KUNCI
kereta diletakkan di atas meja makan. Sejurus selepas membersihkan diri dan
bersolat, Reza sudah menanti ibunya di meja makan. Hidangan malam ini begitu
menyelerakan. Sedang dua beranak itu asyik menjamu selera, tawa Reza terlepas
tiba-tiba. Pandangan pelik daripada ibu tidak perlu ditunggu lama.
“Selalunya kan ibu, lelaki yang
merisik pasal perempuan kan?” soalnya dengan senyuman. Kisah Amni tadi sedikit
sebanyak mencuit hatinya. Begitu khusyuk telinga ini menangkap butir bicara
Murni tentang usaha Amni untuk selidik tentang salah seorang pegawai di tingkat
17 buat sepupunya. Tapi siapa pegawai itu, tidak diambil tahu pula. Sememangnya
tingkat 17 memang terkenal dengan jejaka-jejaka bujang terhangat di pasaran.
Dia tersenyum lagi.
“Angin tak ada, ribut pun tak jugak…
kenapa? Nak ibu risikkan sesiapa ke?” soal ibu dengan penuh harapan. Namun Reza
tersenyum sahaja. Lalu diceritakan tentang kisah di pejabatnya itu.
Ibu sudah tersenyum. “Baguslah!
Sebab jodoh tu, biarpun Allah dah tetapkan… tapi kita sebagai manusia kena
berusaha mencari. Eloklah dia tolong selidik untuk saudara dia… niat dah baik,
insya-Allah, Dia akan mudahkan.” Sambil berkata, ibu sudah mencedukkan nasi
tambah ke dalam pinggan Reza.
“Dia nampak polos.” Luah Reza
perlahan. Namun masih jelas di pendengaran ibu. Apalagi, makin melebar senyuman
di bibir tua itu.
“Berkenan ke?” tebak ibu.
Dan Reza masih tersenyum. Berkenan?
Tidaklah… bukan semudah itu dia hendak berkenankan sesiapa selepas Ana. Ah, Ana
lagi! Wake up Reza, Ana sudah bahagia dengan keluarganya. Separuh hati Reza
mulai marah.
“Kalau berkenan, cakap! Ibu tak ada
halangan… memang dah bersiap sedia nak masuk meminang anak dara orang untuk
anak ibu ni,” semangat ibu berkata.
Reza terkedu…
“KAK
HAS… Murni suruh bagi,” ucap Amni sambil menghulurkan plastik yang berisi dua
bekas jejari oat.
“Eh… kenapa bukan Murni yang bagi
sendiri?” soal Haslina pelik. Tidak pernah-pernah Amni naik ke atas untuk
urusan ini melainkan sekali itu sahaja, ketika hendak bertanyakan perihal Reza.
Tangannya sudah mencapai huluran plastik tersebut daripada Amni.
“Dia ada kursus hari ni… tu yang
pesan dekat Amni suruh bagi dengan akak…” jelas Amni dengan senyuman manis.
“Ini business apa ni?”
Amni terus tersentak apabila ada
suara garau yang menyapa. Haslina tersenyum sahaja.
“Business cookies la encik… macam
tak biasa. Murni yang buat.”
“Tapi lain pula tukang hantarnya…”
ujar Reza sambil mengerling sekilas wajah Amni yang sudah tertunduk menekur
meja Haslina. Hatinya seakan tersenyum sendiri. Manisnya wajah itu! Benarkah
dia sudah berkenan?
Reza perasan, sejak akhir-akhir
tingkahnya sudah berlainan sahaja. Setiap kali dia ternampak kelibat Amni di
ruang lobi ataupun mana-mana kedai makan berdekatan pejabat, dia pasti tidak
akan melepaskan peluang untuk terus menatap wajah itu. Hatinya sudah
tertanya-tanya lagi… sudah berkenankah dia?
“Duit nanti… kak Has bagi dengan
Murni sendiri ya. Amni gerak dulu.” Amni sudah hendak berlalu namun terhenti
langkahnya apabila namanya dilaung dengan nada yang mesra. Amni menelan liur
berkali-kali menenangkan jiwanya sebelum matanya beralih pada si pemanggil itu.
“Err… ada apa encik?” soalnya dengan
gugup. Matanya sudah tertancap di wajah Reza dan Reza pula dengan senang hati
melemparkan senyuman manis ke arahnya. Boleh pengsan la kalau macam ini
penangannya! Amni mengeluh kecil. Payah!
Serentak dengan kaki Reza melangkah
mendekati dirinya, serentak itu jugalah jantungnya semakin berdebar. Amni sudah
melarikan pandangan ke arah lain. Renungan itu begitu halus sekali menusuk ke
dalam hati.
“Cantik awak hari ni…” separuh
berbisik suara Reza singgah buat pendengarannya. Amni sudah terlopong di tempat
berdiri. Manakala Reza, sudah mengatur langkah ke biliknya dengan senyuman yang
begitu manis sekali.
KOTAK
televisyen yang sejak tadi terpasang, langsung tidak menarik minatnya. Namun,
sejak tadi juga, bibirnya tidak sudah-sudah membungakan senyuman. Angaukah?
“Kenapa yang pelik sangat ni?” teguran
itu hanya membuatkan dia tersenyum terus.
“Kali terakhir ibu tengok kamu macam
ni Reza… masa zaman kamu bercinta dengan Ana dulu…” ucap ibu.
Reza tersentak seketika. Nama Ana
membuatkan hatinya bergetar. Tetapi sekejap cuma, bibirnya sudah meleret kembali
dengan senyuman. Jodoh Ana sudah ditetapkan dengan Faisal. Jodohnya…
insya-Allah, dia hanya berdoa untuk yang terbaik.
Tanpa kata dia sudah bangun dan
masuk ke dalam bilik. Meninggalkan ibu di ruang tamu terpinga-pinga melihat
aksinya yang jauh daripada biasa.
LANGKAH
kanan diatur sebelum melangkah perlahan keluar dari lif. Dengan blaus dan
seluar panjang yang tersarung di tubuh semakin memudahkan pergerakannya. Dengan
bantuan Murni, dia berjaya membuat helah untuk keluar tanpa kawalan Mak cik
Ramlah hari ini. Buat pertama kalinya, Amni seolah bernafas dengan bebas.
Bibirnya sudah tersenyum kecil. Rasa bahagia dengan nikmat sementara ini.
Matanya meliar di lot-lot kedai yang
terdapat dalam kompleks membeli-belah ini. Sekadar mencuci mata, sudah cukup
mengujakan perasaannya. Namun seketika cuma, hatinya yang tenang dan bahagia
itu sudah disapa resah. Wajah itu!
Reza… bisik hatinya.
Kebetulan apakah ini? Mengapa perlu
dia menemui lelaki itu di sini? Dalam pada jiwanya dilanda resah, matanya
begitu setia mengekor gerak langkah kaki itu. Seketika kemudian, dia mengeluh
kecil. Kenapa dia harus melakukan semua ini? Dan kenapa harus wujud perasaan
ini sedangkan dia tidak pernah mengenali lelaki itu sebelum ini? Sesungguhnya
dia lelah dengan rancangan ini. Dia menjadi semakin lemah. Semakin diselidik…
semakin dia kehilangan hatinya.
“Amni?!” teguran itu menyentakkan
Amni.
“Awak buat apa dekat sini?” Amni
tergamam seketika sebelum menjawab soalan Reza.
“Jalan-jalanlah encik… tak boleh
ke?” soal Amni pula.
Reza sudah tersenyum. “Boleh… kenapa
pula tak boleh. Shopping complex ni bukan harta persendirian saya. Datang
seorang ke?” mata Reza sudah meliar ke kiri dan ke kanan. Cuba meredakan
keresahan di hati, andai kedatangan Amni ditemani oleh seseorang.
“Seorang… err… dah janji dengan
kawan, tapi dia tak boleh datang.” Pandai sahaja Amni merangka kelentong di
situ. Sedangkan, dia memang bercadang untuk menghabiskan hari ini tanpa sesiapa
pun di sisi.
“Oh, seoranglah ni?”
Amni mengangguk laju. Yakin sekali
walaupun hatinya sedang berdegup kencang di saat ini.
“Bahaya perempuan jalan seorang dekat
sini… jom, jalan dengan saya,” pelawa Reza dengan hati yang senang. Melihatkan
wajah Amni di saat ini membuatkan hatinya terasa selesa pula. Nyata gadis itu
berjaya mencuri tumpuannya tanpa sebarang usaha yang luar biasa.
“Eh… nak pergi mana?” soal Amni
kalut. Reza sudah berkalih dan tersenyum lagi.
“Dating nak?” soal Reza dengan
kenyitan nakal ke arah Amni yang sudah terlopong di situ. Dengan senyuman yang
tidak putus, Reza terus melangkah ke depan sedikit. Seketika kemudian dia
berhenti dan berkalih memandang Amni. Wajah Amni yang terlopong itu hanya
membuatkan tawanya meletus tanpa ditahan.
“Saya bergurau ajelah. Jom, temankan
saya makan. Saya belanja awak…”
Lambat-lambat sahaja Amni mengatur
langkah menghampiri Reza dan mereka bersama-sama melangkah masuk ke dalam
Chicken Rice Shop yang terletak di tingkat satu kompleks membeli-belah itu.
MATA
Reza sekejap-sekejap memandang wajah gadis yang sedang sopan menjamu selera di
hadapannya. Sesekali senyuman bergayut di bibir. Polos! Itulah gelaran terbaik
dapat diberi untuk menggambarkan gadis bernama Amni ini. Polos, sepolos
wajahnya. Biarpun tidak dapat dikategorikan sebagai wanita yang cantik tetapi
dia harus akui wajah polos ini juga mempunyai kelebihan yang menarik pandangan
matanya.
“Kalau saya tanya, encik marah tak?”
soalan Amni membuatkan Reza melabuhkan mata tepat di wajah gadis itu. Wajah itu
nampak sedikit gugup. Barangkali takut.
“Belum tanya pun saya nak marah…”
serius Reza menjawab.
“Hah!!!” Amni terkejut. Makin kecut
perut jadinya.
“Cuba jangan berencik-encik dengan
saya… sejak bila pula saya ni jadi orang atasan awak? Panggil Reza… tak pun,
abang Reza ke…” nada Reza seakan hendak mengusik. Bibirnya sudah tersengih
nakal melihat mata Amni yang sudah membulat. “Awak muda hampir enam tahun dari
saya…” sambungnya lagi.
Amni pula masih dengan muka tidak
percaya. Takkan dia hendak memanggil abang pula? Gila ke! Reza… hurm.
“Saya dengar-dengar dari Kak Has,
Reza banyak peminat dekat office. Tapi, kenapa… Reza… belum…” satu-persatu Amni
sebut. Tapi tergagap-gagap pula.
“Kenapa belum?”
Amni sudah menggaru kepalanya. Entah
bagaimana harus ditanyakan soalan itu. Sudahnya dia mengetap bibir sendiri.
Terasa bodoh pula mengajukan soalan itu. Mungkin dia hendak mendengar satu
jawapan yang pasti dari bibir Reza sendiri. Biarpun hatinya terluka, dia masih
hendak meneruskan agenda bagi memudahkan urusan Mak cik Ramlah.
“Kenapa saya belum kahwin ke Amni?”
soal Reza tenang.
Amni tersentak. Sememangnya dia
tidak mampu untuk menyembunyikan riak wajahnya itu. Dan senyuman di bibir
lelaki itu membuatkan dia terasa semakin kalut. Duhai bibir… usahlah tersenyum
cantik begitu! Sempat lagi hatinya berdoa. Matanya sudah menekur ke arah
pinggan yang separuh kosong.
“Saya tunggu awak kot…” selamba Reza
menjawab. Jelas matanya menangkap riak
wajah Amni yang sudah merah disimbah darah. Bibirnya terus-menerus mengorak
senyuman. Entah apa yang menyebabkan dia berkata begitu. Yang pasti, hatinya
terasa senang di saat ini. Adakah dia benar-benar sudah jatuh suka buat kali
kedua?
“Reza ni… pandai aje nak gulakan
saya…” ucap Amni pantas sambil tertawa kecil. Mengandaikan kata-kata Reza
sebagai satu gurauan. Tertawa senang di luaran namun hatinya merintih pedih di
dalamnya. Andai kata, benar maksud kata itu? Apakah dia boleh mengecapi bahagia
yang diimpikan? Bagaimana pula dengan janjinya dengan Mak cik Ramlah yang
begitu mengimpikan Reza untuk menjadi suami kepada Zatilhusna?
“SAYA
tunggu awak kot…” masih jelas di telinga ayat yang diucapkan Reza. Mata Amni
sudah berlabuh di cermin yang terletak elok di dalam bilik sederhana kecil ini.
Perlahan jari telunjuk sudah mula bergerak ke pipi, mengesat air mata yang
mulai mengalir di situ. Sakit!
“Kenapa… kenapa perlu aku suka
sesuatu yang takkan dapat aku miliki.” Rintihan itu perlahan dan sayu berlagu
di bibir.
Ketukan yang bertalu-talu di pintu
bilik membuatkan Amni laju mengelap mukanya dengan tuala di penyangkut. Tergopoh-gopoh
di membuka pintu dari dalam. Wajah Mak cik Ramlah terjengul di sebalik pintu.
“Err… kenapa mak cik?”
“Bila nak ajak Reza datang rumah?”
terus sahaja Mak cik Ramlah menyoal. Amni terkedu. Dan kenapa dia yang harus
melakukan undangan itu? Tidak tahukah Mak cik Ramlah bahawa Amni begitu
terseksa dengan semua ini!
Tidak… Mak cik Ramlah tidak harus tahu.
Kalau tidak, habislah Amni! Riak teruja Mak cik Ramlah setiap kali dia
memaklumkan perihal tentang diri Reza begitu segar di ruang mata. Begitu berkenan
mak ciknya dengan si kacak itu. Dan dia yakin, tanpa jawapan daripada bibirnya,
Mak cik Ramlah tidak akan beralih dari situ.
“Nanti Amni cuba tanya mak cik.”
Dengan tidak yakin, jawapan itu diucapkan oleh Amni.
Sebaik sahaja Mak cik Ramlah berlalu
dengan senyuman, Amni sudah menutup pintu bilik dengan rapat. Sekali lagi, air
matanya jatuh mencemarkan pipi.
“AMNI…”
tegur Reza dengan senyuman. Kebetulan pula mereka sama-sama bertembung di
hadapan lif ini.
Amni tersenyum kecil dan terus
mengalih pandangan pada angka yang tertera di lif. Hatinya dengan tiba-tiba
sudah mula berirama bangra. Gabralah pula! Sejak dia berdating secara tidak
rasmi dengan lelaki itu, hatinya sudah menjadi lain macam. Seakan tidak mampu
dikawal sesak yang dialami ini. Ditambah dengan ucapan dari bibir Reza pada
hari tersebut, membuatkan dia tidak betah berhadapan dengan lelaki itu.
Bimbang jika keadaannya menjadi
parah, lantas dia sudah menghentikan segala sesi selidik tidak bertauliah yang
dijalankan selama ini. Namun, sebenarnya ia tidak membantu pun. Kepulangan
Zatilhusna semakin menghimpit perasaannya. Jika benar Reza dengan Zatilhusna?
“Masih berjalan lancar, agenda merisik
awak tu?” soal Reza. Ramah pula lagaknya pagi ini.
Amni
mengangguk sahaja mengiakan. Senyap-senyap, Amni sudah mendapatkan banyak
maklumat tentang Reza. Cukup semua itu untuk mendapatkan gambaran menyeluruh
tentang lelaki itu seperti yang dikehendaki oleh Mak cik Ramlah.
“Kalau
tak keberatan, boleh saya tahu… siapa sebenarnya yang awak tengah selidik ni?
Bukan apa, bolehlah saya bantu serba sikit… memudahkan lagi kerja awak,” ikhlas
Reza memberi cadangan.
“Err…
tak apa Reza. Saya boleh uruskan sendiri. Terima kasih.” Pantas sahaja Amni
menolak. Hatinya menjadi gusar. Bimbang kalau dia terlepas kata. Dia tidak
berani untuk memaklumkan sendiri pada Reza. Cukuplah sekadar menjadi spy tidak
bertauliah. Dia sudah cukup terseksa dengan rasa hatinya sendiri.
“Iyalah…
apa pun, all the best.” Ucapan Reza itu sekaligus menamatkan perbualan mereka.
Kerana lif sudah terbuka dan masing-masing bergegas meluru masuk ke dalamnya,
tidak mahu terlambat ke pejabat.
“CERIA
betul hari ni?” tegur Haslina. Senyuman di bibir Reza menimbulkan tanda tanya.
Cerianya lain macam sahaja.
“Saja… you tak suka tengok I happy?”
soal Reza kembali dengan bibir yang tidak putus-putus menguntumkan senyuman.
Matanya terus tertancap di PC. Senyumannya kembali melebar.
“Bukan tak suka… tapi apa
rahsianya?”
“Salah tak kalau I jatuh cinta buat
kali yang kedua?”
Haslina tersentak seketika. Jatuh
cinta? Reza? Terlopong dia buat sesaat dengan perkhabaran itu. Namun, seketika
kemudian dia sudah tersenyum gembira. Dia sangkakan hati Reza telah tertutup
untuk menerima kasih si gadis, tapi tidak juga.
“Tak sia-sia usaha Fadhilah hantar
bunga hari-hari ya… akhirnya, encik tersangkut juga.” Ucap Haslina dengan
gembira. Namun riak wajah Reza membuatkan dia mengetap bibirnya laju. Aduh,
salah cakap ke?!
“Bukan Fadhilah… ada ke I nak
tersuka dengan dia…” Reza sudah menjeling kecil. Fadhilah yang tidak jemu-jemu
menghantar bunga padanya langsung tidak memberikan sebarang impak di hati.
Malah, dia hanya terasa gadis itu terlalu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan perhatian
darinya.
“Laa… habis tu, siapa? Saya tak
perasan pula orang lain yang sibuk nak tackle encik…” Haslina sudah mula
menggaru kepalanya. Dalam otak sudah mula membuat suai dan padan, calon-calon
yang berkemungkinan telah menambat hati Reza.
“Ada la… orangnya…” Reza sekadar
meleretkan suara dengan senyuman yang kembali berkuntum di bibir. Amni! Sahut
hatinya pantas.
[Bersambung] :)
Assalam Umi,
ReplyDeleteAkak suka ceta nie... tp awal dah ada aral yang menyusahkan...hehehehe.... mesti banyak rintangan lagi kan...
Apa pun .... teruskan lagi...sambung cepat yer....
Story nie best lah sis!!!!
ReplyDeletex sangka hati Amni dah terpaut pada Reza,sedangkan Reza adalah orang yang Amni selidik untuk Zatilhusna...
x sangka juga dalam diam hati Reza dah terbuka untuk jatuh suka pada Amni...
x sabar nak tunggu sambungan...
Erks.. Alahaiiii sian amnii :(
ReplyDeletestori ni agak complicated. agak berat pun ya jugak. Hope anda semua akan terhibur juga di akhirnya. InsyaAllah, akan menyusul sambungan tidak lama lagi :)
ReplyDeleteterima kasih semua.
aiseh, amni dah terjebak nih. macam mana nak pass pd zatil pulak? tak boleh..tak boleh..
ReplyDeletexsabar nk 2nggu part 3...
ReplyDeletetersenyum je WC bace part amni dating ngn reza...
suka suka suka! wah best2~~haha...xsabar nak tggu next n3~~ :D
ReplyDeletebez 10x...mcm ne la amni nk hadapi makcik ramlah nnti klu tau reza suka kt amni
ReplyDeletesaya suka saya suka.. >____<
ReplyDelete