Advs

Followers

November 03, 2010

Klik [3]

Bab 11
MATA Eja terkejip-kejip menahan pedih. Deringan telefon yang tidak putus-putus sedikit sebanyak mengganggu tidurnya. Matanya tidak dibuka terus. Kecil saja bukaan matanya sambil mencari-cari bunyi deringan yang semakin bertalu-talu membingitkan rumah itu. Telinga dapat menangkap bunyi yang kuat itu, tetapi matanya lambat mendapat bayang handphone sendiri.
            Dalam masa yang sama, Eja tersentak. Bagaikan tersedar dari mimpi. Matanya terbuka luas, seluas-luasnya. Pandangan dihalakan ke jam dinding. Ya ALLAH! Sudah pukul dua belas malam. Pah!
            Eja bingkas bangun. Kali ini deringan telefon yang telah mati, kembali berlagu-lagu. Dia mencari dengan hati yang resah. Matanya sudah mendapat bayang telefon dengan pantas juga tangannya mencapai. Saat melihatkan nama yang tertera di skrin, membuatkan nafasnya semakin sesak. Abah Hasnan. Abah telefonnya malam-malam begini, mesti ada sesuatu. Mesti ada sesuatu yang jadi pada Pah. Eja makin cemas.
            Dengan jemari yang menggeletar, punat hijau ditekan.
            "Assalamualaikum... abah...," suara Eja tidak tenang. Getaran hati tidak dapat disembunyikan.
            "Eja... abah Hasnan ni...," ucap abah tenang.
            "Ya abah...," sambut Eja dengan suara yang makin menggelabah.
            "HUKM call sekejap tadi... kata Pah accident," suara abah tenang menyapa telinga Eja. Namun, Eja sudah tersentak. Pah, accident?
            "A... a... abah...," suaranya menggeletar. "Teruk ke?," mata Eja sudah bergenang air mata. Pada saat itu hatinya ditimpa segunung rasa bersalah. Wajah Pah yang sugul ketika meninggalkan rumah berlayar kembali di ruang mata. Dia sudah minta maaf dengan aku, tapi aku degil!
            "Dia orang kata kereta remuk teruk... abah dengan ibu nak ke sana dah, nak tengok keadaan dia...," ayat yang meniti bibir abah membuatkan Eja terduduk lesu. Pah! Pah! Pah! Aku minta maaf.
            "Eja...," suara abah masih kedengaran.
            "Abah... Eja ke sana jugak," ucap Eja pantas. Aku kena tengok Pah. Harus!
            "Okay. Hati-hati bawa kereta ye nak...," pada tika itu Eja sempat menangkap nada suara abah yang sudah semakin serak. Tanpa ditahan-tahan, air matanya menitis jua. Sedih di hati bukan kepalang. Tambahan, ayat dan ucapan maaf dari Pah semakin bergema-gema dalam mindanya.
            Kalau apa-apa jadi pada Pah, aku takkan maafkan diri aku. Takkan! Jeritan hati Eja makin menyesakkan jiwanya sendiri.
            Eja bingkas ke bilik, menukar pakaian tidur dengan baju dan seluar yang sudah sedia tergantung di situ. Wajah dicuci dengan sepantas kilat. Tudung yang tersangkut dicapai. Sempat lagi dia membelek sama ada sepadan dengan pakaian yang disarung atau tidak. Siapa ada masa nak peduli tentang padanan baju dan tudung pada saat-saat genting macam ini Eja. Marahnya sendiri.
            Langkah kaki diatur laju. Handsfree sudah siap dipasang. Kunci kereta dan dompet dicapai. Setelah rumah dikunci dengan rapi, dia terus melangkah laju ke arah kawasan parkir kereta. Sambil tangannya laju mencari-cari nama dalam phone list. Dengan pantas juga dia menekan butang dail.
            Enjin kereta dihidupkan. Tali pinggang keledar dipasang. Air mata yang masih mengalir dikesat pantas. Talian masih tidak bersambung, kakinya sudah mula menekan pedal minyak dan bergerak meninggalkan kawasan pangsapuri yang didiami oleh dia dan Pah. Pah! Hatinya merintih pedih. Ya Allah, kau ringankanlah kesakitan dia. Semoga dia tak seteruk yang aku bayangkan. Kereta remuk teruk. Astagfirullah! Tak sanggup dia nak bayangkan keadaan Pah.
            "Hello...," kedengaran suara bergema di telinganya. Hampir terlupa yang dia menelefon Faizul.
            "Hello Eja...," Faizul bersuara lagi. Suaranya kedengaran serak. Mungkin baru bangun dari tidur. Eja kembali fokus. Ada perkara yang perlu disampaikan.
            "Zul... Pah accident. Ada di HUKM, Eja on the way ke sana...," dalam senafas dia mengucapkan kata.
            "Ya Allah... accident kat mana?," Eja menarik nafas. Dia tidak tahu.
            "Tak tahu... ," Eja sudah mula menangis.
            "Eja... Eja... you tengah drive ke? Don't cry okey... calm down. Drive terus ke aparment Zul, I will be at the parking within five minutes... Kita pergi sama-sama... ," suara Faizul sudah mula risau. Bimbang jika Eja tak mampu fokus memandu dalam keadaan sebegini.
            "Okay," jawab Eja. Akur pada cadangan Faizul. Stereng kereta terus dipusing menghala ke aparment lelaki itu. Sememangnya, itu juga yang bermain di fikirannya ketika mendail nombor Faizul sebentar tadi.
            Sampai sahaja di kawasan parking aparment Faizul, Eja sudah dapat menangkap kelibat seorang lelaki yang memakai t-shirt putih dan berseluar track sahaja. Cepat saja Faizul sudah bersiap. Sebaik saja kereta berhenti di hadapan Faizul, terus saja Eja bergerak ke seat sebelah dan Faizul mengambil alih tempat pemandu. Kereta Myvi putih itu bergerak dengan kelajuan sederhana membelah lebuh raya.
            Sepanjang perjalanan juga, mulut Eja tidak berhenti mengungkapkan rasa kesal di hati. Segalanya telah diceritakan pada Faizul. Sudahnya, Faizul hanya menyuruh Eja mendoakan agar Pah selamat tanpa sebarang kecelakaan yang teruk.

KATA-KATA yang diucapkan lelaki yang dikenali sebagai doktor Rahim membuat Eja terduduk. Air matanya mengalir laju. Ya Allah.
            "Hentakan kuat dari belakang kereta, she maybe lose her control at the time. And the worst part, dia tak pakai tali pinggang keledar, that is why she was thrown out from her car. Too bad... kalau dia tak tercampak keluar, tak mungkin seteruk ni... we'll try our best...," kata-kata itu berulang kembali. Doktor itu sudah kembali melangkah masuk ke dalam operation theater di wad kecemasan. Eja pula masih tidak dapat mengalihkan posisinya. Mindanya sudah tidak mampu untuk bertenang.
            Abah dan ibu akan sampai sekejap lagi. Apa yang aku nak jawab? Aku yang buat Pah jadi macam ni... semuanya salah aku. Eja membiarkan air mata yang laju mengalir di pipinya. Faizul yang masih setia di sebelah sudah tidak dipedulikan. Dia benar-benar dihantui perasaan bersalah yang tidak berhenti-henti mencucuk hatinya.
            "Eja...," suara Faizul kedengaran. Namun, Eja masih kaku di tempat duduknya. Tidak mahu bereaksi.
            "Eja...," panggilan kali ini kedengaran lain benar. Eja dengan pantas dapat menangkap suara itu. Ibu! Eja dengan pantas mengangkat wajah. Pandangannya bertemu dengan mata ibu dan abah. Hatinya semakin dipagut rasa bersalah.
            Wajah ibu yang kelihatan sayu membuatkan Eja tidak betah untuk duduk. Terus saja dia bangun dan meluru ke dalam pelukan ibu. Mereka berpelukan erat. Kedengaran esakan dari mulut ibu. Spontan, Eja turut menumpahkan air matanya yang tidak berhenti mengalir dari tadi.
            "Ibu... maafkan Eja. Eja tak pandai jaga Pah...," entah kenapa, bibirnya tertarik-tarik untuk mengucapkan kata-kata maaf itu.
            "Pah... macam mana dia? Teruk sangat ke? Doktor cakap apa?," bertalu-talu soalan dari ibu. Seperti teringat-ingat akan janji Pah untuk menebus kembali masa-masa yang dia tidak luangkan bersama ibu dengan abah. Masih segar dalam ingatan ibu, Pah kata... sementara masih sempat, Pah kena buat baik dengan ibu dengan abah.
            Eja mendiamkan diri, tidak memberi sebarang jawapan. Mata ibu terus mencari wajah abah yang sedang berbual-bual dengan Faizul. Eja sudah pun menceritakan perihal Faizul pada mereka. Hati ibu dipagut rasa sayu. Suara Pah yang mersik itu terngiang-ngiang di telinga. " Pah sayangkan ibu dengan abah". Ya Allah... selamatkanlah anak aku.
            "Ibu...," suara Eja kembali menarik perhatian ibu.
            "Pah teruk ke sayang?," terus saja ibu menyoal kembali. Eja mengangguk kecil. Matanya tertunduk ke bawah, dia tak sanggup nak menatap wajah ibu yang sayu itu. Ibu mana yang takkan sedih dan susah hati, apabila dapat berita anaknya kemalangan.
            Semuanya salah aku! Kenapa aku bodoh sangat? Kenapa aku layan sangat perasaan marah? Pah dah minta maaf dengan aku... dia dah minta maaf pun... Eja merintih pedih.
            "Ibu... Eja minta maaf...," teriak Eja tiba-tiba. Abah dan Faizul yang sedang duduk di kerusi turut terkejut mendengar suara Eja. Dengan pantas langkah diatur mendekatinya.
            "Eja... kenapa ni sayang? Eja tak ada buat salah apa pun...," pujuk ibu lembut. Tetapi, Eja makin laju menggelengkan kepalanya. Wajah Faizul di sebelah sempat dikerling sekilas.
            "Semua salah Eja...," ucapnya lagi berulang-ulang kali. Lagaknya sudah tidak seperti orang normal. Dia tidak berfikir dengan normal dengan keadaan Pah yang masih tidak dapat disahkan pada satu state yang selamat.
            "Eja... Eja...," belum sempat Eja meneruskan kata-kata, pintu bilik OT terkuak. Wajah doktor Rahim kembali terjengul di hadapan mereka. Dengan pantas, masing-masing menyoal dengan perasaan tidak sabar.
            "Alhamdulillah, syukur she's safe," sebaris ayat itu telah membuatkan semuanya menghembuskan nafas lega.
            "Abang nak pergi buat sunat syukur," terus saja abah menghilangkan diri ditemani Faizul. Eja dan ibu masing-masing tidak lepas-lepas mengucapkan syukur.

YA. Benar kata doktor, Pah selamat. Selamat kerana dia masih mampu terdampar kaku di atas katil hospital itu. Wajah Pah yang pucat dijamah oleh Eja tanpa rasa jemu. Sudah hampir tiga hari, Pah masih begitu. Masih kaku. Masih pegun tidak berganjak. Hanya nafasnya saja kelihatan naik turun menandakan dia masih bernyawa atas muka bumi Allah ini.
            Selama tiga hari di hospital, Eja bergilir-gilir dengan ibu untuk menjaga Pah. Tidak banyak yang mereka lakukan melainkan menanti dengan penuh kesabaran untuk sebarang pergerakan positif.
            Dalam masa tiga hari itu juga, ibu dikejutkan dengan kehadiran insan bernama Adam. Siapa lagi yang dengan bermurah hati memaklumkan pada Adam tentang Pah, pasti saja buah hatinya, Faizul. Wajah ibu terkejut bukan kepalang. Mana tidaknya, Adam dengan keberanian dan keyakinan pada tahap maksima dengan selambanya memperkenalkan diri sebagai bakal menantu.
            Amboi, pak cik Adam tu. Mentanglah Pah tengah jadi jasad kaku buat sementara waktu ini, pandai pulak dia menggunakan kesempatan nak ambil hati ibu. Ibu pula pada mulanya kelihatan kekok, tetapi lama-kelamaan kelihatan makin serasi dengan sikap Adam yang peramah overdose. Tapi, dengan ibu sajalah keramahan Adam terserlah. Dengan abah... hhmmm. Perkara itu membuatkan Eja tersenyum sendiri. Nak mendekati abah, sama jugalah seperti mendekati Pah.
            Adam sekadar menyoal seringkas mungkin kerana abah kelihatan tidak begitu mesra dengannya. Dia perlukan masa untuk mengenali abah Hasnan. Sama juga untuk mengenali Latifah Hasnan.
            Eja melepaskan keluhan. Pandangan ditala ke wajah Pah yang pucat tak berdarah. Kepala yang berbalut. Tangan kanannya patah dan bersimen. Kata doktor, hentakan di kepala kerana Pah tercampak dan kepala terhantuk benda keras. Doktor juga dah pesan, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pah mungkin boleh hilang ingatan kerana gegaran yang berlaku di otaknya. Mungkin. Tetapi, harap-harap tidaklah.
            Bahu Eja dicuit lembut. Wajah ibu yang tersenyum hambar terbias di matanya.       "Tukar shift...," ucap ibu. Eja mengangguk kecil. Tetapi, hati ini terasa berat untuk meninggalkan Pah. Pah... cepatlah bangun. Aku dah maafkan kau... Kau bangunlah cepat! Aku sayangkan kau... Aku tak sanggup tengok kau macam ni...
            "Malam nanti Eja datang balik...," ucapnya perlahan. Matanya masih tertancap di wajah Pah. Bagaikan terbayang-bayang bibir Pah bergerak mengucapkan sesuatu. Ah. Berilusi lagi!
            "Adam datang ke hari ni?," soalan ibu membuatkan Eja mengalih pandang. Lantas, bibirnya tersenyum kecil.
            "Ibu suka dia ke?," ibu juga turut tersenyum.
            "Ramah betul budak tu... tengok dia menangis masa tengok Pah hari tu, ibu pun tersentuh... nampak dia betul-betul sayangkan Pah...," Eja sekadar tersenyum nipis. Dia tidak dapat memberi apa-apa komen tentang perasaan Adam terhadap Pah. Dia tidak tahu.
            "Tapi, ada lagi sorang laki ni... dia datang tengok Pah. Hafiz nama dia... bila nampak Adam tengah rancak bersembang dengan ibu, dia nampak tak senang... ," terang ibu pada Eja. Eja sudah tahu siapa Hafiz. Eja juga tahu perasaan tidak suka Pah terhadap Hafiz. Tetapi, Hafiz nampak tidak akan berputus asa. Tambahan pula dengan kehadiran, si kacak Adam Fahmi yang sudah mula mengambil langkah pertama dengan memikat hati si ibu. Sudah semestinya Tengku Hafiz tidak akan senang duduk selepas ni.
            "Ibu... Eja rasa, Pah dengan Adam lagi sesuai kot...," Eja sudah buat kesimpulan. Bukan kesimpulan tanpa sebab, tapi dia dapat merasakan ada sesuatu yang Pah rahsiakan darinya sejak tamat sesi photoshot dengan Adam. Masih segar dalam ingatannya wajah Pah yang kemerah-merahan menahan malu apabila Adam dengan selamba membisikkan sesuatu ke telinga Pah. Sempat juga dia dan Faizul melihat aksi itu. Berani betul Adam tu, nasib tak kena lesing dengan Pah saja.
            "Ibu pun rasa, ibu berkenan dengan Adam ni... macam kena pula dengan Pah. Yang sorang, selalu sangat tersenyum. Yang lagi sorang, berlagak macam tak ada urat senyum...," kata-kata ibu membuatkan Eja tertawa kecil. Pandai juga ibu cari keserasian mereka. Kalaulah Pah tahu...
            Mata Eja kembali ke wajah Pah yang kelihatan tenang. Lama matanya berlayar di wajah itu. Dia akhirnya nampak sesuatu. Matanya terbuka luas. Kali ini, bukan ilusi. Ini memang pasti. Ya Allah...


Bab 13
RAPIAN terakhir, aset terpenting baginya iaitu mengayakan rambut. Gayanya ringkas saja hari ini. Dengan t-shirt POLO berwarna merah dipadankan dengan jeans hitam. Tanpa disedari bibirnya menarik senyum nipis. Senyum tanda gembira.
            Adam terus saja mencapai kunci kereta yang terletak di atas meja solek. Aktiviti hariannya kini, melawat Pah yang terlantar di hospital. Serentak itu keluhan halus meniti bibirnya. Saat menerima panggilan dari Faizul mengatakan Pah kemalangan dan masih tidak sedarkan diri, terasa jantungnya seperti direntap.
            Dan saat matanya menjamah tubuh kaku itu di atas katil hospital, tanpa segan dan silu air matanya menitis. Pasa saat itu, dia tidak dapat lagi menafikan rasa hatinya yang satu itu. Ia hadir tanpa disedari, dia terlalu kasihkan Pah. Kenapa? Dia tidak tahu.
            Mindanya seakan terlayar kembali perbualannya dengan Faizul. Kata-kata Faizul yang membuatkan jiwanya terasa aman dan bahagia kini...
            "Aku dengan Pah tak ada apa-apa pun...," wajah Adam kelihatan tersentak. Matanya terus membulat. Tidak percaya dengan ayat yang diucapkan oleh Faizul.
            "Aku berkenan dengan kawan dia... Eja. Dah telefon cakap dengan bakal mak mertua dah pun," tambah Faizul lagi sambil tersengih lebar. Adam makin terlopong.
            "Habis... kiranya aku kena tipu buta-buta dengan kau?" soal Adam dengan perasaan tidak puas hati. Ketawa Faizul yang berdekah-dekah meniti pendengarannya. Adam sudah menjeling tajam. Terasa tertipu. Terasa geram. Terasa marah. Tetapi, tak dapat dinafikan juga lebih daripada semua rasa itu, dia terasa bahagia.
            "Aku tak pernah tipu pun... aku tak pernah mengaku pun yang aku ada relationship dengan Pah," jawapan Faizul membuatkan Adam tertanya-tanya. Betul ke dia tak pernah mengaku? Ah, dia sendiri sudah tidak ingat.
            "Okay... okay... kiranya Pah single lagi?" soal Adam. Faizul mengangguk yakin.
            "Available?" Adam menyoal lagi. Sekali lagi, Faizul terus mengangguk.
            "Aku boleh tackle dia?" Adam menyoal dengan penuh harapan. Terasa seperti meminta izin dari seorang abang pula. Sedangkan Faizul bukannya abang kepada si Pah pun. Gelengan dari Faizul membuatkan kening Adam berkerut.
            "Kenapa?" Adam tidak puas hati, pantas saja dia menyoal. Sebab apa dia tak boleh tackle Pah? Cakap single, available. Tapi tak boleh tackle. Apa pula masalahnya?
            "Kalau kau rasa nak kahwin dengan dia, baru aku bagi kau proceed untuk urusan tackle Pah. Tapi, if she is your another playing doll, jangan haraplah aku nak bagi green light!," suara Faizul berubah rentak. Nadanya tegas dan raut wajahnya serius. Lagaknya seolah-olah dia abang kepada Pah dan dia bertanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan si adik.
            Kelu lidah Adam mendengar kata-kata itu. Adakah aku menganggap Pah sebagai another playing doll? No! Jerit hatinya.
            "Tak mungkin aku akan main-mainkan dia...," Adam memberi jawapan. Suaranya jelas dan yakin. Namun pandangan dan renungan dari Faizul seolah tidak berpuas dengan jawapan yang diberikan olehnya.
            "And how are you so sure about that?" soal Faizul dengan sinis. Bukan dia hendak menyindir Adam, tetapi lebih dari itu dia hendak lelaki itu sedar apa yang dibincangkan pada saat ini adalah soal yang menglibatkan hati dan perasaan. Adam mungkin sudah terbiasa bertukar-tukar perempuan macam bertukar ganti pakaian. Tetapi, bagaimana pula dengan Pah. Sanggupkah dia menerima lelaki berjiwa kasanova seperti Adam.
            Adam terdiam lama. Bagaimana aku boleh pasti tentang perasaan aneh ini? Bagaimana aku boleh yakin yang aku tidak akan mensia-siakan Pah? Pandangan Faizul tajam merenungnya. Serius sekali soalan yang meniti bibir lelaki itu.
            Adam, kau perlu yakin. Kau perlu jelas dengan perasaan sendiri. Bisikan hati Adam makin kuat meyakinkan dirinya.
           "Aku sayangkan dia. Aku nak jadikan dia teman hidup aku!," saat itu, tiada lagi ragu di hatinya. Adam yakin, itu yang dia mahukan.
            "Kau yakin ke?" soal Faizul yang masih kelihatan ragu-ragu.
            "Pasti sekali!," balasnya dengan keyakinan yang tinggi. Kepalanya mengangguk menandakan dia benar-benar yakin.
           "Suzana?" saat mendengar nama itu dilagukan di bibir Faizul, Adam sudah mampu menarik senyuman tenang.
            "Aku akan jelaskan pada dia,"
            "Sebegitu mudah? Kau ingat dia tak ada perasaan ke Adam...," sinis lagi kata-kata yang meniti bibir Faizul. Mudahnya berkata-kata. Tidakkah dia berfikir tentang gadis itu.
            "Aku akan jelaskan. Dia akan faham. Selama ini pun, dia memang memahami aku...," ucap Adam yakin.
            "Kalau kau dah kata macam tu, aku harap... lepas ini, kau dapat kejar kebahagian sejati kau. Setia pada yang satu Adam...," Faizul menepuk bahunya seolah-olah memberi semangat.

TEPUKAN yang hinggap di bahunya mengembalikan dia di ruang realiti. Wajah masam Suzana berlayar di hadapan mata. Agak terkejut Adam melihat gadis itu pada tika ini. Kenapa dia ada di sini?
            "Nak ke mana?" soal gadis itu kasar. Adam baru saja hendak meloloskan diri ke dalam kereta. Terbantut seketika langkahnya yang sudah tidak sabar-sabar hendak melihat Pah.
            "Nak keluar. You buat apa kat sini?" soal Adam tenang. Dia dapat menangkap kedinginan di pandangan Suzana. Oleh itu, dia tidak ingin mengeruhkan keadaan dengan bertikam lidah dengan gadis itu buat masa ini.
            "Sejak bila kawasan ni jadi kawasan larangan untuk I... huh!," semakin kasar intonasi Suzana. Dia marah, benci, meluat dan segala-galanya kerana Adam. Aku tertunggu-tunggu dia siang dan malam, tetapi ini dibalasnya buat aku! Jerit batinnya geram.
            "You... sengaja kan nak sakitkan hati I. Apa yang tak kena dengan I sampai you kena cari perempuan lain... Perempuan yang terlantar sakit kat hospital tu. Dia kan yang nak rampas you dari I...," merah padam wajah Suzana menghamburkan rasa marahnya. Sudah beberapa hari dia mengintip pergerakan Adam. Selepas luahan perasaan Adam yang mengatakan dia tidak mahu meneruskan perhubungan mereka. Terasa benar bahawa kesetiaannya langsung tidak dihargai.
            Adam mendiamkan diri. Tidak tahu hendak membalas apa. Dia tahu dan amat jelas, kesalahan berada di bahunya. Tetapi untuk memujuk gadis itu, dia tidak punya kekuatan.
            "Kenapa you diam? Dah tak ada ayat nak defend diri sendiri... sudah ada teman wanita pun, masih nak mengatal dengan betina lain. Cari yang sihat walafiat tak apalah jugak, tapi dicarinya yang terdampar sakit, tunggu nak mati... apa yang dia boleh bagi pada you... nak melayan you pun tak boleh...," semakin berapi-api kemarahan Suzana. Namun kali ini Adam sudah tidak mampu berdiamkan diri. Makin dibiar, makin tajam pula lidah si Suzana. Kenapa perlu ditarik-tarik sekali Pah yang langsung tak ada kena mengena dalam hal mereka.
            "You ni kenapa? Nak marah, marah I sorang cukup. Tak perlu nak tarik-tarik kawan I yang tengah sakit di hospital tu...," balas Adam geram. Ayat-ayat yang meniti bibir Suzana membuatkan hatinya menjadi panas. Kenapa gadis itu bersikap begini? Sedangkan sebelum ini, dia berlagak tenang sekali dengan keputusan mereka untuk memutuskan hubungan secara baik.
            "Oh... cubit paha kanan, paha kiri pun sakit ya! I cakap dia, you pun terasa sakit ya! Serasi sungguh you berdua kan? Tapi, kalau tak silap I, parent perempuan tu nampak alim-alim... sesuai ke dengan you Adam...," Suzana ketawa sinis. "You ni... baca alif ba ta pun tak lepas... tak padan dengan tu... berangan-angan tinggi melangit nak dengan perempuan alim ya!," sindir Suzana.
            "Suzana, enough!," suara Adam keras. Suzana menjeling.
            "You ingat... I senang-senang nak lepaskan you pada perempuan lain. You belum kenal the real Suzana yet Adam. I'll make sure you will regret! I will... Kalau you dah buang I dari hidup you... jangan you ingat, senang-senang you dapat berbahagia dengan perempuan kesayangan you tu... I takkan benarkan! You ingat tu...," sejurus itu tanpa menunggu balasan dari Adam, Suzana melangkah meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga.
            Mata Adam terus memerhati langkah Suzana yang sudah ghaib dari pandangan mata. Adam melepaskan keluhan. Kata-kata sindiran Suzana meresap terus ke dalam jiwanya. Alif ba ta pun tak lepas... berangan-angan nak dengan perempuan alim...
            Wajahnya diraup kasar. Dia melangkah ke dalam Toyota Vios miliknya. Enjin dihidupkan, dipasang penghawa dingin sesejuk yang mungkin. Terasa panas hatinya. Terasa panas jiwanya. Baru tadi dia terasa hendak berbahagia kerana akan menatap wajah Pah, tetapi kini... semangat punah.
            Namun, yang bermain-main di mindanya kini bukanlah Pah. Tetapi, yang lebih menganggu mindanya kini adalah Suzana. Dia tidak percaya gadis itu akan menjadi sekasar ini. Kali terakhir mereka berjumpa adalah hari yang sama dia mengaku perasaannya terhadap Pah pada Faizul. Pada hari yang sama juga dia hendak menyelesaikan segala kekusutan. Pada tika itu, Suzana tidak pun mengatakan ayat-ayat sebegini. Dia tidak pun berperwatakan seperti hari ini.
            Ah! Manusia... sangat mudah untuk berubah. Sama juga seperti kau Adam. Bisikan hatinya kembali bergema.
            Tapi aku sudah pun jelaskan segalanya! Sekarang ini Suzana yang hendak mengusutkan keadaan.
            Cari salah orang lain cepat saja. Salah diri sendiri, siapa yang nak tolong sedarkan. Bisikan hatinya menyindir.
            Argh!!! Dengan perasaan kusut, kuat tangannya menghentak-hentak stereng kereta.

"PERLAHAN-LAHAN letak kaki tu Pah... doktor dah pesan, jangan banyak bergerak. Kena rehat secukupnya. Baru cepat sembuh...," suara ibu timbul disebalik keriuhan di dalam bilik itu.
            "Doctor of the house speaking...," suara mengusik Husna, kakak kedua Pah kedengaran. Disambut dengan gelak tawa seisi manusia yang hadir dalam bilik itu.
            "Pah pegang tangan abang tu... nanti jatuh pulak," tanpa menghiraukan usikan Husna, ibu masih terus menegur tingkah Pah yang hendak ke tandas. Pah sekadar memandang wajah abang sulungnya, Hairi yang datang dari Johor untuk melawatnya. Abangnya sekadar tersenyum. Tahu benar, ibu membebel dan tak berhenti-henti menegur setiap gerak-geri Pah kerana dia risau.
            Saat kaki Pah mula bergerak selangkah, keningnya berkerut. Terasa sakit yang mencucuk-cucuk dia hujung kakinya.
            "Aduh!," ucapnya perlahan.
            "Boleh ke Pah?" soal Hairi dengan riak risau. Bimbang juga melihatkan keadaan Pah.
            "Sakit," rintih Pah.
            "Itulah... kan doktor dah cakap, tak boleh gerak-gerak lagi. Pah ni degil la. Ibu cakap ni, satu pun dia tak nak dengar...," ibu sudah pun berdiri menghadap tepat ke wajah Pah. Kepala tergeleng-geleng tanda tidak puas hati dengan kedegilan Pah.
            Pah baru saja mula sedar sejak dua hari yang lepas. Bukannya dia hendak berehat diam-diam atas katil tu, banyak pula pergerakan yang dia nak buat.
            "Pah, abang dukung ye?" Pah mengangguk kecil kerana dia pasti dia tidak mampu untuk mengatur langkah seterusnya.
            Dengan penuh berhati-hati, Hairi mencempung tubuh adik kesayangnya itu. Wajah ibu dipandang dengan senyuman kecil. "Janganlah bebel-bebel ibu... dia kan tengah sakit...," dengan senyuman juga, kata-kata itu lahir dari bibirnya. Itulah abang Pah, yang murah dengan senyuman.
            "Betul tu ibu... Pah kan tengah sakit. Ibu janganlah bebel-bebel... kesian dia...," sokong Husna. Disambut dengan anggukan Hanis, kakak sulung Pah. Semuanya adik-beradiknya berada di situ kecuali Hazira yang masih tidak dapat berangkat dari Sabah.
            "Semua salah ibu. Ibu cakap apa pun tak betul...," ucap ibu berjauh hati. Namun ia tidak meninggalkan sebarang kesan di hati anak-anaknya. Malah mereka tersenyum suka. Tahu benar dengan sikap ibu mereka yang mudah merajuk.
            "Ibu, nak merajuk pun nanti-nantilah ye... sekarang ibu temankan Pah dalam toilet," ucapan Hairi membuntangkan mata Pah. Kenapa nak suruh ibu masuk toilet dengan dia? Sebab tidak selesa di luar dia hendak ke toilet. Tapi kalau dah ibu masuk sekali temankan dirinya, sama sajalah di luar atau di dalam.
            "Abang... kenapa nak suruh ibu teman? Pah boleh buat sendirilah!," protesnya perlahan.
            "Awak tu, nak berjalan pun tak boleh... lagikan nak uruskan diri dalam toilet. Jadi apa-apa, jatuh ke... tak ke naya nanti...," tegur Hairi tidak senang. Apa yang nak dimalukan dengan ibu sendiri. Dia yang menjaga kita selama ini. Semuanya dia tahu.
            Dalam protes-protes Pah, dia hanya akur dengan kata-kata abangnya. Lukanya masih belum sembuh. Tambah pula, kepalanya tanpa kira masa akan berdenyut-denyut. Perkara itu menambahkan ketidakselesaan Pah. Pastinya dia terasa seperti hendak pengsan saja. Oleh kerana itu juga, dia masih tidak dibenarkan untuk berjalan sendirian. Nak berjalan apa, nak berdiri pun kakinya masih belum cukup kuat.
            Ketika pintu tandas terbuka semula, merah wajah Pah menahan malu. Namun bisikan ibunya seolah-olah hendak menepis rasa yang bertandang di hati ini.
            "Ini ibu Pah... ibu yang kandungkan Pah. Tak usahlah malu-malu macam ni. Kalau bukan ibu yang jaga anak ibu, siapa lagi sayang...," ucapan lembut dari ibu membuatkan air mata Pah bergenang. Terus saja mengalir membasahi pipi. Ibu tidak perasan dengan perubahan di wajah Pah pada ketika itu.
            "Hairi, datang angkat Pah," laung ibu dari pintu tandas.
            Pah masih lagi menangis tanpa disedari ibunya. Setelah Hairi masuk dan hendak mencempung tubuh Pah, barulah dia perasan akan tingkah adiknya itu. Ketika keluar dari tandas sempat diucapkan kata buat ibu.
            "Ibu ni... mendera Pah ke dalam toilet tu... sampai menangis-nangis dia!," ucap Hairi sekadar hendak mengusik ibu. Tetapi, dia pun tidak tahu kenapa Pah menangis. Dalam fikirannya, hati orang yang sakit ni lebih sensitif daripada biasa. Hanya itu yang bermain-main di mindanya.
          Nyata kata-kata Hairi telah mengubah riak wajah ibu yang kelihatan terkejut. "Pah menangis... kenapa sayang? Sakit sangat ke... maaflah, ibu tak tahu Pah sakit ke tidak tadi...," ucap ibu dengan rasa bersalah. Mana dia tahu, mungkin ketika sedang membantu gerakannya agak kasar. Mungkin Pah tidak dapat menahan sakit.
            Wajah Pah yang pucat ditatap dengan penuh kasih. Air mata yang mengalir itu disapu perlahan. Di birai katil sudah siap bertenggek, Husna dan Hanis. Mereka turut serta melihat drama sebabak dengan perasaan ingin tahu.
            "Pah syukur dapat tengok ibu lagi... kalau Pah dah tak ada...," ucap Pah sebak. Dia benar-benar bersyukur kerana masih berpeluang hidup di bumi Allah. Masih dipanjangkan usianya untuk terus merasa kasih dan sayang dari insan yang bernama ibu. Alangkah bertuahnya dia kerana masih mempunyai ibu yang sudi menjaganya dalam keadaan sebegini.
            "Ssshhh... sayang, jangan cakap macam tu. Pah masih hidup. Masih bernyawa. Allah panjangkan usia Pah... ada hikmah disebalik perkara yang jadi ni Pah...," ucap ibu menenangkan Pah yang sudah pun menangis teresak-esak. Tidak ketinggalan juga Husna dan Hanis yang turut sebak melihat Pah yang terus-terusan merembeskan air mata.
            Abah yang baru masuk ke dalam bilik itu menjadi pelik. Pantas saja langkahnya menghampiri mereka.
            "Kenapa ni? Kenapa dengan Pah?" soal abah dengan riak risau. Semuanya sedang menangis, macam-macam andaian timbul di mindanya. Apabila terlihat wajah Pah yang sedang menangis sambil dipeluk oleh tangan si ibu, sudah membolehkan dia menghembuskan nafas lega.
            "Pah... jangan difikir sangat. Syukur banyak-banyak, umur Pah masih panjang. Jangan menangis macam ni, Pah kan tak sihat lagi...," pujuk Hairi pula yang sudah duduk di sisi Pah.
            "Pah... Pah... minta maaf sebab dah susahkan semua... abang, kakak, datang tengok Pah. Pah menyusahkan orang lain saja!,"
            "Pah...," suara itu. Dengan pantas Pah mengangkat wajah. Abah!
            "Jangan merungut macam tu... jangan salahkan diri sendiri. Semua yang jadi ada hikmahnya sendiri...," lembut kata-kata yang meniti bibir abah. Air matanya makin laju.
            "Betul tu Pah... kami datang tengok adik kesayangan kami. Tak ada susah apa pun. Dah nama pun sayang adik, mesti kena datang tengok...," ucap Husna pula sambil erat memeluk bahu Pah.
            "Yang penting sekarang ni, Pah jangan duk layan perasaan sedih-sedih. Dah-dah, tak mau dengar dah merungut-rungut semua. Pah dengar cakap doktor, dengan cakap ibu dan abah. Jaga diri elok-elok... biar cepat sembuh," kata-kata Hanis pula singgah di pendengarannya.
            Pah terasa sangat disayangi pada saat ini. Dan yang paling menggembirakan hatinya adalah abah. Abah boleh bercakap dengan nada yang lembut dengannya. Adakah itu hikmah yang Allah nak tunjukkan pada aku? Bahawa aku punya begitu ramai yang kasih dan sayangkan aku... Aku syukur Ya Allah kerana KAU masih beri aku peluang untuk bernafas di bumiMU. Amin Ya ALLAH.


Bab 14
KAKINYA melangkah perlahan memasuki ruang itu. Keadaan sunyi dan sepi. Bilik kosong dan yang tinggal dalam bilik itu hanya jasad yang terbaring lena di atas katil bercadar putih. Mana ibu? Soalnya sendiri. Hatinya mulai berfikir sama ada hendak melangkah masuk atau terus berpatah balik saja.
            Aku dah datang sampai sini, masuk sajalah. Dapat lihat wajah dia yang sedang terlena pun sudah cukup baginya. Ah, sebelum ini pun belum pernah Pah melihatnya. Kerana, setiap kali dia berada di situ, Pah mesti lena. Namun yang bezanya kali ini, tiada sesiapa di bilik menemani Pah. Walaupun kelihatan pelik, kakinya terus melangkah menuju ke katil.
            Wajah yang bersih itu benar-benar mengusik jiwanya. Buat pertama kali, matanya mengamati Pah yang terlena tanpa hijab di kepala. Terasa bersalah kerana dia mencerobohi privasi Pah. Dia tak patut berada di situ. Namun, tarikan gadis itu benar-benar membuatkan kakinya tidak mahu melangkah pergi. Dia ingin berada di situ. Dia ingin memastikan bahawa apa yang dia rasakan buat Pah, bukanlah satu perasaan yang main-main.
            Dia terus saja melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di sisi katil. Matanya tidak langsung beralih dari wajah yang sedang lena itu.
            'Baca alif ba ta pun tak lepas...' kata-kata itu mula bergema di mindanya. Hatinya terasa pedih. Kenapa aku boleh jadi macam ni? Bukannya aku tak belajar hukum. Bukannya aku tak diajar untuk menyebut kalam Allah. Tapi aku sendiri yang memilih jalan yang melekakan diri sehingga lupa habis semua ajaran yang dipelajari. Kata-kata sindiran yang lahir dari bibir Suzana seolah-olah membuka mindanya untuk berfikir.
            "Pah... awak takkan terima ke lelaki macam saya ni dalam hidup awak?" soalnya perlahan. "Saya tahu, saya bukan seorang yang layak untuk awak... awak baik. Pegangan agama kuat. Family awak pun sama. Tapi, saya ikhlas sukakan awak... saya ikhlas nak jadikan awak teman hidup saya. Salah ke kalau saya memasang impian yang sebegitu... Salah ke Pah?" soalnya lagi seolah-olah mahukan jawapan dari Pah. Wajah Pah masih kaku, lena tanpa sebarang gangguan.
            "Saya mengaku, saya berlagak macam romeo. Mungkin sebab pakej yang saya ada. Saya ada rupa, saya ada wang, saya anak orang ternama. Semua orang kenal family saya. Mungkin perkara-perkara macam tu buat saya jadi riak. Tapi, saya terlupa Pah... lebih daripada kepuasan hati yang saya kejar... saya juga inginkan kebahagian abadi... dengan insan yang saya sayangi dan dia juga akan menyayangi saya... dengan ikhlas," tambahnya lagi.
            Keadaan sekeliling masih sepi. Adam masih belum puas meluahkan rasa hati tetapi dalam masa yang sama, dia sedar bahawa dia harus menghormati hak Pah. Pastinya kalau gadis itu tahu Adam berada dalam bilik ini dan melihat dirinya tanpa hijab, semestinya dia akan menerima balasan untuk itu. Dia tahu tentang itu, kerana setiap kali dia datang melawat Pah, ibu tidak pernah lupa untuk menutup mahkota indah milik Pah daripada dicemari oleh mata-mata lelaki seperti aku.
            Ah! Kau reti ke bab-bab hukum agama ni Adam? Ada kau kisah ke tentang semua itu sebelum ini? Kata-katanya hatinya menyindir diri sendiri.
            Dia tidak boleh berlama-lama di situ. Pantas dia mengangkat punggung. Serentak itu dia memalingkan tubuhnya. Tersentak Adam pada ketika itu. Mujur saja tidak terlepas jeritan dari mulutnya. Matanya terus menekur lantai. Apakah dia dengar segala yang aku katakan tadi? Dia tidak berani untuk bertanya.

WAJAH Adam direnung tajam. Lelaki itu tampak lebih senang menghadap cawan kertas yang telah kosong itu. Sejak dari tadi juga, tiada sepatah kata yang lahir dari bibir mereka.
            "Aku...," Adam baru hendak menyusun kata. Tetapi dengan pantas sekali Eja memintas.
            "Betul ke apa yang saya dengar?" soalnya ringkas.
            "Eja aku... aku...," Adam menjadi kelu lidah. Sangkanya tiada siapa yang mendengar luahan hatinya. Ternyata dia salah. Eja yang mengambil giliran untuk menjaga Pah malam ini telah mendengar segala-galanya. Pandangan gadis itu juga nampak tidak senang dengan kehadirannya di situ. Apakah Eja juga sependapat dengan Suzana? Aku ini memang tidak sesuai untuk Pah...
            "Ya atau tidak saja. Tak perlu awak nak elaborate...," Eja berlagak tegas. Wajah Adam yang keruh itu ditatapnya tanpa jemu.
            "Ya...," lemah saja suara Adam mengiakan.
            "Dah tu, kenapa yang awak sedih sangat?" soalan Eja membuatkan Adam mengangkat wajah, bertentang mata dengan gadis itu. Kening Eja terangkat, menyoalnya.
            "Aku tahu... aku bukan lelaki yang selayaknya untuk Pah. Aku dengan dia macam langit dengan bumi. Faizul pun pernah cakap macam tu. Tapi aku degil... aku teruskan juga melayan perasaan tu walaupun aku tahu, perkara ni adalah mustahil. Tak mungkin Pah akan sukakan lelaki yang buta agama macam aku...," luah Adam dengan jujur. Sedikit pun dia tidak berselindung dengan kelemahan dirinya. Malah, dia sendiri berasa kesal kenapa dia harus berubah menjadi sebegini rupa. Apa yang dia tiada dalam hidup ini? Semuanya dia ada. Kecuali, satu... dia tiada keberkatan dari DIA kerana dirinya sendiri sering melupakan DIA.
            Eja diam mendengar kata-kata Adam. Kehidupan Adam yang sebenar baru diketahuinya. Walaupun Faizul begitu rapat dengan Adam, namun tidak sekalipun dia membuka aib lelaki itu padanya. Kini, melalui pengakuan Adam sendiri dia mengetahuinya.
            "Adam...," panggil Eja perlahan. Wajah Adam yang keruh itu benar-benar mengundang simpati di hatinya. Entah atas sebab apa lelaki itu kelihatan begitu sedih.
            "kalau awak betul-betul sedar yang awak dengan Pah macam langit dengan bumi, buatlah perubahan... buat perubahan kerana DIA Adam... Boleh jadi perasaan yang awak rasa terhadap Pah sebab kehendak Allah. Kehidupan kita sebagai manusia hanya akan mengikut apa yang dia telah tetapkan buat diri kita... Tak salah rasanya kalau awak ikhlaskan hati buat perubahan untuk cari keredhaan Allah. Kejar cinta Ilahi Adam...," ucap Eja dengan harapan dapat memberi semangat kepada Adam yang kelihatan begitu tidak bermaya.
            "Aku sepatutnya sedar dari awal...," ujar Adam dengan nada kesal. "Aku bukan selayaknya untuk Pah... tapi berangan-angan tinggi melangit...macamlah dia akan nak dengan aku ni," ucapnya lagi.
            Eja tersenyum. Senyuman yang penuh makna. Mungkin ada sesuatu yang Adam tidak tahu, tetapi dia mengetahuinya.
            "Kalau ada jodoh... takkan ke mana. Takkan larinya si Pah tu. Tapi, awak kena la berusaha untuk berhijrah dari takuk lama...," Eja masih dengan kata-kata untuk memberi semangat pada Adam.
            "Tapi aku ni... baca Alif ba ta pun tak lepas...," Adam mengaku tanpa rasa malu. Dia tahu rasa malu itu sudah tiada gunanya.
            "Tak tahu, boleh belajar. Islam sendiri mengalakkan umatnya untuk belajar dan terus belajar... supaya kita dapat perolehi ilmu dari pelabagai cabang... belajarlah Adam... pergi belajar untuk tunaikan kewajipan seorang hamba kepada penciptanya...," kata-kata yang lahir dari bibir Eja meresap terus ke dalam hatinya. Perlahan-lahan bibirnya menarik senyuman lega. Dia terasa tenang. Kepalanya yang kusut semenjak dua hari yang lalu sudah kembali normal.
            "Terima kasih Eja... kau dah tolong aku hilangkan kekusutan dalam kepala ni...," ucap Adam dengan senyuman ikhlas.
            "Sama-sama. Awak jangan lupa... berubah untuk dapatkan keredhaan Allah, bukan sebab nak kejar Pah tau...," sempat lagi Eja mengingatkan supaya tidak lari niat dari landasan sebenar.
            Adam tersenyum mendengar kata-kata. InsyaAllah.

SIARAN televisyen masuk sudah bertukar-tukar lebih dari sepuluh kali. Kerja siapa lagi kalau bukan anak buahnya yang sudah sampai untuk menggamatkan wad eksekutif ini. Riuh-rendah bilik itu dengan anak-anak Husna dan Hanis. Mujur saja Hairi datang seorang dari Johor, kalau tidak habis retaklah dinding bilik ini dengan suara mereka yang nyaring itu.
            Walaupun sudah puas dimarahi oleh ibu-ibu mereka, tetapi mereka hanya menarik sengih tanpa rasa getar sedikit pun.
            "Acu Pah...," Firdaus anak sulung Husna sudah pun melompat ke atas katil. Badannya dirapatkan dengan Pah.
            "Acu bila nak keluar hospital? Along tak suka bau-bau kat sini. Acu balik rumah tok ma cepat-cepat," petah saja bibir comel itu merungut.
            "Betoi la acu... Maira pun tak suka bau hospital ni...busuk! Acu duk rumah tok ma dengan tok ba kan senang," Humaira, anak Hanis sudah menyampuk sekali. Masing-masing telah mula berkerumun dikeliling katil. Pah hanya mengukir senyuman nipis melihat kepetahan mereka berkata-kata.
            Kalau di rumah, setiap kali mereka pulang waktu bercuti pasti dia akan membawa anak-anak buahnya bersiar-siar dengan kereta. Membelikan apa-apa barang kesukaan mereka. Apabila wajah-wajah itu tersenyum suka, dia terasa bahagia. Namun kali ini, dia tidak lagi dapat berbuat demikian. Terlantar sakit begini, dia tidak berupaya untuk menghiburkan mereka.
            "Kamu semua ni nak kena dah! Acu kan sakit, jangan kacau dia...," suara Hanis sudah mula kedengaran. Perlahan dia menarik tangan anak-anaknya untuk bergerak dari situ.
           "Alah... mak ni kan... mai nak tengok Acu, mestilah kena kacau Acu...," pantas saja mulut Humaira menjawab. Hanis sudah menjegilkan biji mata. Pah hanya tersenyum kelucuan melihat wajah kakaknya yang cuba sedaya upaya untuk berlagak garang. Yang pastinya, tidak akan menjadi sama sekali. Hanis memang tak ada aura nak jadi serius langsung. Marahlah banyak mana pun, orang yang dimarahinya pasti dapat menarik senyum hingga ke telinga.
            "Pah... akak nak balik Perlis dah... kak Husna pun sama... nanti kami datang lagi ye...," ucap Hanis lembut. Pah mengangguk kecil.
            "Pah tak kisah kan?" soal Husna pula.
            "Akak kan ada kerja, tak apa. Baliklah dulu... Pah tak apa. Ibu dan abah ada nak tengok-tengokkan Pah. Eja pun ada...," ucap Pah tanda tidak kisah.
            "Jaga diri tau. Apa-apa pun minta dengan ibu dan abah... jangan nak buat sendiri. Nanti akak datang lagi ye sayang...," Hanis sudah menarik Pah dalam pelukan. Berat hatinya hendak meninggalkan adik kesayangan dengan keadaan belum sembuh sepenuhnya. Tetapi, mereka juga punya tugasan yang perlu diselesaikan.
            Giliran Husna pula menarik Pah dalam pelukan. "Take care Pah...," ucapnya sambil menghadiahkan ciuman di pipi Pah.
            "Ma... along pun nak cium acu jugak!," ucapan Firdaus membuatkan mereka tertawa. Nakal!
            Bilik yang tadinya hingar-bingar telah menjadi sunyi sepi. Ibu terlena di kerusi panjang di satu sudut. Abah pula terlena di sofa. Kasihan pula melihat wajah tua itu yang kepenatan menjaganya siang dan malam. Malam! Hati Pah terasa berdebar. Dia masih ingat. Masih segar di ingatannya kata-kata yang meniti bibir lelaki itu malam semalam.
            Perlahan-lahan dia mengalihkan tangannya rapat ke dada. Dapat dirasakan debaran yang memuncak. Dia tidak berani untuk mengakui perkara itu sebelum ini tetapi pengakuan yang didengarinya membuatkan perasaan aneh itu menjalar kembali. Apakah dia? Serentak itu kepalanya terasa berdenyut-denyut.


Bab 15
MATANYA tepat merenung kipas yang berpusing di siling. Pusingan kipas seiring dengan mindanya yang sedang berpusing memikirkan satu perkara. Bibirnya diketap geram. Hatinya terasa panas menggelegak. Kalau disimbah ais sekalipun belum tentu kemarahan ini akan reda.
            "Huh! Dasar perempuan tak guna... semua lelaki yang tergilakan aku dia nak rampas!," ucapnya dengan kasar. Seiring dengan itu dengusan kasar dilepaskan.
            Bingkas dia bangun dari tempat pembaringan. Dia akan melakukan sesuatu. Dia tidak akan mengalah dengan mudah kali ini. Tidak dengan perempuan ini. Ini bukan kali pertama dan tidak mungkin dia akan menerima alasan yang sama buat kali kedua.
            Pakaian disalin seringkas mungkin. Biar hari ini jadi penentu antara aku atau dia. We will see. Tekadnya dalam hati. Walaupun cuma bergaya dengan ringkas namun dia memastikan penampilannya menarik. Ya! Dia tidak harus kelihatan selekeh lebih-lebih lagi depan perempuan tak tahu malu tu...

MATANYA sekejap-kejap terjenguk ke arah pintu. Entah kenapa sudah masuk beberapa aktiviti kesukaannya ialah merenung pintu. Mengharapkan seseorang? soal hatinya sendiri. Laju saja kepalanya menggeleng. Tak adalah. Nafinya pantas.
            "Tunggu orang ke sayang?" soalan yang terbit dari bibir ibu membuatkan leher Pah berpusing ke arah kiri bahunya. Wajah ibu yang sedang mengupas buah epal direnung dengan penuh tanda tanya. Erk! Bibir dah mula bergetar. Obvious sangat ke perhatian aku pada pintu tu?
            "Mana ada ibu. Pah saja tenung-tenung pintu... bukan sebab apa pun," alasan yang tak berapa disetujui hatinya terluah dari mulut. Aku bukannya tengah tunggu siapa-siapa pun... hatinya pantas berdalih.
            "Iye ke? Tapi ibu perhati Pah macam tengah tunggu seseorang saja... dari kelmarin lagi," serkap jarang ibu terasa benar-benar mengenai batang hidungnya.
            "Mana ada...," Pah masih berdalih. Namun hatinya kuat juga menafikan akan kebenaran jawapan yang terluah dari bibir. Kau bukan sedang menanti seseorang ke Pah? soal hatinya hanya melahirkan debaran di dada.
            Senyuman manis terukir di bibir ibu Pah yang setia menemaninya. Abah sudah pulang ke rumah, ada hal yang hendak diuruskan katanya. Tinggallah ibu dan Pah berdua dalam wad eksekutif ini. Epal yang dipotong nipis diletakkan elok atas piring dan dihulurkan pada Pah.
            "Nah... makan buah ni... dari tadi ibu tengok Pah macam tak lalu nak makan. Kenapa? Baru berapa hari Adam tak datang dah jadi macam ni...," ucap ibu dengan selambanya. Refleks pantas membuatkan Pah membesarkan biji matanya. Konon-konon terkejut besar.
            "A... apa kaitan dengan Adam pulak!," Pah sedikit tergagap di situ ketika menyusun kata. Debaran di hati semakin tidak teratur. Kenapa aku jadi macam ini? Siapa lelaki itu untuk aku fikirkan tentang dia? Pah tidak mampu menerima hakikat akan rasa hatinya kini. Dia tidak suka!
            Ibu sudah menarik senyum lagi seinci lebarnya. Tidak pernah rasanya dia melihat Pah gelabah seperti ini. Rasanya waktu Pah jawab peperiksaan penting dia lebih tenang daripada sekarang. Ini bukan suruh jawab soalan periksa pun, kenapa perlu gelabah sampai terketar-ketar suara dia.
            "Ibu berkenan dengan budak Adam tu...," mengaku ibu dengan jujur tanpa berselindung. Wajah Pah makin dipalit oleh riak terkejut. Ah! Pah... stop it! Jangan kau nak buat-buat terkejut sedangkan pada hakikatnya kau nak tayang wajah teruja. Bisikan hati Pah semakin kuat menghembuskan satu rasa yang tidak disenanginya. I am not! Bantah Pah keras. Bisikan hati ini hanya menyesakkan jiwa aku.
            "Dia menangis tau masa hari pertama dia datang lawat Pah... masa tu Pah belum sedar lagi. Tersentuh hati ibu tengok... masa tu ibu fikir, siapalah anak muda ni yang sanggup menitiskan air mata untuk anak ibu...," tambah ibu lagi. Kebisuan Pah membuka ruang baginya untuk meluahkan kata-kata. Pah diam tanpa bereaksi. Sedangkan mindanya sedang ligat berfikir... dia... menangis untuk aku!
            "Dia memang langsung tak sama dengan Pah...," sebaris ayat itu berjaya menarik minat Pah. Matanya terus bertentang dengan ibunya.
            "Tak sama?" soalnya ingin tahu. Apa yang tidak sama?
            "Dia dengan Pah memang macam langit dengan bumi...," ibu sengaja meleretkan kata-kata. Sengaja ingin mendera perasaan Pah yang seakan tidak sabar menanti butir bicaranya. Sekilas ibu memandang epal yang langsung tidak berusik. Terus ibu menarik senyum, dalam fikiran sudah merangka-rangka untuk mengusik Pah.
            "Tahulah rindu sangat dengan Adam... kalau iya pun, jamulah sikit epal tu...," usikan spontan dari ibu membuatkan pipi Pah terasa kebas. Apakah ini semua? Kenapa setiap tindak-tanduknya kena ada perkaitan dengan Adam? Argh... tak faham.
            "Ibu... kenapa ni? Pah tak rindu pun dengan Adam tu...," balasnya geram. Wajah ibu yang asyik tersenyum mengusik itu hanya membuatkan pipinya bertambah kebas. Macam dah kena bius saja.
            "Betul?" soal ibu dengan senyuman tidak lekang. Mata Pah terkelip-kelip. Tidak mahu suarakan jawapannya.
            "Kalau Pah suka dia pun tak apa... ibu tak kisah, ibu lagi suka...," ucap ibu yang kelihatan begitu santai membincangkan soal ini dengan Pah. Pah sekadar menarik jeling manja. Pah suka dia? Ah, tak mungkin... Mana boleh...
            Memang tak kena dengan gaya kalau dia sukakan si Adam fotografi tu. Iyalah... dunia Adam, dunia klik, klik kamera. Dunianya, dunia bakteria, mikroorganisma... boleh ke? Dunia ala-ala glamour tu bergabung dengan dunia skema aku?
            "Jemputlah masuk Adam...," suara ibu kembali menarik perhatiannya. Mendengarkan nama yang meniti bibir ibu membuatkan matanya beralih dengan pantas ke arah pintu. Tetapi... er...err... Aduh! Malunya... Pah terasa seperti hendak sembunyikan kepala di bawah katil. Kena kelentong dengan ibu. Malunya... Terasa panas mukanya diserbu darah. Aku bukan tunggu dia! Sempat lagi Pah menafikan dalam hati. 

WAJAH yang sedang lena itu dipandangnya dalam-dalam. Segala rasa telah bersimpul dalam hati. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia menekup wajah itu dengan bantal, biar dia sesak nafas, biar dia tak dapat bertahan, biar dia mampus. Bisiknya geram.
            Apa lebihnya kau dan apa kurangnya aku? Soalan itu meniti mindanya. Rasanya, di antara mereka sukar sekali hendak mencari jurang perbezaan melainkan satu perkara. Satu perkara saja menjadikan dirinya sentiasa jatuh nombor dua. Dalam apa jua keadaan pun, dia tetap akan jadi nombor dua. Paling tidak disangka olehnya, dia masih dikejar oleh bayangan perempuan tak guna ini walaupun dia sudah jauh meninggalkannya.
            "Kau... jangan fikir nak berbahagia setelah kau rampas apa yang sepatutnya jadi hak aku... aku takkan biarkan kau merasa bahagia sedangkan aku merana...," bisiknya di telinga, hanya untuk pendengaran mereka saja.
            Pandangannya jatuh pada pisau yang terletak elok bersama dengan epal yang masih belum dimakan. Bibirnya spontan mengukir senyum sarkastik. Aku lebih cerdik dari kaulah bodoh! Kata-kata itu dilontarkan dalam hati.
            Pisau dicapai dan digenggam erat. Mungkin kau memang tak patut wujud di antara kisah kami. Kau memang penyemak antarabangsa. Kau perlu dihapuskan. Tangannya mula ditarik ke atas sedikit demi sedikit.
            "Siapa tu?" argh!!! Keluhnya dalam hati. Sudah datang pengacau! Terus saja dilarikan pisau itu. Dia berlagak selamba. Pura-pura tenang. Bibirnya mengukir senyuman sebelum wajahnya dikalih menghadap tuan punya suara.
            "Mak cik...," ucapnya mesra. Tangan ibu dicapai dan disalam. Wajah ibu terus berubah riak. Kelu lidahnya.
            "Aliya...kan?" teka ibu. Dia sekadar mengangguk kecil. Ibu terus saja tersenyum mesra.
            "Ya Allah... lamanya tak jumpa kamu Liya... sihat ke? Dah lama sangat dah tak datang rumah mak cik, kenapa?" terus saja soalan demi soalan meniti bibir ibu. Teruja rasanya apabila dapat bertemu dengan sahabat baik Pah yang telah lama tidak dihubungi.
            "Sekarang dah pindah rumah, kerja pun banyak... dah jarang dah pergi mana-mana sangat. Ni pun saya datang sebab ada orang bagi tahu Pah accident. Teruk ke mak cik?" dia berpura memaniskan mulut menyoal perihal Pah yang masih terlena tanpa menyedari sesuatu pun.
            "Awal-awal hari tu, teruk jugak. Berapa hari dia tak sedarkan diri. Sekarang, Alhamdulillah dah sembuh sikit... dia dah mula jalan sendiri...," terang ibu dengan bersemangat.
            "Selalu mak cik seorang saja ke jaga dia?" soalnya merisik. Matanya mengerling sekilas ke wajah Pah. Serentak itu, dia menarik jeling. Menyampah.
            "Mak cik dengan abah Pah. Kadang-kadang Eja pun datang juga... kenal Eja lagi kan?" soalan ibu Pah membuatkannya terasa mual. Si mangkuk ayun lagi seorang tu pun wujud lagi dekat area K.L ini. Menyusahkan hidup orang saja.
            "Kenapa tak kenal pulak... kami kan dah lama kawan mak cik... cuma dah lost contact saja...," balasnya dengan nada mesra yang dibuat-buat.
            "Kamu ni... datang duduk sini, banyak yang mak cik nak berbual dengan kamu...," terus saja tangannya ditarik oleh ibu Pah ke arah sofa yang terletak elok di sudut bilik. Walaupun hatinya meronta untuk keluar dari situ, namun disabarkan juga. Biarlah sehingga agendanya selesai. Senyuman sinis bergayut di bibir. You better beware Pah!


Bab 16
"KAU!," ucapnya terkejut. Riak wajah itu terus saja berubah melihatkan wajah si gadis yang sedang elok bersandar di dinding luar dari bilik Pah. Wajah gadis itu terpampang dengan senyuman sinis di bibir. Dia masih statik di tempatnya namun gadis itu sudah melangkah mendekati.
            "Ada sihat Tengku Hafiz?" soal gadis itu sinis. Tanpa segan dan silu juga jemari gadis itu dilarikan ke wajahnya, menyentuh pipi dan bibirnya. Dengan pantas juga dia menepis. Dengusan kasar dilepaskan.
            "Kau ni kenapa? Buang tabiat...," marah Hafiz. Sejak bila Aliya yang dikenalinya berubah menjadi se-daring begini. Dulu, tidak pernah sekalipun jemari gadis itu menyentuhnya. Benarkah ini Aliya yang dikenalinya dulu? Dia seperti tidak percaya.
            "Kenapa nak marah-marah ni sayang... you tak suka, Liya sentuh you...," ujar Aliya dengan suara yang sengaja dilunakkan. Pura-pura berlagak manja, sedangkan dalam hatinya hanya tersumbat dengan seribu satu dendam. Dendam kerana dirinya ditinggalkan selepas ditaburkan segala janji manis. Yang lebih memarakkan api kemarahannya adalah kerana dirinya ditinggalkan kerana perempuan bodoh di dalam bilik tu. Pah!
            Mata Hafiz sudah mencerun pada Aliya. Gerak geri dan lenggok Aliya yang kelihatan manja langsung tidak meninggalkan sebarang riak di hatinya. Namun mindanya ligat berfikir, apa yang dilakukan oleh gadis itu di sini? Kenapa dia keluar dari bilik Pah? Kebetulan saja atau...
            "Kau buat apa di sini?" soal Hafiz tidak sabar.
            Aliya menarik senyum manis. Wajah Hafiz yang semakin merah benar-benar menarik di pandangan matanya. Makin kacak nampaknya lelaki itu. Tubuhnya dirapatkan lagi walaupun Hafiz sudah mula bergerak ke belakang.
            "Aliya... ini tempat publik, please behave!" tegur Hafiz tidak senang. Langkah Aliya mati serentak dengan teguran itu. Dia menarik senyuman penuh makna.
            "You nak privacy... I tak kisah," ucap Aliya sambil mengenyit matanya. Hafiz mengetap bibir. Hatinya beristighfar panjang.
            "Kau ni dah gila ke? Kenapa tiba-tiba cakap macam ni semua?" soal Hafiz. Nada suaranya dikawal agar tidak terlalu kedengaran kuat. Ramai yang lalu-lalang di situ memandangnya pelik. Ramai juga kenalannya yang melihat dengan pandangan yang sukar ditafsir. Dia mempunyai kerjaya tetap di sini, dia perlu menjaga reputasinya. Namun tindak-tanduk Aliya yang semakin liar hanya mengundang amarah dalam hati.
            "Darling... apa you ni, cakap I gila pula. Kalau I gila sekali pun... mungkin, tergilakan you saja!" ucapan Aliya membuatkan Hafiz tidak senang berdiri di tempatnya.
            "Kau buat apa datang sini?" soalan itu kembali meniti bibir Hafiz. Mindanya tidak dapat berhenti membuat macam-macam andaian.
            Senyuman sinis bergayut kembali di bibir Aliya. "Jumpa your darling sweetheart yang terlantar kat dalam bilik tu la...," ucapnya separuh berbisik di telinga. Hafiz terkedu. Adakah dia tahu?
            "Kau...kenal...," Hafiz kehilangan kata-kata.
            "Apa tak kenal pula... dia kan "bestfriend" I!" nada Aliya makin sinis. Hatinya sudah membuak-buak dengan api kemarahan. Namun, pantas saja dia mengawal emosinya. Terlalu awal untuk aku reveal perasaan sebenar. Bisiknya dalam hati.
            Mata Hafiz membulat tidak percaya. Wajah Aliya, nada suara Aliya makin sinis. Dia dapat menangkap itu. Mata itu... mata gadis itu terpalit api kemarahan. Tidak sesukar mana hendak menafsir pandangan Aliya itu. Adakah Aliya berdendam dengan aku? Adakah dendam yang mengubahnya menjadi liar sebegini?
            "You better watch your beloved Pah!" bisikan kedua singgah di gegendang telinga Hafiz. Dia semakin terkedu. Aliya sudah pun melangkah menjauhinya. Matanya tidak lepas memandang pergerakkan gadis itu. Dengan rambut separas bahu yang dibiarkan mengurai dan berterbangan bila ditiup angin. Fizikal gadis itu tidak banyak berubah. Tubuh ramping dan tinggi lampai seperti model. Dia masih cantik seperti dulu. Makin cantik sepatutnya.
            Kau masih cintakan dia ke? Hati Hafiz berdesis. Pantas saja gelengan singgah di kepala. Dia lebih berminat untuk mengejar Pah yang makin kuat berjual mahal dengannya. Itu lebih mencabar.
            You better watch your beloved Pah. Ayat itu kembali singgah di fikirannya. Apa maksud gadis itu? Otaknya tidak mampu berhenti berfikir akan kemungkinan yang buruk-buruk saja. Tetapi adakah Aliya akan berani untuk melakukan perkara-perkara di luar jangkaan akal waras itu? Hatinya dipagut rasa risau yang berganda-ganda.

ENJIN KERETA dihidupkan. Tali pinggang keledar dipasang. Air-cond dipasang membiarkan ruang itu terasa sejuk. Sepatutnya dia bukan berada di sini sekarang. Tetapi oleh kerana perasaan rindu yang tidak mampu dibendung, dia melawan kata-kata akal yang rasional dan ikutkan emosi untuk datang ke sini. Pantas saja dia bersiap dan terus memandu ke sini, HUKM.
            Dia tidak berniat untuk masuk ke dalam bilik itu pun sebenarnya, cuma memasang niat untuk memandang Pah dari jauh. Tetapi belum sempat di ke bilik itu, dari jauh dia sudah dapat menangkap sesusuk tubuh yang amat dikenalinya. Pada mulanya dia tidak mula berprasangka apa-apa, tetapi saat tubuh itu mendekati seseorang yang pernah juga ditemuinya, mindanya makin tidak mampu menemui sebarang fakta yang relevan.
            Mindanya masih tidak berhenti berfikir. Sesak dadanya! Apa hubungan gadis itu dengan lelaki itu?
            Dia kan bestfriend I. Ayat yang jelas di pendengarannya. Gadis itu bestfriend Pah! Tak mungkin. Takkan... Pantas hatinya menafikan. Mindanya dan hatinya tidak tenang. Pertemuan tadi dan perbualan terakhir dengan gadis itu semakin jelas di pendengarannya.
            Ya Allah... Adam mengucap perlahan. Pah! Jangan dia berbuat apa-apa pada Pah. Ya Allah, tolong lindungi Pah.

"IBU CUKUPLAH...," tangan Pah sudah bersedia untuk menolak suapan nasi yang seterusnya. Ibu seolah-olah tidak mahu memahami riak wajahnya yang sudah tidak lalu makan.
            "Makanlah... asyik tak lalu makan saja, macam mana nak bertenaga ni...," pujuk ibu lembut. Eja yang berada di situ tertawa kecil.
            "Manjanya...," usik Eja dengan mimik muka. Pah mencebik. Nak mengusik aku laju saja!
            "Eja... jangan tak tahu, Pah ni...," ibu dah beralih pandang pada Eja. Pah sudah melopong. Ibu! Janganlah dicerita perihal pintu. Jangan. Jangan. Jangan. Pintanya bersungguh dalam hati. Namun... dia hanya mampu merasa pipinya menjadi kebal saat nama Adam dan pintu serentak meniti bibir ibu. Ibu kejam! Rajuknya dalam hati.
            Pandangan dan senyuman nakal Eja semakin membuatkan Pah tidak senang duduk. Apa tarik-tarik senyum nakal ni! Desisnya geram. Namun semua rungutan hanya terbit di hati. Tiada satu pun yang terluah.
            "Pah memang dah lama sukakan Adam, ibu. Dia malu nak cakap saja," kata-kata Eja membuatkannya Pah makin terlopong. Wah-wah! Dua orang sihat walafiat ini berpakat-pakat nak kebalkan pipi aku sekebal yang mungkin agaknya. Kenapa kena ada nama Adam sedangkan dia tak muncul depan aku pun lagi? Ahha... Pah. GULP!
            Pah mengetap bibir dengan luahan hatinya sendiri. Luahan hati yang menampakkan sangat dia berharap akan kemunculan Adam. Aduhai... Mujur saja ia hanya lahir di dalam hatinya. Kalau diluahkan kepada dua makhluk yang sedang rancak bergosip di hadapannya, mahu diusiknya sampai kering gusi.
            Tanpa disedari, matanya dengan sendiri melirik ke muka pintu. Lama matanya terpaku di situ. Apa sudah jadi dengan kamu Pah? Kenapa tercari-cari wajah yang aku kata memualkan tekak aku. Hatinya kembali berdegup kencang. Wajah bersama senyuman manis itu berlayar di mindanya. Apa menariknya lelaki itu? Tiada apa. Pah berdalih.
            Menarik Pah. Dia sangat menarik. Dengan senyuman manis macam gula itu dia memang menarik! Bisikan hati Pah muncul kembali meniupkan rasa tidak senang dalam hatinya.
            Setakat senyuman, takkan aku nak tertarik. Dalih Pah sendiri.
            Bukankah, kau baru saja terbayangkan senyuman dia yang menarik perhatian kau! Bisikan hati itu sinis sekali menyindirnya.
            "Sudah-sudahlah berangankan Adam tu. Makanlah nasi ni lagi sikit...," ucap ibu dengan selamba tetapi Pah sudah terkedu. Ibu... macam mana ibu dapat sense segala yang Pah rasa. Mulutnya terbuka sedikit tanda kagum. Dia masih tidak sedar sehingga sesuap nasi terus disumbat ke dalam mulut. Saat itu dia sudah melepaskan dengusan manja. Ah! Semua ini pasal Adam. Bentaknya sendiri.
            Kau yang teringatkan dia, kau salahkan dia pula. Kata hati yang sinis itu kembali bergema. Sekali lagi Pah hanya mampu terkedu.

2 comments:

  1. best...mesti ada lagi mesteri slps ini....tungguuu

    ReplyDelete
  2. i bt0l2 x sbr..bla nx p0st yg bru..
    srn0k lakk bc..dh x bleh bka fb..
    bka arr bl0g lakk..bt0l kann..
    cik c0m..hehee..i like this story..

    ReplyDelete