Advs

Followers

August 18, 2012

Cerpen: Ramadan Ini (End)

MASAM wajahku sepanjang hari itu. Senyum tidak. Bertegur dengan orang sekeliling pun tidak. Dengan bos aku, Encik Azman, aku boikot terus sepenuh jiwa dan raga. Antara orang yang aku paling marah, dialah! Sengaja hendak mengkucar-kacirkan hidup aku di bulan Ramadan ini.
            Dia tersenyum apabila nampak muka aku yang cemberut. Aku pura-pura meneruskan kerja apabila Encik Azman mula mendekati mejaku.
            “Marah lagi Najihah?” soalnya dengan tenang. Sebagai jawapan, aku ketuk-ketuk keyboard dengan kuat. Biar dia tahu aku marah. Biar dia tahu, setiausaha dia yang bernama Najihah, perempuan yang sentiasa tampil ayu dan lembut juga mempunyai deria naga naik disembur minyak. Panas hati!
            “Marah sangat nampaknya.” Komennya sendiri.
            Aku mengetap bibir kuat. Bimbang terhambur kemarahanku di sini. Apapun yang terjadi, dia masih bos yang aku hormati. Tidak wajar rasanya jika aku bertindak menjatuhkan air mukanya di pejabat ini.
            “Tapi awak dah setuju kan? Janganlah simpan marah tu dengan saya lagi. Sedih saya nanti, bakal adik ipar boikot abang ipar separuh mati.”
            Cepat sahaja wajahku berpaling. Mulut yang kutahan sejak tadi, seakan tidak mahu berdiam lagi. “Encik sengaja kan? Langsung tak cakap apa pun dengan saya. Buat saya rasa macam bodoh sangat! Saya setuju pun sebab mak suka. Mak kata mak gembira bila ada yang nakkan anak dara dia yang serba kekurangan ni.” Balasku lirih. Masih sedih.
            “Tak ada yang kurang pun Najihah. Awak ni, saya tengok… elok aje serba-serbi. Baik, sopan, penyabar… errr… mungkin sekarang ni, dah kurang sikit kot tahap kesabaran tu…” tokok Encik Azman. Aku menjeling dan dia terus ketawa.
            “Najihah… jangan risau, saya takkan aniaya pekerja kesayangan saya. Saya boleh jamin, adik saya tu akan jaga awak macam nyawa dia.”
            Tutur kata yang ikhlas itu kutelan juga. Wajah Encik Azman kupandang lama. “Encik yang rekomen saya dekat adik encik ke?” soalku ingin tahu.
            Dia mengangguk dan tersengih lebar. “Segala detail, nombor phone, alamat rumah, salasilah keluarga, semua pun saya yang bagi tahu dekat dia.” Jujur jawapan Encik Azman. Namun masih ada yang meragukan hati ini. Jannah! Hendak ditanya dengan Encik Azman? Tetapi apa yang aku hendak tanya? Bingung seketika, aku biarkan sahaja soalan itu berlegar di ruang mindaku.

PAGINYA menghadap muka abang. Malamnya menghadap muka adik. Beria sahaja emak aku menjemput Encik Azmi datang berbuka di rumah. Hatiku geram sendiri. Tetapi tidak pula aku pamerkan rasa marah itu pada dirinya yang asyik tersenyum dari tadi. Aku terleka seketika. Hanyut dengan pandangan mata yang mempesonakan jiwa. Tidak tahu kenapa, aku terasa dekat dengan Jannah setiap kali melihat senyumannya. Entah-entah? Erk…
            Ada sesuatu yang mengganggu fikiranku. Tapi mana mungkin? Mustahil! Jannah itu anak tunggal. Mana dia ada kembar tidak seiras. Boleh pula aku mengandaikan sesuatu yang jauh daripada logik akal.
            “Jiha… termenung apa lagi? Sendukkan nasi dalam pinggan Azmi.”
            Tersentak aku. Emak ceria sangat hari ini. Entah apa ‘kuasa’ yang ada pada Encik Azmi ini yang mampu membuatkan emak tersenyum sahaja semenjak dia masuk meminang diri aku di bulan Ramadan ini. Mungkin keberkatan Ramadan itu yang menjadikan ikatan baharu ini menjadi lebih bererti dengan restu daripada orang tua kedua pihak.
            Aku terus mencedukkan nasi tomato dimasak khas oleh emak. Aku terdengar-dengar Aifa kata tadi, nasi ini special request daripada bakal menantu emak ini. Kalau benar ya, hatiku tersayat lagi. Ini adalah kegemaran ‘kembarku’, Jannah. Oh, sungguh aku rindu. Menatap wajah Encik Azmi makin aku tidak keruan.
Keningku bertaut dengan renungan pelik di wajahnya. Jemariku menjadi sejuk. Kenapa? Mungkin aku seorang sahaja mengandaikan begitu? Melihat Jannah yang aku sayangi dalam diri Encik Azmi?
“Najihah…” dia menyebut namaku perlahan.
“Jannah.” Itu juga yang meniti bibir di kala ini. Tidak dapat ditahan, air mataku menitis laju. Semua menjadi kaget dengan tangisan aku. Maafkan aku Jannah! Bukan niat aku untuk mengambil ‘abang Azmi’ kau.

MALAM yang dingin, aku membasahkan diriku dengan wuduk. Tangisan terus berlarutan. Hanya pada Dia yang mampu aku adu segala duka dan lelah di hati ini. Tidak pasti dengan rasa hati yang sedang aku alami. Aku seakan dilema. Terasa seperti aku mengambil hak Jannah. Biarpun Encik Azmi sudah pun menyatakan, dia tidak kenal dengan Jannah. Tetapi siapa Abang Azmi yang sering diceritakan oleh Jannah? Tidak samakah dengan bakal suamiku ini?
            “Kalau aku jauh dari kau, agak-agaknya, kau rindukan aku tak Jiha?” soal Jannah.
            “Soalan apa ni, mestilah aku rindu. Kaulah antara orang yang paling aku sayang. Sayang sangat-sangat dengan Jannah.” Aku cium pipinya selamba. Dia menolak laju. Aku ketawa melihat aksinya mengelap pipinya. Seolah-olah aku ini mempunyai minat seks songsang.
Tapi keadaan aku dengan Jannah, kadang-kadang disalah anggap begitu juga. Biarpun kami berdua bertudung dan berbaju kurung sentiasa. Eh, seks songsang, tak perlu dilihat pada penampilan. Lihat pada hati dan tarikan nafsu… erk! Bahaya.
“Kalau kau lelaki Jannah, aku mesti dah masuk meminang kau.” Ujarku dengan tawa.
“Desperate-nya kau!” perlinya. Aku tidak peduli.
“Biarlah. Desperate ke, apa ke… asalkan kau jadi hak aku. Sentiasa dengan aku. Sebab aku sayang sangat dengan kau. Biar aku aje jaga kau, sampai bila-bila.” Tambahku sambil menarik bahunya rapat denganku.
“Eh Jiha, reporter kampung ni banyaklah. Mahu difitnahnya kita ni, tak ke kes aniaya.”
“Aku cakap, kalau lelaki. Aku pun tak adalah terdesak sampai nak langgar hukum Allah. Buat dosa aje minat dengan kaum sejenis.” Balasku geram. Dia tak dengar ke aku sebut kalau. Biarpun kalau itu sebenarnya tak wajar disebut pun. Kita mengharapkan sesuatu yang mungkin melalaikan hati dan fikiran manusia.
“Yang aku nak gariskan dekat sini, perasaan sayang aku pada kau.” Tekanku. Biar Jannah faham. Seperti biasa, sahabatku itu akan terus tersenyum.
“Insya-Allah, moga Allah kukuhkan ukhuwah ni hingga ke akhirat sana. Jannah pun sayang Najihah.” Kini pipi kananku pula menjadi mangsa. Jannah tersengih apabila aku melakonkan semula aksinya. Serentak kami ketawa. Bahagia.
Jannah! Mindaku tersentak lagi. Kerap kali dia menjengah fikiranku. Makin kerap apabila Ramadan kali ini sudah mula memasuki ke penghujungnya. Aku menjadi sayu lagi. Ramadan tahun lepas, yang terakhir buat dia. Mungkin Ramadan ini, yang terakhir untuk aku pula? Mengingatkan itu, aku terus mencapai tafsir mini di atas meja solek. Aku teruskan bacaan yang terhenti di surah Al-Fath. Bermula sahaja ayat pertama, aku sudah terasa sebak.
‘Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.’
Mataku meniti pada baris maksud ayat kedua.
‘Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukum-Nya).’
            Sesungguhnya hanya Dia yang memberi petunjuk kepada hati-hati yang ketandusan dan menagih kasih pada-Nya yang Esa. Aku terus menyembamkan wajah ke kulit tafsir. Memikirkan hakikat diri masih dikurniakan hidayah untuk terus meletakkan diri mengejar redha daripada-Nya. Dia memberikan petunjuk ke jalan yanglurus kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
            Betapa aku mengharapkan agar tidak dipalingkan hati ini daripada nikmat itu. Agar hatiku akan terus redha dengan segala ketetapan yang telah ditentukan-Nya untuk perjalanan hidupku ini. Mungkin rasa bersalah pada Jannah mampu dibuang jika aku dapat kukuhkan keyakinan bahawa tidak ditetapkan sesuatu buat hamba Allah melainkan yang terbaik sahaja buat mereka. Dan jika didatangkan ujian pun, itu tandanya Allah hendak menguji atas sebab rasa kasih kepada hamba-Nya.
            Semoga Ramadan ini akan menjadi lembaran buat hidup aku.

1 Syawal. Takbir berkumandang. Hibanya terasa. Emak sudah mengesat air mata. Aku tahu dia terkenangkan siapa. Kalau bukan abah, siapa lagi. Abah pergi dijemput Ilahi kerana ketumbuhan di otak. Waktu itu, Adib dan Aifa baru hendak belajar bertatih. Tidak dapat aku hendak bayangkan kekuatan emak pada ketika itu. Semangatnya terlalu kuat untuk membesarkan kami bertiga menjadi manusia dalam erti kata sebenar.
Garang yang dipamerkan oleh emak, adalah garang bersebab. Dia tidak mahu kami terlalu dimanjakan dan akhirnya membawa bahana kepada diri sendiri. Aku tidak kisah kerana aku tahu  sayang emak, tiada tolok bandingnya.
“Jiha minta maaf mak.”
Emak terus memelukku erat. Air matanya semakin lebat. “Jiha anak mak… mak sayang Jiha. Mak harap, Jiha dapat hidup baik-baik dengan Azmi nanti.” Harapan emak, mungkin itu adalah harapan aku juga. Aku tersenyum kecil sambil membalas pelukan emak.
“Jiha dah sedia?” soal emak lembut. Lembutnya pandangan itu menusuk ke dalam hati aku. Bersediakah aku untuk menjadi isteri kepada Azmi? Sudah tiada lagi pangkal encik itu apabila aku selalu diperli oleh Adib dan Aifa. “Encik??? Lawak spesies apa entah kak Jiha ni! Dia ingat kahwin ni macam nak pergi kerja di ofis kot. Nak masuk bilik nanti, ketuk pintu… encik, boleh Jiha masuk?” Masih aku ingat lagi tawa galak kembar itu. Menyampah aku!
Emak masih memandangku. Menanti jawapan nyata dari bibir ini. Bersediakah aku? Akad nikah akan diadakan selepas Asar petang ini. Mungkin terlalu awal, tetapi itu adalah permintaan aku. Atau… lebih kepada permintaan Jannah sebenarnya. Dia ada menyebut padaku, ingin dinikahkan pada bulan Syawal. Satu Syawal akan lebih mengembirakan hatinya. Mungkin aku ingin menyudahkan apa yang tidak dapat dilaksanakan oleh Jannah.
“Jiha dah sedia mak,” balasku yakin. Namun jantung sudah berdegup kencang. Memikirkan petang ini terasa lemah seluruh sendi. Biarpun bibir tersenyum pada emak, namun hatiku sudah dibanjir pilu. Tidak tahu kenapa.
Mungkin kerana, Ramadan ini telah pergi. Mungkin kerana bimbang tiada lagi Ramadan buat diri aku. Atau bimbang fikirkan bagaimana kehidupan akan datang dengan Azmi?
Petang itu, semua sudah bersedia awal. Emak awal lagi sudah menjemput adik-beradiknya. Majlis serba ringkas kerana aku terlalu ingin mendahulukan apa yang wajib. Supaya aku akan terus rasa tenang dan majlis ini akan mendapat redha-Nya.
Melangkah ke dalam masjid, diiringi Adib dan Aifa. Buat seketika, terasa bagaikan bidadari. Hatiku menjadi lapang. Ketenangan itu makin terasa apabila hati berulang-ulang kali mengalunkan surah Al-Insyirah. Surah yang jelas maksudnya, ketenangan itu hanya dengan mengingati Allah. Allah sudah berjanji, setelah kesulitan pasti akan disusuli kemudahan. Sesungguhnya, hanya pada Dia hendak kita memohon. Kunci ketenangan hati adalah Dia. Bibir aku dengan mudahnya tersenyum kerana aku tahu, Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.

“NAJIHAH…” aku berkalih padanya yang setia memandangku dari tadi. Tidak menyahut panggilan itu. Aku cuma tersenyum. “Terima kasih.”
            “Patutnya Jiha yang ucap terima kasih, sebab sudi jadikan Jiha permaisuri hidup abang.”
            Itulah yang dikatakan olehnya, sewaktu pertama kali kakiku melangkah masuk ke dalam mahligai yang disediakan buat kami meniti hidup rumahtangga ini. “Silakan masuk wahai permaisuri hatiku.” Tersenyum aku ketika itu. Malu.
            “Sini…” dia menarik tangannya. Diarah duduk sebelahnya. Aku diam, memerhati sahaja. Biarpun minda tertanya-tanya.
            “Nak dengar satu cerita…” tanyanya seperti bertanya kepada seorang anak kecil. Aku tersenyum dulu sebelum mengangguk. “Jiha pernah tanya, abang kenal dengan Jannah ke tidak?”
            Aku tersentak. Tidak segera memberi respon. Aku menanti sahaja kata-kata seterusnya.
            “Dia ada di sini…” tanganku ditarik dan dilekapkan ke dadanya yang bersarung t-shirt biru cair. Mataku membulat. Aku tersentak. Jantungku memalu tidak tahu rentaknya. Refleks, membuatkan aku rasa kecewa. Laju sahaja aku menarik tangan daripada genggamannya.
            “Abang tipu Jiha!” ucapku perlahan. Terluka. Sungguh bijak dia menidakkan sebelum ini.
            Namun bibirnya masih tersenyum. Gelengan kepalanya membuatkan aku mencebik. Masih hendak menafikan? Hatiku menjadi panas semula.
            “Rasa ni…” ditarik semula tanganku dan diletakkan di dadanya. Aku cuba memprotes, tetapi dia terus memaksa. Dan kali ini, aku diam. Saat tanganku kembali di atas dadanya, aku merasakan degupan itu. Jantung?
            “This heart… is your Jannah’s.”
            Membulat mataku.
            “Sebenarnya dia kenal dengan abang… masa tu, abang sakit. Dia tak ada cerita dengan Jiha? Dia ada join kerja-kerja sukarela untuk approach orang ramai dermakan organ untuk pesakit macam abang ni.”
            Aku menggeleng. Masih terkejut.
            “Dia selalu datang sembang dengan abang, bagi semangat suruh pulih cepat. Dia pandai psikologi dan buat kami lupa dengan sakit tu, walaupun sekejap. Dan dia janji, kalau apa-apa jadi dengan dia, jantung dia akan didermakan pada abang.”
            Tiba-tiba dia menarik aku, didekatkan lagi.
            “Kuasa Allah Jiha…” suaranya menjadi sebak. “Dia kemalangan. Walaupun nampak macam badan dia dah hancur teruk, tapi Subhanallah, tak ada bahagian lain yang luka melainkan muka dan leher dia. Macam yang dia minta, jantung dia… dipindahkan ke sini sebab kesesuaian darah kami. Kalau tak sesuai, mungkin abang pun dah ikut Jannah masa tu.”
            Aku mataku mengalir tanpa dipinta. Bukan kerana jantung Jannah ada pada suamiku, Azmi. Tetapi kerana, Jannah sememangnya sayangkan Azmi. Azmi yang disebut-sebut oleh Jannah bukan orang lain, tetapi lelaki yang sedang memegang tanganku dengan begitu erat sekali.
            “Abang sayangkan Jannah?” soalku ingin tahu. Dadaku terasa sesak dengan kemungkinan yang aku andaikan dulu. Aku telah merampas kebahagiaan milik Jannah.
            Dia tersenyum. “Abang sakit. Masa tu dalam kepala ni, tak ada fikiran selain daripada ingatkan hari dicabut nyawa aje, Jiha.”
            “Tapi Jannah… she’s something you know… a very special person who always make me feels good.” Tambahnya lagi dengan wajah ceria.
            Sekali lagi aku menyambar tanganku laju. Tidak tahu kenapa, aku cemburu. Ketawanya makin membakar hatiku.
            “You cemburu ya sayang?”
            Aku diam. Menarik muka masam.
            “First time abang tengok Jiha, masa majlis tahlil arwah Jannah. Mata abang memang tak boleh berganjak tengok muka sedih, sayu Jiha tu. Rasa macam abang pulak yang sakit dengan kesedihan tu. Mungkin sebab pemilik jantung ni, terlalu sayangkan Jiha… jadi abang pun tak boleh nak elak, untuk sayang dengan isteri yang baru abang kahwin tujuh hari ni, tapi bahang cemburunya sudah mula dirasai.” Usiknya dengan tawa.
            Disebabkan geram, aku tolak badannya kuat sebelum bangkit berlari ke muka pintu.
            “Tapi sayang… demi Allah, I love you so much.”
            Tidak dapat berkata tidak. Bibir aku tersenyum juga. Dan aku harap, Jannah pun pernah berbahagia dengan ‘rasa’ itu biarpun dia telah dijemput pergi terlebih dahulu.

AKU tersenyum sendiri sambil terus mencoretkan sesuatu di atas buku hijau lumut itu. Buku yang telah lama aku tutup supaya tidak terkenangkan kisah indah aku dan Jannah. Tapi kini, kami ‘bertemu’ semula dalam ikatan yang berbeza.
Ramadan ini,
            Menjanjikan sesuatu yang baru. Jannah sudah pergi, tapi dia terus dekat di hatiku. Dekat di sisiku. Sentiasa di sampingku. Aku bahagia. Aku terus bahagia kerana hidup ini begitu indah jika kita tahu belajar erti kata redha dengan setiap ketentuan Allah.
            Azmi, lelaki yang tidak kukenali. Biarpun Jannah sudah berusaha untuk mengenalkan kami berkali-kali. Siapa sangka, takdir Ilahi, aku kenal juga dengan dirinya yang sudah menjadi suamiku kini.
            Hidup ini tidak akan rumit, asalkan kita tahu dan yakin hanya Allah Maha Kuasa.
            Biarpun tidak tahu, panjang mana usia dalam meniti kehidupan ini, tetapi aku harap dapat membahagiakan suamiku hingga ke akhir hayatku nanti. Moga jodoh ini akan kekal hingga ke syurga Sana. Insya-Allah.
            Demi Allah, I love you suami.
            “Kalau Jiha boleh sebut kuat sikit, abang rasa bahagialah jugak.”
            Aku tersentak. Suaranya betul-betul di belakangku ini. Tetapi hati nakal, ingin mengusik pula.
            “Dah nampak kan? Nak sebut apa lagi.”
            Dia geram. Aku nampak itu. Tangannya sudah mencekak pinggang dan matanya sudah menjegil padaku.
            “Baik Jiha cakap cepat, Jiha sayangkan abang. Kalau tak… abang bermadu kasih dengan Jannah.” Beria sahaja dia mengugut. Langsung tidak terkesan di hatiku.
            Aku tersenyum. Teringatkan sesuatu, aku tergelak kecil.
            “Jiha pernah cakap dengan Jannah, kalau dia lelaki… Jiha mesti akan meminang dia.”
            Matanya membulat.
            “Eeeiii, you guys ni… such a weird la. Jiha ni normal tak?”
            “Abang!!!” aku pula yang geram. Boleh pula dia tanya soalan itu padaku. Sudah tentulah aku normal.
Serentak itu dia ketawa. Dia sudah menarik aku ke sebelahnya, rapat. Mengusap perlahan ubun kepalaku. “Kita jumpa Ramadan pertama, kita nikah Syawal pertama… insya-Allah, tahun ni… kita berdua. Ramadan tahun depan… moga kita dah bertiga.”
Aku tersenyum nipis. Mengiakan sahaja. Ramadan tahun depan, semoga kita akan bertemu lagi. Insya-Allah.

----------------------------
Cerpen ala ringkas. Tidak terlalu beremosi dan tidak juga santai. Harap ada yang dipelajari daripada kisah ini.
Maaf kalau ada yang merasakan cerita ni tak logik dari mana-mana sudut.
kekurangan itu hanya daripada saya. 

Dalam kesempatan ini, saya ingin ucapkan: 
 

6 comments:

  1. BEST...#^_^
    Selamat Hari Raya...

    ReplyDelete
  2. Laaaa macam deejavu di kinabalu laa pulaak..derma jantung gitu...tpi its ok..terbaeekk

    ReplyDelete
  3. idea tu mungkin sama,bezanya jantung wanita kpd lelaki tapi itu bukan poin utama yang nak diketengahkan :)
    semoga ada pengajaran lain yang dpt sy beri pada pembaca semua.

    salam aidilfitri, mana2 yg terkurang tu, harap dimaafkan. :)

    ReplyDelete
  4. Owh rupenye jantung jannah ade kat dlm badan azmi... best... banyak info dlm cerpen ni...
    selamat hari raya aidilfitri juga...

    ReplyDelete
  5. Jiha sama kan jantung Jannah bila ada pada Azmi.... semangkin erat jadinya.... insyallah.... besttt...

    ReplyDelete
  6. hehe..lagi syok kalu wak sambungan
    dyorg ni cute laaa

    ReplyDelete