuliah yang berderet dari pagi ke petang mampu memerengkan otaknya!
            Yang penting, kalau nak berubah sebab nak kejar cinta Allah. Bukan kejar cinta Jelita Suria! Eh…??? Terasa pelik tiba-tiba. Nama Jelita Suria yang pernah diucapkan oleh Mirza Haidar, kini baru muncul dalam mindanya. Jelita Suria? Adakah ini gadis yang sama disukai oleh Sarip Dol? Gadis yang sama, yang juga pernah memukau pandangannya kali pertama bertentang mata. Diakah?
            Biarpun kurang daripada 10 saat bertentang mata, namun kenapa ia terasa segar dalam minda? Renungan daripada gadis yang hanya berusia 13 tahun pada ketika itu berjaya menjadi gangguan dalam otaknya. Aduh!!! Gangguan nafsu betullah. Memang macam inilah jadinya kalau hati asyik fikir dunia sahaja.
            Geram dengan hati sendiri, Perkasa Armana bergegas ke bilik. Mungkin dia harus belajar jadi baik macam Mirza Haidar juga. Sekurang-kurang hatinya akan lebih tenang mengingati Allah. Dapat pahala!

“MACAM mana Jelita?” Soalan Encik Johan itu terus menguntumkan senyum di bibir Jelita Suria. Slip keputusan peperiksaan percubaan SPM diserahkan pada abah yang setia menantikan jawapannya.
            Jelita Suria dapat lihat dengan jelas kegembiraan yang terpancar di wajah Encik Johan. Biarpun keputusan yang diperoleh ini tidak segempak pelajar cemerlang tingkatan 5, tapi untuk dia, ini yang terbaik. Malah, sejak dari awal peperiksaan, kali ini menunjukkan peningkatan mendadak.
            “Abah tahu… Jelita mesti boleh buat. Insya-Allah, lagi berapa bulan aja nak SPM…sempat lagi Jelita nak baiki mana-mana yang masih lemah.”            
            Jelita Suria mengangguk. Itulah abah! Sentiasa kaya dengan kata-kata motivasi dan memberi semangat kepadanya. Jelita Suria harus akui, dia bukanlah pelajar yang genius namun dia tidak pernah malas untuk berusaha. Kerana dia yakin dengan janji Allah, seperti yang telah difirmankan dalam surah Asy-Syarh.
            Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap. (94: 6-7)
            Dan hanya disebabkan kurnia daripada Ilahi, keputusan yang dapat memberi kegembiraan dalam hati emak dan abah dapat dikecapi. Dia tidak mahu menjadi ‘gila’ belajar semata-mata tanpa menyandarkan niat dan keyakinan kepada Allah. Dia hanya mahu mengejar keredhaan daripada Allah atas segala nikmat yang dikecapi dalam hidup ini. Apa yang lebih berharga kepada seorang hamba apabila dikasihi oleh penciptanya? Pasti, tiada yang lebih berharga daripada itu!
            Lebih elok dikasihi oleh pencipta daripada asyik berkasih antara manusia yang tiada hubungan halal dengan kita. Mengenangkan perkara itu, terdetik sesuatu di minda Jelita Suria. Sesuatu yang ingin ditanyakan kepada abahnya.
            “Abah…” Jelita Suria menggamit pandangan Encik Johan padanya. Terasa ingin bertanya. “Jelita nak tanya aja… tapi, abah jangan salah anggap dengan Jelita ya.”
            “Tanyalah, sayang…”
            “Jelita faham bila abah cakap, tak elok kalau perempuan dan lelaki bergaul bebas. Tapi, kalau masing-masing pandai jaga diri, kawal perbuatan dan percakapan… tak dikira sebagai pergaulan yang dibenarkan ke, abah?”
            Soal Jelita Suria dengan gementar. Bukan apa, dia perlukan hujah agar ada insan lain yang tidak faham dengan prinsipnya. Kenapa ada yang berkata, tak salah couple asal pandai menjaga batasan dan tidak melanggar syariat agama. Tetapi kata abah, kalau orang biasa buat, tak semestinya semua betul sentiasa.
            Wajah Encik Johan yang berubah riak, makin menambahkan debaran Jelita Suria.
            “Abah, Jelita tanya aja… kalau abah tak nak jawab, tak apa.” Perlahan sahaja dia mengalah. Tidak mahu pula andai dirinya kena marah. Siapa suka kalau kena marah kan? Mahunya tujuh hari, tujuh malam menangis tak sudah.
            “Bila Allah meletakkan halangan pada sesuatu perkara, pasti ada hikmahnya. Sama juga dengan perkara ni. Memang, kalau ikut logik akal… mata kasar yang melihat, tak nampak mana salahnya fenomena couple kalau ia berlangsung dengan cara yang Jelita cakap pada abah tadi. Tak keluar berdua, tak jalan pegang-pegang tangan, tak buat apa-apa perkara yang melalaikan… macam tulah kan. Apa orang panggil, Islamic couple! Yang si lelaki ajak perempuan bersolat, yang si perempuan ingatkan lelaki untuk ke masjid berjemaah. Memang benda tu asasnya nampak baik… tapi, kita ni manusia biasa, yang sering terpedaya dengan helah syaitan.”
            “Kalau boleh scan hati manusia yang sedang bercinta ni, mustahil…” Encik Johan mengerling ke arah Jelita Suria. “Mustahil kalau dia tak ingat pada si dia tu dalam sehari. Rindu kan? Macam Jelita sekarang… nampak macam duk khusyuk dengaq abah bersyarah, tapi hati duk ingat kat Mirza.” Tebak Encik Johan.
            Jelita Suria terus menggelabah. “Abah… apa pulak! Jelita tak ingat langsung dekat dia, abah yang rasa macam tu kat Jelita.” Kalut diberi jawapan. Jantung yang tadinya berdegup dengan normal menjadi kencang tiba-tiba. Risau benar mendengar telahan abah itu.
            “Iya ke?” Sengaja Encik Johan hendak menguji.
            “Abah!!!” Jelita Suria bersuara manja. “Jelita tak ingat kat dia, langsung tak!”
            “Kalau tak ingat, awat yang duk gelabah sangat!”
            Gulp! Jelita Suria hanya mampu menelan liur dan terus mendengar Encik Johan bersyarah. Tapi kali ini, mungkin abah tidak silap menebak. Hati dia betul-betul terasa tiada jiwa seketika. Macam diterbangkan jauh merentasi lautan dan benua. Tiba-tiba macam tersangkut di Ireland. Tiba-tiba!!!
            Dan hati yang tersesat itu hanya kembali ke alam nyata apabila bicara Encik Johan mengetuk minda Jelita Suria.
            “Rindu yang melalaikan… merindui seseorang yang tiada ikatan halal. Rindu yang membawa kepada zina hati kerana saling ingat-mengingati tanpa sebarang urusan yang diharuskan. Sebab itu Allah berfirman dalam surah Al-Isra ayat 32… “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” Tapi ada ke manusia akur dengan perintah  yang diturunkan? Kalaulah manusia ni benar-benar akur dengan setiap perintah Allah, maka amanlah dunia daripada kes-kes rogol, khalwat, sumbang haram, buang anak luar nikah dan macam-macam lagi benda yang kalau abah fikirkan, boleh buat hati ni rasa ngeri sentiasa.” Suara Encik Johan bergetar. Menunjukkan naluri seorang bapa yang hanya ingin melindungi anaknya daripada segala jenis kejahatan di dunia ini.
            “Abah cuma insan biasa, yang ingin terus berpegang pada hukum agama untuk mendidik anak-anak abah. Jelita dan Naufal. Insya-Allah, dengan redha Allah dapatlah kita menjawab dengan aman bagi setiap pertanyaan pada soalan yang akan diajukan kelak. Abah kena jawab Jelita, seandainya anak-anak abah ni hanyut dengan dunia dan membelakangkan hukum Allah. Sebab nabi dah bersabda, “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari) Abah bertanggungjawab terhadap keluarga kecil kita ni dan ia menjadi amanah untuk abah pegang sebaiknya.”
            Jelita Suria mengangguk perlahan, tanda faham dengan bicara abahnya. Apa yang lebih difahami pada ketika ini ialah tugas ibu bapa bukan sekadar menyediakan kemewahan dan keperluan dunia semata-mata. Tetapi yang lebih penting, mendidik anak agar akan aman di akhirat kelak. Sebab itu manusia harus sentiasa berdoa, “Ya Tuhan Kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.”
            Sesungguhnya, dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Yang kekal itu hanyalah akhirat kelak. Kenapa hendak dikejar kesenangan di dunia dengan menurut kata nafsu yang lemah? Nafsu yang sentiasa mengajak manusia ke arah kejahatan! Lebih baik jika kita mengejar keredhaan Allah agar aman hidup di dunia dan akhirat.
            “Benda yang baik memang susah nak buat, sebab tu ganjaran baik adalah syurga yang susah nak dapat. Dan kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan bagi orang yang beriman adalah menerima pembalasan syurga daripada Allah Yang Maha Kaya!” sambung Encik Johan lalu menepuk bahu Jelita Suria dengan penuh kasih.
Anak gadisnya yang kini sudah berusia 17 tahun. Seakan baru semalam dia memegang Jelita Suria yang selamat dilahirkan oleh isterinya. Dan mungkin dalam beberapa tahun lagi, anaknya ini harus diserahkan pada orang lain pula. Memikirkan itu, hati seorang ayah ini terusik juga. Sayu mulai menapak di hati.

“BOO!!!”
            Mujur tidak terkeluar jantung Jelita Suria dengan sergahan itu. Matanya sudah membulat dan tangannya spontan mengurut dada yang menjadi sesak. Kus semangat!
Marlisa menyengih lebar sambil menghidangkan air Sunquick yang dibancuhnya. Sengaja dia mengajak Jelita Suria untuk melepak di rumahnya. Penat memerah otak untuk menjawab peperiksaan dua minggu lepas, seakan belum hilang lagi. Tapi keputusan sudah keluar dan sampai ke tangan mama dan papa. Itu sangat mengerikan!
            Mujurlah keputusan boleh dibanggakan juga. Walaupun tidak secemerlang abangnya, Mirza Haidar yang selalu tampil menjadi pelajar top ten di sekolah. Dia itu belajar pakai otak apa? Kenapa pandai sangat sampai tak pernah dapat markah kurang daripada 80 setiap kali peperiksaan? Musykil pula Marlisa dengan keadaan itu.
            “Hang buat apa tu hah?” Marlisa sudah kembali fokus pada Jelita Suria yang sedang membelek album gambar di atas meja. Dan itu pun agenda sengaja juga. Otak dia tak betul, sekali dengan otak Jelita Suria diganggunya. Dalam album yang dipegang Jelita Suria, semuanya gambar Mirza Haidar di Ireland. Bila abangnya tak balik rumah, abangnya akan mengirim gambar. Dan semuanya dimasukkan ke dalam satu album.
            “Gambar ni tak penting Jelita. Yang lagi penting, ada dekat belakang ni, hah!” Apabila Jelita Suria menyepi, Marlisa tolong selak muka surat album yang terpampang gambar Mirza Haidar paling latest punya. Bibirnya tersenyum sendiri, handsome rupanya abang aku ni! Selalu ada depan mata, tak menyerlah pula.
            Jelita Suria terus menutup album gambar dan tindakan itu menyentakkan Marlisa.
            “Kenapa? Tak suka ke? Aku tau, hang mesti nak tengok Abang Mirza kan?”
            “Kawan yang baik, akan sokong tindakan kawan dia. Bukan dengan menghasut macam ni, sekaligus mencemarkan prinsip yang aku pegang!” serius bicara Jelita Suria.
Tergamam Marlisa. Aduh, salah rupanya! Tapi, takkan Jelita Suria langsung tidak mahu melihat abangnya? Langsung tak? Macam tak dapat dipercayai.
“Lain kali, panggil aku hanya untuk urusan kita. Bukan untuk urusan yang tak diperlukan. Aku datang sini dengan bawa kepercayaan emak dan abah. Kalau aku langgar kepercayaan tu, berdosalah aku!”
Mendengar perkataan dosa yang menjelma di bibir Jelita Suria, Marlisa sudah gelabah gila. Terasa berdosa sangat pada kawannya ini. Kalau Jelita Suria melanggar kepercayaan Encik Johan dan Puan Hayati, maknanya… dia pun tumpang saham dosa sekaki. Sebab dia yang menjadi dalang untuk mencungkil rindu di hati Jelita Suria yang suci ini. Sudahlah dosa sendiri pun belum tentu tertanggung, hendak kongsi dosa dengan orang lain pula? Memang mencari nahas!
Jelita Suria sudah bangkit berdiri. Dia hendak pulang ke rumah. Tersinggung hatinya dengan tindakan Marlisa. Marlisa adalah teman baiknya! Wajar untuk gadis itu memahami apa yang menjadi pegangan dalam hidupnya. Bukan mempersoalkan dan mengandaikan yang tidak-tidak seperti orang lain!
Marlisa menjadi kalut. Laju tangannya menggamit pergelangan tangan Jelita Suria. “Jelita, sorry. Janji aku tak buat lagi!” ucapnya laju. “Aku salah… maaf ya. Janji, lepas ni aku kunci semua gambar Abang Mirza dalam bilik dia. Kalau aku rindu, aku tengok sorang-sorang…” tambahnya dengan gabra.
“Janji?” soal Jelita Suria ragu.
Marlisa mengangkat tangannya tinggi. “Janji! Tapi hang jangan salah anggap pada Abang Mirza pulak. Dia tak suruh pun aku buat macam ni semua. Aku sendiri yang sengaja nak bagi hang tengok… hang takkan marah Abang Mirza kan?” Risau pula Marlisa andai Jelita Suria reject abangnya kerana hal ini. Dalam diam, bukan Abang Mirza seorang angau dengan Jelita Suria, malah dia, mama dan papa juga sudah capai kata sepakat. Jelita Suria bakal jadi menantu rumah ini. Keputusan yang dibuat sesuka hati, tetapi dia sangat berharap perkara itu akan terjadi.
“Iyalah... dimaafkan, dengan syarat jangan buat lagi.”
“Okey.” Perlahan Marlisa akur. Tetapi ada juga bunyi sambungan yang membuatkan dia menerima habuan jelingan tajam tidak berkesudahan daripada Jelita Suria. “Kalau hang rindu, aku tolong tengokkan gambar Abang Mirza.”
“Okey… siapa pun tak payah rindukan Abang Mirza. Biar dia rindukan diri-sendiri.” Ayat yang sempat juga Marlisa reka supaya membungakan senyuman di wajah Jelita Suria. Dan nyata, dia berjaya.
“Macam-macam!”

------------
Cik Jelita ni suka siapa ya? :D cuba teka-teka. dan teruskan meneka. dan saya harap, tekaan akan mengenalah. sebab, w/pun tajuk kisah jelita dan perkasa, mungkin jadi jugak ada dua hero dan heroinnya ;)