Skip to main content

Mutiah [2]

Bab 2

TAKUT-takut Mutiah memulas tombol pintu. Dia masih di sini, kalau wajah yang muncul itu selain daripada Puan Sofea, pastinya dia akan panik. Dia tahu sangat dengan fiil dirinya sendiri.
“Cari siapa?” Bergetar suara Mutiah bertanya soalan.
Matanya mula menganalisa wajah asing yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Berketinggian lebih kurang 175 sentimeter agaknya. Sehinggakan Mutiah terpaksa mendongak sikit untuk mendapatkan gambaran jelas wajah jejaka yang berdiri tegak di hadapan pintu biliknya ini.
“Mutiah ya?” soal lelaki itu.
Mutiah mengangguk. Matanya terkebil-kebil. Otaknya ligat berfikir. Siapa pula dia ini?
“Saya Uzair, tukang masak dekat sini.” Uzair memperkenalkan diri. Senyuman nipis dilemparkan buat tatapan Mutiah yang masih dengan reaksi terkejut tidak habis itu.
“Saya Mutiah, jururawat peribadi untuk ibu Puan Sofea.” Mutiah memperkenalkan juga diri dan statusnya biarpun Uzair sudahpun menyebut namanya tadi.
Uzair ketawa kecil.
“Saya tahu… saya cuma nak maklumkan pada awak, makanan tengah hari dah siap, awak bolehlah makan sebelum solat. Sebab lepas solat zohor, awak kena hantarkan makanan dekat Puan Jannah.” Maklum Uzair. Rutin menghantar makanan itu dilakukan oleh dirinya sebelum ini, tetapi Puan Sofea sudah maklumkan bahawa ia akan diuruskan oleh Mutiah bermula hari ini.
“Lepas tu, untuk breakfast, pukul tujuh setengah pagi awak dah boleh makan dan makan malam pula, enam petang pun dah siap.” Sambung Uzair lagi.
“Awak masak menu lain-lain ke untuk setiap hidangan?” soal Mutiah terkejut. Dia tak tahu pula macam itu gaya kehidupan di rumah ini. Rasa macam tinggal di asrama sekolah pula.
“Menu lain-lain as per requested by tuan rumah. Saya tukang masak menurut perintah aje.”
“Saya ingatkan tukang masaknya perempuan, mak cik.” Ujar Mutiah spontan. Dan saat di menangkap riak wajah Uzair yang berubah dengan komennya, dia terus tersengih kelat.
“Maaf, klise sangat cara saya berfikir.”
“Tak apalah… biasalah tu. Cuma dekat sini, banyak kelainannya. Okeylah, saya nak pergi berehat. Awak nak makan nanti, ambil aje dekat dapur tu. Kalau ada apa-apa, bagi tahu aje dengan saya.” Uzair berlalu dengan senyuman di wajah.
Langkah lelaki itu diperhatikan sehingga bayangan Uzair hilang di sebalik pintu bilik tengah itu.
Mutiah tersenyum nipis. Tukang masak? Kacak jugak!
“Hari pertama masuk kerja, dah mula mengular nak menggatal ke?” Kasar suara yang menjerkah. Mutiah tersentak.
Seraut wajah asing muncul di hadapan mata.
“Awak ni siapa pulak? Tukang kebun?” Duga Mutiah sambil membalas pandangan sinis yang dilemparkan padanya. Siapa pula lelaki kurang ajar ni. Sudah tegurnya tanpa salam. Tentunya adab pun tiada sekali.
“Biadab ye? Aku ni Rayqal! Anak Puan Sofea. Kau, tolong jaga etika kerja kalau nak bertahan lama dekat sini. Demand gaji bukan main tinggi. Jadi, jangan nak hilang fokus kerja dan sibuk nak bercinta pulak!!!” Jerkah Rayqal kasar.
Bibir Mutiah bergetar perlahan, jujurnya dia takut dengan jerkahan itu tetapi apa gunanya jika dipamerkan rasa itu kepada orang yang tidak beradab seperti Rayqal? Katanya anak Puan Sofea, tetapi kenapa jauh panggang daripada api?
“Kau dengar tak ni?” Pekik Rayqal sekali lagi.
“Baik Tuan Rayqal, saya dengar dan akan fokus dengan kerja saya sahaja. Tapi, kalau saya nak bercinta sekalipun, itu hal peribadi saya. Jadi tuan tak perlulah masuk campur.” Lembut sahaja nada suara Mutiah namun dalam hati Allah sahaja tahu. Dia sudah menyampah melihat wajah bengis Rayqal biarpun ia kali pertama mereka bertemu.
Tentunya dia tidak mengharapkan pertemuan antara mereka selepas ini. Walaupun apa yang diharapkan itu adalah mustahil sama sekali.
“Saya minta diri!” Terus sahaja Mutiah menutup pintu bilik dan mengunci dari dalam. Telinganya sempat menangkap bait kata kasar yang meniti bibir Rayqal sekali lagi.
“Biadap kau perempuan!!!”
Ah, pedulikan orang yang tidak beradab seperti Rayqal itu. Baik aku fokus dengan kerja yang bakal dilaksanakan selepas ini. Mutiah terus saja melangkah masuk ke tandas untuk membersihkan dan bersiap sedia untuk solat zohor. Selepas itu, tugas abadinya akan bermula. Entah apa pula cabaran menanti buat dirinya di rumah agam milik Puan Sofea ini?

“Bonda… Pia kenalkan, ini Mutiah. Tia ni jururawat peribadi untuk bonda. Dia yang akan tolong Pia untuk uruskan bonda masa Pia keluar kerja lepas ni. Bonda jangan kecil hati ya, Pia bukan tak nak jaga bonda sendiri. Tapi Pia tak mampu nak buat semua dalam satu masa, Pia terpaksa minta tolong Tia untuk ringankan urusan Pia.” Puan Sofea menggenggam erat jemari Puan Jannah yang sekadar memandang wajah anaknya tanpa senyuman.
Sepasang mata milik orang tua itu terarah ke wajah Mutiah. Tajam pandangannya mata itu sehingga Mutiah merasakan perutnya memulas lebih kuat daripada kali pertama dia melangkah masuk ke dalam rumah tadi. Malah, pandangan itu lebih menggerunkan jiwa daripada jerkahan Rayqal.
Entah apa dugaan yang akan ditempuhi selepas ini?
“Tia…” Nama itu meniti di bibir Puan Jannah.
“Sini kau…” Arahnya kasar.
Puan Sofea mengeluh kecil. Sudah diagak reaksi begini akan dipamerkan kepada Mutiah daripada bondanya ini.
“Bonda, janganlah kasar sangat dengan Tia. Dia bukan macam pembantu rumah kita, dia ada kelulusan dan dia akan tolong pantau kesihatan bonda. Dia akan bantu bonda untuk berjalan semula.” Tegur Puan Sofea lembut. Tidak mahu ibunya berkecil hati dan tidak mahu Mutiah melarikan diri sebab takut dengan Puan Jannah. Dia benar-benar perlukan bantuan Mutiah di saat ini. Sebab itu berapa banyak gaji yang Mutiah demand pun dia sanggup bayar.
Tapi Mutiah tidaklah seburuk yang disangka. Biarpun sudah diterangkan akan kerenah yang mungkin dia akan hadapi ketika berdepan dengan Puan Jannah, Mutiah tidak meletakkan harga yang terlalu mahal untuk tugasnya. Katanya, biar dia dibayar setimpal dengan tugasnya sahaja.
“Kau dah lantik dia untuk jaga aku kan? Tunggu apa lagi, pergilah keluar tinggalkan kami sendiri!!!” Puan Jannah memarahi Puan Sofea.
Mutiah tergamam seketika melihat wajah garang Puan Jannah. Dia juga tidak menyangka Puan Jannah akan memarahi anaknya di hadapan Mutiah.
Kalau dah tinggalkan sendiri, aku akan kena lunyai agaknya nanti? Mutiah sudah menelan liur sendiri. Terasa kering tekak walaupun dia baru sudah meneguk segelas jus oren segar yang disediakan oleh Uzair. Buat tenaga berpanjangan kata lelaki itu. Agaknya, Uzair sudah menjangka adegan yang bakal dilalui dirinya ini.
“Tia, kalau ada apa-apa, awak telefon saya ya. Saya kena masuk pejabat.” Ringkas sahaja pesanan Puan Sofea dengan senyuman buat memberi semangat kepada Mutiah.
Mutiah membalas senyuman dengan kekuatan yang bersisa dalam diri.
Dan kini, dirinya tinggal berdua sahaja dengan Puan Jannah. Dia masih direnung tajam oleh wanita yang berusia sekitar 70-an itu.
Puan Jannah sudah mengalami strok separuh badan sejak beberapa bulan yang lalu. Kedua kakinya masih tidak mampu berfungsi dengan baik. Namun kata Puan Sofea, apabila diperiksa oleh ahli fisioterapi, otot kaki Puan Jannah masih lembut dan dia perlu melakukan senaman sekiranya ingin berjalan seperti normal kembali.
“Assalamualaikum, Puan Jannah… Saya Mutiah binti Ali. Jururawat peribadi untuk puan. Segala urusan diri puan, akan saya buat selepas ini. Kita juga akan sama-sama buat sesi latihan fisioterapi untuk lancarkan pergerakan darah di kaki puan.” Mutiah cuba memulakan langkah pertama dengan berbicara.
“Sini…” Puan Jannah memanggilnya masih dengan nada kasar.
Mutiah menarik nafas panjang dan mengatur langkah mendekati katil yang menjadi tempat pembaringan wanita itu.
“Jadi, Pia bayar kau upah untuk cuci berak dan kencing aku kan? Dia geli untuk buat semua tu kan?” soal Puan Jannah dengan rasa geram. Hatinya rasa terluka melihat insan asing berada di ruang biliknya. Makin terluka mengenangkan darah dagingnya sendiri sudah tidak mahu menguruskan dirinya yang serba kekurangan ini.
Mutiah pula menggigit bibir. Alamak! Ini bukan dalam skop perbincangan tugasan.
“Kenapa puan ingat macam tu? Saya cuma akan buat tugas tu, kalau Puan Sofea ada urusan mustahak di pejabat. Kalau Puan Sofea ada, dia yang akan bersihkan puan.” Jujur Mutiah memberi jawapan. Memang itu yang sudah dijanji oleh Puan Sofea.
“Jadi, kau makan gaji buta? Anak aku bayar kau untuk hidup menumpang mewah dekat sini?” meninggi suara Puan Jannah.
Mutiah menelan air liur lagi. Kenapa nenek ni tak nampak orang sakit pun? Tingginya suara bukan main! Sabar, Mutiah!
“Bukan macam tu puan… saya pun akan tolong bersihkan diri puan, tapi kalau Puan Sofea ada, dia nak buat sendiri. Saya akan pantau kesihatan puan, bagi makan ubat, berikan rawatan yang sepatutnya. Bawa ke klinik atau hospital bila perlu dan kita akan sama-sama buat sesi fisioterapi untuk bantu puan lebih sihat. Kita usaha sama-sama. Nanti bila puan dah sihat, saya dah tak perlu makan gaji dekat sini. Saya akan ke tempat lain pula yang perlukan khidmat jururawat peribadi.” Panjang lebar Mutiah terangkan, tapi wajah Puan Jannah tetap sama riaknya.
“Kau jangan nak masuk dalam bilik ni selagi aku tak panggil. Jangan nak pandai-pandai sentuh aku!!!” marah Puan Jannah dan mengarahkan Mutiah keluar dari bilik saat itu juga.
Tidak mahu bertekak, Mutiah keluar juga. Dia tahu emosi pesakit seperti Puan Jannah sememangnya sukar diramal. Ditambah pula wanita itu terpaksa mengharapkan pertolongan orang lain untuk menguruskan diri, pasti ia sukar diterima.
Puan Jannah perlu diberi ruang seketika. Mungkin dalam sejam lagi Mutiah akan datang kembali untuk melihatnya. Dia pun tak naklah digelar makan gaji buta pula. Tidak mahu berada terlalu jauh dari bilik Puan Jannah, Mutiah memutuskan untuk duduk berdekatan bilik itu sahaja. Sofa yang berada di ruang itu menjadi tempat untuk dia melabuhkan punggung.
Baru sahaja nak menyelesakan duduk, sudah ada yang hendak bertandang sekali. Mutiah terus mengeluh dalam hati. Dugaan tugasan di tempat baru kali ini lebih besar daripada apa yang pernah ditempuhi sebelum ini.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia