BAB 16
“ASIF…
ana asif.” (Saya minta maaf)
Hasil
daripada duduk di hadapan internet buat beberapa ketika, dapatlah Jelita Suria
mencari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan kepada Maisarah. Tetapi, hanya
itu sahaja. Lebih-lebih, dia tidak reti pula. Namun, reaksi Maisarah seperti
tidak mempedulikan dirinya. Aduh! Apa lagi yang harus dilakukan?
“Saya
dah cakap kan, saya minta maaf.” Akhirnya, terkeluar semula Bahasa Malaysia.
Payah sungguh rasanya hendak berkomunikasi dengan mereka yang berlainan bahasa
di hadapannya ini.
“La ‘alaiki!” Sepatah kata yang keluar
daripada bibir Maisarah. Terus sahaja gadis itu bangun dan meninggalkan ruang
makan.
Jelita
Suria hanya terkaku di tempat berdirinya. Matanya bertembung dengan pandangan
Encik Radzi dan isterinya, Puan Muna. Mereka tersenyum nipis seolah memberi
kata semangat buat dirinya.
“Tak
ada apa Jelita, nanti Pak Teh cakap dengan dia. Jelita jangan susah hati ya…
Pak Teh tak nak Jelita datang sini hanya untuk bersedih. Nanti abah tanya, Pak
Teh nak jawab macam mana…” Encik Radzi seperti biasa, cuba mengalunkan pujukan.
Cuba untuk melembutkan hati anak gadis yang sedang diganggu amarah. Dia tahu,
Jelita Suria bukan sengaja memarahi Maisarah.
“Let’s eat first dear. Later uncle and aunty
will talk to Maisarah… come…” Puan Muna menggamit tangan Jelita Suria untuk
duduk bersama di meja makan yang menempatkan lapan buah kerusi itu.
Jelita
Suria menurut. Namun matanya masih melilau di sekeliling. Masih ada yang kurang
di situ. Ke mana pula lagi seorang manusia yang tidak pernah berhenti untuk
berusaha mencipta perbualan dengan dirinya?
“Cari
saya ke?”
Hampir
tersembur air kosong yang diteguk oleh Jelita Suria. Terbatuk-batuk kecil dia
di situ. Dan perasaan yang tadinya mencari, kini berubah menjadi marah. Dia
telah menjadi bahan ketawa buat insan yang baru muncul di hadapannya kini.
“Miftah… stop laughing!” tegur Puan Muna
tidak senang.
Miftah
masih dengan sisa tawanya biarpun telah ditegur oleh Puan Muna. Wajah Jelita
Suria yang sudah merah ditatap seketika sebelum tangannya mencapai hidangan.
Gelak tawanya tadi diganti dengan senyuman nipis.
“Hari
ni Jelita nak buat apa?” soal Encik Radzi.
Jelita
Suria sekadar menggeleng. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Duduk di rumah
pun bosan. Tambahan pula, dia tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Dan dia
dengan bijaknya telah mencetuskan perang saudara dengan Maisarah, sedangkan
gadis itu sahaja yang boleh dijadikan teman berbualnya selain Puan Muna. Dan…
Miftah, lelaki yang suka menghadiahkan renungan penuh makna. Jelita Suria harus
akui, renungan itu sangat menggerunkan jiwa.
“Apa
kata… Miftah ajak dia pergi jalan-jalan… an
introduction tour at Cairo. It’s free of charge, of course…” Miftah laju menyuarakan
cadangannya. Serentak itu juga dia menangkap jelingan tidak puas hati Jelita
Suria. Amboi, sudah pandai menjeling rupanya! Sebelum ini hendak pandang pun
tidak dapat dicari mata itu.
“Macam
mana Jelita? Elok jugak… berjalan tempat baru, kenal-kenal dengan tempat sini.”
Cadangan Miftah disambut baik oleh Encik Radzi.
Tetapi jawapan Jelita
Suria, hanya gelengan menolak. Mana mungkin dia akan habiskan masa bersama
Miftah. Itu adalah perkara terakhir yang akan dilakukan sepanjang berada di
bumi Mesir ini. Berilah sejuta alasan sekalipun, Jelita Suria tidak akan
bersetuju dengan cadangan itu.
“Terpulang pada Jelita…
kalau nak ikut Miftah pun boleh, kalau nak duduk rumah pun boleh dan kalau rasa
bosan jugak, nak ikut Pak Teh pun boleh.”
Mata Jelita Suria
terbuka luas. Ikut Pak Teh? Cadangan itu adalah lebih baik daripada usul
Miftah. “Boleh ke Jelita ikut Pak Teh?”
“Mestilah boleh, siapa
yang nak halang… cumanya, ikut Pak Teh kena buat kerja sikit. Tak boleh duduk
berehat…” ucap Encik Radzi sekadar cadangan untuk menarik Jelita Suria berada
di dunia luar seketika.
“Tak apa… Jelita boleh
tolong. Jelita tak kisah…” laju sahaja persetujuan meniti bibirnya. Sekuntum
senyuman ikhlas muncul di bibir. Matanya sekali lagi tertarik untuk memandang
Miftah dan senyuman itu terus berubah rentak. Ia seolah mengambarkan kemenangan
di pihak Jelita Suria. Tetapi, tidak lama… senyuman Jelita Suria mati dengan
sendiri.
“Jelita naik dengan
Miftah… Pak Teh kena singgah bank dulu.” Arahan yang dikeluarkan oleh Encik
Radzi itu hanya melemahkan semangat Jelita Suria. Apakah pilihan yang dia ada?
Sekali lagi matanya berlayar di wajah Miftah… dan jawapannya adalah, tiada!
SEPI sahaja di dalam kereta yang dipandu
oleh Miftah. Jelita Suria sekali-sekala cuba mencuri pandang ke arah lelaki
yang sedang memandu itu. Masih terasa gerunnya biarpun kali ini dia yang sedang
memandang Miftah.
“So, what do you think about me, sweet girl?”
Pantas,
Jelita Suria sudah mengalihkan pandangan. Padan muka! Marahnya dalam hati.
Siapa yang suruh mencuri pandang. Sudahlah lelaki itu memang pantang dipandang.
Makin dipandang, makin miang agaknya!
“Mahallah
pulak suara tu… tak rasa rugi ke, dapat datang jauh… kenal sepupu dekat sini,
tapi bila ajak berbual, langsung tak keluar suara. Kenapa? Saya bukan nak
mengurat Jelita pun…” Serius sahaja nada Miftah. Tetapi tidak seserius apa yang
terlukis di raut wajahnya. Nakal dan penuh muslihat.
“Kalau
nak saya berbual, tolong jangan pandang muka saya macam selalu!” Berani, hanya
itu permintaan yang terlintas di pemikiran Jelita Suria.
“Kenapa?
Saya ni terlalu menakutkan ke?”
“Agaklah…”
balas Jelita Suria dengan berani lagi. Terlupa pula yang mereka hanya berdua
dalam kereta ini. Dan beranikah Miftah mengapa-apakan dirinya?
“You will find me interesting somehow…
buat masa sekarang ni, boleh saja kalau tak nak berbaik dengan saya dulu sebab…
masa itu akan datang, tahu…” ucap Miftah separuh berbisik.
Berkerut
dahi Jelita Suria. Masa apa pula yang dimaksudkan oleh Miftah? Lelaki ini hanya
menakutkan dan akan kekal begitu selamanya! Tetapi buat masa ini, Jelita Suria
terasa ingin bertanya sesuatu. Dan diutarakan juga soalan itu.
“Macam
mana awak boleh fasih cakap Bahasa Malaysia?”
“Tunggu
awak berbaik dengan saya… baru boleh dapat jawapannya.” Balasan yang diterima
dengan wajah berlagak Miftah.
Jelita
Suria mencebik, geram. “Tak nak cakap pun tak apalah. Tak rugi pun!” Dan Jelita
Suria sedar, dia sudah punya satu tabiat buruk semenjak tiba di sini. Mencari
masalah yang hanya akan menambahkan sakit kepalanya.
“Jelita
tak patut banyak marah… marah tu hanya menambahkan kerut dekat muka. Jelita tak
jelita pun bila marah…” selamba kata usikan daripada Miftah. Dan Miftah
tersenyum sahaja apabila cebikan lahir di bibir Jelita Suria. Dia tahu, Jelita
Suria tidak akan hairan pun dengan kata-kata itu.
“Agaknya,
Mirza suka tak tengok Jelita Suria marah?” Sengaja Miftah mengeluarkan nama
itu. Nama yang cuba diramal, adakah ia bakal menganggu ketenteraman hidup si
manis ini.
“Kenapa sibuk nak tahu?
Saya pun tak pernah nak ambil tahu, apa yang Mirza suka dan tak suka… bukan
urusan saya pun!” agak marah jawapan yang diberikan oleh Jelita Suria. “Agaknya
awak ni memang suka sibukkan diri dengan hal orang ya?” sinis soalan Jelita
Suria. Lebih kepada hendak memerli bunyinya.
Tetapi
yang diterima adalah, gelak ketawa Miftah yang memenuhi ruang kereta.
“Tak
suka dengar dia gelak…” gumam Jelita Suria.
“Cik
adik tak suka… abang tak boleh buat apa.” Dan ketawa Miftah makin bertambah
galak.
Sekali
lagi, Jelita Suria merasakan satu penyesalan terbesar apabila dia mencari pasal
dengan Maisarah. Impaknya, dia harus bersama Miftah! Menyakitkan kepala…
BAHU yang ditepuk kuat oleh Perkasa
Armana terasa begitu sengal. Berkerut dahi Putra Azad menahan sakit. Hendak
marah, tetapi tidak terkeluar pula. Wajah abangnya yang dibasahi air wuduk itu
menyalurkan rasa syahdu. Terasa sangat betapa lalainya dia dalam melayan
perasaan yang entah apa-apa.
“Jom,
pi sembahyang! Cari cinta Allah… setiap masa Allah tunggu kita dating dengan Dia. Tak payah minta izin
siapa pun…” ucap Perkasa Armana sambil menarik lengan Putra Azad untuk bangun
berdiri bersama.
“Abang
pi dululah… Azad sembahyang kat rumah.” Walaupun hati terjentik dengan rasa
insaf, tetapi masih ada gangguan yang menyuarakan penolakan.
Perkasa
Armana tersenyum. “Hang jangan nak banyak alasan dengan aku, dah pi siap… aku
tunggu ni!” Bahu Putra Azad ditolak perlahan untuk melangkah. Benda baik ini,
kalau tidak diseru, tidak jalan juga. Tetapi jangan sebab pihak lain menolak,
kita berhenti untuk menyeru ke arah kebaikan pula. Sedangkah Allah telah
menyebut jelas dalam kalam-Nya.
Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan
orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan
mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran:104)
Dan
menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang abang, Perkasa Armana sedar yang dia
harus nyahkan segala rasa tidak-tidak dalam diri Putra Azad. Jika sudah
berjanji kepada abah Jelita Suria bahawa tidak akan sesekali menganggu diri
gadis itu, maka Putra Azad harus mengotakan kata itu. Yang dikata harus dikota
kerana itulah bayaran satu janji yang telah diungkapkan oleh manusia.
Tidak
mahu sekadar menasihati Putra Azad, Perkasa Armana merasakan dia juga perlu
untuk melakukan penyucian hati dan perasaan. Kalau dia yang tidak berjanji
dengan abah Jelita Suria pun asyik terbayangkan wajah gadis itu sahaja, memang
parahlah! Kena basuh betul-betul otak itu supaya clean daripada segala gangguan minda. Khayalan dunia sahaja pun…
bukan boleh membawa manfaat pun dalam hidupnya. Lainlah kalau si Jelita Suria
itu halal buat dirinya. Ah sudah! Melebih pula fikiran Perkasa Armana.
Laju sahaja nama Putra Azad dilaung,
“Azad, cepat!!!” Gangguan yang datang secara tiba-tiba itu, berjaya diusir
juga. Nafas lega dilepaskan oleh Perkasa Armana.________________________________
Bersambung :)
Maaf, lambat update sekarang ni... final sudah menjelma. Doakan. Dan, jangan lupa undi untuk KAMPUNG GIRL ya :)
Baru berkesempatan nak baca =) aja aja fighting uk exam umi!!!!
ReplyDeletemiftah 2 macam ada hati je kat jelita...
Salam kak umi dah x sambung kisah elita dan perkasa ke??
ReplyDeletebestlah cerita ni
dia takde ending lg kan?
ReplyDeleteSalaam.. Dah xsmbung ke cerita ni umi?? Dah lama tggu next chapter..huhu
ReplyDeleteSalam Kak Umi..
ReplyDeleteSaya pembaca dari Indonesia, baru baca blog ini di tahun 2016. nak tanya, cerita ni ada sambungannya tak? penasaran sangat..
tak ada sambungannya ke lepas episod ni ?
ReplyDelete