Advs

Followers

November 28, 2013

Jangan biar aku pergi 2

Nota kaki: Jangan terkeliru dengan Anas. Seorang Anas dan seorang lagi Iman Anas. ;) Peace, enjoy your reading, and drop by your comments.

Bab 4
CEPAT sungguh berlalu seminggu. Hari ini sudah kembali ke Jumaat lagi satu. Masih bernafas dia di sini. Masih berkudrat memasakkan hidangan untuk anak-anak yang dihantar ke taman asuhan ini.
            Jam sudah berdetik ke angka lapan. Tidak mahu membuang masa, Asma terus ke singki. Isi ayam yang dikeluarkan dari peti sejuk seawal pagi tadi mula dicuci. Mengikut kepada jadual, hidangan yang perlu disediakan hari ini ialah sup ayam. Maka, lebih mudah kerjanya.
            Beras sudah dibasuh dan dimasukkan ke dalam periuk nasi. Sekali tekan sahaja, periuk sudah mula menjalankan tugasnya sendiri. Tiada apa yang susah dengan kerja yang dilakukannya kini. Untuk itu, Asma bersyukur. Dia masih mempunyai ruang untuk bekerja tanpa menyusahkan sesiapa.
            “Dah mula masak ke Kak As?” Aqila yang menyinggah di dapur, sempat menyapa.
            “Baru nak mula. Dah siap awal, nanti pukul sebelas dah boleh makan. Aqila nak air panas kan, akak dah tuang dalam termos. Bawa naik ke atas terus.” Pesan Asma sebelum mencapai bawang di dalam bakul kecil yang terletak di atas peti sejuk.
            Aqila tersengih. “Lupa tadi nak bawa naik atas.”
            “Baby tidur ke?”
            “Mana nak tidur akak... silap-silap, kita ni yang mengantuk sementara nak tidurkan diorang tu.” Sempat lagi Aqila menguap kecil sebelum mencapai termos air panas.
            Asma tersenyum sahaja melihat gadis yang berusia 21 tahun itu. Sudah setahun berkhidmat kepada Hanina di taska ini. Hanina juga siap memuji, katanya Aqila memang sangat boleh diharap untuk jaga anak kecil. Mudah sahaja gadis itu menguruskan empat orang bayi yang dihantar ke taska itu.
            Tapi, ada waktu yang Aqila tak menang tangan juga. Jadi, Asma akan tolong juga apa-apa yang patut walaupun Hanina dengan tegasnya mengingatkan, “Awak tu buat kerja memasak aje. Tak payah nak susah-susah naik turun tangga tu nak menjenguk baby. Kalau awak terjatuh ke, terguling ke, baby  awak tetiba terkeluar ke... saya jugak yang nak kena hentam dengan Qaiser. Jadi tuan puteri Asma... duduk bawah ajelah ye.”
            Titipan kata Hanina yang selalu bergema di gegendang telinga.
            Titipan kata yang tiba-tiba mengenangkan diri kepada seseorang itu.
            “Hisy... melayan fikir pasal dia, satu kerja pun takkan siap!!!” Asma berkata sendiri.
            “Fikir siapa tu Kak As? Abang handsome yang selalu jenguk akak tu ke?”
            Wajah Asma terasa membahang. Matanya perlahan saja mengerling ke sisi. Senyuman nakal Aqila singgah di ruang mata. Sekali dengan kenyitan mata yang penuh usikan itu. Makin tidak tentu arah Asma dibuatnya.
            Bibir diketap kuat. Malu!
            Lebih pada rasa malu dengan Aqila, dia terasa malu dengan diri sendiri. Terlebih-lebih teringatkan seseorang itu. Stop it Asma!
           
PETANG sudah mengorak bayangnya. Anak-anak di Taska Pelangi milik Hanina sudah pulang ke rumah.
Sudah hampir sejam juga dia berdiri di muka pintu ini. Menanti sesuatu yang menghantui minda sejak pagi lagi. Bayangan yang selalu menjengah, tidak kunjung tiba. Mana dia pergi? Gumamnya sendiri.
Sudahlah minggu lepas, tidak muncul juga wajah itu. Langsung tiada kiriman mesej atau panggilan untuk memaklumkan kepada dirinya. Dia hanya mendapat tahu, lelaki itu sibuk di kolej apabila dimaklumkan oleh Hanina.
“Termenung… termenung… ingatkan siapa tu?”
Bahu Asma dicuit.
Asma pantas melemparkan pandangan ke sisi. Hanina sudah bersandar pada dinding sambil merenung jauh ke dalam matanya. Gadis itu berusaha untuk membaca apa yang berada di hatinya. Asma tahu akan itu. Lihat sahaja bagaimana tajamnya renungan yang cuba menembusi dinding hatinya.
“Asma… kenangkan siapa ni?” soal Hanina lagi. Penuh usikan. Penuh ramalan. Cuba ditebak berkali-kali, asyik tidak mengena. Apa yang tersembunyi dalam hati Asma, langsung tidak dapat diteka. Bila disoal, asyik mengelak.
“Langit mendung, macam nak hujan kak…” Pandai sahaja Asma menukar topik yang cuba dibuka oleh Hanina. Melihat senyuman nakal di wajah Hanina itu pun, Asma sudah dapat menjangka.
“Langit mendung apanya… jangan nak pusing ceritalah!”
“Asma masak kari kepala ikan, akak nak rasa tak? Semalam terdengar macam ada orang tu teringin nak makan…” Asma masih hendak mengelak. Cuba mengembalikan usikan itu kepada Hanina pula.
Hanina menjeling manja. “Suka sangatkan bantutkan mood detektif saya… haih, kalau tak kerana kari kepala ikan Asma yang super awesome tu, jangan haraplah awak akan terlepas daripada soalan saya…” Hanina tertawa. Cuba menutup kecewanya. Sekaligus meredakan resah di jiwa Asma.
Keduanya sudah hendak melangkah masuk ke dalam. Namun, terhenti langkah mereka dengan bunyi enjin kereta yang berhenti di hadapan pagar itu. Orang yang pertama berpaling, tentulah Asma. Melihatkan luaran kereta sahaja sudah cukup untuk membuatkan dia tersenyum ceria. Langsung tidak dapat disembunyikan riak itu.
Tidak sedar, dirinya terus diperhati oleh insan di sisi.
Hanina sudah melirik senyum yang tidak diketahui makna. Hati mulai mengumam. ‘Pandai betul kau sembunyikan hakikat tu daripada aku, Asma… masih hendak berselindung walaupun ia jelas terpancar di raut wajah.’
Dan dibalik cermin kereta, ada sepasang mata lagi yang menghayati panorama itu. Qaiser makin keliru. Melihat riak gembira di wajah Asma yang langsung tidak pernah dikesan sebelum ini, hanya mencambahkan rasa bersalah. Bukan ini yang dipinta.
Terngiang pula suara tegas Iman Anas yang juga terselit amaran buat dirinya.
“Kalau betul ikhlas nakkan Asma, cakap elok-elok dengan mak. Tapi jangan pulak kau patahkan hati dia, silap-silap ada tulang kau pulak yang aku patahkan! Kau pun adik, Asma pun adik... aku tak nak tengok ada muka yang kecewa. Kalau tak berkenan, jangan lebih-lebih menyemai harapan.”
Suara Iman Anas yang cukup garang itu bersilih ganti dengan kata-kata Anis pula.
“Kalau Qaiser tak suka, saya faham… dan kalau sempat untuk mengelak, baguslah. Saya dengan Iman risaukan adik-adik kami.”
Aduhai, banyak sungguh manusia yang terlalu risau akan keadaan hati adik masing-masing. Qaiser pula? Risaukan siapa? Diri sendiri atau orang lain? Aduh… payahlah pula.
Kenapa dari mula dia tidak sedar, dia tidak perlu untuk menjadi watak utama dalam diri Asma. Dan kini, begitulah wataknya.
Lambat-lambat sahaja langkah yang diatur keluar dari kereta. Dan kini dirinya sudah menjadi tatapan dua gadis di hadapannya ini. Kedua pandangan yang mempunyai maksud tersendiri. Yang nyata, mampu difahami.

MAKANLAH lagi… banyak jugak saya masak ni.”
Asma sudah mencapai pinggan Qaiser untuk menambah nasi. Tetapi Hanina cepat lagi mencelah, hendak menduga hati-hati yang sedang berdolak-dalih di hadapannya. Entah kenapa, hatinya sakit pula tiba-tiba.
“Biar saya buat.” Dengan senyuman Hanina mencapai pinggan yang dipegang oleh Asma. Riak wajah kelu yang terukir pada wajah itu, cuba tidak dipedulikan. Qaiser yang duduk di antara mereka tidak menghalang. Mata itu sekadar memerhati sahaja. Tidak pula Hanina mengesan sebarang riak tidak suka yang terpamer di wajah Qaiser. Untuk itu, dia berasa lega.
“Lama ke awak dekat sini?” soal Hanina ketika menghulurkan pinggan yang sudah berisi nasi kepada Qaiser.
Qaiser tersenyum nipis menyambut huluran itu. Memikirkan berapa lama dia akan berada di sini… dia sendiri keliru. “Mungkin esok pagi dah kena gerak balik.” Itu pula jawapan yang diberi. Padahal, selalu dia akan bermalam dua hari di Shah Alam.
“Kenapa sekejap sangat?” Nada Hanina mengendur.
“Datang ni pun, nak sampaikan amanat dekat awak. Ada benda yang saya nak minta awak tolong uruskan… Boleh Nina tolong saya?”
“Tolong apa?” Hanina menyoal dengan teruja. Tumpuan Qaiser yang sepenuhnya buat dirinya menggamit rasa. Terlupa seketika pada Asma yang sedang berada bersama mereka.
“Kejap lagi boleh kita keluar?”
Spontan renungan Asma terpahat pada wajah Qaiser. Soalan itu bukan diajukan kepadanya. Pasti bukan. Dan kenapa ada rasa tidak senang pula, sedangkan dia tidak perlu untuk berperasaan begitu.
Melihat Qaiser dan Hanina yang asyik berbual, mindanya mulai bergayut di awangan. Yang tidak-tidak sahaja menyinggah di fikiran.
Apa sudah jadi dengan kau ni Asma?
Qaiser itu cuma abang! Tidak lebih daripada itu. Asma yakin!
Tapi...
“Asma... dah ke mana aje awak ni? Saya dengan Qaiser nak keluar sekejap lagi, awak tak apa kan tunggu seorang?”
Soalan Hanina bergema, menyentakkan lamunan Asma. Terpinga-pinga dia seketika. Berkecil juga hati kecilnya apabila Qaiser sudah berlalu ke depan. Dia sendiri tidak sedar, kedua insan itu sudah siap meletakkan pinggan di singki. Lama benarkah dia mengelamun sendiri?
“Asma...” Hanina memanggil lagi. Asma hanyut berkhayal lagi!
Asma tersenyum nipis.
“Pergilah akak... saya okey. Kalau tak okey, saya boleh call ke, kacau orang tu dating?” soal Asma cuba bersenda. Entah menjadi atau tidak cubaan untuk bersendanya. Senda yang menoreh hati sendiri. Baik tak payah!
Namun Hanina, tersenyum kecil. “Kalaulah betul apa yang awak cakap tu, kami berdua dating, sayalah orang yang paling bahagia kalau benda tu jadi.”
Senyum tawar terus teroles di bibir Asma. Dia sendiri mulai sedar, ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya. Dan sesuatu itu, benar-benar perkara yang tidak wajar!
Mata yang sudah berkaca itu mengekor langkah Hanina yang mulai hilang jejaknya.




Bab 5
“ASMA tak telefon?” Soalan Encik Bohari membuka bicara di ruang makan itu. Sekejap lagi dia harus ke tempat kerja semula. Bekerja pada shift malam pula. Bertugas sebagai sekuriti yang telah lama menjadi punca rezeki keluarga mereka.
            “Semalam ada telefon. Hari ni, tak lagi. Sekejap lagi kot...” Puan Amina membalas sambil tangannya cekap menyendukkan nasi. Bahar sudah mula menyuap nasi ke dalam mulutnya. Adila pula, masih berkhayal, tidak tahu fikirkan apa.
            “Adila... bila tahu result untuk masuk matrikulasi?”
            Renungan Encik Bohari tepat pada anak gadis yang tunduk menekur nasi itu. Sah! Adila memang tak dengar soalan yang diajukan. Entah apa yang difikirkan. Sejak seminggu yang lalu, tingkah Adila begitu aneh.
            “Adila ni kenapa? Ada masalah ke?” soal Encik Bohari terus kepada Puan Amina. Isterinya turut memberikan pandangan yang tidak punya jawapan.
            “Adila... abah tengah tanya ni, fikir apa pulak tu?”
            Dan Adila masih tidak sedar nampaknya. Bahar yang seronok menyuap nasi, terpaksa pause seketika untuk menyedarkan khayalan Adila. Berkhayal yang tidak menemui titik noktah nampaknya. Walaupun dia sendiri tidak tahu, berkhayal tentang apa. Makanan sedap-sedap di depan mata, ada masa untuk berkhayal pula!
            “Akak... abah tanya tu!” Bahar sudah menyiku Adila di sebelah. Mujur tidak terhantuk muka di meja dalam keadaan tidak sedar. Kelam-kabut matanya melirik ke kiri dan kanan.
            “Hah?”
            “Abah tanya... akak ni ada masalah ke?” Kuat suara Bahar bergema.
            Terasa berdengung telinga Adila. Besar sungguh suara Bahar.
            “Masalah apa?” Kening Adila bertaut. “Tak ada masalah apa pun...” Resah nada Adila.
            “Abah sekali pandang aje dah tau. Muka Adila kenapa lain macam aje? Kerja teruk sangat ke? Atau ada orang yang duk kacau Adila dekat sana? Kalau ada, bagitau abah... tak pun pergi aje report dekat pengurusan. Benda-benda macam tu, tak boleh dipandang remeh. Adila tu perempuan... kalau jadi apa-apa, susah.” Panjang lebar Encik Bohari menyampaikan pesan.
            Apa yang telah berlaku kepada Asma, membuka matanya lebih luas daripada dahulu. Kalau dulu pun, dia sering memantau aktiviti anak-anak. Kali ini, dia harus lebih teliti dengan semua. Saham dosa pahala dalam keluarga, berada di atas bahunya sebagai ketua keluarga.
            “Sorry abah...” Adila cuba mempamerkan senyuman tawar. Biarlah setawar mana pun senyuman di bibir itu, akan cuba diukir juga. Cukup untuk pastikan abah tidak risaukan dirinya.
            “Adila okey... risau fikir keputusan matrikulasi, keluar dua minggu lagi. Tak tau nanti dapat ke tak...” Alasan yang berjaya dihadiahkan untuk membungakan senyuman di wajah Encik Bohari.
            “Tak payah nak risau lebih-lebih sampai monyok muka depan rezeki. Ada rezeki, insya-Allah, adalah untuk Adila. Kalau tak dapat, jangan risau... ada jalan lain pulak. Kita ni kena banyak beringat, kunci nak capai kejayaan tu, bukan satu aje. Jadi, kita sebagai manusia... jangan sempitkan otak, kalau dah gagal satu kunci... kita kena tau, masih ada kunci lain yang kita boleh cuba... yang penting, usaha!”
            “Adila ingat abah...” Adila mengangguk menerima buah nasihat oleh Encik Bohari.
            “Ingat tu kak... depan rezeki tak boleh monyok-monyok. Rezeki pun lari nanti...” Spontan Bahar melarikan sepinggan sotong goreng celup tepung yang berada di depan Adila. Bibir anak teruna itu tersenyum nakal, cuba untuk bersenda dengan kakaknya. Tapi hampa, Adila langsung tak menghayati humor yang ditayangkan secara percuma olehnya. Cis!

PINGGAN yang sudah siap dicuci, mula dialihkan ke dalam bekas yang tersedia di sisi singki. Dibiarkan di situ untuk seketika. Tangan juga mulai panjang mencapai gelas untuk diisi air kosong. Sambil menarik kerusi kosong di dapur, Adila mencapai sebiji pisang yang terletak di bawah tudung saji.
            Walaupun konsep dah salah, makan buah lepas makan nasi, tapi biarlah... dia fikir, asal cukupkan kouta untuk makan buah hari-hari sudah cukup.
            Sambil makan pisang pun, mindanya sudah mula hendak melayan angan-angan yang tidak kesampaian. Sampaikan tidak sedar, Puan Amina dah bercekak pinggang di sisinya. Tersedak Adila, mujur tidak tercekik pisang dek kerana terkejut.
            “Ni kenapa pulak? Pelik sangat mak tengok...”
            “Tak pelik apa pun mak. Makan pisang aje, pelik ke?” Jawapan Adila dengan ketawa palsunya, terserlah sungguh kepura-puraan di situ. Berusaha untuk mengelakkan diri daripada terus diasak soalan yang bakal menjerat diri.
            “Jangan nak tipu mak... Mak dengar minggu lepas. Adila telefon Anis, siap menangis-nangis. Sebab apa tu? Risaukan keputusan masuk matrikulasi sampai menangis macam tu? Jangan nak kelentong maklah...” Perli Puan Amina sebagai langkah untuk menebar jala. Nak pancing ikan kecil di depannya ini untuk berbicara, tidaklah sesukar mana. Sebab, Adila memang pantang diacah.
Dan Adila memang cepat melatah kalau diacah. Tengok muka yang dah berubah warna pun, Puan Amina sudah tahu bahawa jeratnya mengena.
“Ma... ma... mana ada orang menangis mak. Mak ni... pandai aje nak kenakan Adila.” Lengan Puan Amina dicuit manja. Gelabah begitu terserlah namun Adila berusaha untuk tersenyum.
Habis? Takkan nak mengaku dengan emaknya, dia menangis sebab... sebab... Anas!
“Mak memang dah berumur... tapi mak tak pekak lagilah. Lainlah kalau Adila harap mak jadi pekak. Buat tak dengar aje dengan masalah anak-anak mak... muda-muda lagi dah ada masalah. Masalah apa yang besar sangat tu... masalah cinta?” Sedang asyik Puan Amina membebel. Tiba-tiba matanya menjadi luas sendiri. Terpaku mata itu pada wajah Adila yang kelihatan begitu gugup.
Takkan???
“Masalah cinta???” Dan menaik volume Puan Amina.

“AKAK... mak suspek Adila ada masalah cinta. Mak dah marah-marah tadi. Macam mana ni?” Adila mula merengek pada corong telefon. Makin panjang rengekan itu apabila tidak menerima sebarang kata balas daripada Anis.
            “Akak janganlah senyap macam ni... Adila nak kata-kata semangat akak. Adila tak tau pulak boleh tersuka dengan Anas sampai macam ni...” sambungnya lagi. Apalah nasib badan, belum bercinta lagi, sudah patah hati.
            Patah sendiri, tiada yang sudi mengubati.
            “Akak...”
            Adila bingung. Kakak Anisnya itu, sengaja pula mendera jiwanya yang sudah memang cedera parah. Pura-pura tidak mahu bersuara pula. Kenapa?
            “Ak...” Belum pun dia menyudahkan kata. Telinganya sudah menangkap sebaris kata. Matanya sudah membulat. Mulutnya ikut ternganga besar. Ditekup mulut itu sendiri sambil mata sudah berlari pada skrin telefon.
            Alamak!!!
            Tersalah dail nombor???
            “Jatuh cinta dengan siapa Adila? Anas?”
            Dan Adila tahu, dia tak suka hendak menjawab soalan itu. Walaupun yang tukang bertanya, pasti akan menuntut jawapan tidak kira sesukar mana sekalipun.




Bab 6
ANIS cuba menyibukkan diri. Konon hari itu dia tersangat busy, sampaikan nak jawab hai daripada Iman Anas pun, tak sempat. Bertambah-tambah sibuk dirinya bila Iman Anas buka bicara tentang topik yang akan menyebabkan dia kena marah!
            “Anis... abang tanya ni.”
            Dan ditanya pula dengan suara Iman Anas yang sangat tidak mesra telinga intonasinya. Anis cuba tersengih lebar. Nak mengalihkan topik pun, kena bijak. Tak boleh gelabah badak!
            “Sarapan abang dah siap. Abang nak makan sekarang pun boleh. Nak makan lepas setengah jam kemudian pun boleh. Abang nak on diet tak nak ambil breakfast... pun, boleh.”
Iman Anas yang dari mood serius pun sudah tertukar haluan. Bibir melirik senyum nipis. Kartun betul perangai bini macam ini! Tak menyempat untuk dia membuka bicara, Anis sudah berpaling. Mata dan kakinya sudah ikut sama langkah itu. Dan mungkin Anis tak sedar.
Anis terus berpusing dan melangkah ke arah tandas. Mujur juga kain sudah siap dibasuh dan diletakkan dalam bakul supaya tersejat air. Rajin pula hari ini nak menjemur kain pagi-pagi.
“Ingat rumah ni besar sangat ke, Anis nak lari daripada soalan abang.”
Sedap sahaja Iman Anas sudah menyandarkan badan pada dinding tepi tandas. Anis dilihatnya tersengih lagi. Memang sah tak ada modal lain untuk menukar topik.
“Kira okeylah tu, Anis lari daripada soalan abang. Kalau lari daripada abang? Tak ke naya... duduklah abang dekat Sandakan ni sorang-sorang. Orang balik Taiping dengan hati yang girang...” Anis tersengih lagi membalas kata. Tapi silap besar. Iman Anas sudah mula menghadiahkan pandangan berkuasa laser. Terus tertunduk menekur lantai.
“Teringin nak balik sana sorang-sorang?” Soalan Iman Anas dengan nada dingin ais batu.
“Tak nak pun...” Merendah sahaja Anis menjawab.
“Habis, nak apa?”
“Nak jadi isteri solehah Abang Iman.” Polos jawapan itu diberi.
“Nak jadi isteri solehah, tak boleh lari daripada jawab soalan. Sekarang ni jawab dengan tulus ikhlas... Anis ni nak menyokong ke tidak usaha abang supaya Adila lupakan Anas?”
“Anis ada pilihan ke untuk tak sokong?” Perlahan soalan itu diajukan. Dan Anis tahu, sekali lagi dia hanya akan dibaham oleh jelingan tajam Iman Anas. Laju lagi dia mencicit ke arah ampaian.
Iman Anas nyata tidak akan melepaskan topik perbincangan mereka pada hari ini dengan begitu mudah. Lelaki itu sudah mencapai sehelai baju dan dibantu untuk menjemur bersama.
What Adila need is, your support. Dia bukannya tangkap cintan sangat pun dengan mamat Anas tu. It is just affection. Normallah tu, umur-umur macam Adila tapi kalau dah kecewa macam tu, kita yang dewasa nilah kena bertindak. Bagi nasihat yang sepatutnya, bukan bagi semangat dan inspirasi yang bukan-bukan...” Menyindir Iman Anas di hujung kata. Tiada orang lain yang hendak ditujukan kata itu. Khas buat Puan Anis terchenta.
Anis mencebik.
“Abang ni... Anis memang nasihatkan dia suruh lupakan Anas.”
And you should stop right there without any addition. Bukannya terus merasuk minda Adila dengan Anis punya andaian kalau-kalau tu...” Iman Anas membidas. Sungguh itu yang buat dia rasa nak marah.
Terhenti gerakan tangan Anis yang sudah mencapai penyangkut untuk menyidai baju. Wajah Iman Anas, sekali pandang pun dia tahu. Lelaki itu sebenarnya sangat marah dengan kalau-kalau yang diperdengarkan kepada Adila. Ya, dia tahu, dia salah. Tapi...
“Kalau-kalau Anis tu, kalau betul?” Dibalas juga dengan rasa geram.
Iman Anas tersenyum sinis.
“Masih berkalau... peratusan untuk betul, less than one percent! Hidup ni tak boleh nak berandaian sangat. Lagi-lagi dengan hal melibatkan perasaan.”
“Tapi kalau tak diandai, mana nak tahu keputusan? Abang buat kajian kan... takkan tak tahu. Tak ada andaian, tak ada permasalahan, tak ada hipotesis, tak ada la keputusan. Eksperimen bukan dalam dunia saintifik abang aje... kehidupan sebenar pun, ada jugak eksperimennya. Abang bukannya nak ambil tau tu semua...” Anis merengus kecil di hujung kata.
Pagi yang indah, dimulakan dengan mouth fighting pula. Bagus sangat!
“Eksperimen apa pulak?”
Iman Anas sudah hendak tergelak melihat mood Anis yang berubah dengan kelajuan roller coaster gayanya.
“Eksperimen cintalah!”
Dan Iman Anas tak dapat menahan, terlepas terus tawanya. “Jangan buat lawaklah Anis.”
“Lawak apa pulak? Ingat orang ni badut upahan ke, nak buat lawak depan abang. Seriuslah ni... kalau tak, tak adalah novel eksperimen cinta.”
Untuk jawapan itu, Anis menerima tolakan manja di dahi. “Banyak sangat melayan novel... patutnya tolong abang baca tesis tu! Baru minda tu menjana idea bernas sikit daripada sibuk nak bereksperimen cinta...”
Iman Anas terus masuk ke dalam rumah sambil memerli Anis dengan ungkapan eksperimen cinta itu. Bila matanya bertembung dengan renungan tidak puas hati si isteri itu, bibir sememangnya tidak dapat dihalang daripada berkata.
“Eksperimen cinta... mungkin boleh dipraktiklah.”
Anis hampir tersenyum kerana Iman Anas sudah bersetuju dengan hujahnya. Tetapi, senyuman pun tidak diberi peluang untuk menyinggah lama.
“Tapi... untuk kita yang dah halal aje.”
Kenyitan mata nakal Iman Anas menoktahkan topik eksperimen cinta. Berbahang pula wajah Anis menahan malu bila bibir lelaki itu mula mengusiknya dengan hipotesis dan andaian yang tidak wajar diungkapkan untuk pendengaran umum.
“Dan jangan ingat sebab eksperimen cinta, abang nanti lupa macam tu aje pasal topik Adila.”
Anis terus menepuk dahi, tidak sangka. Laaa... tak habis lagi rupanya.

NOMBOR telefon rumah Puan Rohani tertera di skrin. Terus dicapai telefon dan dilekapkan ke telinga. Mendengar salam yang dihulur, bibir mengorak senyum.
            “Waalaikumsalam, mak... apa khabar?”
            “Anis... mak sihat. Iman mana?”
            Anis mula melangkah ke arah sofa dan melabuhkan punggung di situ. Televisyen yang terpasang, terus dimatikan.
            “Abang Iman ada meeting dengan supervisor dia. Balik petang jugak kot. Kenapa mak, ada hal nak cakap dengan abang ke?”
            “Patutlah... mak telefon dia, tak dapat. Tak ada apa pun, saja nak berbual... mak sorang aje hari ni, bosan pulak.”
            Terdengar Puan Rohani melepaskan keluhan.
            “Qaiser pergi Shah Alam ke mak?” Anis menyoal teragak-agak. Sungguh dia berasa janggal untuk bertanyakan perkara itu secara terus kepada ibu mertuanya.
            “Dia dah balik semalam. Pergi sehari aje dan dia cakap, dia mungkin takkan pergi sana dah.”
            Anis tersentak.
            “Kenapa mak?”
            Telinga Anis masih menangkap keluhan panjang yang dilepaskan oleh Puan Rohani. Bunyinya begitu berat sekali. Tidak tahu kenapa, tapi hati Anis terasa berat sama.
            “Dia dah cakap dengan mak...” Puan Rohani berjeda seketika. Mungkin mencari ayat terbaik untuk ditutukan buat pendengaran Anis. “Dia tak nak dengan Asma... Mak minta maaf, Anis.”
            Anis tersenyum kelat. Walaupun dia tidak mampu mengandaikan jawapan terbaik bagi pihak Asma, tetapi Qaiser ada hak untuk memilih juga. Qaiser seorang lelaki yang baik. Sememangnya sungguh baik!
            “Mak tak perlu minta maaf dengan Anis. Bukan jodoh Qaiser dengan Asma. Lagipun mak, Qaiser boleh dapat yang lebih baik... Asma kan...” Anis tidak meneruskan kata.
Tidak sanggup untuk mengungkapkan lagi apa yang pernah terjadi kepada adiknya itu. Dan ia memang salah Asma juga. Untuk itu, mungkin ini jalan yang perlu dilalui oleh gadis itu. Melahirkan seorang anak tanpa status yang sah.
“Anis... anak mak bukan macam tu. Qaiser takkan tolak Asma hanya kerana tu. Dan mak sendiri pun, takkan menghalang kalau itu yang dia suka. Tapi dia cakap, mak salah faham, mak salah tafsir pertolongan dia sebagai seorang abang, tapi... Balik semalam, dia berkurung aje dalam bilik, tak cakap apa pun. Apa maksudnya tu? Mak yang tersalah tafsir ke Anis?” Pertanyaan ditujukan buat Anis.
Dan Anis juga kelu. Tidak tahu apa jawapan yang patut diberi.

Dalam masa yang sama, mindanya diketuk dengan wajah Asma. Apa pula yang berada dalam fikiran gadis itu? Juga Anis tidak tahu.

14 comments:

  1. Bab 4: Oh oh... nampaknya asma dah tersangkut kat qaiser... pertolongan ape la yang qaise nak minta kt hanina t eh...

    Bab 5: Mesti Adila ersilap dial no anas... kantoi sudah... hahaha

    Bab 6: Ape la yang ada kt dalam hati qaiser tu? Betul ke dia anggap asma mcm adk je?

    ReplyDelete
  2. Aku plak yg emo bc..sian asma..
    Qaiser tgh keliru tu..bg masa k..

    ReplyDelete
  3. aish.....complicated betul masalah adik2 anis n iman ni...ape jd kt qaiser...kalau die dah pilih xnk ngn asma kenape mcm frust plak ni..adeh

    ReplyDelete
  4. interesting. tggu dan lihat qaiser pilih sapa. i always vote for hanina. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. we should give hanina chance rite ;) hehe

      Delete
  5. sebenarnya Qaiser tu keliru dan x yakin pada diri sendiri... kalau betul x nak kenapa nak kurung diri... hehehe
    mak sendiri pun naik pening dgn Qaiser ni...
    tengok abang yang macam singa pun boleh Anis jinakkan... hehehe

    ReplyDelete
  6. Bila baca bab yg ada iman n anis ni,iman anas dh pandai brgurau,mengusik rupanya...sian asma,qaiser tu anggp dia adik je,tp napa mcm dia keliru antra nina n asma?sama dgn anas,dia pn dh keliru dgn prasaan sndiri

    ReplyDelete
  7. Cter2 sha ni tk wat drama ke? mcm best je.... plg best sha shah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq for reading my story :) btw, its umi.

      Delete
  8. Bagilah qaiser pilih asma, sian bb nnti lahir tk berbapa.... takpun mgkin kah sha akn wjudkan kmbali watak anas yg satu lg tu?

    ReplyDelete
  9. jln cerita makin menghiburkan dan best tapi saya rasa garapan cerita tak cukup kuat seperti sebelum ini..
    hanina patut diberi peluang, kalau asma dgn qaiser jugak tak berkembang la keluarga diorang and
    adila pun patut dijauhkan dari anas kerana kembar anas kan telah merosakkan asma..kesian asma terpaksa menelan hakikat

    -chah husain-

    ReplyDelete
  10. http://shopingsakanmurah.blogspot.com/2014/01/pisau-seramik-yang-super-dupper.html?m=1...pisau stenless steel corak bunga

    ReplyDelete
  11. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete