Skip to main content

Jangan biar aku pergi 4


Bab 9
ELOK sahaja dia keluar daripada kawasan perumahan berhampiran pasaraya Giant, ternampak wajah seseorang yang dikenali. Terjenguk-jenguk ke arah jalan seolah menantikan seseorang. Paras rupa yang mirip dengan Anis itu hanya mencambahkan senyuman di wajah. Terus sahaja stereng kereta dipusing dan brek ditekan perlahan sebagai sahaja berada di depan gadis itu.
            Wajah Adila berubah riak dan dia nampak dengan jelas. Mungkin disebabkan hari ini dia tidak memandu keretanya seperti biasa, maka gadis itu kelihatan sedikit keliru dengan kemunculan kereta ini secara tiba-tiba.
            Cermin kereta diturunkan, senyuman dikuntum lagi.
            “Adila, jom! Abang hantar balik...” pelawanya.
            Adila menunduk perlahan. Memerhatikan wajah yang memanggil namanya agar lebih jelas. Suara yang tidak asing lagi walaupun kereta yang dihadapannya ini terasa begitu asing sekali. Kereta Nissan model lama.
            “Abang Qaiser...” Adila sudah menarik senyum.
            “Adila ingatkan siapalah tadi. Tak kenal pulak kereta ni.” Tambah Adila yang masih setia berdiri di luar. Pelawaan Qaiser seakan tidak didengar.
            “Nak balikkan? Jom, abang hantar...” Jemput Qaiser sekali lagi.
            “Tak apa... Adila boleh balik sendiri.” Sopan saja Adila menolak. Walaupun sebentar tadi baru dia lepas menelefon abah, dan Encik Bohari tidak dapat menjemputnya. Kebetulan, motor Adila pun tersadai di bengkel. Macam-macam masalah!
            “Nak balik sendiri kenapa pulak? Alang-alang aje, abang boleh hantar, jom! Abang call rumah, bagitau dekat mak cik...” Qaiser terus saja mengeluarkan telefon bimbit dan mendail nombor rumah Puan Amina. Wajah Adila dikerling sekilas, nyata gadis itu lebih selesa berdiri di luar. Sebaik sahaja talian bersambung, Qaiser memberi salam.
            “Assalamualaikum, mak cik... Qaiser ni. Adila ada dengan Qaiser, sekejap lagi Qaiser hantar balik ke rumah. Tak apa ya?” Sambil menyoal, Qaiser memberi isyarat untuk Adila masuk ke dalam.
            “Waalaikumsalam... mak pergi kedai. Abang Qaiser nak hantar Adila pun, tak apa...” Terketar suara yang menyapa gegendang telinga Qaiser.
            Qaiser terkelu seketika. Hampir juga terlupa. Bagaimana dia boleh terlupa bahawa Asma sudah selamat sampai ke rumah di Taiping ini. Seakan terlupa juga, Hanina sudah maklumkan padanya tentang keberangkatan gadis itu ke Shah Alam.
            “Maaf, saya tak sempat jumpa awak agaknya. Saya nak kena jaga taska lagi. Nanti kalau apa-apa hal tentang Asma, don’t hestitate to call me.”
            Seakan diketuk kembali mindanya dengan suara Hanina sebelum gadis itu pulang semula. Dan kini, telinganya berkuntum kembali dengan suara Asma.
            “Abang Qaiser...”
            Qaiser berdehem kecil. “Okey, nanti bagitau mak cik.” Itu sebagai kata pengakhir bicara, dan talian dimatikan sebaik sahaja salam dihulur.
            Adila sudah siap duduk dan memasang tali pinggang keledar. Sempat mengintai wajah Qaiser yang masih belum memulakan pemanduan. Terasa serba-salah.
            “Adila menyusahkan abang ke?” soalnya.
