Skip to main content

Cerpen: Kerana Cinta [Part 1]


BATU-batu yang dikutipnya sepanjang dia melalui gigi air tadi, dilemparkan terus ke dalam air. Kuat kedengaran bunyi air berkocak. Sekuat kocakan hatinya di saat ini. Biarpun begitu, dia redha. Jika inilah ketentuan oleh Dia, maka dia harus redha. Kerana dia yakin, takdir dan ketentuan Ilahi pasti ada hikmah disebaliknya.
            Pandangannya jatuh terus ke arah ombak yang sedang menderu menyembah muka pantai. Bunyi itu sangat menenangkan jiwanya. Lantas kaki terus dihayun mendekati air. Seluarnya sudah separuh basah dipukul air. Namun, dibiarkan sahaja. Dia sudah tidak kisah.
            “Ana… maafkan Reza.”
            Air mata Reza sudah jatuh membasahi pipi. Hari ini merupakan hari bahagia Ana. Selamat sudah Ana dinikahkan dengan Faisal. Reza sedar, dia bukanlah pilihan Ana sejak dari hari dia membuang gadis itu daripada hidupnya. Dia sedar, dia sudah melakukan kesilapan yang tidak dapat diubah kembali. Untuk menyesal, sudah terlambat. Apa yang dia mampu, adalah mendoakan kebahagiaan Ana. Ya, dia pasti akan lakukan itu! Ana berhak untuk bahagia.

“ANA minta maaf Reza… Ana tak boleh pilih Reza walaupun Ana tahu, Reza ikhlas.” Berubah terus riak wajah Reza pada ketika itu. Masih segar lagi dalam mindanya, bagaimana suara halus yang menyuarakan penolakan terhadap dirinya itu. Kecewa hati ini apabila Ana lebih memilih untuk menerima Faisal yang baru dikenali daripada dirinya.
            “Kenapa?”
            “Dia terima Ana walaupun dia tahu, Ana tak seistimewa orang lain. Dia terima Ana dengan gelaran ‘kotor’ yang Ana bawa ni tanpa sebarang soalan… dan dalam hati ini, sudah terukir nama Faisal. Maafkan Ana, Reza… Ana doakan, Reza bahagia.”
            Reza melepaskan keluhan panjang. Kata-kata itu sudah terpahat kukuh di dalam hatinya. Dalam pada kecewa, dia harus merelakan keputusan Ana. Dan kini, sudah setahun berlalu. Ana sudah bahagia dengan pilihannya, dan dia… masih begitu. Menyendiri!

*****
“IBU, nampak tak kunci Reza?” pagi-pagi lagi suara Reza sudah berkicau. Ibu yang sedang elok menghidangkan sarapan pagi di atas meja makan, terus sahaja bercekak pinggang. Jelingan tajam dihadiahkan buat anak bujangnya itu. Tidak sudah-sudah lagi dengan babak ‘lupa letak kunci di mana’. Hari-hari pun adegan yang sama juga!
            “Reza ni, kalau sehari tak menyusahkan telinga ibu dengan soalan yang sama, tak boleh ke?”
            Reza sudah tersengih lebar. Hampir dia terlupa akan amaran yang diberikan oleh ibunya semalam. Tapi sudah terlajak bertanya, hendak buat macam mana. Sengih sudah!
            “Tolonglah ibu… kali ni yang terakhir. Lepas ni, Reza takkan tanya dah…” janji Reza separuh rela. Sedangkan hatinya dapat menjangka, esok dia pasti akan tercicir lagi kunci kereta Protonnya. Entah kenapa, semakin hari, semakin kuat pula penyakit pelupa menghantui dirinya.
            “Kali yang terakhir ni, dah seratus lebih kali ibu dengar! Tapi tak akhir-akhir jugak… memang patut ibu kahwinkan kamu ni Reza. Biar bini kamu pulak yang pening melayan soalan mana kunci tiap-tiap hari,” bebel ibu yang sudah mula melangkah ke dalam bilik Reza. Hendak mencari kunci di situ.
            Reza pula hanya tersenyum pedih mendengar omelan ibu. Kahwin? Akan terjadikah perkara itu? Keluhan mula terbit di bibir. Perasaan bersalah sudah mula menjalar hati. Kesal kerana dirinya masih tidak mampu memenuhi hasrat ibu yang satu itu.
            “Reza minta maaf ibu.” Reza sudah mencapai tangan ibu dan mengucupnya penuh kasih. Penuh makna ucapan maaf itu dan dia yakin, ibu faham akan katanya. Kunci sudah beralih tangan dan seraut wajah ibu yang makin dimamah usia ditatap lama. Senyuman yang bergayut di bibir ibu itu hanya menambahkan resah di dalam jiwa.
            Maafkan Reza. Ucap hatinya pilu.

BAJU kurung merah jambu yang tersarung di tubuhnya, dibetulkan berkali-kali. Wajahnya ditelek lagi pada cermin gedabak yang memenuhi ruang bilik itu. Senyumannya terus melebar saat segalanya dilihat rapi. Cantik! Pujinya sendiri sambil tertawa kecil.
            “Amni!!!” laungan nama dengan volume yang agak menggerunkan jiwa itu pantas sekali mematikan senyuman di bibirnya. Aduh! Sakit kepala…
            “Ya mak cik!” sahutnya kuat juga.
            “Mana kau ni, tak reti-reti nak turun! Dari tadi bersiap, tak sudah-sudah lagi!!!” Jeritan itu mula bergema dalam rumah teres dua tingkat milik Mak cik Ramlah. Amni mula menelan liur. Bimbang jika Mak cik Ramlah naik berang, habis tenaga Amni akan dikerjakan nanti. Lantas, dia sudah mencapai beg tangan berwarna hitam di atas katil dan bergegas keluar dari bilik yang dihuninya selama tujuh tahun ini.
            “Maaf mak cik… Amni lambat,” ucap Amni dengan harapan dapat meredakan kemarahan Mak cik Ramlah.
            “Itu ajelah jawapan kau… dah lambat, minta maaf!” marah Mak cik Ramlah. Amni menelan liur sahaja. Tidak berani untuk bersuara lagi. Kakinya sudah ikut melangkah keluar dari rumah. Tanpa kata, dirinya sudah mengambil tempat di tempat duduk penumpang.
Beginilah rutin hariannya. Setiap hari Mak cik Ramlah akan menghantarnya ke pejabat. Waktu balik juga, Mak cik Ramlah yang akan menjemputnya. Hidup menumpang di rumah mak ciknya ini selama tujuh tahun sudah membuatkan dia terbiasa dengan apa sahaja yang dimuntahkan dari mulut wanita di sisinya ini. Tidak timbul istilah berkecil hati dalam diri Amni sementelah dia sedar kedudukannya sebagai menumpang dalam rumah Mak cik Ramlah. Biarlah mak cik marah, cukup kalau dia masih mempunyai tempat untuk berteduh.

SEBAIK sahaja kereta Toyota Vios yang dipandu Mak cik Ramlah berhenti di depan bangunan 29 tingkat itu, Amni bergegas menanggalkan tali pinggang keledar. Tidak mahu dimarah lagi kerana lambat. Namun, belum sempat dia melangkah keluar dari kereta, tangannya ditarik oleh Mak cik Ramlah.
            “Kenapa mak cik?” soal Amni pelik.
            Wajah Mak cik Ramlah sudah terpalit senyuman manis. Senyuman yang jarang sekali Amni lihat kecuali jika anak Mak cik Ramlah, Zatilhusna, pulang ke rumah pada cuti semester. Zatilhusna kini sedang menuntut di Universiti Glaslow dalam bidang perubatan. Bakal doktor tu! Lagi sebulan sahaja dia akan menamatkan pengajian dan pulang semula ke Malaysia.
            “Itu…” mulut Mak cik Ramlah sudah mengunjuk ke arah seseorang. Amni turut mengalihkan pandangannya. Keningnya bertaut.
            “Kenapa?” soal Amni. Dia tidak faham!
            “Aku berkenan betul dengan budak tu…selalu nampak dia pagi-pagi. Nampak segak… macam jawatan tinggi pun ya jugak.” Pujian Mak cik Ramlah membuatkan Amni membuntangkan mata. Tidak mungkin??? Takkanlah Mak cik Ramlah sudah bermimpi menamatkan zaman jandanya setelah 15 tahun berpisah dengan bekas suaminya?
            “Err… mak cik, betul ke…” belum sempat Amni menghabiskan ayat, Mak cik Ramlah sudah memotong.
            “Nampak padan dengan Zatil.”
            Kali ini Amni sudah menarik nafas lega. Hampir sahaja dia mengandaikan yang bukan-bukan tentang mak ciknya ini.
            “Memang padan pun.” Komen Amni sekilas pandang ke arah pemuda tadi. Bibirnya sudah tersenyum.
            “Bujang lagi mak cik, elok sangatlah tu mak cik padankan dengan kak Zatil,” tambahnya lagi.
            “Bagus! Sekarang ni… kau tolong aku selidik pasal dia. Lagi sebulan Zatil nak balik dah, elok sangatlah tu… aku boleh kahwinkan budak tu.”
            Selidik??? Amni sudah menggaru kepalanya yang berbalut pashmina itu. Err… selidik?
            “Selidik yang macam mana tu mak cik?” soalnya dengan lagak bendul.
            “Selidiklah!!! Takkan tu pun aku nak kena ajar… kau ni takkan tak reti benda mudah macam tu!!!” suara Mak cik Ramlah sudah meninggi. Panas hatinya dengan sikap dungu si Amni ini. Suruh selidik pasal budak lelaki itu pun susah. Kerja dalam bangunan yang sama juga. Dia sudah melepaskan dengusan kasar.
            “Baiklah mak cik… nanti Amni cuba,” balas Amni takut-takut.
            “Cuba apanya??? Kalau kau tak boleh selidik pasal dia, jangan mimpi nak menumpang dalam rumah aku dah!” ugut Mak cik Ramlah.
            Terus Amni menjadi kalut. Kalau tidak tinggal dengan Mak cik Ramlah, dengan siapa yang dia hendak bergantung harap? Paksa rela, Amni bersetuju juga dengan cadangan Mak cik Ramlah. Dengan langkah yang berat, kakinya sudah mula bergerak meninggalkan kereta berwarna putih itu.
            Kenapalah Mak cik Ramlah suka menyeksa jiwa aku dengan cara ini? Keluh Amni dalam hati.

“GOOD morning Reza…” Reza tersenyum nipis membalas senyuman Fadhilah yang sedang berdiri di kaunter penyambut tetamu. Pagi-pagi lagi sudah bergosiplah tu! Tuduh hatinya sendiri. Namun segera dia beristighfar, sedar bahawa kita tidak boleh bersangka buruk dengan orang. Pengalaman lalu banyak memberikan pengajaran buat dirinya. Biarlah segala yang terjadi dapat memberikan perubahan ke arah kebaikan bagi dirinya mahupun orang lain.
            “Encik Reza… hari ni kena turun site ya.” Baru sahaja punggungnya mencecah kerusi yang empuk dalam pejabat itu, suara Haslina sudah mula kedengaran. Senyuman manis di bibir gadis kelahiran Terengganu itu dibalas juga walaupun hatinya sudah berbolak-balik untuk turun ke site.
            “Thank you Has… I akan ingat. But, in case I lupa, you ingatkan semula ya.”
            Haslina sekadar mengangguk dan berlalu ke mejanya.
            Tangan Reza sudah mula menghidupkan komputer di atas meja. Sejak dinaikkan pangkat ini, tugasnya makin bertambah. Dari satu menjadi dua. Penat badan dan fikiran apabila hendak memastikan segala urusan berjalan dengan lancar. Makin tinggi jawatan, makin besar tanggungjawab yang harus dilaksana.
            Sedang tangannya mulai ringan menyelak fail di atas meja yang elok tersusun untuk disemak, matanya tanpa sengaja mendarat pada sejambak bunga di atas meja kopi. Keluhan panjang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat pun, nama Haslina dilaungkan. Terkocoh-kocoh Haslina berlari masuk ke bilik ketuanya.
            “Kenapa encik?”
            “Get the bouquet out from my room!” tegas Reza berkata.
            Haslina pula mengeluh. “Tapi encik, dia dah susah-susah datang hantar…”
            “Susah ke, senang ke… I don’t like it! You please make sure, that I will never receive such thing again.” Terus Reza menghalakan pandangan kembali pada fail. Dia tidak mahu memanjangkan bicara pada topik yang tidak disenangi. Haslina pula seakan mengerti dengan reaksi itu, terus sahaja mencapai jambangan bunga segar yang terletak di atas meja itu dan berlalu keluar.
           
“ENCIK Reza???” Amni mengangguk.
            “Encik Reza???” sekali lagi Amni mengangguk.
            “Yang kau ni, sibuk sangat nak selidik pasal Encik Reza untuk mak cik kau tu kenapa? Macamlah bagus sangat dia melayan kau, sampai kau nak berbudi dengan dia! Lebih baik kau keluar aje dari rumah tu, daripada terus jadi hamba abdi dekat sana.” Penuh emosi Murni melahirkan rasa hati.
            “Kau ni… aku hidup dengan aman dan tenang dekat rumah tu. Dia jaga aku elok apa… cukup makan pakai.” Amni mempertahankan Mak cik Ramlahnya. Namun Murni sudah mencebik.
            “Jaga elok apanya… dia tu, sebenarnya nak kawal hidup kau. Pergi mana-mana pun dia hantar… kenapa? Sebab dia tak nak kau bebas dari konkongan hidup dia… kenapa kau ni dungu sangat Amni?” marah Murni. Dia mendengus keras. Geram pula dengan sikap Amni yang terlebih bendul tidak kena dengan gaya. Turutkan sangat cakap mak ciknya itu. Sedangkan dia tidak sedar, dirinya itu sedang digunakan.
            “Kau ni… bagus apa dia hantar aku ke mana-mana. Terjaga pergaulan aku, tak adalah aku kena kacau dengan kutu rayau ke, apa ke…” dengan bendul juga Amni membalas ayat Murni.
            Rakannya itu sudah menarik jeling panjang. Malas!
            “Daripada aku buang air liur, bercakap dengan kau… baik aku sudahkan kerja aku ni.” Murni terus sahaja bergerak ke mejanya yang terletak bersebelahan meja Amni. Masuk tahun ini, sudah empat tahun dia dan Amni bekerja sebagai kerani di syarikat pembinaan ini. Dengan kelulusan SPM setakat boleh terapung sahaja, ini yang termampu. Daripada tak ada kerja langsung, baik ada.

AMNI sudah mula menggaru-garu kepalanya. Buntu habis dia memikirkan cara. Kenapa bagi orang lain, mudah sahaja untuk melakukan kerja selidik ala-ala spy ini? Seminggu sudah berlalu dan dia masih lagi memikirkan cara bagaimana dan pada siapa yang harus diselidik perihal Reza di tingkat 17 itu.
            “Yang kau ni, dah macam cacing kepanasan aje aku tengok. Kenapa?” soal Murni yang baru sahaja sampai dari kafeteria. Bungkusan nasi dan air milo panas yang dipegangnya diletakkan di sisi meja.
            “Mak cik aku dah bising, tanya apa yang aku dah selidik pasal Encik Reza tu…” luah Amni dengan kalut. Mungkin disebabkan otak slow inilah Mak cik Ramlah selalu marah akan dirinya. Tapi nak kata slow, tak adalah slow sangat. Otak ini masih lagi dapat berfungsi dengan baik.
            Murni mendengus kecil. “Tak sudah-sudah lagi…” balasnya tidak berminat.
            “Pelik betullah aku dengan mak cik kau ni… yang nak kahwin tu, anak dia. Pandai-pandailah selidik sendiri…” sambung Murni.
            “Tolong aku Murni… aku tak reti!”
            Murni menjeling ke arah Amni yang sudah mencapai lengannya. “Kau ni… aku cakap bendul, marah! Aku nak cakap bodoh, aku pun bukan pandai mana… takkanlah setakat nak selidik head of deparment pun susah? Ramai orang kenal dialah. Tak ada susah mana pun nak buat kerja ni… pergi aje tingkat 17 tu. Berdiri dekat kaunter pertanyaan dan tanya… detail pasal Encik Reza.”
            “Betul jugak kan…” dengan bendulnya, Amni mengiakan sahaja.
            Murni sudah menepuk dahinya laju. “Kau ni… kenapalah macam ni!!! Takkanlah kau nak pergi berdiri dekat kaunter pertanyaan semata-mata untuk selidik pasal hal Encik Reza…” marah Murni. Kalau bendul tu… bendul juga. Orang cakap apa pun, dia nak iyakan sahaja.
            “Habis?”
            “Pergi dekat tingkat 17, carilah orang yang sesuai… yang mana kau agak boleh bagi kerjasama yang baik. Terangkan pasal hal mak cik kau ni, mesti ada seseorang dekat atas tu boleh tolong punyalah… kau jangan nak buat bendul pergi tanya dekat kaunter macam yang aku cakap. Aku tak nak mengaku, aku kerja sekali dengan kau!”
            Serius sekali suara Murni. Namun Amni sudah tersengih. Dia tahu, walau macam mana sekalipun marah Murni, gadis itu tetap ikhlas berkawan dengan dirinya.

“IBU encik tak ada nak carikan calon isteri ke?” soalan Haslina itu membuatkan mata Reza mendarat ke wajah gadis itu. Pelik dengan bunyi soalan dan tidak faham apa motif soalan itu ditanyakan.
            “Kenapa you tanya?”
            Haslina sudah terdiam seketika. Err… bagaimana dia boleh terlepas kata?!
            “Tak ada apalah encik… saya saja tanya. Dekat sinikan ramai calon, encik tak berkenan ke?” soal Haslina dengan sengih tidak menjadi. Makin tidak kena senyuman itu apabila renungan Reza menjadi tajam lagak singa hendak menerkam mangsa. Aduh! Salah topiklah pula.
            “Rasanya you lagi kenal I daripada orang lain dalam deparment ni… kenapa you suka tanya soalan yang boleh sakitkan hati I?” soal Reza serius.
            Haslina menelan liur. “Saya cuma nak bos saya bahagia.” Jawabnya tanpa sedar. Sekali lagi, renungan Reza mencerlung ke wajahnya.
            “I memang bahagia!” serentak itu, fail di pegangan Reza dihempas laju atas meja. Tanpa kata, lelaki itu sudah bergerak keluar dari bilik pejabat itu. Haslina pula sudah meluku dahinya perlahan.
Kenapa mulutnya sangat tidak berinsurans hari ini sehingga membangkitkan topik yang tidak Reza sukai? Tapi… dia cuma hendak menolong. Gadis yang bernama Amni dari tingkat tiga begitu gigih hendak mengetahui perihal Reza darinya. Dan dia juga dengan besar hati nak tumpang sekaki jadi agen cari jodoh yang tidak bertauliah buat waktu itu. Tapi... tidak kena dengan situasilah pula!

PINGGAN yang berisi nasi itu dipegang kejap sambil matanya melilau hendak membuat pilihan lauk. Sudah hampir beberapa minit berlalu, namun Amni masih tegak berdiri di situ. Entah kenapa, hari ini dia jadi buntu pula hendak makan apa. Sedang dia berfikir sama ada hendak mengambil ikan atau ayam, terasa bahunya tertolak ke depan. Aduh! Spontan suaranya terkeluar sedikit kuat.
            “Maaf ya cik… tak sengaja.” Terus Amni berkalih ke sisi melihat pemuda yang sedang melangkah ke kaunter bayaran. Alamak, melepas! Reza yang terlanggarnya tadi. Kan bagus kalau dia boleh bertanyakan terus dengan Reza, tanpa perlu menggunakan perantara.
            Masih jelas lagi di telinganya suara Haslina yang terketar-ketar menyatakan supaya dia melupakan hasrat untuk menjodohkan Reza dengan kak Zatil. Hurm… makin susahlah pula kerja ini. Di rumah, tidak usah cerita. Mak cik Ramlah hari-hari mengulang soalan yang sama bertanyakan ‘bakal menantu aku tu macam mana orangnya?’ Naik pening kepala Amni hendak merangka jawapan agar tidak dimarahi dengan sewenangnya.
            “Amni… kau ni, mengelamun apa lagi? Cepatlah ambil lauk. Waktu lunch tak tunggu kita tau… kalau masuk lambat, dah ada murai yang berkicau!” teguran Murni menarik semula Amni ke alam realiti. Lantas dia mengeluh sahaja sambil memikirkan apa yang harus dilakukan selepas ini.
            Sedang dia hendak melangkah ke kaunter, matanya sempat menangkap tubuh sasa milik Reza yang masih mencari tempat duduk. Maklumlah, waktu tengah hari, kedai makan sentiasa penuh. Mujur orang yang berjawatan tinggi macam Reza itu tidak kisah bersesak begini. Fikirnya sendiri.
            Selesai membuat bayaran, Amni sudah bergerak ke tempat biasa yang menjadi pilihannya dan Murni. Namun, langkahnya menjadi kaku tiba-tiba apabila melihat siapa yang sedang menjamu selera bersama di meja itu. Err…
            “Aku yang ajak Encik Reza dengan Tuan Bakar duduk sekali. Dah tak ada tempat kosong dekat sini…” jelas Murni tanpa disuruh.
            Teragak-agak sahaja Amni melabuhkan punggung di sisi Murni dan berhadapan dengan Reza.
            “Kawan awak ke Murni?” ramah mulut Tuan Bakar bertanya. Amni tersenyum kecil, tidak bersuara. Membiarkan sahaja mulut Murni bercakap tentang itu dan ini. Nampak seakan sudah kenal lama. Sedang asyik mereka berbual, barulah Amni tahu bagaimana Murni boleh kenal dengan semua petugas-petugas tingkat atas. Terlupa pula dia, Murni kan businesswoman. Memang popular sungguh sahabatnya itu dengan biskut jejari oat yang begitu hebat rasanya.
            “Amni… Tuan Bakar tanya kau tu?” tersentak Amni apabila siku Murni mengenainya lengannya. Dia terpinga-pinga.
            Murni pula sudah menggelengkan kepala melihat tingkah Amni. Reza yang berhadapan dengan Amni tersenyum kecil. Gadis yang lebih banyak mendiamkan diri itu kelihatan naïf sekali.
            “Tanya apa Tuan Bakar?” soal Amni.
            “Murni cakap awak ada nak tahu pasal seorang bujang tingkat 17, kalau tak keberatan… boleh saya tahu siapa tu? Nak buat calon suami ke?” soalan dengan nada mengusik itu membuatkan wajah Amni menjadi panas. Matanya mencerlung ke wajah Murni. Bukankah Murni tahu, orang itu ialah Reza!
            Mata Amni jatuh pula pada wajah tampan yang sedang tersenyum di hadapannya. Manis sungguh. Memang patut pun Mak cik Ramlah berkenan.
            “Bukan untuk saya… untuk kakak sepupu saya…” perlahan sahaja Amni menjawab. Malu tak usah kata.
            “Laa… untuk orang lain. Kenapa tak awak cari untuk awak aje?”
            Soalan Tuan Bakar pantas disambut oleh Murni. “Itulah, saya dah cakap… daripada sibuk cari untuk orang lain, baik cari untuk diri sendiri. Si Amni memang macam ni. Fikirkan hal orang lain sampai diri sendiri diabaikan.” Sindir Murni keras. Niatnya bukan hendak merendahkan Amni, tetapi biarlah Amni sedar. Sampai bila gadis itu hendak tinggal di bawah telunjuk mak ciknya itu? Amni bukan budak hingusan lagi. Sudah berusia 23 tahun. Dah boleh mengundi pun untuk PRU 13 yang akan datang ini.
            Amni mendiamkan diri, tidak membalas bicara Murni. Dia yakin, apa pun hujah yang diberikan, Murni tetap tidak akan menyokong tindakannya itu.
            “Tak apalah Amni… niat awak tu baik. Nak menyatukan dua hati… saya doakan awak berjaya.”
            Amni pantas mengangkat kepala. Wajah itu tersenyum tulus ke arahnya. Doa daripada bibir tuan punya badan? Dan senyuman itu… Amni pantas melarikan pandangan matanya. Bimbang perkara yang tidak diingini akan berlaku di sini.
            Sebaik sahaja Tuan Bakar dan Reza berlalu dari situ, tangan Amni sudah bergerak menyentuh dadanya. Berdegup dengan begitu kencang sekali. Matanya terus menyorot mengikut langkah Reza sehingga hilang dari pandangan mata. Apa yang sudah jadi sebenarnya?
            “Jangan cakap dengan aku, kau dah terjatuh hati dengan Encik Reza…” usik Murni penuh makna. “Eh… bukan nak dijodohkan untuk anak mak cik kau ke…” sambung gadis itu lagi separuh menyindir. Namun Amni terus membisu. Hatinya sudah mengeluh kecil.
            “Ingat… kalau kau nak terus tinggal dalam rumah ni!” suara itu kembali terngiang dalam kotak pendengarannya. Ya, dia tahu. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih. Reza itu adalah padanan terbaik untuk Zatil. Dan jika itu bakal memberikan kegembiraan buat Mak cik Ramlah, Amni akan berusaha melakukannya.

(bersambung)
part 2 dah hampir siap, cuma nak touch up mana yg patut. Nantikan ya.
 Terima kasih semua :)

Comments

  1. Mantap. Sambung cepat2 ye :)

    ReplyDelete
  2. sambung cpt2 :p, best!

    ReplyDelete
  3. kak umie~sy pemint setia crta2 akk..
    yg paling sy suka ialah tuan singa n kg girl..
    lately,yg sya perasan momentum akk menulis da x sesuperb mcm dulu..
    hope akk dpt kekalkn cara akk menulis cerita..

    all da bez..keep the momentum till the end..

    x sbr tgu story ni

    ReplyDelete
  4. oh, ni sambung cerita Reza pulak ye?

    haish, baiknya Amni. manalah tak kena buli. adakah Reza bakal jadi penyelamat Amni? :D

    ReplyDelete
  5. smbungla cpt2 ye...best!!!!
    ceritera reza pulak

    ReplyDelete
  6. Salam Umi..baru baca bab 1..dah tak sabar nk tau cerita seterusnya...hope umi dapat update next n3 cepat2 ye...tak sabar dah...BTW..saya juga salah seorang peminat karya2 Umi..terutamanya kampung girl..memang best..


    -Town Girl-

    ReplyDelete
  7. U r the best lah sis!!!!!!
    X sbar nak bace next entry...

    ReplyDelete
  8. x sabar nak baca sambungan kisah reza ni..hope die dgn amni lah kak...tp, reza garang sgt lah..

    ReplyDelete
  9. waaa... kisah cinta reza plk ek...
    harap2 zatil tu xmacam mak dia... kesian amni...

    ReplyDelete
  10. zalimnye makcik ramlah...
    amni ikut je ckp murni tu...klua je dr umah mkcik ramlah..kan senang...
    hehehe

    ReplyDelete
  11. Best...sambung cepat ya... : ).

    ReplyDelete
  12. apalah yg akan berlaku kt reza n amni ni...xsbarnya...

    bez..yg sbln ni pn bez, ana n faisal

    ReplyDelete
  13. apa jadi ngn ana?? sape ana 2???

    entah3 reza suka amni x

    ReplyDelete
  14. nak tahu siapa ana? :)
    please get ur detail from cerpen: Hati ini ^^

    selamat membaca. dan terima kasih semua :)

    ReplyDelete
  15. 0ok kesinambungan cerpen from hati ini..best..hidup ini umpama jalan yang x ada perhujung sentiasa berterusan..hehe..teruskan usaha..
    #frez

    ReplyDelete
  16. mntk2 la zatil bwh pakwe blk msia...blh amni dgn reza..hahaha

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia