BARU
sahaja aku selesai menyiapkan filing yang tertangguh buat beberapa hari. Sibuk
menguruskan hal lain, terlepas pandang kerja yang mudah dan ringkas ini. Fail
yang berisi segala dokumen bagi bulan Julai itu sudah ditutup. Aku bangkit
hendak memasukkan ke dalam rak yang memuatkan segala fail-fail bagi aktiviti
pejabat ini. Selaku setiausaha bos di sini, kerja aku banyak menuntut menghadap
surat dan fail-fail.
Azan Zuhur sudah mula berkumandang
di corong radio. Tidak mahu melengahkan masa, aku terus berlalu ke surau.
Kelihatan beberapa orang kakitangan yang sudah berbaring. Mungkin hendak
melepaskan lelah berpuasa dan bekerja. Cuaca yang panas terik di luar, memang
akan membuatkan semua terasa lemah dan
tidak bermaya. Tetapi, itu tidak harus menjadi sebab kita mensia-siakan ibadah
puasa kita dengan pengisian tidur sahaja. Kalau ada masa dan ruang, baik
dilakukan sedikit tadarus. Tidak banyak pun, sedikit jadilah. Sekurang-kurangnya,
ada juga pengisian Ramadan itu.
Selesai bersolat, aku terus ke ruang
kerja. Komputer aku yang sengaja terpasang surah Maryam, aku kuatkan sedikit
suaranya. Biarkan berkumandang di ruang kerja ini. Allah bukan sahaja
menjanjikan ganjaran kepada si pembaca, malah mendengarkan kalam Allah itu pun
sudah ada pahalanya. Subhanallah!
Aku terleka seketika apabila membaca
petikan artikel di blog Genta Rasa, tanpa menyedari sudah ada yang duduk
berhadapan denganku. Aku tersentak apabila tetikus dirampas.
“Assalamualaikum…” sapanya apabila
riak wajahku berubah.
“Waalaikumsalam. Encik Azman ada
meeting di luar. Encik boleh tunggu sekejap di ruang menunggu.” Laju sahaja aku
memberi jawapan. Selebihnya hendak mengelak. Sudah beberapa panggilan daripada
lelaki ini aku buat tidak peduli sahaja. Untuk apa dilayan sedang kami tidak
saling-mengenali.
“I datang nak jumpa you.”
“Encik tak ada urusan dengan saya!”
aku menjadi geram. Tetapi cepat sahaja aku sabarkan hati. Bulan Ramadan ini…
tidak harus aku terlalu ikutkan nafsu amarah. Biarlah aku bertenang.
“Ada Najihah…” lembut suaranya.
Segak senyumannya. Tenang riak wajahnya. Aku terkedu melihat pemandangan indah
di depan mata ini.
“Urusan apa Encik Azmi?” soalku
mengalah. Tidak lagi marah-marah.
Dia tidak terus menjawab. Dia
mengetuk-ketuk mejaku dahulu. Sepertinya sengaja hendak biarkan aku ternanti.
Bibirnya terus tersenyum apabila riak wajahku mulai resah. Resah dengan
penantian yang tiada jawapan.. Terasa dimainkan.
“I akan call you, lepas tarawih
malam ni. Nanti you akan tahu, urusan apa.”
Bibir kuketap laju. Aku tahu, dia
sengaja hendak main-mainkan aku! Geramnya!!! Bulan-bulan puasa ini ada sahaja
yang hendak mengurangkan pahala amalan aku yang sudah mula mengata-ngata dia
dalam hati.
“Kalau you tak jawab call I… I akan
terus ke rumah,” sambungnya.
Aku tersentak. “Mana encik tahu
rumah saya?” soalku hendak berlagak. Susah untuk mencari rumah aku di hujung
Kampung Sena ini. Hanya orang yang arif jalan kampung sahaja mudah untuk jumpa
rumah peninggalan arwah abah aku itu.
“You ingat, I tak terror explore
jalan kampung? I dah sampai dah pun depan rumah dua tingkat tu. Half batu, half
papan. Warna hijau lumut combine dengan coklat cream. Very nice, very simple…
sesuai macam isi rumah tu.”
Aku sudah terlopong apabila apa yang
digambarkan itu, sebijik macam rumah aku.
“Jangan terkejut kalau tiba-tiba ada
kereta warna silver datang berhenti depan rumah you.” Dia menambah dan wajah
aku semakin cuak.
“NAJIHAH…”
suara Encik Azman seakan menyedarkan aku dari mimpi. “Ada pesanan untuk saya
ke?” soalnya.
Aku menggeleng. Tiada. Tetapi ada
sesuatu yang ingin kutanya.
“Encik Azman…”
Langkahnya berhenti.
“Encik kenal tak dengan Encik Azmi?”
Dia tersenyum dulu sebelum datang
dekat dengan meja aku. “Dah jumpa dia?”
Aku mengangguk. “Dah, dia siapa ya
encik? Kenapa dia cari saya?”
“Saya pun tak pastilah Najihah… awak
tanyalah dengan dia nanti.” Tersenyum sahaja Encik Azman menjawab. Sekali lagi
aku terasa seperti dimainkan. Geramnya!!!
TARAWIH
di masjid Ar-Raudhah yang terletak di persimpangan jalan masuk ke kampung. Aku,
emak dan adik-adik lebih senang pergi dengan kereta. Emak pun kadang merungut
tidak boleh berjalan jauh sangat. Duduk di saf kedua kerana kami terlambat
sedikit daripada semalam. Bising terdengar suara-suara yang bertingkah.
“Datang masjid pun tak sudah-sudah
nak bergosip. Mengganggu orang nak solat aje.” Adib dengan mulut lasernya
bersuara. Aku buat tidak tahu sahaja. Kadang-kadang terasa geram juga. Datang
ke masjid ini tujuannya untuk apa? Bukankah ini rumah ibadat? Jadi, isikanlah
dengan ibadat daripada membuang masa. Lagipun suara-suara yang menganggu solat
orang lain, itu tidak sepatutnya. Sedangkan orang mengaji pun harus
memperlahankan suara apabila ada orang lain bersolat di sisinya. Apatah lagi
bersembang? Allah sahaja boleh beri hidayah kepada hati-hati ini supaya tidak
tersasar daripada misi mencari pahala di bulan mulia ini.
Sebaik sahaja iqamat, semua makmun
sudah berdiri memenuhkan saf. Namun masih ada yang berenggang. Tidak mahu bahu
bertemu bahu. Adib yang sejak tadi sudah merungut-rungut di sisi aku terus
bersuara menyindir. “Kalau tak nak rapat-rapat, baik tak usah datang berjemaah.
Menghilangkan fadilat aje!”
Emak di sisi sudah menyiku. Namun
Adib buat tidak tahu.
Setiap tahun ada sahaja keadaan ini
yang berlaku. Makmun seakan tidak memahami fadilat saf yang memerlukan bahu
bertemu bahu. Teringatkan artikel yang aku baca dalam akhbar tempoh hari.
Keajaiban Solat Berjemaah dari Sudut Kajian Sains oleh seorang professor
Amerika Syarikat yang mengatakan fakta bahawa tubuh manusia mengandungi dua cas
elektrik iaitu positif dan negatif.
Dalam
aktiviti harian, banyak tenaga daripada badan yang digunakan dan dalam proses
pembakaran tenaga banyak berlaku pertukaran cas positif dan negatif yang
menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh badan. Ketidakseimbangan cas itu akan
membuatkan badan terasa letih dan lesu dan ia harus diseimbangkan semula untuk
kembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.
Semasa
solat berjemaah, saf harus diluruskan dan bahu bertemu bahu serta bersentuh
tapak kaki. Ianya mempunyai kelebihan tersendiri kerana persentuhan tubuh
dengan ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan akan menstabilkan kembali
cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas berlebihan, positif
atau negatif akan dikeluarkan dan ditarik ke dalam tubuh. Semakin lama
pergeseran yang berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh manusia. Hebatnya
kuasa Allah!
Aku
segera merapatkan bahu pada mak cik di sebelah kanan. Dan turut menarik seorang
gadis sebaya adikku ke kiri supaya lebih rapat. Allah menetapkan sesuatu dengan
kebaikan yang berlipat ganda buat hamba-Nya. Cuma kita sahaja yang sering
terleka dan melepaskan segala kebaikan dan kelebihan yang ada.
PULANG
dari tarawih, seperti biasa Adib dan Aifa akan bertadarus di ruang tamu. Emak
pula awal lagi masuk tidur. Sakit kepala katanya. Jadi aku cadangkan, sahur
esok goreng nasi sahaja. Lebih mudah. Biarlah emak berehat. Mungkin letih
kerana malam ini lebih panjang bacaan dalam solat tarawih. Maklumlah, imam
muda. Baru datang ke sini, kata Ustaz Basri tadi.
Aku masuk ke bilik dan mula mencapai
telefon bimbit yang sudah mencecah usia lima tahun itu. Tetapi masih elok
digunakan biarpun keadaan luarnya sudah sedikit usang. Tiada sebarang panggilan
seperti yang dijanjikan. Aku melepaskan nafas lega. Hendak tidur segera sebelum
ada panggilan yang menuntut jawapan tiba.
Baru sahaja aku hendak meletakkan
kepala, sudah ada panggilan menjelma. Argh!!! Menyesal tidak terus terlena.
Lambat-lambat aku menekan butang untuk menjawab.
Salam sudah kedengaran di hujung
talian. Aku membalas dengan resah.
“Lambat angkat?” suara itu seakan
hendak mengugut.
“Tertidur sekejap.” Bohongku.
Dia diam. Tidak mempertikaikan
jawapan itu. “Jadi, dah sedia nak tahu?”
“Encik, jangan main-main dengan
saya! Kalau nak, cakap. Kalau tak nak, sudah!” geram aku dibuatnya. Ketenangan
yang cuba aku tanamkan seakan lesap apabila orang sana itu seperti bermain
tarik tali.
“Jangan garang sangat Najihah…” dia
ketawa. Pertama kali aku mendengarnya. Mempesonakan jiwa. Nada tawa itu,
benar-benar mengingatkan aku pada seseorang. Dadaku terasa sesak. Aku
teringatkan Jannah. Aku teringatkan Abang Azmi yang disebutkannya.
“Encik…” suaraku bergetar. “Encik
kenal dengan Jannah ke?” soalku dengan debaran. Wajah Jannah sudah mula
memenuhi ruang mata. Aku menjadi sebak.
“Najihah… you menangis ke?”
“Encik tak jawab soalan saya!” aku
biarkan sahaja air mata jatuh ke pipi.
“I tak kenal dia, tapi I tahu dia
siapa.”
“Tipu! Encik tipu saya… Jannah
pernah bagitahu, bakal suami dia nama Azmi.”
“Najihah… salah faham aje tu, I
bukan Azmi yang dia sebutkan tu. Lagipun I tak pernah berjumpa dengan dia pun.”
“Encik jangan nak tipu saya!” aku
tidak mahu mengalah. Dia ingatkan aku ini budak-budak agaknya. Hendak ditipu
dengan mudah. Masih terpahat dengan kemas di dalam minda ini, nama Azmi yang
meniti bibir Jannah.
“You have to believe me, even you don’t
want to. I tak dapat apa pun kalau I tipu you. Lagi-lagi bulan puasa macam ni,
you ingat I suka ke nak memberatkan bahu kiri I sedangkan orang lain semua
sibuk mengejar pahala?”
Aku terkedu. Terasa disindir. Tetapi
aku tidak pasti, benarkah setiap patah yang ditutur oleh lelaki itu? Dan kenapa
pula aku harus percaya kepadanya?
“Jadi, urusan apa yang encik ada
dengan saya, kalau encik tak kenal dengan Jannah?” tanyaku tegas.
“I ada urusan dengan mak you, itupun
kalau you izinkan.”
Berkerut dahi aku. “Urusan apa?” soalku
bingung.
“I dapat izin ke?”
Geram apabila soalanku tidak
terjawab. Aku terus mematikan telefon. Bingung kepala aku memikirkan apa urusan
antara Encik Azmi ini dengan emak aku? Dan lagi, mindaku terkenangkan Jannah.
Dan bibirnya yang tidak pernah lokek dengan cerita abang ‘Azmi’nya.
“Abang
Azmi aku tu, tinggi orangnya. Kulit cerah, mata kuyu…” Jannah tergelak. “Handsome
Jiha…” tambahnya lagi.
Aku
mencebik. Pujinya melambung tinggi. Kalau dilambung ombak, belum tentu akan
mendarat ke tanah lagi. Namun sinar bahagia jelas terpancar di wajah Jannah.
“Kau
tak nak kenal dengan Abang Azmi aku ke Jiha?” soal Jannah.
Dahiku
berkerut. “Kenapa aku nak kena kenal dengan dia pulak? Nanti kau kahwin, aku
tengoklah.” Balasku malas sahaja. Sejak kebelakangan ini, dia selalu sangat cerita
pasal lelaki bernama Azmi itu dengan aku, sehinggakan ada kalanya aku terasa
tersisih.
“Mana
tahu, kau tak suka. Kau rasa dia tak sesuai dengan aku.”
“Kau
jangan nak merepeklah! Pernah ke selama ni, apa yang kau pilih, aku bangkang?”
Dia
menggeleng.
“Dah
tu, kenapa cakap macam ni? Aku tak suka tau! Macam aku ni, jenis kawan kongkong
kawan pulak.” Balasku merajuk. Tetapi Jannah tersenyum terus.
“Nanti…
mesti aku rindu nak tengok kau merajuk dengan aku.”
“Kau
ni… cakap macam esok kau dah kahwin, lepas tu tinggalkan aku terus dekat sini.”
Aku tidak suka mendengar bicaranya yang seakan hendak menjarakkan perhubungan
persahabatan kami ini. Tetapi Jannah, tersenyum. Kalah dengan senyuman indah
itu, aku ikut tersenyum juga.
Air mataku terus mengalir di malam
yang hening ini. Jannah, aku sayang sangat dengan kau! Gambar kenangan kami
berdua, aku kucup lama. Menghilangkan rasa rindu yang singgah.
“NAJIHAH…”
pagi-pagi lagi namaku sudah dipanggil oleh emak. Aku yang baru terjaga dari
tidur terpisat-pisat mata sebelum membalas panggilan emak.
“Jiha!!!”
“Ya mak!!!” laungku sama kuat.
“Datang sinilah, ada benda mak nak
cakap.” Garang sungguh suara emak di kala ini. Tidak mahu terus memarakkan api
kemarahannya, aku segera berlalu ke tandas dahulu bagi membersihkan diri. Tidak
sampai lima minit, aku sudah duduk bersila di depan emak. Wajah emak aku,
sangat serius ketika ini. Tidak pernah lagi aku melihat wajahnya begini.
“Kau pandai-pandai ya buat keputusan
tak bincang dengan mak!” serang emakku. Aku terpinga-pinga. Apa yang emak
sedang sampaikan ini?
“Apa mak? Jiha buat apa?”
“Jangan nak tipu mak Jiha! Mak dah
tahu… cuba berterus-terang apa yang kau sorokkan daripada mak.” Suara emak
keras sekali.
Aku bingung. Dengan kepala yang
masih terasa biul baru bangun dari tidur, aku terasa pening. Masakan aku boleh
berfikir dalam keadaan ini.
“Mak cakap ajelah dengan Jiha. Apa
yang Jiha dah buat… Jiha pening ni, tak boleh nak fikir.”
“Masih tak mengaku dengan mak?”
marah mak.
“Bukan tak nak mengaku, masalahnya
Jiha pun tak tahu, apa salah Jiha?” wajahku sudah keruh. Bulan-bulan Ramadan
ini pun masih kena marah dengan emak. Sudahlah hampir seminggu ini aku sering
terkenang-kenangkan Jannah. Tapi, ada sesiapa yang ambil tahu dengan kemuraman
aku itu? Langsung tiada!
“Azmi dah cakap semuanya dengan mak.”
Azmi? Mindaku seakan terasa segar
dengan nama itu.
“Dia cakap apa dengan mak?” soalku
tidak sabar. Darahku terasa mendidih, marah.
“Apa yang dia bagitahu Jiha?”
“Dia cakap dengan Jiha, dia ada
urusan dengan mak. Bila Jiha tanya, urusan apa… dia tak cakap pula. Malaslah
Jiha nak ambil tahu… Jiha bukan kenal pun dengan Azmi tu!” balasku jujur.
Mataku tepat pada wajah emak.
Seketika, aku sudah terkejut. Melihatkan segaris senyuman yang mekar di bibir
emak, aku terasa pelik.
“Jiha janganlah terus tipu mak.”
Lembut nada suara emak. Tidak pernah lagi aku dan adik-adik mendengar bicara
selembut ini. “Mak dah tahu, Azmi dah cerita. Mak dah bagi izin pun.”
Apa yang emak tahu? Apa yang Azmi
cerita? Dan izin untuk apa?
“Apa yang mak cakap ni?” aku tidak
faham.
“Dia nak kahwin dengan Jihalah.
Minggu depan keluarga dia nak datang meminang.”
Terasa batu besar yang menghempap
kepala. Seakan tidak dapat dicerna apa yang disampaikan oleh emak. Dan cerianya
wajah emak, membuatkan jiwaku terasa gusar. Mana mungkin aku hendak bersetuju
berkahwin dengan Azmi yang tidak kukenali itu. Dan ini fesyen orang mana, masuk
meminang bulan Ramadan pula? Tak pernah lagi aku dengar!
------------------
Akan bersambung lagi, InsyaAllah the end sebelum habis puasa. :)
Best...
ReplyDeleteMasih tertanya-tanya apa kaitan Najihah dan Azmi sebenarnya???
kalo bukan azmi jannah, ni azmi mane pulak ek... wahaha masuk meminang bulan ramadan...
ReplyDeleteterbaikkkk.... terus minta pada mak....
ReplyDelete