            Qaiser terus menarik senyum di wajah. Kepala digeleng tanda tidak kisah. Tanpa sebarang kata, tangan sudah menurunkan handbrake dan kaki menekan clutch serta minyak. Kelajuan sederhana menemani perjalanan mereka.
            “Adila kerja sampai bila?” Sengaja Qaiser memulakan bicara. Sunyi pula perjalanan mereka. Langit yang tadinya mendung, sudah mula menitiskan air mata. Air mata hujan.
            “Nasib baik balik dengan abang... kalau tunggu sekejap lagi, basah hujanlah Adila.”
            Adila mengiakan sahaja kata-kata Qaiser. Matanya turut sama jatuh pada air hujan yang mengenai dinding kereta. Melihat bagaimana bumi disejukkan dengan limpahan air hujan itu. Hilanglah segala rungutan panas yang membasahi bibir semenjak beberapa minggu ini. Allah Maha Kaya, Dia telah menetapkan segala sesuatu di atas muka bumi ini.
            Menyedari itu, Adila menghela nafas.
            Apabila berpaling ke sisi kanan, Adila hampir terkejut. Mata Qaiser tertumpu di wajahnya. Tidak sedar pula dia, bila kereta itu berhenti di lampu isyarat. Dan masih ada 60 saat lagi. Oh, lamanya!
            “Adila ada masalah ke?”
            Laju Adila menggeleng. Kemudian dia melepaskan tawa kecil. “Mana ada masalah. Adila okey aje.” Balasnya yakin.
            “Orang kalau okey, mindanya lebih fokus. Soalan yang ditanya pun, pantas dijawab. Ini dah lebih berapa minit, soalan tak berjawab pun.”
            Adila terkebil-kebil. Matanya sesekali ke wajah Qaiser yang sudah mula memandu kembali. Hendak dikatakan bermasalah, masalah apa yang dia ada? Masalah Anas? Itu boring dah, tak usah dicerita. Lantas, apa sahaja masalah kamu ni wahai Adila? Hati sendiri pun tidak tahu.
            “Adila tak rasa pun macam ada masalah. Semuanya okey. Melainkan nervous nak tunggu dapat result masuk matrikulasi. Itu aje pun...” jawabnya yakin.
            “Betul ke?” Qaiser menyoal seakan tidak percaya. Matanya sudah beberapa kali melihat cermin pandang belakang. Nyata, dia tidak tersilap. Cuaca hujan tidak membataskan penglihatannya.
            “Kalau Adila tak ada masalah... Maknanya, orang yang naik kereta putih dekat belakang kita ni yang ada masalah.” Qaiser tersenyum penuh makna. Melihat Adila yang sudah berubah riak wajah, makin melebar senyumnya.
            Kepala Adila sudah berpusing hendak melihat kereta yang dimaksudkan. Dan nyata, dia juga tidak mengalami masalah penglihatan yang kronik. Jelas wajah itu di matanya. Laju juga dia berpaling ke depan.
            “Siapa tu? Abang kenal ke?” soal Qaiser mengusik. “Atau calon yang patut dikenalkan ke?” Tambahnya menggiat jiwa muda Adila.
            Adila mampu mengetap bibir tanpa sebarang jawapan. Hendak tersengih pun rasa tidak masuk akal. Sesekali matanya turut berkalih untuk memastikan kereta putih tadi tidak lagi mengekori mereka. Tetapi, tidak semudah itu rasanya.
            “Orang kalau dah suka, sanggup buat apa saja. Termasuklah... spy idaman hati mereka.” Qaiser bersenda. Bibir lelaki itu menghamburkan tawa.
            Namun Adila tidak mampu untuk ketawa bersama. Lantas, pandangannya kosong dihampar ke arah jalan. Dia sudah tidak mahu kecundang dengan perasaan. Dia harus fokuskan minda supaya memikirkan masa depan! Iya, dia harus lebih fokus untuk menyambung pengajian. Tekad Adila.
            Dan mata, sempat juga mengerling ke belakang. Eh, sudah lupa tekadkah? Belum sampai sesaat pun. Oh, lemah sungguh kau ni, Adila! Adila geram sendiri.

DIJEMPUT insan itu masuk ke dalam rumah walaupun separuh hati melarang. Tetapi sudah dipesan oleh emak, tetamu harus dirai sebaiknya. Biar orang tak suka kita, jangan kita yang tunjuk sikap buruk itu pula.
            Adila sudah masuk ke dalam. Meninggalkan Asma di muka pintu. Puan Amina sedia menggoreng cucur di dapur. Pantas sahaja tangan si ibu itu bekerja untuk dihidang kepada tetamu yang menyinggah.
            “Tak apa... tak singgah lama pun. Nak balik rumah dah.” Qaiser menolak tanpa memikir panjang. Dia sudah berkira-kira hendak masuk semula ke dalam kereta. Namun masih ada suara yang menghalangnya.
            “Saya minta maaf kalau ada buat salah dengan Abang Qaiser. Tapi jangan buat tak peduli dengan saya macam ni...” Rintih Asma.
            Tersentak Qaiser. Seakan tersiat jiwanya sekali mendengar nada suara si gadis itu. Melihat raut wajah yang semakin layu milik Asma, dia mengeluh sesaat. Dia tidak pernah merencanakan untuk menghadiahkan sebuah bahagia kepada gadis itu lebih daripada status seorang abang.
            Tidak diduga juga, kasih sayang yang serba sikit itu akan mencambahkan rasa suka dalam diri Asma. Tidak perlu Hanina untuk mengesahkan. Tidak perlu Puan Rohani untuk menjalankan penyiasatan. Tidak perlu nasihat Anis dan Iman Anas agar dia tidak bertindak diluar kawalan. Dia sendiri dapat merasakan ia daripada pandangan yang dizahirkan.
            “Asma tak salah apa pun... Abang yang salah. Abang tak boleh nak biarkan Asma terus hidup dengan rasa suka tu. Abang yang patut minta maaf...” Tanpa berselindung, Qaiser menutur. Perubahan air muka Asma, laju menerpa kornea. Hati tersiat lagi.
            Bukan ini mahunya.
            Asma cuba tersenyum. Pengakuan jujur Qaiser itu ditelan ke dalam.
            “Tentang perasaan tu, mungkin abang pun salah... Asma tak pernah harapkan lebih. Abang tolong Asma pun, dah cukup banyak.” Dengan semangat yang bersisa, Asma mengungkap dengan yakin. Biarlah kali ini, dibuang jauh rasa hati. Agar tiada yang berduka lagi.
            Qaiser terus tersenyum. Memerli. Mungkin Asma fikir dirinya buta. Buta menilai pandangan yang dibiaskan buat dirinya.
            “Abang tak buta Asma...” balasnya. Ditekan ke dalam ayat yang diungkapkan itu. Sekalipun dia buta, rasa kasih itu pasti juga dapat dirasai oleh hatinya. Masakan mata Asma boleh menipu? Namun hakikatnya, gadis itu yang sedang menipu diri sendiri. Dan bagaimana pula dengan dirinya?
Qaiser terkelu.
            “Kalau abang tak buta, silalah melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu pun terbuka luas, tak ada apa yang menyekat...” Asma membalas berani. Bibirnya pula mengorak senyuman. Kata yang diungkapkan, andai sahaja Qaiser memahami apa yang tersirat.
            Belum sempat Qaiser membalas, Puan Amina sudah bersuara dari dalam. Melaung namanya, minta bertandang untuk menjamah hidangan yang telah tersedia. Tidak dapat menolak, kakinya melangkah dengan beratnya. Saat melintasi jasad Asma yang berdiri di muka pintu, bibirnya mengungkap perlahan. Hanya buat pendengaran mereka.
            “Biarpun pintu terbuka luas, namun ada juga yang menyekat... andai saja Asma tahu.”
            Asma terkelu.
            Dan bibirnya menjadi beku apabila ruang bicara diambil alih oleh emak. Matanya sahaja mampu melihat dan telinganya sahaja mampu mendengar. Menikmati apa yang ada, selagi diberi ruang dan peluang.
            Saat itu, mindanya mula diketuk dengan suara Hanina.
            “Seandainya takdir menulis, langkah yang diatur bukan dengan insan bernama jodoh di sisi, tak perlulah dirisaukan lagi. Percaya dan yakin, Allah ada menjanjikan sesuatu yang lebih baik buat diri kita.” Hanina tersenyum sambil berbicara.
            Asma kagum melihatnya. “Kak Nina tak cuba mencari?”
            Hanina ketawa, “Cari jodoh ke Asma?” Dan keluhan dilepaskan juga. “Bukan tak pernah cari, kalau ada yang nak mencuba pun, terus lari tak berhenti. Qaiser tu, termasuk dalam list. Mungkin, jodoh saya belum sampai lagi atau mungkin jugak ajal yang dijanjikan berjodoh dengan saya. Kita pun tak tahukan.”
            Asma tersenyum tipis. Wajah ceria Hanina memberikan semangat buat dirinya. Kata-kata yang diungkap, menyubur baja dalam hati. Dia benar-benar bersetuju dengan kata-kata itu. Mungkin kita akan terlebih dahulu berjodoh dengan ajal, siapa yang tahu. Kun fayakun, andai kata Allah menyeru, jadilah ia... maka jadilah!
            “Boleh saya tanya Asma?” Hanina menyoal teragak-agak. Pada pandangan Asma, mungkin ada sesuatu yang sensitif ingin diperdengarkan. Hanina sentiasa menjaga bicara. Menyenangi itu, Asma membalas saja.
            “Tanyalah ajelah kak...”
            “Andai suami Asma, datang semula... nak terima Asma dan anak ni dalam hidup dia, apa yang Asma akan buat?”
            Terkelu juga Asma di saat itu. Tidak menyangka dengan soalan yang ditanya. Tidak mampu melihat pandangan simpati yang dibiaskan Hanina buat dirinya kerana dia tahu, dia tidak layak. Andai sahaja Hanina tahu, dia tidak mempunyai lelaki yang berstatus suami. Dan anak yang dikandungkan ini, hasil daripada hubungan yang dimurka Ilahi. Andai sahaja Hanina tahu...
Persoalan Hanina juga, dijawab sepi. Mindanya mula bekerja mencari jawapan yang tidak mudah diberi. Seandainya lelaki itu muncul semula dalam hidupnya? Dia tidak pernah terfikir akan itu. Mahukah lelaki itu untuk menerimanya? Pasti tidak!
            “Asma...” Teguran itu memaksa Asma mengangkat pandangan matanya. Wajah Qaiser terbias. Saat itu juga, imej seorang lelaki yang pernah dicintainya silih ganti mengambil ruang pada imej yang terlahir di kotak memori.
            Adakah rasa hati Asma juga akan tersekat, andainya Zahran muncul semula?
            Tiada jawapan.


Bab 10
WAJAH mama dan papanya dipandang dengan penuh harapan. Hatinya sudah berazam dan bertekad, masanya sudah sampai untuk melakukan perubahan. Lebih tetap, mengubah status yang disandang kini.
            Daripada si bujang kepada suami. Tentunya kepada si gadis yang hendak dimiliki. Siapa lagi kalau bukan...
            “Hanina... kenapa Hanina? Kenapa nak jugak dengan Hanina?” Datin Juhairah memicit dahinya. Mati terus seleranya. Hidangan di depan mata yang begitu enak, hanya mampu dipandang tanpa rasa. Sungguh, bicara anak lelakinya ini, tidak kena pada masa!
            “Papa pun rasa macam mama jugak. Why must be that girl? Anak papa ni, boleh dapatkan yang lebih baguslah. Cakap aje nak yang macam mana...” Bongkak pula bicara Datuk Zaman. Tujuannya hanya untuk melupuskan keinginan yang bertakhta di hati si anak.
            Tetapi, melihatkan kepada wajah penuh mengharap di depan mata itu...
            Mata itu...
            “Papa... mama... please. Takkan tak boleh? She’s the most perfect match that I have ever met. Please...” Bibir itu memujuk.
            Dalam masa yang sama, si hati mula mengutuk. Perfect match? Hati seolah tersenyum sinis. Hanina!!!
            Apa Hanina fikir, dia akan berdiam diri setelah risikan yang pernah disuarakan dulu, ditolak tanpa alasan. Apa Hanina fikir, perempuan itu bagus sangat? Dan mungkin, Hanina tak tahu... yang si lelaki ini akan berbuat apa saja untuk mendapatkan dia.
            Apa sahaja...
            Bibirnya tersenyum, sinis.
            Matanya kembali beradu di wajah mama dan papa. Jelas riak tidak setuju terpamer di wajah keduanya. Bibir mulai dicebir. Kalau mereka tidak bersetuju, terpaksalah digunakan taktik kotor pula. Taktik kotor?
            Sinis lagi.
            “Apa yang serius sangat ni, ma... pa...” Anas yang baru turun dari biliknya usai mengerjakan solat Zohor, mendapatkan tempat di meja makan. Wajah Datin Juhairah mencebik. Datuk Zaman menjeling kecil.
            “Yang Anas ni, kenapa lama sangat dekat atas? Orang dah makan separuh pinggan. Show us some manners!” Tegur Datin Juhairah sedikit geram. “Bila orang dah panggil makan tu, turunlah awal!”
            “Anas solat ma...” Pendek sahaja jawapan yang diberi.
            Cukup untuk menyentapkan setiap pangkal hati. Siap dengan pakej wajah kelat gaya tertelan hempedu. Pahit dan ngilu.
            “By the way, how is your wedding progress? Mama nak uruskan, Anas tak bagi campur tangan. At the end, jangan malukan mama dengan papa pula. Buat kenduri tu, biar grand. Kita bukan tak cukup duit untuk buat majlis besar-besaran. Nanti malu dengan kawan mama dengan papa.” Leter Datin Juhairah.
            Anas belum sempat menyenduk nasi pun ke dalam pinggan. Perut sudah terasa sebu. Kenyang dengan leteran mamanya itu. Kalau nenek ada, memang mama akan kena sedas. Tapi, nenek tak ada di sini. Nenek lebih rela tinggal di teratak peninggalan keluarga. Biarpun setiap sudut rumah itu tidak berpendingin hawa seperti di sini, tapi Anas tahu rumah itu punyai ketenangan yang tidak dimiliki oleh pemilik rumah ini.
            “Anas akan buat majlis ikut kemampuan Anas, ma… Anas harap, mama takkan condemn tentang perkara ni lagi.”
            Anas tidak berniat untuk berkurang ajar. Tetapi, dia tahu… ada sesuatu yang mama dan papa perlu belajar. Wang dan kemewahan yang dimiliki kini, bukan segalanya. Sedangkan apabila mati pun, hanya jasad yang akan kembali ke dalam tanah. Bukan pangkat dan harta bakal menemani diri. Tetapi amalan yang dicari…
            “Mama cakap apa pun, Anas tak pernah nak dengar kan?” Datin Juhairah makin berangin. Geram dengan sikap Anas. Silapnya kerana membiarkan anaknya itu membesar dengan ibu mentuanya. Kini, inilah hasil di depan mata.
            Anas mengetap bibir. Matanya terhala pada wajah papa. Beralih pula pada mama di sebelah. Pinggannya yang sudah berisi nasi putih ditolak. Tawar hatinya.
            “Kalau Anas ada sakitkan hati orang dalam rumah ni, Anas minta maaf. Kalau mama rasa kedatangan Anas dalam rumah ni hanya memberi kemarahan, Anas minta maaf. Anas pergi dulu…” Dan Anas terus melangkah tanpa mendengar kata-kata mamanya.
            Datin Juhairah mendengus.
            “Itulah produk didikan mak you!” Bahu Datuk Zaman ditujah dengan hujung jari telunjuk. Geram benar hatinya. Anas dan Zahran kembar. Tetapi kenapa Anas langsung tak seperti Zahran. Langsung tak reti menyenangkan hatinya.
            “Nanti I cakap dengan dia…” Datuk Zaman cuba mengalah. Hendak mengiakan kata-kata isterinya, samalah seperti mengutuk ibu sendiri. Walaupun ada kalanya dia tidak suka sikap Anas yang suka benar hidup gaya orang tak berharta, tapi Anas tetap anak mereka. Anas yang terabai daripada kasih sayang keluarga sendiri sejak kecil.
            “Bertuah sangatlah dia nak dengar cakap you.” Perli Datin Juhairah.
            Zahran mendengus kecil. Tidak suka bila mama selalu sangat tidak sebulu dengan Anas.
            “Ma… Anas tu, adik Zahran. Tak boleh ke mama beralah sikit dengan cara dia? Dah memang mak yang tinggalkan dia dekat rumah nenek dulu kan? Sebab dia selalu sakit. Mama pulak selalu sibuk, tak ada masa nak bagi tumpuan dekat Anas.”
            Terdiam Datin Juhairah dengan teguran itu. Teguran daripada Zahran langsung tidak diduga. Fikirnya, selama ini Zahran tidak pernah kisah.
            “Dia nak malukan mama dan papa dengan majlis gaya sederhana dia tu, Zahran nak suruh mama ikut aje?”
            “Apa salahnya? Ma… pa… jangan nak sakitkan hati Anas lagi. Cukuplah masa kecik mama dengan papa abaikan perasaan dia, tinggalkan dia dengan nenek. Sekarang ni, kalau senang-senang nak suruh dia turutkan segala perintah mama tu, tak adil ma. Jangan kecilkan hati dia. Sejahat-jahat Zahran pun, tak sanggup nak biarkan Anas bersedih hati.”
            Iyalah sangat tu, Zahran! Hati bertingkah. Tak sanggup biarkan Anas bersedih hati, konon! Padahal, dia yang selalu menghadiakan kesakitan itu. Bukan dia tidak tahu, Anas sudah kurang berkomunikasi dengan dirinya sejak beberapa bulan lalu. Dan, Zahran sangat tahu atas sebab apa perkara itu. Perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan mama dan papa.
            “Aku nak kau bertanggungjawab!” Desakan Anas bergema di ruang telinga.
            “Anas, come on la. Takkan aku nak kahwin dengan perempuan tu?”
            “Why not, kau dah mengandungkan dia, lepas tu nak lepas tangan macam tu aje?” Bengang sungguh Anas pada ketika itu.
            “Belum tentu itu anak aku.” Bangga juga Zahran membalas begitu.
            Hampir saja mukanya ditumbuk oleh adik kembar sendiri. Tidak pernah lagi dia melihat kemarahan yang sebegitu di mata Anas. Dan kedegilannya tetap berada di tangga teratas. Dia tidak akan pernah tunduk dengan kehendak orang lain. Sebab itu juga, dia hendak mama dan papa menurut kehendak hatinya kini.
            Mindanya sudah kembali fokus.
            “Zahran nak Nina!” Dan itu bukan permintaan, itu sebuah arahan.
           
           
SERONOK tengah melipat baju, telinganya menangkap bunyi gril dibuka. Bibir yang sudah sedia tersenyum tadi, makin melebar jadinya. Baru sahaja dia hendak bangkit menuju ke pintu, telefon pula berbunyi.
            Saat terjengul wajah Iman Anas, Anis terus menyengih lebar. Sambil bibir mula berbicara menjawab panggilan yang diterima. Resah sungguh nada si pemanggil itu.
            “Kenapa?” soal Anis turut risau. Iman Anas sudah mengambil tempat di sisinya.
            “Rasa takut pulak...” Asma menyuarakan rasa. Sungguh, semakin menghampiri tarikh, hatinya makin jadi tidak tentu. Mendebarkan. Menyeramkan. Juga mengujakan.
            “Hei, nak takut apa... emak kan ada. Apa-apa rujukan, tanya dengan mak. Jangan tanya aku pulak, sebab aku pun belum berpengalaman...” Anis ketawa. Konon hendak meredakan gusar di hati adiknya. Tapi aura hati berkata, Asma sudah terasa.
            “Asma yang terlalu gelojoh kan...”
            Anis terdiam. Iman Anas di sebelah menjungkit kening, bertanya. Kepala Anis menggeleng sahaja. Sudah tersilap cakap pula. Dan dia tidak sengaja.
            “Tak payahlah cakap pasal benda yang dah lepas. Yang dah lepas tu, jadikan sebagai pengajaran. Kau tu, muda lagi. Lepas ni dah ada anak, dah ada tanggungjawab lain. Nak sara diri sendiri, nak sara anak tu lagi... satu aje aku minta, semoga kau akan tabah dan sabar. Bukan senang Asma...”
            Anis terus memicit dahinya perlahan. Bila memikirkan perkara itu, dia pun terasa, perjalanan Asma tidak mungkin akan menjadi lebih mudah selepas ini. Dengan anak tanpa lelaki bergelar suami di sisi. Entah apa sahaja cemuhan yang sedang menanti.
            “Akak nanti balik sini tak? Asma teringin nak jumpa akak sebelum bersalin...” Sendu sekali permintaan Asma.
            “Mestilah aku balik... kau jangan nak risau sangatlah.”
            “Asma minta maaf dengan akak...” Dan Asma sudah menangis di hujung talian. “Minta maaf sebab dah banyak menyusahkan keluarga akak, Abang Iman, Abang Qaiser... Asma dah banyak malukan keluarga kita.”
            “Sudahlah, tak payah nak menangis. Manusia ni memang selalu bertindak melulu. Masa buat dulu, kita tak nampak. Sekarang, inilah kesannya. Aku dah tak nak dengar kau ungkit-ungkit tentang aib kau sendiri. Bila mana kau sendiri sedar dan rasa yang kau perlu bertaubat, mohon ampun tu dengan Allah saja, Asma... Insya-Allah, dengan izin Allah juga akan dimudahkan segala urusan kau selepas ni.”
            Anis cuba memujuk.
            “Tapi Asma dah buat dosa besar, kak...”
            Mendengarkan ungkapan itu, Anis terus mengeluh.
            “Asma...” Nama itu diseru panjang. “Semua manusia tak lari daripada melakukan dosa. Sebab tu, iman manusia sentiasa menaik dan menurun. Aku tak cakap ni untuk mengiakan apa yang kau dah pernah buat. Dosa tetap dosa... bila mana manusia melakukan apa yang telah dilarang oleh Allah, itu menunjukkan jauhnya hati kita daripada ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Dan bila hati tu sendiri sudah mula dijentik dengan penyesalan, sedarlah... Allah masih beri peluang untuk manusia tu perbaiki apa yang telah dilakukan. Peluang tu dengan bertaubat. Bertaubat dengan sesungguh hati dan azam untuk menjadi hamba yang soleh.”
            Panjang lebar juga nasihat yang diungkapkan. Anis cuma berharap, Asma memandang segala yang telah berlaku sebagai mangkin untuk melakukan perubahan.
            “Allah Maha Pengampun, Asma... mohon ampun dengan-Nya.” Ucap Anis buat kesekian kali.
            Telefon bimbit kembali diletakkan di sisi. Kerja melipat baju yang tergendala disambung kembali. Wajah Iman Anas yang tersandar di sofa dikerling sekilas. Bibir lelaki itu menguntum senyuman. Senyuman firasat!
            “Yang abang senyum-senyum ni kenapa?” Anis menjeling pula. Geram betul bila nampak senyuman berupa sebegitu di wajah suaminya. Senyuman itu seolah mempamerkan rasa tidak percaya.
            “Rasa macam Anis kena tukar job, jadi ustazah pulak...” Dan lelaki itu ketawa.
            “Bini bagi tazkirah pun lawak ke?” soal Anis serius. Matanya tajam terpaku pada Iman Anas. Suaminya ini, tiba-tiba saja lain macam. Selalunya, kerja-kerja buat lawak dan mengusik itu di bawah skop tugasannya. Sejak bila bertukar?
            “Just teasing. Why so serious?
            Anis mengukir senyuman nipis. “I thought the teasing part will be mine forever.
            Iman Anas tidak membalas. Sebaliknya kepalanya sudah mula mencari bantal. Bantal empat segi yang terletak elok di sisi sofa dicapai dan kepala disandarkan perlahan. Terasa nyaman. Dari situ, wajah Anis kelihatan lebih dekat.
            “Bila Anis nak balik Perak?” soalnya. Jauh sekali menyimpang daripada gurauan yang cuba dihidupkan.
            Anis masih terus mengukir senyuman. “Tanya ni, ada kerelaan nak bagi Anis balik sendiri ke?” Anis cuba menduga. Dia tahu sangat jawapan apa yang akan diberikan kepadanya. Kebisuan Iman Anas juga sudah menjadi satu jawapan. “Tak perlu jawab kalau rasa macam tak rela.”
            “Am I that bad?” Iman Anas bangkit dan bersandar semula. Jemari Anis terus dicapai. Si isteri hanya tersenyum, menyakat. “You make me feel like I’m the most horrible husband in this world. Tak faham tentang hati dan kehendak isteri.” Dengan wajah serius, Iman Anas melagukan kata.
            “Why so serious?” Anis memulangkan kata. Matanya terus dikelipkan beberapa kali, menunjukkan reaksi hati yang sekadar hendak menyakat Iman Anas. “Kita baliklah, bila abang rasa ada masa nak balik.”
            “Anis...”
            Mata Anis bertamu di wajah si suami.
            “Jangan simpan kehendak tu dalam hati. Jangan hanya sebab abang tak dapat balik, Anis nak korbankan kehendak tu. Kadang, kita tak tau... apa yang ada sekarang, mungkin takkan ada esok. Time is moving on faster than we can imagine.” Iman Anas menepuk telapak tangan Anis perlahan. Bibirnya menarik senyum buat tatapan Anis. “Baliklah... abang izinkan.”
            “Go and make yourself happy. And please…
            Anis menantikan sahaja ayat seterusnya daripada bibir Iman Anas yang tersengih lebar. “…miss me.”

_______________________
Life is not complicated. Just make it simple. Smile and move forward. :)

Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. suka part anis tapi please laa letak sikit part adila dan anas..asma no cmmt

    ReplyDelete
  3. akhirnya, setelah beberapa lama menunggu.
    ok, next.
    :-)

    ReplyDelete
  4. looking forward untuk part adila & anas.. macam best je kalu mereka disatu dipengakhiran setelah melalui berbagai rintangan.. ehemmmm (just my two cent) thanks dear for the updates.

    ReplyDelete
  5. Harap2 asma selamat masa melahirkan. apa akan jadi kalau zahran datang taska jumpa hanina n masa tu muncul asma? mest asma tkejut

    ReplyDelete
  6. moga asma selamat bersalin, sapa yg ikut keta qaiser msa anta adila balik, anas, kan dia kata xnk kacau perasaan adila lagi, anas ni buat org geram la..zahran nk hanina, klu dia g jmpa hanina msti trjumpa asma nnti

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi