Skip to main content

Posto Cinta!

Rutin harian hari ini bermula seawal lima pagi. Dia sudah berjanji dengan Mak Pah untuk berpuasa bersama-sama. Sesudah selesai bersahur dengan masakan yang enak hasil air tangan Mak Pah dia terus saja meringankan kaki dan tangan untuk mengemaskan apa-apa yang patut.

“Nana… Mak Pah boleh buat sendiri...,” halang Mak Pah. Namun dia sekadar menarik senyum nipis sambil tangannya meneruskan kerja walaupun dihalang oleh Mak Pah.

“Dah… Nana pergi mandi, nanti lambat pula nak ke sekolah!” Mak Pah sudah memberi arahan untuk memastikan dia beredar keluar dari dapur secepat mungkin. Dia tarik senyum lagi.

“Jangan risaulah Mak Pah… tak adanya mama dengan papa nak marah Nana tolong dekat dapur ni…,” balasnya sambil tersenyum.

“Ada saja jawapan dia… dah, pergi bersiap!” akur dengan kata-kata Mak Pah, dia terus berlalu ke biliknya. Sempat diintai ke arah bilik mama dengan papa yang masih gelap. Masih tidur agaknya.

Tuala di penyidai dicapai dan cermin mata berbingkai hitam ala betty itu diletakkan di atas meja solek. Tanpa membuang masa, dia terus saja mandi dan bersiap. Tepat pukul tujuh dia sudah turun ke bawah.

“Nana… tak breakfast?” suara mama, Puan Suzila kedengaran. Perlahan langkah kakinya dihayun ke meja makan.

“Nana puasa hari ni…,” serentak itu dia dapat menangkap wajah yang mencebik ke arahnya.

“Tak cakap pun dengan mama…,” ucap mama terkejut. Dia menarik senyum lagi.

“Dah cakap dah… mama yang cakap hari ni busy, tak boleh puasa. Papa saksi… betul kan pa…,” suaranya menjadi manja sambil memandang ke wajah papa, Tuan Hamdan. Papanya hanya tersenyum.

“Mama dah makin tua agaknya, tu yang cepat lupa…,” sempat lagi papa mengusik. Panjang tangan mama terus mencubit lengan Tuan Hamdan. Namun suaminya tersenyum senang. Muncung dan jelingan isterinya tidak diambil serius.

“Pa…,” tangan papa dicapai dan disalam. Beralih pada mama pula. Manusia yang berdiam di tepi papa dikerling sekilas.

“Nana gerak dulu…,” dia sudah mengatur langkah. Apabila kakinya sudah sampai ke muka pintu barulah orang itu bersuara.

“Eja pergi dulu…,” dengan lagak penuh sopan orang itu pun mencium tangan papa dan mama. Tanpa menunggu lama, dia sudah masuk ke dalam kereta. Pak Jamal sudah menanti dengan senyuman.

Sampai saja di pintu pagar sekolah, mereka sama-sama melangkah keluar dari kereta. Kereta Toyota Vios yang dipandu oleh Pak Jamal sudah mula bergerak. Dia juga sudah mula mengatur langkah. Namun langkahnya terhenti. Lengannya ditarik kasar.

“Nah!!!” seperti biasa sepucuk surat dihulurkan. Dia menjeling sekilas tidak puas hati. Ingat aku datang sekolah nak jadi posmen surat cinta dia ke?

“Aku malaslah!” balasnya enggan menurut.

“Kau jangan nak mengada-ngada… kau tak ada pilihan melainkan buat!!! Faham!!!” Fariza atau Eja sudah mengeluarkan arahan mandatori.

“Aku malaslah!!!” tolaknya lagi. Nada kali ini lebih kasar.

Serentak itu lengannya dicengkam. Kuat! Berkerut-kerut keningnya menahan sakit.

“Kau terlupa ke? Apa jadi masa kau ingkar arahan dua bulan sudah?” semakin kuat lengannya dicengkam oleh Eja. Keningnya berkerut-kerut menahan sakit.

Memikirkan apa yang telah dilakukan oleh Eja dua bulan sudah, hampir membuatkan dia serik untuk melanggar arahan yang diberikan kepadanya. Pantas saja surat itu dicapainya dengan rasa terpaksa.

“Good girl!!!” kepalanya diusap lembut. Senyuman sinis dihadiahkan. Eja terus melangkah meninggalkan Nana di belakang. Keluhan kecil meniti bibirnya. Entah apalah nasib badannya, dilahirkan untuk jadi kuli cinta buat saudara kembarnya. Kalau tidak dituruti, ada saja bala yang menanti.

Langkah diatur ke kelas 5 Sains 1 dengan hati yang sebal. Sampai saja di kelas, matanya meninjau pada seseorang. Dia sudah ada! Baik aku selesaikan kerja dengan cepat. Kalau tidak, belum sempat panas punggung aku sudah ada yang menjenguk dari tepi tingkap. Siapa lagi, kalau bukan kembarnya, Eja!

Surat tersebut dihulurkan pada si dia dengan wajah tanpa riak. Kening si dia terangkat.

“Hai bertuahnya… pagi-pagi sudah sampai posto cinta!” usik rakan di sebelah. Si dia terus tersenyum sinis.

“Tapi yang tak bestnya, kena terima daripada si gadis muka tak berapa nak siap!” sindir rakan di sebelah yang lain pula.

Dia mengetap bibir. Sudahlah buat kerja tak berguna. Diri aku pula yang kena sindir. Tak guna! Ikutkan hati yang terlalu marah, dia melemparkan surat tersebut dan betul-betul terkena batang hidung si dia. Terus dia berpaling hendak melangkah ke mejanya. Belum sempat pun dia membuka langkah ketiga, lengannya ditarik kasar.

Wajah si dia yang jelas kemarahan singgah di dalam pandangan mata. Matanya merenung tanpa berkelip. Kecut juga rasanya. Dia bukanlah berani mana sangat, tadi pun sebab ikutkan hati yang tengah sakit dengan kutukan mereka yang menjadi rakan baik pada si dia.

“Dah la kau hantar surat bodoh ni pada aku tiap-tiap hari… tanpa paksaan aku kena terima… dan hari ni, suka hati kau je baling kertas bodoh ni kat muka aku. Kau ingat muka aku macam muka kau ke. hah! Muka tak siap… Kau nak muka aku yang kacak ni, jadi macam muka kau ke?” ucap si dia dengan berang. Mata dia masih terkelip-kelip. Pertama kali dia melihat jejaka idaman Eja mengamuk sakan.

“Suka hati akulah!” tanpa perasaan takut dia membalas juga sambil menarik laju lengannya yang dicengkam oleh lelaki itu.

“Amboi… Farhana! Dah pandai melawan cakap hero kelas kita…,” suara teman-teman si dia sudah kembali kedengaran. Nana malas nak ambil peduli. Tugasnya dah selesai. Dia sudah bergerak ke tempat duduknya tanpa mengambil endah ucapan-ucapan yang dilemparkan oleh orang belakang.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, matanya sudah dapat menangkap kelibat Eja yang mengintai-intai melihat jejaka idamannya. Kemudian Eja tersenyum sendiri. Gila! Hanya itu saja yang lahir di benak fikirannya tentang tindakan Eja yang sah-sah seperti perigi mencari timba. Bukannya lelaki itu sukakan dia pun. Eja saja yang perasan lebih dengan lagak seperti primadona dalam sekolah mereka.

Bunyi loceng yang membingitkan telinga benar-benar melegakan hatinya. Dia sudah tidak sabar untuk menghabiskan sesi persekolahan. Bukan kerana dia tidak suka datang ke sekolah, tapi kalau hari-hari kerjanya jadi posmen cinta tak bertauliah, tambahan kena kutuk-kutuk dengan orang belakang, mana nak tahan telinganya. Bengang juga! Makanya… dia sudah tidak sabar hendak tamat belajar tingkatan lima ini.

*******

“Im!!!” pekikan Badrul sudah kedengaran. Imran yang sedang menghadap buku terus saja mengangkat wajah.

Termengah-mengah Badrul apabila berhenti dihadapannya. Badrul menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah tidak sabar hendak menyampaikan berita baru yang dia perolehi.

“Tengok ni…,” sekeping sampul dilayangkan di hadapan mata Imran. Namun wajah Imran masih tidak jelas. Apa tujuan sampul itu?

“Kau cuba teka untuk siapa?” Badrul sudah kembali normal. Dia sudah pun mengambil tempat disebelah Imran. Imran sekadar menjungkit bahu malas.

“Aku malaslah nak main teka-teka. Apa kata kau terangkan saja, sampul tu apa dan untuk siapa,” nak tak nak saja Imran berkata-kata. Dia seperti sudah fobia dengan sampul sekarang ini. Ayat-ayat dan madah cinta, lagi terasa alergi. Mana tidaknya, hari-hari persekolahan dia seperti sudah wajib mendapat sepucuk surat dari Eja dan posmennya Nana. Menyampah gila!

“Untuk Nana…,” bersinar-sinar mata Badrul yang masih melayangkan sampul surat itu. Wajah Imran ditatapnya lama menunggu respon. Nyata, Imran seperti berminat juga.

“Siapa bagi? Ada peminat juga ya muka-tak-siap tu!” lancang saja mulutnya menuturkan kata.

“Budak LK,” Badrul sudah tarik sengih panjang.

“Macam mana kau boleh dapat surat tu?” soal Imran yang sudah menunjukkan minat sedikit.

“Dia bagi kat aku suruh passing kat Nana,” kening Badrul sudah terjungkit-jungkit. Imran seperti dapat meneka apa yang ada fikiran Badrul.

“Selama ni… dia jadi posto cinta kau… apa kata, kau pula jadi posto cinta dia,” ucap Badrul sampai tersenyum-senyum. Imran sudah memandangnya tajam.

“Aku tak ada masa nak buat kerja bodoh ni!” terus saja dia bangun berdiri. Malas nak layan kerja-kerja yang memualkan tekak. Hantar surat cinta? Hello… muka aku ni standard jadi posmen cinta untuk si Nana tu ke? Tolonglah…

“Im!!! Buat jelah… sekali ni saja,” Imran yang baru hendak melangkah memusingkan badan kembali.

“Sekali saja? Kau sure ke sekali saja? Kalau tiap-tiap hari budak LK ni hantar surat cinta, tak ke memualkan tekak aku hari-hari. Rimaslah nak layan benda-benda macam ni…,” Imran sudah mula hendak memulakan langkah. Namun terbantut juga. Badrul sudah menghalang jalannya. Imran pandang saja wajah Badrul tanpa riak. Rasa macam nak kena hempuk juga si Badrul ini dengan aku.

“Tak nak tahu siapa gerangan yang suruh bagi surat ni?” soal Badrul lagi berteka-teki. Imran dah malas nak layan. Ditolak tubuh Badrul ke sisi dan dia mula mengatur langkah.

“Nizam!!!” what! Terbuntang biji mata Imran. Serentak itu tubuhnya dipusing menghadap wajah Badrul yang sudah melebar sengihnya.

“Bak sini surat tu!” wajah Imran sudah memerah. Badrul tersenyum-senyum lagi.

“Bad… sebelum kau kena hempuk dengan aku, bak sini surat tu!!!” marah Imran.

“Tak payahlah. Aku sajalah pergi passing surat ni pada Nana. Biar dia tahu, Nizam budak paling hot di kelas LK, minat dengan dia,” sengaja Badrul hendak bermain tarik tali pula.

“Kau jangan bagi surat tu dekat dia…,” Imran dah makin berasap.

“Kenapa pula? Aku suruh kau bagi… kau tak nak. Sekarang ni biar aku sajalah yang buat kerja tu. Muka-tak-siap jadi igauan jejaka hot LK tu… kalah kau Im, jejaka hot Bio…,” perli Badrul. Dengusan Imran jelas di pendengarannya.

“Kau bagi surat tu sekarang!!!” volume Imran sudah naik dari tahap biasa. Badrul mencebik tidak mahu akur. Sengaja nak seksa jiwa Imran. Tahu pun nak marah-marah. Tadi aku minta tolong, berlagak sangat. Kerja memualkan tekak konon!

“Sebab apa? Biarlah… Nana pun berhak ada peminat tau…,” selamba saja Badrul mengatur langkah hendak meninggalkan Imran. Jegilan mata Imran yang sudah menyala api membara dibuat tidak peduli.

******

Surat di depan matanya dipandang dengan perasaan yang sukar ditafsir. Hai… aku pun sudah ada posto cinta ke? Kalaulah tahu si Eja tu, mahunya dilunyai-lunyai aku. Iyalah… cinta dia masih tak berespon, aku pula dah dapat surat. Eja mana boleh kalau aku lebih dari dia.

Surat yang kesepuluh untuk minggu ini disimpan terus dalam laci. Satu surat pun dia tak pernah baca. Dia dapat, dia simpan. Kenapa tak buang? Erk! Tak sampai hati rasanya nak buang pemberian orang. Aku bukan tak ada perasaan macam jejaka pujaan Eja tu. Ada sekali itu, depan mata Nana dia menghumbankan surat cinta yang diberi ke dalam tong sampah.

Ketukan yang kedengaran di pintu biliknya membuatkan dia menjadi hairan. Sekilas matanya menjeling ke arah jam. Sudah pukul satu malam. Haish! Nak apa lagi entah si Eja ini. Malas-malas dia bangun dari kerusi meja belajar. Pintu dibuka. Seperti yang dijangka Eja dengan wajah angkuhnya singgah di mata.

“Aku tak pergi sekolah esok!” kata Eja.

“So?” malas saja dia menyoal walaupun dah dapat agak sebab apa.

“Bagi surat ni. Kalau aku tau kau tak bagi… siap kau!” dengan hati yang tak rela, diambil juga. Pintu sudah ditutup. Surat diletakkan atas meja. Badannya sudah direbahkan atas katil dan terus terlena.

******

“Nana,” suara Imran memanggil Nana. Terus saja dahinya berkerut. Kenapa lelaki itu panggil dia? Digagahkan juga, dia mengalihkan wajah ke belakang.

“Kau macam lupa something saja hari ni…,” tegur Imran. Dahi Nana berkerut lagi.

“Apa?”

“Surat aku mana?” terus Nana menepuk dahi. Allah! Macam mana boleh terlupa. Tapi pelik pula… tiba-tiba saja orang belakang tu bertanya. Aik! Sudah jatuh hati ke?

“Aku lupa bawa sebab buah hati kau tak sekolah hari ni,” selepas menjawab terus saja dia menghadap buku di mejanya semula.

“Macam mana boleh lupa?” suara Imran sudah dekat. Dia kalih wajah dan terpampang wajah Imran di sebelah. Serius saja wajahnya. Nana sudah makin pelik. Setiap hari aku bagi surat, dia marah. Hari yang aku terlupa nak bawa, soal macam polis pula.

“Terlupa… letak atas meja study,” tanpa memandang wajah Imran, Nana jawab juga soalan dengan jujur.

“Sebab kau tak bawa surat aku, hari ni surat kau akan ditahan,” Nana dapat menangkap surat yang berada dalam tangan Imran. Surat Nizam! Desis hatinya.

“Tak apa tak bagi pun… macam aku kisah sangat. Aku tak ada tanya pun kan… Imran, kau macam lupa something hari ni… ada aku tanya macam tu ke?” sinis saja ayat yang meniti bibir Nana. Imran pula terkulat-kulat. Ingatkan tadi dia dapat mengenakan gadis itu, tetapi dia pula yang terkena. Wajah Nana ditenungnya dalam-dalam dari tepi. Gadis itu buat tidak layan saja. Tak tahukah dia, jejaka paling hot kelas Biologi tengah berdiri sebelah dia dan sedang bercakap dengan dia.

Dengusan Imran mengiringi langkah kakinya ke tempat duduk. Dia benar-benar tidak puas hati. Geram pula sebab Nizam itu beria-ria hendak memikat Nana. Apabila ditanya kepada Nizam apa yang dia nampak pada muka-tak-siap ini, jawapan yang diberi lebih menyakitkan hati. Buat apa pandang pada rupa, aku tahu dia ada keistimewaan dia. Jawapan yang makin membakar jiwa Imran. Matanya tidak lepas pandang Nana walaupun hanya melihat belakang gadis itu.

******

“Kau tak payah bagi surat dah pada Nana,” ayat yang meniti bibir Nizam membuatkan Imran tertanya-tanya. Kenapa? Dia punya bersemangat datang ke kelas LK untuk mengambil surat, alih-alih cakap tak payah bagi surat pula.

“Sebab apa?” terlepas juga pertanyaan itu dari mulutnya.

“Dia dah balas surat aku,” mata Imran semakin membulat. Tak sangka cekap juga Nana tu.

“So… korang dah declare ke?” saja-saja Imran menyoal. Sedangkan hatinya sudah membuak-buak nak tahu tentang hakikat sebenar.

“Dia cakap… kalau ada jodoh, adalah. Dia tak nak bercinta waktu belajar. Dia tak nak aku buang masa mengarang ayat cinta untuk pikat dia. Dia tak nak aku layan sangat perasaan cinta tak kena pada masa. Sekarang masa untuk kejar cita-cita bukannya kejar cinta,” Imran sudah terpaku. Riak wajah Nizam yang begitu tenang membuatkan dia terpegun. Hebat sungguh jejaka hot kelas LK. Langsung tak kecewa dengan jawapan budak muka-tak-siap tu a.k.a posmen cinta aku.

“Kau tak kecewa ke?” soal Imran lagi.

“Buat apa aku nak kecewa. Dia bukan cakap dia tak suka aku… dia cuma tak nak ada apa-apa masa umur sekarang. Lagi dia kata… makin jauh perjalanan, makin luas pemandangan. Dia kata aku boleh pilih perempuan yang lagi lawa dari dia…,” Imran mengangguk-angguk. Sedar diri juga Nana tu ya. Puji Imran sendiri.

“Lagi dia kata…,” dahi Imran sudah berkerut. Amboi… berjela pula amanat yang Nana bagi pada Nizam ni. Ala-ala ucapan perpisahan.

“Dia tak nak kau jadi posmen cinta dia. Dia tak suka menyusahkan orang…,” Nizam mengakhiri kata-katanya dengan senyuman. Imran pula tersenyum kelat. Hai Nana…dalam diam kau sindir aku ya sebab aku tak pernah balas satu pun surat dari kembar dia makanya setiap masa aku akan dapat lagi surat cinta dari si Fariza tu.

“Im…,” panggil Nizam.

“Kau sukakan Nana ke?” soal Nizam menagih jawapan.

“Takkan la aku nak suka muka-tak-siap tu…,” jawab Imran angkuh. Nizam tersenyum lagi.

“Muka-tak-siap. Mata kau ni memang tak boleh pakai. Dia la gadis hot dekat kelas Biologi… kau boleh cakap dia muka-tak-siap. Kau memang butalah Im…,” Imran hanya terpinga-pinga mendengar kata-kata. Apa motif si Nizam cakap macam tu pada aku? Imran bingung.

Gadis hot kelas Biologi? Nana? Aku boleh demam dengar statement tu.

******

Imran pandang saja wajah Nana yang sedang menjamu selera dengan teman baiknya. Apa yang hot sangat Nana tu? Biasa saja aku pandang. Tak rasa kena panahan cinta pun. Selalu dia hantar posto cinta, aku tak rasa berdebar-debar pun. Apa yang si Nizam tu nampak pada Nana ya? Biarpun wajah Nana sudah hilang dari pandangan mata namun belum hilang dari mindanya.

******

“Nah!!!” Nana pandang saja wajah Imran yang menghulurkan sepucuk surat padanya. Dalam hati dah mengucapkan syukur panjang. Akhirnya, dia balas juga surat si Eja tu. Tanpa sebarang kata diambil surat tu.

“Surat tu untuk kau… dari aku,” Imran terus saja ke tempatnya. Nana dah pelik. Surat untuk aku? Sawan ke lelaki ini. Angin tak ada. Ribut tak melanda. Tiba-tiba bagi surat pada aku. Dipandang pada muka depan sampul itu. Tertera ayat yang jelas, ‘POSTO CINTA kepada MUKA-TAK-SIAP daripada JEJAKA HOT KELAS BIO’. Terus saja Nana mencebik. Perasan tak ingat. Jejaka hot? Malas nak melayan terus saja Nana menyelitkan surat tersebut dalam kamus yang biasa dibawa ke sekolah.

******

Bulan silih berganti. Masa yang berlalu begitu dihargai. Peperiksaan penting sudah pun diduduki. Nana sudah menarik senyuman lega. Harapannya sudah dikecapi. Dia sudah berjaya menamatkan pembelajarannya di sekolah. Dia tidak perlu lagi jadi posmen cinta yang seringkali diberikan gelaran bodoh oleh si tukang terima surat. Dia sudah bebas.

Tawaran pengajian yang berbeza dari tempat Eja itulah yang menjadi permohonannya. Ternyata impian yang dikejar selama ini semakin hampir. Langkah demi langkah sudah mendekati impian yang menjadi igauan siang dan malam. Mengejar cita-cita sebelum cinta, itulah yang dikatakan pada Nizam. Nyata Nizam begitu memahami dan akur saja.

Tahun-tahun yang berlalu tidak disedari. Pantasnya masa tak terkejar oleh manusia. Masing-masing sudah bergelar graduan. Masing-masing telah punya pekerjaan. Nana masih berkesempatan untuk berhubung dengan Nizam. Jejaka hot LK. Hatinya tersenyum sendiri. Lelaki itu sudah pun bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi. Kan sudah aku bilang, semakin jauh perjalanan, semakin luas permandangan dan makin banyak juga pilihan untuk dibuat.

“Nana… mai makan nak…,” suara mak Pah memanggil dari bawah.

“Ya mak Pah… kejap Nana turun,” mata Nana menghadap lap top yang terpasang. Tetikus digerakkan untuk menekan butang log out Facebook. Tapi ada mesej baru pula. Dari siapa? Dilihat pada nama empunya diri. Imran! Terus saja dahi Nana berkerut. Lelaki itu bukan ada dalam senarai kawannya pun. Perlahan tangannya membuka mesej yang baru diterima itu.

POSTO CINTA

Imran Azri

Nana!!! Sampai hati kau… tak balas-balas POSTO CINTA aku bertahun lamanya. Dah la tak pernah accept friend request aku.

Terus saja Nana teringat. Posto Cinta yang dia tak pernah baca. Entah ke mana dah menghilang surat tu. Lelaki ni betul ke tulis surat cinta pada aku? Pelik pula. Part tak terima friend request, memang dia sengaja. Entah, sebab tak rasa nak accept. Jadi Nana buat tak layan sajalah. Kejam sangat ke tindakan tu.

Tangannya perlahan juga menekan reply. Mesej ditaip.

POSTO CINTA

Farhana Hamdan

Aku tak pernah baca pun surat kau tu. Apa yang kau tulis? Penting sangat ke? Cakap jela kat sini. Aku bukan saja tak nak accept friend request kau, tapi aku rasa macam tak perlu! Salah ke?


POSTO CINTA

Imran Azri

Ya Allah… Nana, kenapa kau jujur sangat!!! Habis terluka jiwa raga aku dengar kau cakap macam ni. Kau dah buang ke surat yang aku bagi tu? Pergilah cari Nana… baca, then reply. Nana… kau nak jujur sangat dengan aku pun cover la sikit. Kecik hati aku… :(

Nana sudah pun melepaskan tawa di mejanya. Padan muka! Dia tak ingat macam mana dia punya jujur cakap muka-tak-siap pada aku. Masa itu ada dia fikir tentang kecik hati aku. Surat? Alahai… macam aku tak ada kerja lain kan nak pergi selongkar balik barang-barang lama dalam stor tu semata-mata untuk surat Imran ni. Mesej dibiarkan tidak berbalas. Dia terus saja mengatur langkah menuju ke bawah.

******

Sampul yang jelas sudah kekuningan berada di depan matanya. Sudah ada bintik-bintik juga. Berapa tahun dah? Fikirnya sendiri. Jarinya mengira. Sekali mulutnya terlopong. Dashyat juga, 8 tahun simpan surat tak baca. Nasib baik aku ingat mana aku letak surat dia. Elok saja surat itu terselit dalam kamus kegemarannya yang disimpan dalam kotak dekat stor.

Sampul surat yang tertera ayat yang sama seperti 8 tahun dulu dikoyak perlahan. Surat di dalamnya dikeluarkan. Tulisan tangan Imran yang cantik berbunga membuatkan Nana tersenyum. Cantik juga tulisan lelaki itu ya. Dia duduk bersandar di kerusi. Mencari posisi yang selesa nak baca surat.

Kehadapan Saudari Farhana/muka-tak-siap.

‘Apa gaya buat surat macam dalam periksa saja!’ Nana sudah melepaskan tawa. Diteruskan bacaan pada barisan kata-kata seterusnya.

Aku tak pandai nak susun ayat bunga-bunga. Lagi-lagi dengan kau Nana. Jadinya, terus terang saja aku cakap… aku teringin nak berkawan dengan kau. Kalau kau sudi, tolong jawab surat ni.

Yang mengharap,

JEJAKA HOT KELAS BIO.

Nana sudah siap menepuk dahi. Semata-mata untuk ayat pendek ini, disuruhnya aku cari balik surat. Ikutkan rasa hati, hendak saja dihempuk kepala Imran itu. Apa salahnya dia cakap saja dalam mesej FB tadi. Eeiii… bikin gua geram saja! Bebel Nana sendiri.

Apa standard hantar Posto cinta pakai ayat standard macam ni? Patutlah… Nana seakan teringat kembali. Imran ada memberikan surat balasan untuk Eja dan selepas itu terus saja Eja dah tutup mulut bercakap pasal Imran. Setakat sandang gelaran Jejaka paling Hot tapi ayat piawai romeo pun tak reti, baik tak payah. Terror lagi Nizam dalam nak mengarang ayat-ayat cinta.

Surat yang dipegang itu diletakkan ke tepi. Namun ada sesuatu yang menarik pandangannya kembali. Masih ada coretan di muka sebelah lagi. Nana terpaku bila matanya mula berlari pada bait-bait yang tercoret atas kertas itu.


Dari jauh aku memandang

Cuba mencari apa istimewanya kau

Gadis muka-tak-siap

Lama aku mencari

Nyata pencarian ini bukan semudah yang aku sangka

Tapi… berbaloi juga

Aku jumpa… apa istimewanya Farhana Hamdan

Kau bukanlah gadis muka-tak-siap

yang seringkali menjadi bahan usikan aku

Kau punya aura yang tersendiri

Kadangkala mampu membuatkan aku tersenyum jua

Aku bukan nak bercakap soal cinta, hati dan perasaan

Jauh sekali nak mengajak kau berkasih sayang di alam remaja ini

Tapi… sekadar nak mengkhabarkan rasa hati aku

yang seakan sudah terpaut pada peribadimu

Akhirnya aku kena mengaku juga,

Kau memang Gadis Hot kelas Bio.

POSTO CINTA ini ditujukan khas buat kau.

Aku akan menanti balasan. Tak kira berapa lama.

Asal kau sudi balas.

P/s: Aku bukan Jejaka Hot Kelas Sastera yang pandai nak mengarang sajak bagi sama rima akhir. Ini main bantai tulis saja. Harap kau tak kisah.


Nana yang mulanya diam terpaku melihat coretan itu. Gadis paling Hot Kelas Bio? Tawanya terlepas juga. Lama-kelamaan makin kuat memenuhi ruang biliknya. Gila! Terlintas dalam fikiran Nana.

Matanya menghadap lap top yang sudah siap terpasang. Mesej dari Imran dibuka kembali. Posto Cinta ditekan. Nana sudah tersenyum sendiri. Gelak sakan dia setelah membaca surat Imran.

POSTO CINTA

Farhana Hamdan

Hai… Jejaka hot kelas Bio, gelak besar aku baca surat kau. Berani-berani kau ya… simpan perasaan pada gadis hot kelas Bio. Sekarang pun masih sama ke atau dah jumpa orang baru?

p/s: Boleh tahanlah sajak yang kau karang walaupun rima akhir agak tak berapa kena. HAHA.

Tanpa menunggu lama, dia sudah mendapat reply.

POSTO CINTA

Imran Azri

Tujuh hari tujuh malam aku karang sajak tu. Kisah apa aku kalau tak kena rima akhir, asal sampai mesej aku dengan jelas sudah. Sebelum aku bagi jawapan, sila kau sahkan diri kau masih single sekarang. Bukan tunang orang apatah lagi bini orang. Kalau dah pegang status tu… aku tak mau kacau. Buat tanggung dosa saja.


POSTO CINTA

Farhana Hamdan

Aku masih single. Eja sorang je dah tunang dengan jejaka HOT university dia. Kau tak kecewa ke? Eja mati-mati minat kau, alih-alih kau suka kat adik dia pula. Kalau dia tahu, mau menangis berbaldi-baldi.


POSTO CINTA

Imran Azri

Dah-dah. Kau jangan nak menyimpangkan topik aku hari ni. Bukan senang aku nak bermesej dengan kau ni. Memandangkan kau tengah single dan aku pun tengah cari calon menantu untuk mak aku, jadinya aku nak ajak kau kahwin. Sorry la… straight forward sangat. Kau setuju tak?


POSTO CINTA

Farhana Hamdan

Hoi mangkuk! Macam ni je kau ajak aku kahwin. Datanglah rumah, beradab sikit. Haish!!! Apa la…


POSTO CINTA

Imran Azri

Hehe… okay… okay. Sebelum tu aku nak tanya, kau setuju dengan hati yang ikhlas ke nak kahwin dengan aku?


POSTO CINTA

Farhana Hamdan

Mama aku cakap, kalau nak cari laki… cari yang sayang betul-betul pada kita. Kau sayang aku kan? aku baca surat kau tadi, terharu la juga. Tak sangka… kau suka juga pada aku yang muka-tak-siap ni. Tapi kau jangan pandai-pandai nak buat spekulasi yang aku minat kau dari dulu… aku tak ada masa nak fikir pasal tu semua, sebab aku tak berapa minat. Tapi tak sampai tahap tak suka kau langsung. Perasaan tu equal je untuk semua. Ada faham?


POSTO CINTA

Imran Azri

Sangat faham!!! Terima kasih banyak-banyak. Kau pun tak perlu risau, aku memang sayang kat kau. Pendam perasaan lama ni. Dahlah aku terseksa gila, kau tak reply surat aku. Sekarang dah dapat… aku tak terfikir nak lepas dah. Kau mesej alamat rumah dengan nombor telefon. Benda baik tak elok dilengah-lengahkan… :)


Nana sudah menarik senyum. Apa sajalah Imran ini. Boleh pula kan dia main ajak kahwin pakai Facebook. Kalau pergi cerita pada mama mesti terlopong besar orang tua tu. Tapi dalam fikiran Nana sudah muncul lagi satu persoalan, kenapa setelah lapan tahun baru Imran itu kembali nak menuntut jawapan.

******

Majlis perkahwinan Fariza dan Farhana berlangsung serentak. Seperti yang Nana jangka, kakak kembarnya terkejut besar bila Imran masuk meminang. Tapi, dia tak adalah hairan mana sangat sebab tunang dia lagi Hot katanya. Nana malas hendak berbalah panjang-panjang. Apa yang hot sangat pun dia tidak tahu.

Wajah Imran yang sedang mesra melayan tetamu ditatapnya lama. Setelah lapan tahun bersua kembali. Lelaki itu dah banyak berubah. Sudah makin matang. Imran sudah pun memandang ke arahnya sambil tersenyum. Nana terus saja tersenyum senang. Dia tidak pernah bercinta dengan Imran sebelum, tapi rasanya perasaan bahagia itu sudah menyelinap dalam jiwanya.

“Jom Nana…,” tangannya sudah ditarik oleh Imran. Keningnya dijungkitkan bertanya. Namun hanya senyuman diberikan sebagai jawapan.

“Nak ambil apa dalam bilik?” soal Nana sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam biliknya. Imran hanya tersenyum. Tangannya diseluk ke dalam saku. Sekeping surat dihulurkan pada Nana. Nana ketawa kecil.

“Posto cinta lagi ke?” disambut juga surat yang dihulurkan padanya.

“Posto cinta buat isteri yang abang kasihi,” Nana hendak membuka namun apabila teringatkan sesuatu dia kembali menutup kertas itu. Imran pula yang mengerutkan dahi.

“Kenapa?”

“Nana nak tanya… kenapa lepas dah lama baru abang mesej Nana tanya pasal posto cinta zaman sekolah yang abang bagi tu. Selama lapan tahun ni… tak pernah pun abang mesej nak tanya pada Nana…,” soalan yang terfikir sejak dia diajak kahwin oleh Imran terluah juga.

“Oh… yang tu,” Imran berhenti sekejap dan mula tersenyum. “Masa Nana tak reply, abang ingat Nana dah serius dengan Nizam. Tapi, baru-baru ni abang dapat tau… Nizam dah bertunang dan girl tu pula bukan Nana… abang takkan nak tunggu lagi. Tambah pula Nizam bagi tahu yang Nana masih single… so, kena la cepat-cepat mulakan langkah,” terang Imran sambil menggengam erat jemari Nana.

“Tapi kalau Nana dah ada orang lain?” duga Nana.

“Nana dah orang lain… abang cari orang lain. Takkan sebab Nana dah ada orang lain, abang nak kena jadi Devdas pula kan… abang pun nak juga ada keluarga bahagia,” Imran sudah melepaskan tawa apabila Nana mencebik.

“Abang memang tengah cari calon masa mesej dengan Nana?” soal Nana lagi.

“Banyak pula soalan isteri abang ni ya…,” perli Imran. Tapi dijawab juga pertanyaan Nana. “Memang tengah cari calon… jadi abang punya survey pertama, kenalah orang yang abang sayang kan… dah orang tu single, abang masuk line terus,” Nana sudah terangguk-angguk. Berpuas hati dengan jawapan yang diberi.

“Tak nak baca ke, posto cinta dari abang…,” Nana sudah hampir terlupa. Perlahan dibuka kembali surat yang berada ditangannya. Isi kandungan surat dipandang silih ganti dengan wajah Imran. Tanpa menunggu lama, dia terus berada dalam pelukan suaminya.

“Terima kasih bang,” ucap Nana.

“Sama-sama kasih,” balas Imran.

Posto cinta dari suami buat isterinya,

Seindah namamu sayang, gembirakanlah hati kekasihmu ini.

InsyaAllah, Imran akan sentiasa membahagiakanmu.

Imran sayangkan Farhana kerana Farhana adalah rusuknya.

p/s: Sorry la abang bukan budak sastera… abang tak reti nak buat ayat bunga-bunga nak bermadah dengan isteri abang. Harap sayang tak kisah ya… :)


-cerita yang sangat cliche. tapi... semoga anda terhibur ya :)

Comments

  1. alahai..
    tamau wat sambungan ke

    ReplyDelete
  2. terbaik ah!
    x sangka ada gak citer gini..
    mula2 biase je,tp makin lama makin best..
    gua bg .. 5 bintang!!!

    ReplyDelete
  3. bezz gilerr...tp part mula2 cam b0hsan sikt..
    ape2 0k arr..x kann nx sern0k jerr kan..
    ^_^

    ReplyDelete
  4. Idea umi sentiasa lain dar yang lainlah. Awesome!!!!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia