Skip to main content

pilihan aku vs pilihan mak aku 13

Mira diam tak berkutik di tempat duduknya. Otaknya terasa beku sementara. Genggaman erat tangan ayah dapat dirasakan. Mira tunduk menekur lantai. Wajah yang terbaring di hadapannya dipandang sayu.

"Mira...," perlahan suara itu memanggil namanya. Namun jelas pada pendengarannya. Hati Mira sebak. Air mata terus mengalir membasahi pipi. Tangan ayah terasa menyentuh bahunya.

"Pergilah Mira... bapa Mira panggil," bisik encik Rahim pada Mira. Perlahan Mira mengatur langkah mendekati katil yang menempatkan seorang yang diberitahu sebagai bapa kandungnya.


"Bapa Im, ayah kandung Mira...," ucap encik Rahim. Razin disebelah mengangguk mengiakan. Ujian DNA yang dijalankan mengukuhkan bukti. Kalau menurut keyakinan encik Rahim, dia memang pasti dengan fakta itu. Namun untuk Mira dan Razin yang memerlukan penjelasan, ujian DNA itu penting.

Mira kaku, terdiam seribu bahasa. Bergetar bibirnya mendengar kata-kata itu. Dipandang wajah ayahnya dalam-dalam.


"Ayah tipu Mira selama ni...," ucapnya pedih. Encik Rahim tersentak. Mira...


"Ayah tak berniat Mira... ayah tak nak lukakan hati Mira. Ayah sayang sangat dengan Mira...," ucap encik Rahim bersungguh-sungguh.


"Ayah tipu Mira!," ayat itu diulang kembali. Air matanya jatuh mengalir.
"Mira, jangan cakap macam tu kat ayah. Ayah buat macam tu sebab tak nak Mira sedih...," suara Sarah mencelah. Mira terus kalih pandang wajah Sarah di sebelah. Renunganannya tidak percaya.

"Akak pun tahu selama ni...," ucapnya tidak percaya. "Selama ni Mira kena tipu dengan semua?," soalnya lagi. Tangisan makin rancak. Razin diam memerhati. Tidak tahu hendak mencelah dan bersuara di mana.

"Mira... jangan macam ni. Ayah sayangkan Mira... ayah tak nak Mira rasa Mira takde sapa pun kat sini... sebab tu ayah tipu. Ayah tak pernah berniat nak lukakan hati Mira...," ucap encik Rahim. Matanya juga panas berair. Dia sudah beralih posisi di sebelah Mira. Tangan Mira digenggam erat.

"Kenapa? Kenapa ayah tak cakap dari dulu lagi... kenapa sekarang?," Mira masih menangis.

"Mira, janganlah sedih-sedih. Mira boleh jumpa dengan bapa Im... bapa kandung Mira," suara puan Juriah pula mencelah. Mira diam berfikir. Entah kenapa dia rasa nak marah. Dia bukan marah, tapi dia terkejut. Kenapa selama dia membaca diari mak, tak pernah pun dia berasa curiga. Mungkin sebab nama ayah sama dengan bapa kandungnya. Abdul Rahim. Bapa Im sakit. Ayat yang diucapkan ayah tadi. Dia makin terasa sesak. Apa yang harus dilakukan?

"Mira nak jumpa bapa," ucapnya. Semua pandangan tertancap di wajahnya.

"Betul Mira?," soal encik Rahim meminta kepastian. Mira mengangguk pasti. "Mira marahkan ayah lagi?," wajah encik Rahim yang keruh dipandangan mata. Perlahan Mira mengangkat tangan mengelap air mata yang mengalir di pipi encik Rahim.


"Mira sayangkan ayah...," secara spontan dia memeluk encik Rahim. Ayah adalah insan yang menyayanginya selama ini. Jika nak dibandingkan dengan kak Sarah, ayah lebih mengutamakan dirinya. "Mira hutang budi dengan ayah....," ucap Mira sebak. Encik Rahim menepuk bahu Mira lembut.

"Jangan nangis sayang... Mira anak ayah. Tanggungjawab ayah untuk jaga Mira..," Mira mengeratkan lagi pelukannya.



"Mira....," satu sentuhan melekap di tangannya. Mira tersentak. Serentak itu matanya bertembung pandang. " maafkan ba...," suara itu serak. Sesekali dia terbatuk kecil.

Abang Im, lelaki yang sangat mencintaiku. Tapi, keadaan menjadikan kami begini. Dia terpaksa memilih antara dua.

Ayat dalam diari mak muncul kembali dalam ingatan. Pilih antara dua. Antara mak Mira atau mak Razin.

Mak harap, anak mak dapat jadi anak yang akan taat dengan kedua orang tuanya. Jangan jadi macam mak, yang dah abaikan keluarga sendiri. Kita kena bersyukur dengan kehadiran insan yang menyayangi kita pada kesempatan yang masih ada.

Mira mengesat air mata. Perlahan tangannya mencapai tangan bapa Im. Dikucup lembut tangan itu. "Mira sayangkan ba... sebab ba adalah istimewa untuk mak Mira... ba sangat sayangkan mak Mira...," Mira sayangkan mak jugak.

"Mak cakap... mak nak Mira jadi anak yang taat...," ucap Mira lagi. Dia sendiri tidak tahu apa yang sewajarnya diperkatakan pada tika ini. Dia gembira. Dia sedih. Dia bahagia. Dia sayu. Semuanya dapat dirasakan. Namun tidak dapat dia nak mengucapkan segalanya.

"Ba sayangkan Mira, macam ba sayangkan Suria...," Mira mengangkat wajah. Melemparkan senyuman paling berharga buat bapa Im.

"Mira pun sayangkan ba... macam Mira sayangkan mak...," balasnya.

Hati ini akan sentiasa menyayangi abang. Hati ini akan sentiasa menyayangi permata hati kita, hadiah yang mampu Suria beri pada abang... puteri kita. Amira Abdul Rahim... Nama yang Suria pilih. Nama yang abang suka...

"Mira boleh tinggal dengan ba?," permintaan dari bapa Im. Mira serba salah. Dia mungkin boleh menerima bapa kandungnya. Tapi, ayah... aku sayangkan ayah. Aku tak mungkin dapat tinggalkan ayah. Perlahan dia memandang wajah ayah. Wajah itu terasa berat hati ingin melepaskannya. Mira dapat melihat apa yang terpancar di mata ayah.

"Pergilah Mira... bapa Im perlukan Mira," namun lain pula yang diungkapkan oleh ayah.

"Mira tak boleh berpisah dengan ayah," balas Mira berterus terang. Wajah bapa Im mengukir senyuman tenang.

"Tak lama Mira, sekejap saja... entah sempat ke tidak ba nak kenal-kenal dengan Mira...," Mira tersentak lagi. Kaget terus di situ. Entah sempat ke tidak? Maksud ba....


******




- boleh jumpa hari ni? ;)


Mira mengeluh kecil. Terlupa pula, Khairul dah selamat mendarat dua kali, tapi dia tak jumpa-jumpa lagi. Mesti nak ajak jumpa. Tapi tak boleh. Dia dah janji dengan Razin nak ajak bapa Im keluar. Bapa Im dah keluar hospital sebulan lepas. So, hari-hari kalau berkesempatan, memang Razin akan mengajaknya untuk evening walk dengan bapa Im.


+ sorry, Mira sibuk hari ni.
Lain kali ye...


Khairul mengerutkan kening. Sibuk? Rasanya, sepanjang minggu ni Mira asyik mengelak berjumpa dengannya. Dengar-dengar cerita dari abah, Mira dah jumpa dengan bapa kandungnya. Tapi sikit pun Mira tak cerita padanya. Khairul dah berkecil hati semenjak mendengar cerita dari abah. Tapi dibuat tak endah dengan perasaan itu. Namun, kini.. dia semakin berkecil hati.


Pantas kekunci handphone ditekan.


- kalau sibuk takpe. Saya takkan kacau awak..


Mira mengetap bibir. Dia dah marah ke? Tapi kenapa pula... Ish, malas nak fikirkan hal Khairul buat masa sekarang. Boleh ke macam tu? Jangan Mira, kesian Khairul! Nantilah aku jumpa dengan dia.


Mesej pagi tadi masih segar dalam ingatan. Mira bingung. Dia masih lagi tak bercerita apa-apa pada Khairul, kerana dia fikir tak perlu lagi. Tapi, nanti Khairul kecik hati, macam mana? Aduh, susah betul...


"Mira," Mira mengangkat wajah. Pantas bibirnya mengukir senyuman. "Jom," terus dia bangun bergerak.

"Nak makan dulu tak?," soal Razin. Matanya fokus pada jalan. Mira mengangguk kecil. "Mira, nak makan dulu tak?," soalnya lagi. Mira senyap tak menjawab apa-apa.

"Boleh je...," Razin tersenyum kecil. Mengenali Mira dengan lebih rapat membuatkan dia rasa terhibur.

"Laksa lagi ke?," usik Razin. Mira dah mengancingkan gigi. "Eeeiii... saja kan! Dah tahu Mira tak suka laksa, nak suruh-suruh makan laksa pulak...," rungutnya. Hampir-hampir hijau mukanya hari tu ketika dipaksa telan laksa. Razin dah nampak riak wajahnya berubah, tapi dia buat selamba saja.

Ketawa Razin memenuhi ruang kereta. "Mira ni kadang-kadang dah macam mak nenek abang tengok...," usiknya lagi. Mira ketap bibir. Mak nenek dia kata aku.

"Abang tu macam pak datuk...," balasnya geram. Razin ketawa lagi.

"Kalau abang jadi datuk... berderet perempuan nak kat abang tau," balasnya berlagak. "Mira je yang tak nak...," ucapnya selamba. Niat di hati memang nak mengusik Mira yang suka sangat gelabah.

"Abang jangan nak merepek ye. Mira kan adik abang...," masuk kali ni, dah berapa kali Razin suka mengusiknya dengan ayat itu. Serius atau tak, dia tak dapat nak agak. Tapi memang mengarut kalau diikutkan logik. Razin ketawa senang. Seronok mengusik Mira.

"Agaknya tunang Mira jeles tak dengan abang... yela, abang kan hensem," kembang tekak Mira mendengarkan pengakuan bercampur perisa berlagak dari mulut Razin.

"Hensem ke?," soal Mira kembali.

"eh... mesti!," balas Razin berlagak. Kereta dah mula memasuki simpang. Razin berhenti betul-betul depan restoran yang biasa mereka singgah.

"Nak makan apa?," soal Razin. Menu yang sama dibelek juga walaupun seringkali makan di situ.

"Char koey teow kat sini sedap tak? Mira teringin nak makanlah..,"

"Sedap jugak. Nak rasa?," Mira mengangguk. Pesanan dibuat.

"Mira belanja abang ye..," ucap Razin. Mira hadiahkan jelingan.

"Saja kan... dah tau Mira ni penganggur terhormat, suruh belanja pulak," Razin ketawa lagi.

"Bila nak minta kerja. Sudah-sudahlah tu melepak kat rumah dah berapa bulan...,"

"Mira nak sambung belajar la...,"

"Sambung la..,"

"Tapi.. nak kahwin jugak..,"

"dengan abang...," ucap Razin selamba. Mira dah menjegilkan biji.

"abang ni suka main-main macam ni kan! Mira tak suka...," Mira menjeling tajam.

"Yela-yela... abang main-main je... Jangan marah-marah lagi ok. Hari ni, abang belanja Mira ais krim. Nak?," Mira mencebik. Sempat lagi perli aku.

"Sibuk sangat Mira?," suara itu. Mira pantas mengangkat wajah. Matanya menangkap pandangan mata Khairul yang menahan marah.

"Tunang Mira kan?," soal Razin tanpa menyedari pandangan tajam dari Khairul. Mira mengangguk perlahan.

"Jomlah, makan sekali," ajak Razin ikhlas. Khairul tersenyum kelat. Mira tak berkata apa-apa. "Takpelah, saya ada hal kat luar. Gerak dulu...," terus saja dia berlalu meninggalkan Mira dan Razin. Mira menghantar Khairul dengan pandangan bersalah. Salah Mira, tak bercerita pada awak.

******

Badannya dihempaskan kasar atas katil. Abang? Mira? Siapa laki tu? Khairul terasa sesak nafas melihat Mira sedang ketawa mesra dengan lelaki lain. Patutlah asyik mengelak tak nak jumpa. Dia memang tak nak dengan aku. Macam yang dia cakap awal-awal dulu, Mira tak suka awak!

Keluhan berat meniti bibirnya. Apa yang aku dah buat? Silap aku ke terlalu memaksa dia? Silap aku ke terlalu berharap pada Mira? Silap aku ke sebab nak kahwin dengan pilihan aku. Mira.

Telefon bimbit di sebelah berkelip-kelip. Nama Mira tertera di skrin. Hurm. Baru nak telefon. Namun dibiarkan sahaja telefon itu mati sendiri. Dia perlukan masa untuk berfikir. Berfikir sama ada apa yang dilakukan sebelum ini hingga sekarang adalah tindakan yang wajar.

Telefon berkelip lagi. Nama yang sama. Keluhan yang berat dilepaskan. Tidak sampai hati untuk melayan Mira begini. Tapi, dia benar-benar terasa hati dengan sikap Mira yang sering berahsia. Telefon dicapai dan terus dimatikan.

Mira tersentak. Dipandang telefon ditangan tanpa berkelip. Wajah Razin menyapa di hadapan mata. Pandangan bertanya. Mira mengetap bibir. Khairul matikan telefon. Dia marah! Aduh... resahnya hati ni bila orang sana dah berura-ura mogok tak bercakap.

"Kenapa ni?," soal Razin. Mira dah muncung.

"Dia tak nak jawab...," ucapnya resah. Dia dah matikan telefon!

"Itulah Mira... ayah awal-awal lagi dah tanya, dah bercerita pada Khairul ke tidak? kamu jawab apa....," Razin berhenti seketika. Tawanya pecah apabila Mira makin memuncung. " dengan berlagaknya dia jawab... nanti-nantilah ayah Mira cerita... dia tak kisah pun. Ha! Padan muka Mira... kan dia dah salah faham..," giat Razin lagi. Inilah padah tak nak dengar nasihat orang tua.

"Abang!!!!," marah Mira. " orang tengah pening, dia boleh ketawakan Mira pulak!," Mira mundar-mundar dari kiri ke kanan. Shuffle balik, kanan ke kiri. Gaya cacing kepanasan memang terserlah. Sekejap-sekejap dibelek telefon di tangan. Hampa. Rasanya, Khairul tak akan menghubunginya. Silap aku! Kenapa yakin sangat, sedangkan tak kena pada situasi.

Mesti dia fikir aku tak suka dia. Yela, aku terima dia pun atas saranan ayah dengan kak Sarah. Memang layanan aku pun, macam nak tak hendak je. Dia je yang selalu concern terlebih. Aduh. Parah! Dia tak tahu, aku pun sayang dia jugak. Susah. Gawat!

"Abang, tolong Mira.....," pintanya pada Razin yang masih sabar menemaninya di situ.

"Anything for you my lovely sis...," jawapan dari Razin terus membuatkan senyuman kembang di bibir Mira.


******

"Putus!!!!!," bergema rumah itu dengar suara puan Salmi. Hampir terkena kejutan jantung dengan ayat penyata yang diucapkan oleh Khairul sebentar tadi. Encik Kassim turut melemparkan pandangan terkejut.

"Rul minta maaf sebab tak dengar cakap mak... tapi sekarang Rul nak minta putus...," ucap Khairul tenang. Rasanya ini merupakan pilihan yang terbaik. Lupakan pilihan hatinya.

Puan Salmi dah mengurut-urut dada. Terkejut bukan kepalang mendengarkan Khairul minta putuskan tunang. Apa buat main-main hal seserius ni.

"Kenapa Rul nak minta putus, sedangkan baru sekejap tadi ayah Mira telefon minta cepatkan tarikh nikah...," ucap encik Kassim mencelah. Berkerut kening Khairul. Cepatkan tarikh nikah?

"Mira tak cakap apa-apa dengan ayah?," dia menyoal kembali.

"Kata ayah, Mira yang minta cepatkan tarikh nikah...," sambung encik Kassim lagi. Bertambah-tambah kerutan di dahi Khairul. Mira ajak nikah cepat? Macam tak kena. Bunyi pun dah pelik.

"Ayah silap dengar kot....entah-entah Mira cakap dia tak nak nikah," sangkal Khairul. Encik Kassim dah menggeleng. Puan Salmi masih statik di tempatnya.

"Dah-dah, ayah pun tak silap dengar. Abah pun tak silap cakap. Sekarang ni kamu naik atas, ambil wuduk, buat solat sunat. Minta petunjuk kat Allah. Jangan nak buat keputusan melulu macam ni. Mahu lemah jantung mak dengan abah...,"pujuk encik Kassim. Pada tanggapannya, Khairul sedang bercelaru minda dan perasaannya.

"Tapi abah...,"

"Takde tapi-tapi. Jangan dibuat main perkara tunang, kahwin ni semua. Ikut suka nak tunang. Ikut suka nak putus. Pilihan kamu jugak yang kami tunangkan, tiba-tiba minta putus! Kamu naik atas, ambil wuduk...solat," tegas suara encik Kassim menegur Khairul.

Khairul sekadar melepaskan keluhan kecil. Dia terasa kusut yang amat pada tika ini. Kalau awal-awal setuju dengan pilihan mak kan senang. Astagfirullah. Khairul beristighfar sendiri. Perkataan kalau-kalau ni hanya akan menyebabkan manusia alpa. Kalau jadi macam tu, bukannya begini! Lupakan semua tu, sekarang cuba terima perkara yang dah ditakdirkan buat aku. Terima ketetapanNYA.

Khairul terus melangkah meninggalkan ruang tamu.

"Bang, betul ke ayah Mira telefon tadi?," terus saja puan Salmi menyoal. Tadi rasanya suaminya tidak bercerita apa-apa pun tentang hal itu.

"Tak pun!," selamba saja jawapan encik Kassim. Puan Salmi terlopong.

"Abang tipu Rul la ni?," soalnya lagi. Encik Kassim tersenyum. Puan Salmi jungkit kening. Senyum, senyum pulak!

"Anak awak tu cemburu sebenarnya... dia terjumpa Mira dengan Razin masa tengah makan. Kebetulan, dia ajak Mira jumpa, tapi Mira tak nak... yela kan budak tu sibuk temankan bapa Im dia tu... jadi, kesannya apa yang jadi sebentar tadi. Tak selidik apa-apa, terus minta nak putus," terang encik Kassim sambil kepalanya tergeleng-geleng kecil. Singkat sungguh pemikiran budak-budak sekarang. Suka ambil jalan mudah.

"Mana abang tau cerita ni?," puan Salmi menyoal lagi. Tidak puas hati.

"Mira telefon tadi... nak cakap dengan awak sebenarnya, tapi awak tengah sibuk bergosip dengan mak Timah kat sebelah rumah, saya paksa la dia ceritakan pada saya...," jelasnya sambil terselit sindiran buat isteri tercinta. Namun puan Salmi pura-pura tak dengar cuma terangguk-angguk tanda faham.

"Kita nak kena buat apa ni bang?,"

"Kita siap-siapkan apa yang patut. Nanti kita bincang dengan Rahim," ucap encik Kassim tenang. Ini adalah keputusan yang terbaik, ucapnya yakin.


******

"Jawablah. jawablah. jawablah....," bibir Mira terkumat-kamit menyebut perkataan yang sama. Sudah seminggu lebih dia diboikot oleh Khairul. Telefon dah boleh sambung talian. Tapi orang di sana tak nak angkat-angkat. Sarah yang kebetulan berada di situ melepaskan tawa.

"Akak ni....," Mira menjeling tak puas hati. Orang tengah susah hati, semua orang boleh ketawakan aku. Kak Sarah, abang Razin, ayah, mak, tak terlepas... dengan bapa Im yang tak sihat sempurna tu pun ketawakan dia.

"Dah macam berzikir dah akak dengar kamu bergumam tu....," Sarah ketawa lagi. Mira...mira.. gelabah biawak betul!

"Akak....," Mira beralih posisi duduk tepi Sarah. Nada suara dah kendur. Muka seposen ditayangkan. "dia tak nak jawab. Mira nak buat macam mana ni.... lelaki ni dah tua-tua pun aci nak merajuk je, mana boleh!," Mira meluahkan ketidakpuasan hatinya. Makin galak Sarah ketawa. Pantas tangan Mira menampar lengan Sarah. Geram! Aku tengah luahkan perasaan sedih, boleh akak aku ketawa tak ingat dunia.

"I have no comment!," ucap Sarah sambil menekan-nekan perutnya perlahan. Sisa-sisa ketawa masih berbaki.

"Akak... bagilah cadangan... dulu akak yang suruh Mira terima dia...," suara Mira memujuk.

"So...apa kena-mengena dengan masalah ni?," soal Sarah kerek. Mata Mira memandang Sarah sayu.

"Tolong Mira...........pleaseeeeee," rengeknya. Otaknya dah beku fikir cara nak pujuk pak cik tua yang merajuk tu.

Sarah menjeling sebelah. Sekali pandang, memang kesian. Tapi dua kali pandang... "Selesaikan sendiri masalah tu. Mira yang salah kan..," ucapnya tegas. Terus luluh semangat Mira ke tahap kosong peratus.

"Yela...," jawabnya lemah. Mira bangun dari sofa. Langkah kakinya perlahan diatur ke atas. Tangan kembali menekan punat telefon bimbit.

-Jawablah. Sampai hati xnak dengar apa yg sy nak cakap. ='(

Butang SEND ditekan. Dengan malasnya badan direbahkan atas katil. Tak bersemangat langsung. Surat yang terbuka atas meja dipandang sepi. Surat untuk temuduga. Dia pernah janji pada dirinya, kalau dah rasa nak kahwin dia akan terima tawaran untuk bekerja. Nampak gaya macam tak jadi kahwin ni, baik aku sambung belajar je dulu. Umur pun muda lagi.

Bunyi nada mesej pantas menarik perhatiannya. Serta-merta senyuman berbunga di bibir. Telefon dicapai, namun sekejap cuma pandangannya sayu kembali. Mesej dari kak Sarah. Duduk serumah pun, nak main-main mesej.

+ Good luck adikku =)
jgn risau, cik abe mu xkan merajuk lama2. Doa selalu.

Mira tak lupa nak berdoa pun. Tapi macam dah hilang semangat je. Bunyi deringan dari telefon bimbit singgah di pendengaran. Dengan lemah longlai punat ditekan.

"Kak Sarah.... Mira dah tak bersemangat ni. Akak tolonglah Mira....," tanpa menunggu bicara dari hujung talian, Mira dah bersuara dulu.

"Dah hilang semangat ye?," suara itu! Terus Mira tersentak. Macam bangun dari mimpi. Syukur!

"Mira hilang semangat dah ke nak pujuk saya?," soal Khairul lagi. Bibir dah tersungging senyuman kecil.

"Susah sangat nak pujuk. Dah beku otak Mira fikir macam mana nak explain kat awak.... dah la siap cakap dengan mak dengan abah nak minta putus tunang. Sampai hati awak!," suara Mira dah sebak. Jangan leleh sekarang, tolonglah jangan!

Khairul ketawa kecil. "Dah. Orang dah tau dah... salah faham dah settle. Tapi awak tu, ambil iktibar. Lain kali jangan nak berahsia-rahsia perkara macam ni. Kalau betul putus tunang macam mana? Tak ke naya!," Mira dah melopong. Putus tunang! Tak terfikir sampai tahap itu. Tak nak....

" So, dah decide belum... nak kerja or sambung belajar?," soalan Khairul membuatkan dahi Mira berkerut. Tidak faham erti soalan.

"Ingatkan nak kerja dulu....," Khairul dah tersenyum. Ok. Maksudnya nak kahwin dulu.

"Baguslah. Kerja dulu.... cari pengalaman. Nanti sambung belajar balik,"

"Tak kisah ke Mira kerja dulu?," Mira makin pelik. Dulu beria Khairul menyuruhnya untuk sambung belajar lagi.

"Abang tak kisah...," Khairul ketap bibir. Ops,sudah! Terlepas...

"Abang?,"

"Mira, nanti saya takde kat Malaysia lebih kurang sebulan," soalan Mira tidak dilayan. Sebaliknya dia berbicara perihal lain.

"Pergi mana?," soal Mira terkejut. Sebulan? Lamanya...

"Adalah kerja....," senyuman Khairul meleret mendengar intonasi Mira. "Kita jumpa lepas dua bulan ye".

"Tadi cakap sebulan, sekarang dua bulan pulak. Mana yang betul ni?," Mira dah resah. Dua bulan?

"Dua bulan... kita jumpa lepas dua bulan. My request for this time, don't miss me a lot.....," senyum lagi. "Meet after two months ye sayang...," tit. Talian dah terputus. Mira blur. Apakah? Aku tak faham apa pun. Yang aku pasti, dia dah tak merajuk. Itu saja!


Di rumah encik Kassim.

"Dah selesai Khairul?," soal encik Rahim pada Khairul yang sedang menuruni anak tangga. Khairul tersenyum dan mengangguk. "Dia tak tanya banyak?," soalnya lagi. Khairul menggeleng. Dia mengambil tempat di tepi puan Salmi.

"Tapi sempat ke? Macam cepat sangat je.....," yang lain semua dah tersenyum nipis.

"InsyaAllah sempat. Kamu ada banyak kakitangan nak uruskan semua hal... Jangan risaulah Rul, beres....," ucap encik Kassim yakin.

"Mira?," soal Khairul lagi. Macam tak logik nak buat suprise kat minah tu macam ni.

"Bukannya tak bagitahu langsung. Bagitahu, tapi lambat sikit la...," jawab puan Salmi seolah-olah dapat membaca fikiran Khairul.

"Kamu sure dia setuju Khairul?," soal puan Juriah pula. Khairul angguk dan tersenyum. Pandangannya bertemu mata dengan Razin. Senyum lagi.

"Ada orang dah kasi petua nak tahu macam mana Mira setuju...," Razin turut tersenyum kecil mendengar ayat itu. Secara tak langsung, pujian buat dirinya. Ehem, bangga sebentar.

"Im, kau macam mana?," soal encik Rahim pada bapa Mira.

"Aku ikut saja kalau itu yang terbaik untuk dia," semua menghembuskan nafas lega.

"Okey. Rul...dah pass. Wali dah setuju!," tepukan singgah di bahu Khairul. Senyuman lega meriasi wajah. Tunggu dua bulan saja lagi. Nasib aku tak jadi buat kerja gila, minta putus tunang. Mujur Allah bagi petunjuk. Bakal isteri aku masih tetap dengan status pilihan aku.


******

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia