Skip to main content

Klik [5]

Bab 22
"MUMMY... dah siap ke belum?" laung Adam dari ruang tamu. Lambat benar rasanya mummy nak berdandan. Rasanya sudah hampir sejam dia menunggu mummy di ruang tamu.
            Mummy turun dengan tergesa-gesa. Adam yang memandang mummy terbeliak biji mata.
            "Mummy!!!" Adam sudah mula menggaru kepala. Mummy tak siap lagi. Apa sajalah yang dibuat oleh mummy selama sejam tadi.
            "Give me ten minutes... mummy akan siap!" ucap mummy sambil tersengih dengan wajah tidak bersalah. Adam sudah menjeling-jeling manja.
            "Cepat siap, kalau tak Adam tinggal...," ugut Adam.
            "Eh... mana boleh, kata nak jumpa calon menantu... mummy mesti kena ikut!" balas mummy tidak puas hati. "Sekejap saja, mummy siap ya!" terus saja mummy melangkah ke atas meninggalkan Adam di ruang tamu.
            Adam duduk bersandar di sofa. Matanya ditala ke siling. Fikirannya melayang. Gila bayang kot! Daripada hari tu beria-ria konon tak nak pergi rumah Pah. Akhirnya... dia memasang tekad. Peluang keemasan jangan dilepaskan. Ajak mummy sekali supaya nampak keikhlasan. Boleh guna pakai ke taktik ini?
          Teringat pula gaya Faizul menyiasat ala-ala detektif tak bertauliah bertanyakan padanya, kenapa tak nak pergi? Bila bibir ini selamba saja cakap entah. Faizul dah mula menyembur tak henti-henti.
            "Aku dah agak dah! Kau ni memang bukan serius nak dengan Pah... hari tu cakap ikhlaslah, sayanglah... dia lainlah... sekarang??? Dah jumpa awek lama, dan-dan nak tukar angin. Patutnya aku letak jawatan aku jadi agen cari jodoh tak rasmi untuk kau. Penat saja aku duk usahakan supaya kau dengan Pah boleh ngam!!!" bebel Faizul tanpa henti. Adam terkedu, tak sangka Faizul ada bakat membebel macam ini. Mummy pun boleh kalah.
            "Apa kena mengena tak nak pergi majlis ni dengan hal Pah?" soal Adam bendul.
            "Kau tanya apa kena mengena??? Kau tau tak betapa pentingnya kehadiran kau dalam majlis ni," eceh! Apa yang Faizul duk temberang pun tak tahulah. Adam mengangguk saja.
            "Kalau kau pergi... kau dapat pikat hati family Pah. Ajak mummy sekali... boleh berkenal-kenalan. Ibu pula gila punya duk sayang kat kau, siap bagi special invitation lagi... kalau kau tak pergi, gerenti orang lain akan masuk line... lepas tu kau jangan duk berangan nak kahwin dengan dia!!!" mendengarkan ayat itu, terus Adam jadi kelam-kabut.
            "Eh... aku nak kahwin dengan dia!" ucapnya tegas.
            "Kalau rasa nak kahwin... pergi rumah dia hari minggu ni. Nah alamat! Aku tau, aku nak tengok muka kau kat Hulu Langat hari Ahad ni!" kertas yang bercatat itu diambil dan disimpan. Batu 10, Hulu Langat.
            "Adam okay tak mummy pakai macam ni?" suara mummy kembali mengalih fikiran Adam. Mummy bergaya sakan dengan kurung moden berwarna ungu muda dengan sulaman manik yang unik sekali. Dipadankan dengan tudung syria warna sedondon. Mummy memang bergaya sungguh.
            "Dah okay sangat mummy...," Adam sudah tersenyum kecil. Agak-agak orang percaya ke mummy dah ada anak sebesar aku? She looks elegant and young.
            "Menantu mummy tu macam mana? Bergaya juga ke? Mummy kena la nampak vogue depan dia... baru sepadan kan?" ucap mummy dengan wajah ceria. Adam tersenyum meleret. Menantu mummy? Erk... dia itu sangatlah simple orangnya.
            "Mummy... dekat sana nanti, please... jangan sebut menantu! Dia tak tahu pun Adam nak pergi ni... ibu dia yang jemput," mummy terus saja mempamerkan wajah blur.
            "Dia tak tahu?" Adam mengangguk. Lama mummy diam dan berfikir, sekejap lepas itu mummy sudah menarik senyuman. Bahu Adam dipukul manja.
            "Pandai ya anak mummy... tackle mak dulu, baru tackle anak ya... tak sabar mummy nak jumpa bakal menantu ni...," ucap mummy dengan teruja.
            "Mummy.... the word!"
            "Okay... okay... mummy jaga mulut. Dah la... jom gerak!" terus saja mereka berdua melangkah keluar dari rumah banglo milik Tuan Fadhil, daddy Adam.
            Kereta terus saja menghala ke Batu 1o, Hulu Langat. Rumah Pah. Adam macam tak percaya. Betulkah dia hendak ke rumah Pah ni? Agak-agak apa reaksi Pah bila tengok dia nanti? Entah-entah aku seorang saja yang tengah excited sangat nak jumpa dia. Perasaan dia macam mana? Adam tidak tahu...


Bab 23
MASING-MASING berpandangan antara satu sama lain. Tiada suara yang lahir dari bibir mereka. Kelu lidah.
            "Adam...," suara rengekan tersebut membuatkan Pah menjeling, menyampah! Entah apa 'untung' sangat nasib hari ini, sehingga dia perlu menatap drama sebabak antara Aliya dengan Adam. Sudahlah kedatangan Adam dengan ibunya membawa satu kejutan besar pada Pah, ditambah pula dengan kehadiran Aliya yang makin menggamatkan 'suasana'. Bibirnya diketap. Geram!
            "Pah... jom!" suara garau yang menyapa membuatkan Adam pula menarik muka. Cemburu bertimpa-timpa bila melihat lelaki yang tidak mahu berenggang walau seinci pun dari Pah. Dia ingat-ingat lupa dengan gerangan itu, siapa dia? Fikirannya ligat mengimbas kembali. Ah! Dia sudah tahu... inilah lelaki yang berlagak tidak puas hati dengannya sewaktu Pah berada di wad. Hafiz namanya. Dia ingat dan sudah pastinya dia takkan lupa. Jelingan tajam dilemparkan saat mata Adam bertemu mata Hafiz.
            "Adam jomlah...," rengekkan Suzana hanya memualkan Adam.
            "You tolong jangan ganggu I boleh tak!" Adam pantas menepis tangan Suzana yang melingkari lengannya. Terus saja dia bergerak mencari mummy. Duduk dengan orang tua lebih bagus rasanya daripada duduk dengan orang muda-mudi ini. Menyakitkan hati saja.
            "Saya nak masuk!" melihatkan Adam sudah berlalu di situ, Pah pun hendak meloloskan diri dari 'cengkaman' Hafiz. Entah siapa yang menjemput anak Tengku ini ke majlis rumahnya, dia tidak tahu. Seingatnya, dia menelefon kak Yati untuk memakluman pada teman-teman UKM tentang majlis ini. Ah!!! Kak Yati... pasti saja kak Yati yang memaklumkan pada Hafiz. Rimas pula Pah tengok muka dia di sini. Berangan nak berkepit dengan aku, jangan haraplah!!!
            Hafiz dan Suzana memandang saja kedua-dua pujaan hati meninggalkan mereka termangu di bawah khemah. Kedua-duanya kemudian berpandangan tanpa kata.
            Tidak mahu menatap wajah Hafiz lebih lama, Suzana bergerak ke arah lain.
            "Aliya...," panggilan Hafiz mematikan langkahnya. Namun tidak pula dia mengalihkan wajah untuk menatap wajah kacak Hafiz itu.
            "Tak sudi cakap dengan saya?" soalan Hafiz mengundang tawa sinis di bibir Suzana.
            "Untuk apa? Supaya awak dapat sakitkan hati saya lagi?" sinis soalan yang diutarakan Suzana. Hafiz terdiam. Mengetap bibir.
            "Dulu awak tak kisah pun... masa kita break," lambat-lambat Hafiz bersuara. Kali ini Suzana alih pandang bertentang wajah dengan Hafiz. Bibirnya mengukir senyuman. Hafiz pula mengerutkan dahi melihat reaksi gadis itu.
            "Jadi awak nak kita couple semula... awak nak kahwin dengan saya? Jom!" Hafiz kembali termangu mendengar kata-kata Suzana. Kenapa dengan gadis ini? Erk! Dia pelik sendiri.
            Sementara itu di dalam rumah, begitu rancak perbualan antara mummy Adam dan ibu Pah. Adam jeling-jeling untuk ajak pulang. Mummy pula buat-buat tidak faham. Tahulah teruja sangat dapat jumpa family Pah tapi kawal sikitlah perasaan tu.
            "Akak... kalau Pah dah pergi kerja, akak dengan suami saja yang duduk sini?"
            "Macam tu lah... nak buat macam mana, anak semua duduk jauh-jauh. Pah yang kerja dekat KL pun nak duduk rumah asing. Itupun, kalau dia ada masa... hujung minggu dia baliklah... kalau tak, jangan haraplah nak nampak bayang dia dalam rumah ni...," terang ibu dengan mesra. Rasanya sudah hampir sejam mereka berdua berbual. 'Masih tak kering dengan topik lagi' desis Adam. Lantas dia pun menarik kerusi dan turut serta di situ.
            Matanya melingas juga mencari-cari kelibat Faizul. Tapi bayang pun tak nampak. Takkan dah balik? Pelik juga. Tapi rasanya tidak pelik mana pun... tetamu sudah makin berkurangan hanya mummy saja yang tak sampai hati nak pulang rasanya.
            "Pah kira anak manja la ye?" mummy dari tadi rasanya asyik bertanyakan tentang Pah. Sudah berkenan sangat agaknya. 'Tapi dia tak berkenan dengan anak mummy lah...' sayu saja bisikan hati Adam.
            "Pah tak manja pun... nama ja anak bongsu... tapi dia tu memang jenis berdikari. Daripada kakak-kakak dia yang lain, dia sorang ja yang awal-awal dah pergi masuk sekolah asrama...," ibu pun melayan saja soalan yang diberikan oleh mummy. Entah apa lagi soalan yang ada dalam kepala mummy, dia tidak dapat nak mengagak.
            "Saya sukalah dengan anak akak... sopan santun. Pandai Adam pilih...," Adam yang disebelah terbatuk-batuk kecil. Mummy... matanya sudah dijegilkan. Mummy pula pura-pura tidak faham. Ibu sudah mula tarik senyum lebar.
            "Kalau....," ibu baru saja hendak menyusun ayat. Pah sudah memanggil. Mata Adam terus saja ditumpukan pada langkah Pah yang mula menghampiri mereka. Dia rindu. Ah! Entah apa-apa saja kau ni Adam... orang tu tak suka pun, kau pula yang rindu lebih-lebih.
            "Kenapa?" soal ibu apabila Pah sudah mendekati mereka.
            "Kak Hanis panggil...," ucap Pah sepatah memaklumkan.
            "Pah duduk sini... sembang dengan ibu Adam," terus tangan Pah ditarik oleh ibu dan dipaksa duduk di situ. Adam dapat melihat dengan jelas keresahan yang terpancar dari anak mata Pah. Mungkin dia tidak selesa. Tetapi mummy... tak usah katalah, semakin teruja. Terus saja dia menggengam tangan Pah.
            Pah tersentak! Erk! Kenapa dia kena duduk dekat sini. Namun dia cuba juga memaniskan muka di hadapan ibu Adam.
            "Mummy seronoklah dapat tengok Pah... Adam selalu cerita," mummy sudah mula berbicara. Adam tersenyum dalam hati. Hai mummy... tak adalah selalu mana sangat Adam bercerita. Pandai pula mummy mereka cipta cerita.
            "Minta maaflah... masa Pah sakit, tak dapat nak jenguk. Adam sibuk... bukan nak ajak mummy datang sekali...," Pah pula kelu lidah. Mesra alam sangat mummy Adam ni.
            "Tak apa...," hanya itu saja yang terluah di bibir.
            "Nanti senang-senang... mummy suruh Adam ajak Pah datang rumah ya... boleh Pah kenal-kenal dengan family kami pula," wajah Pah dah bertukar warna. Kenal-kenal? Dia pantas saja melirik mata pada Adam. Namun Adam sudah mengalihkan wajah ke arah lain.
            Adam mengetap bibir kuat. Bimbang kalau-kalau terlepas tawanya. Dia benar-benar terasa lucu melihat wajah Pah yang berubah warna. Mummy pun... straight foward sangat. Tahulah tak sabar nak dapat menantu. Dia tersenyum dalam hati apabila mendengar Pah membalas kata.
            "InsyaAllah," terus saja senyuman Adam bertambah lebar.


Bab 24
            Benarkah cemburu itu tandanya cinta? Bukan dia yang membuat konklusi itu. Siapa lagi kalau bukan pakar percintaan, EJA! Pah duduk termenung di sofa. Sudah seminggu dia memulakan kerja. Sudah seminggu juga dia kembali menghadap wajah Tengku Hafiz yang dia tidak suka. Sudah lebih dari seminggu dia tak dapat membuang bayangan wajah Adam dan Aliya yang berlagak mesra di hadapannya.
            Jujur dia akui, dia tak tahan. Menyampah. Lagi-lagi yang bergesel dengan Adam tu adalah 'sahabat' baiknya Aliya. Tapi dia menjadi pelik bila mummy Adam dengan senyuman ceria lagi lebar mengajaknya datang ke rumah. Kenal-kenal kata mummy Adam. Kenal-kenal? Pah dengar saja ayat itu terasa nak telan air liur pun susah.
            Bukankah Aliya mengatakan dia merupakan kekasih hati Adam. Tapi Pah tak nampak pula Aliya datang berbual mesra dengan mummy Adam. Mummy pula dengan selamba mengajaknya datang ke rumah. Oh, aku tidaklah begitu lembab nak proses maksud ajakan tersebut. Kenal-kenal... nak buat calon menantu. Aduh!!!
            "Kalau Aliya tak pernah cakap kat kau pasal Adam... kau akan pergi ke rumah Adam ke Pah?" suara Eja yang muncul dari belakang. Pah melepaskan keluhan. Tak tahu nak jawab macam mana. Betulkah kalau tak wujud Aliya itu, dia akan senang-lenangnya bersetuju dengan ajakan mummy Adam.
            "Kenapa aku nak kena pergi. Aku bukan ada apa-apa dengan Adam tu!" ego! Pah memang ego nak menyuarakan rasa hatinya yang sebenar. Eja sudah mencebik mendengar jawapan itu. Habis, yang Pah beria menangis masa Aliya cakap Adam itu buah hatinya, bukan ke tanda suka. Tapi nak berdalih lagi. Ikut rasa hati yang geram ini, hendak saja dia cubit-cubit pipi Pah.
            "Kau ni kenapa. Kepala konkrit sangat... orang tu dah sah-sah sukakan kau. Siap ajak mummy dia datang ke rumah lagi. Kau tak nampak ke dia ikhlas nak berkawan... bukan nak berkawan... nak ajak buat bini... kau tak nampak ke Pah...," tekan Eja dengan geram. Pah sudah melarikan pandangan ke luar tingkap.
            Semua kata-kata Eja sama seperti apa yang dikatakan oleh ibu. Ibu pun bukan main lagi. Siap dah promote pasal Adam pada semua adik-beradiknya. Ibu juga kelihatan sangat mesra dengan Adam seperti sudah lama kenal antara satu sama lain.
            Pah mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Hendak kata yang dia malas berfikir tentang semua ini, rasanya dia tidak boleh berkata begitu sama sekali. Ayat yang diucapkan ibu begitu terang, jelas dan nyata.
            "Pah tak nak Adam... kalau macam tu ibu suruh abah setuju sajalah dengan pinangan mak Siah untuk Safwan...," Pah yang tengah minum air di dapur terus tersedak dengan kata-kata ibu. Lama sudah ibu tak buka pasal pinang-meminang ni. Tiba-tiba saja dia dah mula baling bom atas kepala aku.
            "Ibu cakap dia merisik saja... apa yang meminang pula...," ucap Pah dengan rengekkan manja. Kahwin dengan Safwan? Erk! Bukan Safwan itu tidak bagus. Baik, soleh, pandai. Semua pakej amat lengkap. Tapi satu saja yang menganggu mindanya. Safwan itu muda darinya. Seganlah.
            "Kamu lambat sangat nak bagi respon... mak Siah dah banyak kali dah tanya, abah yang cakap nak tanya dengan Pah dulu. Sekarang ni ibu nak Pah buat keputusan, kalau tak nak Adam... terus dengan Safwan saja," tercekik terus air di kerongkong Pah. Tak pernah-pernah ibu mengugut dia sampai tahap macam ini.
            "Tapi kenapa antara Adam dengan Safwan?" soal Pah setelah lama menyepi.
            "Sebab mummy Adam tanya kat ibu... bila boleh masuk meminang Pah. Katanya Adam dah siap beli cincin semua nak buat tanda," terus membulat biji mata Pah. Mummy Adam cakap Adam dah siap beli cincin. Tapi betul ke untuk aku? Soalnya ragu.
            "Memang Adam beli untuk Pah...," suara ibu kedengaran begitu dekat. Kalih saja kepala, wajah ibu terpampang di sebelah. Ibu tengah senyum penuh makna.
            "Ibu suka kalau Pah jadi dengan Adam... tengok muka budak tu sekarang dah makin ada seri dari dulu... cara cakap pun, hormat dengan orang tua. Ramah. Walaupun abah Pah nampak macam tak layan dia sangat... dia pergi juga nak bercakap-cakap. Mummy Adam pun berkenan sangat dengan Pah... boleh ya Pah. Nanti mummy dia telefon ibu... ibu cakap Pah setuju ya!" dengan wajah yang dipalit senyuman lebar.
            Otak Pah seakan memproses sebentar kata-kata yang diucapkan oleh ibu. Call?
            "Ibu dah ada nombor telefon mummy Adam?" Pah menyoal sambil menenangkan diri sedangkan nafasnya sudah makin tidak teratur.
            "Eh... mestilah. Orang tu dah buka mulut cakap nak meminang, kami mestilah kena kenal-kenal juga... ingat Adam dengan Pah saja boleh main-main SMS...," Pah terus terdiam. Terkaku di tempat berdirinya. Otaknya tidak mampu berhenti berfikir. Tak tahu nak mula fikir dari mana.
            "Pah!!!" bayangan wajah ibu sudah menghilang. Berganti dengan wajah Eja yang sedang bercekak pinggang sambil memandangnya serius.
            "Buang air liur saja orang cakap berjela-jela dengan dia...," marah Eja. Entah apa yang Eja cakapkan tadi. Dia tidak tahu. Fikirannya sudah melayang.
            "Eja...," suara Pah menjadi perlahan. Eja sudah mendapatkan tempat di sebelah Pah.
            "Adam betul ke sukakan aku?" soalan Pah yang ringkas lagi padat terus saja melebarkan senyuman di wajah Eja. 'Saya suka kalau soalan berkenaan jodoh Pah dan Adam' desisnya sendiri.
            Pah yang melihat senyuman Eja mengerutkan dahi. Jawapan belum diberi tapi senyumannya lebar tak terkira. Pah makin pelik dengan manusia-manusia di sekelilingnya.

"SO... APA CERITA?" Adam yang baru saja melabuhkan punggung di kerusi terus diserbu soalan oleh Faizul.
            Adam menjungkitkan kening. "Cerita apa?" dia menyoal kembali.
            "Alah... buat-buat tak tahu pula... cerita Hulu Langat. Apa dah jadi? Ada perkembangan baik ke?" Adam terus saja menarik senyum penuh makna.
            "Tu... dah mula senyum sendiri... dah ada respon positif ke?" Faizul sudah mula mengusik.
            "Respon positif tu... tak la... tapi mummy dengan bangganya cakap pada ibu...'bila boleh datang meminang Pah'... aku suka gila part tu," Adam mengajuk lenggok cakap mummy sambil melepaskan tawa. Faizul berdehem kecil.
            "Suka hati la sekarang? Dah lupa awek lama?" sengaja Faizul hendak mengusik dengan perihal awek lama. Seperti yang dijangka, mati terus senyuman Adam.
            "Cakap pasal awek lama... Suzana dah makin lain. Dia bukan macam Suzana yang aku kenal...," ucap Adam menyuarakan persoalan di hati.
            "Dia dah kena kejutan emosi rasanya sebab kau break up dengan dia," teka Faizul.
            "Tapi aku pelik sangat... dia sekejap macam manja. Sekejap lagi dia macam marah. Lepas tu... manja balik... serius, gerun!" kenyataan Adam yang jujur itu hanya melahirkan tawa di bibir Faizul.
            "Tak payahlah nak gerun-gerun dengan dia... Suzana saja pun...," ucap Faizul menenangkan Adam. Tapi dalam masa yang sama, dia turut memikirkan tentang perkara itu. Kata-kata Eja masih dia ingat. Mental?! Takkan...
            "Kalau Suzana dulu... aku tak kisah. Tapi yang sekarang ni... versi lain. Versi nak menyakitkan hati orang. Masa dekat rumah Pah... dia datang tau. Aku tak adalah hairan sangat, dah kau cakap dia kawan lama Pah... tapi bila nampak saja Pah, dia terus datang dekat aku. Dia buat-buat manja pun... macam saja-saja nak tarik perhatian orang... aku boleh sense dengan mudah...kau rasa kenapa ya?" soalan dari Adam hanya melahirkan keluhan di bibir Faizul. Dia pun tidak tahu.
            "Kau tak rasa ke dia ada mental disorder...," dengan bibir yang berat Faizul ucapkan juga apa yang bermain di minda. Nyata wajah Adam yang jelas terkejut berlayar di ruang mata.
            "Kau jangan cakap selama ni aku berkawan orang yang ada penyakit mental?" soal Adam dengan terkejut. Penyakit mental?! Tak mungkinlah...
            "Aku cakap saja. Aku pun tak berapa arif sangat pasal hal-hal berkenaan dengan psiko-psiko ni. Eja la yang cakap... sekarang ni dia senang sangat berubah-ubah mood. Macam orang sakit mental. Sekejap dia gelak... sekejap dia murung... sekejap dia marah....,"
            "Pelakon pun boleh buat macam tu...," ucap Adam dengan tiba-tiba. Teringat kembali hari kejadian yang membawa Suzana ke rumahnya. Gadis itu juga dengan selamba mengaku yang dia adalah bakal menantu rumah itu. Suzana memang berkelakuan pelik sejak akhir-akhir ni.
            "Kau ingat Suzana tu pelakon ke... jangan mengarutlah. Kita fikirkan kemungkinan yang logik sikit...," kata-kata Faizul meresap terus dalam minda Adam. Suzana-mental. Ada kemungkinan ke? Tapi kenapa masa aku berkawan dengan dia dulu tak pernah nampak pun tanda-tanda macam itu.
            "Kalau stress sangat... boleh jadi sakit mental ke?" soal Adam serius. Ini hal berkenaan perubatan. Dia akui, dia kurang pengetahuan tentang perkara ini. Faizul pun dah mula menggelengkan kepala.
           Dua-dua berkerjaya dengan kamera. Tiba-tiba cakap perihal penyakit. Nampak sangat tidak kena dengan jiwa.
            "Kalau tanya Pah dia tahu kot... Pah kan doktor," ucap Adam dengan pemikiran yang muncul di mindanya.
            "Kau ni... mengarutlah... Pah tu doktor falsafah. Pengkhususan dalam bidang mikrobiologi. Kerja dia buat kajian-kajian baru. Apa daa... cakap nak buat bini, kerja bakal isteri pun tak tau... buat malu saja la lu ni bro!" dah kena kutuk dengan si Faizul. Adam sudah tersengih kelat. Mana dia tahu. Bukannya dia pernah bersembang beramah mesra dengan Pah.
            "Tapi mesti dia kenal dengan doktor-doktor kat HUKM. Bolehlah dia tolong tanyakan untuk kita pasal sakit mental...," ucap Adam nak cover malu. Faizul mencebik.
            "Awat yang kita tiba-tiba concern pasal sakit mental ni?" soalan Faizul dibalas dengan jegilan Adam.
            "Siapa yang buka topik pasal sakit mental ni!!!" marah Adam sambil menjeling Faizul yang sudah menarik sengih bak kerang busuk.


Bab 25
"AMBOI!!!" sergah Faizul dengan sengihan lebar. Jelingan tidak puas hati yang dilemparkan oleh Adam tidak diambil peduli. Matanya kini tertumpu pada grafik yang tertera di skrin komputer Adam.
            "Apa?" soal Adam dengan nada marah. Wajahnya sudah masam mencuka dengan sergahan Faizul. Tidak sempat dia hendak menyembunyikan 'rahsia'.
            "Cewah... bukan main lagi dia," usik Faizul.
            "Apa?!" sengaja Adam pura-pura tak faham. Wajahnya sudah tidak semena-mena bertukar warna. Ini semua gara-gara Faizul. Dia malu diserbu begitu. Pantas juga dia menekan butang 'X' untuk close window daripada tatapan Faizul. Sengihan yang makin melebar di wajah itu membuatkan Adam mengetap bibir. Sejak bila dia sudah pandai rasa malu dengan orang, dia pun tak tahu. Padahal dengan Faizul saja pun.
            "Cewah... cewah... cewah! Dah pandai na hang. Muka pun macam dah kena sapu dengan blusher. Sejak bila hang ada tabiat blushing Adam? Sungguh la tidak macho gaya anda...," Faizul pecah gelak sampai terhenjut-henjut bahunya. Itu menandakan dia gelak dengan bersemangat sekali.
            "Seronok nampak," sinis saja ayat yang keluar dari mulut Adam. Geram pula rasanya melihat reaksi Faizul yang terlalu over! Gelak tak ingat dunia. Apa salah ke aku nak blushing sekali-sekala. Aku pun manusia juga kan? Ada juga hormon untuk terasa malu. Jelingan tajam dihadiahkan buat Faizul sehingga terhenti gelak sakan lelaki itu.
            Faizul cuba mengawal emosinya yang sangat teruja. Daripada ketawa yang berdekah-dekah, bibirnya kini tersenyum-senyum pula. Kawalan supaya tidak pecah gelak untuk kali yang kedua.
            "Janganlah marah bro! Gambar tadi... untuk apa?" soal Faizul dengan nada mengusik. Wajah Adam kembali merona.
            "Mana ada gambar apa-apa!" nafi Adam. Faizul dah mencebik. Gaya macam dia tidak nampak saja grafik yang telah cantik di-edit oleh Adam. Siap ada lakaran ayat-ayat lagi. Cumanya dia tidak sempat hendak membaca perkataan yang dicoretkan oleh jiwa romeo Adam Fahmi ini apabila lelaki itu cepat menekan butang close.
            "Oh... sekarang dengan aku pun nak rahsia la kan... tak apalah. Aku takkan menyibuk...," Faizul sudah berpaling menuju ke mejanya. Sengaja ayat yang seolah berjauh hati dilagukan. Sedangkan dalam hati dia hendak mengkekek ketawa.
            "Bukan nak rahsialah... tapi... aku malu," sayup saja ayat itu mencecah pendengaran Adam. Faizul nak tunggu lagi ke, terus saja dilepaskan ketawanya berdekah-dekah. Memang tak boleh nak tahan dengan perangai pelik Adam untuk hari ini. Tadi dia blush. Sekarang dengan bangganya dia mengaku... dia malu.
            "Sejak bila kau pandai malu ni Adam... hahaha...," terus saja Faizul sambung ketawa tahap tak ingat. Sekali lagi jelingan Adam dapat ditangkap, namun di buat tidak tahu saja. Lagi seronok kalau layan gelak untuk perkara-perkara yang melucukan jiwa.
            "Aduh!!!" sedang sakan Faizul gelak, tiba-tiba saja dia mengaduh. Elok saja Adam melayangkan fail yang berada atas mejanya. Kena tepat pada kepala Faizul. Henti sudah gelak tawanya. Mukanya berkerut-kerut, pantas juga tangannya menggosok belakang kepala. Sakit juga!
            "Padan muka! Gelakkan aku lagi!!!" Adam menjelirkan lidah dan terus berpaling menghadap komputernya. Faizul terpaku melihat aksi itu. Erk! Apasal yang reaksi pelik sangat hari ini. Tadi blushing, malu. Sekarang marah, siap jelir lidah. Umur makin ke depan, tapi perangai makin ke belakang. Macam budak-budak. Desis Faizul.
            'Eleh, hang pun lebih kurang sama ja Fai hoi...," sindir hatinya. Lantas dia tersenyum kelat.

LANGKAH Pah masuk ke rumah disambut dengan senyuman lebar dari Eja. Memandangkan Eja bercuti hari ini, dia telah menyiapkan hidangan makan malam sekali. Mesti Pah penat, iyalah seharian bekerja.
            "Pah... aku dah masak," beritahu Eja dengan ceria. "Kau nak makan dulu ke... nak mandi dulu?" soalnya sambil menatap wajah lesu Pah. Pah senyum segaris.
            "Mandi dulu... lepas solat lah kita makan ya,"
            "Okey".
            Pah terus saja melangkah masuk ke bilik. Pintu rumah dibiarkan terbuka. Eja pandang pelik. Selalunya dah jadi habit Pah, masuk rumah saja, terus tutup pintu. Ini boleh main terlupa pula. Pantas diayunkan langkah kaki untuk menutup pintu rumah. Keadaan di luar juga sudah gelap. Saat tangannya menarik pintu, kakinya terlanggar sesuatu.
            "Eh... apa ni?" soalnya sendiri. Parcel! Dibeleknya lagi bungkusan yang berbalut kemas. Tertera nama Latifah Hasnan diatasnya. Boleh pula kan si Pah ni main tinggal saja bungkusan untuknya. Tangannya pantas saja membawa masuk bungkusan itu. Ada dua. Entah apa ya ada di dalamnya. Eja berfikiran sendiri.
            Azan yang berkumandang kedengaran. Eja terus saja meninggalkan bungkusan itu atas meja di ruang tamu. Lepas makan nanti, wajib duduk sekali dengan Pah nak tengok ada apa dalam bungkusan tu.
            Seusai solat, Eja terus saja mendapatkan Pah.
            "Jom makan," tangan Pah ditarik ke ruang makan. Semua makan sudah pun dihidangkan. Tinggal nak ceduk dan makan saja. Bulat biji mata Pah melihat hidangan yang ada di atas meja makan.
            "Kau masak Eja?" soalnya tidak percaya. Wajah Eja berseri-seri dicalit senyuman bangga dengan hasil tangannya. Lihatlah sendiri.
            "Ehem!" kuat Pah berdehem. "Ada orang tu dah mula berpraktis... maklumlah...," sengaja ayat itu dibiarkan meleret. Keningnya pula terangkat-angkat hendak mengusik Eja.
            Eja sudah mengetap bibir. Tahu sangat Pah cakap pasal apa. Tapi dalam hati dah ada bunga-bunga kembang. Bahagia. Siapa yang tak bahagia kalau abang Long nak balik dari Jepun dah. Dia tersenyum sendiri. Bukan bahagia sebab abang Long balik. Tapi bahagia sebab agenda yang memerlukan kehadiran abang Long. Apa lagi, kalau bukan... KAHWIN!
            "Amboi... lebarnya senyuman. Teringatkan kanda ke dinda?" wajah Pah tidak beriak. Statik saja. Tetapi bibirnya ringan saja mengeluarkan ayat mengusik yang membuatkan Eja tersipu sendiri.
            "Sukalah, dapat perli patik begini...".
            "Oh sudah tentu... patik suka melihat tuan hamba tersipu malu. Terserlah lagak gadis melayu terakhir," bermula berbalas ayat klasik Nasional pula antara Pah dan Eja. Pah boleh mantain serius tetapi Eja sudah tidak boleh tahan, lepas sudah tawanya.
            "Pah!!!" Eja sudah menepuk lengan Pah. "Sudahlah... aku tak tahan gelak ni. Lapar pulak tu. Jom makanlah...," terus saja dia mendudukkan Pah ke atas kerusi. Pinggan dicapai dan nasi disendukkan.
            "Let me serve you tonight my lady...," ucap Eja dengan lagak pelayan di hotel terkemuka. Senyuman terukir di bibirnya. Cekap juga tangannya menghidangkan lauk pauk oleh hasil tangannya.
            "Aku rasa ya," dengan lafaz bismillah, sesuap nasi masuk ke dalam mulut Pah. Eja sudah mengambil tempat bertentang dengan Pah. Hatinya berdebar-debar. Entah apa komen orang pandai masak terhadap hasil kerjanya. Maklumlah, orang baru nak belajar. Kalau salah, tolong tegur.
            "Ehhhmmm!" Pah sudah memejamkan matanya. Eja terkedu. Erk! Macam aku kenal saja reaksi itu. Terus saja dia mengetap bibir. Pah mengajuk gayanya ketika memuji makanan Pah.
            "Sedapnyaaa...," dengan intonasi yang agak lucu, Pah memuji masakan Eja. Eja sudah terkebil-kebil tidak percaya.
            "Betul?"
            "Betullah, takkan cheq nak tipu kat ampa pulak," terus saja senyuman lega muncul di bibir Eja. Nasib baik sedap. Jenuh dia call mak tadi tanya resepi. Siap kena berleter lagi. Tapi ditahankan juga demi untuk mencapai tekad dan azam untuk memasak.
            "Kau pun makanlah... takkan semua ni untuk aku sorang kot," Pah terus mempelawa sambil menceduk nasi buat Eja. Mereka sama-sama menikmati makan malam diselitkan dengan gelak tawa dan cerita-cerita yang hendak dikongsi. Terasa lama sangat tidak meluangkan masa bersama. Iyalah, sejak Pah kemalangan tinggallah Eja seorang diri di sini.
            Selesai saja makan, Eja terus teringatkan agenda yang terangka dalam kepalanya sejak tadi. Hendak melihat parcel yang Pah terima. Apa agaknya? Dia nak teka, tapi langsung tak ada klu.
            "Pah...," panggil Eja perlahan. Pah baru saja selesai membasuh pinggan dan mangkuk yang mereka gunakan.
            "Kenapa?"
            "Jomlah...," terus saja Eja menarik lengan Pah menuju ke ruang tamu. Pah menurut saja walaupun dalam hatinya tertanya-tanya. Namun apabila matanya terpandangkan bungkusan yang terletak elok di atas meja, dia terus mengerti. Wajah Eja yang sedang tersengih lebar berlayar di depan mata. Sengaja Pah buat-buat jeling.
            "Kenapa?" soal Pah pura-pura tak faham. Eja tersengih lagi.
            "Bukalah... aku nak tengok," dengan tak malunya, Eja membuat permintaan. Pah menjelirkan lidah secara spontan.
            "Tak malu, nak tengok parcel orang!" sengaja Pah memperli. Sengaja nak menaikkan angin Eja yang tersengih seperti kehilangan satu skru dalam kepala. Macam orang tiga suku dalam kata mudah.
            "Aku memang tak tau malu pun. Baik kau buka cepat sebelum aku yang buka...," selamba saja Eja mengaku dirinya begitu. Malas hendak berbalah panjang-panjang. Nanti lagi lambat nak buka parcel ini. Macam dia tak tahu saja helah gadis yang bernama Latifah ini. Senyuman lebar dihadiahkan buat tatapan Pah yang sudah berpeluk tubuh di depannya.
            "Pah... cepatlah," rengek Eja manja.
            Hendak tak hendak... Pah menurut juga. Lantas dia melabuhkan punggung di sisi Eja. Parcel itu diangkat dengan berhati-hati. Boleh tahan berat. Entah ada apa dalam bungkusan ini, dia pun tidak tahu.
            Mata Eja sudah bersinar-sinar menunggu Pah mengoyak bungkusan itu. Perlahan-lahan tangan Pah mengoyakkan dari bucu bungkusan. Semakin lama, semakin banyak ruang yang terdedah. Semakin terserlah barang itu. Saat tangan Pah menarik keluar sebuah album, Eja sudah melopong. Wah! Lihatlah cover album itu.
            Bukan Eja saja yang melopong. Pah juga ikut terkedu. Kini dia tahulah siapa yang mengirimkan parcel ini.
            "Bukalah...," gesa Eja dengan wajah teruja. Lambat-lambat Pah menurut juga.
            Saat satu muka dari satu muka menyapa mata. Yang lahir dari bibir Eja, Wah! Pah pula dengan wajah tanpa riak seperti selalu. Namun dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Hatinya berdetak laju.
            Semua gambar-gambar yang dirakamkan oleh lensa Adam cantik sekali di-edit dan dihasilkan dalam sebuah album. Eja dari tadi tidak berhenti-henti memuji gambar-gambarnya. Fotogeniklah. Pandai posing la. Macam-macam si Eja ni.
            Sudah sampai ke helaian akhir. Pah sudah berkira-kira hendak menutup album tersebut.
            "Eh... kan ada lagi satu, bukalah...," kata Eja.
            "Muka aku jugak pun... tak payahlah...," tolak Pah tanda tidak mahu melihat.
            "Alah... dah nak habis dah. Tinggal yang tu saja... bukalah...," paksa Eja. Pah menjeling manja sebelum menurut saja kehendak Eja itu. Tangannya terus saja mengalih ke muka yang paling akhir. Terus, tersentap jantung Pah. Degupan jantung makin laju. Gambar itu. Kata-kata itu. Apa maksudnya?
            "Pah...," lembut saja suara Eja memanggilnya.
            "Eja...," Pah alih pandang pada wajah Eja. Mereka bertentangan buat sesaat. Eja masih dengan senyumannya. Pah pula dengan wajah terpaku. Kelu lidah, kelu kata-kata. Jemari Eja digenggam erat. Perlahan Pah menghela nafas. Gambar tadi ditatap kembali.
            Salah satu posing yang Adam suruh buat masa sesi fotografi dengannya, Pah diarah untuk menongkat dagu sambil duduk atas batu besar. Matanya pula seolah menghayati keindahan alam. Wajahnya memang benar-benar penuh penghayatan. Namun dalam gambar ini, ia telah diubah suai seolah-olah Pah memandang wajah Adam. Gambar Adam yang sedang memegang kameranya cantik diletakkan di sebelah. Sekali pandang, gambar itu memang kelihatan seperti diambil dalam satu KLIK kamera. Walaupun pada hakikatnya, ia adalah gabungan gambar mereka berdua namun ia kelihatan sangat sempurna.
            Tangan Pah mula berlari atas kata-kata yang dicoretkan di situ.
            Sudikah engkau memandang diriku seorang sehingga ke akhir hayatmu?
            Sudikah engkau menjadi pendampingku di alam sebenar dan bukan hanya dalam lensa kameraku?
            Sudikah engkau menerima insan yang serba kekurangan ini?
            Sudikah engkau menjadi Hawa buat Adam Fahmi?
            Ikhlas: Adam Fahmi
            "Pah...," terasa tangan Eja yang memegang bahunya kejap. Pah tertunduk sebentar. Tidak tahu apa yang dirasakan pada saat ini. Tanpa disedari juga manik-manik jernih mula membasahi pipinya.


Bab 26
"PAH... kau akan setuju kan?" soalan Eja memecah kesepian antara mereka. Lama mereka mendiamkan diri. Dia sengaja membiarkan Pah melepaskan segala tangisannya. Mata Pah yang masih bersisa dengan mutiara jernih menyapa matanya. Ada sesuatu dalam renungan itu yang membuatkan Eja mengerutkan dahi.
            "Hei... kenapa ni? Cakap dengan aku? Kau menangis sebab apa ni?" pantas saja Eja dapat menangkap ada perkara yang disembunyikan oleh Pah. Aduh! Ada lagi ke masalah.
            Tangisan Pah yang tadi kian reda kembali rancak. Eja sudah menepuk dahi. Dia sudah tidak faham.
            "Pah!!!" kuat Eja mengoncang bahu Pah. Tidak mahu Pah terus-terusan dengan tangisan yang tidak dikenal pasti puncanya.
            Pah terus saja terdiam. Bulat matanya yang berair. Terkelip-kelip matanya memandang Eja.
            "Cakap... jangan duk menangis ja! Aku tak tau pasal apa hang duk menangis ni... bagi tau dulu, then sambung menangis...," marah Eja. Pah tersentak. Tidak sangka Eja akan marah begitu.
            "Cakap Pah!!!" desak Eja lagi.
            "Aku suka Adam," Pah terus mengetap bibir. Tak tahu macam mana boleh terlepas cakap dialog itu.
            "Dah tu... menangis sakan sangat ni... awatnya?" soal Eja lagi tidak berpuas hati.
            "Err... se... se... sebab... sebab...," Pah sudah tergagap-gagap. Jelingan Eja yang makin tajam hanya melemahkan lidahnya untuk terus berkata-kata. Eja ini kalau dah transform jadi Miss Sha, garangnya macam nak telan orang saja.
            "Sebab apa?" gertak Eja lagi.
            "Sebab Aliya...," dengan kalut juga Pah meluahkan kata. Sekali lagi dia hanya mampu mengetap bibir. Jelas sekali di pandangannya wajah Eja dengan riak yang bingung.
            "Aliya?" Pah sekadar mengangguk kecil. Keluhan berat dilepaskan Eja.
            "Pah... aku tak tau la nak cakap macam mana kat hang ni... tolonglah, toksah duk pikiaq pasal perempuan tu boleh dak? Dia tu kira nak bagi lingkup hidup hang ja... hang tu ja yang tak sedaq-sedaq sampai sekarang... bukan sekali dua tau...," kuliah maghrib versi utara dari Eja. Pah terkebil-kebil mendengar setiap kata yang diucapkan oleh Eja.
            "Kalaulah dia tu baik, aku takkan la duk cakap macam ni kat hang... aku sendiri nanti suruh hang lepaih ja si Adam tu untuk dia. Tapi masalahnya... dia bukan Aliya yang hang kenai sejak dulu. Dia dah lain Pah. Lain sangat-sangat...," sambung Eja lagi. Pah menelan liur. Dia pun tahu akan hakikat itu tetapi...
            "Pah... hang tau dak, Hafiz tu bekas pakwe dia?" mata Pah terus saja membulat. Tersentak dia dengan kenyataan itu. Macam mana dia boleh tak tahu. Perlahan saja dia menggeleng kepala.
            "Hang tau dak Aliya benci sangat dengan hang?" perlahan juga Pah mengangguk. Yang ini dia tidak dapat menafi. Sudah jelas lagi terang, Aliya memang tidak pernah sukakan dirinya walaupun mereka pernah bergelar kawan baik. Kawan baik jenis apa itu, kalau tidak menyukai antara satu sama lain. Pelik bukan!
            "Hang tau dak sebab apa dia benci hang?" Pah hanya statik tanpa memberi respon pada pertanyaan ini. Keluhan dari bibir Eja terdengar lagi.
            "Hang ni... polos sangat. Muka ja nampak garang. Tapi, dalam diam kena buli dengan orang jugak!" kepala Eja tergeleng-geleng. "Dia tak suka kat kau sejak pakwe pertama dia, masa kita sama-sama kat SMAKL dulu sukakan kau... sedangkan yang selalu hantar bingkisan cinta... dia, tapi lelaki tu sukakan kau... itu kebencian pertama yang aku nampak pada mata dia," kali ini Pah sudah dapat memahami dengan jelas sebutan Eja. Tiada lagi slanga utara yang pekat dari bibir Eja.
            "Aku tau...," rendah saja suara Pah mengiakan. Dia tahu tentang lelaki di SMAKL tu. Dia ingat lagi.
           "Dah tu... kau tak ingat apa yang dia buat pada kau?" soal Eja lagi dengan nada yang tinggi. Pah menelan liur. Eja ini garangnya boleh tahan, macam nak telan orang saja gayanya.
            "Ingat...," rendah juga nada Pah menjawab soalan dari Miss Sha yang garang itu. Gaya macam cikgu marah budak tadika saja. Tambah-tambah dengan mata Eja yang terjegil-jegil, memang mengecutkan otot perut.
            "Habis tu?! Apa yang patut kau buat sekarang?" Eja masih dengan nada yang sama.
           "Aku tak nak cari pasal dengan dia... aku tau, dia suka Adam," Eja senyum sinis mendengar jawapan dari Pah.
            "Kau siapa yang nak main passing Adam pada dia?" terkedu Pah mendengar ayat tanya dari mulut Eja. Maksudnya?
            "Kenapa? Apa maksud kau, aku siapa?"
            "Iyalah... gaya kau ni, macam kekasih teragung, nak korban demi kebahagiaan orang lain, kononnya...," sedap saja mulut Eja menyindir Pah. "...tapi, kau pun tak ada hak nak decide tentang kehidupan orang lain!" Eja terhenti seketika. Sebenarnya dia tidak faham apa yang cuba dia sampaikan pada Pah ditika ini. Sekilas pandang wajah Pah dah macam ayam berak kapur, terkebil-kebil.
            "Aku cakap pakai ayat mudahlah...," sambung Eja kembali. "Adam nakkan kau, bukannya Aliya. So... tak payah nak buang masa fikir pasal orang lain. Tolong fikir pasal diri kau!" sepatah-sepatah Eja tekankan pada Pah. Biar Pah buka mata luas-luas fikirkan tentang masa depannya.
            "Tapi...,"
            "Tak ada tapi-tapi... aku tak nak dengar kau sebut pasal perempuan tu. Dia dah buat macam-macam pada kau. Kau pulak boleh duk baik hati lagi fikirkan pasal dia... dah lah Pah. For once, think about your happiness. Your desire... please Pah," bersemangat Eja dengan azam nak brainwash Pah. Bukan senang nak dengar Pah buat pengakuan berani mati macam tadi. Itu kira, terlepas cakaplah.
            "Eja...," seru Pah dengan wajah yang dicomelkan buat tatapan Eja.
            "Yes my sweetheart... my darling Pah... kau tak payahlah nak buat muka comel macam tu depan aku...," Eja sudah tersenyum.
            "Kau marah lagi ke?" dengan nada yang rendah Pah menyoal. Sengihan Eja agak melegakan jiwa Pah.
            "Tak adalah... saja, mengacah kau je... suka Adam ya, sayang...," Pah mengetap bibir laju. Eja sudah ambil mode nak mengusik. Menyesal aku terlepas cakap.
            "Cakap ok ya?" ucap Eja lagi sambil tersenyum nakal.
            "Pah?!" Eja sudah geram bila Pah berlagak kaku, tidak mahu membalas pertanyaannya.
            "Okay! Okay!" balas Pah senada dengan Eja. Sengihan nakal bergayut kembali di bibir Eja.
            "Hei... senyumlah. Ada ke cakap okay nak kahwin dengan muka garang macam tu... Adam tengok pun nanti lari...," Pah malas nak melayan usikan Eja. Pantas saja dia menjelirkan lidah tanda tidak hairan.
            "Eleh... sejak bila pandai jelir-jelir lidah dengan aku. Nampak manja tau Pah... praktis cara-cara nak merajuk ya," Eja masih lagi seronok menggiat Pah.
            "Eja!!!" naik terus volume Pah. Wajahnya panas. Malu kerana terus-terusan diusik oleh Eja. Malu juga sebab dia terlepas kata. Terconfess secara tak sengaja.
            "So... bila nak bagi tahu Adam?" soal Eja sambil menaikkan kedua-dua belah keningnya. Senyuman masih tidak lekang dari bibir.
            "Bagi tahu apa?" Pah pura-pura bendul. Lagak seperti tidak tahu, sedangkan semuanya dia tahu dengan jelas.
            "Cakap kau suka dialah!" tekan Eja.
            "Tak naklah! Buat apa aku nak cakap macam tu...," Eja dah menjegil geram. Rasa macam nak ketuk-ketuk saja kepala Pah di saat itu.
            "Habis tu, kau tak suka dia?"
            "Tak semestinya aku kena cakap pada dia kan...," balas Pah selamba. Eja mengetap bibir.
            "Eeiii!!! Kepala batu! Konkrit pakai simen apa pun tak tau... awatlah ada jugak manusia macam hang ni Pah... eeiii. Geram aku tengok hang duk cakap lagu ni semua... dah suka, tak mau mengaku! Habis tu... tak mau lah dengan Adam... biaq passing kat Aliya tu. Awat hang ingat Adam ni bola ka... senang-senang hang dengan Aliya boleh main tendang-tendang," bebel Eja panjang. Sempat lagi dia mengetuk kepala Pah akibat tak dapat mengawal emosi ketika menyampaikan ucapan 'bermakna' tadi.
            "Apa ni... main ketuk-ketuk kepala aku!" Pah tidak puas hati. Digosok kepala perlahan-lahan. Boleh tahan juga penangan Eja ini.
            "Tak semestinya aku suka jadi aku yang kena cakap kan...," Pah mengeluarkan hujahnya. Eja dah mencebik.
            "Kalau kau yang cakap... feeling orang tu lainlah... mesti lagi seronok...," balas Eja.
            "Tak nak la macam tu... biar ibu saja yang cakap. Ibu yang beria sangat nakkan Adam tu...," Pah masih dengan ego yang konkrit.
            "Kepala batu!" hanya itu saja diberikan oleh Eja sebagai balasan. Pah hanya tayang muka kayu, macam biasa.

            SEMINGGU berlalu...
            "Betul?" ucap mummy tidak percaya dengan apa yang didengari sebentar tadi.
            "Ya Allah... Alhamdulillah kak... nanti saya cakap pada dia. Apa-apa nanti saya telefon akak... terima kasihlah kak sebab sudi berbesan dengan kami... InsyaAllah... mudah-mudahan ya akak...," senyuman tidak lekang di bibir mummy. Perkhabaran gembira yang harus dikongsi pada semua.
            "Daddy...," lembut saja mummy memanggil. Wajah daddy yang sedang khusyuk menatap surat khabar terus saja beralih pandang. Mummy tersenyum lebar.
            "Next week kita pergi meminang ya...," ucap mummy dengan ceria.
            "Aik mummy... daddy tak cari calon pun lagi nak buka cawangan baru, mummy dah tolong carikan ya? Alhamdulillah... payung emas untuk mummy kat sana nanti...," ucap daddy selamba sambil tersengih. Pantas saja tangan mummy menampar lengan daddy.
            "Amboi! Gatal!!! Tak ada harinya Maz nak tolong carikan cawangan baru untuk abang... anak teruna abang yang dah umur 30 tahun tu pun tak kahwin lagi... dia pula yang berangan nak lebarkan sayap kiri kanan," balas mummy dengan geram. Orang tua gatal! Sempat lagi mengutuk suami sendiri.
            "Abang bergurau sajalah... Maz ingat abang lupa ke pasal calon jodoh untuk Adam tu... abang ingatlah. Pah... Latifah kan?" kata-kata dari bibir daddy sudah mengembalikan keceriaan di wajah mummy. Siapa tak bahagia kalau anak dah nak kahwin dah. Beginilah rasa teruja.
            "Latifah Hasnan nama dia... cantik bang... sopan santun... pakaian pula, simple sangat. Maz ingatkan dia macam budak-budak zaman sekarang vogue! Tak sangka pula, Adam pandai cari yang sopan santun, ayu, manis macam tu...," pujian yang melambung-lambung dari bibir mummy.
            "Dia buat apa sekarang?"
            "Kerja di UKM, penyelidik dan pensyarah," daddy terangguk-angguk.
            "Umur berapa?"
            "26 tahun nak masuk 27...,"
            "Bila nak pergi meminang ni?" soal daddy.
            "Meminang siapa daddy?" suara Adam mencelah. Dia yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah sempat menangkap perkataan meminang. Siapa?
            Tetapi daddy dan mummy hanya tersenyum-senyum tanpa menjawab pertanyaannya. Adam pandang pelik melihat perlakuan kedua orang tuanya itu.
            Tanpa menunggu lama, dia terus saja melangkah naik ke atas. Dia hendak berbaring. Hendak menenangkan fikiran. Terasa tindakannya menghantar album gambar pada Pah adalah suatu tindakan yang bodoh. Dia tidak mendapat sebarang maklum balas dari Pah. Sebaris ucapan terima kasih pun tak ada. Haish! Susah betul hendak meneka apa yang ada dalam fikiran gadis itu.
            Kamera yang terletak elok atas meja dipandang sepi. Kamera yang merakamkan wajah Pah pada pertama kali pertemuan mereka. Mana mungkin dia lupa pada wajah gadis yang tidak beriak itu . Kedekut dengan senyuman, dingin dalam renungan. Tidak sangka, hasik KLIK! pada hari itu akan terus saja melekat di hatinya pada hari ini. Pah... oh Pah... serunya dengan nada yang paling rendah.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia