“PUAS
hati kau ya?!” kepala Amni ditolak lagi. Amni menahan rasa sakit. Wajahnya
tertunduk ke bawah. Dia tahu, dia perlu menghadapi kemarahan Mak cik Ramlah.
“Kau dengan mak kau, memang sama…
tak pernah nak bagi hidup aku senang. Ada aje yang nak sakitkan hati aku!”
tengking Mak cik Ramlah lagi.
Bergugur air mata Amni mendengarkan
ayat itu. Benarkah dirinya hanya bebanan kepada semua? Tidak pernah sekalipun
menyenangkan sesiapa?
“Mak
cik… bukan salah Amni. Salah saya… sebab saya yang cintakan dia.” Pengakuan
Reza itu seakan menyimbah petrol pada api yang sedang marak. Makin berasap Mak
cik Ramlah. Jelingan tajam mendarat di wajah Reza. Wajah yang selama ini
dilihat kacak, sekarang ini bila dipandang hanya rasa menyampah.
Secantik-cantik Zatilhusna, Amni juga yang mendapat tempat di hati Reza.
“Kau….” Jari dituding ke wajah Reza.
“Apa kau buta sangat ke, sampai tak dapat nak bezakan… yang mana satu paling
layak untuk dijadikan isteri?” sinis soalan Mak cik Ramlah.
Terkedu
Reza mendengarnya.
“Perempuan
ni…” ditolak kepala Amni lagi. “Bukannya daripada keturunan elok pun. Kau nak
ke dia jadi isteri kau?”
“Mak
cik!” Reza bersuara lantang.
Amni
tergamam. Kepalanya seakan berdenyut-denyut. Keturunan?
“Anak
luar nikah macam dia ni… tak layak untuk sesiapa pun.”
Amni
terkedu. Matanya seakan kaku. Air matanya sudah berhenti mengalir. Anak luar
nikah? Mindanya seakan tidak dapat mencerna. Benarkah dia daripada keturunan
yang tidak halal nasabnya?
Reza
dan ibunya ikut tergamam. Mata Reza jatuh pada wajah Amni yang seakan hilang
suara untuk bertanya. Tertunduk dengan hati yang semakin hancur.
“Mama!!!”
Zatilhusna yang sejak tadi berdiam diri, menaikkan suara. Wajah Amni yang keruh
dan wajah mamanya silih berganti di ruang mata. Apa pun yang telah mamanya
tanggung akibat daripada perbuatan keluarga Amni sebelum ini, tidak seharusnya
merosakkan nasib gadis itu pada hari ini. “Mama tak patut cakap macam tu… depan
tetamu kita. Mama tak patut malukan Amni!” tegur Zatilhusna tidak senang.
Perlahan
langkahnya sudah diatur mendekati Amni. Bahu gadis itu dipegang erat. “Jangan
menghina keturunan seorang hamba Allah, mama… darah Amni sama aje dengan darah
kita.”
“Darah
dia kotor. Zatil jangan nak sebelahkan dia…” Mak cik Ramlah sudah naik berang.
Zatilhusna yang tidak pernah melawan kata, sudah berani bersuara membela nasib
Amni.
“Siapa
kita ma… nak tetapkan kotor atau bersih darah seorang manusia? Mama jangan
lupa, kita ni semua hanya hamba… yang berkuasa dan ada hak untuk menilai diri
kita, hanya Dia yang Maha Esa. Mama tak boleh marahkan Amni, semata-mata sebab
Reza cintakan dia. Sekalipun Reza tak cintakan Amni… Zatil pun tak boleh kahwin
dengan dia, mama.”
Tercengang
Mak cik Ramlah mendengar keputusan daripada bibir anak kesayangannya. Makin
mendidih darah tuanya. “Zatil jangan nak melawan cakap mama!” tegasnya.
“Zatil
bukan nak lawan cakap mama, tapi Zatil tak boleh ma…”
“Kenapa?”
memerah wajah Mak cik Ramlah.
“Zatil…
Zatil…” tergagap Zatil hendak bersuara. Jemarinya di bahu Amni menjadi sejuk.
Takut mula menyelebungi diri. Bimbang dengan reaksi mamanya. Apakah ini masa
terbaik untuk membongkarkan rahsia yang disembunyikan daripada mamanya? Di
hadapan keluarga Reza? Hatinya mula berteka-teki sendiri.
Namun,
saat matanya terpandang wajah Amni yang masih tertunduk sayu, hatinya
dikuatkan. Dia harus memperkatakan kebenaran. Walaupun ia mungkin menyakitkan.
“Kenapa
Zatil?” suara Mak cik Ramlah meninggi.
“Zatil…
sebenarnya…”
“Dah
kahwin?” sambung Mak cik Ramlah sendiri. Wajahnya makin merah. Panas terasa
sehingga ke hujung kepala. Otaknya seakan bergegar. Matanya mencerun pada wajah
jelita, Zatilhusna. Anak kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh.
“Sampai hati Zatil belakangkan mama!” ucapnya terluka.
“Zatil…”
tidak sempat Zatilhusna bersuara, Mak cik Ramlah sudah mencelah. Disebabkan
terlalu marah, tubuh Amni menjadi mangsa.
“Ma…”
Zatilhusna sudah tidak senang melihat reaksi mamanya.
“Mak
cik… bawak bersabar mak cik. Jangan mengamuk macam ni.” Reza turut mencelah.
“Betul
tu, benda ni masih boleh dibincang dengan elok.” Celah ibu Reza juga.
Melihatkan keadaan yang semakin hilang kawalan, masing-masing sudah mulai buntu
melihat keadaan yang semakin gamat.
“IKUT
saya balik.” Tegas arahan itu. Namun Amni cuba beriak bersahaja. Hatinya sudah
tawar. Segala yang diucapkan oleh Mak cik Ramlah hanya membuatkan dia semakin
hilang hala tuju. Semakin terasa jauh daripada Reza. Semakin besar jurang
perbezaan antara dia dan lelaki itu. Yang pastinya, dia terasa dirinya tidak
layak.
Biarpun Zatilhusna sudah menjelaskan
pada Mak cik Ramlah tentang pilihan hatinya yang masih berada di Glasglow.
Namun, Mak cik Ramlah seakan tidak mahu menerima penjelasan anaknya itu.
Biarpun Zatilhusna tidak berkahwin secara rahsia seperti telahan Mak cik
Ramlah, namun pilihan Zatilhusna tetap tidak mendapat restu daripada Mak cik
Ramlah. Sebabnya… lelaki itu bukan seorang Muslim.
“Dia sedang belajar mendalami Islam,
mama.” Seakan terngiang lagi dalam ruang telinga, suara rayuan Zatilhusna yang
memujuk Mak cik Ramlah.
“Sebab nak kahwin, nak tukar agama?
Baik tak usah…” balas Mak cik Ramlah sinis. Jelas tergambar riak luka di wajah
Zatilhusna.
“Zatil kenal dia mama… sebelum kenal
dengan Zatil lagi, dia dah mula mendalami Islam…”
“Tapi dia tak masuk Islam lagi kan?”
cantas Mak cik Ramlah dengan lagak singanya.
Amni mengeluh. Terasa penat dengan
kehidupan ini. Matanya beralih pandang ke sebelah. Reza masih setia menanti di
sisi. Biarpun sudah menyatakan jawapannya, namun Reza masih berdegil hendak
membawanya bersama.
“Amni… ikut saya.” Ajak Reza.
“Tak nak.”
“Kenapa? Mak cik awak dah halau awak
keluar dari rumah… awak nak ke mana? Ikutlah saya… saya boleh jaga awak. Saya
akan jaga awak, sepanjang hayat saya…” tulus sekali Reza menyatakan hasratnya.
“Please Amni… tolong, jangan buang saya
daripada hidup awak.”
“Susah Reza… saya dengan awak, bukan
padanan yang seeloknya. Awak boleh cari perempuan yang lebih baik. Solehah.
Keturunan yang baik… bukan macam saya, anak luar nikah. Entah lelaki mana yang
jadi ayah saya… saya pun tak tahu.”
“Amni… jangan macam ni. Jom, ikut
saya.”
“Balik Reza!” Amni tidak mahu
beralah. Makin dipujuk, makin keras jadinya.
“Janganlah…”
“Balik! Saya kata, balik!” marah
Amni. “Awak tak faham ke? Saya ni… anak luar nikah! Awak tak dengar ke, apa
yang mak cik Ramlah cakap tadi? Awak ni buta ke, sampai tak dapat nak bezakan
mana satu perempuan yang layak dijadikan isteri?” hambur Amni. Air matanya
turut mengalir saat menuturkan kata buat Reza. Hatinya makin terluka. Dia
cintakan lelaki itu, tetapi… apa yang terjadi hari ini, seakan mengkaburkan
perasaannya sahaja. Dia buntu.
“Saya pernah buta sekali… melepaskan
seorang gadis yang sangat saya cintai,” perlahan Reza berkata. Namun jelas
sekali pada pendengaran Amni. Hatinya mula berdetak. Cemburu tiba-tiba. Tetapi,
didiamkan sahaja. Tidak memberikan sebarang reaksi.
“Kalau awak rasa saya buta… ya saya
buta! Saya buta… kerana tak dapat nak menilai kecantikan hati dia. Saya buta…
kerana tak dapat menilai kejujuran yang dipamerkan pada saya selama kami
berkasih. Saya buta… kerana tak dapat melihat betapa hancurnya hati dia, bila
saya… lelaki yang pernah dia cinta, tak percayakan dia. Saya memang buta… dan
sebab tu, saya kehilangan dia. Dia yang sangat saya cinta… dia yang sangat saya
sayang… hanya kerana, dia ternoda.”
Amni tergamam. Pipi Reza yang mula
dibasahi air mata, dipandang tanpa berkelip. Hatinya terasa sayu sekali.
“Sekarang ni, dia sangat bahagia
dengan kawan baik saya. Putaran takdir, membuatkan saya menjadi insan yang
malang pada ketika itu. Tapi, salah saya. Menghukum manusia tanpa menyedari
saya pun banyak kurangnya. Menghukum seorang gadis hanya kerana dia ternoda
tanpa kerelaan. Mungkin masa tu, saya alpa! Saya sebagai seorang manusia biasa
tak layak untuk menghukum dosa sesiapa pun. Saya lupa… sebenarnya manusia ni,
tak pernah sempurna. Setiap orang pun, ada kekurangan dan kelebihan mereka. Dan
setiap ujian yang Allah berikan juga, pasti ada hikmah di sebaliknya. Saya
yakin… dan saya rasa, saya dah tahu apa hikmahnya saya tak ditakdirkan untuk
dia…” Reza sudah tersenyum kecil sambil memandang wajah Amni.
“Apa?” soal Amni tidak sabar.
Hatinya yang sudah berombak dengan badai cemburu membuatkan dirinya terlalu
gopoh untuk mendengar jawapan daripada Reza.
“Saya ditakdirkan untuk menjaga
awak. Memberikan kehidupan yang lebih sempurna untuk Amni saya… sama ada awak
suka, ataupun tak… saya tak kisah. Saya tetap akan buat apa yang saya rasa nak
buat. Dan sekarang ni, saya nak awak ikut saya balik. Jangan nak banyak alasan…
sekarang, ikut!”
Tanpa sedar, terukir juga senyuman
kecil di bibir Amni. Tidak dapat dinafikan, dia lega sekali mendengar itu.
‘Amni saya…’ sebaris kata itu, mencambahkan bahagia juga dikala hati diulit
duka.
ZATILHUSNA
termenung sendiri. Lain yang dirancang, lain pula jadinya. Tidak pernah
terduga, dia akan melukakan hati mama sehingga ke tahap ini. Sekarang ini, mama
tidak lagi bercakap dengannya. Pandang wajahnya pun sudah tidak sudi. Setitis
air mata jatuh juga ke pipi. Dia benar-benar kecewa dengan dirinya. Membuatkan
mama terluka, tidak pernah dipinta. Tapi keadaan malam itu telah mendesaknya
untuk melakukan perkara itu. Dia perlu pertahankan cinta Amni. Dia perlu bela
cinta Reza. Untuk itu, dia harus mendedahkan cinta hatinya. Dan apa yang
terjadi… segalanya di luar kawalan minda.
“Jemput minum kak Zatil.”
Pelawaan Amni membuatkan Zatilhusna
kembali menyedari keberadaannya. Pantas air matanya diseka dengan hujung jari.
“Akak…” Amni pantas juga dapat
mengesan. “Kenapa?” soalnya risau.
“Mama…” Zatilhusna bersuara hiba.
“Mama dah tak nak cakap dengan akak… pandang pun tak nak. Semua yang akak
cakap, dia buat tak dengar… Amni pun dah tak ada dekat sana, mama nampak serba
tak kena. Akak dah tak tau nak buat apa… akak tak berniat pun nak lukakan hati
mama… tapi, akak tak boleh nak kawal hati dan perasaan akak. Akak cintakan
Derrick. Amni faham kan perasaan akak?”
“Akak… cubalah pujuk Mak cik Ramlah.
Mak cik mesti berlembut juga dengan akak.” Amni memujuk.
Zatilhusna menggeleng laju. “Tak
mungkin! Amni tak ingat macam mana dia mengamuk masa malam tu. Sampai dia
sanggup halau Amni… rasanya, kalau ikutkan hati, dia akan halau akak sekali…
tapi mungkin dia tak tega. Tapi sebenarnya keadaan ni lebih menyeksa akak… mama
ada depan mata, tapi macam tak ada. Apa yang akak nak buat Amni…” rintih
Zatilhusna.
“Amni pun tak boleh nak buat apa
kak… mak cik bukan sukakan Amni. Lagi lepas apa yang dah jadi ni, makin tak
sukalah mak cik. Mungkin bertambah benci agaknya.”
“Mama tak pernah bencikan Amni,”
tegur Zatilhusna tidak senang.
“Tak kak… mak cik memang bencikan
Amni.” Amni tetap dengan rasanya.
“Mama tak pernah bencikan Amni. Akak
lebih tahu… percayalah.” Zatilhusna berkata dengan yakin. “Kalau mama benci,
dah lama mama buang aje Amni dekat mana-mana rumah kebajikan. Tapi mama tak
buat macam tu… mama bela Amni. Mama jaga makan, pakai Amni… ya kan? Jadi…
jangan nak anggap mama bencikan Amni. Sekeras mana pun hati mama akak, dia
tetap tak pernah bencikan Amni.”
“Walaupun dia tak benci, dia tetap
tak pernah sayangkan Amni,” balas Amni dengan hiba.
Zatilhusna terdiam. Tidak dapat
berkata apa-apa.
“Zatil…” Zatilhusna beralih pandang
pada Reza yang menyapanya. Melihat pada pakaian yang tersarung di tubuh Reza,
memboleh Zatilhusna meneka Reza baru sahaja pulang dari pejabat.
“Dah lama sampai?” soal Reza.
“Baru lagi…” balas Zatilhusna.
Seketika dia diam. Memikirkan cara untuk menyampaikan hasratnya. “Saya nak ajak
Amni balik…” sambungnya.
Amni terkedu. Reza memandangnya lama
dengan renungan tajam.
“Reza…” panggil Zatilhusna.
“Tak boleh!” balas Reza pantas.
“Tak elok awak tinggal dengan Amni.
Awak bukan ada ikatan dengan dia lagi.” Tegur Zatilhusna dengan berhemah. Itu
adalah tujuan utama dia ke sini. Biarpun mamanya sudah menghalau Amni, dia
hendak membawa gadis itu pulang ke rumah semula. Amni bukan anak luar nikah!
Dia tetap saudara Zatilhusna. Biar apa pun hendak dikatakan oleh mamanya nanti,
dia sudah bersedia untuk menghadapinya.
“Saya bukan tinggal berdua dengan
dia… ibu saya ada. Lagipun, mama awak pun dah halau dia kan…” sinis Reza
berkata.
Zatilhusna tersenyum tipis. “Mama
saya… dia bertindak masa hati dikuasai amarah. Dia mungkin tak sedar masa tu.
Tapi saya tahu, hatinya tak tenang bila Amni tak ada di depan mata. Dah tujuh
tahun… dia dah terbiasa dengan adanya Amni di rumah. Izinkan saya bawa Amni
semula. Kalau mama dapat tahu Amni tinggal dengan awak, lagilah dia akan marah.
Nanti lagi macam-macam akan dihamburkan pada Amni…” pujuk Zatilhusna.
Sememangnya dia sudah tidak mahu memanjangkan amarah mamanya. Oleh itu, Amni
harus pulang bersama. Biar mereka selesaikan semuanya secara berhemah.
Hidup berantakan begini? Siapa yang
suka. Walaupun mewah berharta, tapi hidup dengan memutuskan silaturrahim sesama
saudara Islam, di mana berkat-Nya?
“Saya janji… saya dengan mama akan
hantar Amni ke sini, dengan penuh adat.” Zatilhusna bersuara dengan yakin.
Senyuman terukir di bibir. Melihatkan Reza yang sudah mengangguk kecil, hatinya
melonjak riang.
TERMENUNG.
Itulah rutin hariannya kini. Pergi atas, sunyi. Duduk bawah, sunyi. Halaman
rumah, sunyi. Kosong. Kekosongan rumah membuatkan jiwanya terasa kosong sekali.
Kenapa hidupnya tidak pernah terisi biarpun dia mempunyai segalanya? Mak cik
Ramlah mengeluh sendiri. Kakinya sudah melangkah ke bangku di luar rumah. Cuba
untuk mencari ketenangan di situ.
Mindanya terus memikirkan segala
perkara yang telah membuatkan amarahnya melonjak tinggi. Hatinya sakit sendiri.
Amni, Zatil… dua-dua pun hanya tahu hendak menyakitkan hati tuanya sahaja.
“Assalamualaikum…”
Mak cik Ramlah mengangkat wajah.
Seorang mak cik tua, yang begitu daif keadaannya berdiri di depan pintu pagar.
“Boleh bagi segelas air kosong nak…
mak cik dahaga, panas terik sangat hari ni.” Pinta mak cik tua itu.
Namun Mak cik Ramlah diam tidak
berkutik di tempat duduknya. Sekali lagi, mak cik tua itu mengulang ayat yang
sama. Permintaannya penuh harapan. Namun, Mak cik Ramlah tidak melayan.
“Terima kasih nak…” ucap mak cik tua
itu dengan senyuman. Mak cik Ramlah terkedu. Terima kasih untuk apa? Bukannya
dia memenuhi permintaan mak cik itu pun. “Terima kasih sebab tak halau mak cik
macam orang lain selalu buat… biarpun semua pun sama, berkira-kira untuk
menghulurkan segelas minuman buat mak cik, tapi tak apa… Allah tahu apa yang
terdetik dalam hati hambanya.” Mak cik tua itu tersenyum. “Mak cik doakan anak
bahagia dan lebih tenang dalam hidup ni. Mak cik walaupun tak cukup makan,
pakai… tapi mak cik ada, sesuatu yang anak tak ada.”
Mak
cik Ramlah tertanya-tanya, apakah itu?
“Ketenangan…”
Keadaan
menjadi hening seketika. Mindanya memproses segala kata, sehingga mak cik
tua itu hilang daripada pandangan mata.
Sebelum sempat Mak cik Ramlah memenuhi permintaannya. Apa guna ada harta yang
banyak, kalau hendak memberi segelas air kosong pun mindanya masih
berkira-kira? Apa guna mengharapkan yang baik-baik daripada orang di
sekelilingnya, kalau dia tidak dapat memberikan yang sebaiknya buat mereka.
Suara hati bergema, seakan menyindir segala perbuatan yang dilakukan selama
ini. Tanpa sedar, sebutir mutiara jernih gugur juga membasahi pipi. Memikirkan
kedaifan diri.
Dia
memiliki semuanya tetapi tidak, ketenangan…
SUJUD
terakhir itu dipanjangkan. Dengan rasa rendah diri, keampunan dipohon. Semoga
kehidupan mereka lebih diberkati. Selesai memberi salam, telinganya sudah
menangkap bunyi pintu pagar dibuka. Marah yang mulai reda, kembali memarak.
Namun seketika sahaja, dia cuba untuk bersabar.
Seakan segar pada pendengerannya, siaran
televisyen yang agak kuat daripada jiran sebelah, kebetulan menyapa gegendang
telinganya. Jelas sekali suara Ustaz sedang menerangkan sepotong hadis nabi
s.a.w, “Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya seorang lelaki berkata kepada
Nabi s.a.w, “Berwasiatlah kepadaku,” Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah
engkau menjadi seorang yang pemarah.” Lelaki itu mengulangi permintaan beberapa
kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang pemarah.”
“Tuan-tuan yang dirahmati Allah
sekalian, kenapa nabi berpesan pada kita supaya jangan marah… apabila kita
marah, hati ini akan mula dikuasai rasa ego, bongkak. Lidah pula, akan
terdorong untuk mengatakan yang tidak-tidak… mengguris hati dan perasaan orang
lain. Dan pada ketika itu, kita mungkin tidak sedar… sebenarnya diri kita sudah
mula dikuasai syaitan. Dengan hembusan hasutan supaya kita terus marah dan
marah… lantas tanpa kita sedar, kita sebenarnya telah melakukan salah satu
perbuatan yang tercela.”
“Istighar tuan-tuan yang dikasihi
oleh Allah… bila mana rasa hati ini mula dikuasai rasa marah, kita beristghfar,
mohon keampunan pada Dia. Minta diri dilindungi daripada syaitan yang durjana…
berwuduk dengan sebaiknya agar diredakan kemarahan yang mulai marak. Sebab Nabi
s.a.w bersabda, “Sesungguhnya kemarahan itu adalah daripada syaitan dan syaitan
dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia
berwuduk.”
Serentak itu juga Mak cik Ramlah
mengangkat punggung daripada bangku di luar rumah, dan mula melangkah masuk
cuba meredakan kemarahan dalam hati dan mencari ketenangan yang tidak kunjung
tiba.
“Assalamualaikum… mama.” Suara
Zatilhusna perlahan. Bernada sebak. Melihat mamanya yang tertunduk menekur
sejadah, hatinya menjadi hiba. Dia bersalah. Dia berdosa pada mama. Laju
kakinya meluru dan bibirnya sudah mula mengucup telapak tangan mamanya dengan
rasa sendu.
“Zatil minta maaf mama… Zatil minta
maaf.” Rayunya.
Amni terus tercegat di tempat
berdirinya tadi. Hatinya berdebar menanti tengkingan Mak cik Ramlah. Namun,
dikala matanya menangkap linangan air mata di pipi mak ciknya, hatinya menjadi
sebak. Kasih ibu tiada tolok bandingnya. Sejahat mana pun seorang ibu itu, dia
tetap ibu yang melahirkan kita. Lantas, wajib untuk dihormati selagi mana tiada
permintaan yang melanggari syariat dan batasan Islam.
“Mama maafkan Zatil?” soal
Zatilhusna sambil mengesat linangan air mata di pipi mamanya.
“Kenapa Zatil hancurkan kepercayaan
mama?”
“Zatil… Zatil tak sedar ma. Rasa
hati dan perasaan ni, bukan sesuatu yang kita boleh kawal…” Tenang sahaja
Zatilhusna menjawab.
“Tapi dia betul ke jujur dengan
Zatil?” soal Mak cik Ramlah dengan begitu risau. Wajah anak kesayangannya
ditatap lama. Sedikit pun dia tidak sedar dengan kehadiran Amni di sisi mereka.
Zatilhusna tersenyum kecil. “Mama
jangan risau… Zatil yakin dengan pilihan ni. Mama setuju ya?”
“Kalau mama kata ya, apa yang mama
dapat?”
“Seorang menantu yang baik dan
soleh, insya-Allah.” Zatilhusna sudah beralih pandang ke sisi. Melihat wajah
Amni yang kelihatan begitu redup sekali melihat kemesraan dia dan mamanya.
Hatinya terjentik rasa hiba. Ya Allah, mohon permudahkan segalanya.
“Mama… kalau mama boleh restu
pilihan Zatil, kenapa tidak Amni ma?”
Mak cik Ramlah tersentak. Kalih
sahaja ke sisi, wajah yang menaikkan amarahnya sudah berlayar di ruang mata.
“Kenapa dia ada dekat sini? Dah tak ingat yang mama halau dia?” keras Mak cik
Ramlah bertanya. Hilang terbang seluruh tekadnya untuk tidak marah.
“Mama… seminggu Amni tak ada dekat
rumah, apa yang Zatil nampak, mama jadi serba tak kena. Pagi-pagi dah sebut
nama Amni… petang-petang pun macam tu. Malam lagilah, termenung depan pintu
bilik dia.” Ucapan Zatilhusna membuatkan Mak cik Ramlah dan Amni terkedu
serentak. Amni dengan pandangan tidak percaya. Mak cik Ramlah pula seakan
gelisah, seolah tidak menyedari perbuataannya.
“Mama bencikan Amni ke ma?” lembut
Zatilhusna bertanya. “Dia anak yatim mama… siapa yang dia ada, kalau bukan
kita.”
“Mama tak suka!” lantang suara Mak
cik Ramlah tanpa memandang ke arah Amni.
“Lepaskan semua rasa marah mama buat
Amni. Bukan salah dia pun kalau hati dia dah sukakan Reza. Apa salah dia sampai
mama nak hukum dia macam ni? Dia pun manusia biasa mama… ada rasa untuk
dicintai dan mencintai. Tujuh tahun mama jaga dia dekat rumah ni, sikit pun tak
ada rasa kasih untuk Amni? Kesian dia ma… siapa yang dia ada selain kita. Kalau
mama pun buang dia… mana lagi yang dia ada untuk bertumpang atas nama
keluarga.”
“Mak dia dah mengacau-bilaukan
keluarga mama. Macam mana mama nak maafkan mak dia?”
“Apa maksud mak cik?” Amni menyoal.
Dalam pada rasa takut menguasai diri, dia tidak dapat membendung rasa ingin
tahu dalam dirinya. Melihat pandangan Mak cik Ramlah yang begitu terluka itu,
dia pasti… ada yang lebih besar daripada wang ringgit sebenarnya. Tetapi apa?
“NAK
fikirkan apa lagi Amni?” Zatilhusna sudah mengambil tempat di sisi Amni. Amni
tersenyum hambar. Fikirkan apa? Dia tidak fikirkan semua ini akan menjadi satu
rentetan kisah yang menyayat hati buat Mak cik Ramlah. Mak cik? Kelu lidah Amni
hendak menyebutnya. Malu dengan diri sendiri. Dia pula terasa malu apabila
dikhabarkan kisah, ibunya mempunyai hubungan sulit dengan suami Mak cik Ramlah.
Dan dia… anak daripada hasil hubungan itu!
“Amni tak tahu nak fikirkan apa lagi
kak…”
“Akak tahu, mama buat semua ni sebab
dia fikirkan masa depan Amni. Walaupun mulut dia tak henti-henti cakap benci,
tapi sebenarnya dia sayangkan Amni. Mungkin sebab Amni ni anak kepada papa…
muka Amni pun, lebih pada iras papa…” ujar Zatilhusna dengan gembira. Kebenaran
sudah didengari sepenuhnya. Amni tidak boleh ke mana lagi, dia tidak akan
biarkan hidup adik perempuannya ini terkontang-kanting di luar sana.
“Sebab itu mama selalu rindu nak
tengok muka Amni… rupanya mengingatkan dia pada ex…” Zatilhusna tertawa. Amni
sudah menjegilkan mata.
“Mama akak dengar nanti…”
“Biarlah…” Zatilhusna mencebik.
“Dalam kita tak sedar, mama sebenarnya melepaskan rindu dalam diam.” Zatilhusna
ketawa lagi.
“Akak…” Amni tidak senang.
“Seronok sangatlah perli mama…”
sinis suara Mak cik Ramlah menyapa.
Amni diam tidak berkutik. Zatilhusna
masih ligat dengan tawanya.
“Mama… orang cakap benda betul.
Tengok muka Amni ni… baru Zatil sedar, kenapa mama tercari-cari muka dia selama
seminggu…” kening Zatilhusna terjungkit. Mengusik. “Rindu dengan papa, eh?”
usiknya lagi.
“Jangan nak mereka cerita sangatlah!
Papa kamu tu bukan sayangkan mama pun. Buat apa nak rindukan dia…”
“Alah mama ni. Don’t deny lah… cinta
pertama kata orang, takkan mungkin luput dari minda. Please, admit it!”
“Amni, kau pergi masuk… siapkan
makan aku. Duduk dengan Zatil ni, nanti rosak fikirkan kau…” arah Mak cik
Ramlah tegas. Amni sudah mencicit laju ke dalam rumah. Rutin hariannya sudah
berulang. Cumanya, dia sudah tidak pergi kerja, berjemput dan berhantar oleh
Mak cik Ramlah. Zatilhusna dalam diam, sudah mengarahkan Reza mengambil alih
tugas itu.
“Jaga anak kesayangan ya mama…” usik
Zatilhusna lagi. Melihatkan mamanya terdiam tidak berkata, dia terus menyambung
ayatnya, “Cakaplah yang mama sayangkan dia… biarlah dia rasa bahagia, disayangi
seorang ibu mama… bukan kehendak dia untuk lahir dalam hubungan tu. Bukan
pilihan dia…” ujar Zatilhusna dengan penuh harapan.
“Zatil tahu… mama Zatil, memang
sayangkan dia. Zatil tahu.” Zatilhusna bersuara yakin, meninggalkan mamanya
yang kehilangan kata.
AMNI
melihat sahaja Reza menjamah makanan di dalam pinggan berwarna putih. Seleranya
tiada. Mindanya tidak fokus permintaan perut biarpun ia minta untuk diisi.
“Tak lapar ke?” soal Reza dengan
rasa hairan. Entah apa yang merunsingkan minda Amni pada ketika ini? “Ada
masalah ke?” soal Reza lagi. Hatinya mula diterpa rasa bimbang melihat Amni
termenung sendiri.
“Kalau fikirkan hal kita, jangan
risau… ibu saya akan uruskan semua. Penuh adat katanya…” ucap Reza bahagia.
Syukur kerana tiada halangan daripada pihak
ibunya. Malah ibu juga sudah bersetuju untuk masuk meminang Amni secepat
mungkin. Ini semua kerana penangan seminggu Amni berada di rumah mereka, ibu
sudah biasa berteman katanya. Reza hanya tersenyum bahagia melihat kegembiraan
di wajah ibunya.
“Kenapa ni Amni?” soal Reza lagi.
Kegembiraan hanya terpancar di wajahnya, tetapi tidak Amni.
“Amni rasa bersalah…”
“Sebab?”
“Sebenarnya Mak cik Ramlah hanya
menerima kekecewaan daripada orang-orang yang dia percaya dan sayang… suami
dia, ibu Amni, Amni…” ucap Amni sedih. Hatinya menjadi hiba apabila terkenang
cerita daripada bibir Mak cik Ramlah. Biarpun tidak berada di tempat Mak cik
Ramlah, tetapi dapat dirasakan kesakitan itu apabila kepercayaan yang diberi
itu dihancurkan.
“Hidup ni kadang-kadang lebih rumit
daripada yang manusia jangka… kadang-kadang kita ada pada landasan yang benar.
Kadang-kadang jauh kita tersasar… semuanya bergantung pada kekuatan hati dan
takwa dalam diri kita, Amni. Kita doakan supaya Allah sentiasa kuatkan keimanan
kita supaya hidup ini akan lebih berkat dengan redha-Nya. Reza tengok, Mak cik
Ramlah tu dah tak marah sangat macam dulu… cakapnya tu, biarpun kasar… tapi ada
juga yang berubah.” Komen Reza sekilas. Ya, dia yang sekadar menjenguk
sekali-sekala pun sudah dapat mengesan perubahan itu.
“Mak cik dah selalu dengar ceramah
agama… dekat rumah tu, kalau bukan ceramah agama, silap-silap Amni dengan kak
Zatil yang kena ceramah.” Amni sudah tertawa. Masih terbayang di ruang mata,
wajah Zatil terkulat-kulat kena marah dengan Mak cik Ramlah sebab asyik sangat
dengan drama korea sehingga menganggu schedule segmen Tanyalah Ustaz.
“Amni…” perlahan suara Reza
memanggil. Amni sudah berhenti ketawa.
“Senyum untuk saya,” pinta Reza.
Amni tersenyum.
“Bahagia dengan saya,” ucap Reza.
Amni tersenyum juga.
“Duka dengan saya,” sambung Reza
lagi. Senyuman di wajah Amni mati bersama kata.
Reza pula tersenyum. “Hidup bersama,
bukan untuk bahagia aje… suka dan duka, insya-Allah, kita akan lalui bersama.
Saling melengkapi, kekurangan saya… kelebihan awak. Dan kekurangan awak,
kelebihan saya.”
“YANG
kau termenung ni kenapa pulak?” soalan Mak cik Ramlah yang langsung tiada nada
ramah-mesra itu menyapa telinganya. Pantas Amni membetulkan duduk.
“Amni minta maaf dengan mak cik…”
ucap Amni perlahan. Berhari-hari sudah berlalu, namun perkataan maaf itu tidak
pernah berhenti terluah daripada bibir.
“Aku dah cakap kan, aku dah maafkan.
Kau ni tak faham ke? Nak aku halau kau keluar semula?” marah Mak cik Ramlah.
Amni menelan liur. Cakap dah maafkan, tapi tengking itu tidak hilang juga.
“Tapi mak cik… cakap macam
marah-marah?” soal Amni takut-takut.
“Dengan kau… aku tak boleh nak cakap
lembut-lembut. Nanti kau naik lemak pulak!” kuat lagi suara Mak cik Ramlah.
“Alah…mama ni. Bukan nak mengaku
yang takut dia gila bayang semula dengan papa kalau cakap lembut-lembut dengan
Amni.” Perli Zatilhusna yang baru selangkah masuk ke dalam rumah. Kerjanya
sudah bermula. Penat pun ya jugak apabila seharian berada di klinik merawat
pesakit yang datang.
Mak cik Ramlah sudah menjeling tidak
senang. Namun Zatilhusna berpura-pura tidak nampak. Makin ‘mengapi-apikan’
jiwanya dengan nama ex-husband itu!
“Lupa nak cakap… pagi tadi ibu Reza
telefon. Hujung minggu ni, dia nak bawa rombongan meminang.” Cantas Mak cik
Ramlah untuk tidak membiarkan Zatilhusna terus mengusiknya.
“Meminang siapa ma?” soal Zatilhusna.
“Amnilah! Takkan Zatil pulak.” Mak
cik Ramlah semakin geram. Suka sangat anaknya memainkan dirinya.
“Mama setujulah ni?”
“Zatil!!! Nanti mama tak setuju, kau
orang berdua yang merana… kalau Amni tak kahwin, Zatil pun tak payah kahwin!”
ugut Mak cik Ramlah.
“Amboi ma… garangnya. Orang tanya
aje kan…” Zatilhusna sudah memeluk erat lengan mamanya. “Cuba sampaikan berita
gembira tu, dengan muka yang bahagia ma…” tegur Zatilhusna lembut. “Tak ada
salahnya kalau mama tunjukkan rasa bahagia sikit sebab anak mama nak dipinang
orang…”
“Siapa an…”
“Mama…” laju sahaja Zatilhusna
memintas. “Amni pun anak mama jugak.”
Mak cik Ramlah terdiam lagi,
kehilangan kata. Amni sudah dikaburi dengan linangan air mata. Mama?
MAMA?
Hatinya sudah terasa lain sahaja. Album lama yang berada dipegangan itu diselak
perlahan. Sekeras-keras hatinya, sekasar tutur katanya, namun cair juga saat
pertama kali bersua pandang dengan si kecil yang dikatakan anak kepada bekas
suaminya itu. Wajah yang saling tidak tumpah seperti lelaki yang dicintainya
itu hanya menimbulkan amarah. Kecewa saat kepercayaan yang diberi, diragut
sedemikian rupa.
Peluang yang terbuka untuk melihat
Amni di depan mata, tidak dipersiakan begitu sahaja. Ya, wang ringgit mampu
mendapatkan segalanya. Dia berjaya mendapatkan seraut wajah yang mirip bekas
suaminya itu berada di ruang mata. Mata itu, bibir itu dan hidung itu, semuanya
begitu mirip sekali. Namun, hatinya tidak kuat sebenarnya. Berdepan dengan
wajah yang berkait dengan kehancuran hatinya, membuatkan di terseksa sahaja.
Lantas dipamerkan riak garang. Tidak mesra.
Kedengaran pintu bilik terkuak
perlahan. Wajah Amni yang sangat sugul terpacul di depan mata. Hatinya kembali
berdetak. “Salah ke mama… kalau mama tunjukkan kasih sayang mama pada Amni? Dia
tak ada salah apa pun dengan mama… kalau diberi pilihan, Amni tak mungkin nak
lahir dengan cara menghancurkan hati mama.” Suara Zatilhusna sayup menusup ke
jiwa.
“Boleh Amni masuk?” pertama kali
Amni dengan beraninya hendak menapak bersendirian ke dalam ruang ini.
Anggukan Mak cik Ramlah memudahkan
segalanya. Lantas dia mula menapak. “Mak cik…” panggil Amni dengan sayu. “Amni
rasa tak tenang. Amni rasa bersalah…” ucap Amni dengan kalut. Namun
kata-katanya mati sendiri apabila telunjuk Mak cik Ramlah terletak elok di atas
bibir. Mematikan kata.
“Dah 23 tahun… hidup mak cik pun tak
pernah rasa tenang. Amni lahir… papa Amni pun pergi tinggalkan mak cik dengan
Zatil. Ibu Amni pulak, kahwin lain. Kalau lelakinya berguna, tak apa jugak. Ini
yang tak berguna jugak dicarinya! Selama ni… mak cik sanggup bagi duit untuk
ibu Amni pun, sebab… nak jaga ‘harta’ milik bekas suami mak cik. Biar anak dia
dalam keadaan yang baik-baik aje…”
Air mata Amni sudah mengalir tanpa
isyarat.
“Mak cik tak tahu macam mana nak
berlembut dengan kau…” tanpa nada, Mak cik Ramlah mengucapkan kata. “Mak cik
tak tahu macam mana nak tunjukkan kasih tu… sebab setiap kali mak cik tengok
muka kau, mak cik teringat ibu kau yang sanggup tikam belakang mak cik dengan
cara ni.”
Amni diam tidak mencelah. Pada masa
yang sama, air mata Mak cik Ramlah sudah mula menitis juga. Serentak itu Mak
cik Ramlah menggenggam jemarinya.
“Mak cik mungkin tak reti nak
berlembut dengan kau… tapi…” Mak cik Ramlah menelan liurnya seketika. Kata-kata
Zatilhusna bergema di pendengaran. “Mak cik tak bencikan kau… mak cik cuma
marah dengan semua benda yang dah jadi dalam hidup mak cik. Tapi itulah… mak
cik ni manusia biasa, kadang-kadang terlupa jugak. Semua yang jadi ni pun,
bukan terletak di tangan kita… mak cik harap, kau tak simpan dalam hati segala
kemarahan mak cik sebelum-sebelum ni.”
Amni tersenyum dalam linangan air
mata. Mungkin ini saat bahagia mulai menyapa keluarga mereka. Dia dan mak cik
Ramlah dapat duduk bersama begini, tidak pernah sekali dia membayangkan keadaan
hari ini akan terjadi.
****
YANG
berlalu, biarkan berlalu. Hadapi kehidupan yang akan datang dengan cemerlang.
Amni sudah tersenyum bahagia memikirkan kisah hidupnya yang semakin ceria.
Bertambah bahagia dengan kehadiran seorang jejaka yang tidak lokek memberikan
kasih sayang buat dirinya.
“Amni…”
Amni sudah berpaling dengan senyuman
yang begitu manis di wajah. Matanya tidak berganjak walau seinci pun daripada
wajah Reza. Segaknya dia!
“Hisy! Anak dara… apa tenung anak
teruna orang sampai macam tu.” Teguran Zatilhusna membuatkan Amni tersenyum
malu. Akaknya ini, langsung tak bagi peluanglah!
“Janganlah jealous…” bisik Amni.
Zatilhusna menjeling manja.
“Mestilah… buah hati kami jauh, kena seberang lautan biru.”
“Siapa suruh cari jauh sangat.
Merentas lautan biru konon!” perli Amni tidak mahu kalah.
“Kata dah cinta… dah suka. Jauh mana
pun tak kisah lah…”
“Jadi, jangan nak merungutlah!”
sindir Amni dengan nada lawak. Zatilhusna mencebik geram.
“Macam mana ni? Okey?” soalan Reza
mengalihkan pandangan Amni. Zatilhusna sudah berlalu untuk mencuci pandangan
matanya dengan busana-busana pengantin yang begitu indah sekali.
“Sangat okey…” komen Amni. Reza
kelihatan begitu segak dengan persalinan berwarna turquoise itu. Baru hari ini
lelaki itu sempat mencuba pakaian pengantinnya. Kalau tidak asyik sibuk sahaja.
Macam-macam urusan hendak diselesaikan sebelum majlis mereka. Itu kata Reza.
Tapi kata Amni, Reza sengaja beralasan. Malas hendak ‘bergaduh’ untuk memilih
warna pakaian mereka. Amni hendak pink, Reza kata perempuan sangat. Amni kata
hijau, Reza kata dah macam shrek pula. Amni cakap oren, Reza kata… tak naklah
jadi Garfield tengah-tengah majlis itu! Habis semua warna dibangkangnya…
“Awak punya?” soal Reza. Teringin
benar untuk melihat pakaian pengantin Amni.
Amni sudah tersenyum meleret.
“Surprise la… tunggu masa hari kenduri ya.”
“Tak aci betul!”
Amni ketawa. Reza yang mulanya
menjeling geram, akhirnya tertawa juga.
Loceng pintu butik yang berbunyi,
membuatkan pandangan beralih seketika. Terus kaku matanya pada figura wanita
yang sedang melangkah masuk ke dalam butik itu. Ana!
“Ana…” bibir Reza tidak dapat
menahan untuk menyebutnya.
“Reza…” Ana kelihatan terkejut.
Matanya beralih pada gadis yang berdiri di sisi Reza. “Don’t tell me…” dia
seakan sudah dapat meneka.
“Akhirnya…” balas Reza gembira.
“Alhamdulillah…” ucap Ana, begitu
tergambar kegembiraan dalam nada suaranya.
“Buat
apa dekat sini?” soal Reza kehairanan.
“Teman
Su, dia ada kat dalam bilik tu tengah make up. Hari ni dia bertunang.”
“Abang…” Ana sudah memanggil. Faisal yang baru
sahaja melangkah masuk ke dalam butik, turut terkejut melihat Reza.
“Reza dah nak kahwin dah… tak cakap
dengan kita pun kan.” Usik Ana. Amni ikut tersenyum melihat Reza diusik. Jelas
di pandangan mata, Reza tersipu-sipu di depannya.
“Alhamdulillah. Tahniah bro…” Faisal
sudah menepuk bahu Reza mesra. “Bila langsungnya?”
“Insya-Allah, bulan depan… kenalkan,
bakal isteri aku… Amni.”
Amni tersenyum. Melihatkan wajah Ana
yang kelihatan sangat bahagia, membuatkan dia tersenyum pada Reza. Masih
teringat segala kisah yang diceritakan oleh Reza padanya. Bahagia Ana dengan
Faisal. Dan bahagia Amni… dengan Reza. Kerana cinta itu… mereka kini dapat bersama.
Kerana cinta itu, harap mereka akan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat hendaknya.
“Amni… you are very lucky. Believe
me.” Bisikan Ana di penghujung bicara membuatkan senyuman terus membunga. Ya,
dia tahu. Dia sememangnya bertuah. Bertuah kerana dapat hidup dengan cinta yang
dianugerahkan oleh Dia.
Tamat
________________________________
Semoga terhibur ya pembaca semua :)
Semoga ada 'isi' yang dapat saya kongsi bersama anda.
Segala kekurangan, hanya daripada saya. Terima kasih atas sokongan anda. :-)
salam sayang,
umi Kalsom
_________________________________
salam kak umi...akhirnya hbs jgk baca cerpen kerana cinta nie.......
ReplyDeletecerita yg sangat best......tiada manusia yg sempurna.......biarla kesilapan yg lalu dijadikan pengajaran dan pengalaman hidup agar kita x ulang kesilapan yg sama........
best sgt cerita nie kak......tahniah.....
Baiknya makcik ramlah..xramai kn wanita mcm dia
ReplyDeleteakhirnya...terbongkar suma rahsia napa makcik ramlah garang dgn amni...bez cita ni..)
ReplyDeleteAkhirnya Reza dapat bersatu dengan Amni...
ReplyDeleteTak sangka Mak Cik Ramlah ni baik jugak...
Sedih gak bace cite ni...
Tahniah umi...
sebak!!...byk pengajaran dr cerpen nie.kan bagus klau bt dlm versi novel.apapn teruskn menulis
ReplyDeleteCerpen yg baik jika adaintipati yg mampu membawa pengajaran biarpun halus tp ada kepentingannya..sem0ga cita2 cik kalsom tercapai..teruskan usaha serpen dah bgus..^^
ReplyDelete#frez forever
cam citer cinderella pown ade gak,tapi beza watak stepmother jd mak cik ramlah 2,and makcik ramlah 2 rupenyer baek jee,x reti nak tunjuk kasih sygkat ank ex-husband
ReplyDeletesaya nangis bca n3 neh...huwaaa..tringat kat crita kabhi kuchi kabhi gham. watak mak cik ramlah n yash raichand sangat sama. x tunjukkan kasih sayang secara terangan, apabila tersingkap kisah mereka, amat menyentuh hati
ReplyDelete>>k<<
Great! keep it up!;D
ReplyDeleteSob sob sob.. very touching story... thanks cik writer
ReplyDeletesedih sangat cerite ni. titik air mato!!!!!!
ReplyDeletenak nangis....best cerita ni..kot jadi drama...mesti tragis habis...
ReplyDelete