BAB 10
“TERSENGIH
panjang… menyampah aku tengok!” Perkasa Armana yang baru masuk ke dalam rumah
dengan beg barang dapur di tangan, cepat sahaja melaungkan komen pada Mirza
Haidar. Selalunya waktu begini, Mirza Haidar pasti menggantikan tidur yang
tidak cukup di malam hari. Tetapi hari ini, mata itu cerah. Secerah langit hari
ini.
“Aku
ada sorang adik yang sangat comel, yang suka buat benda bukan-bukan!” Mirza
Haidar tergelak. Membaca kiriman emel daripada Marlisa pada ketika ini hanya
menerbitkan rasa lucu dalam hatinya. Ada-ada saja!
Sementara
itu minda Perkasa Armana terus terpanggil dengan nama Putra Azad. Cebikan
terzahir di bibir mengenangkan si Doraemon yang kini sudah menjelma menjadi
Prince Charming itu.
“Huh? Sorang adik yang sangat
comel? Aku ada sorang adik yang perasan sangat kacak dan suka jugak buat benda
yang bukan-bukan. Kita patut jadi besan!” Tutur Perkasa Armana sambil
membayangkan Putra Azad dengan kegilaannya pada Jelita! Dan apa nama penuh
Jelita yang disukai Putra Azad ya? Kenapa wujud begitu banyak makhluk yang
bernama Jelita yang disukai insan di sekelilingnya? Sungguh dia tak faham.
Disebabkan itu terasa macam ada bayang-bayang Jelita yang mulai menghantui
dirinya. Erk! Itu sangat berbahaya.
“Hang
takkan percaya apa yang adik aku dah tolong buat without me asking to do it.”
Pertanyaan
itu menggamit pandangan Perkasa Armana. “Apa yang dia buat? Pergi meminang
Jelita Suria ke?” soal Perkasa Armana tanpa sedar. Spontan juga terkeluar nama
itu yang sudah mula berlegar-legar di ruang kepala. Hendak dinyahkan, tidak
berjaya pula.
“Eh?
Hang tau nama dia Jelita Suria?” Mirza Haidar hairan. Kerutan terbias di dahi.
“Hang
pernah cakap…” malas saja jawabnya. “Jadi, kembali kepada topik asal… apa yang
adik hang buat?”
Mirza
Haidar tergelak dahulu sebelum menjawab. “Boleh pulak dia letakkan album gambar
yang penuh dengan gambar aku, semata-mata nak bagi Jelita tengok. And you would not believe, how did Jelita
react!” Mirza Haidar buat muka teruja.
Perkasa
Armana sudah mencebik. “Mesti dia pun tersengih sorang-sorang macam nampak hang
depan mata!” sinisnya. Sindrom manusia yang dilamun cinta, macam dia tidak
pernah tengok sahaja. Sejak dari zaman sekolah dia sudah terbiasa expose dengan babak-babak yang meloyakan
itu.
Mirza
Haidar menggeleng. “Nampaknya hang duk underestimate
Jelita Suria. Dia bukan macam perempuan-perempuan lain yang senang nak melting bila nampak lelaki yang depa
suka. Dia sangat lain dan sangat mahal.” Terkuntum senyuman di bibir Mirza
Haidar. Mutiara! Itulah Jelita Suria. “She
is just like a pearl that covered by the hard shelf which can only be touched and
discovered by the right hand. Expensive
and very exclusive.”
“Sebab
hang suka dia… hang pujilah bagai nak gila!” sindir Perkasa Armana. Masih
dengan cebikannya. Mana mungkin dia percaya dengan hujah Mirza Haidar. Mana ada
perempuan hendak menolak permandangan indah di depan mata. Jelita Suria itu
mahal sampai tak pandang lelaki ke? Mustahil!
“Aku
tak faham kenapa hang kena bangkang setiap hujah aku tentang Jelita… tapi apa
yang aku boleh cakap, beruntunglah setiap suami kalau dapat isteri yang betul-betul
menjaga hati hanya untuk jodoh yang tertulis untuk dia.”
“Untung
ke isteri hang kalau setiap masa hang asyik teringatkan Jelita Suria aja?”
Tersentak
Mirza Haidar. Soalan yang tidak pernah terlintas di kepala. Soalan daripada
Perkasa Armana yang berwajah serius itu mengkakukan lidahnya. Kesudahannya,
sepi mengambil tempat di ruang antara dua jejaka itu.
AKHIRNYA, kakinya menjejak juga sekali lagi ke bumi
Ireland. Kedatangan yang sebelum ini saja-saja meluaskan pandangan mata. Namun
kini, ada misi yang hendak dijalankan. Disebabkan itu terpacak dirinya di
hadapan Apartment Brookland, Nulty Lane yang didiami temannya, Suzi. Suzi
menuntut di University College Dublin. Sama seperti orang itu! Orang yang tidak
mempunyai perasaan dan berhati batu itu.
Mengenangkan
orang itu, hatinya yang selalu sejuk pun terasa panas. Kalaulah dia terserempak
dengan makhluk tidak berperasaan itu di saat ini, entah apa pulak akan jadinya.
Tidak mahu membuang masa, bagasi merah yang dibawa ditarik. Langkahnya laju dan
yakin. Alamat yang tercatit dalam Iphone dicari.
Namun
langkah yang begitu yakin sekali, terkaku di situ. Mata yang berwarna hitam
pekat itu terasa bersinar. Kalau tadi bila fikir orang itu, rasa macam nak
marah. Tapi tak sangka pula, kalau sudah berdiri di depan mata… asyiknya!
“Hai…”
spontan Zalfa menegur. Senyuman sememangnya sudah sedia berkuntum di bibir.
Siapa yang tak mahu senyum pada Perkasa Armana. Semakin kacak dan hanya akan
sentiasa kacak walau dipandang dari sudut mana sekalipun.
“Zalfa?”
Perkasa Armana terkejut. Disangkanya tadi pelanduk dua serupa tapi tak sangka
pula, sebetulnya itu Zalfa. Aduh! Apa pula minah berdarah kacuk itu buat di
sini?
“Ingatkan
dah takkan tegur…”
“Buat
apa dekat sini?” soal Perkasa Armana tidak mahu bertangguh. Selepas dapat
jawapan, dia hendak terus berjalan ke library.
Nescaya, kalau Zalfa ada urusan di kawasan perumahan itu, dia akan cuba
usahakan sehabis baik untuk tidak pulang ke rumah hari ini. Lebih baik begitu
daripada dia terus diganggu oleh bayangan si cantik ini.
“Bercuti.”
Zalfa tersenyum. Wajah Perkasa Armana yang resah itu hanya menggamit perasaan
lucu dalam hatinya. Apa lelaki itu fikir, sepinya akan membuatkan Zalfa lelah?
Tidak mungkinlah. Kalau tidak, dia tidak akan segigih ini. Datang dari London,
semata-mata hendak bertemu dengan Perkasa Armana yang hanya tahu menyombong
diri. Dulu, Perkasa Armana tidak begini. Tetapi kenapa sekarang lagak lelaki
itu seakan orang lain.
“Cuti?
Untunglah…” gumam Perkasa Armana. Matanya sudah pura-pura melihat jam. Pura-pura
beraksi kalut. Sedangkan dia tiada urusan yang mengejar masa.
“I have to go…” kononnya rushing, Perkasa Armana buat-buat macam
tak cukup kaki untuk jejak tanah. Tetapi hairan juga, Zalfa tersenyum mendengar
alasannya. Mungkin dia saja yang perasan Zalfa datang ke sini untuk
menganggu-gugat ketenteraman dirinya. Mungkin juga Zalfa sudah insaf daripada
penyakit “obses” dengan diri Perkasa Armana. Mungkin…
“Okey.”
Balas Zalfa. Tidak bersoal panjang. Namun maksud senyuman di bibir itu, hanya
hati yang mengetahui. Perkasa Armana fikir dia boleh lari? Larilah… kalau
sempat. Desis hati yang sudah mulai berbunga di saat ini. Melihat sahaja
langkah Perkasa Armana menuju ke jalan besar, dia sudah berpaling mencari
apartment bernombor 46 itu. Suzi, thank
you!
TIDAK dapat dikira, sudah berapa kali dia
menggelengkan kepala. Aksi Marlisa hanya membuatkan kepalanya terasa pening
pula. Sejak bila kawannya yang seorang ini dibius “cinta” dengan subjek agama?
Selalu kalau nak menyelak baca satu bab pun, banyak sungguh alasannya. Sekarang
ini, begitu tekun pula. Jelita Suria cuba mengintai apa yang begitu menarik
dalam helaian buku itu yang berjaya menguntumkan senyuman lebar Marlisa sejak
tadi. Tak tahu pula dia, buku agama ini sudah menjadi surat cinta buat Marlisa.
“Apa
yang seronok sangat sampai tersenyum tak berhenti?”
Terkejut
Marlisa dengan teguran Jelita Suria. Kalut sahaja aksinya menutup buku di depan
mata. Tidak mahu Jelita Suria menghidu keadaan sebenar.
“Tak
ada apa-apa…” balas Marlisa berlagak selamba. Botol air di hujung meja dicapai
dan air kosong diteguk. Sambil itu matanya jatuh pada wajah Jelita Suria yang
kelihatan hairan. Jelas terukir riak tidak puas hati.
“Kalau
tak ada apa-apa…” tekan Jelita Suria. “Kenapa sampai nak tutup buku dan larikan
bawah meja. Mesti ada apa-apa kan? Dan hang tak nak aku tahu, kan?” Tebak
Jelita Suria. Jelas, pasti ada apa-apa. Dan tebakan itu seakan terjawab dengan
sendiri apabila Marlisa tersedak kuat. Langsung tak boleh simpan rahsia. Desis
Jelita Suria. Sekejap lagi pasti Marlisa sendiri akan buka mulut dan bercerita
tanpa perlu dia bertanya apa-apa. Itu tersangat pasti!
“Tak
adalah!” dalih Marlisa. Sisa air kosong yang melekat di muka, dilap dengan
gopoh. Riak selamba dengan dirinya tidak mudah dikekalkan nampaknya.
Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan Jelita Suria, si ‘bakal ipar’ yang
begitu garang… opppsss!
“Kalau
tak ada apa, baguslah. Jangan ada apa-apa yang bukan-bukan pulak. Hang tu budak
sekolah lagi… ingat tu!” tegas Jelita Suria menekankan kata-katanya. Dia seakan
dapat menghidu sahaja kenapa Marlisa begitu. Bukan dia tidak perasan, ada
beberapa perubahan yang sedang terjadi secara perlahan. Seakan ada musim bunga
yang sedang mengambil tempat di dalam hati gadis itu. Tidak mahu melihat
perkara itu dengan menerima seperti biasa, Jelita Suria tergerak untuk menegur
juga. Tetapi, mampukah Marlisa menerima?
Belum
sempat Jelita Suria membuka mulut untuk bersuara, sudah ada wajah yang
menjengah di balik tingkap kelas mereka. Serta-merta wajah Marlisa berubah rona
dan tertunduk ke bawah. Spontan juga mata Jelita Suria berpaling ke sisi dengan
rasa marah. Wajah si dia yang cuba menyuntik perasaan tidak-tidak dalam hati
sahabatnya itu dijeling keras. Namun apa yang diterima, kenyitan nakal yang
melahirkan rasa meluat dalam hati. Jengkel sekali rasanya menyaksikan panorama
sebegini.
Sekali
lagi dia menjadi tidak faham, apalah yang dikejarkan dengan hubungan lelaki dan
perempuan dari zaman persekolahan? Sedangkan duit makan dan pengangkutan pun
ibu bapa yang bayarkan. Ada hati pula hendak mengurat anak dara orang! Sungguh,
perkara itu hanya membangkitkan kemarahan dalam hati Jelita Suria.
Baginya, cinta itu tidak boleh
terjadi atas dasar suka-suka dan hendak cuba-cuba. Dan dia pasti itu yang
sedang terjadi antara Marlisa dengan Najmi, ketua pelajar yang perasan hot di sekolah ini.
“Marlisa!!!” Tidak mahu menyaksikan
sahaja, Jelita Suria hendak bersuara juga.
“Kalau hang rasa cinta yang Allah
wujudkan dalam hati manusia ni sebagai suatu perkara yang begitu tinggi
nilainya… hang jangan rosakkan hati hang dengan berangan-angan tentang makhluk
berbaju biru dekat luar tu.” Sempat lagi Jelita Suria melayangkan jelingan buat
kali kedua apabila wajah Najmi masih jelas di luar koridor kelas mereka.
Wajah Marlisa tersentak. Kalut juga
dia merenung Najmi di luar kelas yang mungkin tidak mendengar butir bicara yang
dikatakan oleh Jelita Suria.
“Kenapa? Aku dengan dia tak buat
apa-apa pun. Nak berkawan aja, salah ke?”
“Salah!”
“Apa salahnya?” Marlisa mengetap
bibir. Terasa marah. Terasa bahawa apa yang dirasakan dalam hati ini seakan
didustakan oleh kawan baik sendiri.
“Salah bermaksud salah. Tidak
dibenarkan oleh agama. Perkara yang melekakan hati hanya akan membawa padah
kepada manusia. Syaitan tu tahu aja mana kelemahan kita. Dia lebih arif tentang
keadaan diri kita dan itu yang menyebabkan kita mudah lupa pada Tuhan. Allah
dah pesan, jaga batas hubungan antara lelaki dan perempuan. Jaga pandangan.
Jaga kehormatan. Tapi manusia selalu anggap perkara tu sebagai sesuatu yang
sangat remeh. Tak bermakna hang tak keluar dengan dia, tak berlaku apa-apa.
Hati tu Marlisa… kawal nafsu tu!” Tegas sekali Jelita Suria berhujah.
“Aku tahulah nak kawal nafsu aku… takkan
sebab hang tak suka berkawan dengan lelaki, aku tak ada kebebasan untuk tu?
Berkawan untuk berkawan. Bukan berkawan untuk mengawal kawan. Aku tak suka hang
kawal-kawal hidup aku. Aku akan buat apa yang aku suka! Dan aku suka Najmi,
hang nak kata apa?” balas Marlisa tidak kurang tegasnya. Rasa suka pada Najmi
kini berada di tangga teratas dalam hati. Terlupa terus pada persahabatan
antara dirinya dan Jelita Suria yang terjalin sekian lama. Hanya kerana cinta
yang mulai mengambil tempat. Hanya kerana nafsu mula menguasai keadaan.
Jelita Suria tersenyum nipis.
Hendak marah, dia tahu dirinya akan dihentam semula. Marlisa tidak pernah
begini. Dan dia tahu, keadaan sebegini tidak akan kekal lama. Dia akan kembali
mendapatkan temannya, namun dia harus bersabar.
“Pesan aku, jaga hati, jaga iman…
dan aku tak berkawan untuk mengawal. Aku berkawan untuk menjadi sahabat. Sahabat
yang takkan tinggalkan temannya walau dalam apa keadaan. Kalau hang rasa aku
tak ada hak untuk menegur hanya dengan status kawan tu, aku minta maaf.”
Serentak itu Jelita Suria bangkit
dari kerusinya. Fail yang berisi nota dan peta minda dicapai. Tanpa kata,
kakinya menyusun langkah. Dia tidak mahu berada di hadapan Marlisa buat
seketika. Mungkin melepak di perpustakaan lebih baik buat masa ini. Nasib juga
tiada guru ganti untuk mata pelajaran sivik yang berada di penghujung waktu
sekolah ini.
Sambil kakinya melangkah,
menerawang mindanya memikirkan sebaris hadis yang dibaca tempoh hari. Sebaris
hadis yang mengingatkan diri tentang apa itu sahabat. Apa ertinya hidup dengan
adanya teman di sisi. Dan ia bukanlah seperti yang didakwa oleh Marlisa
sebentar tadi. Berkawan itu bukanlah untuk mengawal.
“Diumpamakan
rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual
minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan
anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat harumnya. Tukang besi pula
boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
(Hadis Al-Bukhari dari Abu Musa Al-Asy’ari)
Dan Jelita Suria tidak mahu menjadi
yang busuk kerana ia hanya merosakkan keadaan. Walaupun hanya sekecil-kecil
kulat dalam roti kesannya pasti dapat dirasai andai ditelan juga biarpun amaran
sudah diberi.
sabar jelita... nnti mst lisa sedar silap dia...
ReplyDeleteApalah yg ada dlm kepala Zalfa tuh, jgn buat bkn2, nnt ko jgak yg frust.
ReplyDeleteTerharu dgn nasihat Jelita pd Lisa, membuatkan saya renung kembali apakah saya ini kawan atau sahabat kpd teman2 baik saya.
Tq for this entry Umi. Rindu giler kt Perkasa Armana & Jelita Suria.
best.
ReplyDelete.
best :)
ReplyDelete