“My darling katik,” mendengarkan ayat itu terus saja dia menghentikan langkahnya yang sememangnya pendek. Dialihkan pandangannya untuk mencari gerangan yang memanggilnya begitu. Tiada orang lain, hanya orang itu. Namun, hatinya mengeluh hampa saat pandangannya hanya bertemu dengan kehijauan sawah padi yang terbentang luas. Dia berilusi lagi. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, bisikan my darling katik makin kuat menggangu tidurnya. Wajah itu pula sering kali juga menyapa mimpinya. Rindukah dia?
Dengan perasaan yang hampa, langkahnya diteruskan juga menuju ke rumah mereka yang berada di penghujung Kampung Jamal. Dalam masa yang sama mindanya masih terus mengimbau sisa-sisa kenangan yang pernah diciptakan bersama si ‘dia’ pada suatu ketika dahulu. Hatinya dipagut rasa sayu.
“Kalau cheq tanya mak… mak rasa eloklah, cheq terima. Keluarga depa semuanya baik, keturunan alim-alim,” suara mak seakan berbisik di telinganya. Inikah sebabnya dia terlalu merindui ucapan my darling katik? Dia takut jika bukan bibir itu yang melafazkan penerimaan akadnya, sebab itukah?
“Tulah… abah pun rasa macam tu jugak. Cheq pikiaq masak-masak… kami tak paksa cheq. Tapi seeloknya cheq terimalah… sebabnya yang ni dah masuk pinangan ke berapa. Takkan mak dengan abah nak tolak lagi. Nanti apa pulak kata orang…,” suara abah pula bergema. Dia terasa makin sesak. Langkahnya terhenti sekali lagi. Pandangan jatuh pada beranda yang seringkali menjadi saksi kenakalan lelaki yang gemar mengusiknya. Ah! Kenapa aku terlalu rindukan kenangan lama, sedangkan lelaki itu mungkin sudah berbahagia dengan kehidupan tanpa kewujudan dirinya.
******
“Gelang… si paku gelang…,” suara nakal itu sudah mencecah telinga Khatimah yang sedang berjalan pulang dengan bakul kosong di tangan. Dia baru saja sudah menjual kuih-muih yang disediakan oleh maknya pada orang kampung.
“Gelang, si rama-rama…,” sambungan yang disambut oleh gelak tawa beberapa ‘monyet’ di belakang si pengusik itu.
“Pulang… marilah katik… marilah pulang bersama-sama…,” Khatimah mendengus marah. Suka hati saja dia meletakkan perkataan katik dalam lirik lagu itu. Dia malas hendak bertekak seperti selalu, dia mahu pulang awal. Ada kerja yang masih belum selesai. Laju saja dia mengatur langkah menjauhi kumpulan yang diketuai oleh pengusik itu.
“Katik… marah ke?” soal lelaki itu yang sedang mengayuh basikal di belakangnya. Dia membalas dengan jelingan tajam. Langkah cuba dipanjangkan sepanjang yang mungkin. Tapi mana mungkin langkahnya panjang lagi daripada ini, iyalah, daripada gelaran lelaki itu saja pasti sudah dapat dibayangkan dirinya yang katik.
“My darling katik… slow down sikit jalan tu. Nak kejar apanya? Jomlah sembang-sembang dulu…,” lelaki itu masih tidak jemu. ‘Monyet’ di belakang sudah mengkekek ketawa. Apa yang lawak sangat pun, tak tahulah!
“Hang nak sembang apa dengan katik ni? Cara-cara nak masak ayam katik ka?” soal salah satu dari ‘monyet’ itu dengan nada memerli.
“Ha’ah… mak aku suruh tanya. Ramuan rahsia untuk sediakan gulai ayam katik,” dengan senang hati saja lelaki itu menyambut usikan buat dirinya. Khatimah makin geram. Kalaulah dia dapat capai batu yang besar dan menghempap ke atas lelaki-lelaki yang sedang menganggu dirinya pada saat ini, biar saja semuanya menjadi katik seperti dirinya juga. Baru padan dengan muka.
“Katik!!!” laungan kuat dari bibir lelaki itu kedengaran apabila Khatimah berusaha mehayunkan larian supaya dapat segera sampai ke rumah.
“Kak Tim!!!” tersentak Khatimah yang sedang duduk di beranda rumah. Wajah Hanis yang merenungnya dengan tajam dipandang tanpa rasa bersalah. Entah berapa lama agaknya budak itu memanggilnya. Masa-masa orang nak berangan juga ada yang kacau daun. Tidak bolehkah biarkan aku berangankan lelaki itu sekejap, walaupun tidak pasti bilakah penantian ini akan sampai ke penghujungnya.
“Mak tengok Kak Tim ni mak… boleh pulak dia duk berangan masa kerja. Tengok tu… bawang pun baru kupas dua… Kak Tim!!!” nyaring suara Hanis melagukan namanya dengan penuh rasa tidak puas hati. Khatimah hanya mampu tersengih. Terlupa pula dia, mak minta tolong kupas bawang. Dia boleh saja nak kupas di dapur tadi, tapi dengan alasan nak ambil angin segar, dibawanya bawang-bawang itu ke beranda. Tak sangka pula angin yang terlebih segar ini akan menarik-narik mindanya untuk mengelamun jauh.
“Janganlah duk buat hingaq Hanis oi… buat malu saja orang kampung dengaq hang duk terpekik-pekik nama Kak Tim hang… pi duk sekali, tolong dia kupas bawang tu. Mak nak guna dah sat lagi…,” arahan mandatori dari bibir mak hanya melahirkan muncung sedepa di bibir Hanis. Khatimah menahan tawa.
“Menyampah!” ucap Hanis sambil mencapai pisau yang ada di sisi Khatimah. Tangannya pantas juga mengupas bawang, tapi mulutnya, MasyaAllah, tak henti-henti membebel. Ikutkan hati Khatimah hendak saja dia cari stapler dan staple saja mulutnya adiknya itu. Biar senyap sikit.
“Hanis!!! Buat kerja tu diam-diam… daripada duk membebel tak tentu hala, baik berzikir. Sebut Subhanallah ka, Allah Akhbar ka, apa saja kalimah Allah… dapat juga pahala… hang duk bising macam ni, semak kepala otak mak…,” suara mak melaung kuat dari dalam rumah. Boleh anda bayangkan betapa kuatnya suara Hanis membebel sambil mengupas bawang.
“Yalah! yalah! Hanis dengaq. Cheq katup mulut, tak mau cakap dah!” balas Hanis geram. Cebikan muncul di bibirnya. Khatimah menahan senyum.
*******
“Dengaq cerita, Kak Tim nak kahwin dah,” ucap Shira sambil mengambil tempat di sisi abangnya. Wajah kacak itu terus saja berubah riak. Benarkah? My darling katik nak kahwin dah?
“Mana Shira tau?” soalnya. Dirinya masih belum panas menjejakkan kaki ke rumah setelah sekian lama melayan rajuk dengan emaknya. Sekarang ini ada berita yang lebih mengejutkan. Rasanya luka yang masih belum pulih itu, bertambah rawan. Apalah nasib badan.
“Hanislah yang cakap… sebenaqnya ramai dah yang duk mai merisik Kak Tim tu… tapi Kak Tim tak mau lagi. Cumanya, yang kali ni… Hanis kata macam susah sikit nak menolak. Sebab keluarga depa dah kenai rapat… mak dengan abah Kak Tim pun suka… orangnya alim, kacak pun ya jugak,” penambahan fakta itu hanya menyesakkan dadanya. Wajahnya diraup pedih. Sanggupkah dia melihat darling katik bergandingan dengan orang lain. Hakikat yang pasti saja membunuh segala impian yang pernah diangankan olehnya.
“Abang tak mau jumpa Kak Tim ka? Cubalah tanya dia… mana tau… Kak Tim memang duk tunggu abang… kalau dak, takkan dia nak biaq ja orang yang mai merisik dia sebelum ni… Kak Tim…,” baru saja Shira nak menyambung kata, wajah bengis mak dah terpacul di depan mata.
“Dia baru ja balik nak menghadap bonda dia, hang duk buka cerita pasal keturunan katik tu dalam rumah ni nak buat apa? Nak kena dengan mak? Nak jadi anak derhaka?” kata-kata yang meluncur di bibir mak hanya menambahkan kepiluan di hati. Siapa yang nak jadi anak derhaka? Siapa yang nak menempah tiket masuk neraka? Siapa pun pasti tidak mahu. Tapi, alasan yang diberi oleh mak untuk menolak kehendak hatinya langsung tidak dapat diterima.
“Keturunan katik tak boleh bergandingan dengan keturunan serama!” kata-kata emak di waktu diri sedang dipanah asmara oleh darling katiknya. Masalahnya, wujudkah keturunan seperti yang dimomokkan emaknya itu? Kalau ada pun, dua-dua ayam juga, jadi apa masalahnya. Pandai saja emak nak mencari alasan untuk menolak pilihan hatinya, atas dasar gadis itu katik. Semata-mata itu saja. Hatinya benar-benar terluka bila emak suruh membuat pilihan antara dua, Khatimah atau mak!
******
“My darling katik…,” ucapnya meleret. Senyuman nakal sudah tersungging di bibir saat wajah gadis pujaan hati memuncung dengan usikannya.
“My darling katik…,” sambung orang di belakangnya. Pantas saja dia berpaling dengan jegilan tajam lagi menusuk dihadiahkan pada temannya yang setia mengekor di belakang.
“Aku sorang saja boleh panggil dia macam tu. Hampa dua ni, toksah duk sibuk la mengekor aku macam nak cabut ekor. Balik rumahlah…,” orang nak berdating dengan Khatimah pun tak senang. Ada saja yang nak kacau. Rungutnya dalam hati.
“Mak hang suruh teman hang pi mana pun… takut-takut hang kena culik dengan family ayam katik,” ucap seorang dari temannya. Lantas ketawa berdentum di bibir temannya. Dia merengus kasar. Malas dengan sikap emaknya yang selalu saja mengongkong setiap tindak tanduknya.
“Tolonglah… bagilah privasi kat aku! Pi baliklah… aku merayu kat hampa… bagi chance kat aku nak berkasih sayang dengan katik kesayangan aku ni!” ucapnya separuh merayu. Suaranya sudah diperlahankan. Khatimah sudah meneruskan langkah tanpa mempedulikan dirinya di belakang.
Teman dua orang itu saling berpandangan. Akhirnya mereka tersenyum sendiri sambil mengangguk kecil. Tepukan di bahu tanda pemberi semangat. Sempat juga salah seorang daripada mereka berbisik padanya,
“Tolong cover line kami kalau mak hang tanya. Kalau dak, memang satu Yan ni mak hang kejaq kami!” dia mengangguk, deal!
Tanpa menunggu lama, dia sudah mengayuh laju basikalnya mendekati Khatimah yang sudah menjauh.
“Katik… nak balik dah ke?” soalnya apabila dapat menyaingi Khatimah. Wajah gadisnya itu nampak anggun sekali dengan penampilan baru. Tampak manis dengan tudung yang melindungi mahkota wanita. Semakin memikat hati terunanya. Dia terasa hendak mengusik Khatimah kerana seminggu gadis itu tidak kelihatan untuk menjual kuih.
“My darling katik… ada apa-apa event ke last week, Shah tak nampak katik pergi hantar kuih pun? Alih-alih minggu ni keluar, dah bertudung… ada apa-apa nak bagitau Shah ke my darling katik…,” usiknya nakal. Wajah Khatimah sudah merona merah. Malu!
“Nampaknya Shah kena mula kumpul duitlah ya dari sekarang nak masuk meminang katik. Buah hati Shah dah jadi anak dara,” dalam sungguh makna ayat yang diungkapkan bibirnya. Makin merah wajah Khatimah disimbah rasa malu.
Sedang asyik dia mengikuti langkah kaki Khatimah, dia terdengar bisikan halus ketika melintasi gerai kopi di kampung mereka. Wajah Khatimah turut berubah riak.
“Shah…,” akhirnya. Hatinya tersenyum sendiri. Akhirnya, my darling katik bersuara. “Janganlah ikut Tim… orang kampung semua pandang semacam ja. Tak eloklah macam ni… Tim tak suka…,” lembut saja alunan suara Khatimah berlagu di telinganya.
“Kenapa? Salah ke Shah nak berkawan dengan Tim? Sudahlah berapa bulan sekali baru boleh jumpa Tim… sekarang ni tinggal lagi berapa hari ja Shah kat kampung, itu pun Tim nak halang-halang…,” sengaja dia bersuara dengan sayu. Sengaja hendak menyuntik rasa simpati dalam hati Khatimah, bunga yang menjadi pujaan hatinya. Dengusan halus jelas kedengaran di telinganya. Pasti saja Khatimah tidak mampu menghalangnya dari mengekor setiap hari.
“Ikut suka Shahlah… malas Tim nak cakap banyak-banyak! Orang cakap dia bukan nak dengar pun. Semua cakap dia saja yang betul…,” omelan Khatimah kedengaran manja sekali di telinganya. Dia terasa bahagia.
“Tim… jomlah, kita duduk sekejap dekat beranda tu, sekejap saja… abang janji, sekejap lagi abang teman Tim sampai depan rumah…,” wajah Khatimah yang memandangnya dengan riak terkejut itu, diabaikan saja. Pasti saja gadis itu fikirkan, tiba-tiba mahu berabang pula. Kalau diikutkan jarak umur mereka, memang dia abanglah untuk Khatimah. Gadis itu baru saja tingkatan dua, dia pula sudah mencecah 19 tahun.
“Tim… sekali ni saja. Abang tak pernah pun ajak Tim berbual-bual macam ni. Tim pun bukannya suka sangat nak melayan abang… bolehlah Tim. Tak lama… sekejap saja. Bolehlah my darling katik...,” rengeknya dengan harapan Khatimah akan cair. Gadis itu sudah mula tersenyum kecil tetapi dihadiahkan juga gelengan tanda tidak setuju dengan cadangannya. Sebaliknya Khatimah mengizinkan dirinya menemani gadis itu sampai ke rumah. Hatinya terus saja melonjak girang.
“Tim ni darling katik abang ke?” soalan Khatimah hanya mencambahkan bunga-bunga dalam hati. Nyata, usikannya selama ini berkesan untuk meninggalkan memori dalam hati Khatimah. Itulah tujuannya. Kalau boleh biar siang malam Khatimah terkenang-kenangkan wajahnya. Hanya dia saja!
“Mestilah Khatimah, my darling katik… nanti abang dah kerja, abang dah kumpul duit, abang datang meminang katik… katik tunggu abang tau…,” senyuman dibalas tanda mengiakan jawapannya.
Pandangan gelap diwaktu malam sama saja seperti kelam di dalam hatinya. Katik tunggu abang tau… senyuman yang dibalas oleh Khatimah pada hari itu masih segar hingga ke hari ini dalam mindanya. Mana mungkin dia lupa, my darling katik. Namun segalanya bakal berakhir. Pilu rasanya hati bila mengenangkan cinta yang tak kesampaian. Masih terngiang saja kata-kata sindiran mak buat diri Khatimah.
“Budak tu belajaq sampai form 3 saja. Tu pun SRP tak lepaih! Otak dia lembab, mana boleh kahwin dengan hang. Nanti semua cucu aku lembab! Dah la tu… pendek macam katik. Mak tak mau la keturunan pendek macam tu… mak tak suka!” ucap emaknya dengan baran.
“Mak… lembab-lembab kak Tim dalam pelajaran pun, kemahiran tangan dia, sapa pun tak boleh lawan mak oi… masak, first class. Menjahit pun… no hal. Bab-bab mengemas rumah, tak payah cakaplah… tutup mata pun dia boleh buat. Mak nak apalagi. Dia seribu kali lagi baguih daripada anak Mak Senah yang mak duk kenenkan kat abang,” suara Shira sudah mencelah, membela bagi pihak Khatimah.
“Betul tu mak,” Shah dah menyampuk. “dan mak kata, pendek… mak tak suka. Shah tak mau bini Shah renjong sangat… biaq kecik, asal comel. Tinggi sangat pun nak buat apa, tak ada kena mengena dalam perihal nak cari jodoh pun,” sambungnya lagi.
“Mak tak kira!!! Hampa kata pi la lagu mana pun… mak tetap takkan setuju Khatimah tu jadi menantu rumah kita. Shah… hang pilih Shah, antara mak dengan dia? Kalau hang degil jugak, putus antara hang dengan mak,” tersentap terus jiwa Shah mendengar sumpahan dari bibir mak. Aduh, mak… kenapa mak tak dapat nak memahami kehendak hati Shah. Shah ni, anak mak… rintihan hatinya hanya menyeksa jiwa.
******
Khatimah sedang duduk bersantai di beranda yang mempunyai seribu satu kenangan dalam hidupnya. My darling katik… dia rindu akan panggilan itu. Biarpun dia tidak suka pada mulanya, namun jauh di sudut hati, dia senang dengan layanan dan kemesraan yang ditonjolkan oleh lelaki itu.
Matanya tepat pada sebuah kereta yang sedang berlalu melintasi beranda itu. Terkaku sebentar pandangannya. Wajah yang dirindui selama ini, dia ada di sini. Namun, kehadiran lelaki itu di sini tidak mampu mengubah apa-apa, segalanya sudah terlambat dan hasratnya juga tidak akan kesampaian.
“Khatimah… Nurul Khatimah Abdul Karim,” terus saja dia beralih pandang. Dia terpaku sejenak. Dirinya dihadiahkan sebuah senyuman manis. Lambat-lambat saja dia membalas. Bagaimana dia boleh terlupa, ada insan yang sudah berjanji untuk bertemu dengannya, tetapi kenapa dia ke sini? Ini tempat kenangan aku dan Shah, aku tidak ingin memulakan kenangan baru di sini.
“Boleh abang duduk?” dia mengangguk.
“Tunggu orang ke?” dia menggeleng.
“Mengganggu ke?” dia menggeleng juga.
“Ibu tak ada pulak cakap kat abang yang menantu dia kurang upaya, tak ada suara…,” terus saja Khatimah mengetap bibir. Geram diperli begitu.
“Adalah!!!” balasnya marah. Namun senyuman terus berlayar di wajah lelaki itu dengan barisan gigi yang tersusun cantik. Sempurnanya dia di mata aku. Tidak ada celanya.
“Abang… Ahmad Fatah… ,” ucap lelaki itu.
“Tunang Tim…,” sahut Khatimah. Lelaki itu ketawa. Kenapa? soal hatinya pelik.
“Tim mana pulak dah? Justin Timberland ka?” usik lelaki itu. Khatimah juga ikut tersenyum. “tak sampai maksud nama Khatimah, kalau duk short form panggil Tim saja…,” Khatimah mengangguk saja. Dia tahu, tapi nak buat macam mana sudah terbiasa.
“Mulai sekarang, abang tak mau dengar, Tim… Tim ni semua. Kalau nak cakap dengan abang, sebagai permulaan ni, abang suka kalau Khatimah bahasakan diri cheq, nampak mesra sikit…,” lelaki itu tersenyum lagi. Nampak bahagia sangat. Tiba-tiba saja jiwa Khatimah diterpa rasa bersalah. Dia hendak berkongsi rahsia, sebelum melangkah ke alam yang lebih serius. Dia hendak menerangkan segalanya.
“Abang Fatah… Tim… err… sorry, cheq ada benda nak cerita…,” ucap Khatimah perlahan. Berdebar juga rasanya bila fikirkan apa reaksi yang akan diberi oleh lelaki ini.
“Pasal my darling katik ke?” Khatimah sudah melopong. Bagaimana dia tahu?
“Mana abang Fatah tau?”
“Mak yang cerita…,” pandangan lelaki itu merenung tepat ke anak matanya. “bohonglah, kalau abang kata… abang tak kisah. Nak buat macam mana… dah Khatimah sukakan dia dulu sebelum abang… tapi, abang harap… bakal isteri abang ni, dapat ikhlaskan hati terima abang… jodoh Khatimah dengan Ahmad Fatah, bukannya Shahmizan,” ucap lelaki itu dengan tenang sekali seraya meragut ketenangan yang ada pada hati Khatimah. Air matanya sudah bergenang.
“Pembuka kena ada penutupnya… macam tu jugaklah dengan Ahmad Fatah dan Nurul Khatimah,” serentak itu air mata Khatimah mengalir membasahi pipi. Rasa sebak hadir tanpa diundang. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, kita sebagai manusia hanya merancang selebihnya dia yang menentukan.
*****
Yang berlalu biarkan berlalu. Yang mendatang hadapi dengan cemerlang. Tapi bagaimana hendak dia hadapi perkara yang mendatang jika hatinya sudah walang.
“Sampai hati mak… sampai hati mak buat macam ni kat Shah! Mak tak nak terima Tim, semata-mata sebab mak dia kahwin dengan bekas kekasih mak… mak kecewa cinta mak tak kesampaian dan mak nak balas dendam pada anak dia. Mak tau tak, apa yang Shah rasa… mak patutnya lebih tau apa rasanya kecewa dalam bercinta… sebab mak dah pernah rasa sebelum ni…,” kebenaran dari bibir mak Khatimah hanya menambahkan luka di atas parut yang tak pernah sembuh. Begitukah ceritanya. Itukah sebab yang sebenarnya.
Wajah mak yang kelihatan sayu gagal melahirkan simpati dalam jiwanya. Dia sudah tekad, kalau dulu emak beria-ria tidak mahu menerima pilihannya. Kini, dia juga tidak akan menerima pilihan emaknya. Biarlah Khatimah sudah menikah pun, dia akan tetap menjadi kekasih sejati pada my darling katik.
“Tulah mak… sebelum ni, duk hina sangat kak Tim. Sekarang ni mak tengok… jadi menantu Datuk mak… bertuah kak Tim. Katik-katik dia pun, boleh capai kedudukan tinggi dalam hieraki masyarakat, mak tau dak, suami kak Tim tu… pengarah kat syarikat bapak dia… depa ada berapa anak syarikat kat bawah pengawasan depa…,” Shira sengaja hendak menaikkan darah emaknya. Biar saja emak membuka mata dan sedar, jangan terlalu pandang rendah pada orang. Sepatutnya mak menilai keelokan budi dan akhlak kak Tim, bukannya mencari-cari kelemahan dalam diri gadis itu. Kasihan abangnya terpaksa menanggung kecewa, namun begitu percaturan jodoh dan kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Shah tak kira mak… Shah dah patuh dengan kehendak mak sebelum ni, sekarang… mak pun kena patuh dengan permintaan Shah. Shah tak mau kahwin dengan sapa pun…,” Shah terus saja melangkah keluar selepas mengucapkan ayat yang mengkakukan duduk emaknya. Tidak sangka walaupun dia dapat meraih kepatuhan anak-anak dengan bersikap garang, namun akhirnya, ia hanya menyemai rasa benci dalam diri mereka.
******
Dua tahun berlalu…
“Abang… tolong pegang baby, cheq nak ambik barang kat situ,” kakinya sudah melangkah ke rak yang menempatkan susu bayi. Tin susu mamil gold dicapai.
“Nak beli ni ke sayang… hari tu cakap tak sesuai dengan baby,” dahi suaminya berkerut.
“Tapi doktor kata susu ni baguih untuk Furqan… cheq rasa hari tu sebab awal-awal lagi, tu yang tak sesuai sangat dengan dia…,” tin susu diletakkan dalam troli. Furqan sudah beralih tangan dari ayah ke emaknya. Tangan suaminya pula ringan saja sudah melingkar di pinggang si isteri. Khatimah tersenyum bahagia.
Seakan teringat, kenangan di malam pertama mereka…
“Mulai hari ni, hanya abang di hati sayang. Boleh?” malu-malu saja Khatimah mengangguk. Hendak bertentang wajah pun dia tidak berani. Malu sangat rasanya.
“Alahai isteri abang yang comel ni… tak payahlah malu sangat, dengan abang ja pun… suami sayanglah…,” kembang terasa hati, dipanggil sayang oleh seorang yang halal baginya. Walaupun hatinya terasa sayu teringatkan seseorang, tetapi dia pantas saja menyedarkan hatinya, bukan jodoh mereka.
“Abang faham… mesti sayang rasa susah nak buang wajah kekasih pertama… tambah pula cinta terhalang,” ucap suaminya. Berkerut dahi Khatimah, apakah suaminya itu sedang menyindir dirinya?
“Tapi, abang nak sayang tau… Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu… sayang ingat ayat ni?” Khatimah mengangguk. Ayat dari surah Al-Baqarah yang sering saja dilagukan bibir Ahmad Fatah selama tempoh perkenalan mereka sebelum diijabkabulkan. Dia tahu, lelaki itu sememangnya berusaha keras untuk memenangi hatinya yang seakan sudah tertutup bagi orang lain.
“Abang sayang sangat dengan Nurul Khatimah…,” serentak itu kucupan dihadiahkan di pipinya. Terus saja wajahnya merona, malu!
“Sayang abang tak?” soal Ahmad Fatah dengan senyuman nakal di bibir sambil mendekatkan wajahnya dengan Khatimah. Dia sudah kelu lidah. Debaran dalam hati makin memuncak dan saat itu…
“SAYANG!!!” Khatimah sudah tersentak. Saat jegilan dari Ahmad Fatah berlayar di mata, dia hanya mampu tersengih.
“Dekat mana-mana pun dia boleh berangan kan!” perli lelaki itu. Dia hanya tersenyum. Cakaplah apa pun, dia tak kisah. Lagipun dia berangankan suaminya juga bukan orang lain. Tak berdosa kan?
“Tim…,” suara yang memanggilnya mematikan langkah yang diayun. Serentak juga dia dan Ahmad Fatah mengalih pandang. Wajah Shah yang sedang tersenyum sayu sambil memandangnya. Lelaki itu kelihatan kurus dan tidak bermaya. Apakah dia begitu terseksa selepas kehilangan darling katik?
Suasana di restoran begitu tenang sekali. Mungkin kerana tempat duduk mereka agak terlindung, maka ada lebih privasi.
“Abang Shah sihat?”
“Macam nilah Tim… Tim sihat ke?” Khatimah tersenyum manis. Hati Shah terus ditimpa rasa kesal, rasa bersalah. Dia setia pada gadis itu dengan mengabaikan hakikat bahawa gadis itu adalah isteri orang.
“Tim sihat. Abang Fatah jaga Tim dengan baik… abang Shah tak tengok baby Tim lagi kan. Ni ha… Ahmad Furqan Ahmad Fatah…,” Shah mengusap lembut pipi anak Khatimah yang kini berada dalam pelukannya. Comel sekali, sama macam ibunya… Khatimah.
“Abang Shah… Tim nak cakap ni, abang jangan marah…,” Khatimah menggenggam jemari suaminya untuk menguatkan semangat. Senyuman di bibir Ahmad Fatah seolah melayarkan semangat yang utuh buatnya.
“Sampai bila abang nak jadi macam ni…,” dahi Shah berkerut.
“Mak datang jumpa Tim, masa Tim bersalin… tak baik abang buat macam tu pada mak. Abang kena tahu, kalau bukan sebab mak pun… kita takkan kahwin. Jodoh abang, bukan dengan Tim. Allah lagi mengetahui apa yang terbaik buat diri kita. Abang janganlah terus seksa hati mak macam tu… mak cuma nakkan yang terbaik untuk abang sebagai anak dia…,” lembut saja kata-kata nasihat dari Khatimah. Shah hanya mengeluh. Dia terasa susah saja hendak merealisasikan impian emak yang satu itu. Ingin melihatnya berkahwin. Bagaimana dia hendak bersetuju jika dia sudah kehilangan darling katik!
“Susah Tim…,”
“Tak susah abang…,” potong Khatimah. “Susah tu sebab abang cakap macam tu… cuba abang buka pintu hati abang, Tim yakin, abang akan jumpa seseorang yang lagi bagus dari my darling katik,” perkataan terakhir itu membuatkan hati Shah tersentuh. Melihatkan wajah gadis itu tersenyum manis membuatkan dia turut rasa bahagia.
“Tak apalah Tim… tengok Tim happy dengan suami dan anak Tim, abang dah cukup bahagia…,”
“Kiranya selama ni abang tak ikhlas sayangkan Tim,” Shah tersentak. Pandangan bersilih ganti dengan wajah Khatimah dan suaminya.
“Kalau abang terfikir nak tengok Tim bahagia, takkan Tim tak boleh harapkan perkara yang sama dari abang… Tim pun nak tengok abang bahagia dengan keluarga sendiri. Abang kena buat perubahan dalam diri abang… yang sudah tu biarkan, tak usah diungkit. Abang masih muda, jangan sia-siakan hidup abang macam ni… carilah kebahagiaan diri… Tim yakin, abang pun boleh bahagia…,” mata Khatimah tepat membalas renungan mata Shah yang sedang berfikir jauh. Biarkan dia berfikir, itu yang terbaik, desisnya.
“Abang tak sangka, sayang boleh jadi penasihat yang berjaya…,” usik suaminya setelah mereka sampai di rumah. Pertemuan yang tidak dirancang ini sedikit sebanyak melegakan hati Khatimah kerana dia sudah melaksanakan hajat dari emak Shah.
“Mestilah… suami cheq la yang ajaq…,”
“Siapa tu, suami cheq? Boleh kami kenai?” usik Ahmad Fattah dengan senyuman nakal. Spontan kucupan lembut singgah di pipi suaminya.
“Khatimah sayang Ahmad Fattah!”ucapan itu melahirkan senyuman bahagia di bibir mereka.
******
“Aduh!!!” ucapnya sambil memicit bahunya yang terasa sengal. “Cik!!!” pantas saja dia memanggil gadis yang sudah tertunduk itu. Sedap saja dia langgar bahu aku. Tak padan dengan kecil, sakit juga penangannya.
Perlahan-lahan gadis itu mengangkat wajah… terus saja dia terpana. Tidak ada apa pun yang berbeza pada pandangan yang pertama. Wajah itu mirip sekali. Namun, perbezaannya dapat dikesan juga. My darling katik mempunyai wajah yang lembut dan yang ini walaupun ala-ala my darling katik juga, namun tampak lebih garang. Lama dia begitu merenung gadis yang tidak dikenalinya.
“Encik!!!” petikan jari di depan matanya mematikan lamunan. ‘carilah kebahagiaan diri… Tim yakin, abang pun boleh bahagia’. Perubahan adalah langkah pertama yang perlu diambil. Terus saja bibirnya tersenyum. Kerutan yang muncul di dahi gadis itu diabaikan saja.
“Saya Shahmizan. Masih single dan berminat nak berkenalan… awak, solo ke?” gadis itu sudah melopong. Tak percaya mungkin ada orang nak berkenalan dengan cara begini.
“Memang solo, tapi kenapa nak kenal, tiba-tiba pula tu!”
“Mana tahu jodoh kita…,” tenang saja bibirnya berkata. Dalam hatinya turut menitipkan doa, semoga kata-kata my darling katik akan termakbul. Dia akan berusaha untuk mencari kebahagiaan dirinya.
besttt :)
ReplyDeleteFYI umi, saya tiba2 rindu kt cerpen ni, puas fikir sape penulis dia sbb last baca, rasanya tahun lps, mmg tak ingat dh. jenguk blog umi ni pun nk tgk kot2 ada entry br Jelita Perkasa. Then belek2 cerpen2 umi, nmpk darling katik ni. Happy sgt2!! Rindu kt Tim!
ReplyDeletecerpen ni kelakar ade sedih pun ada. Apapun memang class.
ReplyDelete