Advs

Followers

November 25, 2013

Jangan biar aku pergi 1

Bab 1
SEBUNGKUS besar plastik yang berisi barang dapur diletakkan di atas meja. Asma yang baru keluar dari dapur tersenyum melihat Hanina. Terduduk lesu gadis itu di kerusi kecil yang tersedia untuk anak-anak kecil di situ.
“Penat sangat kot…”
Asma menghulurkan segelas air kosong kepada Hanina. Kebiasaannya, itu adalah menu wajib yang akan dipinta oleh Hanina. Air kosong untuk isi kekosongan dalam perut.
Thanks Asma… awak tahu sangat rutin minuman saya.”
Hanina menyambut gembira air kosong yang dihulurkan oleh Asma. Dengan lafaz bismillah, diteguk perlahan. Terasa air melalui tekak. Bagai ada bayu sejuk yang mendamaikan. Mendinginkan tekak kering akibat bahang cuaca di luar. Walaupun waktu mulai menginjak ke senja namun bahang kepanasan di siang hari masih terasa.
Asma terus berdiri di sisi Hanina. Memerhatikan majikannya yang sedang meneguk air sedikit demi sedikit. Bibirnya teroles dengan senyuman kecil.
“Senyum pulak… fikir apa?” soal Hanina. Gelas kosong diletakkan atas meja. Badannya disandarkan bebas pada kerusi. Kipas yang berpusing laju makin mendinginkan suasana.
“Tak ada apalah Kak Nina…”
“Asal tanya, mesti tak ada apa… awak ni, kuat berahsia jugak kan! Macam Qaiser… tanya apa pun tak nak cerita.” Hanina terus memuncungkan bibir. Matanya sempat menjeling ke arah Asma yang terkedu melihat responnya itu.
“Eh, apa pulak samakan dengan Abang Qaiser…” balas Asma serba salah. Wajah monyok Hanina hanya menghadiahkan gusar di jiwa.
“Saya jealous betul dengan awak ni!” Hanina terus mengetap bibir. Jujur, dia cemburukan Asma. Kalau selama ini dia boleh melihat semula wajah Qaiser pun hanya disebabkan Asma. Lelaki itu rajin benar datang berkunjung untuk mengetahui keadaan Asma.
Jealous kenapa?”
“Qaiser tu bukan main jaga awak kan? Untunglah…” Hanina sudah beralih memandang dinding. “Untunglah awak… ada orang nak ambil berat. Saya ni, hari-hari mengangkat barang berat… tak ada siapa pun nak ambil berat.” Sambung Hanina berjauh hati. Terasa jauh sekali rasanya hati itu untuk ditemukan dengan jiwa Qaiser. Terasa lelah Hanina mencuba. Tetapi tidak pula dia hendak berputus asa.
“Abang Qaiser kan, macam abang saya…” balas Asma merendah.
Hanina berpaling semula memandang Asma. Wajahnya masih monyok. Mencuka. Ada persoalan yang menganggu mindanya.
“Betul ke, Qaiser macam abang aje untuk awak? Bukan abang dalam inverted comma?” soal Hanina dengan wajah kartun sekali.
Asma menggeleng laju. Mustahil Qaiser itu akan menjadi lebih daripada seorang abang buat dirinya. Lagipun, dia sedar diri. Dia tahu dia tidak layak buat sesiapa. Cukuplah apa yang dimiliki setakat ini.
“Tapi kenapa saya rasa… Qaiser sayang awak, banyak… banyakkk…” ucap Hanina comel. Wajahnya makin sayu. Jujur dia tidak mengharap. Tetapi rasa cemburu, bukan sesuatu yang mampu dikawal atau dibuang begitu sahaja. Kalau rasa, akan sakit juga.
“Akak ni, banyak sangat fikirkan saya… lebih baik, fikirkan Abang Qaiser aje.” Asma membalas tenang. Setakat apa yang dikatakan oleh Hanina, tidak mungkin mengoyahkan hatinya. Lagipun, dia tahu atas dasar apa Qaiser prihatin kepada dirinya.
“Suami Asma langsung tak ambil peduli pasal Asma dengan anak ke?” soal Hanina tiba-tiba. Tidak pernah sekalipun dia bertanya tentang hal itu. Namun, terkeluar juga secara spontan tanpa dirancang. Melihat perubahan riak wajah Asma, Hanina segera memohon maaf.
Sorry. Saya bukan nak kecilkan hati Asma… maaf.”
Asma tersenyum nipis. “Tak apalah kak… orang yang tak diingini macam saya ni, memang lebih baik tak dipedulikan aje. Ada di depan mata, menyusahkan… kalau tak ada, mungkin lebih menyenangkan… ayah anak saya ni, tak nak pun dengan dia. Jadi, bila tak suka… memang tak dipeduli.” Ucap Asma sayu. Memikirkan kenangan itu, terusik hatinya.
Tangannya dibawa perlahan ke perut. Sudah makin memboyot. Hanya menunggu masa sebenarnya. Dan selama tempoh itu juga, anaknya tidak kenal, siapa bapa kandungnya. Kecuali seorang itu…
Baby, awak buat apa dekat dalam tu? Sihat ke? Jangan nakal-nakal sangat tau. Jangan susahkan mama awak… tapi, kalau mama buli baby… cepat-cepat cakap dengan papa, okey.” Ceria suara itu mengusik pendengaran.
Mengingatkan itu, hati Asma terasa bergetar. Getaran yang tidak pernah disedari sebelum ini. Terus sahaja pandangan terpanah ke wajah Hanina. Kelu lidahnya.

BEG kecil yang biasa dibawanya ketika ke luar negeri diletakkan di sisi pintu. Ceria sahaja wajahnya sejak pagi tadi. Rasa seronok pula kalau dapat travel hari-hari macam ini. Kunci kereta di atas meja dicapai. Nama emaknya dilaung dari ruang tamu.
“Hai, dah siap? Cepatnya… macam baru dengar aje tadi Qaiser kata nak ke Shah Alam. Ini terus nak gerak?” soal Puan Rohani pelik. Qaiser dengan senyuman lebarnya, ceria bukan main. Membuatkan hati tuanya terasa risau tidak kira masa.
“Tak sabar…” balas Qaiser tanpa sedar.
Makin berkerut dahi Puan Rohani. “Lain macam aje mak dengar ni… tak sabar apa ni?”
Qaiser dilihatnya sudah mengerak-gerakkan bibir tanpa suara. Pastinya terkelu tidak jumpa perkataan untuk dilontar sebagai bicara.
“Qaiser ni, kerap sangat ke sana… risau mak.” Puan Rohani menyuarakan rasa hatinya.
“Risau kenapa pulak mak? Qaiser bukan budak kecil lagi… pandai jaga diri.” Qaiser sudah memegang bahu Puan Rohani erat. Matanya dikelipkan tanda memberi keyakinan. Dia mampu menjaga diri dengan baik. Setakat perjalanan dari Taiping ke Shah Alam, macam makan ais kacang saja.
“Kalau Qaiser kecil pun, mak tak serisau ni… sebab Qaiser dah besar panjanglah, mak risau.”
“Kenapa ni mak?”
“Jawab dengan jujur dekat mak…” Puan Rohani berjeda. Lengan Qaiser ditarik dan diarah untuk duduk di sofa. Ada perkara yang harus dibincangkan seketika sebelum anaknya bertolak. Beria sangat minggu-minggu untuk ke Shah Alam… dah kenapa? Macam tak ada kerja lain pula.
“Qaiser suka dengan dia ke?” soal Puan Rohani serius.
Qaiser tersenyum kelat. Berat. Soalan yang ditanya itu berat sekali untuk dijawab. “Suka siapa pulak ni mak?” dalihnya.
“Asma…”
Sebaris nama itu disebut tegas oleh Puan Rohani.
Qaiser tersengih sumbing. “Mana ada mak… dia macam adik aje.”
“Jangan tipu mak!” Meninggi suara Puan Rohani. “Jangan tipu mak Qaiser… mak ni, mak Qaiser… mak nampak apa yang mungkin Qaiser sendiri tak nampak. Kalau Qaiser nak berdalih jugak, tak payah dah nak susahkan diri pergi ke Shah Alam tu… biarkan aje Asma tu. Dia ada keluarga yang boleh ambil berat pasal dia. Kenapa pulak Qaiser nak menyusahkan diri untuk ke sana tiap-tiap minggu… apa kamu tak ada kerja lain!”
Puan Rohani terus bangkit dan masuk ke dapur. Meninggalkan Qaiser terpinga-pinga. Terkedu tanpa jawapan. Dan tidak mungkinlah dia mampu menahan perasaan yang sudah tidak sabar untuk sampai ke Shah Alam itu. Atau mungkin lebih tepat, jasad sahaja di sini… jiwa sudah lebih awal terbang ke situ.
“Dah… fikir apa lagi?” Puan Rohani muncul kembali. Tangannya bercekak pinggang dengan sudip di sebelah tangan lagi.
“Nak suruh mengaku dah suka dengan anak orang pun susah ke?” Mata Puan Rohani terjegil. Geramnya dia dengan sikap Qaiser ini. Rasanya ini lebih susah daripada permintaan suruh Iman Anas berkahwin dulu.
“Mak…” Qaiser masih berusaha untuk mengelak memberi jawapan.
“Masih tak nak mengaku?” Puan Rohani mengetap bibirnya. Ikutkan hati, diketuk sahaja kepala Qaiser dengan sudip yang dipegang itu. “Tak mengaku, tak lepas keluar dari rumah tau!”
Puan Rohani terus sahaja bergerak ke arah pintu, mangga yang sedia tergantung di pagar dicapai dan dikunci.
“Mak!!!”
Qaiser nyata tergamam.
Choice in your hand!” Puan Rohani tersenyum menang.

Bab 2
TUBUH yang keletihan itu disandarkan bebas pada sofa. Ikutkan rasa penat yang menyerang, terasa hendak tidur di ruang tamu sahaja. Tetapi memikirkan diri yang masih belum bersolat Maghrib, lantas digagahkan juga kaki dan melangkah ke bilik yang terletak bersebelahan dengan dapur itu.
            Tuala putih yang tersangkut pada penyangkut, dicapai. Terus sahaja dia menuju ke tandas dan membersihkan diri. Tatkala melihat pantulan wajah di cermin yang terletak elok pada dinding tandas, dia ternampak wajah itu. Sakit!
            Adila tidak tahu mengapa, perasaan ini begitu menyakitkan hatinya. Bukan ini yang dipinta, tetapi ini juga yang makin menggila. Gilakan Anas!
Ah… kau memang dah gila Adila!!! Bentak hatinya.
Saat terpandangkan jasad Anas yang tiba-tiba muncul di hadapannya, membuatkan bibir menjadi kelu. Saat melihat si gadis di sisi jejaka itu bersuara manja meminta itu dan ini, membuatkan dia menjadi semakin bisu. Lantas tidak dipedulikan teguran Anas yang tidak kekok memanggilnya di pasaraya Giant tadi.
Dia terus sahaja berpaling dan berlalu biarpun dia masih ada tugasan yang berbaki di situ. Sudah masuk tiga bulan, dia berkhidmat di pasaraya itu. Sementara menerima panggilan untuk masuk ke matrikulasi.
“Kenapa nak ingatkan dia yang tak mungkin sukakan aku…” bicaranya sendiri.
Paip shower ditutup. Sebaik sahaja selesai mengambil wuduk, dia sudah melangkah keluar dari tandas. Tanpa berlengah, dia terus mengerjakan solat fardhu yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-Nya.
Dilepaskan segala rasa duka dan kecewa ketika menghadap Ilahi.
Sakit. Luka dan kecewa. Adila tidak pernah tahu, hatinya akan terbabas sebegini sekali. Hanya kerana seorang Anas… yang tidak mungkin dapat menerima dirinya seperti mana yang dia inginkan.
“Adila…” Panggilan Puan Amina bergema selesai sahaja dia mengaminkan doa.
“Jom makan… mak buat nasi goreng ni.”
Suara emak yang memanggil itu disahut dengan helaan nafas panjang. Suram wajahnya. Kusam mindanya. Memikirkan apa yang terjadi siang tadi, terbantut semuanya.
“Mak, Adila tak lapar… mak makan ajelah dengan Bahar.”
Kepalanya sudah direbahkan atas tilam. Tanpa dipinta, air mata mengalir laju. Kalaulah Kak Anis tahu, hati Adila juga terpaut pada jejaka yang bernama Anas itu. Seperti mana yang pernah terjadi kepada kakaknya.
“Tapi… Adila tak macam akak. Adila tak kuat nak tengok dia dengan… orang lain.” Bisiknya bernada sendu.
Serentak itu telinganya sudah menangkap bunyi deringan telefon. Tahu sangat dari mana bunyi itu muncul. Tangannya sudah diseluk ke poket bag sandang. Telefon yang masih berbunyi itu dipandang. Mata yang tadinya sayu dan kuyu tiba-tiba terbuka luas. Melihat nama yang tertera di skrin telefon membuatkan dia menjadi penasaran. Apa yang patut dibuat?
Perlu dijawab, atau dimatikan sahaja?
“Kenapa pulak dia telefon aku?” soal Adila lebih kepada hendak mengeluh. Tidak bersedia langsung untuk berbicara dengan insan itu dalam keadaan hatinya yang sentiasa terbabas ini.
“Adila… kenapa tak dijawab telefon tu?”
Tersentak Adila. Wajah Puan Amina yang berkerut dahi menyapa mata. Terketar-ketar bibirnya seketika. Minda cepat hendak beralasan namun tidak ada idea.
“Siapa yang telefon?” Soal Puan Amina.
“Tak tahu mak…” Dengan rasa bersalah, disuarakan sebaris kata yang dusta. “Adila tak kenal nombor siapa. Silap nombor agaknya…” Disambung lagi dengan suara yang yakin agar tidak terhidu oleh emaknya apa yang sedang bersarang di dalam hati pada saat ini.

BREK ditekan sampai sahaja di hadapan rumah dua tingkat bercat putih gading itu. Liyana tersenyum ceria di sisi. Tahulah dia, apa makna senyuman itu. Semuanya kerana dia sudi meluangkan waktu membeli-belah bersama tunangnya ini.
            “Thanks Anas. Really appreciate the time that you spend with me. I janji, esok-esok kalau you sibuk, I takkan kacau. Tapi, kalau you lapang, janganlah tak pedulikan I pulak…” Sedikit merajuk hujung kata Liyana. Tunangnya ini kalau tidak disuruh, tidak akan bergerak untuk bertemu dengannya.
            “Yelah… I telefon you nanti, bila-bila yang I lapang. Okey?” Anas tersenyum kecil membalas permintaan Liyana. Gadis manja yang dikenalkan oleh nenek kepadanya. Dan sudah hampir tiga bulan usia pertunangan mereka. Dan sudah ada ura-ura di rumah untuk dipercepatkan tarikh nikah.
Tetapi… masih ada sesuatu yang menghalang jiwanya. Anas… tidak mengerti.
            “Okey. Hati-hati memandu. Dah sampai rumah nanti, mesej I.” Liyana melangkah keluar dari perut kereta. Langkah gadis itu terus sahaja ke pintu pagar kecil di sisi rumah dan diatur langkah masuk ke rumah.
            Selesai memastikan Liyana sudah selamat berada di dalam rumah, barulah Anas menggerakkan kereta. Perjalanannya kini ditemani sepi. Tiada bunyi radio mahupun suara Liyana yang tidak kering idea untuk bercerita kepadanya.
            Dalam kesunyian yang menghuni. Ada satu wajah yang muncul. Memikirkan itu, bibirnya terkeluh sendiri. Kenapa?
            Gerakan hati memaksa. Lantas tangan sudah menarik handsfree. Telefon bimbit dicapai dan nombor yang sememangnya sudah berada dalam telefon itu didail. Lama deringan tidak bersambut.
            Anas tersenyum kecil. Merajuk? Apa yang dilihat tadi, adalah sebuah lagi panorama mencuit. Si hati yang terbabas dan si tuan yang juga tidak mahu berusaha mengelak daripada kejadian itu.
            Tidak mahu mengalah. Nombor itu didail lagi.
            Kali ini cepat pula bersambut. Dengan suara yang berbisik, namun masih terselit marahnya.
            “Kenapa telefon saya lagi? Patut dah buang nombor telefon ni.”
            Anas tersenyum kecil. “Kalau awak masih kenal pemilik nombor ni, mesti nombor saya pun tersimpan kemas dalam telefon awak kan?” soalnya mengusik.
            “Kejap-kejap lagi nak delete la ni!”
            Spontan Anas tergelak kecil. Adila memang masih budak-budak!
            “It is not good for you to be like this. Tak elok asyik terbabas hati bila tengok saya… kan dah kena merajuk sendiri macam ni. Siapa nak pujuk awak kalau awak bersedih sendiri?” Nada suara Anas menjadi serius.
Tadinya terasa hendak mengusik, tetapi kalau diusik… bimbang bunga di hati gadis itu makin bercambah. Usah diberi harapan yang tidak-tidak. Bahaya! Hati anak orang… bukan anak beruang. Kalau kecewa, sengsara, merana… jadi cerita lain pula. Jangan…
“Suka hati sayalah. Hati saya!” Jelas sekali nada berjauh hati dipamerkan oleh Adila.
“Adila…”
“Dah la… saya nak tidur!” Suara itu makin serak. “Awak pun boleh buang nombor saya lepas ni. Tak perlu nak telefon lagi. Kalau risau sangat hati saya terbabas, jangan buat macam ni! Jangan nak tegur saya dekat mana-mana. Buat aje macam awak tak kenal saya.”
“Jangan buat macam ni, Adila… saya tak salah. Awak pun tak salah. Cuma silapnya, awak silap jatuh suka dengan saya. Jangan dilayan sangat… semua tu boleh dipulihkan… saya…” Terus terhenti kata-kata Anas.
Membulat matanya seketika. Mana tidaknya, Adila sudah memutuskan talian. Parah! Tanpa sedar, tangannya sudah meraup wajah berkali-kali. Apa yang harus dibuat? Bukan dia yang memberi harapan. Namun, tidak juga tega dia melihat wajah si gadis itu dengan pandangan terluka.
Apakah makna ini semua?
Skrin telefon yang sudah memaparkan wallpaper dipandang kosong. Tiada apa yang dapat dilihat di situ melainkan seraut wajah Adila yang terus berulang tayang di ruang mata. Ah, kenapa dia juga yang perlu disuka oleh Adila?

Bab 3
TERSENTAK dia seolah mengalami kejutan. Lantas terus sahaja dia bangun dan terduduk. Matanya pula lurus sahaja menangkap pandangan Iman Anas yang begitu tergamam. Membulat biji mata suaminya itu.
            “Apa ni Anis? Jangan buat gaya kena sampuk tengah-tengah hutan ni. Nervous jugak abang…” Iman Anas sudah memandang kiri dan kanan. Keadaan malam yang begitu sunyi hanya menaikkan bulu roma. Sudahlah sejak seminggu yang lalu, asyik dengar orang kena histeria saja. Dan gaya Anis ini, sudah memang sebijik macam orang kena sampuk. Dah sah!!!
            “Abang…” Ditambah dengan nada Anis yang serak-serak basah. Makin meremang bulu roma.
            Perlahan saja, Iman Anas bangkit sambil memegang komputer riba. Dia hendak membuat kerja di bilik sebelah.
            “Abang… nak ke mana pulak tu?” Panggil Anis kuat. Matanya sendiri sudah mengerling ke kiri dan kanan bilik mereka. Di kanannya, langsir yang dibiar terbuka sudah mengerbang. Mengilai ala-ala langsir dalam cerita hantu! Uishhhh…
            “Abangggg…” jerit Anis bila Iman Anas buat tak tahu, dan terus ke depan. Meninggalkan dirinya sendiri. Ada ke patut, dapat suami yang macam ni!
Dan Anis bukanlah seorang yang begitu berani untuk duduk sendiri di dalam bilik ini. Lantas mencicit dia mengikut langkah Iman Anas ke bilik sebelah. Bilik yang penuh dengan khazanah kerja suaminya.
“Abang ni, tak patut tau tinggal Anis sorang-sorang dalam bilik tu!” Menyembur terus Anis lepas masuk ke dalam bilik itu.
“Mana tak tinggal, kalau asyik buat gaya seram aje bila bangun tidur. Sekarang ni bukan siang tau, tengah malam…” Selamba saja Iman Anas membalas. Langsung tidak peduli dengan kekalutan yang dipamerkan oleh si isteri. Setakat Anis yang menjerkah, siapa yang hendak gerun. Lainlah kalau si Anita mengaum, meremang juga bulu roma.
Anis sudah berpaling dan berpeluk tubuh. Wajahnya memuncung sedikit. Konon hendak meraih simpati Iman Anas. Tapi…
Iman Anas terus tekun merenung komputer riba. Mungkin itu lebih lawa daripada Puan Anis yang dinikahi sudah hampir lima bulan ini.
“Anis risaukan adik-adiklah…” Intonasi Anis berubah rentak. Dia tahu, kalau buat-buat merajuk dengan Iman Anas, itu namanya membuang masa dan kudrat saja! Baik terus straight to the point!
“Nak risau kenapa? Asma tu, Qaiser selalu jenguk. Kalau Adila dengan Bahar pulak, dah memang duduk rumah mak, abah… Anis nak risaukan apa lagi?” Iman Anas menyoal juga walaupun mata masih tertumpu pada laporan yang sedang disemak buat sekian kali sebelum dihantar.
“Abang ni, kalau bercakap… suka sangat tak tengok muka orang kan? Tak elok tau asyik buat macam ni selalu!”
Tidak menjawab soalan Iman Anas, Anis membebel pula.
Iman Anas menarik senyum nipis. Kini matanya berlabuh pada wajah Anis yang sudah disinggah muncung itik itu. Selamba tangannya mencuit bibir Anis sehingga terdengar dengusan kecil yang dilepaskan.
“Apa dia, isteri abang sayanggg… sekarang mata abang betul dekat muka Anis, dah boleh bercakap kan?” Iman Anas mengusik. Tetapi tidak cukup untuk meredakan muncung itik di hadapannya itu.
“Abang ni tak serius langsung!”
Eh, marah pula Anis ni.
“Iyalah, abang serius…” Merendah nada Iman Anas. Dia sudah tahu sangat apa yang hendak dibicarakan oleh Anis. Mudah sangat untuk ditebak. Lantas ditarik lengan isterinya itu dan dibawa duduk di sisinya. Wajah Anis yang gusar itu ditepuk perlahan, penuh kasih.
“Kalau bab Asma tu, abang boleh sokong lagi. Mak abang pun tak kisah sangat. Cuma masalahnya, Qaiser tu… tak tahu apa yang ada dalam fikiran dia. Bila mak tanya, langsung tak mahu mengaku. Susah jugak macam tu…”
Anis pula mengeluh. “Anis pun pening jugak… tak tahulah apa yang ada dalam hati budak-budak ni.”
“Yang Adila ni pulak…” Anis kembali hendak menyambung kata. Tetapi, Iman Anas pantas memotong bicara.
“Kalau part Adila ni, memang salah Anis!”
Terus Anis dipersalahkan.
Anis terpinga-pinga. “Kenapa pulak?”
“Abang dah nasihatkan, jangan nak main usik-usik hati budak tu dengan benda yang bukan-bukan. Anis langsung tak dengar cakap abang kan… sekarang tengok, dia telefon Anis, menangis-nangis… Anis nak buat macam mana? Bukannya Anis boleh dapatkan Anas untuk dia.”
Marah sungguh Iman Anas. Dia sememangnya langsung tidak pernah bersetuju setiap kali bibir Anis mengusik Adila dengan ayat ‘terbabas’ itu. Siapa sangka, hati si gadis mentah itu benar terbabas pada si kumbang yang bakal menjadi milik orang.
“Dah, Anis pergi tidur… bangun esok pagi, boleh sambung bincang lagi pasal benda ni.” Tegas pula Iman Anas mengarah. Dia tahu, kalau melayan emosi Anis yang risaukan adik tengah-tengah pagi buta ini, pasti boleh meleret sehingga ke esok pagi.
Iman Anas sudah kembali meneruskan kerjanya. Manakala Anis masih di sisi sambil mengerutkan dahi. Memikirkan andaian yang mungkin tidak akan difikir sama sekali oleh Iman Anas. Iyalah, suaminya itu kan protective terlebih. Langsung tidak membenarkan dirinya mengeluarkan sebarang fakta cinta yang berkemungkinan akan menjejaskan prestasi kecemerlangan pelajaran Adila.
“Fikir apa lagi ni?”
Soalan itu menyentakkan Anis. Tetapi sempat lagi Anis menarik sengih kelatnya.
“Err… Anis terfikir, abang tak rasa ke… mungkin Anas sukakan Adila.”
Selesai menyebut andaian itu, Anis terpaksa mempamerkan sengih lebarnya. Sangat pura-pura. Semuanya kerana tidak mahu Iman Anas marah. Sudahnya, Anis mengetap bibir sahaja. Iman Anas sudah menjeling tajam dengan pandangan kurang bersetuju dengan idea kreatif yang dijana mindanya.
“Jangan nak sebarkan benda bukan-bukan ni kat Adila. Abang tau, siap Anis!!!”
Untuk ugutan itu, Anis laju meminta diri berlalu ke bilik tidur. Buat apa hendak menempah nahas mendengar kuliah Iman Anas. Boleh tahan sangat kalau yang bersyarah itu, Encik Iman Anas, zoologi yang bakal menamatkan pengajian doktor falsafahnya dalam sedikit masa sahaja lagi.
Sebaik sahaja Anis hilang di ruang bilik itu, spontan jemari Iman Anas mulai memicit dahi. Fakta yang cuba diutarakan Anis sebentar tadi sudah menganggu mindanya. Sukakah Anas dengan Adila? Tidak cukup dengan itu, fikiran mulai dipenuhi oleh wajah Qaiser dan Asma. Mahukah Qaiser dengan Asma, atau sekadar perasaan emak sahaja yang mengesyaki Qaiser?
Pening pula Iman Anas.
Pening memikirkan dua adik perempuan yang mungkin bakal menjadi mangsa mainan perasaan oleh si lelaki yang juga mungkin tidak sedar.

Kasihan Asma. Kasihan Adila. Dan… mata Iman Anas sudah merenung tepat ke ruang pintu. Tegak jasad yang keluar dari bilik itu tadi. Merenungnya dengan rasa risau yang tidak mampu disembunyikan sama sekali. Kasihan juga Anis…

_________________
komen sangat dialu-alukan :)

12 comments:

  1. ingt citer ni nak smbung pasal qaiser n hanina tu.. x eh? kalau qaiser dgn asma mmg saya pngkah awal2 la. tp still akan follow la citer ni sbb suka adila n anas. teruskan usaha ye cik writer :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. we will see... qaiser suka siapa sbnrnya ;) too early to jump into conclusion. heh. thanks :)

      Delete
  2. heheh..ade sambungan..nice...xkn la anas nk putuskan tunang sbb adila..bg adila jumpe hero lain la kak...heheh

    ReplyDelete
  3. Bab 1: mula2 nmpk mcm mak qaiser ni xsuke asma jd menantu dia, rupe2nye suka... baik jugak mak qaiser ni...

    Bab 2: kesian pulak kt adila ni... jatuh suka kt tunang orang... senang2 bagi je la tunang anas tu kt kembar dia... anas plk amek adila... hahaha...

    Bab 3: WC bace dari bab 1-3, WC dpt rasa macam cite ni kisah cinta 3 pasangan dalam menempuhi jalan cinta masing2... Anis-Iman Anas, Asma-Qaiser n Adila-Anas...

    ReplyDelete
  4. salam, sedikit keliru dgn dua watak bernama 'anas' kat dlm tu. just my opinion. btw, jalan cerita nampak best. keep it up ! :)

    ReplyDelete
  5. oh ada sambungan ya..good
    sgt suka pada setiap watak
    -chah husain-

    ReplyDelete
  6. Selalu orang tua tahu apa yg ada dalam hati anak sendiri... Qaiser memang suka dgn Asma tapi hati dia takut Asma yg x boleh terima...
    Anis dan Anas memang seorng abang dan kakak yg bertanggungjawab...

    ReplyDelete
  7. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete