Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [1]


PROLOG

MERIAH sekali kediaman Encik Johan dikerumuni sanak saudara. Hari ini merupakan hari paling bahagia. Anak kesayangan mereka bakal diserahkan kepada imamnya. Berkat doa daripada semua, hatinya hanya menginginkan majlis ini berjalan dengan penuh barakah dan rahmat daripada Allah.
Disebabkan itu juga, walaupun muda-mudi zaman kini lebih selesa bercinta untuk memilih pasangan hidup mereka. Namun dia bertegas dengan anaknya, perkahwinan ini akan berlangsung mengikut apa yang telah disyariatkan oleh Allah.
Mungkin ramai melihat tidak salah bercinta. Tidak salah keluar berdua. Tidak salah semuanya asalkan mendapatkan keizinan daripada ibu dan bapa mereka. Tidak salah asalkan pandai menjaga batas yang ditetapkan dalam Islam. Encik Johan tersenyum seketika dengan kebiasaan yang sudah menjadi sebati dengan kehidupan masyarakat pada akhir zaman ini.
Tetapi, ramai yang terleka. Tidak sedar dengan keadaan yang menyebabkan masing-masing menyumbang kepada keadaan dosa anak-anak mereka. Ah, manusia… sentiasa alpa. Hanya dengan peringatan Allah dapat mengembalikan kita ke jalan yang diredhai-Nya.
“Abahnya… duk berdiri lagi dekat sini kenapa? Semua dah siap-siap nak ke masjid.” Teguran yang menyentakkan fikiran Encik Johan. Wajah isterinya, Puan Hayati tersenyum di sisi. Dengan satu perasaan tenang, senyuman itu berbalas mesra.
“Anak kita mana?” soalnya.
Tanpa jawapan pun, Encik Johan sudah berjawab soalannya. Disebalik beberapa anak saudara yang berpakaian sedondon berwarna hijau muda, kelihatan seorang anak gadis yang dirias bagaikan bidadari. Senyuman daripada bibir itu berkuntum untuknya. Sebak mulai terasa.
Kaki melangkah dan kini dia berdiri di hadapan satu-satunya anak gadis dalam keluarga mereka, Jelita Suria. Permata yang lahir dengan izin-Nya, 25 tahun yang dahulu.
“Abah…” Jelita Suria sudah mengucup tangan abahnya. Seiring itu, sebuah kucupan singgah di ubun-ubun. Kepala yang berlitup dengan tudung satin ivory white itu diusap penuh kasih.
“Jelita dah sedia?” soal Encik Johan buat sekian kalinya.
Jelita Suria memandang wajah abahnya. Kemudian beralih ke wajah, emaknya pula. Jujur hatinya mulai terasa gementar. Takut. Risau. Tidak dapat digambarkan perasaan itu tatkala memandang wajah emak dan abah kini.
“Jelita dah ready.” Akhirnya, jawapan itu keluar juga dalam keadaan yang gugup sekali.
“Emak dan abah pengantin… cuba cepat sikit iring anak ke kereta. Nanti pengantin laki dekat masjid tu ingat, pengantin perempuan tak jadi mai pulak.” Encik Rahman, Pak Ngah Jelita Suria sudah memanggil dari luar.
Serentak, lapan buah kereta bergerak mengiringi kereta pengantin ke Masjid Umar Al-Khattab di Bayan Baru. Di dalam kereta, Jelita Suria mulai menggenggam jemari sepupunya, Akma. Segala gemuruh di dada disalurkan melalui pegangan erat itu.
Nervous sangat.” Ujarnya sambil tergelak kecil.
Akma turut tersenyum. “Jangan risau, semua akan okey. Doa terus pada Allah.”
Untuk sebaris kata itu, Jelita Suria terus menyinarkan wajahnya dengan senyuman. Kerana dia tahu, hanya pada Allah Yang Maha Esa, dia harus sandarkan segala keyakinan dalam hidup ini. Tanpa izin-Nya, tiada apa yang akan terjadi. Jika tiada izin-Nya, tidak akan sampai dia ke masjid untuk akad nikah hari ini.
“Abang Wan!!!” suara Akma cemas tiba-tiba menegur Ikhwan yang memandu kereta pengantin itu.
Mata Jelita Suria tertala ke hadapan. Membulat matanya, spontan juga ia tertutup kembali. Tidak tahu apa akan terjadi, hanya kalimah Allah membasahi bibir di saat itu. Bersama degupan gemuruh jantung. Bunyi hentakan dan jeritan memadamkan segalanya.
PONNN!!! Hon mulai bunyi berpanjangan daripada kereta yang sudah terbalik di persimpangan jalan menuju ke Jalan Mayang Pasir itu.

BAB 1

LAUNGAN azan dan diikuti iqamat pada telinga kiri dan kanan permata hati Encik Johan dan Puan Hayati selamat disempurnakan. Amalan sunat ini untuk memastikan kalimah pertama yang didengari oleh bayi itu adalah kalimah suci dan kalimah kebesaran Allah. Ia juga untuk menghalau iblis dan syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi menyesatkan anak cucu Adam.
            Tersenyum Encik Johan apabila bertemu pandang dengan mata isterinya. Nyata wajah itu mempamerkan kelesuan. Berjuang hampir dua jam untuk melahirkan anak yang dinantikan dalam hidup mereka. Besarnya pengorbanan seorang ibu terasa dekat di hatinya apabila melihat dengan mata sendiri, bagaimana sakitnya si isteri ini menahan perit. Namun kini, senyuman sudah mula terlakar di bibir wanita itu. Itulah kasih seorang ibu!
            Usai dipindahkan ke wad, Puan Hayati mulai didatangi saudara-mara yang turut berada di Pulau Pinang. Ibu kepada Encik Johan, Puan Kamariah seronok melihat cucu sulung keluarga mereka.
            “Jelita Suria…” ucapnya.
            Dahi Encik Johan sudah berkerut. “Apa mak?”
            “Nama anak hang nilah. Jelita Suria…” ulang Puan Kamariah dengan senyuman. Sesungguhnya sejak dari dulu lagi dia mengidamkan seorang anak gadis, namun rezeki yang diberikan Allah, semuanya hero belaka. Tetapi dia tidak kisah, syukur dengan nikmat yang diberi. Dan kini, apabila anak sulungnya sudah mendapat seorang bayi perempuan, lantas hendak diberi nama yang berada di minda sejak sekian lama.
            “Mak… kan Johan dah bagi tau Johan dengan Yati dah…” tidak sempat Encik Johan menyudahkan kata-katanya, tangannya sudah ditarik oleh si isteri di sebelah. Puan Hayati mulai menggeleng kecil sambil mengisyaratkan ke arah Puan Kamariah yang mula berubah riak wajahnya.
            “Tak apalah kalau tak sudi.” Nada itu seakan berjauh hati.
            “Entah bila mak nak merasa panggil anak cucu sendiri dengan nama yang mak pilih…” sambung Puan Kamariah lagi. Bibirnya sudah mulai muncung sedikit.
            “Abang…” tegur Puan Hayati perlahan. “Ikutlah cakap mak. Kesian pulak… takkan nak kecikkan hati dia.”
            Encik Johan mengeluh kecil.
            “Iyalah mak… Jelita Suria.”
            Dan Puan Kamariah terus tersenyum lebar.

“MACAM tulah kisahnya.” Encik Johan menutup tafsir yang terbuka di hadapannya. Anak gadisnya yang jelita itu, Jelita Suria begitu mendesak untuk mendengar kisah yang tidak popular itu. Bagaimana munculnya nama Jelita Suria dalam keluarga mereka. Lebih-lebih lagi menjadi nama anaknya itu.
            “Jelita tak nak lah nama ni abah…” rungut Jelita manja. Sejak dari seminggu yang lalu, dia asyik menjadi bahan ketawa teman-teman barunya di sekolah. Sedangkan sebelum ini di sekolah rendah, tiada siapa pun mengusiknya dengan nama Jelita Suria itu. Adakah disebabkan abahnya guru besar di Sekolah Kebangsaan Bayan Baru dan atas alasan itu, tiada siapa pun yang berani mengusiknya? Mungkin juga.
            Encik Johan tersenyum, lengan Jelita Suria yang kini sudah berusia 13 tahun, ditarik merapat dengannya. “Kenapa Jelita? Cerita dengan abah…”
            “Bila Jelita kenalkan nama, hai saya Jelita…” Jelita Suria melakonkan semula aksinya. “Lepas tu mesti ada yang datang balas, hai saya rupawan, hai saya dermawan, hai saya kachak! Jelita tak sukalah, abah. Menyampah tau tak…” sungut Jelita Suria. Keadaan itu membuatkan mood belajarnya terganggu. Disebabkan itu juga, dia sudah mula belajar untuk menapis teman-teman. Tidak mahu ada teman yang suka mengambil kesempatan dengan mengusik namanya yang kedengaran pelik untuk telinga orang biasa.
            “Jelita Suria… selagi nama tu mendoakan perkara yang baik untuk anak abah, rasanya tak ada yang salah. Tak perlu rasanya sampai bertukar nama. Kecik hati nenek nanti.” Pujuk Encik Johan.
            “Mak…” Jelita Suria mulai merengek kepada Puan Hayati yang sudah mengambil tempat di sisi Encik Johan. “Cakaplah dengan abah…” pintanya.
            “Macam abah cakap, tak jadi isu pun dengan nama Jelita Suria ni. Kenapa? Tak semestinya orang mengusik, nama tu akan jadi tak sesuai dengan Jelita. Selama ni kan elok aja. Dah tiga belas tahun dah… sayang.” Pujuk Puan Hayati pula.
            Jelita Suria mulai menunjukkan muncungnya. Dia tahu, dia tidak akan berjaya menukarkan Jelita Suria kepada apa-apa nama yang lebih menarik agaknya. Tapi kata abah, harus diiyakan juga. Selagi nama itu mendoakan perkara yang baik buat dirinya, mengapa hendak ditukar pula.
Lainlah kalau sebaris nama Jelita Suria itu membawa maksud kecelakaan atau keburukan buat dirinya, maka haruslah ditukar. Dalam Islam pun telah diberi panduan untuk memberikan nama yang bermaksud baik-baik kepada anak. Kerana setiap panggilan itu, akan mendoakan anak itu kelak.
“Ada apa pada nama Jelita, andai akhlak tak dirias dengan indah, nama yang paling glamour pun takkan bawa kita ke syurga kelak.”
Jelita Suria tersenyum nipis. Terus dagunya disangkut pada lutut abah. Dia tahu, mukadimah abah itu akan membawa kepada suatu kisah. Kisah yang didendangkan pada setiap malam. Dan kisah yang baginya akan menjentik ruang hati dengan suatu rasa halus. Rasa sebagai seorang hamba yang harus mengucapkan rasa syukur tidak terhingga kepada pencipta. Dia Yang Maha Esa.

“JELITA Suria…” Mendengarkan namanya dilaung oleh Cikgu Zehra, terus Jelita Suria mengangkat tinggi tangannya. Biar kepantasannya ini akan menutup mulut-mulut sumbang yang seringkali menyahut panggilan gurunya itu. Namun sangkaannya meleset apabila ada juga ‘monyet-monyet’ di belakang kelas yang tidak henti-henti menyahut dengan nama rekaan mereka.
            “Saya, Purnama Merindu…”
            “Saya cikgu, Sang Mentari Pagi.”
            “Embun Senja, hadir.”
            Serentak itu, satu kelas melepaskan tawa dengan galak sekali. Renungan tajam daripada Jelita Suria tidak mampu menghentikan semua itu. Sekali dengan Cikgu Zehra tersenyum-senyum. Huh! Hati Jelita Suria menjadi panas serta-merta. Apa yang terlalu kelakar dengan sebaris namanya? Perlu ke dia diusik untuk puaskan hati semua manusia dalam kelas ini?
            Ingin sahaja dia bangkit berdiri dan menampar setiap mulut yang mentertawakan dirinya. Tetapi sebaris ayat yang diucapkan oleh abah menerpa mindanya, “Bila ada orang yang menyakitkan hati kita, maka berjanjilah dengan diri dan Allah Yang Esa, kita takkan melakukan perkara yang serupa. Sesungguhnya insan yang memberikan maaf itu, banyak ganjarannya.”
            Kata-kata itu mempegunkan segala tindakannya. Lantas dipekakkan sahaja telinga. Biarlah mereka hendak mengusik. Sampai sakit mulut pun boleh usik namanya. Dipersilakan. Tapi nanti masa hari pembalasan, harap semuanya akan tampil memberi jawapan bernas kepada Allah, atas sebab apa diusik sebaris namanya itu? Adakah ia memberi sumbangan kepada agama Islam?
Jika dia mendebatkan tentang perkara ini, pasti tergamam semuanya. Apa mereka fikir setiap perbuatan itu akan berlalu tanpa disoal kelak? Manusia cepat sangat terlupa, ada pemerhati yang mengawasi setiap gerak-geri mereka, luaran dan dalam. Dialah Ar-Raqib. Yang mengawasi!
Sementara itu, dari luar kelas, terhenti seketika langkah seorang jejaka apabila melintasi kelas yang diserikan dengan hilai tawa pelajar. Paling menarik, cikgu di hadapan kelas pun ikut mengkekek sekali.
“Kenapa yang kelas Klasik Nasional ni meriah sangat?” soalnya pada rakan di sebelah.
Rakannya melepaskan tawa sebelum menjawab. “Hang tak tau?”
“Kalau tau, tak tanya.” Perlinya.
“Lupa, hang tak incharge untuk minggu orientasi kan. Ada sorang girl ni, nama dia unik sikit. Aku rasa nama tu cantik aja. Tapi tak tau kenapa yang budak kelas ni meriah sangat duk perli dia. Dah seminggu mula kelas, still duk kena perli lagi.”
Telingannya mendengar sahaja penerangan teman di sebelah yang juga berbaju kemeja berwarna biru sepertinya. Pelik sangat ke nama itu? Soalnya dalam hati. Seakan mengerti, temannya sudah memberi jawapan.
“Jelita Suria… cantikkan nama dia. Aku rasa okey lagi nama dia… pada hang…” ketawa mulai mengambil tempat.
Tangannya sudah dikepal. Dia pula menjadi geram, namanya menjadi bahan usikan.
“Perkasa Armana!”
Dan temannya yang bernama Sarip Dol itu terus ketawa. Tak sedar yang nama dia pun boleh jadi bahan perlian tapi ada hati nak memerli nama orang lain. Ini mesti kes, mak dan ayah dia minat dengan lakonan Sarip Dol masa muda-muda. Sehinggakan terus diletakkan pada anak mereka. Dalam diam, hatinya terus digeletak dengan rasa lucu.

Comments

  1. akan habis kt blog ke? hope so. :D

    ReplyDelete
  2. insyaAllah, saya dh plan utk jadikan as manuskrip ketiga. apa2 saya mesti update pada readers :)

    ReplyDelete
  3. Best sangat umi... bile bace novel baru tahu kisah dari mula antara jelita ngn perkasa ni... bila tengok nama sarip dol ni tbe2 WC teringat masa zaman sekolah dulu, time tu cikgu tgh mengajar... tbe2 de sorg laki ketuk pntu nk cari anak dia... cikgu WC tnye nak cari sape, dia ckp nak cari anak dia...

    cikgu WC tnye lagi name anak ape? dia jawab erra fazira... WC ngn kwn2 terus terkejut... rasa nk gelak pon de tp tahan je tkot pakcik tu ckp ape pulak... hahaha...

    ReplyDelete
  4. WC... hehehe, ada jugak ya kes mcm ni kat realiti. muehehe... kira WC and geng, sgt tabah sbb dapat tahan gelak. ;)

    ReplyDelete
  5. best citer ni.. lagi2x tang yg kena perli tu... mcm2 nama keluar

    ReplyDelete
  6. best...kelakar masa yg dia perli tu hahaha

    ReplyDelete
  7. menarik nama diorang. awesome. nk bantai gelak gak.

    ReplyDelete
  8. kui,kui,gelak x abis lagi nih, lawak la...nama punya pasai pun boleh jadi satu citer..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia