Skip to main content

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati


JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.
            Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.
            Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.
            “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”
            Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!
            “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus berubah kelat.
            Tidak ingin menanti lebih lama, dia terus bangkit berdiri dan berlalu dari situ. Malu pula jika Selina melihat riak wajahnya yang keruh pada tika ini. Hari demi hari, hatinya terasa makin dirobek. Bersusah-payah dia ke sini untuk mengambil hati Irfan. Tapi apa yang dia dapat, hanyalah kebencian yang tidak berpenghujung.
            Kenapa kau bencikan aku,  Irfan? Sedangkan aku hanya inginkan kau bahagia. Rintihan hatinya terasa makin pedih. Makin melemahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan ini.

***

            “HAI, seorang je?”
            Eryna menjeling tajam. “Taklah! Sekampung.” Sinis sahaja nada Eryna.
            Lelaki itu tertawa riang. Lantas, kerusi kosong di hadapan Eryna ditarik dengan selamba. Tanpa mempedulikan jelingan gadis itu, dia terus sahaja melabuhkan punggungnya berdepan dengan Eryna.
            “Macam dah tak ada tempat kosong lain kan!” marah Eryna. Dia nak makan pun tidak senang. Ada sahaja yang hendak mengganggu.
            “Kenapa kau moody sangat hari ni?” kemarahan Eryna tidak dipedulikan. Safwan terus menukarkan topik perbualan. Kasihan pula dia melihat wajah Eryna yang sudah tidak seceria dulu. Kenapa? Hatinya tidak akan senang selagi dia tidak tahu apa yang disembunyikan oleh Eryna.
            “None of your business!” nada Eryna masih begitu. Sentiasa dingin.
            Safwan melepaskan keluhan. Eryna sentiasa dingin dengannya. “It is my business too!”
            Wajah Eryna sudah merah, menahan amarah. Kenapa lelaki seorang ini terlalu sibuk akan halnya!!! “Kenapa kau suka sangat kacau aku?” soalnya dengan rasa marah. Sungguh dia perlukan ruang untuk bertenang. Kenapa lelaki itu tidak faham?!
            “Ini bukan kacau tak bersebab. Aku kacau sebab report yang kau submit tadi banyak mistakes! What is your problem Eryna?” Safwan bersuara senada dengan Eryna.
            Eryna terdiam terus.

***

BEKAS milo yang sudah kosong itu dipandang sepi. Hanya jasadnya berada di situ. Fikirannya menerawang jauh. Kenapa segala ini harus menimpa dirinya. Keadaannya seperti diluah mati emak, ditelan mati bapak. Kenapa???!
            Gelas di rak dicapai dan diisi dengan air kosong. Kakinya sudah diheret ke ruang tamu rumah yang sunyi dan sepi. Beginilah keadaannya setiap hari. Sunyi. Kosong sudah hidup Eryna Badra sejak menjadi isteri kepada Irfan Naufal.
            Kepalanya disandarkan pada sofa di tepi balkoni. Matanya sudah meliar di ruang tamu yang luas itu. Pandangannya dengan tidak sengaja jatuh pada frame gambar di sisi televisyen. Tanpa dipinta hatinya bergetar juga. Suraya! serunya di dalam hati.
            Perlahan, air matanya sudah jatuh membasahi pipi. Kepada siapa lagi harus dia luahkan rasa hati ini. Amanah dari arwah Suraya sudah menjerut dirinya ke dalam ikatan ini. Permintaan terakhir daripada seorang sahabat baik yang menoktahkan kehidupannya di dalam perkahwinan tanpa cinta ini.
            Cinta Irfan begitu kukuh buat Suraya. Buktinya, setiap gambar kenangan mereka berdua masih ada dalam rumah ini. Eryna semakin terluka. Awal-awal dulu dia mampu bertahan lagi. Tapi tidak sekarang. Dia akhirnya sedar, dia juga seorang manusia biasa. Dia juga ingin merasai perasaan bercinta dan dicintai oleh insan yang bergelar suami dalam hidupnya.
            Irfan Naufal… aku bukanlah hendak merampas tempat istimewa Suraya dalam hati kau. Tapi cukuplah sekadar mendapat ruang yang kecil untuk menempatkan kasihku.

***

LANGKAHNYA terhenti apabila masuk ke dalam rumah. Gelap sekali ruang itu bagaikan tiada penghuni sahaja.
            “Takkan perempuan tu tak balik lagi?” omelnya sendiri sambil menekan suis lampu.
            Sebaik sahaja lampu terpasang, Irfan sudah mula hendak melangkah ke bilik. Namun langkahnya terhenti apabila terpandangkan sekujur tubuh yang terlena di atas sofa. Keluhan panjang sudah meniti bibirnya.
            Briefcase diletakkan di atas meja dan kakinya sudah mula bergerak mendekati Eryna yang begitu lena sekali. Langsung tidak menyedari kehadirannya di sisi. Matanya sudah jatuh pada wajah mulus itu. Jelas sekali di pandangannya, pipi gadis itu basah dengan air mata. Pandangannya jatuh lagi pada tangan Eryna yang sedang menggenggam frame gambar.
            Perlahan dia sudah mengambil frame itu. Foto yang merakamkan dirinya bersama arwah Suraya dipandang sepi. Tahulah dia untuk apa tangisan itu. Tanpa dia sedari, ada juga rasa simpati yang menyusup ke dalam hati buat Eryna.
            Tanpa mengejutkan Eryna yang terlena di atas sofa, Irfan terus melangkah menuju ke biliknya. Usai membersihkan diri, dia terus menunaikan solat. Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap hamba ALLAH di atas muka bumi ini.

***

WAJAH Eryna pucat sekali. Sesekali dia terintai-intai ke arah Irfan yang sedang berada di ruang tamu.
            Macam mana aku nak cakap ni? Kalau aku bagitahu, agaknya dia akan cakap aku hendak ambil kesempatan pula! Tapi, yang ini betul-betul darurat. Terpaksa, cakap juga.
            Dengan langkah yang diberanikan, Eryna melangkah juga mendekati Irfan yang sedang duduk membaca akhbar di ruang tamu. Mujur juga, lelaki itu masih berada di rumah pada waktu-waktu begini. Kalau kebiasaannya memang Irfan tidak akan melekat di rumah langsung. Lagi-lagi kalau dia ada sekali, lebih cepatlah lelaki itu menghilangkan diri.
            “Irfan…” serunya perlahan. Namun tiada sebarang balasan. Tapi tidak mengapa. Dia sudah terbiasa. “Mak dengan abah telefon. Dia orang dah on the way ke rumah kita.”
            Irfan masih kaku tanpa reaksi. Eryna mengetap bibir. Ya ALLAH, aku mohon kesabaran daripada-Mu.
            “Irfan, mak dengan abah… dah sampai dekat tol Juru.”
            “What???” akhirnya, keluar juga suara Irfan dengan nada yang terkejut. “Sekarang baru kau nak cakap?!” marah Irfan.
            “Kau memang sengaja kan!!!” tambah Irfan lagi. Sedikit pun dia tidak mempedulikan hati Eryna yang juga sedang dilanda resah. Kalau mak dengan abah sampai ke sini, habislah mereka. Habislah semuanya.
            “Baru sekejap tadi mak call. Ryna langsung tak tahu apa-apa. Tak ada niat pun nak bagi Irfan marah,” balas Eryna dengan nada yang merendah. Dia tahu, dia cakap apa pun, Irfan pasti akan palitkan kesalahan pada dirinya juga.
            Irfan terdiam. Tidak tahu kenapa dia sentiasa akan rasa marah kalau berdepan dengan Eryna dalam keadaan begini. Melihatkan wajah Eryna yang sudah berubah sugul membuatkan hatinya diulit simpati. Terasa bersalah juga kerana sentiasa melayan gadis itu dengan perasaan benci yang tidak bertepi. Walaupun dia tahu, ikatan perkahwinan ini bukanlah sesuatu yang Eryna impikan, sama juga seperti dirinya. Namun, nadanya terus meninggi mengarahkan Eryna mengemaskan itu dan ini. Kenapa dia tidak boleh berlembut sedikit dengan Eryna, dia pun tidak mengerti!
            Memang kena benar dengan dirinya dengan peribahasa, lain di mulut, lain di hati.

***

            “BERSERI-seri mak tengok Ryna sekarang ni.”
            Hampir tercekik tulang ikan dalam tekak Eryna mendengarkan ucapan emak. Berseri-seri kata emak. Kenapa dirinya sendiri tidak merasakan seri itu? Teringat pula kata-kata Safwan padanya tempoh hari…
            “Semakin hari, semakin hilang seri di wajah bulan aku yang cantik ni… ke mana hilang serinya Eryna Badra? Kau dah gadaikan di pajak gadai ke?” dengan nada yang bersenda sahaja lelaki itu menyoal. Namun sudah cukup membuatkan hatinya terusik dengan rasa pilu.
            Aku pun tidak tahu ke mana hilangnya seri itu. Bisiknya hatinya pilu. Tetapi, dengan sedaya upaya wajahnya cuba dimaniskan di depan emak dan abah. Bimbang pula kalau mereka dapat mengesan ada yang tidak kena dalam kehidupan rumahtangga anak tunggal mereka ini. Sungguh dia tidak sanggup untuk melukakan hati mereka.
            “Ryna biasa je mak…” balasnya perlahan. Tidak mahu emak berlebihan pula memuji seri di wajahnya. Bimbang kalau dia tidak dapat menahan empangan air mata.
            “Ada pulak biasa. Ryna nampak berseri kan bang…” emak sudah beralih pandang pada wajah abah pula. Eryna menjadi kalut sendiri. Seakan tidak senang dengan nada emaknya itu. Seakan ada sesuatu. Pantas matanya dilirikkan pada Irfan di sebelah yang diam tidak berkutik.
            “Ryna tak nak cakap dengan mak dan abah ya?” nada emak yang seakan mengusik itu hanya membuatkan Eryna berpeluh-peluh. Cakap apa pula?
            “Dah berapa bulan?” terbuntang mata Eryna mendengar soalan itu. Tanpa dapat ditahan, dia terus tersedak kuat. Batuknya tidak henti. Air di depan mata diteguk dengan rakus sekali. Dan saat dia terasa ada tangan yang mengusap belakangnya dengan lembut, dia sudah terpana. Irfan!

***

BELUM pernah dia melihat wajah Eryna setegang ini. Kalau pernah pun, sebelum mereka berkahwin ada la.
            “Kenapa Irfan tipu mak dengan abah?” Eryna sudah tidak mampu mengawal nada suaranya.
            “Hei… cakap tu, slow la sikit. Nanti mak dengan abah dengar.” Irfan sudah beriak risau.
            “Kenapa tipu?!” marah Eryna lagi. Kali ini nadanya sudah mengendur sedikit. Hatinya turut disapa rasa bimbang. Bimbang kalau hati emak dan abah terluka.
            “Aku tak dapat nak elak. Semuanya terkeluar dengan spontan.”
            Eryna mendengus kasar. “Sampai kena menipu?”
            “It was spontaneous. I didn’t plan to say so… mak dengan abah tanya berkali-kali, Ryna belum ada apa-apa ke…”
            “Habis… sekarang, kalau mak dengan abah tanya, Ryna nak jawab apa?” merah muka Eryna menyoal sambil menahan rasa marah. Dia nampak Irfan di depan matanya itu sebesar semut sahaja. Kalau tidak fikirkan suami, sudah lama dia pijak sampai mati!
            “Apa susah… dalam dua tiga minggu lagi, kita cakaplah yang kau terjatuh tangga. Baby can’t be saved.”
            Terbuntang biji mata Eryna dengan ayat selamba Irfan. Dia tahu Irfan tidak punya sekelumit perasaan padanya. Dia juga tidak kisah kalau hatinya terluka. Tapi kalau sudah masuk bab melukakan hati emak dan abahnya, dia tidak boleh terima. Hati yang dikuasai rasa amarah membuatkan dia hilang kawalan.
            Eryna meluru laju ke arah Irfan. Dada lelaki itu menjadi mangsa tumbukan bertalu-talu dari tangannya.
          “Kenapa buat Ryna macam ni?!!! Apa salah mak dengan abah pada Irfan? Kenapa Irfan sanggup tipu mereka? Kenapa? Ryna tak kisah kalau Irfan tak boleh sayangkan Ryna… Ryna tak kisah kalau hati Ryna terluka… Ryna tak kisah kalau Irfan bencikan Ryna sampai bila-bila… tapi jangan lukakan hati emak dan abah Ryna! Irfan tak ada hak! Irfan tak boleh buat macam ni!!! Ryna benci Irfan!!!” dengan air mata yang tidak dapat dikawal, Eryna meluahkan segala rasa hatinya di situ. Tangisan semakin rancak. Dia benar-benar terluka. Dia sudah tidak sanggup untuk memerap rasa.
            “A… aku…” Irfan sudah kehilangan kata. Air mata Eryna mematikan bicaranya. Kali terakhir dia melihat tangisan serancak ini pada hari kematian arwah Suraya. Hari ini sekali lagi dia melihatnya. Namun kali ini, penyebab tangisan itu bukanlah kematian sesiapa tetapi kerana bicaranya yang tidak memikirkan perasaan Eryna. Tanpa dia sedar, sudah ada rasa bersalah yang meluap-luap di dalam hatinya. Wajah yang basah dengan tangisan itu menarik-narik bibirnya untuk mengungkapkan kata maaf. Namun beratnya terasa bukan sedikit.
            Lagi-lagi dia terasa, lain di mulut, lain di hati. Kenapa boleh jadi begini?!

***

            “ENCIK Irfan… termenung jauh,” tegur Selina apabila Irfan tidak memberi tumpuan pada bicaranya.
            Irfan tersentak. Bagaikan tersedar dari lena yang panjang. Hari ini terasa bagaikan tidak lengkap sahaja harinya.
            “I feel like something missing somewhere…” ucapnya perlahan.
            Selina tersenyum kecil. “Saya pun rasa macam tu jugak. Macam kurang sesuatu je hari ni.”
            “Awak tahu? Apa ya… saya fikir dari tadi, tapi tak jumpa-jumpa jawapan tu.”
            Selina tersenyum lagi. Melihatkan wajah Irfan yang begitu teruja hendak mendengar jawapannya membuatkan dia disapa dengan rasa lucu. Ini yang orang kata, bila ada tidak dihargai, bila tidak ada sudah mula mencari-cari.
            “Jambangan bunga ros yang menyerikan hari Encik Irfan.” Yakin sekali jawapan Selina membuatkan Irfan terkedu. Hilang kata. Benarkah bunga ros itu menyerikan hidupnya? Bunga ros kiriman Eryna? Eryna yang pernah dibenci sepenuh hati?!
            Hatinya sudah keliru sendiri.
            Kata-kata Selina terus menghantui diri sehingga pulang ke rumah lewat petang itu. Keadaan rumah begitu sepi. Cahaya yang terbias dari bilik Eryna menandakan gadis itu sudah pulang ke rumah. Sepi sungguh keadaan di antara mereka. Sejak emak dan abah pulang ke kampung, Eryna sudah menghentikan penghantaran bunga ros ke pejabatnya. Mungkin benar, Eryna benar-benar terasa dengan sikapnya.
            Ketika melintasi depan bilik Eryna, langkahnya terhenti. Tangannya sudah diangkat untuk mengetuk pintu bilik. Namun masih ada sesuatu yang menghalang. Rasa hati yang benci. Lantas dimatikan terus niatnya.

***

            “Tahu pun nak senyum… kalau tak asyik masam je bila nampak muka aku.” Usikan Safwan membuatkan Eryna tersenyum terus. Entah kenapa, hari ini dengan senang hatinya dia menerima pelawaan lelaki itu untuk makan tengah hari bersama. Mungkin kerana dia ingin menggembirakan hati di hari istimewa ini. Hari kelahirannya yang tidak mungkin Irfan ingati.
            “Kau jangan nak mengusik lebih-lebih. Aku keluar makan ni pun… dah cukup bagus!” balas Eryna pura-pura marah. Namun bibirnya tersenyum juga.
            “I’m happy to see you smiling like this… inilah kecantikan cahaya bulan yang aku cari. Eryna Badra,” bicara Safwan dengan lembut sekali. Eryna menjadi gugup sendiri. Renungan mata itu hanya membuatkan dia menjadi kelu. Renungan mata yang sarat dengan kasih. Kenapa tidak mata itu milik Irfan? Kenapa tidak Irfan yang memandangkan dengan renungan itu?
            Hati Eryna tidak dapat berhenti untuk mengharapkan yang tidak-tidak. Walaupun dia tahu, indah lagi mimpi daripada realiti.
            “Happy Birthday Eryna Badra… I wish you all the happiness in your life.”
            Eryna terpana. Kek yang berada di depan mata dipandang dengan rasa berbaur. Lagi-lagi hatinya mengharapkan yang tidak-tidak. Kenapa tidak Irfan yang meraikan hari lahirnya. Kenapa mesti Safwan? Kenapa?
            “Thanks…” hanya itu yang terungkap di bibir. 

***

            “SERONOK nampak keluar makan siang tadi.” Baru selangkah kaki Eryna masuk ke dalam rumah, telinganya sudah dihadiahkan ucapan yang sinis itu. Dalam pada hatinya terhiris dengan luka, mindanya sudah terasa aneh juga. Kenapa lelaki itu tiba-tiba hendak menyoal perihal dirinya. Sedangkan sebelum ini dia tidak mempedulikan aku sebagai isterinya.
            Tanpa sebarang keinginan untuk menjawab soalan Irfan, Eryna sudah mula melangkah ke bilik. Namun, belum sempat tangannya memulas tombol pintu, lengannya direntap laju.
            Mata Irfan yang penuh dengan rasa amarah berlaga dengan matanya. Tidak semena-mena, Eryna terasa kecut perut. Bimbang juga kalau Irfan mengamuk.
            “Aku tak izinkan kau keluar dengan lelaki lain!!!” marah Irfan dengan tiba-tiba. Eryna tersentak.
            “Lagi sekali aku nampak kau makan berdua dengan lelaki tu… siap kau!” sambung Irfan lagi.
            Eryna sudah melepaskan pandangan yang aneh sekali. Tiba-tiba sahaja lelaki itu mengamuk begini. “Kenapa nak marah? Selama ni pun bukannya Irfan peduli Ryna keluar dengan siapa semua? Sekarang dah pasang spy pulak ke nak intip gerak geri Ryna?” sinis nada Eryna menyoal. Entah kenapa, dia terasa aneh dengan kelakuan Irfan hari ini.
            Selama ini, hendak bertegur pun tidak. Hari ini, hendak marah-marah pula.
            “Aku cakap jangan, janganlah! Tak faham?!”
            “Bukan tak faham… tapi pelik. Kenapa Ryna kena ikut cakap Irfan? Selama ni mana pernah Irfan ambil tahu pasal hal Ryna?”
            “Aku suami kau… aku ada hak!”
            “Dan sejak bila pula wujudnya hak tu?” soal Eryna geram.
            “Sejak aku…” Irfan terdiam. Tidak jadi hendak meneruskan kata. Mata Eryna direnungnya lama. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus marah. Melihat wajah Eryna yang tersenyum di samping lelaki yang segak itu, mengundang rasa cemburu di jiwa. Jiwa kacau betul!
            Sudahlah hari-hari diucapkan kata benci, tapi rasa cemburu ini hanya membuatkan dia bertambah-tambah tidak pasti dengan ungkapan bibir sendiri. Lain di mulut, lain di hati. Betapa sukarnya untuk menafsirkan rasa hati ini.
            “Ryna happy sangat ada orang sudi sambut hari lahir Ryna hari ni. Kalau Irfan tak keberatan, boleh tak jangan buat Ryna sedih hari ni?” permintaan Eryna benar-benar tulus dari hati. Dia ingin memejamkan mata dengan rasa gembira hari ini. Dia ingin melupakan sekejap rasa benci Irfan pada dirinya. Kalau boleh…
            Irfan tergamam. Hari ini, hari lahir Eryna. Patutlah dia nampak wajah gembira Eryna ketika memotong ke bersaiz kecil itu tadi. Perlahan-lahan, lengan Eryna dilepaskan. Walaupun hatinya terasa bersalah, bibirnya masih tidak sudi untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada Eryna. Egokah dia?

***

KOTAK-kotak lama di dalam bilik stor itu dialihkan satu persatu. Waktu-waktu beginilah lelaki itu hendak menyuruh aku memunggah satu-satu barang! Orang nak rehat pun tak senang. Tapi merungut-rungut pun di dalam hati sahaja. Tangannya masih tangkas membuat kerja.
            “Jumpa tak?” lembut sekali suara Irfan bertanya. Eryna mencebik. Minta tolong punya pasal, nada suara pun jadi lembut tidak terkata. Sampai Eryna rasa hendak jatuh cinta berkali-kali dengan suaminya. Tapi angan-angan buah berangan sahaja. Dia tahu, hasrat itu tidak akan kesampaian sampai bila-bila.
            “Tak jumpa lagi.”
            “Apa lama sangat cari?”
            “Cuba cari sendiri!” marah Eryna. Hendak mengarah bukan main lagi Irfan ini. Dia mana tahu betapa peritnya untuk mengangkat kotak-kotak yang sangat berat ini. Sudahlah berhabuk. Entah-entah ada lipas dan tikus sekali dalam bilik ini. Boleh jadi!
            “Okey-okey… janganlah marah. Aku tanya je. Jom cari sekali…” Irfan dengan sendiri sudah mula membuka kotak-kotak yang berada di dalam bilik itu. Sebenarnya benda yang diminta Eryna carikan itu tidaklah penting mana. Tapi disebabkan dia hendak cuba berbual bicara dengan gadis itu, terpaksa menggunakan taktik ini. Entah Eryna sedar atau tidak, matanya sudah tidak mahu beralih dari wajah itu.
            Petikan jari tepat di depan mata sudah menangkap perbuatan Irfan yang begitu asyik merenung Eryna.
            “Dah jumpa ke apa yang Irfan cari?” soal Eryna pura-pura tenang. Berdebar-debar jatungnya melihat renungan Irfan yang menyusup ke dalam hati. Sama ada dia tersalah lihat, atau dia tersalah tafsir, renungan itu kelihatan sarat dengan rasa kasih buat dirinya. Benarkah begitu?
            “Irfan… dah jumpa ke?” tekan Eryna.
            Irfan mengukir senyum segaris. Bibir diam tidak berkata. Cuma hatinya berbicara. Irfan dah jumpa…
            “Dah jumpa?” soal Eryna lagi. Bosan pula bila Irfan diam macam tunggul di depannya.
            Dah jumpa… ada depan mata. Sahut hati Irfan lagi. Namun untuk ucapkan di bibir, dia rasa begitu berat sekali. Bagaikan ada ketulan emas yang menganggu aliran suaranya. Atau rasa ego masih melangit di dalam hati?
            “Irfan…” panggil Eryna apabila lelaki itu dilihat seakan berkhayal.
            “Ya sayang…” tanpa sedar Irfan mengucapkan kata. Tetapi perlahan sahaja.
            “Hah?!” jantung Eryna sudah berdebar kencang. Seakan terdengar sesuatu sahaja dari bibir lelaki itu.
            “Ni ha… dah jumpa.” Irfan yang sudah tersedar, terus mencapai sebuah kotak kecil yang terselit di dalam kotak besar itu. Kononnya itulah kotak yang dicari. Harap-harap Eryna tidak dapat menghidu keadaan yang sengaja diwujudkan ini.

***

Eryna Badra,

Sahabat aku dunia akhirat. Sahabat yang aku kasih dan sayang sepenuh hati. Nukilan warkah ini pasti akan melukakan hatimu. Aku tahu. Tapi aku juga tahu, bahawa kau memiliki sekeping hati yang sangat tulus dan murni.
Ryna… aku sangat sayangkan kau seperti mana aku kasihkan abang Irfan. Dan kerana rasa kasih itu juga, aku ingin meminta sesuatu daripadamu. Harapan aku sangat tinggi agar kau tidak berkata tidak… aku mohon Ryna.
Andai ditakdirkan aku pergi, aku ingin sekali meminta agar kau membahagiakan abang Irfan. Bukan aku tidak tahu, antara kamu berdua hanyalah wujud benci. Tapi mungkin kamu berdua yang tidak sedar, di sebalik rasa benci itu aku dapat melihat ada kasih yang sedang mula bersemi. Baik kau Ryna, mahupun abang Irfan. Masing-masing sebenarnya sedang menyembunyikan rasa kasih yang wujud di dalam hati. Mulut sahaja mengungkapkan benci, tetapi kasih begitu menggunung di dalam hati. Jangan kau nafikan perasaan itu untuk aku, Ryna. Tolong!
Aku tidak marah Ryna. Bahkan aku gembira. Aku gembira jika kau bakal mengantikan tempatku di hati abang Irfan. Aku akan sentiasa tenang jika ALLAH mengambil nyawaku di saat ini. Kerana aku tahu, hanya kau layak berdiri di sisi abang Irfan.
Ini bukan sekadar permintaan Ryna… ini adalah harapan. Aku harap, aku tidak akan dikecewakan. Kau telah berikan janji Ryna. Dan aku sangat berharap, kau kotakan janji itu dengan mengahwini abang Irfan. Jangan kecewakan aku Ryna. Demi kasih kau, tolong tunaikan janji ini.

Sentiasa menyayangimu,
Suraya.

            Kertas yang sudah berlipat seribu itu diletakkan kembali ke dalam bekasnya. Tidak sekalipun Irfan menyangka, arwah Suraya dapat merasakan segalanya. Begitu jauh sekali pandangan arwah sehingga dapat menangkap rasa kasih yang dia sendiri tidak pernah sedar akan kewujudannya di dalam hati.
            Memang benar, dia dan Eryna sering bertengkar. Bercakaran. Semua itu dia yang selalu mulakan. Alasannya, sengaja! Dia sengaja mencari ruang dan peluang untuk berbalah. Namun pada ketika itu, dia hanya merasakan keseronokan bila dapat melihat wajah Eryna yang merah menahan marah. Tidak pula dia sedar bahawa semua itu telah mewujudkan rasa kasih buat gadis itu. Benarkah begitu?
            Kotak yang dicapai secara tidak sengaja tadi, diletakkan di sisi meja. Matanya terpaku pada gambar arwah Suraya yang terletak di sudut meja di dalam bilik itu. Perlahan gambar itu ditarik keluar dari bingkainya.
            “Kalau abang jatuh cinta pada orang lain, Su akan marah tak?” soalan yang pernah diajukan pada arwah Suraya menjengah di minda.
            Gadis itu tersenyum. “Kalau orang lain… Su marah. Tapi kalau Ryna, Su takkan marah.”
            “Ryna?! Huh! Baik tak payah jatuh cinta macam tu!”
            “Kenapa? Ryna okey apa.”
            “Okeylah sangat… benci abang tengok dia.”
            “Benci di mulut, sayang di hati. Su lebih suka untuk tafsirkan begini.” Tenang sekali jawapan arwah pada masa itu. Disangkanya Suraya hanya main-main sahaja. Namun tidak pula dia menduga, ini yang bakal terjadi. 

***

            “CEPATLAH!!!” gesa Irfan.
            Eryna laju lagi menghadiahkan jelingan pada orang itu. Menyampah! Janjinya tidak, tiba-tiba sahaja suruh dia bersiap untuk ajak keluar. Tapi tidak tahu bersabar pula. Ikutkan hati, Eryna tak nak ikut. Tapi ikutkan hati juga, dah tersayang… suami sendiri ajak takkan dia hendak menolak pula.
            “Dah, boleh gerak!” balas Eryna dengan nada memerli. Kakinya sudah melangkah mendahului Irfan.
            “Eh, tunggulah. Kenapa yang jalan laju sangat.” Tegur Irfan.
            Eryna menjeling lagi. “Lambat salah. Cepat salah. Semua salah. Habis apa yang tak salah?” soal Eryna geram.
            Namun Irfan hanya tersenyum tenang. Terpana Eryna melihat senyuman di wajah kacak itu. Terpukau dia dibuatnya. Hari-hari begini, boleh hanyut di dalam lautan cinta. Boleh lemas terus sebab dia tidak tahu berenang.
            Pantas sahaja Eryna melarikan pandangannya ke arah lain. Bimbang dia terlemas sendiri. Entah-entah lelaki itu tidak sedar pun yang dia sedang tersenyum. Makin pelik pula Eryna dengan sikap Irfan beberapa hari ini. Semenjak dari kejadian hari lahirnya, Irfan sudah berubah. Lelaki itu sudah mula berbicara dengannya. Sudah mula menghadiahkan renungan yang mengasyikkan dirinya. Dan terkini, sudah boleh mengajaknya keluar berdua begini.
            Walaupun tidak dapat kepastian tentang perasaan lelaki itu, Eryna terasa bahagia juga diperlakukan begini. Biarlah begini, sekurang-kurangnya dapat juga dia merasakan kehadiran lelaki itu di sisinya.
            “Kita nak pergi mana?” soal Eryna sambil matanya melilau ke arah jalan raya yang dilimpahi cahaya lampu.
            “Ryna nak pergi mana?” Eryna tersentak dengan soalan itu. Dia tidak salah dengar bukan? Irfan memanggil dirinya Ryna, iya kan?
            “Ryna…” kelu terus lidah Eryna. Sesungguhnya rasa yang begitu menggebu dalam hatinya di saat ini membuatkan dia kehilangan kata. Irfan terasa seperti orang lain sahaja di sisinya.
            “Ryna nak pergi mana? Abang boleh bawa.” Nada Irfan kedengaran begitu mesra sekali.
            Mata Eryna sudah terkebil-kebil. Ini betul ke Irfan? Betul ke suami aku ni?
            “Ryna fikir lambat sangat… abang ajak Ryna makan seafood, okey?” cadang Irfan sendiri. Eryna sekadar mengangguk kecil. Walaupun wajahnya kelihatan tenang, namun hatinya sudah tidak tenang memikirkan kepelikan sikap Irfan di saat ini. Atau sudah tersampuk ke suami aku ini?
            “Irfan…” panggil Eryna perlahan. Sementara menunggu pesanan mereka sampai, terasa ringan pula bibirnya untuk bertanya. “Irfan demam ke?” soal Eryna. Hanya itu sahaja andaian yang muncul dalam kepalanya pada ketika ini. Mungkin sebab demam, jadi tingkah Irfan pun aneh-aneh sahaja.
            Irfan terus melepaskan tawa. Wajah Eryna yang tertanya-tanya itu mengundang rasa lucu dalam dirinya. Comel pula dia melihat reaksi itu.
            “Abang sihatlah… tengah duduk elok depan Ryna ni. Takkan demam pulak.”
            Eryna tersenyum, kelat. Kenapa dia terasa makin aneh. Entah-entah Irfan buat macam ini, semata-mata hendak minta izin kahwin lain tak? Terus sahaja hatinya disapa resah. Kahwin lain? Sanggupkah dia?!
            “Kenapa Ryna?”
            “Irfan nak kahwin lain ke? Nak minta izin Ryna ke? Sebab tu Irfan baik sangat hari ni. Betul kan?” soal Eryna terus. Malas sudah dia hendak berteka-teki dengan fikiran sendiri. Baik tanya terus dengan tuan badan. Habis cerita. Dia terluka pun tidak mengapa. Sudah terbiasa.
            Sekali lagi Irfan melepaskan tawanya yang galak. Eryna terpinga-pinga. Gelak tawa Irfan langsung tidak menerbitkan rasa lucu dalam hatinya. Makin resah ada la.
            “Kenapa yang fikir abang nak kahwin lain?”
            “Habis tu… kenapa pelik sangat hari ni? Selalu tu nak bercakap pun tak nak. Tengok muka Ryna pun Irfan dah cukup benci. Hari ni siap boleh ajak makan, bergelak ketawa lagi. Ryna nak fikir apa lagi, yang itu jelah yang ada dalam kepala Ryna ni.”
            Irfan tersenyum. Baru sahaja dia hendak membuka mulut untuk menjawab, makanan sudah sampai. “Kita makan dulu okey, nanti kita cakap.” Ujarnya terus. Wajah Eryna yang jelas tidak puas hati itu terus mengundang tawa kecilnya.
            Rengusan Eryna yang kedengaran manja singgah di cuping telinga. Namun tidak dipedulikan. Dia terus menikmati hidangan di depan mata dengan senyuman yang makin memekar di bibir.

***

            “UNTUK Ryna…” kening Eryna terangkat saat Irfan menghulurkan sebuah kotak berwarna merah kepadanya. Teragak-agak sahaja dia menyambut kotak itu. Perlahan penutupnya dibuka. Saat isi di dalam kotak itu singgah di pandangan mata, Eryna tersentap. Terdiam seketika dia ketika melihat isi di dalamnya. Tidak semena-mena matanya bergenang. Irfan memang sengaja! Dia tetap akan bencikan aku sampai bila-bila.
            “Ryna tak kisah… kalau Irfan nak bencikan Ryna untuk seumur hidup Irfan. Tapi tolong… Ryna merayu. Tolong jangan seksa hati Ryna macam ni. Ryna tak sanggup. Ryna tak boleh terima…” tanpa dapat ditahan air mata Eryna sudah membasahi pipinya.
            Irfan menjadi kaget. Untuk apa tangisan Eryna itu? Sungguh dia tidak ada niat untuk mengundang tangisan di wajah Eryna. Sungguh dia sudah memasang niat untuk membetulkan segala yang salah. Dan sesungguhnya dia sudah sedar, dalam hatinya juga ada rasa yang ingin dikongsi bersama isterinya. Dia tahu, biar beribu kali dia mengungkapkan benci namun kasih buat Eryna tetap berkuntum jauh di sudut hati. Terpencil dan sukar dijumpai. Sebab itu juga dia seakan tenggelam seketika dengan perasaan benci yang tidak bertepi sebelum ini.
            “Ryna tahu… cinta Irfan hanya untuk arwah Suraya. Ryna takkan minta pun Irfan cintakan Ryna… tapi, jangan buat Ryna macam ni. Jangan buat Ryna menangis lagi… tolong…” suara Eryna makin tenggelam ditelan sendunya. Selendang yang bercorak abstrak berlipat elok di dalam kotak itu dicapai. Dia sama sekali tidak menyangka, Irfan akan memberikan sesuatu yang dihadiahkan buat arwah Suraya kepada dirinya pula. Semakin terdera perasaannya dengan pemberian ini. Semakin jelas di mata hatinya, bahawa dia tidak mungkin dapat meraih cinta Irfan walaupun buat sedetik ini.
            “Ryna… abang janji, Ryna takkan menangis lagi,” ucap Irfan perlahan. Tangannya sudah mencapai jemari Eryna ke dalam genggamannya. Erat sekali pegangan Irfan seakan tidak mahu dilepaskan lagi jemari Eryna.
            “Irfan tipu!”
            “Tak sayang… abang tak tipu. Abang janji, Ryna takkan menangis lagi sebab abang.” Begitu jelas ayat itu menyapa pendengaran Eryna. Terpana Eryna mendengar ucapan sayang yang dilagukan buat dirinya.
            “Abang sayangkan Ryna…”
            “Tipu!” nyata Eryna tidak mahu menerima ucapan sayang dengan semudah itu.
            “Abang tak tipu… abang betul sayangkan Ryna.” Bersungguh-sungguh Irfan mengungkapkan kata.
            “Kalau sayang… kenapa hadiahkan Ryna selendang arwah Suraya?” soal Eryna tanpa dapat menahan rasa pedih di hati.
            Irfan terdiam. Selendang Suraya? Dia pula yang menjadi pelik.
            “Mana ada selendang arwah Suraya!”
           “Selendang ni, Irfan belikan untuk arwah kan masa Irfan ke Surabaya, kan? Arwah pernah pakai depan Ryna. Sekalipun Irfan bencikan Ryna, jangan buat Ryna macam ni! Jangan hadiahkan Ryna sesuatu yang pernah jadi milik arwah. Ryna pun ada rasa dalam hati ni… Ryna tak sanggup…”
            “Ryna… sayang, listen!”
            “Don’t sayang me! You don’t even love me.” Potong Eryna laju.
            “No, you have to listen this… yes, it is true… abang ada belikan arwah, selendang yang sama. Tapi, yang ni… abang memang belikan untuk Ryna.”
            “Selendang dengan warna yang sama?” soal Eryna sinis. Irfan fikir dia bodoh agaknya hendak percayakan cerita karut begini.
            “Abang memang beli dua selendang yang sama, untuk Ryna dan arwah. Ryna percaya atau tak, itu adalah kebenaran. Abang memang dah berniat nak belikan untuk Ryna. Tapi bila nak bagi, abang rasa macam tak perlu. Ryna pun tahu kan… kita macam mana dulu. Macam anjing dengan kucing. Kalau berjumpa nak bergaduh… jadi, abang batalkan je niat nak berikan hadiah pada Ryna. Abang simpan selendang tu sampai hari ni. Dan sekarang… abang dah berikan pada Ryna.” Panjang lebar penjelasan dari bibir Irfan. Nafas dihela panjang. Penat seketika berbicara tanpa noktah. Tetapi entah percaya atau tidak Eryna dengan penjelasannya.
            “Tipu!” balas Eryna sepatah sambil melangkah meninggalkan Irfan yang terpinga-pinga dengan responnya.

***

MASUK kali ini, entah sudah berapa kali dia membelek selendang itu. Selendang yang kelihatan serupa pada pandangan pertama. Tetapi ternyata, ada perbezaannya. Jika ditenung lebih lama, akan dapat dikesan juga. Disebabkan hal itu, Eryna sudah tersenyum sendiri.
            Beria-ria dia cakap Irfan tipu. Tapi sekarang, dia yang sudah angau bagai orang kehilangan bangau! Malu pula bila mengenangkan bibirnya yang begitu selamba membuat luahan jiwa di hadapan lelaki itu. Ditambah dengan air mata yang tidak putus-putus mengalir untuk menambahkan rencah di babak itu. Aduh, malu sungguh!
            “Abang sayangkan Ryna…” seakan terbayang kembali di ruang mata, ucapan beserta reaksi lelaki itu di hadapannya. Sungguh dia rasa gembira. Jika orang pernah kata, penantian itu suatu penyiksaan… dia rela tersiksa buat seketika jika manis dihujungnya.
            “Ryna sayangkan abang jugak…” terucap juga di bibir Eryna ucapan keramat itu. Sudah lama dia menyimpan ungkapan itu. Belum pernah sekali pun terluah dari bibirnya.
            “Cuba cakap kuat sikit.”
            “Allahuakhbar!!!” terlompat terus Eryna yang sedang elok duduk di atas katil. Selendang di tangan sudah dicampak ke bawah sebab terkejut sangat dengan kehadiran di dalam biliknya.
           Melihatkan senyuman nakal di bibir Irfan sudah cukup untuk membuatkan dada Eryna melantun dengan kuat. Apabila langkah lelaki itu semakin mendekat, membuatkan dirinya terjerat. Dirinya sudah bersandar di dinding bilik. Irfan berdiri dengan jarak setapak kaki darinya. Begitu dekat sehingga dia dapat merasakan setiap helaan nafas lelaki itu.
            “Ryna sayangkan abang jugak…” ucap lelaki itu sambil tersenyum nakal. Eryna sudah mengetap bibir. Malu tidak sudah! Wajahnya pula terasa panas sekali. Melihat renungan Irfan, membuatkan dia lemas.
            Irfan sudah disapa rasa lucu dengan perubahan wajah Eryna. Timbul pula niat nakal dalam hati, hendak mengusik Eryna. Perlahan ditundukkan wajahnya sehingga bertemu hidung keduanya. Jelas sekali wajah Eryna begitu merah. Irfan menahan tawa. Langsung dia tidak menyangka, Eryna yang begitu terkenal dengan sikap selambanya dulu kini boleh merona dengan aksinya yang biasa-biasa begini. Kalau luar biasa bagaimana? Hatinya sudah berdendang dengan rasa nakal tidak sudah.
            “Ryna…” panggil Irfan lembut. “Abang pernah bercinta… dan cinta itu bukan Ryna.” Ucapan itu membuatkan Eryna tersentap seketika. “Tapi sekali lagi abang rasa sudah jatuh cinta…”
            Kening Eryna sudah terangkat sedikit. Menantikan butir bicara yang selanjutnya.
            “Abang rasa… abang dah jatuh cinta dengan isteri abang.” Eryna tergamam. Seakan tidak percaya, dia mendengar ucapan cinta dari bibir Irfan Naufal.
            “Abang cintakan Eryna Badra dengan seikhlas hati. Biarpun dia bukan yang pertama, tapi insyaALLAH, dia adalah yang terakhir di hati ini.” Eryna menjadi gugup sendiri mendengar ungkapan dengan nada yang romantis itu. Dia benar-benar sudah lemas kali ini.
            “Kenapa… baru sekarang?” soal Eryna tiba-tiba.
            “Perasaan ni bukan sesuatu yang baru Ryna… mungkin ia dah ada lama dalam hati ni, cuma abang yang tak sedar. Arwah Suraya pernah cakap dengan abang, di sebalik kebencian kita, dia nampak ada rasa kasih di situ. Abang tak sedar masa tu…”
            “Bila abang rasa semua tu?” potong Eryna laju.
            Irfan menggeleng kecil. “Abang pun tak tahu… yang abang tahu, rasa benci itu cuma dapat diungkapkan di mulut je. Bukan di hati. Itu yang arwah Suraya cakap… lain di mulut, lain di hati. Mulut cakap benci, tapi hati cakap sayang… macam Ryna la…” Irfan yang sedang elok tenggelam dibawa emosi, sudah kembali dengan mood mengusik.
            Rasa lucu pula bila teringat Eryna yang sedang membuat luahan perasaan di depan selendang yang dihadiahkan kepadanya. Eleh… cakap tipu. Boleh pula dia tersenyum sorang-sorang dalam bilik ini. Itulah… mulut cakap tipu, hati cakap…
            “I love you sayang…” serentak dengan ucapan itu bibir Irfan singgah di dahi Eryna. Seakan terakam kembali memori di hari pernikahan mereka. Memori yang dahulunya jika dikenang, rasa sakit hati. Tetapi kini bila dikenang, rasa nyaman sekali.
            “Lain di mulut, lain di hati…” Eryna tersenyum sendiri. Betullah. Buat rugi sahaja kalau berterusan menyimpan rasa di hati. Ungkapan benci atau sayang, semuanya biar sejajar dengan apa yang tersimpan dalam hati. Jangan hati kata sayang, mulut ungkap benci. Kan dah rugi tempoh selama setahun pernikahan mereka ini.
            “Ryna…” panggil Irfan bila Eryna terus tersenyum sendiri.
            “Hhmmm,” manja sahaja Eryna menyahut.
            “Sayang abang tak?”
            Malu-malu sahaja Eryna menganggukkan kepalanya.
            “Sebab Ryna sayangkan abang… jadi terpaksalah abang bagi hadiah.”
            Berkerut dahi Eryna. Terpaksa bagi hadiah? Dan saat itu, sekeping sampul sudah dilayangkan di depan matanya.
            “Sebelum mak Ryna dan mak abang mula bertanya semula pasal cucu invisible dia orang, baik kita pergi tempah siap-siap,” ucap Irfan dengan sengihan panjang. Membuntang biji mata Eryna dengan ayat selamba itu.
            “Flight ticket… honeymoon to Pulau Sipadan.” Wajah Irfan begitu teruja sekali.
            “Kalau Ryna tak setuju?” sengaja Eryna hendak menduga. Tercuit pula hatinya melihat reaksi Irfan yang begitu teruja itu.
            “Erk!!! Takkan tak setuju pulak.” Wajah itu sudah menjadi mendung. Namun seketika sahaja, dia tersenyum semula. “Tak apa… tak nak jauh-jauh, yang dekat pun boleh.” Usik Irfan dengan nada yang nakal.
            Eryna sudah cuak apabila lelaki itu mula merapatkan semula jarak di antara mereka. “Ya…yang… de… dekat…” tergagap-gagap Eryna kerana terlalu cuak.
            “Sinilah. Sekarang.” Eryna tergamam terus. Namun dia sudah tidak menghalang malah bibirnya sudah menguntumkan senyuman manis buat tatapan lelaki itu. Dia sudah tidak ingin merugikan masa antara mereka dengan sikap yang terbawa dengan peribahasa lain di mulut, lain hati. Akhirnya, siapa yang rugi… diri sendiri juga.

           

Comments

  1. hahaha..gatal irfan..
    bru ja pujuk trus nk buat baby...
    hahahaha

    ReplyDelete
  2. huhuhu..
    xnyempat irfan ni

    ReplyDelete
  3. Hehehehe... irfan..irfan.. ryna..ryna....

    Best!!!

    ReplyDelete
  4. hehehe...klaka irfan nie..
    br pujuk terus nak..
    ishh3..x sabar2...
    best umi..

    ReplyDelete
  5. salam..ok fine semua komen pasal gatal irfan..haha..kelakar lak..ape2 pun jalan cerita teratur n x syok sndiri..0k..i2 penting..
    #frez

    ReplyDelete
  6. haha best je :) yeah sometimes tertanya tanya betul ke cerita camni ada kat realiti? haha mesti perit at the first moment, then happy ending :) good job writer

    ReplyDelete
  7. Hehee.. kelakar baca komen. haha.
    Btw, best cite ni . Hilang stress

    ReplyDelete
  8. hahaha klakar2...gatal btul irfan tu erk? x nyempat2 nk bt bby..so sweet..

    ReplyDelete
  9. Comelnya irfan ngan ryna
    Btw best cerpen nih

    ReplyDelete
  10. Best cerpen ni Umi!! Btw gudluck tuk next cerpen..
    Always the best!!

    ReplyDelete
  11. Bestnya cerpen ni...cerita yg sama dalam setiap novel yg saya baca...suka duka dalam rumah tangga...

    ReplyDelete
  12. Bestnya cerpen ni...cerita yg sama dalam setiap novel yg saya baca...suka duka dalam rumah tangga...

    ReplyDelete
  13. lwk je bca commnt..btw best crpen ny..-iezahtakuya

    ReplyDelete
  14. Best tapi irfan ni haih tak menyempat😂💕

    ReplyDelete
  15. Kehidupan adalah baik apabila anda mempunyai kasih sayang anda di sekeliling anda, saya katakan ini kerana apabila saya mempunyai masalah dengan kekasih saya saya tidak pernah melihat kehidupan sebagai perkara yang baik tetapi terima kasih kepada Dr. AGBAZARA dari TEMPLE AGBAZARA, kerana membantu saya membuang ejaan yang membawa kekasih saya kembali kepada saya dalam tempoh 48 jam. Suami saya meninggalkan saya untuk wanita lain selepas 7 tahun perkahwinan, tetapi Dr.AGBAZARA membantu saya membuang mantra yang membawa dia kembali kepada saya dalam masa 48 jam. Saya tidak akan memberitahu anda lebih banyak maklumat mengenai diri saya, tetapi saya hanya akan menasihatkan mereka yang mempunyai masalah di sana hubungan atau perkahwinan untuk menghubungi TEMPLE Dr.AGBAZARA menerusi butiran ini melalui;
    ( agbazara@gmail.com ) atau hubungi beliau di Whatsapp: +2348104102662

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi