AMNI
sejak tadi tidak henti-henti menghamburkan air mata. Murni sudah tidak tahu
hendak berkata apa. Bimbang pula melihat keadaan gadis itu yang seakan patah
jiwa. Sebabnya…
“Aku tak tahu nak buat apa Murni…”
ucap Amni dengan esakan.
Murni sudah mengeluh. “Aku dah
pernah nasihatkan kau… tapi kau, bukan nak dengar cakap aku. Sekarang tengok…
siapa yang merana? Kau juga kan?” Murni terus sahaja melabuhkan punggung di
sisi Amni. Tangisan gadis itu hanya membuatkan dia terasa simpati.
“Dah la tu… Amni. Kau menangis macam
ni, tak ada apa pun yang akan berubah. Kau dah jatuh cinta dengan dia… terima
ajelah hakikat tu.” Pujuk Murni lembut. Cuba meredakan keresahan Amni. Namun
Amni laju sahaja menggeleng.
“Aku cintakan dia… tapi aku tak
boleh bersama dia…”
“Kenapa pulak?” soal Murni pelik.
“Mak cik Ramlah dah berkenan untuk
ambil dia jadi menantu…” sambung Amni dengan nada seraknya. Air mata menghambur
keluar.
Murni pula sudah mendengus
kegeraman. “Kau ni kan… tak sudah-sudah fikirkan mak cik kau tu… apa besar
sangat ke mandat dia, sampai semuanya kau kena turut? Kau bukan budak kecil
tau! Kau ada hak untuk tentukan hidup kau sendiri… bukan jadi hamba abdi untuk
mak cik kau tu…” marah Murni sungguh-sungguh. Dia menjadi geram dengan tingkah
Amni yang terlalu mengutamakan mak ciknya itu.
Amni menggeleng laju. “Kau tak faham
Murni…”
“Apa yang aku tak faham? Cuba cakap…
kenapa yang kau kena taat sangat dengan mak cik kau tu? Sampaikan kerja yang
tak masuk akal ini pun kau kena buat? Ikutkan, dia sendiri yang kena berusaha
cari jodoh untuk anak dia… bukan suruh kau selidik macam ni. Sekarang kau dah
jatuh cinta dengan Encik Reza… hah, nak buat macam mana!!!” sembur Murni yang
masih marah dengan Amni. Separuh hatinya simpati namun separuh lagi begitu
mudah naik angin dengan sikap sahabatnya itu. Sudah jatuh cinta, tapi masih
mahu menangkan orang lain pula.
“Aku berhutang seumur hidup dengan
Mak cik Ramlah…”
Murni terdiam.
“Sampai aku mati pun, takkan
terbayar hutang tu Murni… sebab tu aku kena akur dengan Mak cik Ramlah… dia
cakap apa pun aku tak kisah. Sebab kalau nak ikutkan dengan apa yang dia bagi
pada aku, lebih daripada baik… arwah mak aku dah hutang banyak sangat dengan
Mak cik Ramlah… semuanya sebab nak tolong ayah aku dengan kerja tak guna dia
tu!” Amni berhenti seketika. Tangisannya makin lebat. Mengimbau kenangan lama,
membuatkan hatinya sakit.
“Ayah aku tak pernah nak berubah…
walaupun mak aku dah banyak berusaha untuk tolong ayah aku tinggalkan kerja tak
guna tu, tapi ayah aku tetap tak pernah nak hargai usaha mak… aku sedih. Setiap
hari balik rumah… ayah minta duit dengan mak. Mak aku pula terlalu baik,
percayakan suami dia… bagi semua yang suami dia minta, walaupun hakikatnya, dia
terpaksa berhutang dengan orang lain.”
Murni menggenggam tangan Amni dengan
erat. Dapat dirasakan kesakitan yang pernah dilalui oleh gadis itu.
“Sampai satu tahap… hutang mak, jadi
terlalu banyak… terlalu banyak sampaikan, mak memang tak mampu nak bayar
semula… ayah pula, lesap macam tu aje. Langsung tak cakap apa-apa… lepas ayah
lesap, baru aku dengan mak dapat tahu, dia berhutang dengan lintah darat. Kalau
dengar jumlahnya Murni… memang tak terjangkau dek akal… mak aku meninggal
terus…” teriak Amni lagi. Jika diulang tayang semula saat itu di depan mata,
hatinya terseksa. Tapi dia tahu, dia harus redha.
“Mak cik Ramlah kau yang tolong ke?”
soal Murni perlahan.
Amni mengangguk laju. “Semua hutang
tu… Mak cik Ramlah yang bayar… tapi sampai ke hari ni, dia langsung tak pernah
buka mulut suruh aku bayar Murni. Satu sen pun aku tak pernah bayar. Dia cuma
buat perjanjian, aku wajib tinggal di rumah dia, ikut aturan yang dia dah
tetapkan… tak ada kompromi. Tapi aku tak kisah… bersyukur sebenarnya, sebab ada
orang yang boleh aku harapkan untuk tengokkan aku. Sekurangnya, terjamin
keselamatan hidup aku... walaupun dia tak mesra dengan aku…” Amni sudah
menoktahkan kata. Dirinya sudah dipeluk erat oleh Murni. Hanya sendu memenuhi
ruang itu.
‘Aku doakan kau bahagia Amni…’ ucap
Murni dalam hati. Biarlah sekali ini, Amni diberikan peluang untuk memilih
bahagianya.
“IBU…”
panggil Reza perlahan. Matanya yang tertancap pada kaca TV tidak beralih namun
dia dapat merasakan pandangan ibu yang sudah mendarat ke wajahnya.
“Kenapa?” soal ibu dengan senyuman.
Tangannya pula ringan sekali sudah mencapai timbunan kain untuk dilipat.
Semuanya pakaian kerja Reza.
“Reza selalu impikan kisah cinta
yang indah…” ujar Reza dengan mukadimah. “Masa dengan Ana dulu, Reza fikirkan,
kami adalah padanan yang terbaik…” suaranya menjadi kendur sedikit. Bayangan
Ana dan Faisal mula bermain di kotak fikiran.
“Reza… jodoh Reza bukan dengan Ana.
Reza sepatutnya lupakan hal lalu…” tegur ibu tidak senang. Ana sudah berkahwin.
“Andai kata… Reza ditakdirkan dengan
seorang gadis yang ternoda kesuciannya, ibu terima?” sengaja Reza menyoal
begitu. Dia mahu apa yang ada dalam fikiran ibu, sama sepertinya.
Ibu melepaskan keluhan kecil. “Maafkan
ibu, Reza. Ibu bersalah masa tu… ibu tak sedar, ibu dah hancurkan hati anak
ibu. Ibu dah kecewakan Reza dengan menjadi penghalang cinta Reza… tapi ibu dah
sedar, ibu tak sepatutnya menghina dan memandang rendah pada Ana. Lagipun apa
yang jadi, bukan salah dia. Sememangnya dia mempunyai akhlak yang baik… jadi,
kalau sesiapa yang menjadi pilihan Reza lepas ni, ibu takkan persoalkan. Ibu
yakin dengan Reza.”
“Reza pun banyak salah dengan Ana
ibu… Reza tak percayakan dia. Sedangkan, perkara yang paling penting dalam satu
perhubungan adalah kepercayaan… Reza dah hancurkan kepercayaan Ana pada Reza.”
Reza sudah meraup wajahnya. Pedih rasanya bila dibicarakan semula soal lalu.
Nyata, hatinya tidak sekuat itu.
“Sebenarnya ibu…” Reza bersuara
kembali setelah diam buat seketika. Ibu pun tidak mencelah. Mendengar sahaja
butir bicara dari bibir anaknya. “Reza dah jatuh cinta…” akhirnya terluah juga
perkataan itu.
Kegembiraan yang terpancar di wajah
ibu sekaligus mengubah mood Reza. Dia turut tersenyum dengan pertanyaan dan
segala persoalan yang diberikan oleh ibunya. Nyata, keduanya sangat teruja
dengan topik ini. Lebih-lebih lagi Reza. Dia sudah tidak sabar untuk
mengkhabarkan rasa hatinya pada orang itu. Bibirnya tersenyum terus tanpa
henti.
DARI
jauh lagi Amni sudah menangkap kelibat Reza. Segak sungguh lelaki itu
mengenakan kemeja biru tua dengan seluar slack hitam. Rambut pula disisir rapi,
tampak begitu kemas sekali. Walaupun waktu pejabat sudah tamat, namun
penampilan lelaki itu masih menarik di pandangannya.
Sedar dirinya diperhatikan oleh
seseorang, Reza pantas meliarkan pandangan ke sekeliling. Amni menjadi kalut
apabila mata Reza sudah mencari-cari. Tanpa sempat dia melarikan diri, dia
sudah tertangkap!
Langkah Reza yang semakin
menghampiri dirinya hanya membuatkan degupan jantung semakin tidak menentu.
“Hai.” Reza sudah tersenyum.
“Tunggu siapa?” soal Reza ramah.
“Mak cik…” perlahan sahaja Amni
menjawab.
“Oh… mak cik yang mak sepupu awak tu
ke?” soal Reza lagi.
Amni menjeling ke arah jalan sekilas
sebelum mengangguk pada Reza.
“Memang tinggal dengan dia ke?”
Amni sudah mendengus kecil. Banyak
pula soalan oleh Reza. Dia bukan tidak sudi hendak menjawab. Malah dia gembira.
Tetapi dia bimbang, silap masa… Mak cik Ramlah muncul tiba-tiba? Macam mana?!
“Amboi, marah nampak!” Reza tertawa
kecil. Dia sudah dapat menghidu, Amni tidak selesa dengan soalannya. Mungkin
juga tidak selesa dengan kehadirannya. “Saya tanya saja… bukan nak jadi
busybody.”
Amni mengeluh dalam hati. Tersepit
dengan perasaan sendiri. Baru sahaja dia hendak membuka mulut menjawab
pertanyaan Reza, sudah ada bunyi hon yang menggetarkan kepala lututnya.
Ditambah dengan gaya Mak cik Ramlah yang keluar dari perut kereta macam hendak
melepuk kepalanya sebab mengadakan sesi beramah mesra dengan menantu pilihan di
kawasan awam ini.
“Reza… apa khabar?” Mak cik Ramlah
sudah menyapa Reza dengan mesra. Sememangnya dia sangat berkenan dengan anak
muda ini. Cukup dengan segala maklumat yang Amni sajikan buat halwa telinga,
semakin membuatkan hati tuanya terpikat. Pasti Zatil juga akan suka walaupun
anaknya itu asyik mengelak sahaja bila dia hendak membangkitkan soal kahwin
itu.
Reza menyambut huluran salam Mak cik
Ramlah dalam keadaan terpinga-pinga. Pelik, bagaimana pula mak cik ini boleh mengenali
dirinya.
“Amni banyak bercerita dengan mak
cik…”
Berkerut dahi Reza mendengar ayat
itu. Namun, hatinya disapa rasa bahagia dalam masa yang sama. Maknanya, Amni
pun ada rasa yang sama sepertinya. Ya, tidak syak lagi! Hati Reza sudah mula
bersorak gembira.
“Dia
dah cerita dengan Reza pasal anak mak cik?” Mak cik Ramlah pula yang menjadi
teruja di situ. “Umur dia muda empat tahun dari kamu… baru aje habis belajar. Kalau
boleh Reza datanglah ajak emak ke rumah mak cik, kita kenal-kenal dulu…” cadang
Mak cik Ramlah.
Reza
menjadi pelik mendengar tutur kata Mak cik Ramlah pada ketika ini. Apa yang
sedang dibicarakan oleh mak cik Amni ini? Apa perlu dia berkenalan dengan anak
mak cik ini? Wajah Amni yang kelihatan terkejut itu dipandang lama. Seakan
dikejutkan dari mimpi, dia sudah dapat menangkap apa yang sedang dibicarakan
oleh Mak cik Ramlah ini.
Jadi,
selama ini… Amni selidik tentang dirinya? Hatinya menjadi panas. Gadis itu
langsung tidak pernah mengkhabarkan berita itu walau sekali pun. Sedangkan banyak
peluang yang terbuka antara mereka yang membolehkan Amni menerangkan perkara
itu kepadanya.
Pandangan
Reza sudah tajam menikam wajah Amni yang lebih selesa tertunduk ke bawah.
Hatinya sudah mendidih panas. Entah kenapa, dia berasa sangat marah!
“Macam
mana Reza?” soal Mak cik Ramlah, tidak mahu melepaskan peluang sama sekali.
“Insya-Allah,
saya datang nanti. Suruh Amni berikan alamat nanti… hujung minggu saya datang.”
Reza bersetuju dengan hati yang panas. Marah pada Amni. Kecewa dengan andaian
yang dibuat tadi. Sangkanya, Amni pun punya perasaan yang sama sepertinya.
Nyata tidak! Gadis itu sekadar mendapatkan maklumat untuk membahagiakan hati
orang lain.
BEG
bimbitnya dihempas kasar di atas katil. Marah! Dia benar-benar marah dan
kecewa. Cinta itu benar mengecewakan hatinya. Buat kali yang kedua, dia
terpaksa menanggung kecewa. Malah kini, dia seakan semakin terseksa.
Wajah polos Amni berlayar di ruang
mata. Tidak sekali-kali dia akan melupakan riak wajah itu. Bagaimana
terkejutnya Amni mendengar ayat yang meniti bibir mak ciknya itu.
Senyuman sinis bergayut di bibir.
Namun seketika kemudian matanya sudah bergenang dengan air mata. Dadanya
menjadi sebak. Apakah dugaan ini? Kenapa dia sering diduga dengan rasa hati
ini? Dan bilakah dia akan bertemu dengan pemilik tulang rusuknya? Dan benarkah
bukan Amni orangnya? Mindanya seakan tidak mampu untuk menerima. Setelah Ana…
dia tidak sanggup untuk melepaskan Amni pula. Wanita yang berjaya mengetuk
pintu hatinya untuk menghulurkan rasa cinta buat seorang hawa.
“JEMPUT-jemput
makan… jangan segan,” ramah sekali Mak cik Ramlah mempelawa Reza dan ibunya di
ruang makan ini. Seperti yang dijanjikan, Reza dan ibu datang bertandang ke
rumah Mak cik Ramlah bagi memenuhi jemputan orang itu. Wajah Mak cik Ramlah
begitu ceria sekali menerima tetamunya. Nyata dia begitu tidak sabar untuk
melihat anaknya bersanding dengan Reza. Jejaka yang kacak, segak itu!
Semestinya, kelihatan bagai pinang dibelah dua jika dipadankan dengan anaknya
Zatilhusna.
Zatilhusna pula sekadar mendiamkan
diri di meja makan sejak tadi. Langsung tidak tahu hendak mencelah di mana.
Suara mamanya sahaja memenuhi ruang makan ini, sesekali bertingkah dengan suara
ibu Reza yang kelihatan ramah melayan soalan mamanya.
Matanya sesekali mencuri pandang ke wajah
Reza. Hurm… boleh tahan pilihan mama ni! Desis hatinya. Tidak sama sekali dia
menyangka, mama akan begitu terburu-buru untuk mencarikan calon buat dirinya.
Nyata penolakannya tidak memberi apa-apa perubahan dalam hal ini. Mama tetap
degil mengajak lelaki bernama Reza ini ke rumah mereka. Matanya ditala ke
hadapan, spontan berlaga dengan pandangan Reza. Zatilhusna tersenyum kecil membalas
senyuman Reza pada ketika itu.
Pada masa yang sama, di balik
dinding dapur, sudah ada jiwa yang merintih lara. Mata Amni langsung tidak
berganjak daripada menatap wajah Reza yang berbalas senyuman dengan Zatilhusna.
Hatinya menjadi pedih. Walaupun dia tahu, dia tidak mempunyai hak itu, namun
hatinya tetap berdegil!
“Amni!!!” laungan Mak cik Ramlah
yang kuat membuatkan Amni tersentak. Lalu dia bergegas ke ruang makan. Wajahnya
ditundukkan sahaja. Tidak sanggup dia melihat wajah Reza secara berdepan di
kala ini. Bukan dia tidak tahu, betapa marahnya Reza apabila dia tidak
berterus-terang tentang risikan Mak cik Ramlah. Puas dia menadah telinga
mendengar Reza memarahi dirinya. Dan paling tidak dapat dilupakan, ayat yang
diucapkan Reza… bagaikan sembilu menghunus ke dalam hati.
“Awak nak sangat saya kahwin dengan
sepupu awak tu kan? Okey fine! Saya akan kahwin dengan dia!!!” serentak dengan
itu, Reza sudah berlalu. Meninggalkan Amni terpinga-pinga dengan keputusan itu.
Sungguh ini bukan kisah yang hendak dilakar oleh Amni, tapi dia tidak berupaya
untuk mengubah sesuatu di luar jangkaannya.
“Amni!!! Kau ni mengelamun apa lagi?
Tak dengar ke aku suruh tambah air!!!” marah Mak cik Ramlah. Amni tersentak
lagi. Serentak itu matanya bertembung pandang dengan senyuman sinis Reza.
Hatinya sakit! Segera dia berpaling ke dapur setelah mencapai jug yang berada
di atas meja makan itu. Separa rela, dia menyediakan juga semua yang diarahkan
oleh Mak cik Ramlah.
Baru sahaja Amni hendak berpaling,
dia tersentak lagi.
“Err…” dia menjadi gugup pula.
Pandangan itu…
“Toilet?” sepatah mulut Reza
bertanya. Dahi Amni sudah berkerut. Apa cari toilet di dapur pula? Tanpa kata
juga, tangannya mengisyaratkan ke ruang kiri sebelah dapur.
Namun Reza masih tidak berganjak
dari tempat berdirinya. Matanya begitu ralit memerhatikan wajah Amni. Mata itu…
begitu sarat dengan luka. Adakah Amni
terluka dengannya? Hatinya disapa rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk
melukakan Amni dengan kata-katanya. Segalanya berlaku secara kebetulan.
“Toilet dekat sebelah kiri…” ucap
Amni. Resah mula bertandang. Dia menjadi lemah dengan renungan itu. Bimbang
pula jika Mak cik Ramlah muncul di saat ini.
“Kenapa tak nak mengaku Amni?” terus
Reza menyoal tanpa mempedulikan pandangan Amni yang semakin resah.
Sekejap-sekejap gadis itu mengerling ke pintu dapur yang terbuka luas itu.
“Mengaku apa pula?” dalih Amni. Hatinya
diburu resah. Bimbang yang teramat jika Mak cik Ramlah marah.
“Mengaku… awak cintakan saya.”
Lembut nada Reza. Begitu membuai jiwa gadisnya. Namun untuk mengatakan ya, Amni
tidak mampu.
“Saya cintakan awak, Amni…” luah
Reza dengan jujur. Melihat Amni yang berdiam diri, bibirnya seolah tidak dapat
menahan hendak meluah kata. Lantas disuarakan juga.
“Reza!!!” serentak itu, dua suara
berpadu di belakang. Mak cik Ramlah dengan wajah yang garang seakan hendak
menikam mangsa dan ibu Reza dengan pandangan menagih penjelasan. Manakala
Zatilhusna terdiam tidak mampu berkata.
[Bersambung]
-Mungkin part seterusnya adalah yang terakhir. Nantikan pengakhiran kisah Kerana Cinta... :-)
Harap reza akan ttp pilih amni dan bela nasib amni lepas ni....sedih sgt dgn si amni ni.....
ReplyDeletesetuju ngan eijan..
Deletekan..harap2 mcm tu la..
Delete[hawa]
Yang Mak Cik sibuk ni kenapa kalau si Zatilhusna x nak buat apa paksa.... yang nak kahwinkan Reza ... Ikut suka Reza lah nak pilih Amni.... ibu Reza x kisah lah.... tentu Zatilhusna dah ada pilihan hati.... jadi Zatilhusna tolong lah cakap dengan semua orang yang U dah ada pilihan hati sendiri, biar padan muka mak cik Amni yang x tahu malau tu..... gerammmmm....
ReplyDeletekak sue, sabar-sabar... hehe.
Deletesemua orang mesti ada titik perubahannya. Mungkin utk mak cik Ramlah jugak... :)
umi cpt cikit smbung citanya, kesian dgn Amni.huhuhu
ReplyDeletenak lagi.xsabar nak tggu ending! :D hopefully amni dengan reza! :D
ReplyDeleteSian amni.. Reza nii.. Marah2 amni plak. Xpaham ngn m.cik ramlah niii.. Haishh, sekeh kang br ttau! Hoope amni wif reza
ReplyDeleteharapnya zatil tu dh da pilihan sndiri, sian amni klu zatil tu nk kt reza jgk..suma org dh tau reza cinta amni
ReplyDeleteHarap-harap zatil tu xnk kat reza...
ReplyDeletebiar la amni ngn reza...
umi, cepat siapkan part 4 ek...
xsabar ni...
kesiannya ngn amni.......hope reza paham perasaan amni.....
ReplyDeleteharap zatil beralah utk amni...
rasa macam pendeknya cerpen ini.. saya harap cerpen ini bersambung..
ReplyDelete