Advs

Followers

June 26, 2013

Tidak ku sangka 2



SEKALI lagi, dirinya menjadi mangsa. Mangsa menerima bungkusan makanan daripada Qaiser. Ah, lelaki itu!
            Dikerling ke arah Kamilia, tersenyum pula perempuan seorang ini. Macam tak ada perasaan. Kata peminat? Tapi tak nampak seperti meminati pun.
            “Muncung aje kak? Dapat makanan pun muncung ke?” soal Kamilia penuh mengusik.
            Anis mencebik. “Apalah yang lelaki tu susah-susah sangat. Aku bukan tak reti nak jaga perut sendiri. Macam aku ini budak-budak pulak…” bebelnya. Serentak juga tangan membuka isi bungkusan. Hampir terjojol biji mata Anis. Biarpun marah, tetapi tekak sudah mula meronta. Siapa yang mampu menolak cempedak goreng sewangi ini? Lalu disuakan ke dalam mulut dan rasanya… ah, manis sekali!
            Panjang juga tangan Kamilia mencapai sebiji. Dan dibawa ke dalam mulut. Seperti Anis, dia juga teruja dengan rasa yang meresap ke dalam tekak.
            “Okeylah Anis, dia gigih berusaha tu… kegemaran kau ni. Bukan semua orang tahu…. tapi dia tahu. Ini pastinya diambil tahu.”
            “Apa motifnya?” Anis mendengus.
            “Motif? Kau nak motif apa lagi? Tak cukup ke dengan motif, dia suka kau?” Kamilia menekan. Geram pula bila tengok Anis yang macam tak ada perasaan. Selalu tidak begini. Takkan sudah mati hati gadis itu untuk seorang lelaki? Bukan pernah putus cinta atau ada trauma ketika bercinta. Tetapi melayan orang yang hendak mendekati dirinya bagaikan tidak mahu memberi peluang sahaja. Itulah masalah Anis, langsung tidak mahu memberi peluang.
            “Bukan kau pun suka dia ke?” soal Anis tidak berselindung.
            Wajah Kamilia berubah. Tetapi seketika sahaja, bibir itu mengorak senyuman manis. “Kau tak payah risaulah… ini ala-ala crush di tempat kerja. Yang sebenarnya, mak aku dah carikan calon.”
            Membulat mata Anis. “Mak carikan?”
            Kamilia mengangguk.
            “Bila langsung?”
            “Mungkin hujung bulan nanti masuk meminang, dan mungkin jugak ikat tunang dalam setahun. Bakal suami aku tu nak sambung belajar, jadi berikan dia masa secukupnya.” Kamilia tersenyum.
            “Seronoknya kalau jumpa yang berkenan di hati.” Anis mengeluh tiba-tiba. Dia juga telah berjumpa. Anas!
            “Anis… kau cuma kena beri peluang. Anas tu kan tarikan biologi aje…” ujar Kamilia lembut. Ingin menyedarkan Anis tentang sebuah hakikat. Selama mana hendak difikir lelaki yang diminat dalam diam. Dan Kamilia sangat maklum tentang Anas yang berjaya mendapat perhatian Anis dalam diam.
            “Tapi… dia lain.” Perlahan bibir Anis menyebut. Yang pasti, Anas sangat utuh di hati. Biarpun berkali-kali dia bertekad untuk meleraikan ingatan itu agar dia dapat berpijak pada realiti. Tetapi ia seakan sukar dilaksana.
            “Qaiser pun lain jugak… cuba nilai dia dengan mata hati. Tak adil kalau kau terus membandingkan lelaki-lelaki di depan mata dengan Anas yang dah bertahun kau tak pernah jumpa. Dan mungkin… Anas dah berkeluarga. Siapa tahu? Kau pun bukan tahu Anis.”
            Kenyataan yang diluah Kamilia bagaikan merentap jantung Anis. Anas sudah mungkin berkeluarga. Maka Anis, tolonglah berpijak di bumi yang nyata!!!

HARI minggu yang tiba digunakan sebaiknya untuk bersama keluarga. Anis bangun awal pagi menolong Puan Amina menyediakan sarapan. Nasi lemak yang sentiasa sedap tidak terkira. Beserta kuih karipap yang sentiasa buat Anis rasa dilamun cinta. Masakan emaknya pasti yang terbaik sahaja.
            Selesai sahaja masak, Anis sudah ke ruang tamu. Mengemas apa yang perlu. Tengah hari sedikit dia sudah berkira-kira hendak ke car wash untuk membasuh kereta. Setelah penat selama sebulan menguruskan hal kerja, kini di cuti semester, dia hendak berehat seketika. Badannya juga perlukan sesuatu agar dapat menyegarkan semangatnya. Lantas, cuti selama seminggu telah dipohon untuk melancong.
            “Nak pergi mana pulak Anis?” soal Puan Amina.
            “Bandung.”
            “Jauhnya…” komen Puan Amina. “Tapi tak apalah… pergi dengan Kamilia kan?”
            Anis mengangguk. Kamilia juga akan turut serta. Mak cik itu pasti marah jika Anis pergi bercuti seorang diri. Mengamuk sakan di pejabat nanti.
            “Kamilia cakap, dia dah tunang… betul ke Anis?”
            Anis mengangguk. “Tapi tak buat besar pun. Panggil keluarga terdekat aje. Dia dah bagitahu Anis awal, Anis pun faham.”
            “Eloklah.Tunang tu bukan untuk dimeriahkan… tetapi lebih elok bersederhana. Sebab itu disarankan, rahsiakan pertunangan… hebohkan pernikahan.” Ulas Puan Amina. “Anis bila pula?” soal Puan Amina spontan. Wajah Anis sulungnya ditatap. Entah kenapa, tidak terkesan sebarang kekurangan. Tetapi Anis di matanya dirasakan terlalu menjual mahal. Bukan tiada yang merisik, tetapi Anis seringkali tidak berkenan.
            “Nak dicari apa lagi Anis? Mak dah cuba usahakan… jodoh yang datang untuk kamu pun bukan biasa-biasa. Tapi Anis selalu sangat tak berkenan… tak elok nak. Kalau Anis dah ada pilihan, Anis cakap dengan mak. Mak tak kisah…” lembut suara Puan Amina meluah rasa.
            Sementara Anis terasa berat mulutnya. Jodoh. Sebut sahaja tentang jodoh dia pasti terkenangkan Anas. Dan setiap kali itu juga dia menjadi marah. Marah dengan sikapnya yang langsung tidak berpijak di bumi yang nyata.
            Melihatkan kebisuan yang dipamerkan oleh Anis, Puan Amina menarik nafas panjang seketika. Tangan Anis dicapai dan digenggam. Berharap sentuhan lembut di tangan itu akan melembutkan hati anaknya.
            “Ada lagi satu lamaran untuk Anis… kalau boleh, mak harap kali ni jadilah.” Penuh mengharap Puan Amina dengan apa yang disampaikan itu. Jodoh yang disampaikan melalui kakak iparnya. Semoga kali ini menjadi. Sudah tidak sanggup dia menadah telinga manusia yang tidak pernah berhenti mencari kesalahan orang lain. Berbakul-bakul umpatan dilahirkan buat anaknya hanya kerana Anis asyik menolak lamaran orang. Hati emak mana yang tidak akan sedih.
            “Pedih telinga mak ni bila dengar orang mengata, Anis ni memilih sangat… padahal mak kenal anak mak… mak tahu Anis pun jenis bersederhana. Apa yang hendak dipilihkan sangat ni Anis.” Luah Puan Amina dengan nada kecewa. Lebih kepada  kecewa dengan mulut-mulut manusia yang suka sangat membuat cerita. Kononnya Anis mengejar yang berpangkat! Ikutkan hati yang marah, hendak dicilikan sahaja mulut mereka. Tetapi kalau begitu apa bezanya? Manusia kan perlu bersabar. Sabar itulah benteng bagi setiap hal.
            Anis pula makin terentap hati. Salahnya, emak pula terpaksa menahan telinga. Oh, Anis… kenapalah pentingkan diri sendiri? Tetapi, dia cuma mahukan seperti Anas. Ah… Anis memang tidak akan insaf rasanya!

SEMUANYA ceria di meja makan. Kecuali Puan Amina yang berwajah sugul. Anis terasa. Tahu semua disebabkan sikapnya. Langsung tidak tahu hendak gembirakan hati seorang emak. Bukan emak paksa kahwin. Emak suruh kahwin sahaja. Memikirkan perkara itu, dia melepaskan keluhan.
            “Apa ni kak… mengeluh depan rezeki? Tak baiklah.” Petah sahaja lidah Adila menegur kakaknya.
            Anis terpandangkan adiknya yang berusia 17 tahun itu. Seakan melihat dirinya di cermin. Adila dan Anis memiliki wajah yang seakan. Memandangkan ketinggian mereka juga hampir sama, kadang-kadang ada yang memanggil mereka kembar.
            Senyuman sahaja dibalas atas teguran itu. Anis tahu, tidak baik mengeluh. Tetapi kalau tidak dikeluh, beban itu seakan tidak mahu hilang. Berpusing-pusing dalam kepala. Macam tsunami hendak menyerang dirinya.
            “Anis… boleh berfikir lepas sudah makan,” pesan Encik Bohari pula. Seakan dapat meneka apa yang merunsingkan kepala anak gadisnya.
            “Anis dah fikir sejak minggu lepas.” Balas Anis dengan perlahan. Dia tahu, dia harus memberikan jawapan. Sebab itu sepanjang berada di Bandung, mindanya tidak lepas mengenangkan kata-kata Puan Amina. Tidak cukup dengan itu, Kamilia turut ikut serta dalam misi membasuh mindanya.
            “Cuba kenal, mana tahu jodoh. Macam aku jugaklah… mula-mula tak nak, tapi bila tengok rasa berkenan pulak.” Kalimah yang diulang si Kamilia itu sampaikan Anis hendak termuntah. Manakan tidak, selama seminggu dia terpaksa mendengar tanpa sebarang kompromi. Tetapi jauh di sudut hati dia mengakui, benarlah apa yang dikatakan Kamilia.
            Kalau tak kenal, mana nak cinta. Tetapi, Anas pun tidak dikenali juga… namun hatinya suka. Ah, Anis… memang dilahirkan untuk menjadi manusia paling pelik agaknya.
            Hatinya itu seakan ditampal dengan batu-bata dan konkrit agar tiada sebarang cinta dapat menembusinya. Melainkan hanya wajah Anas. Sungguh, Anas patut diberikan anugerah teristimewa kerana berjaya merobohkan konkrit dalam hati Anis tanpa Anas pun mengetahui hakikat itu.
            “Anis…” suara Encik Bohari mengembalikan Anis ke ruang itu. “Tak perlulah nak serabutkan kepala tu. Insya-Allah ada jodoh, tak ke mana nak…” nasihat Encik Bohari seperti biasa.
            Saat itu juga Anis terpandangkan wajah Puan Amina yang makin keruh. Pemikiran seorang abah dan emak mungkin tidak sama walaupun keduanya pasti ada hasrat yang dikongsi bersama.
            “Anis ikut aje mana yang baik… Anis boleh kenal-kenal dulu.” Skrip itu diucapkan oleh Anis. Mujur ia keluar dengan lancarnya. Hasil didikan sifu Kamilia.
            “Betul ni?” sahut Puan Amina segera.
            “Amboi mak, senyum lebar sampai ke telinga… seronoklah nak bermenantu!” Usik Bahar. Dan yang lain menyahutnya dengan ketawa kecuali Anis.
            “Tapi, mesti Anis kena berkenan.” Anis meletakkan syarat. Dan mesti manis dan sopan macam Anas. Sambung hatinya yang memang tidak waras.
            “Mak tak kisah… janji Anis nak cuba. Mak bagi tahu dengan Mak Long nanti.” Sahut Puan Amina teruja. Puas sudah dipanjatkan doa kepada Allah agar terbuka pintu hati Anis untuk menerima risikan ini. “Elok budaknya… mak dah tengok, Mak Long tunjuk masa kenduri Zahir.” Jelas Puan Amina biarpun Anis sudah tidak menumpukan perhatian padanya.
            “Iman Anas…”
            “Apa mak?” Terasa besar telinga Anis menangkap bibir Puan Amina menyebut Anas. Benarkah???
            “Iman Anas namanya. Manis dan sopan… mak berkenan.” Puan Amina tersenyum sambil membayangkan gandingan itu. Memang cocok.
            Dan Anis turut ditimpa perasaan. Anas? Anas… hatinya menyeru lembut.
            Kalau tadi malas nak mendengar setiap bicara daripada bibir emak, sekarang seperti hendak ditadah sahaja telinga agar perkataan Anas menghujani pendengarannya. Dan Anis, sememangnya sudah berada di awangan biarpun pada awal tadi hati masih dimomok dengan perkataan tidak berkenan.
            Oh Anas… pasti manis dan sopan. Tetapi… Iman Anaskah namanya? Entah siapa? Entah orang lain? Entah… argh!!! Bermacam-macam entah pula bermain di minda.

6 comments:

  1. anas yang sama ker...kesian anis yang terlalu setia pada yang satu...

    ReplyDelete
  2. Biarlah Anas yang sama ya... kasihan baca luhan hati Anis ...
    Jodoh pilihan kelurga elok .... INSYALLAH....

    ReplyDelete
  3. Haha comel lah anis ni .haha

    ReplyDelete