Skip to main content

Cerpen: Suka awak. Sayang awak [End]



AKU terpaksa menikus sejak tadi apabila suara emak berdentum-dentum di ruang tamu ini. Atas arahan cumpolsary aku terpaksa balik kampung. Emak marah bersungguh-sungguh sambil menyindir perangai aku yang tidak senonoh itu. Aku malas hendak menyampuk sebab aku sedar, memang salah aku pun. Mana mungkin ada manusia yang tidak reti jaga adab sopan seperti yang aku dah lakukan depan emak Mawardi. Memang memalukan lagi mendukacitakan.
            “Awatlah hang jadi macam tu Wawa? Malu mak bila dapat kawan hang telefon cakap macam tu. Hang ni, langsung tak dak rasa malu ka?” mata emak berhenti tepat di wajah aku.
            “Malu.” Pendek sahaja jawapan yang aku beri.
            “Tau malu… tapi awat yang buat perangai lagu tu?” emak soal lagi. Kuat. Sampai aku ternampak kepala Acik Jannah terjenguk mengintai dari jendela rumah. Busybody sungguh!
            “Mak macam tak kenal Wawa… Wawa kan kalau dah lapaq memang cepat lupa diri sikit.”
            “Tu bukannya lupa diri sikit. Memang lupa diri terus. Malu mak bila dapat tau, anak mak boleh kena reject on the spot!
            Mata aku membulat. Emak terus menjengil.
            “Apa? Hang ingat aku tak reti cakap bahasa Inggeris? Inggeris aku lagi power pada hang tau!” sambung emak. Aku diam kembali. Aku tahu syarahan hari ini akan selesai selewat yang mungkin. Mujur esok dan lusa, aku cuti. Memang sengaja aku apply cuti untuk memudahkan waktu berkuliah dengan emak.
            “Sekarang ni, mak nak tanya… Wawa ni suka dekat siapa sebenarnya?”
            Sekali lagi mata aku membulat. Berapa ramai orang yang aku suka? Setahu aku, Mawardi seorang sahaja. Ada yang lain ke?
            “Tak payahlah duk buat muka terkejut macam tu. Mak tanya elok ni…” suara emak menurun. Emak pun dah datang duduk sebelah aku. “Jawab dengan jujur dan ikhlas, Wawa suka dengan siapa sebenarnya? Mak ingatkan hang dengan Johan selama ni. Tiba-tiba muncul pulak Wardi yang mak tak pernah kenal pun…” emak teruskan berkata-kata. Namun minda aku seakan tidak mampu mencerna. Ia seakan terhenti di saat emak menyebut nama Johan. Johan???
            “Kenapa mak kata Wawa dengan Johan?”
            Emak menjeling tajam. Aku salah cakapkah?
            “Hampa ni dah kawan berapa lama?” soal emak serius.
            Aku menelan liur. “Lama tu… lama jugaklah, sejak Wawa kerja kat Penang tu.”
            “Dah tu… tak ada cakap-cakap pasal hal ni?”
            Emak tengah bercakap tentang hal apa? Aku kurang jelas pula. Tapi emak masih menjeling tajam sehingga bibir aku terasa berat untuk bertanya. Hal apa ya?
            “Johan tak cakap dengan hang ka, Wawa?” suara emak meninggi.
            Aku menelan liur lagi. Apa bendalah yang Johan dah cakap dengan emak aku? Dan kenapa aku boleh tak tahu tentang perkara itu?
            Emak menggelengkan kepala. “Mak tak fahamlah dengan hampa ni. Budak-budak zaman sekarang ni memang suka buat bagi jadi life complicated.”
            Dan aku terdiam. Complicated? Dari segi mana itu komplikasi dalam hal ini? Otak aku dah mula tersekat.

TELEFON yang berbunyi dari petang tadi, aku pandang sahaja tanpa perasan. Hilang sudah mood aku. Rasa macam tak nak balik ke Penang terus. Jadi pembantu bisnes emak dekat kampung ni lagi bagus.
            Telefon berbunyi lagi. Bingit kepala. Panjang tangan aku mencapai dan menekan butang reject call. Puas hati. Laju juga aku menaip pesanan ringkas, biar dia tahu yang aku marah. Sangat marah.
            Aku tak pernah tahu yang hang ni, kawan makan kawan. Putus kawan! –Wawa-
            Dah macam budak-budak sangat mesej yang aku hantar. Tapi, itu yang terdetik dalam hati. Rasa macam nak menangis pula bila difikirkan apa yang terjadi ini. Aku terus menyembamkan muka ke atas bantal. Ketika itu telefon berbunyi lagi. Pesanan ringkas masuk.
            Tak kisah putus kawan… -Johan-
            Membulat mata aku. Bodoh punya Johan. Nampak sangat tak pernah ikhlas berkawan dengan aku. Kalau tadi aku rasa nak menangis, sekarang ini, aku menangis betul. Berjurai-jurai pula air mata aku. Sedih sangat. Baru ingat nak matikan telefon, pesanan ringkas masuk lagi. Dengan rasa geram, aku buka juga untuk membaca.
            Putus kawan, sambung balik… boleh kan?;) –Johan-
            Dia ingat aku main-main!
            Tak boleh! –Wawa-
            Yeke? Tak boleh? Kalau macam tu aku sambung kawan dengan Amira jelah. Dia pun baru putus kawan dengan Syam Kosmo. She’s lonely right now. Sama kondisi dengan aku, jadi aku sambung kabel dekat sana jela… -Johan-
            Amira??? Amira yang suka menggedik tak tentu hala itu?
            Jangan nak menggatal okey! Kawan dengan aku cukup. Tak payah nak menggedik dengan Amira gedik tu. Pandailah dia nak cari kawan lain. –Wawa-
            Haha…tau pun takut. I sayang you la, Wawa. –Johan-
            Pesanan ringkas yang membuatkan aku mengeluh. Air mata yang masih bersisa aku lap perlahan. Johan suka sangat bermain dengan kata-kata. Sampaikan emak pun percaya dengan dia. Tapi kenapa dia cakap macam itu dengan emak?
            Emak cakap, Johan jujur. Johan ikhlas. Johan yang terbaik. Yang terbaik? Aku terus lari masuk tandas. Termuntah. Memang suatu refleks yang tidak terjangka, namun itu yang terjadi bila emak mula memuji dengan lambungan yang tinggi untuk lelaki bernama Johan!
            Malas hendak fikirkan hal itu, aku terus melelapkan mata. Biar tidur ini dapat menghilangkan segala pening kepala.

“APA jawapan Wawa?” soal emak terus sebaik sahaja sesuap nasi lemak masuk ke dalam mulut aku. Argh! Potong mood.
            “Mak… kita cakap lepas makan.” Emak mengangguk tanda faham I’m not in the mood.
            Selesai sahaja makan, emak terus soal semula. Emak ini nampak gaya, sudah tidak sabar. Aku sebenarnya, fikir pun belum. Nak bagi jawapan macam mana?
            “Mak rasa macam mana?” aku pula soal emak. Dan aku rasa, ini adalah soalan yang paling tidak selamat untuk diajukan kepada emak. Emak sudah tersenyum gaya dapat bunga.
            “Kalau emak, memang Wawa dah tahulah jawapannya. Tapi yang mak nak tau, Wawa tu. Dalam hati Wawa duk pikiaq siapa. Nak dekat siapa? Jangan main ikutkan sangat perasaan hati. Fikir dengan waras. Itu yang mak pesan, jangan suka-suka nak berkawan dengan lelaki. Ni berkawan dengan Wardi langsung tak maklum pada mak. Ikut suka hati dia ja pergi jumpa so called bakal mak mentua.”
            Amboi emak! Perli aku tak agak.
            “Mak pun sama jugak macam Wawa. Langsung tak maklum bila jumpa dengan so called besan depa.”
            “Mak tak cakaplah, mak ingat hang tau. Nampak elok ja duk berkawan dengan Johan. Mak telefon pun, mulut hang tak pernah tak bercerita pasal Johan. Johan marah la. Johan merajuk la. Johan sakit la. Semua pun hang bagi tau dekat mak. Pernah dak hang cerita pasal Wardi dengan mak? Mananya mak takkan salah faham kalau macam tu…” emak mengeluh.
            Oh my! Kiranya semua ini disebabkan salah aku. Salah aku yang bersikap terlalu dungu. Dungukah aku sampai terlupa nak bercerita tentang Mawardi pada emak? Kenapa aku tak pernah bercerita? Sebab aku takut emak tak percaya. Tapi disebabkan itu, terjadi masalah lain pula. Emak dengan senang-lenangnya sudah bersetuju dengan pinangan emak Johan yang langsung aku tak tahu. Johan itu pun satu, tak pernah nak cakap pun dengan aku.
            “Wawa dengan Johan, kawan baik la mak. Mak pun dah kenal dia, sebab tu yang Wawa rajin cerita.” Aku cuba untuk berhujah. Tapi emak sudah memotong.
            “Kawan baik? Kalau dia tak sayang hang, Wawa… dia takkan suruh emak, ayah dia mai minta izin mak untuk berkawan dengan hang.”
            “Minta izin berkawan ja. Bukan berkahwin…” balasku selamba. Satu ketukan terus singgah di kepala. Aduh!
            “Berkawan lepas tu nak ajak kahwin la! Awatlah hang ni…” emak sudah mengetap bibir. Tapi aku masih dengan niat hendak melawan.
            “Itu sebab mak Johan belum kenal perangai Wawa… kalau mak dia tengok, mesti jadi macam mak Wardi jugak. Reject on the spot.” Balasku bangga. Macam dah suka pula bila kena reject.
            Emak tersenyum memerli. “Hang ingat dak mak cik yang mai duk bersembang dengan hang masa kenduri Jasmin? Yang hang duk puji-puji kata lawa…”
            Aku ternganga. Jangan cakap itu mak Johan. Alamak! Memalukan dan mengharukan. Depan mak cik itu aku sudah mempamerkan segala perangai ‘buruk’ aku.
            “Mak… mak Johan cakap apa mak?” aku sudah tidak sabar untuk mendengar komen pula. Terasa berdebar. Sebabnya emak Johan asyik tersenyum aje sepanjang duduk bersama dengan aku. Entah apalah yang disumpahnya tentang aku dalam hati. Ya Allah. Insaflah kau Wawa… sudah dua kali memalukan diri depan mak cik yang boleh dipanggil sebagai mak mentua.
            Emak tersenyum lebar. “Mak dia kata… bertuah orang yang bermenantukan Wawa.”
            Aku mengetap bibir. Malu. Itu pujian menyindir namanya. Takkan emak tak perasan semua itu?
            “Mak dia kata lagi... mana nak dapat menantu yang sayang gila dekat anak dia yang perangai macam-macam jugak.”
            Aku terdiam seketika. Macam mana emak Johan boleh jump into that kind of conclusion? Kepala aku sudah mula terasa gatal. Aku berfikir lagi, selain daripada aku makan berdiri, bercakap macam nak tersembur dan basuh pinggan macam nak retak, dalam masa yang sama depan emak Johan, apa lagi benda memalukan yang aku buat?
Oh ya, macam terlupa. Aku sedang asyik layan mesej daripada Johan, sampai tercerita dengan emak dia pasal best friend aku yang seorang tu. Aku memang begitu, dengan orang yang tak kenal pun aku boleh jadi ramah-tamah terlebih perisa. Sampaikan aku terpuji-puji Johan depan emak dia sendiri walaupun perangai Johan itu lebih banyak menyakitkan hati. Manalah orang tua tak fikir yang aku sayang anak dia. Tapi iya ke aku sayang Johan?
“Dan bila mak dengan ayah Johan mai nak meminang hang, mak apalagi, memang say yes terus la. Sebab mak tau, tak ada orang lain dah yang nak menantu macam hang. Dan memang tekaan mak tu mengena. Mak Wardi pun dah reject hang, sekali jumpa.” Tambah emak menjerukkan rasa hati aku.
Teringatkan Mawardi, aku jadi sedih kembali. “Wardi cakap mak boleh pujuk emak dia.” Aku cuba ingatkan emak. Tapi emak menggeleng. Bahu aku mula jatuh, tidak bersemangat. Takkan aku kena setuju dengan Johan?
“Kalau iya pun mak boleh pujuk mak Wardi tu, hang ingat sama ka? Mak dia mungkin terima sebab anak dia dah suka, tapi untuk mak dia nak buang persepsi pasal Wawa, hang ingat senang ka? Mak tak maulah anak mak jadi menantu yang mentua tak suka… walaupun perangai hang memang payah nak buat orang suka.” Emak dengan bangganya mengutuk aku lagi.
“Wawa nak kahwin dengan Wardi aje. Bukannya nak kahwin dengan mak dia.” Aku menjawab lagi.
Emak pandang aku dengan tajam. Seakan hendak memberikan kefahaman kepada otak aku yang degil ini.
“Wawa… anak mak… yang paling mak sayang…” emak sebut dengan penuh lemah lembutnya, sampaikan lemah lutut aku. “Wawa faham dak konsep berkahwin ni? Berkahwin bukan kena ambil kira suka antara pasangan tu ja, tapi kena kira apa yang mak dan ayah dia rasa sama. Kita kahwin satu keluarga… bukannya dengan pasangannya ja. Esok-esok dah kahwin, kalau ada orang yang tak suka… banyak masalah, Wawa.”
Aku terdiam. Habis, kalau hendak difikirkan suka semua orang, sampai ke sudah aku membujang nampaknya.
Terasa pelukan erat di bahu. Emak sudah rapat disisi aku. Mata aku terus bergenang. Sedih hendak memikirkan siapa yang aku suka dan siapa yang aku sayang. Sedih juga mengenangkan siapa yang suka aku dan siapa yang sayang aku.
“Mak takkan halang kalau mak yakin Wawa akan bahagia dengan Wardi. Tapi mak tak nak Wawa tersilap langkah… pilih yang betul-betul hargai diri Wawa… masa Wawa cantik pun dia nampak Wawa. Masa Wawa buruk pun, dia nampak juga Wawa…” dan aku terus memeluk emak. Berdrama sebabak di pagi Sabtu yang indah.

PUAS berfikir. Aku tahu rasa hati aku ini untuk Mawardi. Aku memang sayangkan dia. Tapi macam yang emak cakap, jangan fikirkan dua hati sahaja. Ada banyak lagi hati yang perlu diambil kira. Maka, aku tidak boleh terburu-buru untuk buat keputusan. Tambahan pula, aku secara tidak rasminya sudah menjadi tunang orang. Sakit kepala!
            Telefon bimbit atas meja kopi aku capai. Terasa nak cakap dengan Dahlia walaupun aku tidaklah mesra sangat dengan dia. Telefon berdering dan suara Dahlia menyambut.
            “Aku ni…” langsung tak adab bercakap. Sampai aku tersedak bila Dahlia tegur aku suruh bagi salam. Memang payah nak insaf. Macam manalah emak Johan boleh berkenan dengan aku. Mesti something wrong somewhere ni.
            “Lia…”
           “Awat Wawa… hang ni tak pernah-pernah nak telefon aku. Ni ada masalah apa?” lembut sangat suara Dahlia. Oh, how do I wish… aku boleh jadi selembut Dahlia. Silap emak bagi nama Wardah dekat aku, memang mawar berduri sungguh!
            “Masalah cinta.”
            Dahlia ketawa. Tapi dengarnya macam irama, lembut dan mengasyikkan. Aku jadi jakun pula. Macam kali pertama dengar perempuan ketawa dengan lemah lembutnya. Baru aku sedar kenapa emak sangat berbangga dengan dia. Biarpun tak pandai dan tak lawa, macam aku… ehem! Tapi dia sangatlah menyejukkan hati orang tua dari segala aspek yang lain.
            “Masalah apa sayang?” sangat terasa kasih sayang dengan perkataan yang dituturkannya. Aku pun cuba bercerita dengan kasih sayang yang melimpah ruah kepada seorang kakak. Walaupun nampak seakan tidak menjadi dengan percubaan pertama, tapi aku hendak terus mencuba.
            “Apa kata… Wawa test dua orang tu.”
            “Test?” sudah blur pula aku.
            “Iya, test… nak tengok mana yang asli, mana yang palsu,” sahut Dahlia. Dan aku terasa ayatnya tersenyum pada aku.
            “Contoh test?” Semua benda pun aku nak bertanya pada dia. Seronok juga rupanya bersembang dengan kakak. Mana aku nak tahu seronok atau tidak, tak pernah aku nak bersembang dengan dia melainkan kalau balik rumah.
            “Wawa buat macam yang aku cakap ni. InsyaAllah, nanti hang nilai ikut jawapan yang depa bagi. Kalau susah juga nak buat keputusan lagi, share dengan aku… paling penting, jangan lupa minta permudah urusan dengan Allah. Okey sayang?”
            “Okey Lia.” Aku tersenyum lega.
            Tanpa menunggu lama, aku kirimkan pesanan ringkas seperti yang dicadangkan oleh Dahlia. Satu pesanan yang sama kepada dua orang yang berbeza. Berdebar-debar aku menantikan jawapannya. Sementara menunggu, azan sudah berkumandang. Aku terus bangun hendak bersolat. Emak yang sedang bergosip panas dekat rumah Acik Jannah aku laung kuat, panggil balik solat.

BEBERAPA bulan lepas, hatiku terasa kecamuk tidak menentu. Sekarang, aku rasa boleh tarik nafas dan lepas dengan lancarnya. Alhamdulillah. Tanganku sudah mula mengemas meja pejabat yang bakal ditinggalkan beberapa hari lagi. Macam tak percaya, aku akan melangkah keluar daripada negeri Pulau Mutiara ini.
            “Dah pergi tempat orang tu, jangan lupa kami dekat sini.” Lili bersuara sedih. Aku tersenyum nipis.
            “Iyalah, takkan mungkin kulupa.”
            “Souvenir bulanan… tu penting.” Nisa pula menyampuk dari belakang.
            “Hang ingat aku ada mesin cetak duit peribadi ke?” aku sudah mencekak pinggang. Masing-masing duk order barang gaya seperti aku ini telah dinobatkan menjadi jutawan pula.
            “Alah… susah apa. Laki hang kan ada…” serentak mereka berdua berkata. Terjungkit kening aku.
            So?” Aku tak nampak kepentingan laki aku dekat sini?
            “Wawa semenjak dah berlaki ni, makin kedekut pula.” Songeh Lili. Aku sengih terus. Mana ada aku kedekut. Jika dibandingkan dari dulu, pemurah lagi sekarang.
            “Iyalah, aku cuba dapatkan mana yang boleh.”
            “Dah kemas?” satu suara bertanya dari belakang. Aku tersenyum mengangguk. Rajin dia datang teman aku dekat pejabat ini semata-mata hendak mengangkut barang yang tidak begitu banyak.
            “Amboi cik abang… tak sampai setengah jam isteri dia dalam ofis ni, dia dah tak senang duduk dalam kereta tu. Biarlah Wawa sekejap dekat sini, malam nanti mailah ambil.” Lili bersenda. Aku dan Nisa sudah ketawa melihatkan wajah itu berubah riak. Memang tidak mungkin dia hendak meninggalkan aku sekejap dekat sini. Dia yang dulunya pemurah, sekarang sudah bertambah kedekut hendak berkongsi aku dengan kawan-kawan.
            “Memang takkanlah kan…” jawabnya bersahaja sambil menarik lenganku untuk bergerak.
            “Jom, cakap nak singgah rumah mak lagi.”
            Aku terus menepuk dahi. Terlupa. Terus aku berpamit, mengucapkan selamat pada Nisa dan Lili. Tidak tahu bila pula kami hendak berjumpa lagi.
            Masuk sahaja ke dalam kereta, dia sudah tersenyum seperti biasa. “Jangan fikir nak lari daripada abang.” Ucapnya seakan mengugut. Ugutan penuh kasih, kata hatiku. Aku tersengih riang.
            “Kalau nak lari, dah lama dah Wawa buat. Tak payah tunggu berserah diri dulu.”
            “Berlagak.” Perlinya.
            “Tengoklah isteri kepada siapa.” Balasku tidak mahu mengalah. Dan tidak mungkin aku hendak mengaku kalah.
            Keputusan yang tidak pernah aku jangka, aku akan menjadi isteri kepada seorang lelaki seperti ini. Dan memang cadangan Dahlia adalah yang terbaik. Teringatkan itu, aku terasa bahagia. Betul kata emak, jangan buat keputusan dengan akal yang tidak waras. Impaknya mungkin tidak akan jadi begini akhirnya.
            “Percaya tak, Wawa pernah test abang sebelum kita kahwin?” soalku tiba-tiba.
            “Test? Test apa tu?”
            “Di situlah terletak rahsianya…” balasku berahsia.
            “Tak payah duk rahsia sangat, cepat cerita.”
            “Ingat tak… Wawa tanya, lepas kahwin benda pertama yang abang nak Wawa ubah?”
            Dia mengangguk. Aku tersenyum.
            “Abang nak Wawa ubah daripada Miss Wardah kepada Mrs abang…” aku sebut tanpa dapat menahan tawa daripada terlepas. Memang masa itu, aku tergelak berhari-hari sebab jawapan ini. Dan bila aku ceritakan pada Dahlia, dia juga merasakan sama seperti aku. Dahlia cakap, itu yang asli.
            Ada sebab kenapa Dahlia berkata begitu kerana jawapan lain yang aku peroleh, sememangnya melukakan hati aku sendiri. Seseorang yang ingin aku mengubah kebiasaan diri semata-mata untuk menyenangkan hati orang lain. Aku tersenyum pedih ketika membaca ayat itu. Maknanya aku terpaksa hidup dalam kepura-puraan demi memberikan bahagia kepada orang lain. Memang tidak salah, tetapi aku risau tidak berjaya. Tambah pula, aku ini Wawa… yang emak kata payah nak buat orang suka.
            “Wawa… awat yang diam pulak?”
            Aku menggeleng sambil memaling wajah ke sebelah. Memandang dia yang sudi menerima segala kekurangan dan kelemahan diri aku ini tanpa mengharapkan aku berubah untuk sesiapa pun.
            “Kenapa abang tak balas mesej tu dengan harapan Wawa berubah?” aku tanya juga biarpun sudah berlalu sekian bulan.
            Dia tersenyum. “Tau tak konsep terima seadanya?”
            Aku mengjungkitkan bahu.
            “Saya terima awak seadanya. Saya suka awak seadanya. Sayang awak seadanya. Bukan dengan harapan melihat awak yang lain depan saya… tapi melihat awak yang sama seperti pada mula hati saya jatuh suka dan sayang pada awak. Walaupun saya tak minta awak berubah… tapi awak dah berubah kan sekarang? Awak berubah atas kesedaran diri awak sendiri… atas rasa tanggungjawab awak sebagai seorang isteri… atas rasa kasih dan sayang awak pada saya.” Dia mengenyitkan mata di hujung kata. Aku mencebik, menyampah. Tak pernah bersaya-awak sebelum ni.
            “Dah menyampah?”
            Pandai dia meneka.
            “Suka awak. Sayang awak…” dia sebut lagi dengan nada mengusik. Aku menjeling tak suka. Macam sangat remaja dengan awak-awak tu.
            “Cakaplah, suka Wawa… sayang Wawa.” Aku pula yang meminta sengaja nak puaskan hati.
            “Awak dan Wawa tu, bunyi dah dekat sama. Ejaan aje lain.” Dalihnya.
            “Alah… pokok pangkalnya, awak tu bukan Wawa. Cepatlah sebut…” gesaku tidak sabar. Kepala sudah mula membayangkan wajahnya yang manis bila bibirnya berkata dia sayangkan aku.
            “Eh, abang hari-hari cakap tau. Wawa tu langsung tak pernah cakap.”
            Aku diam, memeluk tubuh. Tapi betul juga, hari-hari dia yang cakap. Aku mana pernah cakap. Kedekut!
            “Dalam kiraan 10, baik Wawa cakap. Kalau tak, abang mogok tak bercakap seminggu.”
            Eleh, main ugut pula. Ingat aku takut sangat.
            “Satu…” dia memulakan kiraan dengan nada yang begitu menggerunkan.
            Aku main-main dengan telefon dekat tangan. Sampai kiraan ke lima. Aku masih buat tak endah. Lapan sudah… aku berdebar, namun berusaha cover juga. Sambil otak sudah ligat berfikir, kalau dia mogok… aku hendak bercakap dengan siapa? Bahana usah ditempah. Sembilan. Aku menelan liur.
            “Sepu…” baru dia hendak menyudahkan, aku potong laju.
            “Suka Johan. Sayang Johan. I love you Johan.” Dah kelam kabut sangat, semua aku sebut. Rasa semput. Fuhhh… aku sangat suka bermain dengan risiko.
            That’s my girl.” Johan mencuit hidung aku. Dan aku menghela nafas panjang. Lega bila keputusannya aku tak perlu bermogok tak bercakap tanpa rela.
            “Wawa jangan ingat abang tak tahu apa yang Wawa tengah fikir.”
            Johan bercakap dengan nada yang sungguh sarkastik dan aku hanya mampu beralamak dalam hati. Mogok juga ke walaupun pada hakikatnya aku memang sayang dia? Tidak!
            Seakan mendengar bisikan hati aku, Johan ketawa dan bergema suaranya dalam kereta sampai ke rumah emak. Bila Johan melangkah keluar dari kereta, aku melihat langkahnya yang diatur dengan rasa gembira. Mungkin perjalanan hidup ini tidak akan sama kalau aku pilih Mawardi sebagai teman hidup kerana terlalu banyak perubahan yang didamba walaupun dia juga menyayangi aku. Bukan Mawardi tidak kecewa bila aku katakan tidak tetapi aku pasti kecewa itu beransur hilang seiring dengan waktu.

“SEBENARNYA, abang pun hairan… kenapa Wawa setuju dengan abang sedangkan sukakan Wardi?” soal Johan tiba-tiba. Aku yang sedang tersenyum lebar pada dia, terbatuk-batuk seketika. Cuba mencari jawapan rasional tanpa tergelabah.
            “Dah memang kita bertunang kan? Memang Wawa kena kahwin dengan abanglah.”
            “Itu jawapan mengelak. Tak mungkinlah you simply reject him for me…” dia soal lagi dengan cubaan mendapatkan jawapan.
            Aku diam seketika. Menyusun ayat.
            “Memang Wawa sukakan Wardi… tapi bila dia dah cakap, bila kahwin Wawa mesti ubah sekian-sekian perkara, Wawa rasa tak yakin. Kalau Wawa tak boleh nak berubah… macam mak pernah cakap dengan Wawa, mesti ada masalah lepas tu. Jadi… yang terbaiknya, abanglah.”
            “Memang abang yang terbaik pun.” Sambutnya bangga diiringi ketawa.
            Aku sudah duduk di sebelahnya. Memandang Johan yang kelihatan bahagia. “I’m happy because you are happy.
            I will always be happy if you stay forever by my side, sayang. Kan baby dah kata…” balas Johan.
            Dengar sahaja baby tu, aku jadi geli semula. Sudah diingatkan berkali-kali, tetapi Johan buat tidak peduli. Aku rasa dia hanya akan peduli, bila aku muntah betul-betul depan dia nanti.
            “Kalau muntah berisi… baby tak kisah sayang…”
            Tekak aku menjadi kembang. Janganlah disebut lagi. Johan dah standby tangan untuk menadah. Main-main nampaknya dia ini. Aku mun…
            Dan memang aku termuntah betul. Johan tergamam. Padan muka!

** Tamat **

Comments

  1. Kihkihkihhh....
    Amik muntah betui sudah..
    Pilih yg sayang kita seadanya...

    ReplyDelete
  2. haha...akhirnya, lama dah tunggu ni
    bahagianya bila orang terima kita seadanya :)

    ReplyDelete
  3. Kelakar tul kan dh kena tadah muntah bini. Main2 lg....sweet tul laki bini cmni hari2 meriah hihi

    ReplyDelete
  4. nk SE bole x ???
    sgt bhgia bile b'cnta dgn owg yg trma kta seadanya ...
    best cter nie ...

    ReplyDelete
  5. xpuas lar.. nk SE.. ^_^

    ReplyDelete
  6. tq dek umi...ending yg memuas kn ati...

    ReplyDelete
  7. Watak mak dia paling best! Haha

    ReplyDelete
  8. betul tu, terima org yg sayang kita seadanya bukan yg demand kita berubah & kita pulak kena pandai-pandai la nak berubah sendiri. saya kalau org lagi tegur, lagi saya buat... ha ha ha...

    ReplyDelete
  9. hahaha , sekali muntah betul2 daa...

    ReplyDelete
  10. Terimalah orang yang sayang kita seadanya.. bukan orang yang nak kita berubah demi dia... itu namanya x ikhlas memberi dan menerima.... besttt

    ReplyDelete
  11. Yesss heppy ending!!!
    akhirnya jodoh wawa tetap dengan johan... Naseb baik dahlia bagi idea macam tu, kalau x mesti wawa masih konpius nak pilih sape yang betol2 terima dia seadanya...

    Part yang paling lawak, wawa betul2 termuntah...

    ReplyDelete
  12. Terima seadanya, setiap orang bukan sempurna. lelaki dan perempuan saling melengkapi..peace..lama x bca blog cik kalsom kita..time exam tiba2 tergerak nak bc..esok jwap exm dengan jaya..chayok2..i hbs exam esok..^_^

    ReplyDelete
  13. Lawaklaaa... Suka3... Mmg itulah gayanya... Terima org yg kita sayang seadanya... Lagi pula, Pencipta kita terbaik... Dia ciptakan pasangan kita utk pelengkap kekurangan kita... ;)
    ~ ifa ~

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia