Advs

Followers

February 01, 2014

Jangan biar aku pergi 6

Bab 13

MELIHAT wajah si kecil yang nyenyak tidur itu, hatinya terasa berbaur. Baru sekejap tadi abah menyelesaikan pendaftaran bagi anak yang dilahirkan ini. Sesak dada melihat ruangan nama bagi bapa yang kosong tidak berisi. Menitis juga air mata yang ditahan sejak tadi.
            Sudah dihuraikan dalam hukum, anak luar nikah dan anak hasil daripada zina tidak boleh dibinkan dengan nama bapanya. Walaupun si ibu sudah berkahwin dengan lelaki itu, namun anak yang dilahirkan tetap tidak boleh dinasabkan kepada nama bapanya.
            Sedih hati mengenangkan itu.
            Afi Sani Bin Abdullah.
            Nama yang tercatat di sijil kelahiran anaknya. Encik Bohari ada juga menerangkan, dibolehkan untuk anak itu berbinkan nama ibu sendiri, iaitu dirinya. Tapi, Asma menolak. Dia malu. Anaknya pasti akan menyoal tentang perkara itu kelak. Dia pasti!
            “Afi…” Bibir menyeru nama itu. Terasa bersalah sungguh kepada si kecil yang tidak berdosa ini. Dilahirkan tidak sah tarafnya hanya kerana kesalahan dan nafsu yang pernah mencengkam diri ini. Maafkan ibu, Afi.
            Air mata dikesat laju saat kelibat jururawat yang melakukan pemeriksaan sudah tegak di sisi katil. Asma tidak banyak membuka mulut, sekadar menjawab pertanyaan yang diajukan. Entah kenapa, sejak Afi lahir, perasaannya menjadi lain macam. Dulunya teruja, kini… kelam. Dia semakin takut. Semakin takut untuk menghadapi realiti.
            Semakin gundah memikirkan apa cemuhan yang bakal menanti.
            Sebelum masuk ke hospital pun, telinganya sudah menangkap kata-kata yang kurang enak dilemparkan buat Puan Amina.
            “Kahwinnya hari tu, anak sulung. Yang boyotnya, anak kedua. Ada benda yang kita terlepas pandang ke? Bukan main pergi kerja dekat luar negeri, balik sekali, bawa perut! Aku tak sangka, anak Bohari macam ni.”
            Sinis.
            Kesinisan yang menemani perjalanannya sepanjang berada di rumah keluarganya. Asma menelan dengan susah payah. Hendak menangis? Sudah terlambat. Patut difikirkan dulu, sebelum teringin nak buat. Dah buat, tanggunglah akibat. Dan dia, sangat berharap agar Allah akan menerima taubatnya.
            “Asma, dah boleh keluar hari ni…” Teguran itu membuatkan Asma segera beralih mood. Dia tidak mahu orang lain menghidu kesedihan yang mulai bertandang di hati. Dia tidak mahu emak dan abah terus terpalit dengan cemuhan disebabkan dosa yang dicarinya.
            “Kenapa dengan kau ni?” Anis menyoal serius, perasan dengan riak di wajah Asma.
            Asma menggeleng laju. Mengatakan dia okey. Menipu sangat! Macam Anis nak percaya.
            “Kak Anis datang dengan siapa?” soal Asma, hendak mengubah topik.
            “Dengan mak. Dia singgah kat kafe kejap. Kau siap-siap dulu, aku pergi settle apa-apa yang patut.”
            Anis sudah berdiri. Saat itu lengannya dipaut oleh Asma. Erat.
            “Asma minta maaf…”
            Anis menjulingkan biji mata. “Dah, tak payah nak mood sinetron sangat. Sekarang, kau siap-siap. Kejap lagi, kita balik rumah. Hah, lagi… kalau ada mulut-mulut celupar yang mengutuk mengata pasal kau, cakap aje dengan Hakak Anis ni!” Anis menepuk dada sendiri. “Tahulah aku nak buat apa. Kau tak payah duk buang air mata, sedih bagai nak rak. Nak dapat apa sedih pun? Bukan boleh sihatkan badan. Baik kau tengok Afi, bahagia hati dan perasaan!”
            “Kak Anis… aku selalu menyusahkan kau.” Asma sebut juga lagi ayat bibit sinetron biarpun dilarang oleh Anis.
            “Kalau kau nak terus melayan mood glommy kau ni, aku tampar jugak sekejap lagi.” Anis mengugut serius. Dan Asma terus menzipkan mulut.
            Dan Anis terus melangkah ke kaunter hospital untuk menyelesaikan urusan. Selesai berurusan, dia sudah hendak kembali untuk mendapatkan Asma yang pasti sedang dibantu oleh Puan Amina mengemaskan barangannya. Baru saja kaki bergerak ke arah lif, terdengar namanya diseru.
            “Anas…” Sekali pandang saja dia sudah tahu.
            “Saya nak melawat adik awak, boleh?”
            “Err… sini ke?” Anis serba salah. Ini bukan hospital swasta. Hospital kerajaan saja pun. Bukan Asma ditempatkan di bilik persendirian. Wad terbuka, ramai lagi wanita lain ditempatkan di situ. Aurat terdedah. “Apa kata, awak datang ziarah di rumah aje? Boleh?” Anis cuba memperelokkan cadangan. Rasanya tidak salah kalau Anas nak datang melawat pun.
            “Boleh?” Anas teruja.
            “Boleh sangat… datanglah ke rumah nanti. Bawalah nenek awak sekali, itupun kalau nenek awak sudi.” Sempat lagi Anis mempelawa nenek Anas yang ditemui tempoh hari. Ramah sungguh orangnya.
            “Insya-Allah, saya datang nanti, ajak nenek. Errr… Anis, kalau Asma perlukan apa-apa pertolongan, awak jangan nak segan-segan bagitau saya. Kalau nak kena guna duit ke, apa ke… cakap aje. Si Zahran tu, duit bertimbun. Saya boleh pastikan dia uruskan hal anak dia ni!”
            Anis menggeleng. Senyuman terukir di bibir.
            “Hak penjagaan Afi, sepenuhnya di atas bahu si ibu. Awak tak perlulah nak rayu pertolongan abang awak tu. Belum tentu dia nak… silap-silap, lagi teruk dia malukan Asma. Kita fikirkan perasaan Asma dan keluarga saya jugak. Awak fahamkan, Anas?”
            “Saya faham, tapi jangan segan nak cakap dengan saya kalau perlukan bantuan. Saya rasa bersalah, saya dah tak ambil tahu tentang Asma sejak di ke Shah Alam. Padahal, abang saya yang sebabkan semua ni terjadi. Saya malu dengan keluarga awak, Anis.”
            “We do appreaciate your concern, Anas…” Jemari Anis kembali menekan butang lif. Dia meminta izin untuk naik ke atas. Lagi cepat selesai, lagi cepat sampai rumah.
            “Anis…” Sekali lagi namanya dipanggil. Wajah Anas kelihatan serba salah. Mata meliar dahulu di sekeliling. “Tak apalah… awak naik dulu. Nanti saya datang ke rumah.” Itu saja kata penutup daripada Anas. Sudah gila agaknya dia sebentar tadi, hampir mulutnya hendak berkirim salam dengan Adila. Kau dah nak kena pelempang dengan kakak dia ke?

SALINA dengan sopannya menghidangkan air di depan tetamu yang muncul tiba-tiba di depan rumah mereka. Hendak dihalau seperti yang digumamkan oleh Kak Ninanya, rasa macam terlalu kejam pula. Dia tahu, berbanding Hanina dan Farina, dia lebih berjiwa lembut. Itu yang Puan Faridah mengamanahkan dia untuk lakukan tugas melayan tetamu ini. Tetamu yang tidak diundang, bak kata Kak Nina lagi.
            Melihat senyuman gatal di bibir itu, Salina menelan liur sendiri. Kalau Farina ada, pasti biji mata itu dikorek sampai terkeluar. Huh. Dasar miang!
            “Sal buat apa sekarang?” Zahran tersenyum manis. Geram pula dengan mata sendiri bila dapat tengok si adik Hanina yang cantik macam bidadari. Kakak dia pun lawa, adik dia pun mengancam. Patut ke aku lepaskan peluang? Memang tak!
            “Saya kerja akauntan, dekat Bank Islam. Alhamdulillah, lepas graduate terus dapat kerja. Tak tunggu lama. Kalau tak menambahkan beban Kak Nina pulak. Abang pun tahu kan, dia sibuk uruskan taska tu. Sejak abah dah tak sihat sangat, Kak Nina yang uruskan semua hal rumah…” Ramah Salina bercerita. Biarlah, terasa tidak ada yang salah. Zahran harus tahu kalau ikhlas hendak berkahwin dengan kakaknya.
            “Baguslah…” Zahran menjeling kecil. “Makin cantik Sal, sejak lama tak balik Perak ni. Terlompat jugak jantung abang bila nampak masa mula-mula masuk rumah tadi.”
            Hai ulat bulu, kau langsung tak boleh nak kawal mulut tu kan! Farina yang kebetulan pulang dari kelas, terasa pedih biji mata melihat. Ikut hati, nak saja dihempuk kepala Zahran itu dari belakang. Tapi bila nampak isyarat mata Salina yang ayu lagi ramah tu, tak jadi. Huh, selamat kau ulat bulu!
            “Hai abang… kata nak dengan Kak Nina, ni apa mimpi duk mengurat Kak Lina pulak?” Tanpa salam, Farina menyindir. Harapan sajalah dia nak menegur lelaki miang ini dengan sopan santun. Biarpun dijegil oleh Salina, ah… pedulikan.
            “Mengurat apa pulak… puji aje. Rina pun, cantik apa.” Zahran tersengih kelat. Sekadar berbahasa. Lihat sahaja adik bongsu Hanina ini, gaya brutal gila. Silap cakap, dia boleh kena sepak keluar. Dia tahu sangat dengan perangai samseng Farina ini. Cakap pun main lepas.
            “Sudah la bang… kat sini tak ada yang nak beli minyak. Berhentilah mengayat. Silap nanti, herot mulut abang yang cun tu.” Farina tersenyum manis walaupun bibir seronok menyindir.
            “Rina!!!”
            Baru saja nak berseronok mengenakan Zahran, dirinya sudah menjadi bahan teguran. Nada Puan Faridah itu, dia tahu sangat.
            “Zahran, jangan ambil hati ya dengan Rina ni. Dia memang macam ni…” Serba salah Puan Faridah menutur kata. Bimbang pula andai cerita yang tidak-tidak sampai buat pendengaran Datin Juhairah dan Datuk Zaman. Bimbang jika anaknya diapa-apakan. Farina ini tidak sedar, sarang tebuan yang sedang dijolok ini bukan calang-calang tebuan. Bisanya menyengat pasti tidak mampu dihilangkan.
            Sudahlah suaminya juga tiada di rumah, keluar mengikuti aktiviti AJK kawasan perumahan di sini.
            “Tak apalah auntie. Rina melawak aje, Zahran faham.” Konon berbudi bahasa sangat. Zahran tak berhenti menyinis dalam hati. Kalau tak disebabkan kerana azam untuk mengikat si Hanina tu, belum tentu dia akan menjejakkan kaki ke sini. Terpaksa pula melayan sindiran daripada minah brutal ni. Nasib juga ada pandangan yang menyejukkan hati. Pandangannya mulai jatuh pada wajah Salina. Apasal kau lawa sangat ni?
            Zahran mengetap bibir. Cuba mengawal rasa hati.
            Farina yang perasankan riak itu, terasa marak api kemarahannya. Dia tak peduli, Zahran ini memang wajib makan penamparnya sekali! Eeeiii… dasar lelaki, miang gatal. Pandang kakak aku, tak agak!
            Ringan saja tangan itu hendak melibas ke belakang bahu Zahran, tapi terhenti pula. Kacau stim!!!
            Hanina yang sudah bersiap menukar pakaian muncul kembali. Rimasnya bila dia terpaksa akur untuk keluar dengan lelaki ini. Tapi untuk menjelaskan apa yang terbuku di hati, dia rasa wajar perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Dia tidak mahukan Zahran sebagai suami. Muktamad!
            “Akak nak ke mana?” soal Farina laju. Matanya mengecil menghadirkan rasa tidak senang pada pandangannya itu.
            “Kak Nina, nak dating dengan abanglah… kenapa? Rina nak ikut ke?” Mesra sangat Zahran menyoal. Tapi terserlah sungguh hipokrasi di situ.
            Farina mencebik. Salina menahan senyum. Melihat mimik muka si bongsu itu, dia tahu sangat, sudah berbakul sumpahan berbuku di hati Farina. Zahran kira bernasib baik saja hari ini. Mujur ada emak. Kalau tidak, jadi gulailah kau, Abang Zahran!
            “Akak nak Rina temankan?” Lembut Farina menyoal. Jelingan maut dihadiahkan buat pandangan Zahran. Ingat senang-senang nak ajak kakak aku keluar? Hei, ini bodyguard dialah! “Rina bukan apa kak, tak elok lelaki dan perempuan berdua-duaan. Setan bukan bagi chance. Lainlah kalau Rina temankan…” Mata itu sudah mengenyit nakal buat pandangan Hanina.
            Tidak dapat menahan, tawa Hanina meletus juga dengan aksi nakal Farina. Matanya mengerling wajah Zahran. Nampak sangat berharap dia menolak permintaan Farina. Eh, helo… malam sikit! Tak kuasa mak nak keluar berdua dengan ulat bulu. Silap-silap boleh berjangkit sindrom kegatalan.
            “Rina tak minta pun, memang akak nak ajak. Lagipun Abang Zahran ni, kekok kalau keluar berdua dengan perempuan. Abang pun tak biasa kan?” Sengaja Hanina memulangkan soal pada Zahran. Melihat wajah yang terkebil-kebil itu pun dia sudah dapat jawapan. Padan muka!
            Kau fikir, rumah ni semua anak dara lembik? Hei, silap banyaklah bang.
            Zahran mengetap bibir kuat. Rasa marah yang membuak cuba ditelan. Wajahnya dimaniskan. Melihat si dara terkekek di hadapannya ini, makin memarakkan amarah. Matanya mengecil fokus pada wajah Hanina. Bibir mulai herot, tersenyum sinis.
            You started the game, Nina. So, don’t regret baby! Kau tak sedar agaknya, Zahran ni bukan setakat yang kau bayangkan. Lebih daripada tu, aku akan buat! Bergembiralah sekarang, bergembira selagi kau ada peluang!
            Puan Faridah yang perasankan riak di wajah Zahran terus mencuit lengan Hanina. Mencerunkan pandangan mata agar tidak usah memalukan Zahran lagi. Pandangan anak teruna itu, bukan pandangan biasa. Tetapi pandangan yang menyimpan dendam buat anaknya. Hati si tua ini semakin ditekan resah.

“KE MANA sajalah yang kamu nak bawa nenek ni, Anas?” Tidak berhenti lagi soalan itu daripada bibir nenek. Anas pula seakan bermain teka-teki. Katanya nak tengok anak saudara. Siapa?
            “Sabarlah nek… sekejap lagi, nenek tahulah.” Anas tersenyum. Dalam hati rasa gembira lain macam. Walaupun salah, tapi hati tetap nak melayan. Langsung tidak mahu akur dengan perintah tuan. Mungkin, benar… hati itu sudah terbabas! Kalaulah nenek tahu… lebih teruk, kalaulah Liyana tahu…
            “Hah, sementara nenek teringat ni, Anas dengan Liyana dah pergi ke tengok-tengok baju kenduri? Kenapa macam senyap aje?”
            Hampir tersedak Anas mendengar soalan itu. Sedang baru teringat, nenek sudah menyebut. Tapi, sebetulnya, dia dan Liyana masih belum berjumpa lagi. Kali terakhir selepas bertemu dengan Adila di pasaraya. Itu yang terakhir.
            “Anas tak sempat jumpa dia lagi…” Perlahan saja suara Anas menjawab. Tak sempat, Anas! Hati mula mengutuk. Pergi jenguk Adila, banyak pula masa.
            “Tak sempat jumpa? Anas… nak buat majlis kahwin tau! Bukan main-main… nanti mengamuk pulak Datin tu.” Sengaja nenek berseloroh dengan nama Datin Juhairah. Tahu sangat dengan sikap mama Anas yang cerewet itu. Sedang pada masa dia kenalkan Liyana dulu pun, banyak sungguh suara sumbang. Banyak sungguh songeh berkenaan status dan pangkat.
            Setelah dijelaskan tentang latar belakang keluarga Liyana yang tidak kurang hebat itu, barulah nampak sikit senyum di wajah Datin Juhairah. Hati si tua ini hanya mampu mengeluh saja memikirkan menantu yang masih tidak berubah. Dari dulu sampai sekarang, sama sahaja. Sebab itu Zahran lain perangainya daripada Anas. Dia tahu itu. Dan dia tidak mampu menegur.
            “Nenek jangan risaulah… Anas akan uruskan.” Lemah saja suara yang memberi jawapan. Jauh sungguh perasaan teruja untuk menamatkan zaman bujang ini.
            “Lain macam sangat bunyi… Anas ni, nak kahwin ke tak sebenarnya?” Meninggi suara nenek.
            “Tak.” Laju Anas menyahut. Selamba dan tidak sedar.
            Membulat mata nenek di sebelah. Main-main sungguh kau ni! Boleh heart attack aku kalau macam ni.
            “Anas… dengar tak soalan nenek? Anas nak kahwin dengan Liyana tak?” Diulang soalan itu dengan serius. Kereta yang dipandu Anas sudah berhenti di depan pintu pagar rumah yang terlalu asing daripada memori. Belum pernah lagi dia ke sini. Baru pertama kali cucunya ajak ke mari.
            Anas berpaling, menghadap wajah nenek. Bibir cuba mengorak senyum.
            “Insya-Allah, kalau dah tertulis begitu… begitulah nek.”
            Mata nenek mulai mengecil.
            Anas tahu sangat, nenek memang tak puas hati dengan jawapan itu. Jawapan nak selamat. Jawapan nak lari daripada hakikat. Jawapan yang mula menafikan statusnya sebagai tunang Liyana. Dan jawapan…
            Matanya terpaku ke depan.
            Itulah jawapan yang hati hendakkan. Bibir terus tersenyum meleret. Nampaknya, aktiviti melawat anak saudara, akan menjadi aktiviti yang paling best buat masa ini. Sebab… mak cik sedara ada sekali.
            Oh, Anas… pergilah berubat! Dah parah sangat.
            “Nek, jomlah… dah sampai rumah, anak saudara ni.” Anas tersengih lebar. Dan nampak dengan jelas, dahi nenek yang sedia berkedut, makin berkerut. Tapi nenek tidak berkata apa, menurut saja keluar dari kereta.
            “Mak… ada tetamu ni.” Adila yang sedang menjemur kain di ampaian, terus melaung memanggil Puan Amina. Matanya menangkap jelas figura seorang nenek. Tapi siapa? Belum sempat minda mencerna, sudah ada seraut lagi wajah. Tersengih lebar. Amboi, bahagia!
            Hatinya mulai berbolak-balik. Rasa macam baru aje sekejap tadi dia cuba mengelak untuk menjawab panggilan Anas. Ini sudah muncul di depan pintu pagar. Petanda apakah?
            “Adila, buka pintulah! Melangut apa biar tetamu berdiri dekat luar rumah.” Puan Amina membebel melihat Adila yang statik memegang kain batik di tangan.
            “Masuklah… Anas.” Pelawa Puan Amina ramah. Dia kenal lagi dengan anak muda itu. “Ini ke neneknya?” Senyuman dihulur pada wanita yang berdiri di sisi Anas.
            “Panggil Mak Dah aje… untuk Anas ni, neneklah…” Nenek bersalam. Nenek yang sememangnya peramah, langsung tidak kekok walaupun baru pertama kali berjumpa.
            “Ini, mak Anis, nek…” Baru Anas bercerita. Dan serentak mulut nenek membulat. Dan mata tua itu terus mendarat pada si dara yang masih terkaku di ampaian. Daripada sorotan mata yang mendarat di wajah Anas itu pun, dia sudah tahu. Inilah orangnya!
            Nenek menjeling sekilas ke wajah Anas. Anas tersengih.
            “Masuklah dulu…” Puan Amina sekali lagi mempelawa. Dan kaki tetamu berdua itu melangkah juga. Sambil sepasang mata, mengerling sekilas pada jasad Adila.
            “Itu ke… calon bini nombor dua kamu?” soal nenek selamba. Mujur sahaja nadanya rendah.
            Anas terbatuk kecil. Nenek punya soalan, tak agak! Boleh menyebabkan dia disepak keluar tanpa teragak-agak oleh tuan rumah. Bahaya!

MENERIMA diri Zahran sebagai tetamu, adalah kesalahan nombor satu. Dan bersetuju untuk keluar dengan lelaki miang itu, adalah kesalahan nombor dua. Dan membenarkan lelaki itu dengan suka hati miang keladi dia memegang jemarinya ketika melangkah masuk ke dalam pusat membeli-belah ini, adalah kesalahan nombor tiga. Dan terpaksa meninggalkan Farina di rumah, adalah kesalahan yang tidak menemui nombor ke berapa.
Sesungguhnya, dia akan sangat bersyukur kalau tangan itu mampu melayangkan sebuah penampar padu di wajah kacak Zahran itu.
            Eh, kacak ke? Macam telur separuh masak aje aku tengok. Dengan senyum sinis tu. Huh!
            “Sudahlah kalau nak menyumpah pasal I dalam hati. You takkan mampu ubah apa pun.”
            Nada sinis itu memaksa Hanina mengecilkan biji mata. Kalau ada kuasa laser dalam renungannya itu, akan disiat-siat muka si Zahran! Biar hilang segala aset dia. Jangan fikir dengan gaya angkuh tu, aku akan menurut saja.
            “Lepaslah!” Dengan tarikan yang lebih kuat, Hanina melepaskan tangannya daripada genggaman Zahran. Lega! Rasa geli satu badan bila jemari lelaki itu tidak berhenti menguatkan simpulan. Kan dah cakap, sindrom ulat bulu boleh dijangkiti.
            “Lepas tangan aje tau… lepas kau, memang taklah!” Bisikan itu singgah di telinga Hanina. Tanpa dapat Hanina menjerit, jemari telunjuk Zahran singgah ke bibirnya.
            “Jangan nak memberontak sangatlah Nina… kau tahu kan, aku macam mana? Kau tahu kan, aku pantang dicabar? Kau tahu jugak kan, aku memang tak pernah lepaskan mana-mana perempuan, yang berjaya buat aku marah? Kau lupa Nina… kau lupa…” Sinis nada Zahran. Bibir mulai tersenyum keji. Melihat bibir Hanina bergetar pun, dia sudah tahu. Ayat itu sudah cukup untuk mengentarkan gadis itu.
            Itulah, mak dan abah pesan… jangan bermain dengan api. Kau silap Nina. Kau main dengan aku. Aku api yang tak pernah padam. Semakin kau marah, semakin aku marak.
            “Kau ingat, senang-senang macam tu aku nak menurut? Jadi bini kau? Supaya kau dapat balas dendam?” Hanina menyoal berani. Kalau Zahran fikir dia takut, lelaki itu silap.
            “Kau memang tak dilahirkan untuk memilih, Nina… aku yang pilih kau. Dan kau yang buat aku memilih. Kau patut bangga, terpilih jadi isteri aku…” Zahran melepaskan ketawanya.
            Hanina mencebik. “Bodoh!” Ucapnya kuat. Terluncur tanpa dapat ditahan. Melihat tawa Zahran mati, dan mata tajam lelaki itu menikam wajahnya, bebola mata Hanina bergerak pantas. Renungan itu membunuh.
            “Nina… jangan cabar aku lagi!” Zahran menekan perkataan lagi itu. Jelas untuk masuk ke telinga Hanina. “Jangan…” Ulangnya.
            Hujung tudung bawal yang terbalut di kepala Hanina disentuh lembut. Dulu, ini bukan pilihan Hanina. Hanina lebih cantik dengan rambut panjang lepas bebas itu. Hanina lebih cantik dengan jeans dan blaus feminin mengikut tubuh lampai itu. Hanina memang cantik, cukup cantik untuk mendapatkan perhatian seorang lelaki sepertinya. Sekarang ini pun, semakin cantik bila dipandang.
            “Kalau kau kahwin dengan aku, kau takkan ada benda untuk disesalkan.” Sekali lagi Zahran mengatur ayat. Menuturkan sambil memandang tepat ke dalam mata Hanina.
            “Aku takkan!” Dan Hanina masih berdegil.
            Hanina sememangnya dilahirkan untuk mencabar kesabaran seorang Zahran.
            “Aku takkan kahwin dengan kau, yang langsung tak reti hormat perasaan perempuan. Aku takkan! Kalau kau fikir, kau boleh beli semua benda dalam dunia ni dengan duit kau, kau silap. Kau takkan boleh beli aku. Aku tak murah macam perempuan-perempuan yang kau bawa masuk bilik, Zahran Datuk Zaman.”
            Puas Hanina dapat berkata begitu. Anehnya, Zahran tidak melenting. Lelaki itu terus tersenyum.
            “Sebab kau tak murahlah, aku tak beli kau. Aku nak masuk meminang kau, nak nikah dengan kau. Sebab kau memang tak murah, Nina…” Intonasi Zahran lembut sekali. Wajahnya mula mendekat dengan Hanina. Tetapi gadis itu lebih pantas menjarak.
            Hanina menelan liur. Lain macam aje aku tengok mamat ni. Tapi yang penting duhai hati, kau jangan termakan pujukan si ulat bulu yang tak pernah masuk dalam list calon suami aku ni.
            Serentak itu telinga Hanina menangkap bunyi. Tidak sempat mendengar lebih rangkap lagu yang berkumandang itu, terus terhenti. Zahran menjawab panggilan.
            “Hey, babe… I’m at Shah Alam now. You wanna meet? Sure…” Dengan mengisyaratkan tangan untuk tunggu di hadapan wajah Hanina, Zahran bergerak sedikit menjauh.
            Hanina mencebik. Huh! Dasar lelaki tak pernah puas. Inilah fenomena seharian dalam hidup Zahran. Dan dia sangat pasti, entah koleksi perempuan ke berapa yang sedang diayat oleh lelaki ini.
            Sangat tak mungkinlah dia hendak percaya dengan bisikan lembut si buaya tembaga itu!
            Malas hendak menunggu Zahran, Hanina terus saja melangkah. Mengheret kaki ke kedai pakaian di situ. Saja nak mencuci mata. Tak ada keinginan pun untuk membazirkan duit dengan sia-sia.
            Baru saja dia nak mencapai sehelai blaus yang kelihatan menarik di situ, telefonnya sudah berbunyi. Huh, bosannya! Makhluk Zahran tu, tak reti ke nak balik terus. Tak payah nak sibuk-sibuk pasal aku dekat sini.
            Hanina terus saja berjalan, buat tak peduli. Tapi, telefon kembali berbunyi lagi. Dengan malas, dicapai juga telefon. Dilekapkan pada telinga. Pura-pura saja hilangkan diri, Zahran bukannya sedar pun.
            “Helo, nak apa? Kau balik ajelah…” Malas Hanina bersuara. Siap dilepaskan dengusan penuh rasa meluat.
            “Balik dengan awak ke, Nina?”
            Dan spontan terjelir lidah Hanina. Pulak dah! Salah orang… Lambat-lambat sengih kelat muncul di bibir. “Ada hal apa ya, awak telefon?”
            “Saja… merisik khabar.”
            “Tiba-tiba…” Hanina sengaja melepaskan tawa. Nada suara yang menyapa pendengarannya itu, kembali memalu gendang di hati. Kenapa makin lama, terasa semakin didekati.
            “Tak sudi ke, kalau saya yang bertanya khabar?”
            Dan Hanina mengeluh. Qaiser…
            “Kenapa nak tanya khabar saya? Saya okey. Saya tak ada apa-apa. Kalau itu yang awak risaukan, tak perlu Qaiser. Saya sihat, alhamdulillah.” Nada suara Hanina menuruh. Lelah dengan amukan suara hati.
            “Nina…”
            Belum sempat ayat Qaiser menerjah, Hanina lebih pantas memotong. “Qaiser, kalau tak ada hal penting, saya letak dulu.”
            “Err… okey. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumsalam…” Dan talian dimatikan.
            Pandangan Hanina terus ke hadapan. Sekali lagi tersentak. Hampir terjerit bibirnya. Namun, ketawa yang dilepaskan oleh insan itu seakan memujuk hati. Terasa bagaikan satu antibiotik yang disuntik untuk meningkatkan imuniti. Apa hendaknya lelaki ini?
            “Maaf, buat awak terkejut…” Bibir itu tersengih.
            “Awak buat apa dekat sini? Bila sampai sini? Macam mana tahu saya dekat sini? Kenapa…”
            “Okey… satu per satu. Saya akan jawab semua soalan awak. Tapi jom, teman saya minum dulu… haus pulak dengar soalan awak yang non-stop tu.”
            Qaiser ketawa, seolah menikmati sendanya. Tetapi, Hanina bermasam cuka. Langsung tidak menikmati saat itu. Pandangannya mencerun. Dia perasan akan keanehan lelaki itu.
            “Saya tak nak keluar minum ke, makan ke… apa-apa pun, saya tak nak. Yang saya nak dengar sekarang, awak jawab soalan saya. Awak buat apa dekat sini?” Tajam pandangan mata Hanina. Hatinya terasa marah. Hati itu terasa seakan dipermainkan. Hati yang pernah menyukai itu, terasa dilukai dengan perhatian sebegini. Dia tidak mahukan yang istimewa daripada Qaiser. Cukup sekadar kawan biasa yang berhubung untuk perkara-perkara penting sahaja. Tetapi, sekarang…
            “Salah ke, kalau saya datang?” Soalan berjawab dengan soalan. Qaiser seakan tidak dapat menyelami maksud yang disampaikan oleh pandangan Hanina.
            “Saya datang, sebab awak tak sihat. Awak kemalangan kan? Saya datang nak jenguk awak. Sebagai menghargai pertolongan awak pada saya selama ni. Awak tolong saya, jagakan Asma. Takkan saya tak boleh jenguk awak?”
            “Tak payahlah Qaiser…” Hanina menjawab malas.
            “Kenapa pulak?” Qaiser menjungkitkan kening. Jawapan Hanina dengan riak wajah bersahaja itu, langsung tidak mahu diendahkan oleh telinga. “Takkan sebagai kawan, saya tak boleh concern tentang awak?” Sekali lagi, kening itu dinaikkan. Penuh usikan di wajah. Qaiser tersenyum tanpa sedar.
            Memang gila kalau difikirkan bila dia datang ke sini, semata-mata hendak menjenguk Hanina. Memang dia gila, bila dah sampai ke rumah Hanina, dapat tahu Hanina sudah keluar. Nekad di hati, diteruskan juga. Dicari Hanina sampai ke sini. Oh, gilakan apa sangat Qaiser? Gilakan Hanina?
            Ditepuk dada itu berkali-kali. Hanya usikan emak dan Anis kembali mendapat tempat di hati.
            “Kira jadilah tu. Hanina jadi menantu nombor dua rumah ni…” Usikan yang bergema di telinga sebelum dia bertolak ke sini. Memang gila. Tapi kerana usikan itu juga, dia tersenyum sepanjang perjalanannya. Benarkah, dia sudah tergilakan Hanina?
            Mata kembali fokus pada wajah Hanina. Namun, dalam sekelip mata juga senyuman di bibir mati.
            “Hai… kawan Nina ke? Nice to meet you, I am Zahran, her future husband.” Tangan dihulurkan oleh Zahran yang tersenyum ceria di sebelah Hanina.
            Serba-salah, Qaiser menyambut juga tangan yang dihulurkan. “Qaiser.” Sebutnya pendek. Matanya kembali pada wajah Hanina yang sudah beriak kelat di wajah. Dan sekali lagi, mata Qaiser singgah di wajah Zahran.
            Zahran? Kenapa dia macam…
            Mata Qaiser terus mengecil. Minda mula mencerna. Wajah itu, sememangnya sangat segar di memorinya. Lelaki di hadapannya ini, sangat mirip seseorang. Seseorang… Anas!
            Tercelik luas mata Qaiser. Zahran?
            “Kau, abang Anas ke?” soalnya meneka.
            Zahran tersenyum lebar. “Hei, kenal Anas ke? Adik kembar aku tu.”

            Tidak tertelan liur Qaiser di saat mendengar hakikat itu. Zahran? Lelaki keparat yang sama pernah merosakkan Asma. Kini, hendak mengahwini Hanina? Minda Qaiser tidak mampu untuk mencerna apatah lagi untuk menerima hakikat itu.

____________
memang hakikat cerita ni banyak watak. Saya enjoy mengarang kisah depa. Harapnya, kamu-kamu pun enjoy membaca ;)

20 comments:

  1. saya mmg enjoy membaca tetapi saya amat mengharapkan anas dgn adila dan bukannya liyana...hahaha saya dah taksub dgn watak mereka dan saya x sanggup nak membaca kisah zahran lalu meng-skipnya hahahaha ok cerita ni sgt enjoy btw boleh x bg sikit part anas dgn anis tu huhu~nurul~

    ReplyDelete
  2. ada kelainan sebab rasanya ni 1st time saya baca tulisan yg byk watak

    -chah husain-

    ReplyDelete
  3. alamak..ingat qaiser nak bg sedas dua tumbukan kt si zahran tu....bru je nk excited tbe2 da hbs ep kali ni..hahaha....adoi...bile la si mamat zahran tu nak hilang ego n perasantan die tu...gerammmm

    ReplyDelete
  4. Harap Qaiser dapat bagi sebiji dua penumbuk kat muka Zahran tu?

    ReplyDelete
  5. Geram lah dgn zafran ni..miang.nasib je qaiser knl dia,hrpnya dpt selamatkan nina dr jd mangsa setrusnya...suka lah klu anas dgn adila,tp msti da halangan

    ReplyDelete
  6. Memang saspen ape yg akn qaiser buat kt zahran nti. mst dia bgtau hanina kot zahran bapak afi

    ReplyDelete
  7. Ye. Sy mmg enjoy! Mencabar sbb nak phmkan sume watak tuh! Suke!!

    Sufi (",)

    ReplyDelete
  8. Zahran memang org yg gila betul.... nasib baik Qaiser ingat akan wajah tu lagi... jangan bagi peluang Hanina jadi mangsa Zahran...
    biarlah nenek tahu tentang siapa anak saudara Anas .... dan bapak dia Zahran yg x bertanggungjawap tu... geramnya....

    ReplyDelete
  9. gilak ah! dulu2 macam malas nak baca cerita ni sebab wataknye complicated, tapi ni bila dah start baca rasa macam x sabar nak tahu seterusnya..haha

    ReplyDelete
  10. sambunglah cepat, umi. i was hoping to read abt anas and adila. hehe
    -zayani_

    ReplyDelete
  11. Ohhhh plisssss2 sambung cerita nie...huhu

    ReplyDelete
  12. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  13. Ohh.. Writer pliss make happy ending..
    Btw benci dengan watak zafran n qaiser

    ReplyDelete
  14. Oh umi rindulah dgn cite ni.. Kalau bole sya nk qaiser dgn asma.. X nk nina tpi klau asma dgn zafran pon ok gak.ngeee..smbong lagi...!

    ReplyDelete
  15. Bila nak sambung?? Lama sangat dah ni

    ReplyDelete
  16. bila nak sambung cite nie?

    ReplyDelete
  17. Hai , i read this on 2016 . Im hoping writer could continue this story till the end .
    Salam sayang , yr readers :)

    ReplyDelete
  18. Xberapa suka watak qaiser, sbb dah tersuka dia dgn asma. How i wish mereka akhirnya bersama. Keep writing. Hope boleh sambung lagi. ��

    ReplyDelete