Skip to main content

Kita KAWAN BAIK kan?


"Eh, mestilah!" jawab bibir comel itu sambil menarik tangannya dengan pantas menarik bahu kawan baiknya di sebelah. Dipeluk erat. Mereka berdua tersenyum riang. Apalagi yang berada dalam fikiran kanak-kanak yang berusia enam tahun melainkan keseronokan dan kegembiraan dalam dunia mereka sendiri.

Asyikin dan Alisya, dua sahabat baik yang tidak mampu dipisahkan. Persahabatan yang sering menjadi perbualan seisi kampung. Macam hiperbola sangat ayat ni. Persahabatan yang sering menjadi perbualan seisi kanak-kanak dalam lingkungan usia mereka.

Padanan yang sangat hebat. Bagai pinang dibelah! Asyikin seorang gadis yang agresif dan sedikit kasar namun kontra pula dengan Alisya yang lemah lembut dan sentiasa bergaya dengan penuh tertib dan kesopanan. Kalau Alisya kena buli, ada Asyikin nak defend. Kalau Asyikin kena marah ada Alisya nak tolong lembutkan hati si tukang marah.

Masing-masing saling bergantung antara satu sama lain. Tidak mungkin terbit istilah berpisah. Tidak mungkin kata mereka.

"Syikin... kita kawan baik kan?" soal Alisya. Asyikin yang tengah standby nak meluncur dari papan gelongsor sempat melemparkan senyuman pada sahabatnya itu.

"Eh, mestilah!" balas Asyikin. "Sampai bila pun kita akan jadi kawan baik," sambungnya sambil meluncur laju di atas papan gelongsor.

"Kenapa kau tanya?" sejurus saja kaki mencecah tanah, Asyikin pula menyoal. Rakannya itu tidak sudah-sudah bertanyakan soalan itu.

Mulut Alisya memuncung pada hujung taman permainan. Asyikin turut ikut pandang. Erk! Nampaknya ada perang dingin baru dilancarkan di situ. Safura dan Camelia tak bertegur sapa. Mereka juga merupakan sahabat yang baik seperti dia dan Alisya juga.

"Tengok dia orang tu, dah tak bercakap dah...," ucap Alisya dengan nada risau. Asyikin cuba tersenyum memberi semangat. Lantas langkah kaki diatur mendekati sahabatnya itu. Punggung dilabuhkan di sisi. Tangan mereka menggenggam antara satu sama lain.

"Dia orang bukan kawan baik macam kita. Kita ni spesies yang tak akan bergaduh punya. Takkan punyalah!" ucap Asyikin yakin. Alisya menarik senyum dan menghela nafas lega. Jika itu yang dikatakan Asyikin, maka dia tidak perlu risau. Bimbang juga bila tengok orang lain bergaduh, lepas itu tak bercakap, terasa macam diri mereka juga turut akan bergaduh dan tidak akan bercakap. Selepas itu putus kawan.... Argh!!! Tidak sanggup rasanya untuk mengungkap kata-kata itu.

*****

Orang kata, bersahabat sampai mati. Sahabat dunia akhirat. Begitu juga dengan mereka. Sejak dari sekolah rendah sehinggalah dah jejak kaki ke sekolah menengah masih lagi dengan title double A. Bukan standard paper double A, ini Asyikin dan Alisya lah!

"Syikin.... Isya cari kau! Kat belakang bengkel A!" Asyikin yang tengah khusyuk menyiapkan latihan matematik dalam kelas terus saja bingkas bangun. Risau sudah mula mencengkam benak hati. Siapa pula yang mengganggu Isya kali ini? Isya tu lembut sangat sebab itu dia selalu kena buli. Aku dah bagi nasihat suruh keras sikit, dia cakap tak boleh. Tengok sekarang apa masalah dia, senang sangat orang nak buat main.

Saat kaki Asyikin menjejak ke kawasan bengkel sekolah mereka, matanya cepat saja menangkap kelibat Alisya yang sedang bersandar elok pada meja kayu di situ. Wajahnya tidak kelihatan sugul pula. Apa aku yang silap target, ingat dia kena buli.

"Isya!!!" laung Asyikin. Volume tinggi, gaya macam duduk sepuluh batu. Sedangkan kalau dia kentut pun Alisya boleh dengar dah.

Alisya membalas pandang dan kemudian tersenyum kecil. Wajah Asyikin yang resah sedikit sebanyak menggembirakan hatinya. Dialah, sahabat sejati yang sering risaukan dirinya. Sememangnya mereka merupakan sahabat sejati yang tidak dipisahkan oleh sesiapa pun. Biar ada beribu mulut yang cuba untuk memburukkan hubungan mereka, namun semua itu tidak mampu mengoyahkan sama sekali. Mereka masih menyandang gelaran kawan baik sampai mati. Doa Alisya dalam hati.

"Aku ingatkan kau kena buli... tapi rupa tak ada sedih pun. Tersengih lebar pulak tu...," terus saja Asyikin menyerbunya. Namun riak risau masih belum hilang dari wajah gadis itu.

"Tak adalah... bukan kena buli," Alisya tersenyum. Asyikin sudah menggaru kepalanya yang diliputi tudung sekolah. Apa ke pelik sangat sahabatnya hari ini. Matanya melilau di sekitar bengkel A. Dengar daripada cerita-cerita orang, bengkel ini ada 'sejarah'. Erk! Asyikin sudah menelan liur. Andaian yang muncul di fikirannya benar-benar menyeramkan. Wajah Alisya yang tersengih tidak henti bertambah menakutkan. Bimbang juga, mana tahu Isya disampuk. Dia walaupun nampak kasar, tapi kalau dah masuk bab-bab 'benda' ini seperti manusia normal yang lain rasa takut secara automatik akan menular.

"Kau kena sampuk ke Isya?" lurus saja Asyikin menyoal. Dek rasa takut yang dah mencucuk-cucuk perut. Terluah sudah soalan itu dengan kalut.

Melihatkan Alisya yang tertawa tiba-tiba dihadapannya semakin menguatkan andaian. Memang sah! Kena sampuk. 'Ya Allah, selamatkan kami!' bibirnya terus saja terkumat-kamit berzikir. Takut punya pasal, habis doa qunut dan ayat kursi dibacanya kuat-kuat.

Aksi Asyikin yang jelas gelabah itu hanya makin merancakkan tawa Alisya.

"Hei... Syikin. Kenapa? Aku bukannya kena sampuk!" nyata ayat yang Alisya ucapkan membuatkan Asyikin menghela nafas lega. Alhamdulillah.

"Habis... kenapa kau senyum-senyum? Dah la ajak aku 'dating' kat tempat seram macam ni... manalah aku tak fikir bukan-bukan," tersenyum-senyum Alisya mendengar kata-kata Asyikin yang agak gelabah itu. Kat luar saja nampak berani, dalamnya pengecut juga.

"Aku ada benda nak story la...," ucap Alisya dan terus saja tersipu-sipu malu. Asyikin sudah mengerutkan dahi.

"Story apa?" soal Asyikin tidak sabar.

"Aku...," baru saja Alisya hendak meneruskan kata.

"Asyikin... Alisya!!!" kuat suara yang menyebut nama mereka. Tanpa melihat wajah pun sudah dapat kenal pasti siapa. Oh, siapa lagi kalau bukan si mangkuk ketua pengawas sekolah mereka. Menyibuk saja.

"Aku ambil nama sebab kau berdua melepak waktu PMP," ucapan ketua pengawas itu sedikit tidak melahirkan getar di jiwa Asyikin. Tetapi, Alisya dah tunduk memandang tanah.

"Habis, kau buat apa kat sini? Melepak juga kan?" sindir Asyikin tanpa mempedulikan yang kini berdiri di depannya itu adalah senior dan merangkap Ketua pengawas sekolah mereka.

"Apa kata, kau masukkan nama aku, Alisya dan kau... sebab melepak masa PMP. Macam aku tak tau saja, kau cabut keluar waktu Biologi!" ayat yang meniti bibir Asyikin terus saja membulat biji mata Ariff, Ketua pengawas mereka. Macam mana minah ni tahu? Bibirnya diketap laju tanda marah. Namun belum sempat dia bersuara lagi Asyikin sudah memotong.

"Ke tepi... rimas aku tengok muka kau...," ditolak kasar tubuh Ariff. Tangannya pantas juga mencapai pergelangan tangan Alisya dan mereka terus berlalu dari situ meninggalkan Ariff yang sedang mengepung api kemarahan.

Lelaki itu memang sangat geram dengan perangai Asyikin. Ada saja yang nak dijawab. Ada saja yang nak disindir. Memang tak pernah makan saman. Tetapi selama ini dibiarkan saja segala yang dilakukan oleh Asyikin. Oh, itu semua bukan kerana hatinya terpaut pada Asyikin. Sangatlah mustahil. Itu semua hanyalah sebab si ayu lagi manis, Alisya. Kerana dia, Asyikin terlepas selama ini. Kalau tak, jangan haraplah.

******

Asyikin bersantai-santai di atas katil. Matanya belum terlelap lagi. Bibirnya pula tidak berhenti dari mengukir senyuman. Rasa macam tak percaya. Pelajar baru yang menjadi perbualan seisi pelajar tingkatan 3 sekolah mereka telah mengajaknya untuk keluar date. Macam tak percaya! Terus saja dia bersetuju. Siapa yang tidak mahu kalau dapat berdampingan dengan jejaka sekacak Danial Faradzi.

Telefon bimbit di tangan dibelek sudah hampir seratus kali. Mesej yang sama diulang-ulang baca buat kesekian kali.

- Be my date. love D.F

Ah!!! Asyikin sudah gila bayang. Pertama kali dia diamuk perasaan sebegini. Siapa pun belum tahu. Alisya pun belum tahu. Terasa malu pula hendak beritahu. Iyalah, gadis yang perwatakan kasar seperti dia, mana mungkin berdampingan dengan jejaka sekacak Danial Faradzi. Tetapi, siapa sangka Danial akan memilihnya. Dia terus menarik senyum lagi dan menutup muka dengan bantal.

******

Lakaran di atas kertas A4 itu ditatapnya lama. Perlahan bibir comel itu mengukir senyuman tanpa sedar. Hatinya ditimpa bahagia. Demam cinta. Cinta pandang pertama dengan Danial Faradzi. Jejaka yang mampu mengoyahkan hatinya. Siapa sangka, dalam diam dia memendam rasa dan kini dia yakin bahawa dia bukan bertepuk sebelah tangan.

Lakaran yang memadankan nama mereka berdua kelihatan sangat cantik dan padan sekali. Danial Faradzi-Fatin Alisya. Sekali lagi, bibirnya mengoyak senyum yang lagi lebar dari tadi. Mesej yang diterima benar-benar membuai hati mudanya.

-Be my date. love D.F

Tanpa berfikir lama, terus saja dia menyatakan persetujuan. Selalunya sebelum membuat apa-apa keputusan, dia pasti akan mengkhabarkan pada Asyikin. Namun kali ini, dia bertindak untuk menyimpan rahsia dulu. Nanti akan dikhabarkan pada Asyikin. Sudah pasti gadis itu akan gembira untuknya.

*******

"Sekarang ni kau kerap keluar... mak kau cakap pada aku," ucap Alisya pada Asyikin yang sedang menyapu kiwi pada kasut sekolahnya. Asyikin mendongak kepala. Wajah Alisya yang bertentang dengan dipandang dengan kerutan.

"Mak kau cakap pada aku... kau kerap keluar jugak".

Masing-masing terdiam. Masing-masing mula berfikir. Seperti ada sesuatu yang menjadi rahsia besar antara mereka berdua yang tidak dikongsi. Dalam diam, perlahan-lahan perasaan bersalah menyelinap dalam hati kedua-duanya. Mereka kawan baik. Tapi perkara penting begini tidak diceritakan pada kawan baik.

Alisya mengeluh. Begitu juga dengan Asyikin.

"Aku ada benda nak cakap...," kedua-duanya bersuara serentak. Mata mereka terpaku sesama sendiri.

"Err..." kedua-duanya menjadi gagap.

"Kau bercinta ke?" serkap Asyikin.

"Kau keluar date ke?" Alisya pula meneka.

Kedua-duanya mengangguk dengan serentak. Terus saja mata mereka membulat kerana terkejut. Tak sangka.

"Tak cakap pun...," serentak juga mereka bersuara seolah berjauh hati. Namun sekejap saja, kemudian Asyikin sudah mengukir senyuman dan mengambil tempat di sebelah Alisya. Dalam fikirannya, mungkin Alisya juga sepertinya... malu hendak berkongsi rasa hati. Tetapi dia tidak hairan jika Alisya punya teman istimewa kerana gadis itu memang mempunyai pakej yang lengkap jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

"Siapa?"

"Sekolah kita ke?"

"Sejak bila?" bergilir-gilir mereka menyoal, namun satu pun tidak berjawab.

"Siapa yang nak jawab dulu. Kau ke... aku?" soal Asyikin teruja. Wajah Alisya sudah bersinar bahagia.

"Kau lah...," ucap Alisya.

"Okey," Asyikin terus saja bersetuju. "Tapi... sebelum kita confess perasaan kita... macam biasa, aku Asyikin," Asyikin sudah menghulurkan jari kelingkingnya.

"aku Alisya," sambut Alisya sambil mengikat jari mereka bersama.

"Kami janji... akan menjadi sahabat sejati buat selamanya. Tidak kira masalah sebesar planet, kami tetap akan bersama. Tidak kira orang dengki bagai nak gila, semua tu di hujung jari saja. Sebab, kita kawan baik kan...," mereka tertawa sekejap dengan ucapan keramat yang seringkali meniti bibir mereka.

"Eh... mestilah!!!" jawapan mereka berpadu.

"Shall we start?"

"Okay!" Asyikin sudah bersemangat.

"Budak mana?" soalan pertama.

"Sekolah kita".

"Form?" soalan kedua.

"Sama kita".

"Siapa?" soalan kemuncak.

"Danial Faradzi," saat nama itu dilagukan oleh bibir Asyikin terus mati senyuman di bibir Alisya. Dia tidak salah dengar kan? Ataupun Asyikin sekadar bergurau.

"Siapa?" soal Alisya sekali lagi. Mungkin dia tersilap dengar. Tetapi apabila mendengar nama yang sama diulang oleh Asyikin terus saja membuatkan dia jadi berang. Takkan!

"Tipulah... takkan dia nak couple dengan kau!" ayat penyata yang diucapkan oleh Alisya dengan nada sinis sekali. Asyikin terus menjadi pelik. Kenapa Alisya perlu menyoal dengan nada begitu. Bukankah dia juga sudah punya kekasih hati.

"Kenapa? Salah ke... aku couple dengan dia?" soal Asyikin dengan wajah yang agak polos. Masih belum mengerti akan sindiran Alisya.

"Memang salah!!! Sebab dia... boyfriend aku!" terus naik nada suara Alisya. Hilang sudah keayuan dan kesopanan yang sering dipersembahkan selama ini.

Asyikin terkedu mendengar kenyataan yang dikeluarkan Alisya. Dia tidak pernah tahu akan hal itu langsung. Benarkah? Wajah Alisya yang kelihatan sangat berang itu ditatapnya dalam-dalam. Bibir comel itu terus saja berkata-kata.

"Macam manalah dia boleh ajak kau date? Apalah yang ada pada kau yang dia nampak...," semakin tersentak Asyikin mendengar luahan Alisya. Apa maksud Isya?

"Kau yang kasar dan ganas ni pun dia nak buat couple ke? Entah-entah kau saja yang terhegehkan dia... dia bukannya nak pada kau pun," sindir Alisya. Kemarahan yang menguasai diri membuatkan dia terlupa akan janji mereka berdua. Hilang sudah ingatan akan title kawan baik. Asyikin di depan matanya dipandang dengan penuh rasa meluat.

Dia tidak percaya Danial akan melayan perempuan seperti Asyikin. Asyikin dan dirinya terlalu banyak perbezaan. Dia lebih ayu dan sopan jika dibandingkan dengan Asyikin. Mana mungkin lelaki itu me'madu'kan mereka. Di'madu'kan dengan gadis yang perwatakan seperti Asyikin. Dia tidak boleh terima. Dia turut rasa tertikam dengan perbuatan Asyikin. Takkan gadis itu terlupa, awal-awal dia pernah menyatakan rasa hatinya yang meminati Danial Faradzi. Tak mungkin dia lupa!!!

Asyikin terdiam dek terpukul dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Alisya. Kasar dan ganas! Ayat yang terus saja menusuk ke dalam hatinya. Itukah pandangan Alisya terhadap dirinya selama ini.

"Isya...," perlahan saja suara Asyikin memecah dalam keadaan tegang antara mereka. Dengusan kasar Alisya jelas di telinga Asyikin.

"Kalau kau still nak merampas Danial dari aku... lupakan terus pasal persahabatan kita!" terpana terus Asyikin mendengar kata-kata Alisya. Begitu sekalikah? Dia belum sempat membuka mulut untuk menyatakan apa-apa.

"Tapi... ada baiknya kau sedar jurang besar antara kau dan Danial. Kau memang tak layak untuk dia!" mulut Alisya tidak berhenti lagi meneruskan kata-kata yang memedihkan hati Asyikin. Tanpa sebarang kata terus saja Alisya melangkah meninggalkan dirinya. Saat langkah kaki gadis ayu itu berhenti, Asyikin cuba untuk mengukir senyuman. Mungkin Alisya akan kembali padanya. Namun, jiwanya makin dirobek mendengar ayat terakhir yang lahir dari bibir Alisya.

"Aku tak nak tengok muka kau! Pembelot!" Asyikin terus terduduk. Pandangan sudah berbalam-balam. Air mata menuruni pipi tanpa henti. Tuduhan Alisya itu terlalu berat buat dirinya. Gadis itu sedikit pun tidak memberi peluang padanya untuk mengucapkan sepatah penjelasan pun. Kini, dia sudah melangkah pergi setelah menghadiahkan gelaran pembelot pada aku. Adilkah begini?

Persahabatan mati di persimpangan jalan. Putus kawan! Terasa ngeri untuk mengungkapkan kata itu. Takkan begini akhirnya. Akhirnya sebuah persahabatan hanya kerana seorang lelaki. Danial Faradzi! Hatinya mengungkap pedih.

Pasti lelaki itu punya muslihat sendiri. Kalau tidak mengapa dia perlu rapat dengan aku dan Alisya pada masa yang sama. Tetapi salahkan lelaki itu pun sudah tidak ada gunanya. Apabila kawan baik sendiri menuduhnya perampas. Kawan baik sendiri lebih percayakan lelaki itu daripada dirinya yang telah dikenali oleh Alisya bertahun lamanya. Ditelankan saja rasa tidak puas hati terhadap lelaki itu.

Lebih daripada sakit setelah tahu akan hakikat mereka berkasih dengan lelaki yang sama. Perkataan putus sahabat itu lebih berbisa dan berbekas dalam hati Asyikin. Sudah tidak akan adakah ucapan, kita kawan baik kan? Pantas dia menekup muka menahan esakan yang semakin menjadi-jadi. Walaupun luarannya dia kasar, dia ganas. Tapi dia hanya seorang perempuan yang halus jiwanya. Dia benar-benar terluka.

*******

20 TAHUN BERLALU...

"Sayang... ingat apa tu?" wajah Asyikin yang sedang leka merenung ke luar jendela rumah ditegur suaminya. Terus saja Asyikin tersenyum manis. Tangan suaminya dicapai. Mereka sama-sama berdiri sambil memerhatikan telatah kanak-kanak kecil yang sedang seronok bermain masak-masak. Termasuklah anaknya, Ainul Husna.

"Anak abang tu, gaya macam cekap saja bab-bab memasak ni...," ucapnya sambil tertawa kecil. Kelakar melihat anaknya mengarah itu dan ini pada temannya yang lain. Suaminya ikut melepaskan tawa kecil.

Mata Asyikin terus memerhatikan gelagat anaknya dan teman-teman sepermainannya. Hatinya terusik. Wajahnya terus saja dipalit riak sedih. Bohong jika dia menafikan rasa hatinya yang satu itu. Mana mungkin dia melupakan insan istimewa itu. Kita kawan baik kan? Ayat itu terus terngiang-ngiang di telinganya.

"Syikin rindukan dia...," bibirnya mengucap sayu. "Rindu sangat...," sambungnya lagi. Dapat dirasakan pegangan suaminya yang makin erat. Mujur saja dia bertemu jodoh dengan suaminya, insan yang setia mendengar celoteh dan keluhan bibirnya. Insan yang sudi berkongsi suka duka dalam hidupnya. Hari demi hari, kasih sayang yang terbias terus mengikat mereka dalam hubungan yang suci ini. Dia bahagia dalam masa yang sama dia sedih. Pengubatnya... jejaka yang sedang memaut dirinya pada tika ini.

"InsyaAllah... ada rezeki, sayang akan jumpalah dengan dia," seperti biasa, ayat pujukan yang sama dialunkan oleh suaminya.

"Mesti dia bahagia dengan Danial kan bang?" suaminya menarik senyum nipis dengan soalan itu.

"Jealous ke?" perli lelaki itu. Asyikin terus saja berpusing menghadap wajah lelaki itu yang tersenyum.

"Why should I? Saya dah ada... Yang Arif!" serentak itu sebuah ciuman dihadiahkan di pipi suaminya. Ariff terus saja tersenyum bahagia. Dia sengaja hendak mengusik. Dia tahu akan perasaan Asyikin. Isteri yang dinikahinya sejak 10 tahun lalu. Siapa sangka, dia akan berkahwin dengan Asyikin, gadis yang tidak disukainya pada zaman persekolahan. Tetapi gara-gara ibu dan ayah sudah pilih, dirinya akur saja. Awalnya memberontak juga tetapi lama-kelamaan sudah mabuk sayang. Asyikin nyata berbeza daripada apa yang difikirkannya selama ini. Terasa bertuah memiliki gadis itu menjadi pasangan hidupnya.

"Yang Arif nak minta izin...," ucap Ariff dengan lembut.

"Izin?"

"Yang Arif nak confess something...," Ariff masih lagi dengan nada yang sama.

"Diizinkan..." ucap Asyikin walaupun dalam fikirannya tertanya-tanya apa yang lelaki itu hendak confess di saat ini.

"I love you forever my love," serentak itu bibir Asyikin dikucup lembut. Asyikin tersipu malu. Nakal sungguh Yang Arif!

******

Asyikin setia menunggu di luar pagar sekolah. Jam sudah menginjak ke angka enam. Sekejap lagi mesti semua murid akan menyerbu keluar. Dari jauh matanya sudah menangkap kelibat Ainul, puterinya. Kelihatan Ainul sedang berpegangan tangan dengan seorang sahabatnya. Tetapi Asyikin belum pernah melihat kanak-kanak itu sebelum ini. Murid baru ke?

Ada sesuatu yang menarik-narik hatinya. Wajah si kecil itu persis seseorang. Seseorang yang dekat di hatinya. Ya! Wajah itu persis Alisya. Mirip sekali. Dengan rambut ikal yang ditocangkan, si kecil itu kelihatan sama saja dengan gaya Alisya. Mungkinkah?

"Mama...," suara Ainul yang menyapanya ceria menarik kembali lamunannya. Dia tersenyum. Tangan Ainul sudah dicapai dalam pegangan.

"Mama... ni kawan baru Ainul... dia baru pindah ke sini," petah saja anaknya berkata-kata. Budak itu ikut tersenyum sekali.

"Nama apa sayang?" soal Asyikin mesra.

"Fatin Amira," bibir comel itu berkata. Tersentap Asyikin buat seketika. Fatin Amira juga persis nama Fatin Alisya. Dia tersenyum kecil walaupun hatinya sudah tidak keruan.

"Balik dengan siapa?" soal Asyikin lagi. Dalam hati dia mengharapkan kanak-kanak itu menjawab, mama jemput.

"Van," balas Amira. Jawapan yang benar-benar menghampakan Asyikin.

Belum sempat Asyikin bertanya lagi sudah ada yang memanggil nama si kecil itu. Seorang pak cik sudah bersedia untuk mengajak Amira naik ke van. Asyikin hanya dapat memandang van itu berlalu pergi. Rindunya makin membuak-buak. Wajah itu... dia yakin. Dia dapat rasakan. Semestinya itu adalah anak Alisya.

"Mama...," panggilan Ainul menggamitnya.

"Jom sayang...," terus saja mereka melangkah menuju ke kereta.

Sejak dari bertemu empat mata dengan Fatin Amira, Asyikin tidak pernah lupa untuk mengorek rahsia dari anaknya. Semua perbualan antara Ainul dan Amira akan diambil tahu. Bukan susah nak menyuruh Ainul bercerita. Tetapi, kanak-kanak macam biasa, perbualan mereka terhad kepada topik-topik tertentu saja. Bukannya nak tanya soalan penting macam nama mak apa? Nama ayah apa? Ini main bercerita saja tanpa ambil tahu semua itu. Keluh Asyikin sendiri. Hampa kerana apa yang dia hendak tahu, belum dapat maklumat.

"Dia tak tulis nama ayahlah mama... ada nama dia saja," kata-kata Ainul terus saja memanjangkan keluhan di bibir Asyikin.

"Mama nak berkenalan dengan ayah siapa ni?" terus saja Ariff menyampuk di sebelah. Asyikin menjeling manja. Buat-buat tanya pula pak cik seorang ini. Bukannya dia tak tahu tentang Fatin Amira. Dah naik berbuih mulut Asyikin asyik bercerita tentang kanak-kanak itu. Harapannya sungguh tinggi. Semoga dipertemukan akan sahabatnya, Alisya. Walaupun tidak pasti dengan penerimaan Alisya tetapi dia hendak bertemu juga dengan gadis itu. Rindunya sudah tidak tertanggung.

Persahabatan mereka terus putus sejak Asyikin berpindah sekolah dan keluarga mereka berpindah. Walaupun hatinya bersedih tetapi dia tetap tidak dapat berbuat apa-apa. Alisya benar-benar mengotakan katanya. Tidak sekali pun dia menoleh pandang pada wajah Asyikin. Saat itu hanya kepedihan yang terasa. Lantas perpindahan sekolah itu dianggap sebagai hikmah.

"Ainul... nanti tanyalah dengan Amira, apa nama mama dia, papa dia," Ainul terus saja mengangguk dengan cadangan papanya. Spontan Asyikin menepuk dahi. Mulutnya asyik bertanya saja tetapi dia terlupa untuk menyarankan pada Ainul untuk bertanya.

"Pandailah abang ni...," puji Asyikin. Ariff pula sudah tersengih bangga. Sekali lagi Asyikin menjeling manja dan terus saja disambut oleh gelak tawa suaminya.

******

Dari jauh lagi Asyikin sudah melihat senyuman yang memekar di bibir Ainul.

"Mama... hari ni mama Mira jemput dia," belum sempat apa-apa, terus saja Ainul memaklumkan padanya. Terus wajahnya dipalit senyuman bahagia. Akhirnya.

"Mama Mira jemput ya?" disoal juga pada Amira. Si comel itu mengangguk dengan wajah ceria. Tidak lama mereka menanti. Asyikin sudah menangkap suara yang memanggilkan nama Amira dibelakangnya. Jantungnya berdetak hebat. Perlahan-lahan wajahnya dipalingkan. Dan benarlah...

"Syikin!!!" riak terkejut di wajah Alisya. Asyikin sudah tersenyum lebar.

"Mira, jom balik!" ayat yang diucapkan Alisya menyentap jantung Asyikin. Kenapa dia bereaksi begini? Tidak rindukah dia pada aku? Sekali lagi, dia hanya mampu memandang Alisya meninggalkannya.

"Garangnya mama dia... kan mama?" komen Ainul. Asyikin diam saja, tidak membalas apa-apa.

******

Gambar yang sudah berusia lebih 20 tahun itu dibeleknya lama. Saat matanya melihat wajah Asyikin, dia benar-benar terkejut. Hatinya rindu. Mana mungkin dia lupakan sahabat baiknya. Namun kerana malu dengan dirinya sendiri yang sudah melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya pada gadis itu, dia menjadi malu. Dia malu jika Asyikin tidak menerima kata-kata maafnya.

Tetapi apa yang dilihatnya tadi, Asyikin tersenyum mesra memandangnya. Tiada sekelumit rasa marah pun ke untuk diri aku setelah aku katakan macam-macam pada diri dia? Gembirakah dia melihat aku? Jika dia gembira... aku juga sangat gembira.

"Gambar siapa ni mama?" soal Amira yang muncul dari belakang. Alisya menarik senyum. Amira ditarik duduk disisinya.

"Kawan baik mama...,"

"Siapa ma... aunty ni pernah datang rumah kita ke?" soal si kecil itu lagi.

"Hari-hari Mira tengok aunty ni... mama kawan Mira,"

"Aunty Syikin?" Alisya mengangguk sambil tersenyum. Tiba-tiba mindanya tergerak untuk melakukan sesuatu.

"Mira boleh tolong mama?"

"Tolong apa ma?" terus saja Alisya menarik senyum.

******

"Mama Mira suruh bagi pada aunty...," wajah Asyikin terus bersinar gembira. Kata-kata dari bibir comel Amira bersama huluran sampul petang tadi benar-benar membuai hatinya. Sekeping foto zaman kanak-kanak dia dan Alisya diletakkan dalam itu. Turut terselit sekeping kad.

Sahabat yang paling aku sayangi... sahabat dunia akhirat, maafkan aku. Maafkan semua yang aku pernah ungkapkan pada kau. Percayalah, aku tidak benar-benar maksudkan begitu. Amarah yang menguasai hati mengaburi otak untuk berfikir dengan logik. Sudikah Syikin maafkan Isya?
Kita kawan baik kan?

Sentiasa merinduimu...
-Alisya-

Tanpa disedari, menitis terus air mata Asyikin. Mestilah! Kita kan kawan baik. Best Friend Forever. Bibirnya mengungkap perlahan.

******
Yang lalu biarkan ia berlalu. Itulah ayat yang diucapkan oleh Asyikin tanda tidak mahu mengungkit apa yang pernah terjadi antara mereka. Baginya cukuplah dia berpeluang untuk bertemu semula dengan kawan baiknya. Ia sudah memadai buat dirinya. Lagipun apa yang terjadi antara mereka hanyalah kisah zaman remaja yang belum matang pemikirannya.

"Kau kahwin pun tak jemput aku ya...," rungutan Alisya hanya mengundang tawa di bibir Asyikin. Wajah Ariff yang sudah tersenyum dipandangnya.

"Kau pun sama jugak!" balas Syikin. Suami Alisya juga ikut tersenyum. Tetapi telahan Asyikin ternyata tidak tepat. Disangkanya Alisya berkahwin dengan Danial dan nyata dia tersilap. Alisya bertemu jodoh dengan sepupu belah emaknya. Sama juga seperti Alisya yang menyangka dirinya berkahwin dengan Danial.

"Habis... Danial kahwin dengan siapa?" soal Asyikin dan Alisya secara serentak.

"Nak tahu juga pasal ex-boyfriend depa!" sindir Ariff sambil memandang wajah suami Alisya yang sudah menggelengkan kepala.

Mereka yang sedang bersantai di salah satu taman mini sekolah, terus saja melepaskan tawa. Hari ini sekolah anak-anak mereka mengadakan hari terbuka. Dari pagi hingga petang ada pengisian dengan pelbagai aktiviti. Jadi bertapaklah mereka di sekolah sambil berbual lama. Melepaskan rindu yang tidak sudah.

"Mama...," suara Ainul dan Amira serentak memanggil mama mereka. Wajah keduanya masam mencuka. Terus saja kerutan lahir di dahi mama-mama mereka. Alisya dan Asyikin berpandangan sesama sendiri. Tidak tahu kenapa kedua-dua puteri mereka menarik muka sesama sendiri.

"Hai... kecik-kecik dah bergaduh. Like mother like daughter...," sindir Ariff dengan sengihan nakal. Jelingan Asyikin hanya melahirkan tawa di bibirnya.

"Kenapa ni sayang?" soal Asyikin. Alisya juga.

"Dia kacau pakwe Ainul!" pulak dah! Asyikin dan Alisya berpandangan dengan sengihan kelat.

"Itu pakwe Mira... dia cium pipi Mira dulu...," tingkah Amira pula.

"Kan abang dah cakap... like mother like daughter...," Ariff makin seronok menggiat. Namun kerutan di dahi Asyikin menunjukkan dia berfikir tentang perkara lain.

"Anak mama ni, kecik-kecik berpakwe pula... siapa yang bagi izin?" tegas kata-kata Asyikin. Ainul sudah memuncung. Marahnya pada Mira belum hilang.

"Siapa budak lelaki tu?" lain pula kata-kata yang lahir di bibir Alisya. Laju saja tangan Amira menunjukkan pada budak lelaki yang segak memakai jeans dan kemeja hitam bercorak stripes.

Mata Asyikin dan Alisya serentak memandang ke arah yang ditunjukkan. Serentak mulut mereka melopong besar. Bukan kerana budak lelaki itu tetapi kerana ayah mereka yang sedang berdiri di sebelah sambil mendukung seorang bayi perempuan yang comel. Suami mereka turut memandang sama.

"Isya... sejarah tak mungkin berulang...," ucap Asyikin yakin.

"Betul tu... never! Tapi... yang itu, like father like sonlah ya...," ucap Alisya tertawa. Mana tidaknya, budak lelaki yang mencium pipi seperti yang dikhabarkan oleh Mira ialah anak Danial Faradzi. Ex-boyfriend dia dan Asyikin.

"Abang pelik betul la...," suami Alisya yang sejak tadi diam, tiba-tiba bersuara. Mereka diam saja menanti butir kata dari bibir lelaki itu.

"Macam mana la anak-anak korang ni... boleh jatuh suka kat orang yang sama, sama macam mama dia orang jugak...," setelah sekian lama tunggu, itu saja yang hendak dikatakan oleh suami Alisya. Ariff sudah menyampuk.

"Aku pun pelik juga. Sekali anak perempuan depa pun suka pada anak Danial Faradzi tu... ".

Alisya dan Asyikin terus tersengih. "Kami kan kawan baik... sedikit sebanyak minat tu mesti sama...," ucap mereka serentak.

"Kita kawan baik kan?" soal Alisya dengan senyuman.

"Eh mestilah!!!" balas Asyikin dengan senyuman mesra.

Sahabat baik dunia akhirat. Berpisah, tidak mungkin wujud dalam kamus mereka. Double A akan sentiasa unggul bersama. Mereka terus tersenyum melahirkan rasa bahagia di hati.



*Selemah-lemah manusia ialah orang yang tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari (Saidina Ali R.A)

Comments

  1. umi, good job! Suka cerita ni...:) dah komen kat p2u tp nak komen gak kat sini sebab best! hehe :)

    ReplyDelete
  2. bes sngt2 ! cedih plk tuh.. smpai nk nanges dh.. suke sngt2 !

    ReplyDelete
  3. huh,best nya.....dh 3kli katam ni
    huhuhu

    ReplyDelete
  4. nice...best la kak...tp 2 la sebab laki selalu akan putus sahabat......sedih3...tp persahabatan yg ikhlas....pasti akan kekal.........

    ReplyDelete
  5. best2. i like it. :)

    ReplyDelete
  6. bagus la cerita ni akak..... sedih lawak smua ade... terbaik la

    ReplyDelete
  7. bagus la cerita ni akak..... sedih lawak smua ade... terbaik la

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia