Advs

Followers

March 04, 2013

Ini Kisah Jelita & Perkasa [9]



BAB 9

PERKASA Armana yang baru pulang daripada kuliah, mengintai seketika insan di bilik sebelah. Lena sungguh tidur Mirza Haidar. Maklumlah, pelajar tahun akhir perubatan, memang tidak akan kenal erti berehat yang semoleknya. Kena cari kes di hospital, review, pembentangan lagi. Lima tahun pengajian yang begitu mencabar otak! Bukan mudah kalau sudah melangkah kaki ke dunia perubatan. Tapi dalam dunia ini, ada ke perkara yang mudah?
            Disebabkan itulah Perkasa Armana terpujuk dengan kata-kata emak dan abahnya untuk menerima tawaran ke Kolej Mara Banting sebagai persediaan berangkat ke oversea mengikuti pengajian. Pada mulanya memang langkah ini diambil untuk menyenangkan hati emak dan abah, tapi mungkin benar seperti yang pernah dititipkan Mirza Haidar padanya.
            “Redha Allah akan mengiringi diri kita andai adanya redha emak dan bapa. Jangan fikir kita buat ni semata-mata untuk gembirakan hati orang tua kita, fikir untuk agama. Ada hikmahnya kenapa Allah pilih setiap manusia berada dalam bidang-bidang yang mungkin kita tak jangka… apa pun, kita yang kena tahu manfaatkan setiap tu untuk agama Allah.”
            Dengar sahaja nasihat itu, terasa sejuk hatinya. Mirza Haidar bukan sekadar bakal doktor, bakal ustaz pun ya agaknya. Mana tidak, sentiasa memberikan khidmat tazkirah percuma. Selalu juga dia tengok Mirza Haidar mengikuti kem usrah yang dijalankan oleh persatuan pelajar islam di sini. Bila diusik dengan title ustaz, pasti lelaki itu tertawa senang dengan membalas bicara.
            “Aku nak siapkan diri sebaiknya. Barulah abah Jelita Suria boleh yakin, aku boleh jaga anak dia!”
            Entah bila dia hendak mendapat hidayah untuk lebih serius mendalami ilmu agama seperti Mirza Haidar? Atau… dia juga harus mencari satu pemangkin dalam hidupnya? Si ‘jelita’ mungkin? Baru ada semangat hendak berubah? Tapi… salah niat pula. Kenapa sebab perempuan pula dia kena berubah? Aduh Perkasa Armana… memang dah tak betul suis-suis dalam kepala. Kuliah yang berderet dari pagi ke petang mampu memerengkan otaknya!
            Yang penting, kalau nak berubah sebab nak kejar cinta Allah. Bukan kejar cinta Jelita Suria! Eh…??? Terasa pelik tiba-tiba. Nama Jelita Suria yang pernah diucapkan oleh Mirza Haidar, kini baru muncul dalam mindanya. Jelita Suria? Adakah ini gadis yang sama disukai oleh Sarip Dol? Gadis yang sama, yang juga pernah memukau pandangannya kali pertama bertentang mata. Diakah?
            Biarpun kurang daripada 10 saat bertentang mata, namun kenapa ia terasa segar dalam minda? Renungan daripada gadis yang hanya berusia 13 tahun pada ketika itu berjaya menjadi gangguan dalam otaknya. Aduh!!! Gangguan nafsu betullah. Memang macam inilah jadinya kalau hati asyik fikir dunia sahaja.
            Geram dengan hati sendiri, Perkasa Armana bergegas ke bilik. Mungkin dia harus belajar jadi baik macam Mirza Haidar juga. Sekurang-kurang hatinya akan lebih tenang mengingati Allah. Dapat pahala!

“MACAM mana Jelita?” Soalan Encik Johan itu terus menguntumkan senyum di bibir Jelita Suria. Slip keputusan peperiksaan percubaan SPM diserahkan pada abah yang setia menantikan jawapannya.
            Jelita Suria dapat lihat dengan jelas kegembiraan yang terpancar di wajah Encik Johan. Biarpun keputusan yang diperoleh ini tidak segempak pelajar cemerlang tingkatan 5, tapi untuk dia, ini yang terbaik. Malah, sejak dari awal peperiksaan, kali ini menunjukkan peningkatan mendadak.
            “Abah tahu… Jelita mesti boleh buat. Insya-Allah, lagi berapa bulan aja nak SPM…sempat lagi Jelita nak baiki mana-mana yang masih lemah.”            
            Jelita Suria mengangguk. Itulah abah! Sentiasa kaya dengan kata-kata motivasi dan memberi semangat kepadanya. Jelita Suria harus akui, dia bukanlah pelajar yang genius namun dia tidak pernah malas untuk berusaha. Kerana dia yakin dengan janji Allah, seperti yang telah difirmankan dalam surah Asy-Syarh.
            Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap. (94: 6-7)
            Dan hanya disebabkan kurnia daripada Ilahi, keputusan yang dapat memberi kegembiraan dalam hati emak dan abah dapat dikecapi. Dia tidak mahu menjadi ‘gila’ belajar semata-mata tanpa menyandarkan niat dan keyakinan kepada Allah. Dia hanya mahu mengejar keredhaan daripada Allah atas segala nikmat yang dikecapi dalam hidup ini. Apa yang lebih berharga kepada seorang hamba apabila dikasihi oleh penciptanya? Pasti, tiada yang lebih berharga daripada itu!
            Lebih elok dikasihi oleh pencipta daripada asyik berkasih antara manusia yang tiada hubungan halal dengan kita. Mengenangkan perkara itu, terdetik sesuatu di minda Jelita Suria. Sesuatu yang ingin ditanyakan kepada abahnya.
            “Abah…” Jelita Suria menggamit pandangan Encik Johan padanya. Terasa ingin bertanya. “Jelita nak tanya aja… tapi, abah jangan salah anggap dengan Jelita ya.”
            “Tanyalah, sayang…”
            “Jelita faham bila abah cakap, tak elok kalau perempuan dan lelaki bergaul bebas. Tapi, kalau masing-masing pandai jaga diri, kawal perbuatan dan percakapan… tak dikira sebagai pergaulan yang dibenarkan ke, abah?”
            Soal Jelita Suria dengan gementar. Bukan apa, dia perlukan hujah agar ada insan lain yang tidak faham dengan prinsipnya. Kenapa ada yang berkata, tak salah couple asal pandai menjaga batasan dan tidak melanggar syariat agama. Tetapi kata abah, kalau orang biasa buat, tak semestinya semua betul sentiasa.
            Wajah Encik Johan yang berubah riak, makin menambahkan debaran Jelita Suria.
            “Abah, Jelita tanya aja… kalau abah tak nak jawab, tak apa.” Perlahan sahaja dia mengalah. Tidak mahu pula andai dirinya kena marah. Siapa suka kalau kena marah kan? Mahunya tujuh hari, tujuh malam menangis tak sudah.
            “Bila Allah meletakkan halangan pada sesuatu perkara, pasti ada hikmahnya. Sama juga dengan perkara ni. Memang, kalau ikut logik akal… mata kasar yang melihat, tak nampak mana salahnya fenomena couple kalau ia berlangsung dengan cara yang Jelita cakap pada abah tadi. Tak keluar berdua, tak jalan pegang-pegang tangan, tak buat apa-apa perkara yang melalaikan… macam tulah kan. Apa orang panggil, Islamic couple! Yang si lelaki ajak perempuan bersolat, yang si perempuan ingatkan lelaki untuk ke masjid berjemaah. Memang benda tu asasnya nampak baik… tapi, kita ni manusia biasa, yang sering terpedaya dengan helah syaitan.”
            “Kalau boleh scan hati manusia yang sedang bercinta ni, mustahil…” Encik Johan mengerling ke arah Jelita Suria. “Mustahil kalau dia tak ingat pada si dia tu dalam sehari. Rindu kan? Macam Jelita sekarang… nampak macam duk khusyuk dengaq abah bersyarah, tapi hati duk ingat kat Mirza.” Tebak Encik Johan.
            Jelita Suria terus menggelabah. “Abah… apa pulak! Jelita tak ingat langsung dekat dia, abah yang rasa macam tu kat Jelita.” Kalut diberi jawapan. Jantung yang tadinya berdegup dengan normal menjadi kencang tiba-tiba. Risau benar mendengar telahan abah itu.
            “Iya ke?” Sengaja Encik Johan hendak menguji.
            “Abah!!!” Jelita Suria bersuara manja. “Jelita tak ingat kat dia, langsung tak!”
            “Kalau tak ingat, awat yang duk gelabah sangat!”
            Gulp! Jelita Suria hanya mampu menelan liur dan terus mendengar Encik Johan bersyarah. Tapi kali ini, mungkin abah tidak silap menebak. Hati dia betul-betul terasa tiada jiwa seketika. Macam diterbangkan jauh merentasi lautan dan benua. Tiba-tiba macam tersangkut di Ireland. Tiba-tiba!!!
            Dan hati yang tersesat itu hanya kembali ke alam nyata apabila bicara Encik Johan mengetuk minda Jelita Suria.
            “Rindu yang melalaikan… merindui seseorang yang tiada ikatan halal. Rindu yang membawa kepada zina hati kerana saling ingat-mengingati tanpa sebarang urusan yang diharuskan. Sebab itu Allah berfirman dalam surah Al-Isra ayat 32… “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” Tapi ada ke manusia akur dengan perintah  yang diturunkan? Kalaulah manusia ni benar-benar akur dengan setiap perintah Allah, maka amanlah dunia daripada kes-kes rogol, khalwat, sumbang haram, buang anak luar nikah dan macam-macam lagi benda yang kalau abah fikirkan, boleh buat hati ni rasa ngeri sentiasa.” Suara Encik Johan bergetar. Menunjukkan naluri seorang bapa yang hanya ingin melindungi anaknya daripada segala jenis kejahatan di dunia ini.
            “Abah cuma insan biasa, yang ingin terus berpegang pada hukum agama untuk mendidik anak-anak abah. Jelita dan Naufal. Insya-Allah, dengan redha Allah dapatlah kita menjawab dengan aman bagi setiap pertanyaan pada soalan yang akan diajukan kelak. Abah kena jawab Jelita, seandainya anak-anak abah ni hanyut dengan dunia dan membelakangkan hukum Allah. Sebab nabi dah bersabda, “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari) Abah bertanggungjawab terhadap keluarga kecil kita ni dan ia menjadi amanah untuk abah pegang sebaiknya.”
            Jelita Suria mengangguk perlahan, tanda faham dengan bicara abahnya. Apa yang lebih difahami pada ketika ini ialah tugas ibu bapa bukan sekadar menyediakan kemewahan dan keperluan dunia semata-mata. Tetapi yang lebih penting, mendidik anak agar akan aman di akhirat kelak. Sebab itu manusia harus sentiasa berdoa, “Ya Tuhan Kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.”
            Sesungguhnya, dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Yang kekal itu hanyalah akhirat kelak. Kenapa hendak dikejar kesenangan di dunia dengan menurut kata nafsu yang lemah? Nafsu yang sentiasa mengajak manusia ke arah kejahatan! Lebih baik jika kita mengejar keredhaan Allah agar aman hidup di dunia dan akhirat.
            “Benda yang baik memang susah nak buat, sebab tu ganjaran baik adalah syurga yang susah nak dapat. Dan kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan bagi orang yang beriman adalah menerima pembalasan syurga daripada Allah Yang Maha Kaya!” sambung Encik Johan lalu menepuk bahu Jelita Suria dengan penuh kasih.
Anak gadisnya yang kini sudah berusia 17 tahun. Seakan baru semalam dia memegang Jelita Suria yang selamat dilahirkan oleh isterinya. Dan mungkin dalam beberapa tahun lagi, anaknya ini harus diserahkan pada orang lain pula. Memikirkan itu, hati seorang ayah ini terusik juga. Sayu mulai menapak di hati.

“BOO!!!”
            Mujur tidak terkeluar jantung Jelita Suria dengan sergahan itu. Matanya sudah membulat dan tangannya spontan mengurut dada yang menjadi sesak. Kus semangat!
Marlisa menyengih lebar sambil menghidangkan air Sunquick yang dibancuhnya. Sengaja dia mengajak Jelita Suria untuk melepak di rumahnya. Penat memerah otak untuk menjawab peperiksaan dua minggu lepas, seakan belum hilang lagi. Tapi keputusan sudah keluar dan sampai ke tangan mama dan papa. Itu sangat mengerikan!
            Mujurlah keputusan boleh dibanggakan juga. Walaupun tidak secemerlang abangnya, Mirza Haidar yang selalu tampil menjadi pelajar top ten di sekolah. Dia itu belajar pakai otak apa? Kenapa pandai sangat sampai tak pernah dapat markah kurang daripada 80 setiap kali peperiksaan? Musykil pula Marlisa dengan keadaan itu.
            “Hang buat apa tu hah?” Marlisa sudah kembali fokus pada Jelita Suria yang sedang membelek album gambar di atas meja. Dan itu pun agenda sengaja juga. Otak dia tak betul, sekali dengan otak Jelita Suria diganggunya. Dalam album yang dipegang Jelita Suria, semuanya gambar Mirza Haidar di Ireland. Bila abangnya tak balik rumah, abangnya akan mengirim gambar. Dan semuanya dimasukkan ke dalam satu album.
            “Gambar ni tak penting Jelita. Yang lagi penting, ada dekat belakang ni, hah!” Apabila Jelita Suria menyepi, Marlisa tolong selak muka surat album yang terpampang gambar Mirza Haidar paling latest punya. Bibirnya tersenyum sendiri, handsome rupanya abang aku ni! Selalu ada depan mata, tak menyerlah pula.
            Jelita Suria terus menutup album gambar dan tindakan itu menyentakkan Marlisa.
            “Kenapa? Tak suka ke? Aku tau, hang mesti nak tengok Abang Mirza kan?”
            “Kawan yang baik, akan sokong tindakan kawan dia. Bukan dengan menghasut macam ni, sekaligus mencemarkan prinsip yang aku pegang!” serius bicara Jelita Suria.
Tergamam Marlisa. Aduh, salah rupanya! Tapi, takkan Jelita Suria langsung tidak mahu melihat abangnya? Langsung tak? Macam tak dapat dipercayai.
“Lain kali, panggil aku hanya untuk urusan kita. Bukan untuk urusan yang tak diperlukan. Aku datang sini dengan bawa kepercayaan emak dan abah. Kalau aku langgar kepercayaan tu, berdosalah aku!”
Mendengar perkataan dosa yang menjelma di bibir Jelita Suria, Marlisa sudah gelabah gila. Terasa berdosa sangat pada kawannya ini. Kalau Jelita Suria melanggar kepercayaan Encik Johan dan Puan Hayati, maknanya… dia pun tumpang saham dosa sekaki. Sebab dia yang menjadi dalang untuk mencungkil rindu di hati Jelita Suria yang suci ini. Sudahlah dosa sendiri pun belum tentu tertanggung, hendak kongsi dosa dengan orang lain pula? Memang mencari nahas!
Jelita Suria sudah bangkit berdiri. Dia hendak pulang ke rumah. Tersinggung hatinya dengan tindakan Marlisa. Marlisa adalah teman baiknya! Wajar untuk gadis itu memahami apa yang menjadi pegangan dalam hidupnya. Bukan mempersoalkan dan mengandaikan yang tidak-tidak seperti orang lain!
Marlisa menjadi kalut. Laju tangannya menggamit pergelangan tangan Jelita Suria. “Jelita, sorry. Janji aku tak buat lagi!” ucapnya laju. “Aku salah… maaf ya. Janji, lepas ni aku kunci semua gambar Abang Mirza dalam bilik dia. Kalau aku rindu, aku tengok sorang-sorang…” tambahnya dengan gabra.
“Janji?” soal Jelita Suria ragu.
Marlisa mengangkat tangannya tinggi. “Janji! Tapi hang jangan salah anggap pada Abang Mirza pulak. Dia tak suruh pun aku buat macam ni semua. Aku sendiri yang sengaja nak bagi hang tengok… hang takkan marah Abang Mirza kan?” Risau pula Marlisa andai Jelita Suria reject abangnya kerana hal ini. Dalam diam, bukan Abang Mirza seorang angau dengan Jelita Suria, malah dia, mama dan papa juga sudah capai kata sepakat. Jelita Suria bakal jadi menantu rumah ini. Keputusan yang dibuat sesuka hati, tetapi dia sangat berharap perkara itu akan terjadi.
“Iyalah... dimaafkan, dengan syarat jangan buat lagi.”
“Okey.” Perlahan Marlisa akur. Tetapi ada juga bunyi sambungan yang membuatkan dia menerima habuan jelingan tajam tidak berkesudahan daripada Jelita Suria. “Kalau hang rindu, aku tolong tengokkan gambar Abang Mirza.”
“Okey… siapa pun tak payah rindukan Abang Mirza. Biar dia rindukan diri-sendiri.” Ayat yang sempat juga Marlisa reka supaya membungakan senyuman di wajah Jelita Suria. Dan nyata, dia berjaya.
“Macam-macam!”

------------
Cik Jelita ni suka siapa ya? :D cuba teka-teka. dan teruskan meneka. dan saya harap, tekaan akan mengenalah. sebab, w/pun tajuk kisah jelita dan perkasa, mungkin jadi jugak ada dua hero dan heroinnya ;)

12 comments:

  1. Rasenye jelita macam suka sikit kat mirza coz tbe2 je hati dia tersesat kat ireland time abah dia bersyarah tu... xpon mst dia suka kat perkasa bila bertembung muka dgn perkasa nnti ke...

    ReplyDelete
  2. Eh Jelita tu kan dgn Armana Perkasa in the end...

    ReplyDelete
  3. that was in cerpen. and cerpen yg dinovelkan ini saya janjikan plot cerita yg berbeza pastinya ;)

    ReplyDelete
  4. kalau jelita dengan perkasa macam lagi much better kot sbb both of them jaga hati diorang elok2. they try to jaga hati and simpan their feeling just untuk yang berhak which is they spouse lah kan.. so macam x fair lah kalau jelita couple with someone but she end up married someone else. anyway, its a nice story and i like it very much :)

    ReplyDelete
  5. hurmm.. gaya-gayany si jelita ni mmg syok dkt mirza tapi rasany dia akn end up dgn perkasa. lelaki yg baik utk wanita yg baik kan? jelita dgn perkasa sama-sama pandai jaga hati dan maruah msing-masing. hope that they will be together..

    ReplyDelete
  6. Teringat Ireland, sama ada ingat Mirza atau Perkasa. Tp, rasanya Jelita ingat kt Perkasa kot. Diaorg kan ada bermain mata sblm ni, mana tau Jelita pun mcm Perkasa, terbayang2 kadang2. Tp takde la smpi terlayang2 kan. Mesti Jelita pun kagum dgn Perkasa kan sbb Perkasa utama kan mana yg penting dulu. (Peminat Perkasa)

    ReplyDelete
  7. mesti la ngan armana perkasa... dlm cerpen dh ada kan.. huhuhu nk lg

    ReplyDelete
  8. suspense ekh...tk tau sape soulmate jelita...harap2 abg permana....ngeee,))


    ~uly ct~

    ReplyDelete
  9. Bila nak sambung citer ni umi...hari2 jenguk blog u ni..sedih x dok sambungan huhuhu....ju

    ReplyDelete
  10. maaf buat yang tertunggu... umi ada urusan yg lebih penting buat masa ni. insyaAllah, tengah cuba sambung sikit. dah siap satu bab, saya akan post. :)

    ReplyDelete
  11. rasanya jelita & mirza.. mirza pun dah prepared diri utk jd suami terbaik..apapun harap bukanlah sad ending, heroin mati masa pi akad nikah..tak mo la...yg tinggal hanya luahan dlm diari.oh no,no,no,

    ReplyDelete