Advs

Followers

August 28, 2011

[17]

Tuan 'Singa' Milikku

“CUKUP ke?”
            Aku tersenyum kecil mendengar soalan itu. “Cukup dah aunty… banyak sangat ni. Perut pun rasa macam nak meletup pulak.” Selorohku dengan tawa kecil. Mana tidaknya, dengan selamat sekali dua biji cheese burger aku telan. Besar pula seleraku hari ini.
            “Kalau tak cukup, boleh order lagi…” cadang Datin Emily. Aku sudah menggeleng laju. Dua itu sudah mencapai had maksima. Kalau Asad ada, pasti dia tidak akan membenarkan aku makan mengikut nafsu. Katanya, mengidam itu satu hal… tapi jangan diikutkan sangat. Semua itu pun atas dorongan nafsu juga. Yang mana dapat memberi kesihatan kepada bayi, tak salah makan lebih. Tapi kalau yang jenis lebih lemak, lebih minyak… ada bagusnya, dielakkan!
            “Cukuplah aunty… banyak sangat nanti, tak boleh berjalan pulak.” Datin Emily sudah ketawa. Mungkin mimik wajahku agak lucu ketika menuturkan kata itu. Mungkin. Aku pun tidak tahu.
            “Aunty kata ada hal jumpa dengan Sham… hal apa ya aunty?” soalku sambil mengesat mulut dengan tisu. Datin Emily tersenyum tenang. Dan ketenangan itu sedikit sebanyak memberikan kedamaian dalam hatiku. Entah kenapa, wajah itu membuatkan perasaanku terusik. Mungkin kerana aku terbayangkan arwah emak. Emak…
            “Tak ada hal apa pun. Sengaja nak jumpa Sham… hari tu datang rumah, kita tak ada masa pun nak berbual panjang…”
            Aku tersenyum kecil. Tetapi dalam masa yang sama, hatiku sudah bermain bermacam irama. Kenapa bila dia sebut berbual panjang, fikiran aku asyik berfikir yang tidak-tidak sahaja. Kalau diikutkan logik akal, emak mana yang sanggup melihat anaknya kecewa?! Pasti tidak ada.
            Dan sekarang, aku sudah kembali meragui. Apakah Datin Emily sengaja hendak berbaik denganku? Dengan itu, dia mampu ‘mengikat’ Asad dengan anaknya? Begitu? Aku bingung.
            Sedang aku begitu fokus dengan andaian yang bukan-bukan di dalam kepala, aku tersentak. Tanganku digenggam erat oleh Datin Emily. Matanya terus menusuk ke jiwaku. Aku benar-benar terasa sayu. Terbayangkan wajah arwah emak di dalam matanya yang berkaca itu.
            “Berikan peluang pada anak aunty… aunty yakin, Asad pasti dapat membahagiakan kamu berdua.”
            Aku andaikan dia akan berkata begini. Namun ternyata, jangkaanku meleset sama sekali.
            “Tolong Sham… apa pun yang Elisa buat untuk dapatkan Asad, Sham tak boleh mengalah. Aunty yakin, bila dia dah dapat Asad… dia akan pisahkan kamu berdua.”
            Mata Datin Emily berkaca. Kenapa? Sepatutnya aku yang merasakan kesedihan itu. Tetapi kenapa dia pula yang menanggung kesakitan?
            “Aunty…”
            “Aunty akan tolong Sham…” potong Datin Emily laju sebelum sempat aku menghabiskan ayat.
            “Tolong apa aunty?” soalku dengan rasa pelik sekali.
            “Dapatkan pertukaran untuk Asad dan Sham ke ibu pejabat!” nada Datin Emily begitu serius sekali. Aku sudah terlopong. Ibu pejabat?! New York?
            Kalau Asad yang dapat pertukaran, logiklah. Dia kan pegawai berpengalaman. Takkan dengan aku, pembantu pegawai pun senang nak dapat pertukaran. Wajah Datin Emily kupandang dengan rasa tidak percaya.
            “I’ll use my power to get the transfer.”
            Aku sudah tergamam. Mata aku sudah tidak mampu berkelip. Mindaku hanya tertumpu pada satu perkara. Siapa sebenarnya Datin Emily ini? Yang aku tahu, dia isteri Datuk Mokhtar. Lain-lain, aku sudah tidak ambil peduli. Tapi, nampaknya sekarang aku harus memulakan sesi soal siasat dengan Asad. Dia pasti tahu lebih banyak tentang Datin Emily. Dan aku juga pasti, Asad aku itu tentu sahaja merupakan kesayangan Datin Emily sehingga dia sanggup menolong kami hingga ke tahap ini.

AKU masuk semula ke pejabat agak lewat dari biasa. Adila pula sudah melemparkan pandangan luar biasanya padaku. Kenapa aku dapat merasakan ada yang tidak kena di situ?!
            “Sham…” suara Elisa sudah menggamit perhatian aku. Langkah yang hendak dihayun ke meja, aku pusing ke arah Adila. Wajahnya sangat gelisah di saat itu.
            “Aku rasa… kau akan dimadukan!”
            “Hah!!!” terkejut aku.
            “Madu Sham…” ulang Adila sekali lagi. Aduh! Kenapalah isu ini tidak mahu reda dengan begitu sahaja? Letih aku melayan perasaan begini.
            “Elisa ada kat dalam tu…” sambung Adila lagi dengan nada berbisik.
            Aku menjeling sekilas ke arah pintu bilik Asad yang terkatup rapat. Sungguhlah Elisa ini tidak faham bahasa. Like father, like daughter. Papa dia pun tak faham, Elisa… dua kali ganda tidak faham dengan ayat yang dituturkan Asad agaknya.
            “Dia buat kecoh tadi sampai abang singa kau tak tahu nak buat macam mana… kau bayangkan, perempuan gila datang mengamuk sakan. Gaya dia… macam kau pula yang rampas suami dia.”
            Cerita Adila itu kudengar sekali lalu sebelum mata kembali terarah pada pintu bilik Asad yang sudah terbuka luas.
            Begitu jelas sekali di pandangan mata, langkah mereka yang beriringan keluar dari bilik Asad. Pandanganku berlaga dengan Elisa yang sudah tersenyum bangga. Apa maksud senyuman itu? Adakah dia fikir, dia sudah ‘menang’? Kalau itu yang difikirkan, ternyata dia silap. Aku belum mengaku kalah.
            Mataku berlari pula pada wajah Asad. Ada riak yang begitu lain di matanya. Dia pandang wajahku lama. Bibirnya bergetar seakan hendak berbicara. Tapi aku tidak pasti, seperti ada sesuatu yang menyekat suaranya pada ketika ini.
            “Jom Asad...” suara Elisa yang menggedik itu singgah pada pendengaranku. Aku menjeling. Menyampah.
            Belum sempat jemari Elisa bersimpul dengan lengan Asad, aku laju lagi menarik suamiku. Aku nampak sangat jelingan tidak puas hati di wajah Elisa pada ketika itu. Benarlah kata Adila. Sekarang ini, seolahnya aku yang sedang merampas suami Elisa. Sedangkan, hakikatnya… adalah sebaliknya.
            “Hei perempuan… Asad nak keluar dengan I, you jangan nak masuk campur!” marahnya. Aku malas nak layan. Terus aku buang pandang pada wajah Asad yang kelihatan bingung di tepiku. Tangannya sudah mula naik ke kepala. Memicit-micit seolah menanggung kesakitan yang amat.
            Aku sudah mula risau. Apa sebenarnya perempuan ini sudah lakukan pada suami aku?
            “Abang… kenapa ni? Abang okey ke?” soalku laju. Asad menggeleng kepalanya berkali-kali.
            “Sakit!” ucap Asad merintih.
            “Sakit sangat sayang…” genggaman Asad bertambah erat di tanganku. Aku sudah tersentak bila tubuh Asad seakan lembik sahaja. Aku panik.
            “Adila…!!!” laungku laju. Adila sudah terkocoh-kocoh ke arahku. Tangannya turut sekali menampung tubuh Asad yang hampir rebah.
            “Asad… darling, why?” Elisa menyibuk sekali. Aku sudah geram.
            “Jangan sekali-kali kau kacau suami aku!!!” ucapku tegas. Kesabaran aku sudah berada di tahap paling kritikal. Aku sudah tidak dapat memerap rasa geramku pada perempuan ini. Cebikan di bibir Elisa semakin mendidihkan aliran darah di dalam tubuhku. Kalau tidak fikirkan aku sedang mengandung pada ketika ini, Elisa akan ku karate!
            Walhal, karate pun aku tak tahu macam mana sebenarnya.

SEGELAS lagi air kosong aku tuang apabila Asad meminta. Wajahnya yang pucat itu benar-benar merisaukan aku. Sudah sehari Asad masuk wad. Doktor sudah menasihatkan supaya dia mendapatkan rehat yang cukup. Jangan terlalu stress katanya.
            Dan pendapat peribadi aku, doktor patutnya nasihatkan sekali si Elisa itu supaya dapat khidmat pakar sakit jiwa. Perangai sudah mengalahkan orang gila. Sampai suami aku naik stress dibuatnya. Elok selama ini Asad mengamuk macam singa tidak cukup makan, tak pernah pula sampai kena tahan dalam wad. Tapi dengan Elisa ini, sampai naik pening Asad memikirkan kerenahnya. Macam ini ke nak dibuat isteri?! Haish…
            Patutlah Datin Emily datang jumpa aku sebelum itu. Rasanya, dia sudah tahu rancangan anaknya itu. Mulut aku sudah ternganga kecil.
            “Sham… yang nganga tu kenapa?” soal Asad sambil menarik jemariku bertaut dengannya.
            Aku menggeleng kecil. Gelas yang berisi air itu aku letakkan di sisinya. Lambat sahaja Asad menyisip air. Wajahnya masih lesu.
            “Abang dah susahkan Sham ke?” soalnya perlahan. Aku menjeling kecil. Ada ke cakap macam itu!
            “Mana ada… tak ada susah apa pun.”
            “Kesian… sebab abang, Sham tak dapat rehat cukup…” ucapnya lagi.
            Aku sudah menggeleng laju. Setakat tak tidur satu malam, tak adanya jadi apa-apa. “Sham tak kisah temankan abang… abang janganlah fikir macam tu. Sekarang ni, Sham nak abang rehat cukup-cukup. Jangan fikir apa-apa dah…” nasihat lagak doktor bertauliah. Pipi Asad kuusap penuh kasih. Aku betul-betul kesian tengok wajah ‘singa’ yang pucat ini. Ini semua sebab Elisalah!!! Geramku sudah kembali berkumpul di dalam hati.
            “Abang peninglah… apa nak buat dengan Elisa ni? Dulu biasa-biasa aje, sekarang ni makin extreme pulak…” dia fikir juga pasal Elisa itu walaupun aku sudah melarang.
            “Abang… jangan dilayan sangat Elisa tu!”
            “Sebab tak layanlah yang dia makin menjadi-jadi.”
            Aku mengeluh. Penat! Semua orang faham, tapi ada juga seorang yang tidak faham. Apa susah sangat ke untuk menerima hakikat bahawa tuan ‘singa’ ini hanya milikku?! Susah sangat ke?
            “Nasib dia pressure dekat abang… kalau dia buat macam tu dengan Sham, apa abang nak buat nanti? Sham dengan baby lagi… risau la…” keluh Asad. Serentak itu tangannya sudah mula menekan kembali dahinya.
            “Sham dah kata kan… jangan fikirkan pasal perempuan tu!” aku marah dia. Geram betul aku. Bila fikir Elisa, Asad sakit. Tapi degil, hendak juga difikirkan pasal penyebab sakit kepalanya itu.
            Asad tersenyum hambar. “Kalau abang tak fikir sekarang… bila lagi sayang?”
            “Sampai bila pun tak payah fikir!” ucapku dengan panas hati. Bibir kuketap erat. “Sebenarnya abang kenal Elisa ni dari bila lagi?”
            “Masa abang buat degree, dia junior abang…” aku diam mendengar cerita dari mulut Asad. Kiranya, bukan sehari dua Elisa menyimpan rasa. Sudah bertahun-tahun lamanya. Tapi, masalahnya sekarang… akulah! Ya, akulah masalah untuk Elisa sekarang ini.
            “Dulu pun dia tackle jugak… tapi asyik tak berjaya. Lepas tu, dia dah give up. Masa abang grad tu, adalah member khabarkan… dia tengah couple dengan student master ni. Boleh tahan mamat tu. Abang bajet dia memang dah takkan ganggu abanglah…”
            “Kenapa abang tak suka dia?” soalku lagi. Tadi siapa yang marah sangat Asad bercakap soal Elisa. Sekarang ini aku juga yang seronok hendak bertanya itu dan ini. Patutnya selotape mulut aku dari tadi.
            “Sebab abang suka Sham…”
            Aku menjeling. “Abang jumpa Sham pun lepas berapa tahun… takkan masa Elisa tackle tu, abang langsung tak pernah rasa apa-apa?”
            “Nope. Langsung tak…” jawab Asad yakin.
            “Kenapa suka Sham?” soalku lagi. Asad sudah tersenyum. Kenangan lama bermain dalam mindaku. Mungkin itu juga yang sedang berlayar di fikirannya.
            “Sham dengan Elisa, sama aje…”
            Eh! Apa pasal aku sama dengan minah tu?!
            Tapi belum sempat aku menyoal, Asad sudah menyambung semula ayatnya.
            “Dua-dua pun sukakan abang… cuma Sham berbeza dengan Elisa dari segi cara memikatlah. Elisa, agresif! Sham… malu tapi mahu.” Tawanya sudah pecah. “Abang tengok Sham, masa meeting tu… the way you look at me, sangat-sangat menonjolkan perasaan terpendam…” dia ketawa. Aku sudah mengetap bibir. Manalah aku tahu, apa yang disampaikan oleh mataku pada ketika itu. “Sham tengok abang, macam abanglah lelaki paling handsome dekat situ…” dia ketawa lagi.
            Aku mencebik. “Perasan!” bahu Asad aku tolak perlahan. Sengaja. Selebihnya hendak cover rasa malu. Pipi sudah mula terasa kebas bila bibir Asad yang mengimbau kenangan itu.
            “You make me feel perasan! Dah la tu.. sepanjang meeting tengok muka abang, sampai satu apa pun dia tak take note.”
            Kali ini tanganku sudah mencubit lengannya. Malu! Malu! Malu! Kenapa memorinya begitu kuat sekali sehingga dia boleh ingat semua perkara yang terjadi di awal episod pertemuan kami. Aku juga yang terasa kebas pipi.
            “Agaknya masa tu, Sham dah mimpi kita naik pelamin dah kan?” usiknya dengan tawa yang begitu mendamaikan hatiku.
            “Mana ada!!! Pandai aje abang ni…” aku jeling lagi. Tapi dalam hati sudah ada rasa gembira. Melihatkan dia tertawa riang, aku yakin, mindanya sudah lupuskan bayangan Elisa pada ketika ini. Biarlah dikenangkan memori yang memerahkan wajahku, asalkan dia bahagia… aku pun tidak kisah.
            “Betullah tu?” giatnya lagi.
            “Abang!!!”
            “Abang rasa macam tengah mimpi bila nampak budak perempuan selekeh dekat bus stop tu, jalan masuk dalam bilik meeting… macam bidadari. Serius, walaupun Sham punya dreesing sangat simple… but you were so lovely and sweet, sayang…” pujinya. Serentak itu bibirnya sudah mengenai pipiku. Sempat lagi!
____________
Okey, akhirnya... sempat jugak taip satu entry sebelum raya. Insya-Allah, akan disambung lagi.
Maaf kalau pendek. Maaf kalau tak best. Maaf kalau tak memuaskan hati semua.
Ini untuk anda [Klik sini]. Salam Aidilfitri dari saya :)

August 26, 2011

Selamat Hari Raya


Assalamualaikum...

Ramadhan sudah mula hendak melabuhkan tirai...
Syawal sudah mula menampakkan bayang...
Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada anda semua.

Jutaan terima kasih kepada anda yang rajin berkunjung ke mari, ke blog Karya Umi. Walaupun ada kalanya, update tak naik pun. Maaf. Bukan sengaja nak biarkan semua ternanti-nanti, tapi ada urusan yang perlu diberi perhatian.

Saya tak boleh nak janji, akan ada update sebelum raya ni. Kalau ada... ada. Insya-Allah. Doakan...

Akhir kalam...
Semoga kita  semua akan diberkati dan dicucuri rahmat Allah s.w.t. Insya-Allah.

p/s: Amalan di penghujung ramadhan, jangan tertinggal. Dan kepada semua yang balik kampung beraya, berhati-hati di mana jua anda berada. :)

August 20, 2011

Cerpen: Booking Menantu

 “EH bang… dengar tak bunyi kecoh-kecoh dekat luar tu?” mulut Puan Badariah sudah riuh apabila sayup-sayup terdengar bunyi dari luar rumah. Ada orang bergaduh ke?
            “Kecoh???” suaminya, Encik Radzi menayang wajah pelik. “Saya tak dengar apa pun.”
           “Jom tengok bang… Yah rasa depan rumah kita ni.” Semangat lagi Puan Badariah mengukuhkan andaiannya.
            “Mengarutlah!”
            “Iya bang…”
            “Cuba jangan nak cari alasan untuk mengelak tengok berita dengan saya,” selamba Encik Radzi membuat pertuduhan. Macam dia tak kenal dengan perangai isterinya yang selalu suka mengelat bila tiba masa untuk menonton berita. Katanya, menonton drama bersiri lagi menghiburkan jiwa daripada berita yang menyemakkan kepala. Huh! Masa depan negara dikatakan semak kepala. Itu bini sayalah tu.
            “Mana ada alasan! Yah cakap betullah.”
            “Tipulah awak ni… cuba duduk diam-diam tengok berita ni. Bising aja dari tadi…” komen Encik Radzi lagi. Puan Badariah sudah memuncung. Dia bukan buat cerita. Ini adalah fakta. Dan dia tahu ada orang yang sedang ‘berperang’ depan rumah mereka.
            “Badariah!!!” kuat laungan dari luar rumah membuatkan keduanya tersentak.
            “Kan Yah dah cakap dengan abang!” marah Puan Badariah.
            Suaminya terdiam tidak terkata apa-apa.
            “Orang cakap dia tak nak percaya…  cari alasan konon!” dengan bebelan yang panjang Puan Badariah sudah melangkah ke luar rumah. Spontan keningnya terangkat melihat kedua temannya, Puan Rahmah dan Puan Zainab sedang bercakaran macam harimau. Ini kalah rimau ni! Mujur tak tercabut tudung dekat kepala tu.
            “Kenapa ni Mah… Nab. Ada masalah apa?” soalnya tenang.
            “Aku ni datang ada hajat besar,” laju Puan Rahmah menyusun kata.
            “Eh.. aku yang datang dulu!” Puan Zainab sudah memotong ayat.
            “Aku dulu!”
            “Eh, nanti dulu. Mah… kau cakap.” Akhirnya Puan Badariah mencelah. Kalau dibiarkan, sekejap lagi melarat terus cerita. Aku dulu… kau dulu. Apa yang dulunya?!
            Puan Rahmah menarik nafas panjang. “Yang sebenarnya…”
            “Aku nak booking anak kau jadi menantu aku.” Dengan kelajuan sepantas bullet train ayat tergantung Puan Rahmah dipotong oleh Puan Zainab.
            “Eh aku dulu!” Puan Rahmah tidak puas. Mana aci main potong-potong macam ni!
            “Aku dah cakap… so, anak Yah aku yang booking!” ucap Puan Zainab bangga.
            “Aku cakap, aku dulu! Degil kau ni Nab… tak nak faham. Aku yang booking dulu!”
            Puan Badariah naik pening melihat perang mulut di hadapannya itu. Suaminya sudah mula mencuit bahunya dari belakang.
            “Apahal ni? Dari tadi asyik dengar booking-booking. Awak ada jual barang catalog ke?”
            Puan Badariah terlopong sendiri. Barang catalog?!
            “Eh, senyap sat kau berdua! Pening kepala aku.” Puan Badariah mencelah. Tangannya sudah terletak elok di atas dahi. Memicit-micit kepalanya perlahan.
            “Kau cakap sekarang Yah… dia ke, aku?!”
            Puan Badariah makin pening.
            “Bila masa pulak anak aku jadi barang dalam catalog!”
            “La… siapa kata?” ucap keduanya.
            “Habis… yang berdua tu main booking kenapa? Ingat anak aku tu, barang untuk ditempah ke? Itu bukan barang… itu orang!” ucap Puan Badariah tegas.
            Kedua-duanya terdiam. Iya tak ya juga. Tapi…
            “Aku tak kira! Anak kau booking untuk anak aku Yah!” serentak mereka mengucap kata.
            Puan Badariah mengalih wajah memandang ke arah suaminya. Encik Radzi terus menepuk dahi. Pulak!!! Masalah betul.

***
“BETUL ke mak?” soal Adila Safiah saat diberitakan isu siang tadi kepadanya.
            “Iyalah… takkan mak nak reka cerita pulak! Kalau tak percaya, boleh tanya abah sekali.”
            “Mengarutlah!” Adila Safiah menggelengkan kepalanya berkali-kali. Mana ada orang buat kerja mengarut macam itu. Booking menantu sampai bergaduh depan rumah. Hai… famous amos sampai ke tahap tu ke aku ni?!
            “Ya Rabbi! Budak ni… aku cakap serius, dia kata aku mengarut!”
            “Bukan kata dekat mak la… orang kata orang yang booking-booking tulah!”
            “Hemmm… mak nak tanya kamu ni, kalau betul dia orang tu nak booking, kamu nak dekat siapa?” soal Puan Badariah dengan serius sekali.
            “Dua-dua orang tak nak!”
            “Pulak dah!!!” ini masalah besar ni. “Sebab apa tak nak?” serius sungguh garisan-garisan yang terukir di dahi Puan Badariah. Wajah Adila Safiah ditenung dengan tajam sekali.
            Namun ternyata, anak gadisnya hanya diam seribu bahasa. Haish!!! Susah betul kalau nak buka mulut suruh bercakap soal jodoh ni!

            ***
WAJAH Adila Safiah begitu merah menahan marah. Dengan isu booking menantu di rumah. Naik pening kepalanya.
            “Awak tu la… lambat sangat! Tengok sekarang ni, saya dah jadi macam barang lelongan. Orang main booking ikut suka hati!” marah Adila Safiah.
            “Erk! Habis tu… Safi terima ke?” soalan itu kedengaran sangat gelabah di pendengaran Adila Safiah.
            “Ikutkan hati ni…”
            “Jangan sayang… I love you so much sayang!”
            “Huh!!!” Adila Safiah merengus kuat.
            “Please, bagi abang peluang…”
            “Dah terlambat!”
            “Kenapa???”
            “Saya dah kena booking!”
            Sempat lagi Adila Safiah menangkap mata yang sudah bergenang di hadapannya. Padan muka!

****
LANGKAHNYA diatur perlahan berjalan pulang ke rumah. Sengaja dia menaiki bas hari ini untuk ke tempat kerja. Naik bosan pula hari-hari menghadap kesibukan jalan raya. Sampai lenguh kaki menahan brek dan menekan clutch untuk tukar gear.
            Nyamannya angin petang ini, buatkan dirinya terasa segar. Gaya macam tengah berjalan tepi pantai pula. Wah! Bestnya… tenang sekali tanpa gangguan manusia. Itu penting tu! Sejak dirinya di-booking untuk jadi menantu, begitu panas isu itu merebak ke dalam kawasan rukun tetangga ini. Kalah selebriti!
            “Safi….!” hampir terhenti langkah Adila Safiah. Namun apabila sudah dikesan pemilik suara, langkahnya diteruskan juga. Alamak! Bala… bala…
            “Safi tunggulah!!!”
            Makin laju Adila Safiah mengorak langkah. Aku tak rela!!! Sempat lagi jeritan hati bergema.
            “Safi…!”
            Muncul lagi satu suara. Adila Safiah sudah berpeluh-peluh tidak kena gaya. Mana nak lari kalau macam ni! Kiri dan kanan, dua-dua mengejar. Tapi dua-dua aku tak rela untuk terima.
            “Safi…!” berpadu kedua suara, Firdaus dan Ajwad. Seorang anak Mak Nab, seorang anak Mak Mah. Aku… anak mak! Ya Allah… yang tak nak, datang mengejar. Yang dia nak, tak reti-reti pula nak mengejar.
            “Adila Safiah…!”
            Eh… bukankah itu suara?! Dia sudah menghentikan langkahnya. Badannya sudah berpaling. Jelas terukir senyuman di bibir Firdaus dan Ajwad melihat langkahnya yang terhenti. Namun, dia berhenti bukan untuk budak berdua ini. Tak ada masa la aku nak cari masalah jadi menantu tempahan.
            Dia berhenti pun sebab… ada hero Malaya yang sedang bercekak pinggang di belakang kedua jejaka yang mengejarnya tadi. Itulah… hero dia!
            “Adila Safiah… Safi kena kahwin dengan abang jugak!!!”
            “Mestilah!” balas Adila Safiah tanpa teragak-agak. Terlupa dia sekejap pada kedua makhluk yang berada di antara mereka yang sudah berubah wajah.
            “Safi!!! Apa semua ni?!!!” Firdaus dan Ajwad berkata serentak. Adila Safiah sudah mula menghela nafas lega. Ini bukan masalah dia. Bukan dia yang memulakan agenda tempahan menantu ini.

****
“AKU nak dapatkan kata putus dari kau Yah!” tengking Puan Zainab pada Puan Badariah.
            “Kau ingat kami main-main Yah!” Puan Rahmah pun tak mahu lepas peluang.
            "Kau ingat kami tak ada kerja Yah!" sambung Puan Rahmah lagi.
            "Betul tu Mah... aku sokong kau."
            "Apa masalah kamu berdua ni? Jangan bagi aku pening boleh tak!" Puan Badariah sudah hilang sabar. Iyalah, orang datang buat kecoh depan rumah, siapa yang boleh bersabar!
            "Kami yang bagi pening? Kami datang ni nak tahu what is happening? Apa dah jadi dengan menantu yang aku booking?" serentak Puan Rahmah dan Puan Zainab menyoal. Bila dengar cerita daripada anak mereka yang masing-masing mengatakan Adila Safiah sudah ada buah hati lain, tiba-tiba naik berasap telinga. Orang lain yang booking, orang lain yang sambar. Mana aci! Tak ikut sistem demokrasi Malaysia langsung.
            "Bila masa aku approve kau punya booking tu?"
            "Kau tak..." keduanya kelu lidah.
            "Aku tak kata pun kan stok yang kamu berdua booking tu, is available. Ada aku kata?" soal Puan Badariah dengan penuh ketegasan.
            "Aku ingat..."
            "Ingat apa Nab? Ingat aku tak ada kerja lain nak melayan tempahan menantu ni?" makin seronok Puan Badariah menghentam.
            "Kami serius Yah!"
            "Aku pun serius Mah... adat negara mana kamu berdua guna pakai ni? Nak booking anak aku main sebut macam tu saja. Tak ada tanda. Tak ada wakil. Booking is automatically cancel. aku dah approve tempahan yang lebih beradat."
            Puan Rahmah dan Puan Zainab masing-masing menepuk dahi. How come boleh terlupa perkara yang paling penting sekali?! Adat merisik dan meminang. Hai… dah kena frust tidak bertempat!

***
ADILA Safiah menghidangkan makan malam di atas meja. Sementara menanti mak dan abahnya, dia sempat juga menyediakan minuman dan dihidangkan sekali di atas meja.
            “Ha… ni mak nak tanya, bilanya kawan Safi tu nak masuk meminang…?” tak ada angin, tak ada ribut, terus Puan Badariah menyembur Adila Safiah dengan soalan paling maut itu.
            “Meminang ya mak…” Adila Safiah sudah tersengih. Macam mana nak jawab soalan yang paling susah ini?! Rasanya jawab SPM senang lagi.
            “Ya… meminang! Jangan cakap tak jadi pulak. Sebab kamu tak nak punya pasal, mak tolak juga booking Mak Nab dengan Mak Mah tu. Kalau dak mak dah terima dah! Elok apa budak Ajwad dengan Firdaus tu… tapi kamu tu Safi… berkawan senyap-senyap. Dah ada orang nak masuk meminang macam ni, baru nak buat drama tangkap leleh dengan mak. Sekarang ni… cepat cakap, bila kawan Safi tu nak masuk meminang…?” soal Puan Badariah dengan pandangan yang tajam menikam.
            Adila Safiah menelan liur. Kalaulah kawan yang disebut-sebut oleh mak sebentar tadi tak nak masuk meminang, ada juga yang kena baling masuk ke dalam longkang kawasan perumahan ni!
            “Nanti orang cakap dengan dia mak…” perlahan Adila Safiah menjawab.
            “Cakap tu biar cepat sikit. Berkawan pandai… takkan tak pandai nak mai minta buat isteri!” sindir Puan Badariah lagi.
            “Dah la tu Yah oiii!!! Dari depan abang dengar yang Yah duk menyembur Safi sampai macam ni, kenapa?! Biarlah bila dia orang nak mai meminang pun…” Encik Radzi yang baru masuk ke ruang makan, sudah mula hendak campur tangan. Jelingan dari Puan Badariah langsung tidak menggentarkan jiwanya. Siapa yang nak gentar dengan jelingan ala-ala kucing parsi minta dimanja tu! Hehehe… itu isteri saya la tu!

****
“ABANG!!!” suara Adila Safiah sudah bergema di corong telefon.
            “Ya sayang… abang belum pekak lagi. Cuba bawa bertenang…” pujuk Taufik walhal hatinya turut menjadi tidak senang dengan nada yang digunakan oleh kekasih hatinya itu.
            “Abang ni lambatlah! Bila nak masuk meminang…? Mak dah bising dengan Safi tau! Abang ni nak kahwin dengan Safi ke tak ni… kalau tak nak, Safi terima je orang yang booking Safi!” Adila Safiah sudah mula mengugut.
            “Eh… janganlah! Abang dah janji kan nak datang booking…”
            “Ya dah janji! Tapi bila nak datangnya??? Janji tu sebulan tau… ini dah sebulan! Abang lambat macam ni… Safi memang akan jadi menantu tempahan orang lain.” Nada suara Adila Safiah sudah menjadi lirih. Seketika kemudian, talian sudah dimatikan.
            Taufik sudah terkedu dengan tindakan Adila Safiah. Nampaknya dia kena hantar rombongan booking menantu dengan kadar yang segera. Kalau tidak, masalah besar yang akan ditempah. Dia tak sanggup nak tengok buah hatinya ditempah orang lain. Tak sanggup langsung!

****
Rombongan meminang daripada keluarga Taufik tiba juga di rumah Adila Safiah. Bukan main ceria wajah Adila Safiah bila mendapat panggilan daripada Taufik yang mengatakan keluarganya akan datang pada hujung minggu ini. Tanpa berlengah sesaat pun, Adila Safiah sudah memaklumkan pada Puan Badariah. Ternoktah sudah bebelan di bibir emaknya secara spontan.
            Majlis yang penuh adat gayanya, dengan beberapa orang wakil dari pihak perempuan dan keluarga lelaki. Di barisan depan, papa Taufik sudah bersila mewakili kumpulan meminang.
            “Bismillah…” papa Taufik sudah memulakan bicara.
            "Kami datang nak booking anak hantu." Selamba papa Taufik berkata, entah dia sedar atau tidak. Adila Safiah sudah terlopong di balik dinding. Suara tetamu yang lain sudah mula menggeletak hatinya. Masing-masing terkejut.
            "Hah!!!" Suara Puan Badariah paling tinggi sekali melahirkan rasa terkejut. Anak hantu???!!
            “Eh... tersasul pulak. Nak booking menantu... Adila Safiah, masih available?" sambung papa Taufik. Adila Safiah menahan senyum lagi. Ini meminang versi alaf 21 ke? Apa sebut booking pulak??
            "Available."
            "Bolehlah saya masuk meminang untuk jadi isteri saya." Kali ini Taufik pula yang terkejut. Papa ni, nak kena dengan aku!
            "Papa!!!"
            "Eh... tersasul lagi. Nak meminang untuk jadi isteri anak saya... Taufik Basri. Iya kan Taufik?"
            Taufik terus menghala pandangan ke arah mamanya yang sudah menjeling tajam ke arah papa yang dengan selamba berloyar buruk depan keluarga Adila Safiah. Sabo jela!
            “Hah… apa kata pihak perempuan, setuju ke?” mama Taufik sudah cross line dengan soalan. Harapkan papa Taufik tu, bukan nak dipinang untuk anak, nak dipinang untuk diri sendiri pulak!
            “Kami setuju semuanya…!” Puan Badariah sudah membalas dengan bersemangat sekali. Memang kena setujulah, dah nama pun anak-anak mereka bercinta. Kalau tak bagi kahwin dengan ada juga kes kahwin lari pula! Tak ke naya.
            “Bila boleh ambil barang yang ditempah ni?” soal Taufik gopoh. Terlupa habis dengan siapa yang dia tengah bercakap. Ketukan di kepala membuatkan dia tersedar, dia sudah terlanjur bicara. Aduh! Jatuh saham nak bina repo terbaik depan bakal mertua.
            “Bercakap tu tak fikir…” tegur mama Taufik dengan nada tidak senang. Jelingan tajam dari Puan Badariah membuatkan Taufik kecut perut. Jangan dia reject tempahan aku ni sudah! Sempat lagi Taufik berdoa dalam hati.
            “Tunggu akad nikah dulu…. baru dapat barang yang ditempah!” selamba juga Puan Badariah membalas kata. Namun wajahnya tetap serius juga. Tapi tak mengapa, sebaris jawapan itu sudah membuatkan Taufik lega. Syukur Alhamdulillah, dia sudah booking menantu untuk papa dan mamanya yang juga bakal merangkap isteri kesayangannya nanti.
            Bunyi beep dari telefon bimbit Taufik membuatkan dia mengalihkan tumpuan. Telefon bimbit dikeluarkan. Sebaris mesej itu membuatkan dia tergamam.
            Abang ingat Safi ni barang ke??? Apa main tempah-tempah… langsung tak ada adat! Macam ni ke nak suruh Safi terima?! -Adila Safiah-
            Erk!
            Tanpa kata, Taufik sudah menggenggam tangan Encik Radzi seeratnya. Encik Radzi terpana. Ini drama apa pulak?!
            “Pak cik… saya nak kahwin dengan Safi, bukan nak tempah dia!” ucap Taufik bersungguh-sungguh. Yang lain sudah mula pandang pelik. Why?
            “Memanglah Taufik nak kahwin dengan dia… apa masalahnya ni?” soal Encik Radzi.
            “Err…” Taufik terasa bingung seketika. Entah apa yang dia hendak katakan sebenarnya.
            “Akad nikah lagi empat bulan, okey?” soal Puan Badariah pula.
            Taufik masih diam. Empat bulan??? Otaknya baru hendak memulakan proses.
            “Taufik… nak ke tidak ni?!” soal mama dan papanya serentak.
            “Tak nak!” jawab Taufik.
            “Hah!!!” semua dah terkejut.
            “Abang!!!” Adila Safiah yang elok tengah bersimpuh di balik dinding terus meluru ke ruang tamu. Dia yang hantar mesej untuk ‘menolak’ tapi dia pula yang ditolak. Apa ni???
            “Eh tak… maksud saya, nak kahwin… tapi tak nak empat bulan. Lambat sangat… lagi sebulan, tak  boleh?” Taufik sudah tersengih. Adila Safiah sudah menjeling tajam. Selamba pula lelaki itu buat request depan semua.
            “Tak menyabar anak kamu ni…” komen Puan Badariah yang sudah tersenyum simpul.
            “Itulah pasal… budak-budak zaman sekarang…” tokok mama Taufik. Yang lain sudah menghela nafas lega, selesai sudah majlis booking menantu.

***
“ADILA Safiah!!!” dengan nada yang tinggi suara Taufik memanggil isterinya.
            “Apa???” tinggi juga nada Adila Safiah.
            Taufik sudah tersengih. Diraih tangan isterinya ke dalam genggaman. Tersimpul erat. Sebuah ciuman kasih terpahat di dahi Adila Safiah.
            “Apa ni?” soal Adila Safiah dengan rasa malas. Orang penat, dia boleh pula buat manja tanpa isyarat.
            “Abang dah booking….” belum sempat Taufik menyambung kata, Adila Safiah sudah memotong.
            “Booking-booking jangan sebut. Alergik dah telinga ni dengar perkataan tu…!”
            “Ala… habis nak cakap macam mana?”
            “Carilah yang sinonim… asal bukan perkataan tu! Diharamkan sama sekali…” tegas Adila Safiah berkata. Huh!
            “Okeylah… minggu depan, cuti… abang nak ajak Safi pergi Pulau Redang…” Taufik berkata dengan ceria. Seronoknya dapat ajak isterinya pergi bercuti buat kali yang ketiga. Amboi, honeymoon tak sudah! Biarlah… siapa yang nak kata apa. Isteri dia!
            “Abang macam dah tak ada tempat lain nak ajak Safi kan?” Adila Safiah sudah menjeling.
            “La… dah tempat lain full, abang ajaklah ke situ. Lagipun best apa… Safi suka kan sayang…?” bibir Taufik sudah mengenai pipi Adila Safiah tanpa kata.
            “Booking la tempat lain!” marah Adila Safiah tanpa sedar.
            “Amboi… dia guna perkataan booking tak apa… tapi abang tak boleh pulak!”
            Erk! Adila Safiah sudah tersengih. Opppsss!!!
            Tidak tahu hendak bereaksi bagaimana, lantas dipeluk sahaja suaminya. Slip of tongue! Tapi tak apa… sebab booking juga, akhirnya mereka sudah disatukan. Booking pun booking la… asalkan hati bahagia. Jiwa tenteram sentiasa.

_________
Sekadar cerpen ringkas. Harap semua terhibur :)
Terima kasih semua.