Bab 13
MELIHAT wajah si kecil yang nyenyak tidur itu,
hatinya terasa berbaur. Baru sekejap tadi abah menyelesaikan pendaftaran bagi
anak yang dilahirkan ini. Sesak dada melihat ruangan nama bagi bapa yang kosong
tidak berisi. Menitis juga air mata yang ditahan sejak tadi.
Sudah
dihuraikan dalam hukum, anak luar nikah dan anak hasil daripada zina tidak
boleh dibinkan dengan nama bapanya. Walaupun si ibu sudah berkahwin dengan
lelaki itu, namun anak yang dilahirkan tetap tidak boleh dinasabkan kepada nama
bapanya.
Sedih
hati mengenangkan itu.
Afi
Sani Bin Abdullah.
Nama
yang tercatat di sijil kelahiran anaknya. Encik Bohari ada juga menerangkan,
dibolehkan untuk anak itu berbinkan nama ibu sendiri, iaitu dirinya. Tapi, Asma
menolak. Dia malu. Anaknya pasti akan menyoal tentang perkara itu kelak. Dia
pasti!
“Afi…”
Bibir menyeru nama itu. Terasa bersalah sungguh kepada si kecil yang tidak
berdosa ini. Dilahirkan tidak sah tarafnya hanya kerana kesalahan dan nafsu
yang pernah mencengkam diri ini. Maafkan ibu, Afi.
Air
mata dikesat laju saat kelibat jururawat yang melakukan pemeriksaan sudah tegak
di sisi katil. Asma tidak banyak membuka mulut, sekadar menjawab pertanyaan
yang diajukan. Entah kenapa, sejak Afi lahir, perasaannya menjadi lain macam.
Dulunya teruja, kini… kelam. Dia semakin takut. Semakin takut untuk menghadapi
realiti.
Semakin
gundah memikirkan apa cemuhan yang bakal menanti.
Sebelum
masuk ke hospital pun, telinganya sudah menangkap kata-kata yang kurang enak
dilemparkan buat Puan Amina.
“Kahwinnya
hari tu, anak sulung. Yang boyotnya, anak kedua. Ada benda yang kita terlepas
pandang ke? Bukan main pergi kerja dekat luar negeri, balik sekali, bawa perut!
Aku tak sangka, anak Bohari macam ni.”
Sinis.
Kesinisan
yang menemani perjalanannya sepanjang berada di rumah keluarganya. Asma menelan
dengan susah payah. Hendak menangis? Sudah terlambat. Patut difikirkan dulu,
sebelum teringin nak buat. Dah buat, tanggunglah akibat. Dan dia, sangat
berharap agar Allah akan menerima taubatnya.
“Asma,
dah boleh keluar hari ni…” Teguran itu membuatkan Asma segera beralih mood. Dia
tidak mahu orang lain menghidu kesedihan yang mulai bertandang di hati. Dia
tidak mahu emak dan abah terus terpalit dengan cemuhan disebabkan dosa yang
dicarinya.
“Kenapa
dengan kau ni?” Anis menyoal serius, perasan dengan riak di wajah Asma.
Asma
menggeleng laju. Mengatakan dia okey. Menipu sangat! Macam Anis nak percaya.
“Kak
Anis datang dengan siapa?” soal Asma, hendak mengubah topik.
“Dengan
mak. Dia singgah kat kafe kejap. Kau siap-siap dulu, aku pergi settle apa-apa yang patut.”
Anis
sudah berdiri. Saat itu lengannya dipaut oleh Asma. Erat.
“Asma
minta maaf…”
Anis
menjulingkan biji mata. “Dah, tak payah nak mood sinetron sangat. Sekarang, kau
siap-siap. Kejap lagi, kita balik rumah. Hah, lagi… kalau ada mulut-mulut
celupar yang mengutuk mengata pasal kau, cakap aje dengan Hakak Anis ni!” Anis menepuk dada sendiri. “Tahulah aku nak buat
apa. Kau tak payah duk buang air mata, sedih bagai nak rak. Nak dapat apa sedih
pun? Bukan boleh sihatkan badan. Baik kau tengok Afi, bahagia hati dan
perasaan!”
“Kak
Anis… aku selalu menyusahkan kau.” Asma sebut juga lagi ayat bibit sinetron
biarpun dilarang oleh Anis.
“Kalau
kau nak terus melayan mood glommy kau
ni, aku tampar jugak sekejap lagi.” Anis mengugut serius. Dan Asma terus
menzipkan mulut.
Dan
Anis terus melangkah ke kaunter hospital untuk menyelesaikan urusan. Selesai
berurusan, dia sudah hendak kembali untuk mendapatkan Asma yang pasti sedang
dibantu oleh Puan Amina mengemaskan barangannya. Baru saja kaki bergerak ke
arah lif, terdengar namanya diseru.
“Anas…”
Sekali pandang saja dia sudah tahu.
“Saya
nak melawat adik awak, boleh?”
“Err…
sini ke?” Anis serba salah. Ini bukan hospital swasta. Hospital kerajaan saja
pun. Bukan Asma ditempatkan di bilik persendirian. Wad terbuka, ramai lagi
wanita lain ditempatkan di situ. Aurat terdedah. “Apa kata, awak datang ziarah
di rumah aje? Boleh?” Anis cuba memperelokkan cadangan. Rasanya tidak salah
kalau Anas nak datang melawat pun.
“Boleh?”
Anas teruja.
“Boleh
sangat… datanglah ke rumah nanti. Bawalah nenek awak sekali, itupun kalau nenek
awak sudi.” Sempat lagi Anis mempelawa nenek Anas yang ditemui tempoh hari.
Ramah sungguh orangnya.
“Insya-Allah,
saya datang nanti, ajak nenek. Errr… Anis, kalau Asma perlukan apa-apa
pertolongan, awak jangan nak segan-segan bagitau saya. Kalau nak kena guna duit
ke, apa ke… cakap aje. Si Zahran tu, duit bertimbun. Saya boleh pastikan dia
uruskan hal anak dia ni!”
Anis
menggeleng. Senyuman terukir di bibir.
“Hak
penjagaan Afi, sepenuhnya di atas bahu si ibu. Awak tak perlulah nak rayu
pertolongan abang awak tu. Belum tentu dia nak… silap-silap, lagi teruk dia
malukan Asma. Kita fikirkan perasaan Asma dan keluarga saya jugak. Awak
fahamkan, Anas?”
“Saya
faham, tapi jangan segan nak cakap dengan saya kalau perlukan bantuan. Saya
rasa bersalah, saya dah tak ambil tahu tentang Asma sejak di ke Shah Alam.
Padahal, abang saya yang sebabkan semua ni terjadi. Saya malu dengan keluarga
awak, Anis.”
“We do appreaciate your concern, Anas…”
Jemari Anis kembali menekan butang lif. Dia meminta izin untuk naik ke atas.
Lagi cepat selesai, lagi cepat sampai rumah.
“Anis…”
Sekali lagi namanya dipanggil. Wajah Anas kelihatan serba salah. Mata meliar
dahulu di sekeliling. “Tak apalah… awak naik dulu. Nanti saya datang ke rumah.”
Itu saja kata penutup daripada Anas. Sudah gila agaknya dia sebentar tadi,
hampir mulutnya hendak berkirim salam dengan Adila. Kau dah nak kena pelempang
dengan kakak dia ke?
SALINA dengan sopannya menghidangkan air di depan
tetamu yang muncul tiba-tiba di depan rumah mereka. Hendak dihalau seperti yang
digumamkan oleh Kak Ninanya, rasa macam terlalu kejam pula. Dia tahu,
berbanding Hanina dan Farina, dia lebih berjiwa lembut. Itu yang Puan Faridah
mengamanahkan dia untuk lakukan tugas melayan tetamu ini. Tetamu yang tidak
diundang, bak kata Kak Nina lagi.
Melihat
senyuman gatal di bibir itu, Salina menelan liur sendiri. Kalau Farina ada,
pasti biji mata itu dikorek sampai terkeluar. Huh. Dasar miang!
“Sal
buat apa sekarang?” Zahran tersenyum manis. Geram pula dengan mata sendiri bila
dapat tengok si adik Hanina yang cantik macam bidadari. Kakak dia pun lawa,
adik dia pun mengancam. Patut ke aku lepaskan peluang? Memang tak!
“Saya
kerja akauntan, dekat Bank Islam. Alhamdulillah, lepas graduate terus dapat kerja. Tak tunggu lama. Kalau tak menambahkan
beban Kak Nina pulak. Abang pun tahu kan, dia sibuk uruskan taska tu. Sejak
abah dah tak sihat sangat, Kak Nina yang uruskan semua hal rumah…” Ramah Salina
bercerita. Biarlah, terasa tidak ada yang salah. Zahran harus tahu kalau ikhlas
hendak berkahwin dengan kakaknya.
“Baguslah…”
Zahran menjeling kecil. “Makin cantik Sal, sejak lama tak balik Perak ni.
Terlompat jugak jantung abang bila nampak masa mula-mula masuk rumah tadi.”
Hai
ulat bulu, kau langsung tak boleh nak kawal mulut tu kan! Farina yang kebetulan
pulang dari kelas, terasa pedih biji mata melihat. Ikut hati, nak saja dihempuk
kepala Zahran itu dari belakang. Tapi bila nampak isyarat mata Salina yang ayu
lagi ramah tu, tak jadi. Huh, selamat kau ulat bulu!
“Hai
abang… kata nak dengan Kak Nina, ni apa mimpi duk mengurat Kak Lina pulak?”
Tanpa salam, Farina menyindir. Harapan sajalah dia nak menegur lelaki miang ini
dengan sopan santun. Biarpun dijegil oleh Salina, ah… pedulikan.
“Mengurat
apa pulak… puji aje. Rina pun, cantik apa.” Zahran tersengih kelat. Sekadar
berbahasa. Lihat sahaja adik bongsu Hanina ini, gaya brutal gila. Silap cakap, dia boleh kena sepak keluar. Dia tahu
sangat dengan perangai samseng Farina ini. Cakap pun main lepas.
“Sudah
la bang… kat sini tak ada yang nak beli minyak. Berhentilah mengayat. Silap
nanti, herot mulut abang yang cun tu.” Farina tersenyum manis walaupun bibir
seronok menyindir.
“Rina!!!”
Baru
saja nak berseronok mengenakan Zahran, dirinya sudah menjadi bahan teguran.
Nada Puan Faridah itu, dia tahu sangat.
“Zahran,
jangan ambil hati ya dengan Rina ni. Dia memang macam ni…” Serba salah Puan
Faridah menutur kata. Bimbang pula andai cerita yang tidak-tidak sampai buat
pendengaran Datin Juhairah dan Datuk Zaman. Bimbang jika anaknya diapa-apakan.
Farina ini tidak sedar, sarang tebuan yang sedang dijolok ini bukan
calang-calang tebuan. Bisanya menyengat pasti tidak mampu dihilangkan.
Sudahlah
suaminya juga tiada di rumah, keluar mengikuti aktiviti AJK kawasan perumahan di
sini.
“Tak
apalah auntie. Rina melawak aje,
Zahran faham.” Konon berbudi bahasa sangat. Zahran tak berhenti menyinis dalam
hati. Kalau tak disebabkan kerana azam untuk mengikat si Hanina tu, belum tentu
dia akan menjejakkan kaki ke sini. Terpaksa pula melayan sindiran daripada
minah brutal ni. Nasib juga ada
pandangan yang menyejukkan hati. Pandangannya mulai jatuh pada wajah Salina.
Apasal kau lawa sangat ni?
Zahran
mengetap bibir. Cuba mengawal rasa hati.
Farina
yang perasankan riak itu, terasa marak api kemarahannya. Dia tak peduli, Zahran
ini memang wajib makan penamparnya sekali! Eeeiii… dasar lelaki, miang gatal.
Pandang kakak aku, tak agak!
Ringan
saja tangan itu hendak melibas ke belakang bahu Zahran, tapi terhenti pula.
Kacau stim!!!
Hanina
yang sudah bersiap menukar pakaian muncul kembali. Rimasnya bila dia terpaksa
akur untuk keluar dengan lelaki ini. Tapi untuk menjelaskan apa yang terbuku di
hati, dia rasa wajar perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Dia tidak
mahukan Zahran sebagai suami. Muktamad!
“Akak
nak ke mana?” soal Farina laju. Matanya mengecil menghadirkan rasa tidak senang
pada pandangannya itu.
“Kak
Nina, nak dating dengan abanglah…
kenapa? Rina nak ikut ke?” Mesra sangat Zahran menyoal. Tapi terserlah sungguh
hipokrasi di situ.
Farina
mencebik. Salina menahan senyum. Melihat mimik muka si bongsu itu, dia tahu
sangat, sudah berbakul sumpahan berbuku di hati Farina. Zahran kira bernasib
baik saja hari ini. Mujur ada emak. Kalau tidak, jadi gulailah kau, Abang Zahran!
“Akak
nak Rina temankan?” Lembut Farina menyoal. Jelingan maut dihadiahkan buat
pandangan Zahran. Ingat senang-senang nak ajak kakak aku keluar? Hei, ini bodyguard dialah! “Rina bukan apa kak,
tak elok lelaki dan perempuan berdua-duaan. Setan
bukan bagi chance. Lainlah kalau
Rina temankan…” Mata itu sudah mengenyit nakal buat pandangan Hanina.
Tidak
dapat menahan, tawa Hanina meletus juga dengan aksi nakal Farina. Matanya
mengerling wajah Zahran. Nampak sangat berharap dia menolak permintaan Farina.
Eh, helo… malam sikit! Tak kuasa mak nak keluar berdua dengan ulat bulu.
Silap-silap boleh berjangkit sindrom kegatalan.
“Rina
tak minta pun, memang akak nak ajak. Lagipun Abang Zahran ni, kekok kalau
keluar berdua dengan perempuan. Abang pun tak biasa kan?” Sengaja Hanina
memulangkan soal pada Zahran. Melihat wajah yang terkebil-kebil itu pun dia
sudah dapat jawapan. Padan muka!
Kau
fikir, rumah ni semua anak dara lembik? Hei, silap banyaklah bang.
Zahran
mengetap bibir kuat. Rasa marah yang membuak cuba ditelan. Wajahnya dimaniskan.
Melihat si dara terkekek di hadapannya ini, makin memarakkan amarah. Matanya
mengecil fokus pada wajah Hanina. Bibir mulai herot, tersenyum sinis.
You started the game, Nina. So, don’t regret
baby! Kau tak sedar agaknya, Zahran ni bukan setakat yang kau bayangkan.
Lebih daripada tu, aku akan buat! Bergembiralah sekarang, bergembira selagi kau
ada peluang!
Puan
Faridah yang perasankan riak di wajah Zahran terus mencuit lengan Hanina.
Mencerunkan pandangan mata agar tidak usah memalukan Zahran lagi. Pandangan
anak teruna itu, bukan pandangan biasa. Tetapi pandangan yang menyimpan dendam
buat anaknya. Hati si tua ini semakin ditekan resah.
“KE MANA sajalah yang kamu nak bawa nenek ni, Anas?”
Tidak berhenti lagi soalan itu daripada bibir nenek. Anas pula seakan bermain
teka-teki. Katanya nak tengok anak saudara. Siapa?
“Sabarlah
nek… sekejap lagi, nenek tahulah.” Anas tersenyum. Dalam hati rasa gembira lain
macam. Walaupun salah, tapi hati tetap nak melayan. Langsung tidak mahu akur
dengan perintah tuan. Mungkin, benar… hati itu sudah terbabas! Kalaulah nenek
tahu… lebih teruk, kalaulah Liyana tahu…
“Hah,
sementara nenek teringat ni, Anas dengan Liyana dah pergi ke tengok-tengok baju
kenduri? Kenapa macam senyap aje?”
Hampir
tersedak Anas mendengar soalan itu. Sedang baru teringat, nenek sudah menyebut.
Tapi, sebetulnya, dia dan Liyana masih belum berjumpa lagi. Kali terakhir
selepas bertemu dengan Adila di pasaraya. Itu yang terakhir.
“Anas
tak sempat jumpa dia lagi…” Perlahan saja suara Anas menjawab. Tak sempat,
Anas! Hati mula mengutuk. Pergi jenguk Adila, banyak pula masa.
“Tak
sempat jumpa? Anas… nak buat majlis kahwin tau! Bukan main-main… nanti mengamuk
pulak Datin tu.” Sengaja nenek berseloroh dengan nama Datin Juhairah. Tahu sangat
dengan sikap mama Anas yang cerewet itu. Sedang pada masa dia kenalkan Liyana
dulu pun, banyak sungguh suara sumbang. Banyak sungguh songeh berkenaan status
dan pangkat.
Setelah
dijelaskan tentang latar belakang keluarga Liyana yang tidak kurang hebat itu,
barulah nampak sikit senyum di wajah Datin Juhairah. Hati si tua ini hanya
mampu mengeluh saja memikirkan menantu yang masih tidak berubah. Dari dulu
sampai sekarang, sama sahaja. Sebab itu Zahran lain perangainya daripada Anas.
Dia tahu itu. Dan dia tidak mampu menegur.
“Nenek
jangan risaulah… Anas akan uruskan.” Lemah saja suara yang memberi jawapan.
Jauh sungguh perasaan teruja untuk menamatkan zaman bujang ini.
“Lain
macam sangat bunyi… Anas ni, nak kahwin ke tak sebenarnya?” Meninggi suara nenek.
“Tak.”
Laju Anas menyahut. Selamba dan tidak sedar.
Membulat
mata nenek di sebelah. Main-main sungguh kau ni! Boleh heart attack aku kalau macam ni.
“Anas…
dengar tak soalan nenek? Anas nak kahwin dengan Liyana tak?” Diulang soalan itu
dengan serius. Kereta yang dipandu Anas sudah berhenti di depan pintu pagar
rumah yang terlalu asing daripada memori. Belum pernah lagi dia ke sini. Baru
pertama kali cucunya ajak ke mari.
Anas
berpaling, menghadap wajah nenek. Bibir cuba mengorak senyum.
“Insya-Allah,
kalau dah tertulis begitu… begitulah nek.”
Mata
nenek mulai mengecil.
Anas
tahu sangat, nenek memang tak puas hati dengan jawapan itu. Jawapan nak
selamat. Jawapan nak lari daripada hakikat. Jawapan yang mula menafikan
statusnya sebagai tunang Liyana. Dan jawapan…
Matanya
terpaku ke depan.
Itulah
jawapan yang hati hendakkan. Bibir terus tersenyum meleret. Nampaknya, aktiviti
melawat anak saudara, akan menjadi aktiviti yang paling best buat masa ini. Sebab… mak cik sedara ada sekali.
Oh,
Anas… pergilah berubat! Dah parah sangat.
“Nek,
jomlah… dah sampai rumah, anak saudara ni.” Anas tersengih lebar. Dan nampak
dengan jelas, dahi nenek yang sedia berkedut, makin berkerut. Tapi nenek tidak
berkata apa, menurut saja keluar dari kereta.
“Mak…
ada tetamu ni.” Adila yang sedang menjemur kain di ampaian, terus melaung
memanggil Puan Amina. Matanya menangkap jelas figura seorang nenek. Tapi siapa?
Belum sempat minda mencerna, sudah ada seraut lagi wajah. Tersengih lebar.
Amboi, bahagia!
Hatinya
mulai berbolak-balik. Rasa macam baru aje sekejap tadi dia cuba mengelak untuk
menjawab panggilan Anas. Ini sudah muncul di depan pintu pagar. Petanda apakah?
“Adila,
buka pintulah! Melangut apa biar tetamu berdiri dekat luar rumah.” Puan Amina
membebel melihat Adila yang statik memegang kain batik di tangan.
“Masuklah…
Anas.” Pelawa Puan Amina ramah. Dia kenal lagi dengan anak muda itu. “Ini ke
neneknya?” Senyuman dihulur pada wanita yang berdiri di sisi Anas.
“Panggil
Mak Dah aje… untuk Anas ni, neneklah…” Nenek bersalam. Nenek yang sememangnya
peramah, langsung tidak kekok walaupun baru pertama kali berjumpa.
“Ini,
mak Anis, nek…” Baru Anas bercerita. Dan serentak mulut nenek membulat. Dan
mata tua itu terus mendarat pada si dara yang masih terkaku di ampaian.
Daripada sorotan mata yang mendarat di wajah Anas itu pun, dia sudah tahu.
Inilah orangnya!
Nenek
menjeling sekilas ke wajah Anas. Anas tersengih.
“Masuklah
dulu…” Puan Amina sekali lagi mempelawa. Dan kaki tetamu berdua itu melangkah
juga. Sambil sepasang mata, mengerling sekilas pada jasad Adila.
“Itu
ke… calon bini nombor dua kamu?” soal nenek selamba. Mujur sahaja nadanya
rendah.
Anas
terbatuk kecil. Nenek punya soalan, tak agak! Boleh menyebabkan dia disepak
keluar tanpa teragak-agak oleh tuan rumah. Bahaya!
MENERIMA diri Zahran sebagai tetamu, adalah
kesalahan nombor satu. Dan bersetuju untuk keluar dengan lelaki miang itu,
adalah kesalahan nombor dua. Dan membenarkan lelaki itu dengan suka hati miang
keladi dia memegang jemarinya ketika melangkah masuk ke dalam pusat
membeli-belah ini, adalah kesalahan nombor tiga. Dan terpaksa meninggalkan
Farina di rumah, adalah kesalahan yang tidak menemui nombor ke berapa.
Sesungguhnya, dia akan sangat bersyukur
kalau tangan itu mampu melayangkan sebuah penampar padu di wajah kacak Zahran
itu.
Eh,
kacak ke? Macam telur separuh masak aje aku tengok. Dengan senyum sinis tu.
Huh!
“Sudahlah
kalau nak menyumpah pasal I dalam hati. You takkan mampu ubah apa pun.”
Nada
sinis itu memaksa Hanina mengecilkan biji mata. Kalau ada kuasa laser dalam
renungannya itu, akan disiat-siat muka si Zahran! Biar hilang segala aset dia.
Jangan fikir dengan gaya angkuh tu, aku akan menurut saja.
“Lepaslah!”
Dengan tarikan yang lebih kuat, Hanina melepaskan tangannya daripada genggaman
Zahran. Lega! Rasa geli satu badan bila jemari lelaki itu tidak berhenti
menguatkan simpulan. Kan dah cakap, sindrom ulat bulu boleh dijangkiti.
“Lepas
tangan aje tau… lepas kau, memang taklah!” Bisikan itu singgah di telinga
Hanina. Tanpa dapat Hanina menjerit, jemari telunjuk Zahran singgah ke
bibirnya.
“Jangan
nak memberontak sangatlah Nina… kau tahu kan, aku macam mana? Kau tahu kan, aku
pantang dicabar? Kau tahu jugak kan, aku memang tak pernah lepaskan mana-mana
perempuan, yang berjaya buat aku marah? Kau lupa Nina… kau lupa…” Sinis nada
Zahran. Bibir mulai tersenyum keji. Melihat bibir Hanina bergetar pun, dia
sudah tahu. Ayat itu sudah cukup untuk mengentarkan gadis itu.
Itulah,
mak dan abah pesan… jangan bermain dengan api. Kau silap Nina. Kau main dengan
aku. Aku api yang tak pernah padam. Semakin kau marah, semakin aku marak.
“Kau
ingat, senang-senang macam tu aku nak menurut? Jadi bini kau? Supaya kau dapat
balas dendam?” Hanina menyoal berani. Kalau Zahran fikir dia takut, lelaki itu silap.
“Kau
memang tak dilahirkan untuk memilih, Nina… aku yang pilih kau. Dan kau yang
buat aku memilih. Kau patut bangga, terpilih jadi isteri aku…” Zahran
melepaskan ketawanya.
Hanina
mencebik. “Bodoh!” Ucapnya kuat. Terluncur tanpa dapat ditahan. Melihat tawa
Zahran mati, dan mata tajam lelaki itu menikam wajahnya, bebola mata Hanina
bergerak pantas. Renungan itu membunuh.
“Nina…
jangan cabar aku lagi!” Zahran menekan perkataan lagi itu. Jelas untuk masuk ke
telinga Hanina. “Jangan…” Ulangnya.
Hujung
tudung bawal yang terbalut di kepala Hanina disentuh lembut. Dulu, ini bukan
pilihan Hanina. Hanina lebih cantik dengan rambut panjang lepas bebas itu.
Hanina lebih cantik dengan jeans dan blaus feminin mengikut tubuh lampai itu.
Hanina memang cantik, cukup cantik untuk mendapatkan perhatian seorang lelaki
sepertinya. Sekarang ini pun, semakin cantik bila dipandang.
“Kalau
kau kahwin dengan aku, kau takkan ada benda untuk disesalkan.” Sekali lagi
Zahran mengatur ayat. Menuturkan sambil memandang tepat ke dalam mata Hanina.
“Aku
takkan!” Dan Hanina masih berdegil.
Hanina
sememangnya dilahirkan untuk mencabar kesabaran seorang Zahran.
“Aku
takkan kahwin dengan kau, yang langsung tak reti hormat perasaan perempuan. Aku
takkan! Kalau kau fikir, kau boleh beli semua benda dalam dunia ni dengan duit
kau, kau silap. Kau takkan boleh beli aku. Aku tak murah macam
perempuan-perempuan yang kau bawa masuk bilik, Zahran Datuk Zaman.”
Puas
Hanina dapat berkata begitu. Anehnya, Zahran tidak melenting. Lelaki itu terus
tersenyum.
“Sebab
kau tak murahlah, aku tak beli kau. Aku nak masuk meminang kau, nak nikah
dengan kau. Sebab kau memang tak murah, Nina…” Intonasi Zahran lembut sekali.
Wajahnya mula mendekat dengan Hanina. Tetapi gadis itu lebih pantas menjarak.
Hanina
menelan liur. Lain macam aje aku tengok mamat ni. Tapi yang penting duhai hati,
kau jangan termakan pujukan si ulat bulu yang tak pernah masuk dalam list calon suami aku ni.
Serentak
itu telinga Hanina menangkap bunyi. Tidak sempat mendengar lebih rangkap lagu
yang berkumandang itu, terus terhenti. Zahran menjawab panggilan.
“Hey, babe… I’m at Shah Alam now. You wanna
meet? Sure…” Dengan mengisyaratkan tangan untuk tunggu di hadapan wajah
Hanina, Zahran bergerak sedikit menjauh.
Hanina
mencebik. Huh! Dasar lelaki tak pernah puas. Inilah fenomena seharian dalam
hidup Zahran. Dan dia sangat pasti, entah koleksi perempuan ke berapa yang
sedang diayat oleh lelaki ini.
Sangat
tak mungkinlah dia hendak percaya dengan bisikan lembut si buaya tembaga itu!
Malas
hendak menunggu Zahran, Hanina terus saja melangkah. Mengheret kaki ke kedai
pakaian di situ. Saja nak mencuci mata. Tak ada keinginan pun untuk membazirkan
duit dengan sia-sia.
Baru
saja dia nak mencapai sehelai blaus yang kelihatan menarik di situ, telefonnya
sudah berbunyi. Huh, bosannya! Makhluk Zahran tu, tak reti ke nak balik terus.
Tak payah nak sibuk-sibuk pasal aku dekat sini.
Hanina
terus saja berjalan, buat tak peduli. Tapi, telefon kembali berbunyi lagi.
Dengan malas, dicapai juga telefon. Dilekapkan pada telinga. Pura-pura saja
hilangkan diri, Zahran bukannya sedar pun.
“Helo,
nak apa? Kau balik ajelah…” Malas Hanina bersuara. Siap dilepaskan dengusan
penuh rasa meluat.
“Balik
dengan awak ke, Nina?”
Dan
spontan terjelir lidah Hanina. Pulak dah! Salah orang… Lambat-lambat sengih
kelat muncul di bibir. “Ada hal apa ya, awak telefon?”
“Saja…
merisik khabar.”
“Tiba-tiba…”
Hanina sengaja melepaskan tawa. Nada suara yang menyapa pendengarannya itu,
kembali memalu gendang di hati. Kenapa makin lama, terasa semakin didekati.
“Tak
sudi ke, kalau saya yang bertanya khabar?”
Dan
Hanina mengeluh. Qaiser…
“Kenapa
nak tanya khabar saya? Saya okey. Saya tak ada apa-apa. Kalau itu yang awak
risaukan, tak perlu Qaiser. Saya sihat, alhamdulillah.” Nada suara Hanina
menuruh. Lelah dengan amukan suara hati.
“Nina…”
Belum
sempat ayat Qaiser menerjah, Hanina lebih pantas memotong. “Qaiser, kalau tak
ada hal penting, saya letak dulu.”
“Err…
okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam…”
Dan talian dimatikan.
Pandangan
Hanina terus ke hadapan. Sekali lagi tersentak. Hampir terjerit bibirnya.
Namun, ketawa yang dilepaskan oleh insan itu seakan memujuk hati. Terasa
bagaikan satu antibiotik yang disuntik untuk meningkatkan imuniti. Apa
hendaknya lelaki ini?
“Maaf,
buat awak terkejut…” Bibir itu tersengih.
“Awak
buat apa dekat sini? Bila sampai sini? Macam mana tahu saya dekat sini?
Kenapa…”
“Okey…
satu per satu. Saya akan jawab semua soalan awak. Tapi jom, teman saya minum
dulu… haus pulak dengar soalan awak yang non-stop
tu.”
Qaiser
ketawa, seolah menikmati sendanya. Tetapi, Hanina bermasam cuka. Langsung tidak
menikmati saat itu. Pandangannya mencerun. Dia perasan akan keanehan lelaki
itu.
“Saya
tak nak keluar minum ke, makan ke… apa-apa pun, saya tak nak. Yang saya nak
dengar sekarang, awak jawab soalan saya. Awak buat apa dekat sini?” Tajam
pandangan mata Hanina. Hatinya terasa marah. Hati itu terasa seakan
dipermainkan. Hati yang pernah menyukai itu, terasa dilukai dengan perhatian
sebegini. Dia tidak mahukan yang istimewa daripada Qaiser. Cukup sekadar kawan
biasa yang berhubung untuk perkara-perkara penting sahaja. Tetapi, sekarang…
“Salah
ke, kalau saya datang?” Soalan berjawab dengan soalan. Qaiser seakan tidak
dapat menyelami maksud yang disampaikan oleh pandangan Hanina.
“Saya
datang, sebab awak tak sihat. Awak kemalangan kan? Saya datang nak jenguk awak.
Sebagai menghargai pertolongan awak pada saya selama ni. Awak tolong saya,
jagakan Asma. Takkan saya tak boleh jenguk awak?”
“Tak
payahlah Qaiser…” Hanina menjawab malas.
“Kenapa
pulak?” Qaiser menjungkitkan kening. Jawapan Hanina dengan riak wajah bersahaja
itu, langsung tidak mahu diendahkan oleh telinga. “Takkan sebagai kawan, saya
tak boleh concern tentang awak?”
Sekali lagi, kening itu dinaikkan. Penuh usikan di wajah. Qaiser tersenyum
tanpa sedar.
Memang
gila kalau difikirkan bila dia datang ke sini, semata-mata hendak menjenguk
Hanina. Memang dia gila, bila dah sampai ke rumah Hanina, dapat tahu Hanina
sudah keluar. Nekad di hati, diteruskan juga. Dicari Hanina sampai ke sini. Oh,
gilakan apa sangat Qaiser? Gilakan Hanina?
Ditepuk
dada itu berkali-kali. Hanya usikan emak dan Anis kembali mendapat tempat di
hati.
“Kira
jadilah tu. Hanina jadi menantu nombor dua rumah ni…” Usikan yang bergema di
telinga sebelum dia bertolak ke sini. Memang gila. Tapi kerana usikan itu juga,
dia tersenyum sepanjang perjalanannya. Benarkah, dia sudah tergilakan Hanina?
Mata
kembali fokus pada wajah Hanina. Namun, dalam sekelip mata juga senyuman di
bibir mati.
“Hai…
kawan Nina ke? Nice to meet you, I am
Zahran, her future husband.” Tangan dihulurkan oleh Zahran yang tersenyum
ceria di sebelah Hanina.
Serba-salah,
Qaiser menyambut juga tangan yang dihulurkan. “Qaiser.” Sebutnya pendek.
Matanya kembali pada wajah Hanina yang sudah beriak kelat di wajah. Dan sekali
lagi, mata Qaiser singgah di wajah Zahran.
Zahran?
Kenapa dia macam…
Mata
Qaiser terus mengecil. Minda mula mencerna. Wajah itu, sememangnya sangat segar
di memorinya. Lelaki di hadapannya ini, sangat mirip seseorang. Seseorang…
Anas!
Tercelik
luas mata Qaiser. Zahran?
“Kau,
abang Anas ke?” soalnya meneka.
Zahran
tersenyum lebar. “Hei, kenal Anas ke? Adik kembar aku tu.”
Tidak
tertelan liur Qaiser di saat mendengar hakikat itu. Zahran? Lelaki keparat yang
sama pernah merosakkan Asma. Kini, hendak mengahwini Hanina? Minda Qaiser tidak
mampu untuk mencerna apatah lagi untuk menerima hakikat itu.
____________
memang hakikat cerita ni banyak watak. Saya enjoy mengarang kisah depa. Harapnya, kamu-kamu pun enjoy membaca ;)
saya mmg enjoy membaca tetapi saya amat mengharapkan anas dgn adila dan bukannya liyana...hahaha saya dah taksub dgn watak mereka dan saya x sanggup nak membaca kisah zahran lalu meng-skipnya hahahaha ok cerita ni sgt enjoy btw boleh x bg sikit part anas dgn anis tu huhu~nurul~
ReplyDeleteada kelainan sebab rasanya ni 1st time saya baca tulisan yg byk watak
ReplyDelete-chah husain-
alamak..ingat qaiser nak bg sedas dua tumbukan kt si zahran tu....bru je nk excited tbe2 da hbs ep kali ni..hahaha....adoi...bile la si mamat zahran tu nak hilang ego n perasantan die tu...gerammmm
ReplyDeleteHarap Qaiser dapat bagi sebiji dua penumbuk kat muka Zahran tu?
ReplyDeleteGeram lah dgn zafran ni..miang.nasib je qaiser knl dia,hrpnya dpt selamatkan nina dr jd mangsa setrusnya...suka lah klu anas dgn adila,tp msti da halangan
ReplyDeleteMemang saspen ape yg akn qaiser buat kt zahran nti. mst dia bgtau hanina kot zahran bapak afi
ReplyDeleteYe. Sy mmg enjoy! Mencabar sbb nak phmkan sume watak tuh! Suke!!
ReplyDeleteSufi (",)
Zahran memang org yg gila betul.... nasib baik Qaiser ingat akan wajah tu lagi... jangan bagi peluang Hanina jadi mangsa Zahran...
ReplyDeletebiarlah nenek tahu tentang siapa anak saudara Anas .... dan bapak dia Zahran yg x bertanggungjawap tu... geramnya....
gilak ah! dulu2 macam malas nak baca cerita ni sebab wataknye complicated, tapi ni bila dah start baca rasa macam x sabar nak tahu seterusnya..haha
ReplyDeletesambunglah cepat, umi. i was hoping to read abt anas and adila. hehe
ReplyDelete-zayani_
Ohhhh plisssss2 sambung cerita nie...huhu
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteOhh.. Writer pliss make happy ending..
ReplyDeleteBtw benci dengan watak zafran n qaiser
Oh umi rindulah dgn cite ni.. Kalau bole sya nk qaiser dgn asma.. X nk nina tpi klau asma dgn zafran pon ok gak.ngeee..smbong lagi...!
ReplyDeletehuhu
ReplyDeleteBila nak sambung?? Lama sangat dah ni
ReplyDeletebila nak sambung cite nie?
ReplyDeleteNk smbungan
ReplyDeleteHai , i read this on 2016 . Im hoping writer could continue this story till the end .
ReplyDeleteSalam sayang , yr readers :)
Xberapa suka watak qaiser, sbb dah tersuka dia dgn asma. How i wish mereka akhirnya bersama. Keep writing. Hope boleh sambung lagi. ��
ReplyDelete