Nota kaki: Jangan terkeliru dengan Anas. Seorang Anas dan seorang lagi Iman Anas. ;) Peace, enjoy your reading, and drop by your comments.
Bab 4
CEPAT sungguh berlalu seminggu.
Hari ini sudah kembali ke Jumaat lagi satu. Masih bernafas dia di sini. Masih
berkudrat memasakkan hidangan untuk anak-anak yang dihantar ke taman asuhan
ini.
Jam sudah berdetik ke angka lapan.
Tidak mahu membuang masa, Asma terus ke singki. Isi ayam yang dikeluarkan dari
peti sejuk seawal pagi tadi mula dicuci. Mengikut kepada jadual, hidangan yang
perlu disediakan hari ini ialah sup ayam. Maka, lebih mudah kerjanya.
Beras sudah dibasuh dan dimasukkan
ke dalam periuk nasi. Sekali tekan sahaja, periuk sudah mula menjalankan
tugasnya sendiri. Tiada apa yang susah dengan kerja yang dilakukannya kini.
Untuk itu, Asma bersyukur. Dia masih mempunyai ruang untuk bekerja tanpa
menyusahkan sesiapa.
“Dah mula masak ke Kak As?” Aqila
yang menyinggah di dapur, sempat menyapa.
“Baru nak mula. Dah siap awal, nanti
pukul sebelas dah boleh makan. Aqila nak air panas kan, akak dah tuang dalam
termos. Bawa naik ke atas terus.” Pesan Asma sebelum mencapai bawang di dalam
bakul kecil yang terletak di atas peti sejuk.
Aqila tersengih. “Lupa tadi nak bawa
naik atas.”
“Baby
tidur ke?”
“Mana nak tidur akak... silap-silap,
kita ni yang mengantuk sementara nak tidurkan diorang tu.” Sempat lagi Aqila
menguap kecil sebelum mencapai termos air panas.
Asma tersenyum sahaja melihat gadis
yang berusia 21 tahun itu. Sudah setahun berkhidmat kepada Hanina di taska ini.
Hanina juga siap memuji, katanya Aqila memang sangat boleh diharap untuk jaga
anak kecil. Mudah sahaja gadis itu menguruskan empat orang bayi yang dihantar ke
taska itu.
Tapi, ada waktu yang Aqila tak
menang tangan juga. Jadi, Asma akan tolong juga apa-apa yang patut walaupun
Hanina dengan tegasnya mengingatkan, “Awak tu buat kerja memasak aje. Tak payah
nak susah-susah naik turun tangga tu nak menjenguk baby. Kalau awak terjatuh ke, terguling ke, baby awak tetiba terkeluar
ke... saya jugak yang nak kena hentam dengan Qaiser. Jadi tuan puteri Asma...
duduk bawah ajelah ye.”
Titipan kata Hanina yang selalu
bergema di gegendang telinga.
Titipan kata yang tiba-tiba
mengenangkan diri kepada seseorang itu.
“Hisy... melayan fikir pasal dia,
satu kerja pun takkan siap!!!” Asma berkata sendiri.
“Fikir siapa tu Kak As? Abang handsome yang selalu jenguk akak tu ke?”
Wajah Asma terasa membahang. Matanya
perlahan saja mengerling ke sisi. Senyuman nakal Aqila singgah di ruang mata.
Sekali dengan kenyitan mata yang penuh usikan itu. Makin tidak tentu arah Asma
dibuatnya.
Bibir diketap kuat. Malu!
Lebih pada rasa malu dengan Aqila,
dia terasa malu dengan diri sendiri. Terlebih-lebih teringatkan seseorang itu. Stop it Asma!
PETANG sudah
mengorak bayangnya. Anak-anak di Taska Pelangi milik Hanina sudah pulang ke
rumah.
Sudah hampir sejam juga dia berdiri di muka
pintu ini. Menanti sesuatu yang menghantui minda sejak pagi lagi. Bayangan yang
selalu menjengah, tidak kunjung tiba. Mana dia pergi? Gumamnya sendiri.
Sudahlah minggu lepas, tidak muncul juga
wajah itu. Langsung tiada kiriman mesej atau panggilan untuk memaklumkan kepada
dirinya. Dia hanya mendapat tahu, lelaki itu sibuk di kolej apabila dimaklumkan
oleh Hanina.
“Termenung… termenung… ingatkan siapa
tu?”
Bahu Asma dicuit.
Asma pantas melemparkan pandangan ke
sisi. Hanina sudah bersandar pada dinding sambil merenung jauh ke dalam
matanya. Gadis itu berusaha untuk membaca apa yang berada di hatinya. Asma tahu
akan itu. Lihat sahaja bagaimana tajamnya renungan yang cuba menembusi dinding
hatinya.
“Asma… kenangkan siapa ni?” soal Hanina
lagi. Penuh usikan. Penuh ramalan. Cuba ditebak berkali-kali, asyik tidak
mengena. Apa yang tersembunyi dalam hati Asma, langsung tidak dapat diteka.
Bila disoal, asyik mengelak.
“Langit mendung, macam nak hujan kak…”
Pandai sahaja Asma menukar topik yang cuba dibuka oleh Hanina. Melihat senyuman
nakal di wajah Hanina itu pun, Asma sudah dapat menjangka.
“Langit mendung apanya… jangan nak
pusing ceritalah!”
“Asma masak kari kepala ikan, akak nak
rasa tak? Semalam terdengar macam ada orang tu teringin nak makan…” Asma masih
hendak mengelak. Cuba mengembalikan usikan itu kepada Hanina pula.
Hanina menjeling manja. “Suka sangatkan
bantutkan mood detektif saya… haih, kalau tak kerana kari kepala ikan
Asma yang super awesome tu, jangan haraplah awak akan terlepas daripada
soalan saya…” Hanina tertawa. Cuba menutup kecewanya. Sekaligus meredakan resah
di jiwa Asma.
Keduanya sudah hendak melangkah masuk ke
dalam. Namun, terhenti langkah mereka dengan bunyi enjin kereta yang berhenti
di hadapan pagar itu. Orang yang pertama berpaling, tentulah Asma. Melihatkan
luaran kereta sahaja sudah cukup untuk membuatkan dia tersenyum ceria. Langsung
tidak dapat disembunyikan riak itu.
Tidak sedar, dirinya terus diperhati
oleh insan di sisi.
Hanina sudah melirik senyum yang tidak
diketahui makna. Hati mulai mengumam. ‘Pandai betul kau sembunyikan hakikat tu
daripada aku, Asma… masih hendak berselindung walaupun ia jelas terpancar di
raut wajah.’
Dan dibalik cermin kereta, ada sepasang
mata lagi yang menghayati panorama itu. Qaiser makin keliru. Melihat riak
gembira di wajah Asma yang langsung tidak pernah dikesan sebelum ini, hanya
mencambahkan rasa bersalah. Bukan ini yang dipinta.
Terngiang pula suara tegas Iman Anas
yang juga terselit amaran buat dirinya.
“Kalau betul ikhlas nakkan Asma, cakap
elok-elok dengan mak. Tapi jangan pulak kau patahkan hati dia, silap-silap ada
tulang kau pulak yang aku patahkan! Kau pun adik, Asma pun adik... aku tak nak
tengok ada muka yang kecewa. Kalau tak berkenan, jangan lebih-lebih menyemai
harapan.”
Suara Iman Anas yang cukup garang itu
bersilih ganti dengan kata-kata Anis pula.
“Kalau Qaiser tak suka, saya faham… dan
kalau sempat untuk mengelak, baguslah. Saya dengan Iman risaukan adik-adik
kami.”
Aduhai, banyak sungguh manusia yang
terlalu risau akan keadaan hati adik masing-masing. Qaiser pula? Risaukan
siapa? Diri sendiri atau orang lain? Aduh… payahlah pula.
Kenapa dari mula dia tidak sedar, dia
tidak perlu untuk menjadi watak utama dalam diri Asma. Dan kini, begitulah
wataknya.
Lambat-lambat sahaja langkah yang diatur
keluar dari kereta. Dan kini dirinya sudah menjadi tatapan dua gadis di
hadapannya ini. Kedua pandangan yang mempunyai maksud tersendiri. Yang nyata,
mampu difahami.
“MAKANLAH lagi… banyak jugak saya masak ni.”
Asma sudah mencapai pinggan Qaiser untuk
menambah nasi. Tetapi Hanina cepat lagi mencelah, hendak menduga hati-hati yang
sedang berdolak-dalih di hadapannya. Entah kenapa, hatinya sakit pula
tiba-tiba.
“Biar saya buat.” Dengan senyuman Hanina
mencapai pinggan yang dipegang oleh Asma. Riak wajah kelu yang terukir pada
wajah itu, cuba tidak dipedulikan. Qaiser yang duduk di antara mereka tidak
menghalang. Mata itu sekadar memerhati sahaja. Tidak pula Hanina mengesan
sebarang riak tidak suka yang terpamer di wajah Qaiser. Untuk itu, dia berasa
lega.
“Lama ke awak dekat sini?” soal Hanina ketika
menghulurkan pinggan yang sudah berisi nasi kepada Qaiser.
Qaiser tersenyum nipis menyambut huluran
itu. Memikirkan berapa lama dia akan berada di sini… dia sendiri keliru.
“Mungkin esok pagi dah kena gerak balik.” Itu pula jawapan yang diberi. Padahal,
selalu dia akan bermalam dua hari di Shah Alam.
“Kenapa sekejap sangat?” Nada Hanina
mengendur.
“Datang ni pun, nak sampaikan amanat
dekat awak. Ada benda yang saya nak minta awak tolong uruskan… Boleh Nina
tolong saya?”
“Tolong apa?” Hanina menyoal dengan
teruja. Tumpuan Qaiser yang sepenuhnya buat dirinya menggamit rasa. Terlupa
seketika pada Asma yang sedang berada bersama mereka.
“Kejap lagi boleh kita keluar?”
Spontan renungan Asma terpahat pada
wajah Qaiser. Soalan itu bukan diajukan kepadanya. Pasti bukan. Dan kenapa ada
rasa tidak senang pula, sedangkan dia tidak perlu untuk berperasaan begitu.
Melihat Qaiser dan Hanina yang asyik
berbual, mindanya mulai bergayut di awangan. Yang tidak-tidak sahaja menyinggah
di fikiran.
Apa sudah jadi dengan kau ni Asma?
Qaiser itu cuma abang! Tidak lebih
daripada itu. Asma yakin!
Tapi...
“Asma... dah ke mana aje awak ni? Saya
dengan Qaiser nak keluar sekejap lagi, awak tak apa kan tunggu seorang?”
Soalan Hanina bergema, menyentakkan
lamunan Asma. Terpinga-pinga dia seketika. Berkecil juga hati kecilnya apabila
Qaiser sudah berlalu ke depan. Dia sendiri tidak sedar, kedua insan itu sudah
siap meletakkan pinggan di singki. Lama benarkah dia mengelamun sendiri?
“Asma...” Hanina memanggil lagi. Asma
hanyut berkhayal lagi!
Asma tersenyum nipis.
“Pergilah akak... saya okey. Kalau tak
okey, saya boleh call ke, kacau orang
tu dating?” soal Asma cuba bersenda.
Entah menjadi atau tidak cubaan untuk bersendanya. Senda yang menoreh hati
sendiri. Baik tak payah!
Namun Hanina, tersenyum kecil. “Kalaulah
betul apa yang awak cakap tu, kami berdua dating,
sayalah orang yang paling bahagia kalau benda tu jadi.”
Senyum tawar terus teroles di bibir
Asma. Dia sendiri mulai sedar, ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya. Dan
sesuatu itu, benar-benar perkara yang tidak wajar!
Mata yang sudah berkaca itu mengekor
langkah Hanina yang mulai hilang jejaknya.
Bab
5
“ASMA tak telefon?” Soalan Encik Bohari
membuka bicara di ruang makan itu. Sekejap lagi dia harus ke tempat kerja
semula. Bekerja pada shift malam
pula. Bertugas sebagai sekuriti yang telah lama menjadi punca rezeki keluarga
mereka.
“Semalam
ada telefon. Hari ni, tak lagi. Sekejap lagi kot...” Puan Amina membalas sambil
tangannya cekap menyendukkan nasi. Bahar sudah mula menyuap nasi ke dalam
mulutnya. Adila pula, masih berkhayal, tidak tahu fikirkan apa.
“Adila...
bila tahu result untuk masuk
matrikulasi?”
Renungan
Encik Bohari tepat pada anak gadis yang tunduk menekur nasi itu. Sah! Adila
memang tak dengar soalan yang diajukan. Entah apa yang difikirkan. Sejak
seminggu yang lalu, tingkah Adila begitu aneh.
“Adila
ni kenapa? Ada masalah ke?” soal Encik Bohari terus kepada Puan Amina.
Isterinya turut memberikan pandangan yang tidak punya jawapan.
“Adila...
abah tengah tanya ni, fikir apa pulak tu?”
Dan
Adila masih tidak sedar nampaknya. Bahar yang seronok menyuap nasi, terpaksa pause seketika untuk menyedarkan
khayalan Adila. Berkhayal yang tidak menemui titik noktah nampaknya. Walaupun
dia sendiri tidak tahu, berkhayal tentang apa. Makanan sedap-sedap di depan
mata, ada masa untuk berkhayal pula!
“Akak...
abah tanya tu!” Bahar sudah menyiku Adila di sebelah. Mujur tidak terhantuk
muka di meja dalam keadaan tidak sedar. Kelam-kabut matanya melirik ke kiri dan
kanan.
“Hah?”
“Abah
tanya... akak ni ada masalah ke?” Kuat suara Bahar bergema.
Terasa
berdengung telinga Adila. Besar sungguh suara Bahar.
“Masalah
apa?” Kening Adila bertaut. “Tak ada masalah apa pun...” Resah nada Adila.
“Abah
sekali pandang aje dah tau. Muka Adila kenapa lain macam aje? Kerja teruk
sangat ke? Atau ada orang yang duk kacau Adila dekat sana? Kalau ada, bagitau
abah... tak pun pergi aje report
dekat pengurusan. Benda-benda macam tu, tak boleh dipandang remeh. Adila tu
perempuan... kalau jadi apa-apa, susah.” Panjang lebar Encik Bohari
menyampaikan pesan.
Apa
yang telah berlaku kepada Asma, membuka matanya lebih luas daripada dahulu.
Kalau dulu pun, dia sering memantau aktiviti anak-anak. Kali ini, dia harus
lebih teliti dengan semua. Saham dosa pahala dalam keluarga, berada di atas
bahunya sebagai ketua keluarga.
“Sorry abah...” Adila cuba mempamerkan
senyuman tawar. Biarlah setawar mana pun senyuman di bibir itu, akan cuba
diukir juga. Cukup untuk pastikan abah tidak risaukan dirinya.
“Adila
okey... risau fikir keputusan matrikulasi, keluar dua minggu lagi. Tak tau
nanti dapat ke tak...” Alasan yang berjaya dihadiahkan untuk membungakan
senyuman di wajah Encik Bohari.
“Tak
payah nak risau lebih-lebih sampai monyok muka depan rezeki. Ada rezeki,
insya-Allah, adalah untuk Adila. Kalau tak dapat, jangan risau... ada jalan
lain pulak. Kita ni kena banyak beringat, kunci nak capai kejayaan tu, bukan
satu aje. Jadi, kita sebagai manusia... jangan sempitkan otak, kalau dah gagal
satu kunci... kita kena tau, masih ada kunci lain yang kita boleh cuba... yang
penting, usaha!”
“Adila
ingat abah...” Adila mengangguk menerima buah nasihat oleh Encik Bohari.
“Ingat
tu kak... depan rezeki tak boleh monyok-monyok. Rezeki pun lari nanti...”
Spontan Bahar melarikan sepinggan sotong goreng celup tepung yang berada di
depan Adila. Bibir anak teruna itu tersenyum nakal, cuba untuk bersenda dengan
kakaknya. Tapi hampa, Adila langsung tak menghayati humor yang ditayangkan secara percuma olehnya. Cis!
PINGGAN yang sudah siap dicuci, mula
dialihkan ke dalam bekas yang tersedia di sisi singki. Dibiarkan di situ untuk
seketika. Tangan juga mulai panjang mencapai gelas untuk diisi air kosong.
Sambil menarik kerusi kosong di dapur, Adila mencapai sebiji pisang yang terletak
di bawah tudung saji.
Walaupun
konsep dah salah, makan buah lepas makan nasi, tapi biarlah... dia fikir, asal
cukupkan kouta untuk makan buah hari-hari sudah cukup.
Sambil
makan pisang pun, mindanya sudah mula hendak melayan angan-angan yang tidak kesampaian.
Sampaikan tidak sedar, Puan Amina dah bercekak pinggang di sisinya. Tersedak
Adila, mujur tidak tercekik pisang dek kerana terkejut.
“Ni
kenapa pulak? Pelik sangat mak tengok...”
“Tak
pelik apa pun mak. Makan pisang aje, pelik ke?” Jawapan Adila dengan ketawa
palsunya, terserlah sungguh kepura-puraan di situ. Berusaha untuk mengelakkan
diri daripada terus diasak soalan yang bakal menjerat diri.
“Jangan
nak tipu mak... Mak dengar minggu lepas. Adila telefon Anis, siap menangis-nangis.
Sebab apa tu? Risaukan keputusan masuk matrikulasi sampai menangis macam tu?
Jangan nak kelentong maklah...” Perli Puan Amina sebagai langkah untuk menebar
jala. Nak pancing ikan kecil di depannya ini untuk berbicara, tidaklah sesukar
mana. Sebab, Adila memang pantang diacah.
Dan Adila memang cepat melatah kalau
diacah. Tengok muka yang dah berubah warna pun, Puan Amina sudah tahu bahawa
jeratnya mengena.
“Ma... ma... mana ada orang menangis
mak. Mak ni... pandai aje nak kenakan Adila.” Lengan Puan Amina dicuit manja.
Gelabah begitu terserlah namun Adila berusaha untuk tersenyum.
Habis? Takkan nak mengaku dengan
emaknya, dia menangis sebab... sebab... Anas!
“Mak memang dah berumur... tapi mak tak
pekak lagilah. Lainlah kalau Adila harap mak jadi pekak. Buat tak dengar aje
dengan masalah anak-anak mak... muda-muda lagi dah ada masalah. Masalah apa
yang besar sangat tu... masalah cinta?” Sedang asyik Puan Amina membebel.
Tiba-tiba matanya menjadi luas sendiri. Terpaku mata itu pada wajah Adila yang
kelihatan begitu gugup.
Takkan???
“Masalah cinta???” Dan menaik volume Puan Amina.
“AKAK... mak suspek Adila ada masalah
cinta. Mak dah marah-marah tadi. Macam mana ni?” Adila mula merengek pada
corong telefon. Makin panjang rengekan itu apabila tidak menerima sebarang kata
balas daripada Anis.
“Akak
janganlah senyap macam ni... Adila nak kata-kata semangat akak. Adila tak tau
pulak boleh tersuka dengan Anas sampai macam ni...” sambungnya lagi. Apalah
nasib badan, belum bercinta lagi, sudah patah hati.
Patah
sendiri, tiada yang sudi mengubati.
“Akak...”
Adila
bingung. Kakak Anisnya itu, sengaja pula mendera jiwanya yang sudah memang
cedera parah. Pura-pura tidak mahu bersuara pula. Kenapa?
“Ak...”
Belum pun dia menyudahkan kata. Telinganya sudah menangkap sebaris kata.
Matanya sudah membulat. Mulutnya ikut ternganga besar. Ditekup mulut itu
sendiri sambil mata sudah berlari pada skrin telefon.
Alamak!!!
Tersalah
dail nombor???
“Jatuh
cinta dengan siapa Adila? Anas?”
Dan
Adila tahu, dia tak suka hendak menjawab soalan itu. Walaupun yang tukang
bertanya, pasti akan menuntut jawapan tidak kira sesukar mana sekalipun.
Bab
6
ANIS
cuba menyibukkan diri.
Konon hari itu dia tersangat busy,
sampaikan nak jawab hai daripada Iman Anas pun, tak sempat. Bertambah-tambah
sibuk dirinya bila Iman Anas buka bicara tentang topik yang akan menyebabkan
dia kena marah!
“Anis...
abang tanya ni.”
Dan
ditanya pula dengan suara Iman Anas yang sangat tidak mesra telinga
intonasinya. Anis cuba tersengih lebar. Nak mengalihkan topik pun, kena bijak.
Tak boleh gelabah badak!
“Sarapan
abang dah siap. Abang nak makan sekarang pun boleh. Nak makan lepas setengah
jam kemudian pun boleh. Abang nak on diet
tak nak ambil breakfast... pun, boleh.”
Iman Anas yang dari mood serius pun
sudah tertukar haluan. Bibir melirik senyum nipis. Kartun betul perangai bini
macam ini! Tak menyempat untuk dia membuka bicara, Anis sudah berpaling. Mata
dan kakinya sudah ikut sama langkah itu. Dan mungkin Anis tak sedar.
Anis terus berpusing dan melangkah ke
arah tandas. Mujur juga kain sudah siap dibasuh dan diletakkan dalam bakul
supaya tersejat air. Rajin pula hari ini nak menjemur kain pagi-pagi.
“Ingat rumah ni besar sangat ke, Anis
nak lari daripada soalan abang.”
Sedap sahaja Iman Anas sudah
menyandarkan badan pada dinding tepi tandas. Anis dilihatnya tersengih lagi. Memang
sah tak ada modal lain untuk menukar topik.
“Kira okeylah tu, Anis lari daripada
soalan abang. Kalau lari daripada abang? Tak ke naya... duduklah abang dekat
Sandakan ni sorang-sorang. Orang balik Taiping dengan hati yang girang...” Anis
tersengih lagi membalas kata. Tapi silap besar. Iman Anas sudah mula
menghadiahkan pandangan berkuasa laser. Terus tertunduk menekur lantai.
“Teringin nak balik sana sorang-sorang?”
Soalan Iman Anas dengan nada dingin ais batu.
“Tak nak pun...” Merendah sahaja Anis menjawab.
“Habis, nak apa?”
“Nak jadi isteri solehah Abang Iman.”
Polos jawapan itu diberi.
“Nak jadi isteri solehah, tak boleh lari
daripada jawab soalan. Sekarang ni jawab dengan tulus ikhlas... Anis ni nak
menyokong ke tidak usaha abang supaya Adila lupakan Anas?”
“Anis ada pilihan ke untuk tak sokong?”
Perlahan soalan itu diajukan. Dan Anis tahu, sekali lagi dia hanya akan dibaham
oleh jelingan tajam Iman Anas. Laju lagi dia mencicit ke arah ampaian.
Iman Anas nyata tidak akan melepaskan
topik perbincangan mereka pada hari ini dengan begitu mudah. Lelaki itu sudah
mencapai sehelai baju dan dibantu untuk menjemur bersama.
“What
Adila need is, your support. Dia bukannya tangkap cintan sangat pun dengan mamat
Anas tu. It is just affection.
Normallah tu, umur-umur macam Adila tapi kalau dah kecewa macam tu, kita yang
dewasa nilah kena bertindak. Bagi nasihat yang sepatutnya, bukan bagi semangat
dan inspirasi yang bukan-bukan...” Menyindir Iman Anas di hujung kata. Tiada
orang lain yang hendak ditujukan kata itu. Khas buat Puan Anis terchenta.
Anis mencebik.
“Abang ni... Anis memang nasihatkan dia
suruh lupakan Anas.”
“And
you should stop right there without any addition. Bukannya terus merasuk
minda Adila dengan Anis punya andaian kalau-kalau tu...” Iman Anas membidas. Sungguh
itu yang buat dia rasa nak marah.
Terhenti gerakan tangan Anis yang sudah
mencapai penyangkut untuk menyidai baju. Wajah Iman Anas, sekali pandang pun
dia tahu. Lelaki itu sebenarnya sangat marah dengan kalau-kalau yang
diperdengarkan kepada Adila. Ya, dia tahu, dia salah. Tapi...
“Kalau-kalau Anis tu, kalau betul?”
Dibalas juga dengan rasa geram.
Iman Anas tersenyum sinis.
“Masih berkalau... peratusan untuk
betul, less than one percent! Hidup
ni tak boleh nak berandaian sangat. Lagi-lagi dengan hal melibatkan perasaan.”
“Tapi kalau tak diandai, mana nak tahu
keputusan? Abang buat kajian kan... takkan tak tahu. Tak ada andaian, tak ada
permasalahan, tak ada hipotesis, tak ada la keputusan. Eksperimen bukan dalam
dunia saintifik abang aje... kehidupan sebenar pun, ada jugak eksperimennya.
Abang bukannya nak ambil tau tu semua...” Anis merengus kecil di hujung kata.
Pagi yang indah, dimulakan dengan mouth fighting pula. Bagus sangat!
“Eksperimen apa pulak?”
Iman Anas sudah hendak tergelak melihat
mood Anis yang berubah dengan kelajuan roller
coaster gayanya.
“Eksperimen cintalah!”
Dan Iman Anas tak dapat menahan,
terlepas terus tawanya. “Jangan buat lawaklah Anis.”
“Lawak apa pulak? Ingat orang ni badut
upahan ke, nak buat lawak depan abang. Seriuslah ni... kalau tak, tak adalah
novel eksperimen cinta.”
Untuk jawapan itu, Anis menerima tolakan
manja di dahi. “Banyak sangat melayan novel... patutnya tolong abang baca tesis
tu! Baru minda tu menjana idea bernas sikit daripada sibuk nak bereksperimen
cinta...”
Iman Anas terus masuk ke dalam rumah
sambil memerli Anis dengan ungkapan eksperimen cinta itu. Bila matanya
bertembung dengan renungan tidak puas hati si isteri itu, bibir sememangnya
tidak dapat dihalang daripada berkata.
“Eksperimen cinta... mungkin boleh dipraktiklah.”
Anis hampir tersenyum kerana Iman Anas
sudah bersetuju dengan hujahnya. Tetapi, senyuman pun tidak diberi peluang
untuk menyinggah lama.
“Tapi... untuk kita yang dah halal aje.”
Kenyitan mata nakal Iman Anas
menoktahkan topik eksperimen cinta. Berbahang pula wajah Anis menahan malu bila
bibir lelaki itu mula mengusiknya dengan hipotesis dan andaian yang tidak wajar
diungkapkan untuk pendengaran umum.
“Dan jangan ingat sebab eksperimen
cinta, abang nanti lupa macam tu aje pasal topik Adila.”
Anis terus menepuk dahi, tidak sangka.
Laaa... tak habis lagi rupanya.
NOMBOR telefon rumah Puan Rohani tertera
di skrin. Terus dicapai telefon dan dilekapkan ke telinga. Mendengar salam yang
dihulur, bibir mengorak senyum.
“Waalaikumsalam,
mak... apa khabar?”
“Anis...
mak sihat. Iman mana?”
Anis
mula melangkah ke arah sofa dan melabuhkan punggung di situ. Televisyen yang
terpasang, terus dimatikan.
“Abang
Iman ada meeting dengan supervisor dia. Balik petang jugak kot.
Kenapa mak, ada hal nak cakap dengan abang ke?”
“Patutlah...
mak telefon dia, tak dapat. Tak ada apa pun, saja nak berbual... mak sorang aje
hari ni, bosan pulak.”
Terdengar
Puan Rohani melepaskan keluhan.
“Qaiser
pergi Shah Alam ke mak?” Anis menyoal teragak-agak. Sungguh dia berasa janggal
untuk bertanyakan perkara itu secara terus kepada ibu mertuanya.
“Dia
dah balik semalam. Pergi sehari aje dan dia cakap, dia mungkin takkan pergi
sana dah.”
Anis
tersentak.
“Kenapa
mak?”
Telinga
Anis masih menangkap keluhan panjang yang dilepaskan oleh Puan Rohani. Bunyinya
begitu berat sekali. Tidak tahu kenapa, tapi hati Anis terasa berat sama.
“Dia
dah cakap dengan mak...” Puan Rohani berjeda seketika. Mungkin mencari ayat
terbaik untuk ditutukan buat pendengaran Anis. “Dia tak nak dengan Asma... Mak
minta maaf, Anis.”
Anis
tersenyum kelat. Walaupun dia tidak mampu mengandaikan jawapan terbaik bagi
pihak Asma, tetapi Qaiser ada hak untuk memilih juga. Qaiser seorang lelaki
yang baik. Sememangnya sungguh baik!
“Mak
tak perlu minta maaf dengan Anis. Bukan jodoh Qaiser dengan Asma. Lagipun mak,
Qaiser boleh dapat yang lebih baik... Asma kan...” Anis tidak meneruskan kata.
Tidak sanggup untuk mengungkapkan lagi
apa yang pernah terjadi kepada adiknya itu. Dan ia memang salah Asma juga.
Untuk itu, mungkin ini jalan yang perlu dilalui oleh gadis itu. Melahirkan
seorang anak tanpa status yang sah.
“Anis... anak mak bukan macam tu. Qaiser
takkan tolak Asma hanya kerana tu. Dan mak sendiri pun, takkan menghalang kalau
itu yang dia suka. Tapi dia cakap, mak salah faham, mak salah tafsir
pertolongan dia sebagai seorang abang, tapi... Balik semalam, dia berkurung aje
dalam bilik, tak cakap apa pun. Apa maksudnya tu? Mak yang tersalah tafsir ke
Anis?” Pertanyaan ditujukan buat Anis.
Dan Anis juga kelu. Tidak tahu apa
jawapan yang patut diberi.
Dalam masa yang sama, mindanya diketuk
dengan wajah Asma. Apa pula yang berada dalam fikiran gadis itu? Juga Anis
tidak tahu.
bila nxt n3 ????
ReplyDeleteBab 4: Oh oh... nampaknya asma dah tersangkut kat qaiser... pertolongan ape la yang qaise nak minta kt hanina t eh...
ReplyDeleteBab 5: Mesti Adila ersilap dial no anas... kantoi sudah... hahaha
Bab 6: Ape la yang ada kt dalam hati qaiser tu? Betul ke dia anggap asma mcm adk je?
Aku plak yg emo bc..sian asma..
ReplyDeleteQaiser tgh keliru tu..bg masa k..
aish.....complicated betul masalah adik2 anis n iman ni...ape jd kt qaiser...kalau die dah pilih xnk ngn asma kenape mcm frust plak ni..adeh
ReplyDeleteinteresting. tggu dan lihat qaiser pilih sapa. i always vote for hanina. :)
ReplyDeletewe should give hanina chance rite ;) hehe
Deletesebenarnya Qaiser tu keliru dan x yakin pada diri sendiri... kalau betul x nak kenapa nak kurung diri... hehehe
ReplyDeletemak sendiri pun naik pening dgn Qaiser ni...
tengok abang yang macam singa pun boleh Anis jinakkan... hehehe
Bila baca bab yg ada iman n anis ni,iman anas dh pandai brgurau,mengusik rupanya...sian asma,qaiser tu anggp dia adik je,tp napa mcm dia keliru antra nina n asma?sama dgn anas,dia pn dh keliru dgn prasaan sndiri
ReplyDeleteCter2 sha ni tk wat drama ke? mcm best je.... plg best sha shah!
ReplyDeletetq for reading my story :) btw, its umi.
DeleteBagilah qaiser pilih asma, sian bb nnti lahir tk berbapa.... takpun mgkin kah sha akn wjudkan kmbali watak anas yg satu lg tu?
ReplyDeletejln cerita makin menghiburkan dan best tapi saya rasa garapan cerita tak cukup kuat seperti sebelum ini..
ReplyDeletehanina patut diberi peluang, kalau asma dgn qaiser jugak tak berkembang la keluarga diorang and
adila pun patut dijauhkan dari anas kerana kembar anas kan telah merosakkan asma..kesian asma terpaksa menelan hakikat
-chah husain-
http://shopingsakanmurah.blogspot.com/2014/01/pisau-seramik-yang-super-dupper.html?m=1...pisau stenless steel corak bunga
ReplyDelete