Skip to main content

Cerpen: Ramadan Ini (Part I)

MATAKU terpahat pada siaran televisyen yang sudah sampai ke penghujung rancangan. Kukerling pula ke sebelah kanan, Adib dan Aifa, si kembar tidak serupa yang sedang ketawa sambil menekan perut. Tidak tahu apa yang terlalu lucu dengan siaran drama sebentar tadi. Kenapa ia seakan tidak terkesan di hatiku seperti mana mereka merasakannya?
            “Dah, tak sudah-sudah lagi duduk melangut depan TV? Pergi masuk tidur, esok nak kena bangun sahur!” suara emak aku, Hasmah sudah mula melaung kuat.
            Waktu itu baru aku tersedar, seakan terleka seketika. Kami akan menyambut Ramadan untuk tahun ini. Hatiku bertahmid sendiri. Rasa terkesan sangat kerana masih mempunyai peluang untuk meraikan Ramadan setelah menginjak usia 24 tahun ini.
            Seperti terkenang-kenang Ramadan tahun lalu, yang aku berpeluang meraikan bersama Jannah, sahabat baik aku sejak kecil lagi. Peluang untuk menyambut bulan penuh keberkatan ini tidak kami lepaskan begitu sahaja. Tarawih dan tadarus al-quran bersama, pasti akan dilaksana di kala ada ruang dan peluang.
            Namun tahun ini, aku terasa sepi seketika. Jannah sudah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan semasa pulang dari kilang tempatnya bekerja. Digilis trailer, yang membuatkan jasadnya berkecai hilang rupa. Sungguh menyayat hati mengenangkan keadaannya yang pergi dalam tragedi sedemikian rupa. Namun, kuasa bukan di tangan kita. Sudah ditakdirkan, hari itu, hari terakhir buat Jannah. Allah sudah berjanji, setiap yang hidup ini pasti akan mati. Dan aku, sudah tidak tega untuk meratap lagi dengan takdir ketentuan Ilahi. Hanya doa mampu kukirim buat sahabatku Jannah. Semoga dia tenang di sana.
            “Najihah!!!” suara kuat emak, menyentakkan ingatan aku pada Jannah. Segera aku bangkit daripada sofa berwarna coklat gelap itu. Figura emak sudah bercekak pinggang di hadapan aku.
            “Nak mak announce pakai mikrofon pulak ke? Kau tak reti nak masuk tidur?” marah emak. Aku tidak banyak berbicara. Menurut sahaja sambil mengatur langkah menuju ke tandas. Hendak membersihkan diri dahulu sebelum masuk tidur.
            Sebelum menutup mata, sempat aku menanam azam di hati, biarpun kali ini aku bersendiri tanpa Jannah, moga semangat mengimarahkan bulan berkat ini tidak luput di hati. Mana tahu, mungkin ini Ramadan terakhir buat diriku pula.
            Selesai berniat, aku terus memejamkan mata. 

BAJU kurung berwarna hijau lumut yang tersarung di tubuh kubetulkan kainnya. Pertama kali aku menyarungkan pemberian terakhir Jannah kepadaku. Cantik sekali jahitan dan sulaman di baju ini. Ringkas tetapi memikat. Aku tersenyum puas. Ramadan pertama, aku terasa bersemangat. Aku harapkan semangat ini akan terus terikat di hati sehingga ke akhir bulan penuh keberkatan ini.
            Jam di dinding sudah berdenting menandakan jam 7 pagi. Aku segera mencapai beg silang yang biasa dibawa ke tempat kerja dan melangkah keluar dari bilik.
            Di luar bilik, emak sudah bercekak pinggang. Mungkin marah sebab aku lambat. Biasanya 6.50 pagi aku sudah bergerak. Sekali menghantar Adib dan Aifa ke sekolah. Dan aku pula masuk kerja pukul 7.30 pagi. Bukan kerja hebat, tapi cukuplah aku dapat mencari rezeki yang halal untuk mengisi perut-perut di dalam rumah ini.
            “Yang lenggang-kangkung sangat ni kenapa? Kau tahu tak dah lambat?!” marah emak.
            Aku senyum nipis. Emak aku memang begini. Tiada hari yang dia tidak memarahi kami tiga-beradik. Tapi itu sudah menjadi tabiat dalam dirinya. Dia seakan tidak tahu sahaja bagaimana hendak bermesra. Namun aku tidak pernah terasa. Kerana aku tahu, dalam hati emak, pasti ada kasih seluas lautan buat kami, anak-anaknya.
            “Awal lagi mak. Sempat aje kalau gerak sekarang.” Balasku memandang wajah emak. Emak sudah mendengus sambil menghulurkan tangannya. Ku salam dan cium tangan itu seperti biasa.
            Dimuka pintu, emak menghantar kami bertiga. Seperti biasa, dia tidak akan lupa berpesan, “Bawa kereta elok-elok. Ingat dengan mak dekat rumah ni.” Masih dengan nada yang garang, tetapi kasih itu terasa hingga ke dasar hati. Aku tersenyum. Serentak itu suara Adib dan Aifa berpadu. Mereka ketawa.
            “Emak tu kalau bercakap lembut, mahunya ribut taufan kampung kita ni!” Adib melahirkan komen sesedap mulutnya.
            “Biarlah emak nak cakap macam mana pun. Kamu berdua tak perlu nak komen-komen pasal tu.” Balasku seraya mematikan tawa mereka.
            “Alah… Kak Jiha ni, tak sportinglah. Cakap pasal emak, sikit pun tak boleh.” Rungut Aifa pula.
            Aku tersenyum lagi sambil kaki sudah menekan clutch kereta. “Kalau nak… cakap terus dengan emak. Jangan cakap dengan Kak Jiha, tapi emak tak tahu.”
            “Alah…” serentak mereka berdua mengeluh. Aku simpan sahaja senyum.
            Adib dengan Aifa memang begitu. Nakal dan lucu. Mereka berdualah penyeri dalam rumah kami. Emak marah bagai rumah hendak terbelah dua sekalipun, usah diharap mereka berdua ini akan akur. Makin nakal adalah. Tetapi nakal yang tidak melampaui batas. Sekadar nakal-nakal manja. Biarpun usia keduanya kini sudah 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan SPM dalam masa kurang daripada dua bulan lagi.

“NAJIHAH…” namaku dipanggil ketika aku sedang berkemas untuk pulang ke rumah. Encik Azman sedang melemparkan senyuman. Kubalas sahaja biarpun masih tidak tahu, apa tujuan diriku dipanggilnya.
            “Hari ni, ada jemputan buka puasa daripada pejabat daerah. Awak tolong pergi ya, gantikan saya,” arah Encik Azman. Wajahku sudah berubah. Ini adalah Ramadan pertama dan aku sudah mengimpikan untuk berbuka dengan emak, Adib dan Aifa.
            “Encik Azman…” suaraku menjadi sayu seketika. “Kena pergi ke? Awal Ramadan ni… saya ingat nak berbuka dengan emak dan adik-adik.”
            Encik Azman kulihat masih senyum tenang. Lelaki beranak empat ini, sentiasa mempamerkan wajah yang dapat menyejukkan hati sesiapa sahaja. Aku kagum melihatnya. Tidak pernah melenting sekalipun pada pekerja. Tetap sabar dalam melayani kerenah pekerjanya di pejabat ini.
           “Pergilah Najihah, orang dah jemput. Tak elok menolak… lagipun saya ada hal, nak pergi melawat mentua saya. Dia kurang sihat… kalau saya boleh pergi, saya mesti takkan susahkan awak, Najihah.”
            Rasa bersalah tiba-tiba. Encik Azman tidak pernah mengarahkan pekerjanya sesuka hati. Dan ini aku kira permintaan yang pertama dia minta aku laksanakan. Luar daripada tuntutan kerja. Terasa tidak patut untuk aku menolak. Lantas aku anggukkan kepala. Mungkin bukan rezeki aku hari ini untuk berbuka di rumah.
            Aku sudah mencapai telefon dan memaklumkan kepada emak, aku akan pulang lambat sedikit.

PELBAGAI hidangan sudah disajikan di depan mata. Namun satu pun tidak mampu membangkitkan deria rasa. Mungkin nafsu makan terkambus dek kerana berjam-jam perut menahan lapar. Aku diam sahaja berada di tengah-tengah meja yang aku rasakan begitu asing sekali. Biarpun ada yang mengenali diriku dengan begitu baik sekali.
            “Najihah…” Puan Hamidah menyapa aku. Aku tersenyum. Tadi lagi dia sudah berpesan, ada sahabat lama Encik Azman sedang mencari aku. Mungkin ada sesuatu untuk disampaikan.
            “Kenalkan ni, Encik Azmi.”
            Aku tunduk menganggukkan kepala. Encik Azmi tersenyum seketika. Entah kenapa wajah itu, sekilas pandang mengingatkan aku kepada seseorang. Pada mulanya, aku sangkakan Encik Azmi seusia dengan Encik Azman. Tetapi dihadapanku ini, kelihatan usianya jauh lebih muda. Namun tidak dapat hendak diagak juga.
            “Encik Azmi duduklah sini, dari tadi memang cari Najihah kan.”
            Aku terkedu seketika. Sudahlah aku tidak kenal dengan Encik Azmi ini, datang pula duduk sebelah menyebelah. Hanya berpotensi mewujudkan keadaan yang kekok sahaja.
            “Najihah…” panggilnya.
            Aku diam. Senyum sahaja. Tidak tahu hendak bercakap apa. Sebab aku ini pun bukan dalam kategori wanita-wanita yang peramah. Aku bercakap bila perlu sahaja.
            “Lama dah I nak jumpa you, tapi baru sekarang ada peluang.”
            Erk! Aku terasa seakan ada batu yang menghempap kepala. I dan you? Geli aku. Encik Azmi ini orang korporat ke? Gayanya tidak nampak begitu pula. Hendak buka mulut dan bertanya, aku segan.
            “Encik Azmi ada nak sampaikan apa-apa pada Encik Azman ke?” soalku terus.
            Dia menggeleng. “I memang nak jumpa you.”
            Mendengarkan jawapan itu, aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Wajahnya aku amati. Mungkin kami pernah berjumpa sebelum ini? Mungkinkah? Dan atas sebab itu dia mencari aku? Aku bingung, tetapi tidak bertanya. Masa yang sudah menginjak ke waktu berbuka makin membuatkan aku tidak terasa untuk berbual-bual dengannya. Hati aku terus sahaja beristighfar dan memanjatkan doa sementara menanti azan berkumandang.
            “You memang macam ni ke?” soalnya ketika aku mula menyuapkan nasi ke dalam mulut.
            Dahiku berkerut. Macam ni? Macam mana itu? Apakah salah aku makan nasi dengan tangan? Atau menu kari kepala ikan dalam pinggan aku yang dipersoalkan? Macam-macam yang muncul dalam benak fikiran, tetapi langsung tidak terluah di mulut. Aku jungkitkan bahu sambil meneruskan suapan. Sekejap lagi akan diadakan solat Maghrib berjemaah.
            “Najihah…” panggilnya lagi. Panggilan yang memaksa aku mengalihkan wajah dan memandangnya. Dia tersenyum. “It is so good to have you by my side.”
            Suapan aku terhenti. Aku terkaku sendiri. Apa maksud Encik Azmi yang tidak aku kenali ini?

RAMADAN ini seakan menguji hati dan perasaanku. Tidak tahu di mana silapnya, aku seakan tidak mampu menepis bayangan wajah dan ucapan itu. Terus berulang tanpa jemu. Cubaan untuk fokus dengan bacaan surah Ali-Imran seakan tidak berkesan. Setiap kali memulakan bacaan, wajah itu menganggu fikiran. Keluhan terlepas.
            “Apa ni Kak Jiha… mengeluh sambil tengok al-quran. Tak baik tau!” tegur Adib yang berada di sebelahku.
            “Entah Kak Jiha ni, quran tu untuk bagi ketenangan bila dibaca. Bukan dikeluh apabila dibaca.” Tambah Aifa pula. “Masalah jiwa betullah Kak Jiha ni.” Sambungnya lagi sambil berlalu menjauhi aku. Mungkin keluhku itu hampir menganggu fokus mereka berdua yang sedang khusyuk membaca kitab suci kalam Allah. Tersedar akan khilaf, aku meminta maaf.
            Bibirku berzikir seketika, cuba bertenang.
            “Najihah…” suara emak sudah memanggil. Segera aku meletakkan quran di rak dan berlalu ke dapur.
            “Tumis bawang ni… mak sakit perut pulak.” Arah emak pendek dan terus meninggalkan aku di dapur itu. Telekung yang masih di kepala, aku tanggalkan dan sangkut di kerusi. Tanpa berlengah aku menumis bawang . Sempat aku jenguk bahan memasak yang disediakan emak. Ada udang, bawang kisar, cabai dan kicap. Sambal tumis udang, terus otak aku membuat kesimpulan. Masakan aku teruskan sehingga siap. Sempat aku merasa supaya rasanya cukup.
            “Dah siap?” emak sudah muncul di belakang.
            “Dah mak.”
            “Biar aje atas dapur. Esok pagi, panaskan semula.”
            “Sayur mak?”
            “Esok pagilah. Dah pergi tidur…” arah emak sambil berlalu ke depan. Aku akur sahaja.
            Sudah menjadi kebiasaan emak untuk memasak santapan sahur kami di malam hari. Bangun pagi esok cuma tinggal dipanaskan sahaja.
            Belum sempat aku keluar dari dapur, Adib sudah muncul memanggil namaku.
            “Kenapa?”
            “Ni ha…” tanpa jawapan yang spesifik, dia sudah menghulurkan telefon bimbit nokia milik aku yang sudah chokia itu. Keningku terangkat.
            “Ada call.” Jawabnya dan terus berlalu.
            Sempat mataku melirik pada jam di dinding dapur sebelum melekapkan telefon ke telinga.
            “Najihah…” itu suara yang aku dengar.
            “Ya saya.”
            “I mengganggu ke?” mendengarkan perkataan I itu, aku seakan sudah dapat meneka. Siapa yang menelefon di lewat jam sebelas malam ini.
            Aku mengeluh kecil sebelum membalas.
            “Saya sibuk, harap encik tak kisah kalau saya letak telefon. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu balasan, aku mematikan talian.
            Tidak mahu telefon berbunyi lagi, aku terus mematikannya. Langkah ku atur lemah menuju ke bilik. Kalau dulu-dulu, sudah menjadi kebiasaan aku bergayut. Tidak tahu berbualkan tentang apa, tetapi ada sahaja idea yang akan muncul antara kami. Tetapi itu dulu. Sebelum Jannah pergi meninggalkan aku. Hanya dialah peneman bicara aku siang dan malam. Aku seperti tidak sudi untuk mencurahkan sedikit waktu itu bersama orang lain.
            Teringatkan Jannah, mindaku terfikirkan sebaris harapan yang disebutkan olehnya.
            “Aku ingatkan Jiha, Ramadan tahun depan… aku tak nak sorang-sorang lagi!”
            Aku tiba-tiba terasa. Aku sudah ada di depan matanya. Dia masih berasakan dia seorang diri?! Sungguh tidak adil bagi diriku yang setia meluangkan masa dan ruang bersamanya. Tiba-tiba sahaja rajuk sudah menyapa.
            Jannah tersenyum. “Bosan aku tahun-tahun raya, asyik muka kau aje!” tambahnya lagi apabila wajahku sudah masam mencuka.
            “Jadi, selama ni… raya dengan aku, bosanlah?” soalku geram.
            Dia mengangguk. Aku sedih. Segera aku bangun hendak berlalu. Tapi dia lebih cekap menarik tanganku.
            “Aku ingat, aku nak kahwinlah.”
            Ucapan itu mematikan langkahku. Terkedu aku seketika. Kahwin? Asingnya terasa apabila mendengarkan sesuatu yang tidak selalu menjadi bual bicara antara kami.
            “Kau nak kahwin dengan siapa?” soalku kekok.
            “Tekalah.”
            “Fuad?” Imam ‘hot’ kampung kami.
            Jannah menggeleng.
            “Johari?” anak penghulu kampung, yang selalu usik Jannah setiap kali kami jalan berdua.
            Jannah menggeleng lagi.
            “Harun?”
            Geleng.
            “Kamil?”
            Geleng.
            “Bosanlah nak teka. Kalau nak cakap, kalau tak nak, sudah!” geram sahaja aku menjawab.
            “Abang Azmi.” Jannah tersenyum dengan manisnya.
            “Siapa tu?” aku tidak kenal mana-mana lelaki bernama Azmi dalam kampung ini.
            “Bakal suami akulah!”
            “Tahulah, tapi dia siapa? Tak ada asal-usul ke?” tekanku geram. Jannah tersengih memanjang.
            “Kau akan kenallah bila sampai masanya.”
            Auch! Gigitan di kaki membuatkan aku terhenyak dari lamunan. Terasa gatal kesan gigitan nyamuk yang berbisa. Namun mindaku seakan tersentak dengan satu nama itu. Tetapi, kenapa baru sekarang aku teringat? Azmi? Abang Azmi? Jannah pernah menyebut nama itu padaku? Tetapi aku tidak berpeluang mengenali Azmi itu? Adakah mereka itu orang yang sama?
            Banyak pula persoalan yang muncul di kepala. Aku mengeluh lagi sebelum meletakkan kepala di atas bantal. Fikirkan Azmi, aku terlena sendiri.

----------------------------
motif cerita, sekadar menghilangkan kebosanan. Taip pun ikut suka hati aje. InsyaAllah, nantikan Part II pula :)

Comments

  1. azmi yg ni azmi yg jannah nak kawen tu ke?
    sambung lagi ek umi...

    ReplyDelete
  2. bru nk tarik nafas..erkkk..dh bis, tggu sambung??hehe..yg pasti bez

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia