Advs

Followers

August 07, 2013

Tidak ku sangka 20



Tidak disangka itu, kisahnya. Kisah yang makin tidak disangka-sangka apabila Anis menerima kunjungan Iman Anas ketika sibuk membeli-belah di gudang pakaian Gulati’s. Hendak mencari kain untuk dibuat baju nikah. Dan memang tidak disangka, Anis telah bersetuju untuk mengikut cadangan Iman Anas walaupun adik-adiknya membangkang keras dengan alasan peperiksaan. Kata, Kamilia boleh penuhkan tiga kuota itu… jadi tak kisahlah!
Bulan-bulan puasa ini, hendak melayan sedih lama-lama pun tidak kuasa. Hanya menambahkan penat dan lelah sahaja.
Adila masih setia di sisi menemani Anis walaupun tangan tidak melepaskan nota walaupun seminit. Tetapi tengok kain yang lebih daripada menelaah nota.
“Akak… cantik yang ni!” Adila menggamit pandangan Anis untuk melihat kain ela di hadapannya. Namun, belum sempat Anis berpaling, Iman Anas sudah memangkah tidak suka.
“Elok apa Abang Iman… cantik untuk akak.” Komen Adila pelik.
“Cantik lagi yang ni…” Iman Anas menunjukkan kain yang dipegangnya. Dia berkenan yang itu. Impaknya, mata Adila membulat serta-merta. Iman Anas tahu, bukan semua orang boleh suka citarasanya kecuali Anis…
“Mana yang cantik?” soal Anis yang sudah berdiri di antara Iman Anas dan Adila.
“Yang ni…” Serentak Iman Anas dan Adila menjawab.
“Mana?” Anis menoleh ke kiri dahulu dan kemudian ke kanan pula sebelum matanya membuntang akibat daripada pantulan imej kain pilihan Iman Anas.
“Ini?” soal Anis kepada lelaki itu.
Iman Anas tersenyum nipis. “Cantik.” Pujinya sendiri seolah tidak dapat membaca riak wajah Anis yang terkejut.
“Anas… saya nak cari baju untuk majlis nikah. Bukan baju nak pergi…” Anis tidak menyudahkan kata-kata. Matanya terus menganalisis corak yang menjadi pilihan Iman Anas. Corak cheetah dengan warna kuning keemasan. Memang warna emas itu, cantik. Tetapi…
“Cantik Anis… saya suka kalau awak pakai yang ni.” Kata-kata Iman Anas itu terpanah di minda. Lalu Anis mengangguk tanpa sedar. Biarpun masih ada peperangan yang berlangsung di jiwa. Cantik ke? Aduh…

SELESAI sahaja memilih kain, Anis sudah hendak berangkat pulang. Semakin lama dia di situ, pasti berpinar mata apabila minda mula membandingkan kain yang sudah dibayar oleh Iman Anas sebentar tadi.
Anis dan Iman Anas sudah berjalan ke depan. Tidak sedar yang Adila sedang terkial-kial mengutip semula nota yang terlepas tanpa sengaja daripada pegangan. Mungkin lebih tepat dikatakan, terlepas akibat terkejut.
Nota yang disua di depan mata, membuatkan Adila menyambut dengan senyuman tawar.
“Rajinnya… datang shopping pun bawa nota ke?”
Adila masih tersenyum tanpa manisnya. Tidak menjawab persoalan yang ditanya. Terasa gugup tiba-tiba. Tidak disangka akan bertemu dengan insan ini pula.
“Datang dengan siapa ni?”
“Kakak dengan Abang Iman.” Laju pula jawapan meluncur dari bibir Adila kali ini. Tergesa-gesa dia berdiri apabila melihat langkah Anis dan Iman Anas mula mendekati dirinya semula. Dan Anas di sisinya juga ikut berpaling melihat dua insan yang sedang melangkah beriring.
Anas tersenyum nipis.
“Anas… dengan siapa ni?” Anis pula yang menegur memeriahkan keadaan.
“Dengan sepupu. Dah sudah shopping ke?”
Anis mengangguk dan berpaling pada Iman Anas. Lantas dikenalkan kepada tunangnya itu adik kepada lelaki yang bertanggungjawab ke atas Asma. Lelaki ini juga yang dituduhnya tanpa mengetahui perkara sebenar.
Terleka Anis, Iman Anas dan Anas berbual. Terleka juga Adila berkhayal. Dia langsung tidak terlibat dalam topik perbualan tiga insan itu. Namun, kakinya sudah tidak senang untuk terus berdiri di sisi insan yang seorang ini. Hendak mencuri pandang, Adila tidak berani. Lantas ditundukkan sahaja wajah ke lantai. Tak dapat tengok muka, tengok kasut pun jadilah. Eh?!
“Adila…” tegur Anis sedikit kuat.
Adila terpinga-pinga seketika. Eh? Sudah ke mana Anas? Matanya laju meliar mencari. Tetapi tiada kerana sudah pergi.
“Nak balik dah ni…” beritahu Anis sambil berpaling.
“Kalau ada apa-apa yang terbabas, tolong pastikan dapat jumpa balik.”
Sempat lagi Adila menangkap butir kata Anis. Serta-merta terasa berbahang wajahnya. Mana ada terbabas!

QAISER menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Di hadapannya, Iman Anas sudah bersiap duduk dan menadah tangan berdoa. Lantas dia turut berbuat begitu. Puan Rohani masih sibuk meletakkan itu dan ini di atas meja makan. Banyak pula juadah berbuka hari ini.
“Banyaknya mak untuk perut kita bertiga…” komen Qaiser. Tengok makanan yang banyak itu pun terasa berat pula. Puasa-puasa begini, walaupun perut kosong, sememangnya tidak mampu untuk menelan makanan dengan kuantiti yang banyak.
“Ni, mak Anis bekalkan dekat Iman tadi… banyak juga sebenarnya. Tapi rezeki orang bagi, takkan kita nak menolak.”
“Dah habis ke shopping?” soal Qaiser pada Iman Anas.
Iman Anas mengangguk. “Dah cakap dengan Asma?” soal Iman Anas kembali.
Qaiser juga mengangguk. “Dia cakap tengok pada keadaan kandungan… kalau dah obvious sangat, dia seganlah. Dia tak nak keluarga dia dapat malu pulak…” terang Qaiser tentang apa yang dikatakan Asma padanya.
Atas desakan Iman Anas, dia cuba juga untuk memujuk Asma. Walaupun dia buntu sebenarnya. Bagaimana hendak dipujuk seorang yang tidak mahu dipujuk. Tetapi alasan Asma, boleh diterima pakai. Dan bagi Qaiser, usahlah dipaksa gadis itu.
“Kak Anis tak cuba ajak dia?” soal Qaiser.
Iman Anas memandang Puan Rohani sebelum kembali menjuruskan pandangan pada Qaiser yang lengkap berbaju melayu dan berkain pelikat.
“Anis hari-hari mengajak. Tapi Asma macam takkan berganjak…” Iman Anas mengeluh.
“Mak ada satu cadangan…” Puan Rohani bersuara mencelah perbualan dua orang anak terunanya. Tetapi belum sempat cadangan diutarakan, azan Maghrib sudah berkumandang. Waktu untuk berbuka. Tanpa berlengah lagi, masing-masing mencapai sebiji kurma dan dikunyah. Cuba menerapkan sunnah sedaya yang mampu pada setiap amalan.
Selesai menjamah makanan, Iman Anas dan Qaiser bersegera ke surau untuk berjemaah. Puas dinasihati oleh Puan Rohani supaya kedua anak terunanya itu meringankan kaki untuk melangkah ke surau. Walaupun selalu solat di rumah tetapi lebih digalakkan untuk solat berjemaah. Pahala yang dijanjikan lebih besar.
“Bulan-bulan puasa macam ni, cubalah berniat untuk lakukan perubahan. Buat yang terbaik. Rebut segala bonus yang Allah bagi. Kamu ni nak jadi imam untuk sebuah keluarga nanti. Iman pun kena mantaplah. Jangan nama saja Iman tapi isinya kosong…” kata-kata yang ditujukan buat Iman Anas. Dan Qaiser juga tidak terlepas daripada terkena tempias.
“Qaiser pun… tak lama lagi, giliran Qaiser pulak nanti.”
Melangkah pulang dari surau, sesekali Qaiser merenung dada langit yang kelihatan kelam. Mungkin petanda untuk hujan jatuh menyembah bumi. Memikirkan petanda itu, Qaiser tersenyum sendiri. Pasti lena kalau tidur diulit cuaca sejuk.
“Fikir apa?” soal Iman Anas. Pelik melihat senyuman yang terzahir di wajah Qaiser.
Qaiser terus tersenyum mengusik. “Fikir nak kahwinlah…” balasnya bersenda.
“Dah ada calon ke?”
Spontan, hilang senyum manis di wajah Qaiser.
“Kenapa?” Sekali lagi Iman Anas menjadi pelik.
Qaiser menggeleng. Calon bukan tak ada. Emak ada juga menanyakan tentang beberapa orang anak gadis dengannya. Pilihan emak, pastilah yang terbaik. Tetapi ralat sungguh Qaiser untuk menyatakan persetujuan.
“Ingatkan aku aje boleh mengamuk kalau cakap pasal kahwin…”
Laju Qaiser berpaling. Memandang Iman Anas yang sedaya upaya menelan tawa setelah menuturkan kata. Tidak sangka, Iman Anas pun sudah pandai hendak mengusik pula. Kalau dulu, pandai menyinga saja.
“Itu bukan mengamuklah… termarah… sebab mak asyik tanya pasal Nina…”
“Nina?”
Argh!!! Qaiser sudah terlepas kata. Bibirnya diketap kuat.
“Nina mana pulak ni?” soal Iman Anas ingin tahu. Dia tidak mengenali sesiapa yang bernama Nina setakat ini.
“Errr… jangan tercakap dengan mak. Lupakan aje pasal Nina tu!” Laju Qaiser memotong pertanyaan Iman Anas.
Laju juga langkah kakinya diatur ke depan demi untuk mengelak segala soalan yang tidak berkaitan. Dia yang terlepas kata menyebut nama Hanina. Gadis itu pula kerap sangat menganggu hidupnya. Sepanjang masa hendak menelefon sahaja. Sampaikan emak curiga dan asyik bertanya. Sebab itu juga Qaiser termarah… aduh!

TERBURAI ketawa apabila semua duduk bersila di ruang tamu itu. Tidak terlepas waima satu bibir pun daripada mengalunkan irama tawa yang merdu. Terus bibir Anis memuncung.
“Kenapa, tak cantik ke? Anis nampak okey aje. Anas pun cakap cantik…” Geram Anis menekan kata. Kain yang sudah dibeli tadi ditebar-tebarkan kuat di depan mata emak dan abah. Bahar masih ketawa. Adila sudah menekup mulut, tidak mahu terlalu ghairah melayan senda.
“Harimaulah akak masa akad nikah nanti…” usik Bahar. “Tak pernah pulak Bahar tengok sebelum ni. Memang cantiklah!” Bahar sudah mengangkat ibu jari sebagai tanda bagus. Tetapi tiada tanda juga tawanya akan tamat di situ. Sememangnya pilihan kakaknya itu sangat tidak dijangka.
Anis mendengus geram. “Biarlah nak jadi harimau apa pun… yang penting, Anas sayang!” tekannya geram. Sekali lagi dikibas kain ela itu dan dilibas ke arah Bahar. Sakit hati pula bila tengok adiknya itu tertawa bagai tidak bertemu noktah. Over!
“Iman melawak aje kot… takkan Anis nak pakai baju ni masa nikah?” soal Puan Amina. Kain yang berada dalam pegangan Anis ditarik. Disentuh fabrik itu. Ternyata begitu lembut sekali biarpun corak di atasnya sangat garang dan sangat tidak sesuai dengan Anis.
“Tak boleh ke mak?” soal Anis dengan lurus.
Sekali lagi ketawa mulai bergema.
“Ini kalau Asma tengok, mahu dia kuliahkan Anis habis-habisan.” Komen Puan Amina spontan. Teringatkan anaknya yang seorang itu, terasa rindu mula bertapak. Sedangkan semalam baru lepas berbual di telefon.
“Ikut Anislah nak pakai baju apa pun… yang penting, majlis berjalan lancar.” Sampuk Encik Bohari. Tidak mahu yang lain terus mengusik Anis. Sudah panjang benar muncung anak sulungnya itu.
“Kalau Iman yang suka… lagi abah galakkan Anis pakai aje apa yang dia pilih. Lagipun, Aniskan bakal isteri dia.” Tambah Encik Bohari lagi.
“Dan bakal harimau dalam rumah Abang Iman…” celah Bahar dengan tawa. “Eh… tersasul pulak. Bakal suri rumah, Abang Iman…” sambungnya lagi.
“Tahun ni tak ada duit raya untuk Bahar! Muktamad…” Kuat suara Anis bergema. Serentak itu juga sepi sudah suara Bahar.
Melihat Bahar menikus, Anis tersenyum menang. Tahu pun takut!

______________
Tidak ku sangka,
esok nak raya (InsyaAllah) :)
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Jumpa lagi Anis dan Anas dalam episode, finale. :)

5 comments:

  1. Hahahaha... memang xboleh tahan gelak bila tau kain corak apa yang Iman Anas pilih... nanti jd pengantin harimau la Anis... hihihi...
    Selamat hari raya umi... xsabar nak bace finale punya...

    ReplyDelete
  2. Hahaha Iman iman... Anis patut cari bju tidur corak rimau pulak buat mlm pengantin hehe

    Selamat hari raya umi dan pembaca sekalian

    ReplyDelete
  3. Hahaha..adui iman.lawakla pilih kain gitu..

    Selamat hari raya

    ReplyDelete
  4. Aduiii xpena di buat org baju akad nikah belang harimau...aduiii klo bersanding xpe lg.. Blh buat tema jugle..anas2..

    ReplyDelete
  5. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete