BATU-batu
yang dikutipnya sepanjang dia melalui gigi air tadi, dilemparkan terus ke dalam
air. Kuat kedengaran bunyi air berkocak. Sekuat kocakan hatinya di saat ini.
Biarpun begitu, dia redha. Jika inilah ketentuan oleh Dia, maka dia harus
redha. Kerana dia yakin, takdir dan ketentuan Ilahi pasti ada hikmah
disebaliknya.
Pandangannya jatuh terus ke arah
ombak yang sedang menderu menyembah muka pantai. Bunyi itu sangat menenangkan
jiwanya. Lantas kaki terus dihayun mendekati air. Seluarnya sudah separuh basah
dipukul air. Namun, dibiarkan sahaja. Dia sudah tidak kisah.
“Ana… maafkan Reza.”
Air mata Reza sudah jatuh membasahi
pipi. Hari ini merupakan hari bahagia Ana. Selamat sudah Ana dinikahkan dengan
Faisal. Reza sedar, dia bukanlah pilihan Ana sejak dari hari dia membuang gadis
itu daripada hidupnya. Dia sedar, dia sudah melakukan kesilapan yang tidak
dapat diubah kembali. Untuk menyesal, sudah terlambat. Apa yang dia mampu,
adalah mendoakan kebahagiaan Ana. Ya, dia pasti akan lakukan itu! Ana berhak untuk
bahagia.
“ANA
minta maaf Reza… Ana tak boleh pilih Reza walaupun Ana tahu, Reza ikhlas.”
Berubah terus riak wajah Reza pada ketika itu. Masih segar lagi dalam mindanya,
bagaimana suara halus yang menyuarakan penolakan terhadap dirinya itu. Kecewa
hati ini apabila Ana lebih memilih untuk menerima Faisal yang baru dikenali
daripada dirinya.
“Kenapa?”
“Dia terima Ana walaupun dia tahu,
Ana tak seistimewa orang lain. Dia terima Ana dengan gelaran ‘kotor’ yang Ana
bawa ni tanpa sebarang soalan… dan dalam hati ini, sudah terukir nama Faisal.
Maafkan Ana, Reza… Ana doakan, Reza bahagia.”
Reza melepaskan keluhan panjang.
Kata-kata itu sudah terpahat kukuh di dalam hatinya. Dalam pada kecewa, dia
harus merelakan keputusan Ana. Dan kini, sudah setahun berlalu. Ana sudah
bahagia dengan pilihannya, dan dia… masih begitu. Menyendiri!
*****
“IBU,
nampak tak kunci Reza?” pagi-pagi lagi suara Reza sudah berkicau. Ibu yang
sedang elok menghidangkan sarapan pagi di atas meja makan, terus sahaja
bercekak pinggang. Jelingan tajam dihadiahkan buat anak bujangnya itu. Tidak
sudah-sudah lagi dengan babak ‘lupa letak kunci di mana’. Hari-hari pun adegan
yang sama juga!
“Reza ni, kalau sehari tak
menyusahkan telinga ibu dengan soalan yang sama, tak boleh ke?”
Reza sudah tersengih lebar. Hampir
dia terlupa akan amaran yang diberikan oleh ibunya semalam. Tapi sudah terlajak
bertanya, hendak buat macam mana. Sengih sudah!
“Tolonglah ibu… kali ni yang
terakhir. Lepas ni, Reza takkan tanya dah…” janji Reza separuh rela. Sedangkan
hatinya dapat menjangka, esok dia pasti akan tercicir lagi kunci kereta
Protonnya. Entah kenapa, semakin hari, semakin kuat pula penyakit pelupa
menghantui dirinya.
“Kali yang terakhir ni, dah seratus
lebih kali ibu dengar! Tapi tak akhir-akhir jugak… memang patut ibu kahwinkan
kamu ni Reza. Biar bini kamu pulak yang pening melayan soalan mana kunci
tiap-tiap hari,” bebel ibu yang sudah mula melangkah ke dalam bilik Reza.
Hendak mencari kunci di situ.
Reza pula hanya tersenyum pedih
mendengar omelan ibu. Kahwin? Akan terjadikah perkara itu? Keluhan mula terbit
di bibir. Perasaan bersalah sudah mula menjalar hati. Kesal kerana dirinya
masih tidak mampu memenuhi hasrat ibu yang satu itu.
“Reza minta maaf ibu.” Reza sudah
mencapai tangan ibu dan mengucupnya penuh kasih. Penuh makna ucapan maaf itu
dan dia yakin, ibu faham akan katanya. Kunci sudah beralih tangan dan seraut
wajah ibu yang makin dimamah usia ditatap lama. Senyuman yang bergayut di bibir
ibu itu hanya menambahkan resah di dalam jiwa.
Maafkan Reza. Ucap hatinya pilu.
BAJU
kurung merah jambu yang tersarung di tubuhnya, dibetulkan berkali-kali.
Wajahnya ditelek lagi pada cermin gedabak yang memenuhi ruang bilik itu.
Senyumannya terus melebar saat segalanya dilihat rapi. Cantik! Pujinya sendiri
sambil tertawa kecil.
“Amni!!!” laungan nama dengan volume
yang agak menggerunkan jiwa itu pantas sekali mematikan senyuman di bibirnya.
Aduh! Sakit kepala…
“Ya mak cik!” sahutnya kuat juga.
“Mana kau ni, tak reti-reti nak
turun! Dari tadi bersiap, tak sudah-sudah lagi!!!” Jeritan itu mula bergema
dalam rumah teres dua tingkat milik Mak cik Ramlah. Amni mula menelan liur.
Bimbang jika Mak cik Ramlah naik berang, habis tenaga Amni akan dikerjakan
nanti. Lantas, dia sudah mencapai beg tangan berwarna hitam di atas katil dan
bergegas keluar dari bilik yang dihuninya selama tujuh tahun ini.
“Maaf mak cik… Amni lambat,” ucap
Amni dengan harapan dapat meredakan kemarahan Mak cik Ramlah.
“Itu ajelah jawapan kau… dah lambat,
minta maaf!” marah Mak cik Ramlah. Amni menelan liur sahaja. Tidak berani untuk
bersuara lagi. Kakinya sudah ikut melangkah keluar dari rumah. Tanpa kata,
dirinya sudah mengambil tempat di tempat duduk penumpang.
Beginilah
rutin hariannya. Setiap hari Mak cik Ramlah akan menghantarnya ke pejabat.
Waktu balik juga, Mak cik Ramlah yang akan menjemputnya. Hidup menumpang di
rumah mak ciknya ini selama tujuh tahun sudah membuatkan dia terbiasa dengan
apa sahaja yang dimuntahkan dari mulut wanita di sisinya ini. Tidak timbul istilah
berkecil hati dalam diri Amni sementelah dia sedar kedudukannya sebagai
menumpang dalam rumah Mak cik Ramlah. Biarlah mak cik marah, cukup kalau dia
masih mempunyai tempat untuk berteduh.
SEBAIK
sahaja kereta Toyota Vios yang dipandu Mak cik Ramlah berhenti di depan
bangunan 29 tingkat itu, Amni bergegas menanggalkan tali pinggang keledar.
Tidak mahu dimarah lagi kerana lambat. Namun, belum sempat dia melangkah keluar
dari kereta, tangannya ditarik oleh Mak cik Ramlah.
“Kenapa mak cik?” soal Amni pelik.
Wajah Mak cik Ramlah sudah terpalit
senyuman manis. Senyuman yang jarang sekali Amni lihat kecuali jika anak Mak
cik Ramlah, Zatilhusna, pulang ke rumah pada cuti semester. Zatilhusna kini
sedang menuntut di Universiti Glaslow dalam bidang perubatan. Bakal doktor tu!
Lagi sebulan sahaja dia akan menamatkan pengajian dan pulang semula ke
Malaysia.
“Itu…” mulut Mak cik Ramlah sudah
mengunjuk ke arah seseorang. Amni turut mengalihkan pandangannya. Keningnya
bertaut.
“Kenapa?” soal Amni. Dia tidak faham!
“Aku berkenan betul dengan budak tu…selalu
nampak dia pagi-pagi. Nampak segak… macam jawatan tinggi pun ya jugak.” Pujian
Mak cik Ramlah membuatkan Amni membuntangkan mata. Tidak mungkin??? Takkanlah
Mak cik Ramlah sudah bermimpi menamatkan zaman jandanya setelah 15 tahun
berpisah dengan bekas suaminya?
“Err… mak cik, betul ke…” belum
sempat Amni menghabiskan ayat, Mak cik Ramlah sudah memotong.
“Nampak padan dengan Zatil.”
Kali ini Amni sudah menarik nafas
lega. Hampir sahaja dia mengandaikan yang bukan-bukan tentang mak ciknya ini.
“Memang padan pun.” Komen Amni
sekilas pandang ke arah pemuda tadi. Bibirnya sudah tersenyum.
“Bujang lagi mak cik, elok sangatlah
tu mak cik padankan dengan kak Zatil,” tambahnya lagi.
“Bagus! Sekarang ni… kau tolong aku selidik
pasal dia. Lagi sebulan Zatil nak balik dah, elok sangatlah tu… aku boleh
kahwinkan budak tu.”
Selidik??? Amni sudah menggaru
kepalanya yang berbalut pashmina itu. Err… selidik?
“Selidik yang macam mana tu mak
cik?” soalnya dengan lagak bendul.
“Selidiklah!!! Takkan tu pun aku nak
kena ajar… kau ni takkan tak reti benda mudah macam tu!!!” suara Mak cik Ramlah
sudah meninggi. Panas hatinya dengan sikap dungu si Amni ini. Suruh selidik
pasal budak lelaki itu pun susah. Kerja dalam bangunan yang sama juga. Dia
sudah melepaskan dengusan kasar.
“Baiklah mak cik… nanti Amni cuba,”
balas Amni takut-takut.
“Cuba apanya??? Kalau kau tak boleh selidik
pasal dia, jangan mimpi nak menumpang dalam rumah aku dah!” ugut Mak cik
Ramlah.
Terus Amni menjadi kalut. Kalau
tidak tinggal dengan Mak cik Ramlah, dengan siapa yang dia hendak bergantung
harap? Paksa rela, Amni bersetuju juga dengan cadangan Mak cik Ramlah. Dengan
langkah yang berat, kakinya sudah mula bergerak meninggalkan kereta berwarna
putih itu.
Kenapalah Mak cik Ramlah suka
menyeksa jiwa aku dengan cara ini? Keluh Amni dalam hati.
“GOOD
morning Reza…” Reza tersenyum nipis membalas senyuman Fadhilah yang sedang
berdiri di kaunter penyambut tetamu. Pagi-pagi lagi sudah bergosiplah tu! Tuduh
hatinya sendiri. Namun segera dia beristighfar, sedar bahawa kita tidak boleh
bersangka buruk dengan orang. Pengalaman lalu banyak memberikan pengajaran buat
dirinya. Biarlah segala yang terjadi dapat memberikan perubahan ke arah
kebaikan bagi dirinya mahupun orang lain.
“Encik Reza… hari ni kena turun site
ya.” Baru sahaja punggungnya mencecah kerusi yang empuk dalam pejabat itu,
suara Haslina sudah mula kedengaran. Senyuman manis di bibir gadis kelahiran
Terengganu itu dibalas juga walaupun hatinya sudah berbolak-balik untuk turun
ke site.
“Thank you Has… I akan ingat. But,
in case I lupa, you ingatkan semula ya.”
Haslina sekadar mengangguk dan
berlalu ke mejanya.
Tangan Reza sudah mula menghidupkan
komputer di atas meja. Sejak dinaikkan pangkat ini, tugasnya makin bertambah.
Dari satu menjadi dua. Penat badan dan fikiran apabila hendak memastikan segala
urusan berjalan dengan lancar. Makin tinggi jawatan, makin besar tanggungjawab
yang harus dilaksana.
Sedang tangannya mulai ringan
menyelak fail di atas meja yang elok tersusun untuk disemak, matanya tanpa
sengaja mendarat pada sejambak bunga di atas meja kopi. Keluhan panjang
dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat pun, nama Haslina dilaungkan. Terkocoh-kocoh
Haslina berlari masuk ke bilik ketuanya.
“Kenapa encik?”
“Get the bouquet out from my room!”
tegas Reza berkata.
Haslina pula mengeluh. “Tapi encik,
dia dah susah-susah datang hantar…”
“Susah ke, senang ke… I don’t like
it! You please make sure, that I will never receive such thing again.” Terus
Reza menghalakan pandangan kembali pada fail. Dia tidak mahu memanjangkan
bicara pada topik yang tidak disenangi. Haslina pula seakan mengerti dengan
reaksi itu, terus sahaja mencapai jambangan bunga segar yang terletak di atas
meja itu dan berlalu keluar.
“ENCIK
Reza???” Amni mengangguk.
“Encik Reza???” sekali lagi Amni
mengangguk.
“Yang kau ni, sibuk sangat nak selidik
pasal Encik Reza untuk mak cik kau tu kenapa? Macamlah bagus sangat dia melayan
kau, sampai kau nak berbudi dengan dia! Lebih baik kau keluar aje dari rumah
tu, daripada terus jadi hamba abdi dekat sana.” Penuh emosi Murni melahirkan
rasa hati.
“Kau ni… aku hidup dengan aman dan
tenang dekat rumah tu. Dia jaga aku elok apa… cukup makan pakai.” Amni
mempertahankan Mak cik Ramlahnya. Namun Murni sudah mencebik.
“Jaga elok apanya… dia tu,
sebenarnya nak kawal hidup kau. Pergi mana-mana pun dia hantar… kenapa? Sebab
dia tak nak kau bebas dari konkongan hidup dia… kenapa kau ni dungu sangat
Amni?” marah Murni. Dia mendengus keras. Geram pula dengan sikap Amni yang
terlebih bendul tidak kena dengan gaya. Turutkan sangat cakap mak ciknya itu.
Sedangkan dia tidak sedar, dirinya itu sedang digunakan.
“Kau ni… bagus apa dia hantar aku ke
mana-mana. Terjaga pergaulan aku, tak adalah aku kena kacau dengan kutu rayau
ke, apa ke…” dengan bendul juga Amni membalas ayat Murni.
Rakannya itu sudah menarik jeling
panjang. Malas!
“Daripada aku buang air liur,
bercakap dengan kau… baik aku sudahkan kerja aku ni.” Murni terus sahaja
bergerak ke mejanya yang terletak bersebelahan meja Amni. Masuk tahun ini,
sudah empat tahun dia dan Amni bekerja sebagai kerani di syarikat pembinaan
ini. Dengan kelulusan SPM setakat boleh terapung sahaja, ini yang termampu.
Daripada tak ada kerja langsung, baik ada.
AMNI
sudah mula menggaru-garu kepalanya. Buntu habis dia memikirkan cara. Kenapa
bagi orang lain, mudah sahaja untuk melakukan kerja selidik ala-ala spy ini?
Seminggu sudah berlalu dan dia masih lagi memikirkan cara bagaimana dan pada
siapa yang harus diselidik perihal Reza di tingkat 17 itu.
“Yang kau ni, dah macam cacing
kepanasan aje aku tengok. Kenapa?” soal Murni yang baru sahaja sampai dari
kafeteria. Bungkusan nasi dan air milo panas yang dipegangnya diletakkan di
sisi meja.
“Mak cik aku dah bising, tanya apa
yang aku dah selidik pasal Encik Reza tu…” luah Amni dengan kalut. Mungkin
disebabkan otak slow inilah Mak cik Ramlah selalu marah akan dirinya. Tapi nak
kata slow, tak adalah slow sangat. Otak ini masih lagi dapat berfungsi dengan
baik.
Murni mendengus kecil. “Tak
sudah-sudah lagi…” balasnya tidak berminat.
“Pelik betullah aku dengan mak cik
kau ni… yang nak kahwin tu, anak dia. Pandai-pandailah selidik sendiri…”
sambung Murni.
“Tolong aku Murni… aku tak reti!”
Murni menjeling ke arah Amni yang
sudah mencapai lengannya. “Kau ni… aku cakap bendul, marah! Aku nak cakap
bodoh, aku pun bukan pandai mana… takkanlah setakat nak selidik head of
deparment pun susah? Ramai orang kenal dialah. Tak ada susah mana pun nak buat
kerja ni… pergi aje tingkat 17 tu. Berdiri dekat kaunter pertanyaan dan tanya…
detail pasal Encik Reza.”
“Betul jugak kan…” dengan bendulnya,
Amni mengiakan sahaja.
Murni sudah menepuk dahinya laju.
“Kau ni… kenapalah macam ni!!! Takkanlah kau nak pergi berdiri dekat kaunter
pertanyaan semata-mata untuk selidik pasal hal Encik Reza…” marah Murni. Kalau
bendul tu… bendul juga. Orang cakap apa pun, dia nak iyakan sahaja.
“Habis?”
“Pergi dekat tingkat 17, carilah
orang yang sesuai… yang mana kau agak boleh bagi kerjasama yang baik. Terangkan
pasal hal mak cik kau ni, mesti ada seseorang dekat atas tu boleh tolong
punyalah… kau jangan nak buat bendul pergi tanya dekat kaunter macam yang aku
cakap. Aku tak nak mengaku, aku kerja sekali dengan kau!”
Serius sekali suara Murni. Namun
Amni sudah tersengih. Dia tahu, walau macam mana sekalipun marah Murni, gadis
itu tetap ikhlas berkawan dengan dirinya.
“IBU
encik tak ada nak carikan calon isteri ke?” soalan Haslina itu membuatkan mata
Reza mendarat ke wajah gadis itu. Pelik dengan bunyi soalan dan tidak faham apa
motif soalan itu ditanyakan.
“Kenapa you tanya?”
Haslina sudah terdiam seketika. Err…
bagaimana dia boleh terlepas kata?!
“Tak ada apalah encik… saya saja
tanya. Dekat sinikan ramai calon, encik tak berkenan ke?” soal Haslina dengan
sengih tidak menjadi. Makin tidak kena senyuman itu apabila renungan Reza
menjadi tajam lagak singa hendak menerkam mangsa. Aduh! Salah topiklah pula.
“Rasanya you lagi kenal I daripada
orang lain dalam deparment ni… kenapa you suka tanya soalan yang boleh sakitkan
hati I?” soal Reza serius.
Haslina menelan liur. “Saya cuma nak
bos saya bahagia.” Jawabnya tanpa sedar. Sekali lagi, renungan Reza mencerlung
ke wajahnya.
“I memang bahagia!” serentak itu,
fail di pegangan Reza dihempas laju atas meja. Tanpa kata, lelaki itu sudah
bergerak keluar dari bilik pejabat itu. Haslina pula sudah meluku dahinya
perlahan.
Kenapa
mulutnya sangat tidak berinsurans hari ini sehingga membangkitkan topik yang
tidak Reza sukai? Tapi… dia cuma hendak menolong. Gadis yang bernama Amni dari
tingkat tiga begitu gigih hendak mengetahui perihal Reza darinya. Dan dia juga
dengan besar hati nak tumpang sekaki jadi agen cari jodoh yang tidak bertauliah
buat waktu itu. Tapi... tidak kena dengan situasilah pula!
PINGGAN
yang berisi nasi itu dipegang kejap sambil matanya melilau hendak membuat
pilihan lauk. Sudah hampir beberapa minit berlalu, namun Amni masih tegak
berdiri di situ. Entah kenapa, hari ini dia jadi buntu pula hendak makan apa.
Sedang dia berfikir sama ada hendak mengambil ikan atau ayam, terasa bahunya
tertolak ke depan. Aduh! Spontan suaranya terkeluar sedikit kuat.
“Maaf ya cik… tak sengaja.” Terus
Amni berkalih ke sisi melihat pemuda yang sedang melangkah ke kaunter bayaran.
Alamak, melepas! Reza yang terlanggarnya tadi. Kan bagus kalau dia boleh bertanyakan
terus dengan Reza, tanpa perlu menggunakan perantara.
Masih jelas lagi di telinganya suara
Haslina yang terketar-ketar menyatakan supaya dia melupakan hasrat untuk menjodohkan
Reza dengan kak Zatil. Hurm… makin susahlah pula kerja ini. Di rumah, tidak
usah cerita. Mak cik Ramlah hari-hari mengulang soalan yang sama bertanyakan
‘bakal menantu aku tu macam mana orangnya?’ Naik pening kepala Amni hendak
merangka jawapan agar tidak dimarahi dengan sewenangnya.
“Amni… kau ni, mengelamun apa lagi?
Cepatlah ambil lauk. Waktu lunch tak tunggu kita tau… kalau masuk lambat, dah
ada murai yang berkicau!” teguran Murni menarik semula Amni ke alam realiti.
Lantas dia mengeluh sahaja sambil memikirkan apa yang harus dilakukan selepas
ini.
Sedang dia hendak melangkah ke
kaunter, matanya sempat menangkap tubuh sasa milik Reza yang masih mencari
tempat duduk. Maklumlah, waktu tengah hari, kedai makan sentiasa penuh. Mujur
orang yang berjawatan tinggi macam Reza itu tidak kisah bersesak begini.
Fikirnya sendiri.
Selesai membuat bayaran, Amni sudah
bergerak ke tempat biasa yang menjadi pilihannya dan Murni. Namun, langkahnya
menjadi kaku tiba-tiba apabila melihat siapa yang sedang menjamu selera bersama
di meja itu. Err…
“Aku yang ajak Encik Reza dengan
Tuan Bakar duduk sekali. Dah tak ada tempat kosong dekat sini…” jelas Murni
tanpa disuruh.
Teragak-agak sahaja Amni melabuhkan
punggung di sisi Murni dan berhadapan dengan Reza.
“Kawan awak ke Murni?” ramah mulut
Tuan Bakar bertanya. Amni tersenyum kecil, tidak bersuara. Membiarkan sahaja
mulut Murni bercakap tentang itu dan ini. Nampak seakan sudah kenal lama.
Sedang asyik mereka berbual, barulah Amni tahu bagaimana Murni boleh kenal dengan
semua petugas-petugas tingkat atas. Terlupa pula dia, Murni kan businesswoman.
Memang popular sungguh sahabatnya itu dengan biskut jejari oat yang begitu
hebat rasanya.
“Amni… Tuan Bakar tanya kau tu?”
tersentak Amni apabila siku Murni mengenainya lengannya. Dia terpinga-pinga.
Murni pula sudah menggelengkan
kepala melihat tingkah Amni. Reza yang berhadapan dengan Amni tersenyum kecil.
Gadis yang lebih banyak mendiamkan diri itu kelihatan naïf sekali.
“Tanya apa Tuan Bakar?” soal Amni.
“Murni cakap awak ada nak tahu pasal
seorang bujang tingkat 17, kalau tak keberatan… boleh saya tahu siapa tu? Nak
buat calon suami ke?” soalan dengan nada mengusik itu membuatkan wajah Amni
menjadi panas. Matanya mencerlung ke wajah Murni. Bukankah Murni tahu, orang itu
ialah Reza!
Mata Amni jatuh pula pada wajah
tampan yang sedang tersenyum di hadapannya. Manis sungguh. Memang patut pun Mak
cik Ramlah berkenan.
“Bukan untuk saya… untuk kakak
sepupu saya…” perlahan sahaja Amni menjawab. Malu tak usah kata.
“Laa… untuk orang lain. Kenapa tak
awak cari untuk awak aje?”
Soalan Tuan Bakar pantas disambut
oleh Murni. “Itulah, saya dah cakap… daripada sibuk cari untuk orang lain, baik
cari untuk diri sendiri. Si Amni memang macam ni. Fikirkan hal orang lain
sampai diri sendiri diabaikan.” Sindir Murni keras. Niatnya bukan hendak
merendahkan Amni, tetapi biarlah Amni sedar. Sampai bila gadis itu hendak
tinggal di bawah telunjuk mak ciknya itu? Amni bukan budak hingusan lagi. Sudah
berusia 23 tahun. Dah boleh mengundi pun untuk PRU 13 yang akan datang ini.
Amni mendiamkan diri, tidak membalas
bicara Murni. Dia yakin, apa pun hujah yang diberikan, Murni tetap tidak akan
menyokong tindakannya itu.
“Tak apalah Amni… niat awak tu baik.
Nak menyatukan dua hati… saya doakan awak berjaya.”
Amni pantas mengangkat kepala. Wajah
itu tersenyum tulus ke arahnya. Doa daripada bibir tuan punya badan? Dan
senyuman itu… Amni pantas melarikan pandangan matanya. Bimbang perkara yang
tidak diingini akan berlaku di sini.
Sebaik sahaja Tuan Bakar dan Reza
berlalu dari situ, tangan Amni sudah bergerak menyentuh dadanya. Berdegup
dengan begitu kencang sekali. Matanya terus menyorot mengikut langkah Reza
sehingga hilang dari pandangan mata. Apa yang sudah jadi sebenarnya?
“Jangan cakap dengan aku, kau dah
terjatuh hati dengan Encik Reza…” usik Murni penuh makna. “Eh… bukan nak dijodohkan
untuk anak mak cik kau ke…” sambung gadis itu lagi separuh menyindir. Namun
Amni terus membisu. Hatinya sudah mengeluh kecil.
“Ingat… kalau kau nak terus tinggal
dalam rumah ni!” suara itu kembali terngiang dalam kotak pendengarannya. Ya,
dia tahu. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih. Reza itu adalah padanan terbaik
untuk Zatil. Dan jika itu bakal memberikan kegembiraan buat Mak cik Ramlah,
Amni akan berusaha melakukannya.
(bersambung)
part 2 dah hampir siap, cuma nak touch up mana yg patut. Nantikan ya.
Terima kasih semua :)
Mantap. Sambung cepat2 ye :)
ReplyDeletesambung cpt2 :p, best!
ReplyDeletekak umie~sy pemint setia crta2 akk..
ReplyDeleteyg paling sy suka ialah tuan singa n kg girl..
lately,yg sya perasan momentum akk menulis da x sesuperb mcm dulu..
hope akk dpt kekalkn cara akk menulis cerita..
all da bez..keep the momentum till the end..
x sbr tgu story ni
oh, ni sambung cerita Reza pulak ye?
ReplyDeletehaish, baiknya Amni. manalah tak kena buli. adakah Reza bakal jadi penyelamat Amni? :D
smbungla cpt2 ye...best!!!!
ReplyDeleteceritera reza pulak
Salam Umi..baru baca bab 1..dah tak sabar nk tau cerita seterusnya...hope umi dapat update next n3 cepat2 ye...tak sabar dah...BTW..saya juga salah seorang peminat karya2 Umi..terutamanya kampung girl..memang best..
ReplyDelete-Town Girl-
U r the best lah sis!!!!!!
ReplyDeleteX sbar nak bace next entry...
x sabar nak baca sambungan kisah reza ni..hope die dgn amni lah kak...tp, reza garang sgt lah..
ReplyDeletewaaa... kisah cinta reza plk ek...
ReplyDeleteharap2 zatil tu xmacam mak dia... kesian amni...
zalimnye makcik ramlah...
ReplyDeleteamni ikut je ckp murni tu...klua je dr umah mkcik ramlah..kan senang...
hehehe
Best...sambung cepat ya... : ).
ReplyDeleteapalah yg akan berlaku kt reza n amni ni...xsbarnya...
ReplyDeletebez..yg sbln ni pn bez, ana n faisal
apa jadi ngn ana?? sape ana 2???
ReplyDeleteentah3 reza suka amni x
nak tahu siapa ana? :)
ReplyDeleteplease get ur detail from cerpen: Hati ini ^^
selamat membaca. dan terima kasih semua :)
0ok kesinambungan cerpen from hati ini..best..hidup ini umpama jalan yang x ada perhujung sentiasa berterusan..hehe..teruskan usaha..
ReplyDelete#frez
mntk2 la zatil bwh pakwe blk msia...blh amni dgn reza..hahaha
ReplyDelete