Skip to main content

Cerpen: Kerana Cinta [Part 2]


KUNCI kereta diletakkan di atas meja makan. Sejurus selepas membersihkan diri dan bersolat, Reza sudah menanti ibunya di meja makan. Hidangan malam ini begitu menyelerakan. Sedang dua beranak itu asyik menjamu selera, tawa Reza terlepas tiba-tiba. Pandangan pelik daripada ibu tidak perlu ditunggu lama.
            “Selalunya kan ibu, lelaki yang merisik pasal perempuan kan?” soalnya dengan senyuman. Kisah Amni tadi sedikit sebanyak mencuit hatinya. Begitu khusyuk telinga ini menangkap butir bicara Murni tentang usaha Amni untuk selidik tentang salah seorang pegawai di tingkat 17 buat sepupunya. Tapi siapa pegawai itu, tidak diambil tahu pula. Sememangnya tingkat 17 memang terkenal dengan jejaka-jejaka bujang terhangat di pasaran. Dia tersenyum lagi.
            “Angin tak ada, ribut pun tak jugak… kenapa? Nak ibu risikkan sesiapa ke?” soal ibu dengan penuh harapan. Namun Reza tersenyum sahaja. Lalu diceritakan tentang kisah di pejabatnya itu.
            Ibu sudah tersenyum. “Baguslah! Sebab jodoh tu, biarpun Allah dah tetapkan… tapi kita sebagai manusia kena berusaha mencari. Eloklah dia tolong selidik untuk saudara dia… niat dah baik, insya-Allah, Dia akan mudahkan.” Sambil berkata, ibu sudah mencedukkan nasi tambah ke dalam pinggan Reza.
            “Dia nampak polos.” Luah Reza perlahan. Namun masih jelas di pendengaran ibu. Apalagi, makin melebar senyuman di bibir tua itu.
            “Berkenan ke?” tebak ibu.
            Dan Reza masih tersenyum. Berkenan? Tidaklah… bukan semudah itu dia hendak berkenankan sesiapa selepas Ana. Ah, Ana lagi! Wake up Reza, Ana sudah bahagia dengan keluarganya. Separuh hati Reza mulai marah.
            “Kalau berkenan, cakap! Ibu tak ada halangan… memang dah bersiap sedia nak masuk meminang anak dara orang untuk anak ibu ni,” semangat ibu berkata.
            Reza terkedu…

“KAK HAS… Murni suruh bagi,” ucap Amni sambil menghulurkan plastik yang berisi dua bekas jejari oat.
            “Eh… kenapa bukan Murni yang bagi sendiri?” soal Haslina pelik. Tidak pernah-pernah Amni naik ke atas untuk urusan ini melainkan sekali itu sahaja, ketika hendak bertanyakan perihal Reza. Tangannya sudah mencapai huluran plastik tersebut daripada Amni.
            “Dia ada kursus hari ni… tu yang pesan dekat Amni suruh bagi dengan akak…” jelas Amni dengan senyuman manis.
            “Ini business apa ni?”
            Amni terus tersentak apabila ada suara garau yang menyapa. Haslina tersenyum sahaja.
            “Business cookies la encik… macam tak biasa. Murni yang buat.”
            “Tapi lain pula tukang hantarnya…” ujar Reza sambil mengerling sekilas wajah Amni yang sudah tertunduk menekur meja Haslina. Hatinya seakan tersenyum sendiri. Manisnya wajah itu! Benarkah dia sudah berkenan?
            Reza perasan, sejak akhir-akhir tingkahnya sudah berlainan sahaja. Setiap kali dia ternampak kelibat Amni di ruang lobi ataupun mana-mana kedai makan berdekatan pejabat, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk terus menatap wajah itu. Hatinya sudah tertanya-tanya lagi… sudah berkenankah dia?
            “Duit nanti… kak Has bagi dengan Murni sendiri ya. Amni gerak dulu.” Amni sudah hendak berlalu namun terhenti langkahnya apabila namanya dilaung dengan nada yang mesra. Amni menelan liur berkali-kali menenangkan jiwanya sebelum matanya beralih pada si pemanggil itu.
            “Err… ada apa encik?” soalnya dengan gugup. Matanya sudah tertancap di wajah Reza dan Reza pula dengan senang hati melemparkan senyuman manis ke arahnya. Boleh pengsan la kalau macam ini penangannya! Amni mengeluh kecil. Payah!
            Serentak dengan kaki Reza melangkah mendekati dirinya, serentak itu jugalah jantungnya semakin berdebar. Amni sudah melarikan pandangan ke arah lain. Renungan itu begitu halus sekali menusuk ke dalam hati.
            “Cantik awak hari ni…” separuh berbisik suara Reza singgah buat pendengarannya. Amni sudah terlopong di tempat berdiri. Manakala Reza, sudah mengatur langkah ke biliknya dengan senyuman yang begitu manis sekali.

KOTAK televisyen yang sejak tadi terpasang, langsung tidak menarik minatnya. Namun, sejak tadi juga, bibirnya tidak sudah-sudah membungakan senyuman. Angaukah?
            “Kenapa yang pelik sangat ni?” teguran itu hanya membuatkan dia tersenyum terus.
            “Kali terakhir ibu tengok kamu macam ni Reza… masa zaman kamu bercinta dengan Ana dulu…” ucap ibu.
            Reza tersentak seketika. Nama Ana membuatkan hatinya bergetar. Tetapi sekejap cuma, bibirnya sudah meleret kembali dengan senyuman. Jodoh Ana sudah ditetapkan dengan Faisal. Jodohnya… insya-Allah, dia hanya berdoa untuk yang terbaik.
            Tanpa kata dia sudah bangun dan masuk ke dalam bilik. Meninggalkan ibu di ruang tamu terpinga-pinga melihat aksinya yang jauh daripada biasa.

LANGKAH kanan diatur sebelum melangkah perlahan keluar dari lif. Dengan blaus dan seluar panjang yang tersarung di tubuh semakin memudahkan pergerakannya. Dengan bantuan Murni, dia berjaya membuat helah untuk keluar tanpa kawalan Mak cik Ramlah hari ini. Buat pertama kalinya, Amni seolah bernafas dengan bebas. Bibirnya sudah tersenyum kecil. Rasa bahagia dengan nikmat sementara ini.
            Matanya meliar di lot-lot kedai yang terdapat dalam kompleks membeli-belah ini. Sekadar mencuci mata, sudah cukup mengujakan perasaannya. Namun seketika cuma, hatinya yang tenang dan bahagia itu sudah disapa resah. Wajah itu!
            Reza… bisik hatinya.
            Kebetulan apakah ini? Mengapa perlu dia menemui lelaki itu di sini? Dalam pada jiwanya dilanda resah, matanya begitu setia mengekor gerak langkah kaki itu. Seketika kemudian, dia mengeluh kecil. Kenapa dia harus melakukan semua ini? Dan kenapa harus wujud perasaan ini sedangkan dia tidak pernah mengenali lelaki itu sebelum ini? Sesungguhnya dia lelah dengan rancangan ini. Dia menjadi semakin lemah. Semakin diselidik… semakin dia kehilangan hatinya.
            “Amni?!” teguran itu menyentakkan Amni.
            “Awak buat apa dekat sini?” Amni tergamam seketika sebelum menjawab soalan Reza.
            “Jalan-jalanlah encik… tak boleh ke?” soal Amni pula.
            Reza sudah tersenyum. “Boleh… kenapa pula tak boleh. Shopping complex ni bukan harta persendirian saya. Datang seorang ke?” mata Reza sudah meliar ke kiri dan ke kanan. Cuba meredakan keresahan di hati, andai kedatangan Amni ditemani oleh seseorang.
            “Seorang… err… dah janji dengan kawan, tapi dia tak boleh datang.” Pandai sahaja Amni merangka kelentong di situ. Sedangkan, dia memang bercadang untuk menghabiskan hari ini tanpa sesiapa pun di sisi.
            “Oh, seoranglah ni?”
            Amni mengangguk laju. Yakin sekali walaupun hatinya sedang berdegup kencang di saat ini.
            “Bahaya perempuan jalan seorang dekat sini… jom, jalan dengan saya,” pelawa Reza dengan hati yang senang. Melihatkan wajah Amni di saat ini membuatkan hatinya terasa selesa pula. Nyata gadis itu berjaya mencuri tumpuannya tanpa sebarang usaha yang luar biasa.
            “Eh… nak pergi mana?” soal Amni kalut. Reza sudah berkalih dan tersenyum lagi.
            “Dating nak?” soal Reza dengan kenyitan nakal ke arah Amni yang sudah terlopong di situ. Dengan senyuman yang tidak putus, Reza terus melangkah ke depan sedikit. Seketika kemudian dia berhenti dan berkalih memandang Amni. Wajah Amni yang terlopong itu hanya membuatkan tawanya meletus tanpa ditahan.
            “Saya bergurau ajelah. Jom, temankan saya makan. Saya belanja awak…”
            Lambat-lambat sahaja Amni mengatur langkah menghampiri Reza dan mereka bersama-sama melangkah masuk ke dalam Chicken Rice Shop yang terletak di tingkat satu kompleks membeli-belah itu.

MATA Reza sekejap-sekejap memandang wajah gadis yang sedang sopan menjamu selera di hadapannya. Sesekali senyuman bergayut di bibir. Polos! Itulah gelaran terbaik dapat diberi untuk menggambarkan gadis bernama Amni ini. Polos, sepolos wajahnya. Biarpun tidak dapat dikategorikan sebagai wanita yang cantik tetapi dia harus akui wajah polos ini juga mempunyai kelebihan yang menarik pandangan matanya.
            “Kalau saya tanya, encik marah tak?” soalan Amni membuatkan Reza melabuhkan mata tepat di wajah gadis itu. Wajah itu nampak sedikit gugup. Barangkali takut.
            “Belum tanya pun saya nak marah…” serius Reza menjawab.
            “Hah!!!” Amni terkejut. Makin kecut perut jadinya.
            “Cuba jangan berencik-encik dengan saya… sejak bila pula saya ni jadi orang atasan awak? Panggil Reza… tak pun, abang Reza ke…” nada Reza seakan hendak mengusik. Bibirnya sudah tersengih nakal melihat mata Amni yang sudah membulat. “Awak muda hampir enam tahun dari saya…” sambungnya lagi.
            Amni pula masih dengan muka tidak percaya. Takkan dia hendak memanggil abang pula? Gila ke! Reza… hurm.
            “Saya dengar-dengar dari Kak Has, Reza banyak peminat dekat office. Tapi, kenapa… Reza… belum…” satu-persatu Amni sebut. Tapi tergagap-gagap pula.
            “Kenapa belum?”
            Amni sudah menggaru kepalanya. Entah bagaimana harus ditanyakan soalan itu. Sudahnya dia mengetap bibir sendiri. Terasa bodoh pula mengajukan soalan itu. Mungkin dia hendak mendengar satu jawapan yang pasti dari bibir Reza sendiri. Biarpun hatinya terluka, dia masih hendak meneruskan agenda bagi memudahkan urusan Mak cik Ramlah.
            “Kenapa saya belum kahwin ke Amni?” soal Reza tenang.
            Amni tersentak. Sememangnya dia tidak mampu untuk menyembunyikan riak wajahnya itu. Dan senyuman di bibir lelaki itu membuatkan dia terasa semakin kalut. Duhai bibir… usahlah tersenyum cantik begitu! Sempat lagi hatinya berdoa. Matanya sudah menekur ke arah pinggan yang separuh kosong.
            “Saya tunggu awak kot…” selamba Reza menjawab.  Jelas matanya menangkap riak wajah Amni yang sudah merah disimbah darah. Bibirnya terus-menerus mengorak senyuman. Entah apa yang menyebabkan dia berkata begitu. Yang pasti, hatinya terasa senang di saat ini. Adakah dia benar-benar sudah jatuh suka buat kali kedua?
            “Reza ni… pandai aje nak gulakan saya…” ucap Amni pantas sambil tertawa kecil. Mengandaikan kata-kata Reza sebagai satu gurauan. Tertawa senang di luaran namun hatinya merintih pedih di dalamnya. Andai kata, benar maksud kata itu? Apakah dia boleh mengecapi bahagia yang diimpikan? Bagaimana pula dengan janjinya dengan Mak cik Ramlah yang begitu mengimpikan Reza untuk menjadi suami kepada Zatilhusna?

“SAYA tunggu awak kot…” masih jelas di telinga ayat yang diucapkan Reza. Mata Amni sudah berlabuh di cermin yang terletak elok di dalam bilik sederhana kecil ini. Perlahan jari telunjuk sudah mula bergerak ke pipi, mengesat air mata yang mulai mengalir di situ. Sakit!
            “Kenapa… kenapa perlu aku suka sesuatu yang takkan dapat aku miliki.” Rintihan itu perlahan dan sayu berlagu di bibir.
            Ketukan yang bertalu-talu di pintu bilik membuatkan Amni laju mengelap mukanya dengan tuala di penyangkut. Tergopoh-gopoh di membuka pintu dari dalam. Wajah Mak cik Ramlah terjengul di sebalik pintu.
            “Err… kenapa mak cik?”
            “Bila nak ajak Reza datang rumah?” terus sahaja Mak cik Ramlah menyoal. Amni terkedu. Dan kenapa dia yang harus melakukan undangan itu? Tidak tahukah Mak cik Ramlah bahawa Amni begitu terseksa dengan semua ini!
            Tidak… Mak cik Ramlah tidak harus tahu. Kalau tidak, habislah Amni! Riak teruja Mak cik Ramlah setiap kali dia memaklumkan perihal tentang diri Reza begitu segar di ruang mata. Begitu berkenan mak ciknya dengan si kacak itu. Dan dia yakin, tanpa jawapan daripada bibirnya, Mak cik Ramlah tidak akan beralih dari situ.
            “Nanti Amni cuba tanya mak cik.” Dengan tidak yakin, jawapan itu diucapkan oleh Amni.
            Sebaik sahaja Mak cik Ramlah berlalu dengan senyuman, Amni sudah menutup pintu bilik dengan rapat. Sekali lagi, air matanya jatuh mencemarkan pipi.

“AMNI…” tegur Reza dengan senyuman. Kebetulan pula mereka sama-sama bertembung di hadapan lif ini.
            Amni tersenyum kecil dan terus mengalih pandangan pada angka yang tertera di lif. Hatinya dengan tiba-tiba sudah mula berirama bangra. Gabralah pula! Sejak dia berdating secara tidak rasmi dengan lelaki itu, hatinya sudah menjadi lain macam. Seakan tidak mampu dikawal sesak yang dialami ini. Ditambah dengan ucapan dari bibir Reza pada hari tersebut, membuatkan dia tidak betah berhadapan dengan lelaki itu.
            Bimbang jika keadaannya menjadi parah, lantas dia sudah menghentikan segala sesi selidik tidak bertauliah yang dijalankan selama ini. Namun, sebenarnya ia tidak membantu pun. Kepulangan Zatilhusna semakin menghimpit perasaannya. Jika benar Reza dengan Zatilhusna?
            “Masih berjalan lancar, agenda merisik awak tu?” soal Reza. Ramah pula lagaknya pagi ini.
Amni mengangguk sahaja mengiakan. Senyap-senyap, Amni sudah mendapatkan banyak maklumat tentang Reza. Cukup semua itu untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang lelaki itu seperti yang dikehendaki oleh Mak cik Ramlah.
“Kalau tak keberatan, boleh saya tahu… siapa sebenarnya yang awak tengah selidik ni? Bukan apa, bolehlah saya bantu serba sikit… memudahkan lagi kerja awak,” ikhlas Reza memberi cadangan.
“Err… tak apa Reza. Saya boleh uruskan sendiri. Terima kasih.” Pantas sahaja Amni menolak. Hatinya menjadi gusar. Bimbang kalau dia terlepas kata. Dia tidak berani untuk memaklumkan sendiri pada Reza. Cukuplah sekadar menjadi spy tidak bertauliah. Dia sudah cukup terseksa dengan rasa hatinya sendiri.
“Iyalah… apa pun, all the best.” Ucapan Reza itu sekaligus menamatkan perbualan mereka. Kerana lif sudah terbuka dan masing-masing bergegas meluru masuk ke dalamnya, tidak mahu terlambat ke pejabat.

“CERIA betul hari ni?” tegur Haslina. Senyuman di bibir Reza menimbulkan tanda tanya. Cerianya lain macam sahaja.
            “Saja… you tak suka tengok I happy?” soal Reza kembali dengan bibir yang tidak putus-putus menguntumkan senyuman. Matanya terus tertancap di PC. Senyumannya kembali melebar.
            “Bukan tak suka… tapi apa rahsianya?”
            “Salah tak kalau I jatuh cinta buat kali yang kedua?”
            Haslina tersentak seketika. Jatuh cinta? Reza? Terlopong dia buat sesaat dengan perkhabaran itu. Namun, seketika kemudian dia sudah tersenyum gembira. Dia sangkakan hati Reza telah tertutup untuk menerima kasih si gadis, tapi tidak juga.
            “Tak sia-sia usaha Fadhilah hantar bunga hari-hari ya… akhirnya, encik tersangkut juga.” Ucap Haslina dengan gembira. Namun riak wajah Reza membuatkan dia mengetap bibirnya laju. Aduh, salah cakap ke?!
            “Bukan Fadhilah… ada ke I nak tersuka dengan dia…” Reza sudah menjeling kecil. Fadhilah yang tidak jemu-jemu menghantar bunga padanya langsung tidak memberikan sebarang impak di hati. Malah, dia hanya terasa gadis itu terlalu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan perhatian darinya.
            “Laa… habis tu, siapa? Saya tak perasan pula orang lain yang sibuk nak tackle encik…” Haslina sudah mula menggaru kepalanya. Dalam otak sudah mula membuat suai dan padan, calon-calon yang berkemungkinan telah menambat hati Reza.
            “Ada la… orangnya…” Reza sekadar meleretkan suara dengan senyuman yang kembali berkuntum di bibir. Amni! Sahut hatinya pantas.

[Bersambung] :)

Comments

  1. Assalam Umi,
    Akak suka ceta nie... tp awal dah ada aral yang menyusahkan...hehehehe.... mesti banyak rintangan lagi kan...

    Apa pun .... teruskan lagi...sambung cepat yer....

    ReplyDelete
  2. Story nie best lah sis!!!!
    x sangka hati Amni dah terpaut pada Reza,sedangkan Reza adalah orang yang Amni selidik untuk Zatilhusna...
    x sangka juga dalam diam hati Reza dah terbuka untuk jatuh suka pada Amni...
    x sabar nak tunggu sambungan...

    ReplyDelete
  3. stori ni agak complicated. agak berat pun ya jugak. Hope anda semua akan terhibur juga di akhirnya. InsyaAllah, akan menyusul sambungan tidak lama lagi :)

    terima kasih semua.

    ReplyDelete
  4. aiseh, amni dah terjebak nih. macam mana nak pass pd zatil pulak? tak boleh..tak boleh..

    ReplyDelete
  5. xsabar nk 2nggu part 3...
    tersenyum je WC bace part amni dating ngn reza...

    ReplyDelete
  6. suka suka suka! wah best2~~haha...xsabar nak tggu next n3~~ :D

    ReplyDelete
  7. bez 10x...mcm ne la amni nk hadapi makcik ramlah nnti klu tau reza suka kt amni

    ReplyDelete
  8. saya suka saya suka.. >____<

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia