Skip to main content

Mutiah [1]

Bab 1

BAGASI berwarna biru tua yang sudah hampir lusuh warnanya ditarik perlahan. Perasaan gugup yang menghantui diri sejak seminggu lalu masih tidak mahu pergi. Perutnya semakin memulas apabila kaki mula melangkah masuk ke satu ruang yang terlalu asing daripada hidupnya sebelum ini. Entah bagaimana kehidupan yang bakal ditempuhi selepas ini.
“Tia.”
Langkah kaki Mutiah yang sememangnya kaku sejak tadi menjadi semakin beku. Entah kenapa perasaannya cemas begini.
“Tia... Dengar tak saya panggil ni. ” Namanya diulang panggil.
“De... de... dengar.” Tersekat-sekat suara Mutiah. Ah, dah kenapa?
“Yang awak tercegat macam patung cendana tu dah kenapa? Awak masuk ke rumah baru aje pun, bukan rumah hantu.”
Mutiah menelan air liur. Wajah Puan Sofea, majikan barunya ditatap dengan senyuman kelat. Buat malu saja reaksi yang dipamerkan oleh dirinya itu. Nampak sangat berdarah gemuruh setiap kali melangkah ke tempat baru. Sememangnya perangai itu sudah sebati dengan dirinya sejak dari alam ke kolej.
“Saya memang macam ni puan setiap kali ke tempat baru. Tapi, lama-lama saya akan okey. Cuma ambil masa dalam seminggu dua untuk hilangkan rasa gemuruh ni.” Jelas Mutiah apabila Puan Sofea terus memandangnya dengan pandangan menagih jawapan.
“Macam-macamlah awak ni. Minggu lepas masa saya interview pun awak buat muka macam nampak hantu. Sampaikan saya jadi tak confident ingatkan solekan saya macam pelakon opera.”
Mutiah terus tersengih kelat.
“Maaflah puan...” pintanya walaupun muka Puan Sofea sudah terpalit dengan senyuman.
“Jomlah, saya tunjukkan tempat tinggal awak. Nanti lepas solat zohor, baru awak mulakan kerja untuk hari ini.”
Selesai berkata begitu, Puan Sofea melangkah menuju ke bahagian belakang rumah. Mutiah turut mengekor sambil menarik bagasinya. Rumah Puan Sofea itu luasnya bukan main. Sampaikan Mutiah sempat mengira berapa langkah dari ruang hadapan ke ruang belakang. Kenapa jauh sangat?
Pintu gelongsor di bahagian belakang rumah itu ditolak, serentak itu mata Mutiah menangkap sederet rumah di situ.
“Sini tempat tinggal untuk pekerja. Mungkin tak berapa selesa macam sebuah rumah tapi lengkap dengan segala keperluan asas. Ada tandas, katil, almari, peti sejuk dan dapur untuk awak pakai. Tapi pakej makan tiga kali sehari memang saya dah sediakan untuk semua pekerja dekat sini.” Jelas Puan Sofea, sekali lagi mengingatkan Mutiah mengenai perkara yang sudah disebut semasa temuduga minggu lalu.
“Nah, ini kunci bilik awak. Bilik nombor tiga, yang paling hujung. Bilik tengah tu, bilik tukang masak. Yang tepi tu pulak bilik personal assistant saya. Nanti kalau masing-masing dah habis kerja, bolehlah awak berkenalan.”
“Baik, Puan Sofea.” Mutiah mengangguk.
Puan Sofea berlalu meninggalkan Mutiah menguruskan dirinya terlebih dahulu. Langkah Puan Sofea diatur ke tingkat atas rumah itu. Bahunya berselisih dengan si anak teruna yang seorang itu.
“Dah sampai ke pembantu baru tu?” soalan dengan nada sinis meniti bibir lelaki itu.
Puan Sofea menggelengkan kepala.
She is a nurse. Not a maid! Mama lantik dia bukan untuk dibuli oleh awak. Mama lantik dia untuk jagakan nenek yang semakin uzur tu. Nak harapkan orang lain dalam rumah ni untuk tolong ringankan kerja mama, memang sampai ke sudah tak ada siapa pun yang nak wakil diri.” Luah Puan Sofea tegas. Sedikit kecewa dengan sikap anak lelakinya yang sudah berusia lewat 20-an itu. Tapi sikapnya tidak matang langsung.
“Mama boleh aje hantarkan nenek ke rumah orang tua. Bayarkan yuran jagaan tiap-tiap bulan. Kenapa pula nak tambahkan perbelanjaan bulanan kita dengan hire seorang nurse. Lepas tu demand gajinya bukan main!” Bentak Rayqal tidak puas hati.
Puan Sofea mengetap bibir. Marah yang sudah menapak dalam diri cuba dipadamkan dengan istighfar dalam hati.
“Mama letih sangat hari ni. Nak bertekak pun rasanya dah tak ada tenaga. Kalau boleh, Rayqal tolong jangan nak tambahkan tekanan pada mama. Mama masuk bilik dulu.” Tidak mahu menanti lebih lama, Puan Sofea terus mengatur langkah laju menuju ke biliknya. Dia perlukan rehat. Dia perlukan ruang bersendirian.

JAM baru menunjukkan tepat 12 tengah hari. Mutiah sudah siap mengemaskan bilik dan memasang cadar katil. Bilik bujang yang lengkap dengan katil dan almari itu dipandang sekali lalu.
Walaupun Puan Sofea cakap mungkin bilik ini tidak selesa, tapi pada Mutiah, ia sudah lebih daripada cukup. Siap ada dapur dan tandas lagi. Cukup privacy. Rasa lebih selamat juga untuk tinggal di sini bersama majikan yang nampak baik budi bahasanya.
Telefon bimbit dalam beg tangan dicapai. Mutiah tersenyum sendiri sambil mencari nama si ibu dalam senarai nombor telefon. Jari telunjuk itu mulai menekan skrin sentuh dan telefon dibawa ke telinga.
Tidak menunggu lama, talian sudah bersambung.
“Assalamualaikum, Mutiah!”
Mutiah tersenyum, ibunya, Puan Rahmah bersuara dengan teruja.
“Ya, Mutiah ni mak. Anak mak ni dah selamat sampai ke tempat mencari rezeki selepas ni. Insha-Allah. Mak jangan risaukan Tia. Dekat sini semua lengkap, tempat tinggal elok. Majikan pun nampak baik. Cuma Tia belum bersua muka dengan nenek yang Tia kena jaga tu. Rasa gemuruh jugak.” Luah Mutiah sedikit risau.
Ini bukan kali pertama dia berpengalaman menjaga orang tua secara peribadi. Dan pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini lebih banyak yang pahit daripada manisnya. Tapi dia tetap suka dengan kerjanya itu. Bak kata Puan Rahmah, banyak pahala jaga orang sakit ni.
“Jangan risau Tia. Allah ada. Doa banyak-banyak dengan Dia, minta dipermudahkan segala urusan kerja Tia. Mak pun akan sentiasa doakan anak mak. Yang penting, walau dekat mana pun Tia bekerja dan makan gaji, jangan sesekali tinggalkan solat, jaga aurat dan jaga maruah diri.”
Mutiah mengangguk mendengar nasihat emaknya itu. Sempat mereka berbual untuk 10 minit sebelum Mutiah meminta diri untuk mandi sebelum memulakan tugasan pertamanya selepas solat zohor nanti.
Baru sahaja dia hendak mencapai tuala, terdengar pintu bilik itu diketuk kuat. Serta-merta dadanya mulai berdebar. Mula diserang angin gemuruh semula!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia