Bab 1
SEBUNGKUS besar plastik yang berisi barang dapur diletakkan
di atas meja. Asma yang baru keluar dari dapur tersenyum melihat Hanina.
Terduduk lesu gadis itu di kerusi kecil yang tersedia untuk anak-anak kecil di
situ.
“Penat sangat kot…”
Asma menghulurkan segelas air kosong
kepada Hanina. Kebiasaannya, itu adalah menu wajib yang akan dipinta oleh
Hanina. Air kosong untuk isi kekosongan dalam perut.
“Thanks
Asma… awak tahu sangat rutin minuman saya.”
Hanina menyambut gembira air kosong yang
dihulurkan oleh Asma. Dengan lafaz bismillah, diteguk perlahan. Terasa air
melalui tekak. Bagai ada bayu sejuk yang mendamaikan. Mendinginkan tekak kering
akibat bahang cuaca di luar. Walaupun waktu mulai menginjak ke senja namun
bahang kepanasan di siang hari masih terasa.
Asma terus berdiri di sisi Hanina.
Memerhatikan majikannya yang sedang meneguk air sedikit demi sedikit. Bibirnya
teroles dengan senyuman kecil.
“Senyum pulak… fikir apa?” soal Hanina.
Gelas kosong diletakkan atas meja. Badannya disandarkan bebas pada kerusi.
Kipas yang berpusing laju makin mendinginkan suasana.
“Tak ada apalah Kak Nina…”
“Asal tanya, mesti tak ada apa… awak ni,
kuat berahsia jugak kan! Macam Qaiser… tanya apa pun tak nak cerita.” Hanina
terus memuncungkan bibir. Matanya sempat menjeling ke arah Asma yang terkedu
melihat responnya itu.
“Eh, apa pulak samakan dengan Abang
Qaiser…” balas Asma serba salah. Wajah monyok Hanina hanya menghadiahkan gusar
di jiwa.
“Saya jealous betul dengan awak ni!” Hanina terus mengetap bibir. Jujur,
dia cemburukan Asma. Kalau selama ini dia boleh melihat semula wajah Qaiser pun
hanya disebabkan Asma. Lelaki itu rajin benar datang berkunjung untuk
mengetahui keadaan Asma.
“Jealous
kenapa?”
“Qaiser tu bukan main jaga awak kan?
Untunglah…” Hanina sudah beralih memandang dinding. “Untunglah awak… ada orang
nak ambil berat. Saya ni, hari-hari mengangkat barang berat… tak ada siapa pun
nak ambil berat.” Sambung Hanina berjauh hati. Terasa jauh sekali rasanya hati
itu untuk ditemukan dengan jiwa Qaiser. Terasa lelah Hanina mencuba. Tetapi
tidak pula dia hendak berputus asa.
“Abang Qaiser kan, macam abang saya…”
balas Asma merendah.
Hanina berpaling semula memandang Asma.
Wajahnya masih monyok. Mencuka. Ada persoalan yang menganggu mindanya.
“Betul ke, Qaiser macam abang aje untuk
awak? Bukan abang dalam inverted comma?”
soal Hanina dengan wajah kartun sekali.
Asma menggeleng laju. Mustahil Qaiser
itu akan menjadi lebih daripada seorang abang buat dirinya. Lagipun, dia sedar
diri. Dia tahu dia tidak layak buat sesiapa. Cukuplah apa yang dimiliki setakat
ini.
“Tapi kenapa saya rasa… Qaiser sayang
awak, banyak… banyakkk…” ucap Hanina comel. Wajahnya makin sayu. Jujur dia
tidak mengharap. Tetapi rasa cemburu, bukan sesuatu yang mampu dikawal atau
dibuang begitu sahaja. Kalau rasa, akan sakit juga.
“Akak ni, banyak sangat fikirkan saya…
lebih baik, fikirkan Abang Qaiser aje.” Asma membalas tenang. Setakat apa yang
dikatakan oleh Hanina, tidak mungkin mengoyahkan hatinya. Lagipun, dia tahu
atas dasar apa Qaiser prihatin kepada dirinya.
“Suami Asma langsung tak ambil peduli
pasal Asma dengan anak ke?” soal Hanina tiba-tiba. Tidak pernah sekalipun dia
bertanya tentang hal itu. Namun, terkeluar juga secara spontan tanpa dirancang.
Melihat perubahan riak wajah Asma, Hanina segera memohon maaf.
“Sorry.
Saya bukan nak kecilkan hati Asma… maaf.”
Asma tersenyum nipis. “Tak apalah kak…
orang yang tak diingini macam saya ni, memang lebih baik tak dipedulikan aje.
Ada di depan mata, menyusahkan… kalau tak ada, mungkin lebih menyenangkan… ayah
anak saya ni, tak nak pun dengan dia. Jadi, bila tak suka… memang tak
dipeduli.” Ucap Asma sayu. Memikirkan kenangan itu, terusik hatinya.
Tangannya dibawa perlahan ke perut.
Sudah makin memboyot. Hanya menunggu masa sebenarnya. Dan selama tempoh itu
juga, anaknya tidak kenal, siapa bapa kandungnya. Kecuali seorang itu…
“Baby,
awak buat apa dekat dalam tu? Sihat ke? Jangan nakal-nakal sangat tau. Jangan
susahkan mama awak… tapi, kalau mama buli baby…
cepat-cepat cakap dengan papa, okey.” Ceria suara itu mengusik pendengaran.
Mengingatkan itu, hati Asma terasa
bergetar. Getaran yang tidak pernah disedari sebelum ini. Terus sahaja
pandangan terpanah ke wajah Hanina. Kelu lidahnya.
BEG kecil yang biasa dibawanya ketika ke
luar negeri diletakkan di sisi pintu. Ceria sahaja wajahnya sejak pagi tadi.
Rasa seronok pula kalau dapat travel
hari-hari macam ini. Kunci kereta di atas meja dicapai. Nama emaknya dilaung
dari ruang tamu.
“Hai, dah siap? Cepatnya… macam baru
dengar aje tadi Qaiser kata nak ke Shah Alam. Ini terus nak gerak?” soal Puan
Rohani pelik. Qaiser dengan senyuman lebarnya, ceria bukan main. Membuatkan
hati tuanya terasa risau tidak kira masa.
“Tak sabar…” balas Qaiser tanpa sedar.
Makin berkerut dahi Puan Rohani. “Lain
macam aje mak dengar ni… tak sabar apa ni?”
Qaiser dilihatnya sudah
mengerak-gerakkan bibir tanpa suara. Pastinya terkelu tidak jumpa perkataan
untuk dilontar sebagai bicara.
“Qaiser ni, kerap sangat ke sana… risau
mak.” Puan Rohani menyuarakan rasa hatinya.
“Risau kenapa pulak mak? Qaiser bukan
budak kecil lagi… pandai jaga diri.” Qaiser sudah memegang bahu Puan Rohani
erat. Matanya dikelipkan tanda memberi keyakinan. Dia mampu menjaga diri dengan
baik. Setakat perjalanan dari Taiping ke Shah Alam, macam makan ais kacang
saja.
“Kalau Qaiser kecil pun, mak tak serisau
ni… sebab Qaiser dah besar panjanglah, mak risau.”
“Kenapa ni mak?”
“Jawab dengan jujur dekat mak…” Puan
Rohani berjeda. Lengan Qaiser ditarik dan diarah untuk duduk di sofa. Ada
perkara yang harus dibincangkan seketika sebelum anaknya bertolak. Beria sangat
minggu-minggu untuk ke Shah Alam… dah kenapa? Macam tak ada kerja lain pula.
“Qaiser suka dengan dia ke?” soal Puan
Rohani serius.
Qaiser tersenyum kelat. Berat. Soalan
yang ditanya itu berat sekali untuk dijawab. “Suka siapa pulak ni mak?”
dalihnya.
“Asma…”
Sebaris nama itu disebut tegas oleh Puan
Rohani.
Qaiser tersengih sumbing. “Mana ada mak…
dia macam adik aje.”
“Jangan tipu mak!” Meninggi suara Puan
Rohani. “Jangan tipu mak Qaiser… mak ni, mak Qaiser… mak nampak apa yang
mungkin Qaiser sendiri tak nampak. Kalau Qaiser nak berdalih jugak, tak payah
dah nak susahkan diri pergi ke Shah Alam tu… biarkan aje Asma tu. Dia ada
keluarga yang boleh ambil berat pasal dia. Kenapa pulak Qaiser nak menyusahkan
diri untuk ke sana tiap-tiap minggu… apa kamu tak ada kerja lain!”
Puan Rohani terus bangkit dan masuk ke
dapur. Meninggalkan Qaiser terpinga-pinga. Terkedu tanpa jawapan. Dan tidak
mungkinlah dia mampu menahan perasaan yang sudah tidak sabar untuk sampai ke
Shah Alam itu. Atau mungkin lebih tepat, jasad sahaja di sini… jiwa sudah lebih
awal terbang ke situ.
“Dah… fikir apa lagi?” Puan Rohani
muncul kembali. Tangannya bercekak pinggang dengan sudip di sebelah tangan
lagi.
“Nak suruh mengaku dah suka dengan anak
orang pun susah ke?” Mata Puan Rohani terjegil. Geramnya dia dengan sikap
Qaiser ini. Rasanya ini lebih susah daripada permintaan suruh Iman Anas
berkahwin dulu.
“Mak…” Qaiser masih berusaha untuk
mengelak memberi jawapan.
“Masih tak nak mengaku?” Puan Rohani
mengetap bibirnya. Ikutkan hati, diketuk sahaja kepala Qaiser dengan sudip yang
dipegang itu. “Tak mengaku, tak lepas keluar dari rumah tau!”
Puan Rohani terus sahaja bergerak ke
arah pintu, mangga yang sedia tergantung di pagar dicapai dan dikunci.
“Mak!!!”
Qaiser nyata tergamam.
“Choice
in your hand!” Puan Rohani tersenyum menang.
Bab 2
TUBUH yang keletihan itu disandarkan bebas pada sofa.
Ikutkan rasa penat yang menyerang, terasa hendak tidur di ruang tamu sahaja.
Tetapi memikirkan diri yang masih belum bersolat Maghrib, lantas digagahkan
juga kaki dan melangkah ke bilik yang terletak bersebelahan dengan dapur itu.
Tuala
putih yang tersangkut pada penyangkut, dicapai. Terus sahaja dia menuju ke
tandas dan membersihkan diri. Tatkala melihat pantulan wajah di cermin yang
terletak elok pada dinding tandas, dia ternampak wajah itu. Sakit!
Adila
tidak tahu mengapa, perasaan ini begitu menyakitkan hatinya. Bukan ini yang
dipinta, tetapi ini juga yang makin menggila. Gilakan Anas!
Ah… kau memang dah gila Adila!!! Bentak
hatinya.
Saat terpandangkan jasad Anas yang
tiba-tiba muncul di hadapannya, membuatkan bibir menjadi kelu. Saat melihat si
gadis di sisi jejaka itu bersuara manja meminta itu dan ini, membuatkan dia
menjadi semakin bisu. Lantas tidak dipedulikan teguran Anas yang tidak kekok
memanggilnya di pasaraya Giant tadi.
Dia terus sahaja berpaling dan berlalu
biarpun dia masih ada tugasan yang berbaki di situ. Sudah masuk tiga bulan, dia
berkhidmat di pasaraya itu. Sementara menerima panggilan untuk masuk ke
matrikulasi.
“Kenapa nak ingatkan dia yang tak
mungkin sukakan aku…” bicaranya sendiri.
Paip shower ditutup. Sebaik
sahaja selesai mengambil wuduk, dia sudah melangkah keluar dari tandas. Tanpa
berlengah, dia terus mengerjakan solat fardhu yang diperintahkan oleh Allah
kepada hamba-Nya.
Dilepaskan segala rasa duka dan kecewa
ketika menghadap Ilahi.
Sakit. Luka dan kecewa. Adila tidak
pernah tahu, hatinya akan terbabas sebegini sekali. Hanya kerana seorang Anas…
yang tidak mungkin dapat menerima dirinya seperti mana yang dia inginkan.
“Adila…” Panggilan Puan Amina bergema
selesai sahaja dia mengaminkan doa.
“Jom makan… mak buat nasi goreng ni.”
Suara emak yang memanggil itu disahut
dengan helaan nafas panjang. Suram wajahnya. Kusam mindanya. Memikirkan apa
yang terjadi siang tadi, terbantut semuanya.
“Mak, Adila tak lapar… mak makan ajelah
dengan Bahar.”
Kepalanya sudah direbahkan atas tilam.
Tanpa dipinta, air mata mengalir laju. Kalaulah Kak Anis tahu, hati Adila juga
terpaut pada jejaka yang bernama Anas itu. Seperti mana yang pernah terjadi
kepada kakaknya.
“Tapi… Adila tak macam akak. Adila tak
kuat nak tengok dia dengan… orang lain.” Bisiknya bernada sendu.
Serentak itu telinganya sudah menangkap
bunyi deringan telefon. Tahu sangat dari mana bunyi itu muncul. Tangannya sudah
diseluk ke poket bag sandang. Telefon yang masih berbunyi itu dipandang. Mata
yang tadinya sayu dan kuyu tiba-tiba terbuka luas. Melihat nama yang tertera di
skrin telefon membuatkan dia menjadi penasaran. Apa yang patut dibuat?
Perlu dijawab, atau dimatikan sahaja?
“Kenapa pulak dia telefon aku?” soal
Adila lebih kepada hendak mengeluh. Tidak bersedia langsung untuk berbicara
dengan insan itu dalam keadaan hatinya yang sentiasa terbabas ini.
“Adila… kenapa tak dijawab telefon tu?”
Tersentak Adila. Wajah Puan Amina yang
berkerut dahi menyapa mata. Terketar-ketar bibirnya seketika. Minda cepat
hendak beralasan namun tidak ada idea.
“Siapa yang telefon?” Soal Puan Amina.
“Tak tahu mak…” Dengan rasa bersalah,
disuarakan sebaris kata yang dusta. “Adila tak kenal nombor siapa. Silap nombor
agaknya…” Disambung lagi dengan suara yang yakin agar tidak terhidu oleh
emaknya apa yang sedang bersarang di dalam hati pada saat ini.
BREK ditekan sampai sahaja di hadapan
rumah dua tingkat bercat putih gading itu. Liyana tersenyum ceria di sisi.
Tahulah dia, apa makna senyuman itu. Semuanya kerana dia sudi meluangkan waktu
membeli-belah bersama tunangnya ini.
“Thanks
Anas. Really appreciate the time that you spend with me. I janji, esok-esok
kalau you sibuk, I takkan kacau. Tapi, kalau you lapang, janganlah tak
pedulikan I pulak…” Sedikit merajuk hujung kata Liyana. Tunangnya ini kalau
tidak disuruh, tidak akan bergerak untuk bertemu dengannya.
“Yelah…
I telefon you nanti, bila-bila yang I lapang. Okey?” Anas tersenyum kecil
membalas permintaan Liyana. Gadis manja yang dikenalkan oleh nenek kepadanya.
Dan sudah hampir tiga bulan usia pertunangan mereka. Dan sudah ada ura-ura di
rumah untuk dipercepatkan tarikh nikah.
Tetapi… masih ada sesuatu yang
menghalang jiwanya. Anas… tidak mengerti.
“Okey.
Hati-hati memandu. Dah sampai rumah nanti, mesej I.” Liyana melangkah keluar
dari perut kereta. Langkah gadis itu terus sahaja ke pintu pagar kecil di sisi
rumah dan diatur langkah masuk ke rumah.
Selesai
memastikan Liyana sudah selamat berada di dalam rumah, barulah Anas
menggerakkan kereta. Perjalanannya kini ditemani sepi. Tiada bunyi radio
mahupun suara Liyana yang tidak kering idea untuk bercerita kepadanya.
Dalam
kesunyian yang menghuni. Ada satu wajah yang muncul. Memikirkan itu, bibirnya
terkeluh sendiri. Kenapa?
Gerakan
hati memaksa. Lantas tangan sudah menarik handsfree. Telefon bimbit
dicapai dan nombor yang sememangnya sudah berada dalam telefon itu didail. Lama
deringan tidak bersambut.
Anas
tersenyum kecil. Merajuk? Apa yang dilihat tadi, adalah sebuah lagi panorama
mencuit. Si hati yang terbabas dan si tuan yang juga tidak mahu berusaha
mengelak daripada kejadian itu.
Tidak
mahu mengalah. Nombor itu didail lagi.
Kali
ini cepat pula bersambut. Dengan suara yang berbisik, namun masih terselit
marahnya.
“Kenapa
telefon saya lagi? Patut dah buang nombor telefon ni.”
Anas
tersenyum kecil. “Kalau awak masih kenal pemilik nombor ni, mesti nombor saya
pun tersimpan kemas dalam telefon awak kan?” soalnya mengusik.
“Kejap-kejap
lagi nak delete la ni!”
Spontan
Anas tergelak kecil. Adila memang masih budak-budak!
“It
is not good for you to be like this. Tak elok asyik terbabas hati bila
tengok saya… kan dah kena merajuk sendiri macam ni. Siapa nak pujuk awak kalau
awak bersedih sendiri?” Nada suara Anas menjadi serius.
Tadinya terasa hendak mengusik, tetapi
kalau diusik… bimbang bunga di hati gadis itu makin bercambah. Usah diberi
harapan yang tidak-tidak. Bahaya! Hati anak orang… bukan anak beruang. Kalau
kecewa, sengsara, merana… jadi cerita lain pula. Jangan…
“Suka hati sayalah. Hati saya!” Jelas
sekali nada berjauh hati dipamerkan oleh Adila.
“Adila…”
“Dah la… saya nak tidur!” Suara itu makin
serak. “Awak pun boleh buang nombor saya lepas ni. Tak perlu nak telefon lagi.
Kalau risau sangat hati saya terbabas, jangan buat macam ni! Jangan nak tegur
saya dekat mana-mana. Buat aje macam awak tak kenal saya.”
“Jangan buat macam ni, Adila… saya tak
salah. Awak pun tak salah. Cuma silapnya, awak silap jatuh suka dengan saya.
Jangan dilayan sangat… semua tu boleh dipulihkan… saya…” Terus terhenti
kata-kata Anas.
Membulat matanya seketika. Mana
tidaknya, Adila sudah memutuskan talian. Parah! Tanpa sedar, tangannya sudah
meraup wajah berkali-kali. Apa yang harus dibuat? Bukan dia yang memberi
harapan. Namun, tidak juga tega dia melihat wajah si gadis itu dengan pandangan
terluka.
Apakah makna ini semua?
Skrin telefon yang sudah memaparkan wallpaper
dipandang kosong. Tiada apa yang dapat dilihat di situ melainkan seraut wajah
Adila yang terus berulang tayang di ruang mata. Ah, kenapa dia juga yang perlu
disuka oleh Adila?
Bab 3
TERSENTAK dia seolah mengalami kejutan. Lantas terus sahaja
dia bangun dan terduduk. Matanya pula lurus sahaja menangkap pandangan Iman
Anas yang begitu tergamam. Membulat biji mata suaminya itu.
“Apa
ni Anis? Jangan buat gaya kena sampuk tengah-tengah hutan ni. Nervous
jugak abang…” Iman Anas sudah memandang kiri dan kanan. Keadaan malam yang
begitu sunyi hanya menaikkan bulu roma. Sudahlah sejak seminggu yang lalu,
asyik dengar orang kena histeria saja. Dan gaya Anis ini, sudah memang sebijik
macam orang kena sampuk. Dah sah!!!
“Abang…”
Ditambah dengan nada Anis yang serak-serak basah. Makin meremang bulu roma.
Perlahan
saja, Iman Anas bangkit sambil memegang komputer riba. Dia hendak membuat kerja
di bilik sebelah.
“Abang…
nak ke mana pulak tu?” Panggil Anis kuat. Matanya sendiri sudah mengerling ke
kiri dan kanan bilik mereka. Di kanannya, langsir yang dibiar terbuka sudah
mengerbang. Mengilai ala-ala langsir dalam cerita hantu! Uishhhh…
“Abangggg…”
jerit Anis bila Iman Anas buat tak tahu, dan terus ke depan. Meninggalkan
dirinya sendiri. Ada ke patut, dapat suami yang macam ni!
Dan Anis bukanlah seorang yang begitu
berani untuk duduk sendiri di dalam bilik ini. Lantas mencicit dia mengikut
langkah Iman Anas ke bilik sebelah. Bilik yang penuh dengan khazanah kerja
suaminya.
“Abang ni, tak patut tau tinggal Anis
sorang-sorang dalam bilik tu!” Menyembur terus Anis lepas masuk ke dalam bilik
itu.
“Mana tak tinggal, kalau asyik buat gaya
seram aje bila bangun tidur. Sekarang ni bukan siang tau, tengah malam…”
Selamba saja Iman Anas membalas. Langsung tidak peduli dengan kekalutan yang
dipamerkan oleh si isteri. Setakat Anis yang menjerkah, siapa yang hendak
gerun. Lainlah kalau si Anita mengaum, meremang juga bulu roma.
Anis sudah berpaling dan berpeluk tubuh.
Wajahnya memuncung sedikit. Konon hendak meraih simpati Iman Anas. Tapi…
Iman Anas terus tekun merenung komputer
riba. Mungkin itu lebih lawa daripada Puan Anis yang dinikahi sudah hampir lima
bulan ini.
“Anis risaukan adik-adiklah…” Intonasi
Anis berubah rentak. Dia tahu, kalau buat-buat merajuk dengan Iman Anas, itu
namanya membuang masa dan kudrat saja! Baik terus straight to the point!
“Nak risau kenapa? Asma tu, Qaiser
selalu jenguk. Kalau Adila dengan Bahar pulak, dah memang duduk rumah mak,
abah… Anis nak risaukan apa lagi?” Iman Anas menyoal juga walaupun mata masih
tertumpu pada laporan yang sedang disemak buat sekian kali sebelum dihantar.
“Abang ni, kalau bercakap… suka sangat
tak tengok muka orang kan? Tak elok tau asyik buat macam ni selalu!”
Tidak menjawab soalan Iman Anas, Anis
membebel pula.
Iman Anas menarik senyum nipis. Kini
matanya berlabuh pada wajah Anis yang sudah disinggah muncung itik itu. Selamba
tangannya mencuit bibir Anis sehingga terdengar dengusan kecil yang dilepaskan.
“Apa dia, isteri abang sayanggg…
sekarang mata abang betul dekat muka Anis, dah boleh bercakap kan?” Iman Anas
mengusik. Tetapi tidak cukup untuk meredakan muncung itik di hadapannya itu.
“Abang ni tak serius langsung!”
Eh, marah pula Anis ni.
“Iyalah, abang serius…” Merendah nada
Iman Anas. Dia sudah tahu sangat apa yang hendak dibicarakan oleh Anis. Mudah
sangat untuk ditebak. Lantas ditarik lengan isterinya itu dan dibawa duduk di
sisinya. Wajah Anis yang gusar itu ditepuk perlahan, penuh kasih.
“Kalau bab Asma tu, abang boleh sokong
lagi. Mak abang pun tak kisah sangat. Cuma masalahnya, Qaiser tu… tak tahu apa
yang ada dalam fikiran dia. Bila mak tanya, langsung tak mahu mengaku. Susah
jugak macam tu…”
Anis pula mengeluh. “Anis pun pening
jugak… tak tahulah apa yang ada dalam hati budak-budak ni.”
“Yang Adila ni pulak…” Anis kembali
hendak menyambung kata. Tetapi, Iman Anas pantas memotong bicara.
“Kalau part Adila ni, memang
salah Anis!”
Terus Anis dipersalahkan.
Anis terpinga-pinga. “Kenapa pulak?”
“Abang dah nasihatkan, jangan nak main
usik-usik hati budak tu dengan benda yang bukan-bukan. Anis langsung tak dengar
cakap abang kan… sekarang tengok, dia telefon Anis, menangis-nangis… Anis nak
buat macam mana? Bukannya Anis boleh dapatkan Anas untuk dia.”
Marah sungguh Iman Anas. Dia sememangnya
langsung tidak pernah bersetuju setiap kali bibir Anis mengusik Adila dengan
ayat ‘terbabas’ itu. Siapa sangka, hati si gadis mentah itu benar terbabas pada
si kumbang yang bakal menjadi milik orang.
“Dah, Anis pergi tidur… bangun esok
pagi, boleh sambung bincang lagi pasal benda ni.” Tegas pula Iman Anas
mengarah. Dia tahu, kalau melayan emosi Anis yang risaukan adik tengah-tengah
pagi buta ini, pasti boleh meleret sehingga ke esok pagi.
Iman Anas sudah kembali meneruskan
kerjanya. Manakala Anis masih di sisi sambil mengerutkan dahi. Memikirkan
andaian yang mungkin tidak akan difikir sama sekali oleh Iman Anas. Iyalah,
suaminya itu kan protective terlebih. Langsung tidak membenarkan dirinya
mengeluarkan sebarang fakta cinta yang berkemungkinan akan menjejaskan prestasi
kecemerlangan pelajaran Adila.
“Fikir apa lagi ni?”
Soalan itu menyentakkan Anis. Tetapi
sempat lagi Anis menarik sengih kelatnya.
“Err… Anis terfikir, abang tak rasa ke…
mungkin Anas sukakan Adila.”
Selesai menyebut andaian itu, Anis
terpaksa mempamerkan sengih lebarnya. Sangat pura-pura. Semuanya kerana tidak
mahu Iman Anas marah. Sudahnya, Anis mengetap bibir sahaja. Iman Anas sudah
menjeling tajam dengan pandangan kurang bersetuju dengan idea kreatif yang
dijana mindanya.
“Jangan nak sebarkan benda bukan-bukan
ni kat Adila. Abang tau, siap Anis!!!”
Untuk ugutan itu, Anis laju meminta diri
berlalu ke bilik tidur. Buat apa hendak menempah nahas mendengar kuliah Iman
Anas. Boleh tahan sangat kalau yang bersyarah itu, Encik Iman Anas, zoologi
yang bakal menamatkan pengajian doktor falsafahnya dalam sedikit masa sahaja
lagi.
Sebaik sahaja Anis hilang di ruang bilik
itu, spontan jemari Iman Anas mulai memicit dahi. Fakta yang cuba diutarakan
Anis sebentar tadi sudah menganggu mindanya. Sukakah Anas dengan Adila? Tidak
cukup dengan itu, fikiran mulai dipenuhi oleh wajah Qaiser dan Asma. Mahukah
Qaiser dengan Asma, atau sekadar perasaan emak sahaja yang mengesyaki Qaiser?
Pening pula Iman Anas.
Pening memikirkan dua adik perempuan
yang mungkin bakal menjadi mangsa mainan perasaan oleh si lelaki yang juga
mungkin tidak sedar.
Kasihan Asma. Kasihan Adila. Dan… mata
Iman Anas sudah merenung tepat ke ruang pintu. Tegak jasad yang keluar dari
bilik itu tadi. Merenungnya dengan rasa risau yang tidak mampu disembunyikan
sama sekali. Kasihan juga Anis…
_________________
komen sangat dialu-alukan :)
Best nak lagi.
ReplyDeleteBest sgt...nk lg
ReplyDeleteingt citer ni nak smbung pasal qaiser n hanina tu.. x eh? kalau qaiser dgn asma mmg saya pngkah awal2 la. tp still akan follow la citer ni sbb suka adila n anas. teruskan usaha ye cik writer :)
ReplyDeletewe will see... qaiser suka siapa sbnrnya ;) too early to jump into conclusion. heh. thanks :)
Deleteheheh..ade sambungan..nice...xkn la anas nk putuskan tunang sbb adila..bg adila jumpe hero lain la kak...heheh
ReplyDeletecukupla anis dpt anas... kan. ;)
DeleteBab 1: mula2 nmpk mcm mak qaiser ni xsuke asma jd menantu dia, rupe2nye suka... baik jugak mak qaiser ni...
ReplyDeleteBab 2: kesian pulak kt adila ni... jatuh suka kt tunang orang... senang2 bagi je la tunang anas tu kt kembar dia... anas plk amek adila... hahaha...
Bab 3: WC bace dari bab 1-3, WC dpt rasa macam cite ni kisah cinta 3 pasangan dalam menempuhi jalan cinta masing2... Anis-Iman Anas, Asma-Qaiser n Adila-Anas...
salam, sedikit keliru dgn dua watak bernama 'anas' kat dlm tu. just my opinion. btw, jalan cerita nampak best. keep it up ! :)
ReplyDeleteoh ada sambungan ya..good
ReplyDeletesgt suka pada setiap watak
-chah husain-
Selalu orang tua tahu apa yg ada dalam hati anak sendiri... Qaiser memang suka dgn Asma tapi hati dia takut Asma yg x boleh terima...
ReplyDeleteAnis dan Anas memang seorng abang dan kakak yg bertanggungjawab...
Xtau nk komen pjg2,tp bez
ReplyDelete