Skip to main content

Tidak ku sangka 4



HARI ini, hari ahad. Sudah dilihat pada telefon bimbit, tertulis Ahad. Pada kalendar juga serupa. Pada diarinya juga. Tiba-tiba ada satu rasa yang tidak dapat dikenal pasti punca menyerang diri. Perutnya memulas tidak henti dari tadi. Masuk tandas, namun tiada apa yang terjadi. Laju tangannya mengirimkan SMS pada Kamilia. Itulah sifunya…
            Itu semua tanda-tanda bahawasanya kau tu normal. Ada rasa gemuruh bila nak bertemu mata dengan sang arjuna. Maka, bersedialah…  -Kamilia
            Melihat perkataan arjuna itu, makin bertambah pulasan dalam perut. Mungkin sudah terbelit ususnya. Mana tahu, bukan boleh dilihat usus itu!
            Air kosong di meja solek, dicapai dan diteguk. Biar reda sedikit gemuruh di dada. Tetapi sekejap sahaja. Ia datang dan pergi tanpa amaran. Mungkin dia patut melakukan yoga sebentar. Lantas dirinya bersila di atas katil dan matanya mulai dipejam.
            Serentak itu kedengaran pintu biliknya dibuka. Dan ada tawa halus yang menampar telinga. Adila!
            “Apa ni kak… gemuruh sangat ke sampai beryoga dengan baju kurung macam ni? Lawaklah…” komen Adila. Langkah diatur dan mengambil tempat di sisi Anis.
            “Adila apa tahu… akak yang kena menghadap tetamu nanti.” Anis berpaling pada Adila yang turut mengenakan sepasang baju kurung berwarna kuning diraja. Cantik! Adila sememangnya cantik jika hendak dibandingkan dengan Anis dan Asma. Wajah itu cukup mulus sama seperti Puan Amina. Melihatkan wajah Adila, tiba-tiba minda Anis tercetus dengan idea kurang warasnya.
            Bibirnya tersenyum nakal. “Apa kata, Adila aje jadi akak… kita kan selalu digelar kembar.” Anis mengenyitkan mata sebelah. Wajahnya penuh dengan riak nakal.
            Adila sudah menjegilkan biji mata. “Apa pulak akak ni… Adila sekolah lagilah!”
            “Kalau dah habis sekolah?” giat Anis.
            “Tak mau jugak!”
            “Kenapa? Mak cakap Iman Anas tu manis dan sopan… tau!”
            “Tak mau… tua, padanlah dengan akak!”
            Erk! Hampir tercekik Anis dengan air liurnya sendiri. Tua? Tidak pula dia bertanya kepada emak mengenai butir peribadi Iman Anas melainkan sebaris nama yang disebut oleh Puan Amina. Tetapi bab umur, tua? Tua itu maksudnya berapa? Risau pula Anis memikirkan itu. Sebelum ini tak mahu tahu. Sekarang, padanlah dengan mukamu!

INI ke dia, Iman Anas? Anis menjeling buat kali ke sepuluh. Ini ke dia? Diulang tanya soalan itu dalam hati. Dan dia kembali ralit dengan minda sendiri. Mulai melakukan perbandingan secara ekstrem. Antara Anas yang diminati dan Anas yang berada di depan mata ini. Mana sopan dan manis yang Puan Amina gembar-gemburkan itu?
            Sekali lagi matanya bertamu ke wajah Iman Anas. Dan kebetulan, lelaki itu turut berbuat yang sama. Riak di wajah Anis selamba. Matanya tekun menganalisa. Sepasang mata yang dingin itu seolah begitu jauh untuk diselami. Tiada sopan yang dikesan. Apatah lagi manis, jauh sekali.
            “Yang ini anak ketiga dan bongsu saya… Adila dan Bahar. Adila ni muka serupa macam Anis. Tengok pun selalu orang keliru…” terang Puan Amina ramah.
            Anis memandang wajah mak cik yang rancak berbual dengan emaknya. Manis! Memang sangat manis. Tetapi kenapa tiada kemanisan yang singgah di wajah jejaka berbaju kemeja biru laut itu. Sekali lagi, mata mereka bersapa.
            Serentak itu kedengaran deheman daripada jejaka itu. Mungkin kurang selesa. Anis sekadar menutur maaf dalam hati. Terlebih-lebih pula pandang wajah anak teruna orang hari ini.
            “Iman rasa, Anis ada benda nak cakap agaknya…” tutur Iman Anas di tengah-tengah ruang tamu itu.
            Anis terus melopong. Terkejut dengan kenyataan yang tidak diduga. Terjegil matanya pada Iman Anas yang menayangkan wajah selamba.
            “Kalau nak berbual, pergilah duduk dekat bangku luar. Adila, ajak akak… temankan dengan Abang Iman.” Bahu Adila ditolak perlahan untuk ke arah Anis. Adila sudah tersengih menarik lengan kakaknya yang langsung tidak kelihatan seolah sudi dengan perkataan berbual itu.
            “Mak, Anis tak ada benda nak cakap,” bisik Anis pada Puan Amina. Harapannya biarlah kumpulan merisik ini pulang segera.
            “Tak apa… dah duduk nanti, adalah benda yang hendak ditanya. Cuba bawa berbual dulu, mungkin akan berkenan… tak begitu, Iman?”
            Iman Anas tersedak. Tahu sangat emak menyindirnya. Namun bibir emaknya tersenyum sahaja. Dikerling pula pada wajah Anis yang nyata mempamerkan riak tidak mahu. Siap dijegil-jegil mata itu. Tidak sedar, Iman Anas tersenyum sendiri. Hendak ketawa pula melihat reaksi perempuan sedemikian rupa.
            Dan Anis pula… terleka seketika menatap senyuman yang tidak dijangka itu. Tanpa sedar bibirnya turut tersenyum. Manisnya… lantas hatinya harus juga mengakui, manisnya Iman Anas.

TANGANNYA menongkat dagu. Matanya dipanah tanpa tuju. Dan cukup hanya dengan itu, bibirnya mampu tersenyum. Gelas yang berisi teh tarik panas itu dikacau seketika sementara menanti Fairuz tiba. Sudah janji bertemu selepas Maghrib, sehingga Isyak juga lewatnya.
            “Iman, maaflah… lambat. Sesak sangat tadi…” Fairuz yang baru tiba, terus menghadiahkan alasannya. Jelingan Iman Anas seperti biasa adalah habuan yang akan diterima.
            “Jadi, apa cerita?” terus Fairuz bertanya. Sambil membuat pesanan untuk makan, dia menanti dengan sabar untuk mendengar butir bicara daripada Iman Anas.
            “Okey.”
            “Okey apa?” soal Fairuz keliru. Takkan itu sahaja ceritanya. Penat dia memecut dari rumah semata-mata hendak bertemu dengan Iman Anas kalau sekadar mendengar perkataan okey.
            “Okeylah… Anis.”
            Mata Fairuz membulat. “Serius?”
            “Aku pernah cakap main-main ke?” marah Iman Anas.
            Fairuz ketawa. “Aku macam tak percaya… tapi, okeylah kalau Anis tu okey. Tapi, macam mana yang boleh okey tu? Ceritalah sikit… takkan okey dalam sekelip mata. Kau punya peel bukan aku tak tahu… macam-macam ragamnya!” perli Fairuz.
            “Tak tahulah aku… tapi aku tak rasa nak cakap tak okey, jadi aku cakap okey kat mak. Mak nak buat kenduri bila pun, ikut mak… aku dah bagi green light, dah cukup besar.”
            Fairuz mencebik. Ini baru Iman Anas yang sebenar. Huh, seakan terpedaya sebentar dengan topeng sebentar tadi. “Anis tu tak kata apa?” Ditanya lagi. Hendak tahu apa pula penilaian orang baru terhadap Iman Anas.
            “Mak cakap, dia berkenan dekat aku…” tutur Iman Anas dan tersenyum nipis. Tidak pula dia memikirkan ada perempuan akan berkenan dengan dirinya.
            “Aku rasa Anis ada cacat penglihatan. Dia tengok muka kau elok-elok tak?” soal Fairuz serius.
            “Dia tengok lebih daripada sepuluh kali kot. Cara dia tengok tu, macam nak cari sesuatu. Aku macam penjenayah pula dekat situ, ditenung, direnung… mujur tak ada laser dekat mata dia, kalau tak mesti dah berbirat muka aku.” Iman Anas tertawa lucu.
            “Amboi… masa dia tenung tu, ada lagu hindi tak?”
            “Aku simbah air teh ni kat muka kau pun, akan ada lagu hindi jugak!” keras nada Iman Anas. Petanda dia sudah mahu marah.
            Fairuz terus menjelirkan lidah. “Pantang diusik, terus nak marah… ni Anis tahu tak yang kau memang suka marah? Jangan terpesona dengan topeng palsu yang kau pamerkan dengan rumah bakal mak mentua semalam.”
            “Kenapa aku nak marah? Dan bila masa aku marah? Aku paling tak suka marah orang okey!” Tegas Iman Anas sambil menyisip air teh tarik dalam gelas.
            Fairuz memandang Iman Anas dengan pandangan tidak percaya. Habis, yang sebelum-sebelum ini selalu dia kena marah dengan Iman Anas itu, bukan ke? Sudah amnesia ke lelaki ini lepas balik daripada tengok calon isteri?

SEPERTI biasa, bungkusan makanan menjadi kiriman wajib yang diterima daripada Qaiser. Anis memandang wajah itu, lama. Mulutnya dikemam seketika, memikirkan cara bagaimana hendak diberitahu pada Qaiser. Biarpun Qaiser tidak pernah melagukan ayat, saya suka Anis. Tetapi Anis hendak juga beritahu, Anis tak mungkin sukakan Qaiser. Sebab… Anis hanya untuk Anas. Itu adalah tekad yang muncul sejak dia terpesona dengan senyuman manis Iman Anas. Tidak disangka, Iman Anas mampu tersenyum dengan manisnya.
            “Qaiser… saya tak nak awak hantar-hantar kuih ni lagi. Jaga perut awak aje. Tak payah sibukkan saya.” Ujar Anis, cuba berlapik dalam berkata-kata.
            Qaiser tersenyum. Anis, seolah dia tidak mengenali gadis itu. Pasti pandai sahaja berhelah.
            “Saya belikan untuk kawan, salah ke? Lagipun… saya bukan bagi awak aje. Ustaz Syahmi, Puan Jasni, Cik Intan… semua pun saya bagi.” Pandai sahaja Qaiser menokok cerita. Tetapi tahu sangat, cerita itu tidak mampu menembusi telinga Anis. Lihat sahaja wajah selamba wanita itu. Memang tahu sangat tidak percaya.
            “Tak payahlah nak gula-gulakan saya… macam saya budak tadika. Ni nak bagi tau…” Anis sudah bernada serius. Malas pula hendak berkias. Terlebih kias, tidak dapat menyampaikan isi cerita. “Dua orang wanita dalam bilik ni, sudah menjadi milik orang… seorang sudah bertunang. Dan seorang lagi, bakal… jadi, Qaiser… nak mengurat seorang pun tak dapat. Kalau dua-dua pun, lagilah tak boleh.” Tersengih Anis dengan penjelasannya.
            Riak wajah Qaiser berubah.
            “Bila awak bertunang?”
            “Tak lama lagi.”
            “Awak tak tipu?”
            “Buat apa nak menipu? Kalau nak tipu, awal lagi saya boleh tipu…” jujur Anis berkata. Qaiser yang sudah tunduk menekur lantai kelihatan serba salah di hadapannya.
            “Anis… saya minta maaf. Saya tahu awak bujang, sebab tu saya berani nak dekat… tapi saya tak tahu pasal ada yang dah masuk meminang. Maaf. Anggap ajelah kuih tu sebagai ucapan tahniah… semoga berbahagia.”
            Dan Qaiser berlalu meninggalkan Anis yang tergamam mendengar bait katanya.
            “Dia pergi macam tu aje…” komen Anis sambil menutup pintu.
            “Dah tu, kau nak dia meraung macam orang gila? Itulah bezanya Qaiser dan Anis… Qaiser yang matang, yang berpijak pada realiti. Manakala Anis, sibuk mengejar Anas dalam khayalan tidak henti-henti.” Perli Kamilia dengan nada yang begitu kejam sekali.
            Anis memuncung. Benci!
            “Qaiser tu baik… sopan, berbudi bahasa… cuma itulah, susah juga nak dekat dengan dia. Dia nampak Anis aje… tapi nasib jugak dia sedar, tak boleh menganggu gadis yang dah dipinang orang. I like that principe!” ujar Kamilia dengan rasa kagum.
            “Akulah jadi antagonis dalam hal ni?” soal Anis serius. Plastik berisi kuih lepat pisang dipandang lama. Kesian pula.
            Kamilia mengangguk.
            “Kesiannya Qaiser…” tutur Anis perlahan. Jujur ada rasa kasihan yang bertandang.
            “Dan kau jangan nak kena sepakan penalti daripada aku sekarang. Cuba fokus… seru nama Iman Anas kuat-kuat. Nyahkan semua anasir lain. Termasuk Qaiser!” Separuh menjerit Kamilia memberi arahan. Sebelum ini asyik Anas. Sekarang lepas dah berkenan Iman Anas, tup tup… kesian Qaiser pula. Sakit jiwa raga!

Comments

  1. Memang sah la Iman Anas ni abg qaiser coz fairuz ckp iman suka marah... kesian kat qaiser... mcmne la nnti ngn dia...

    ReplyDelete
  2. aduhhhh..merana lah c qaiser..kompom tgezut cicak..gadis pujaan hati bakal mjd milik c manis iman anas..hehehe


    -pipvz devil-

    ReplyDelete
  3. ... hahaha singa jantan jumpa singa betina terus jatuh suka.... kerana jelingan mata dan senyuman ja hati dan mulut x tahu nak berkata-kata..... so x perlu kata apa-apa... hehehe
    tapi kasihan qaiser bila dapat mtahu yg abang dia yang akan bertunang dgn Anis.... boleh tambah sakit jiwa si Kamilia... hahaha

    ReplyDelete
  4. takpe2 nanti qaiser amik adik anis si adila tu..

    ReplyDelete
  5. Kesian mmg kesian jgak kan. Tp kalau Qaiser sambar awal2 si Anis tu kan senang. Takpela, jodoh bkn dgn Anis. Kelakar plak statement Kamilia tu, setuju jgak dgn dia. Anis sblm ni Anas2, skang Iman Anas, dh tu plak kesian Qaiser. Takpela Anis, doakan kebahagiaan Ana's dan Qaiser k.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia