Skip to main content

Husna [1]

“ARGHHH!!!”
Jeritan Husna memenuhi ruang biliknya yang turut diiringi alunan kipas berpusing di siling. Mata yang bersaiz sederhana itu makin tajam merenung ke arah komputer riba yang terpasang sejak sejam lalu di hadapannya itu. Apa yang terpapar di skrin, hanyalah imej putih suci mewakili page Microsoft Word yang dibukanya.
“Ini kalau dah boleh masak, aku masak jugak buat satay bakaq!” ucapnya lagi.
“Boleh aku tau, adakah itu monolog dalaman hang yang terlepas suara secara tidak sengaja?” soal si Hanani yang turut berbaring sama di atas katil dalam bilik itu.
Mendengarkan soalan itu, Husna menjadi makin stress!
“Bila masa pulak hang ada dalam bilik ni sekali? Tak nampak pun dari tadi?” soal Husna sedikit menjerit.
Rasa tension yang mengambil tempat dalam diri sedari tadi makin memarak bila bebola matanya menangkap visual tubuh Hanani yang terbaring cantik di atas katilnya. Katil itu pula, baru sahaja selepas dikemas rapi dan segala bucu ditarik kemas serta tajam sebentar tadi. Tajam bucu katil tu, bak kata mak, boleh membawa maut kepada seekor cicak kalau terjatuh dari atas siling.
“Aku dah masuk dalam bilik sebelum hang on komputer lagilah. Mamun betoi!” balas Hanani selamba. Dia terus menyelak helaian novel Alergi Mamat Romantik karya Ezza Mysara yang dicapai dari rak bilik Husna sebentar tadi.Wajah Husna yang sedang memerah bak gunung berapi marak itu tidak diambil endah.
Dia sudah masak sangat dengan perangai kakaknya itu. Kalau dah stress, kejadian seminit lalu pun boleh terlupa. Bila orang suruh pergi buat rawatan susulan di klinik, banyak pulak hujah tak munasabah yang diberi.
“Eeiii… berapa kali nak pesan hah, jangan masuk dalam bilik di kala aku nak berimaginasi. Patutlah dari tadi sepatah ayat pun aku tak boleh nak taip!” marah Husna.
Bebal rasa seluruh jiwa dan tubuh. Komputer riba terus dimatikan. Kalau dibiarkan terpasang, mahu melambung bil elektrik rumah. Bukannya dia yang bayar, abah juga berpenat lelah nak lunaskan semua bil bulanan.
Hanani mencebik. Sempat dijelirkan lidah tanda tidak bersetuju dengan ayat yang dilontarkan si Husna sebentar tadi.
“Padahal dah setahun dia tak boleh menulis, lepas tu salahkan aku pulak tak dapat nak mengarang sepatah ayat.” Perli Hanani sedas. Memang dia sengaja hendak memanaskan suhu bilik Husna yang sudah sedia berbahang itu.
Tetapi, lain pula respon yang diterima daripada Husna. Jauh pula daripada apa yang diharapkan. Biasanya Husna akan terus melenting untuk menegakkan benang yang basah. Tapi, kali ini Husna sudah layu berbaring seperti biskut lemau di sebelahnya. Tidak mahu terus mengeruhkan keadaan, Hanani menikus dan meneruskan bacaannya. Sekejap lagi okeylah agaknya si Husna tu.
“Aku stress betoilah. Awat yang susah sangat nak tulis sepatah ayat ni.” Luah Husna.
“Adakah itu monolog dalaman hang lagi?” soal Hanani selamba. Wajahnya tidak bersalah melontarkan soalan di kala Husna begitu serius mempamerkan riak wajah dengan tag ‘sesi luahan perasaan’.
Husna terus menjeling geram.
“Kalau aku guna ayat kepala hotak hang, kasar sangat pulak nanti. Hang ni tolonglah berperikemanusiaan sikit. Aku tengah bercakap dengan hang la sekarang ni. Monolog dalaman apa bendanya. Ingat aku gila ke nak bermonolog dalaman secara lisan!” Husna melepaskan geramnya dengan menghembuskan nafas kasar.
Hanani tersengih nipis. Wajahnya tetap dihadapkan pada novel yang dipegangnya. Sambil-sambil itu, dijeling sekilas pada raut wajah Husna yang kembali termenung.
“Tak payahlah stress sangat. Relaks sudahlah. Menulis tu bukan susah mana.” Hanani cuba memberi ayat untuk menenangkan emosi Husna. Tetapi nampak sangat tidak berjaya.
“Cakap senang, cuba tulis tengok!” Husna membalas dengan nada yang paling sedih pernah Hanani dengar.
“Sebab aku tak boleh tulislah, aku boleh cakap. Apalah hang ni!” balas Hanani yang masih tersenyum tenang.
Namun wajah Husna semakin cemberut. Riak risau mengambil tempat di setiap inci wajahnya. Sepasang mata yang tekun merenung corak pada sarung bantal itu menzahirkan pelbagai rasa.
“Dah masuk dua tahun dah belum ada manuskrip baru. Kalau terus macam ni, kompeni malas pulak nak layan manuskrip dari aku.” Luah Husna.
            Badannya dipusingkan menghadap wajah Hanani yang masih tersenyum sambil membaca. Hatinya disapa sedikit rasa cemburu. Tangannya terus merampas novel yang sedang dibaca oleh Hanani.
            “Suka sangatlah tu baca novel penulis lain!” Husna terus duduk bersila dan menyembunyikan novel di belakang tubuhnya.
            Hanani pada mulanya terkejut, tetapi terus melepaskan tawa kecil.
            “Novel hang pun aku suka baca jugak. Tapi dah hang tersangkut dalam fasa tak mampu nak menulis, bagilah can aku baca novel orang lain. Takkan sebab ni pun nak meroyan kot?” soal Hanani sambil turut duduk bersila menghadap wajah si kakak yang sangat jelas kusutnya.
            Husna mengeluh lagi. Sungguh dia pun tak faham. Terasa fasa writer block yang dihadapinya itu semakin serius dan tidak mampu ditangani lagi.
            “Agak-agaknya, kalau aku pi bercuti, boleh dak dapat idea balik?” soal Husna.
            Hanani terus tersenyum dengan lebarnya.
            “Of course, dengan syarat… aku mesti ikut sekali. Sebab hang mungkin tak sedar, akulah sumber inspirasi terbesar dalam hidup hang, kak oi!” balasnya bersemangat.
            “Jangan bagi aku muntah, please!” balas Husna yang jelas sekali malas nak layan.
            Husna terus turun dari katil dan melangkah ke arah pintu. Apabila tombol dipulas, pandangan tajam dilepaskan ke wajah Hanani yang masih terkebil-kebil di atas katilnya.
            “Tolong pastikan setiap bucu katil ni nampak tajam sebelum hang keluar, kalau dak siap hang!” Arah Husna dengan mata yang dijegilkan.
            Hanani menjulingkan biji mata. Tak ada masa langsung nak gerun dengan pandangan seumpama itu, lebih-lebih lagi pandangan itu daripada Husna. Lagipun apahal yang susah-susah nak pastikan katil dikemaskan dengan hiperbola sekali? Malam nanti nak tidur juga.

KERUSI yang terletak di tengah ruang dapur rumah itu, ditarik sebelum melabuhkan punggung. Pandangan Hanani jatuh pada wajah Husna yang tenggelam dalam dunia sendiri.
            “Tengok mak potong sayur pun boleh berkhayal lagi. Susah betul nak faham jiwa penulis ni.” Komen Hanani sambil memandang wajah emaknya. Emaknya, Puan Muthiah sekadar tersenyum nipis.
            “Tak perlu susah-susah nak faham jiwa aku, ni aku nak tanya… cadar katil aku, berbucu tajam ke tidak?” soal Husna.
            Hanani dengar dengan jelas soalan yang diutarakan oleh kakaknya itu. Tetapi dia terus pura-pura memberikan perhatian penuh kepada lenggok tangan emaknya yang sedang memotong sayur.
            “Lauk apa mak hari ni?” soalnya mengalihkan topik. Namun, pandangan Husna tetap dirasakan tajam menikam wajah. Buat tak tahu sajalah!
            “Sayur sawi masak lemak dengan cencaru belah belakang.” Ringkas sahaja jawapan Puan Muthiah sebelum bergerak menyambung untuk menggoreng ikan pula.
            “Mana jawapan untuk soalan aku tadi?” Husna masih mahukan jawapan daripada adiknya yang sememangnya terkenal dengan perangai suka mengelat itu.
            “Alah… serius sangatlah hang ni kak!” Hanani sedaya yang boleh hendak mengalihkan perhatian Husna daripada terus teringatkan keadaan cadar tilam di bilik itu. Ah, bosan betul.
            “Husna, dapat tulis tak tadi?” suara emak mencelah mengalihkan perhatian Husna.
            Hanani terus menghembuskan nafas lega. Tapi dia sempat juga menangkap isyarat amaran daripada jari telunjuk Puan Muthiah. Isyarat itu dibalas dengan gerakan tangan ‘beresss’!
            “Tak boleh jugaklah mak. Makin lama, makin rasa macam tekanan pulak nak menulis ni.” Husna sekali lagi menjadi tidak bersemangat. Topik menulis sudah menjadi racun pada tika ini. Melemahkan urat dan saraf tiap kali topik itu menjengah ke dalam fikiran.
            Berbeza dengan masa awal-awal dia menulis dulu. Setiap hari ada sahaja idea yang datang. Setiap kali itu juga, ia akan ditransformasikan dalam bentuk bait kata yang menghiasi setiap ruang manuskripnya. Itu dulu…
            Sekarang, sepatah kata pun tidak mampu ditaip. Hendak dikatakan tiada idea? Tidak juga. Idea itu ada, tetapi seakan mengalami gangguan teknikal untuk digubah dalam bentuk karya. Waima, sebuah cerita pendek pun tidak mampu dikarang. Sampai ke tahap itu kroniknya.
            “Cerita apa yang hang tengah tulis ni, kak… habaq la sikit. Boleh juga aku dengan mak tolong-tolong bagi idea mana yang boleh. Kan mak?” Hanani menawarkan pertolongan. Sempat dikenyitkan mata kepada emak. Hatinya lega kerana jelas di matanya, fikiran Husna kembali dikuasai dengan topik ‘manuskrip terbengkalai’.
            “Susah la nak cerita…” Husna mempamerkan wajah serba salah.
            Hanani menjeling dengan bibir yang sudah mencebik melihat gaya kakaknya itu.
            “Bukan susah nak cerita, hang memang takkan cerita pun. Itulah masalah hang. Susah sangat nak ceritakan idea hang sebelum nak tulis. Kalau macam ni, macam mana hang nak tau idea tu sesuai ke tak untuk ditulis?” Hanani berhujah. Bukan untuk melemahkan semangat kakaknya, tetapi dia cuma ingin membantu sekadar yang boleh.
            Walaupun dia tidak mempunyai kemahiran menulis seperti Husna, tapi kalau bab memberi idea, pasti boleh punya. Dia sangat yakin dengan perkara itu.
            “Sebelum ni pun aku menulis macam tu jugak. Tak pernah cerita dengan siapa pun. Tunggu siap buku, baru orang tahu.” Husna mempertahankan cara yang digunakannya. Lagipun, dia memang rasa kekok untuk mengutarakan idea yang masih belum siap ditulis kepada orang lain.
            “Itu masa Husna ada idea banyak. Bolehlah gunakan cara tu. Sekarang ni kan kamu tak ada idea, susah nak menulis. Mungkin dengan cara macam yang Nani bagitau, Husna boleh tulis semula…” lembut bicara emak, cuba melembutkan hati Husna.
            Pandangan Husna jatuh pada wajah Puan Muthiah dan beralih pula pada wajah Hanani yang setia menanti untuk mendengar. Husna dengan wajah serba salahnya cuba melisankan idea yang bergelumang di ruang fikirannya itu. Tetapi, hanya sekerat jalan, Husna sudah tidak mampu menyambung. Itulah kelemahannya, dia memang susah nak mengkhabarkan idea mentah penulisan.
            “Awatlah yang duk buat kisah susah orang nak hadam Cik Husna oi! Sampaikan hang nak buat briefing idea sendiri pun punya susah. Karya tu tak semestinya kena ada benda yang sangat susah, baru akan berhasil. Mungkin kalau hang tulis kisah cara-cara emak masak ikan cencaru dan buat sambal belacan pun dah best. Kekuatan cerita tu bergantung kepada sedalam mana hang memahami situasi yang nak dikarang.” Terang Hanani dengan semangatnya.
Sememangnya dia pun sudah tidak sabar untuk membaca kisah terbaru yang bakal dikarang oleh Husna. Tapi penantian kali ini terlalu lama rasanya. Awal-awal dulu, rajinlah juga dia bertanyakan mengenai perkembangan manuskrip kakaknya itu. Tapi lama-kelamaan, dia pun sudah bosan. Sudah dua kali dia pulang ke rumah pada cuti semester pengajian, namun tiada sebarang perubahan pada manuskrip terbaru Husna.
Wajah Husna semakin layu.
“Takkan nak buat kisah emak masak ikan cencaru? Boleh jadi ke tu?” soalnya lurus.
Hanani terus memandang wajah emaknya. Puan Muthiah juga menyimpan senyum, tahu sangat apa yang sedang difikirkan Hanani.
“Mestilah boleh jadi… tunggu emak siap masak sekejap lagi. Jadi masuk perut.” Hanani menarik sengih lebar. Serentak itu sepasang matanya mengecil dek kerana terlalu dapat mengusik si kakak.
Namun kali ini, ia dibalas dengan padangan tanpa sebarang perasaan oleh Husna.
“Menyampahlah!!!” bentak Husna dan terus melangkah masuk ke biliknya.
Sepi kembali ruang dapur itu. Yang kedengaran hanya bunyi percikan minyak yang menggelegak apabila Puan Muthiah memasukkan ikan cencaru untuk digoreng.
            Bagaimanapun, sepi itu tidak lama. Suara Husna kembali menggegarkan ruang rumah setingkat dengan tiga bilik itu.
            “Nani, hang tak mai sekarang kemas cadar aku ni, siap!!!” jeritan Husna dari dalam bilik jelas berdentum di telinga Hanani.
            “Dah tau dia tak suka katil dia berkecamuk, awat yang tak mau kemas siap-siap?” Puan Muthiah menegur anak keduanya itu.
Hanani sekadar tersengih dengan wajah serba salah. Tetapi dia tidak bergerak meninggalkan dapur biarpun suara Husna mula berdentum bak guruh sekali lagi.

_______________________
it's been a long period. Writer block tu, bukan untuk Husna aje, saya jugak.

Comments

  1. Dah lama tak bukak blog, tetiba tengok kat reading list ada cerita baru umi. Ni mini novel ke?

    Kita geng la Husna... ahaha

    ReplyDelete
  2. Wow.Keep it up! :D Dah lama sangat dah rasanya menyepi.

    ReplyDelete
  3. Kelakar betul dua beradik ni. Seronok baca.

    ReplyDelete
  4. Kelakar betul dua beradik ni. Seronok baca.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia