MASAM
wajahku sepanjang hari itu. Senyum tidak. Bertegur dengan orang sekeliling pun
tidak. Dengan bos aku, Encik Azman, aku boikot terus sepenuh jiwa dan raga.
Antara orang yang aku paling marah, dialah! Sengaja hendak mengkucar-kacirkan
hidup aku di bulan Ramadan ini.
Dia tersenyum apabila nampak muka
aku yang cemberut. Aku pura-pura meneruskan kerja apabila Encik Azman mula
mendekati mejaku.
“Marah lagi Najihah?” soalnya dengan
tenang. Sebagai jawapan, aku ketuk-ketuk keyboard dengan kuat. Biar dia tahu
aku marah. Biar dia tahu, setiausaha dia yang bernama Najihah, perempuan yang
sentiasa tampil ayu dan lembut juga mempunyai deria naga naik disembur minyak.
Panas hati!
“Marah sangat nampaknya.” Komennya
sendiri.
Aku mengetap bibir kuat. Bimbang
terhambur kemarahanku di sini. Apapun yang terjadi, dia masih bos yang aku
hormati. Tidak wajar rasanya jika aku bertindak menjatuhkan air mukanya di
pejabat ini.
“Tapi awak dah setuju kan? Janganlah
simpan marah tu dengan saya lagi. Sedih saya nanti, bakal adik ipar boikot
abang ipar separuh mati.”
Cepat sahaja wajahku berpaling.
Mulut yang kutahan sejak tadi, seakan tidak mahu berdiam lagi. “Encik sengaja
kan? Langsung tak cakap apa pun dengan saya. Buat saya rasa macam bodoh sangat!
Saya setuju pun sebab mak suka. Mak kata mak gembira bila ada yang nakkan anak
dara dia yang serba kekurangan ni.” Balasku lirih. Masih sedih.
“Tak ada yang kurang pun Najihah.
Awak ni, saya tengok… elok aje serba-serbi. Baik, sopan, penyabar… errr…
mungkin sekarang ni, dah kurang sikit kot tahap kesabaran tu…” tokok Encik
Azman. Aku menjeling dan dia terus ketawa.
“Najihah… jangan risau, saya takkan
aniaya pekerja kesayangan saya. Saya boleh jamin, adik saya tu akan jaga awak
macam nyawa dia.”
Tutur kata yang ikhlas itu kutelan
juga. Wajah Encik Azman kupandang lama. “Encik yang rekomen saya dekat adik
encik ke?” soalku ingin tahu.
Dia mengangguk dan tersengih lebar. “Segala
detail, nombor phone, alamat rumah, salasilah keluarga, semua pun saya yang
bagi tahu dekat dia.” Jujur jawapan Encik Azman. Namun masih ada yang meragukan
hati ini. Jannah! Hendak ditanya dengan Encik Azman? Tetapi apa yang aku hendak
tanya? Bingung seketika, aku biarkan sahaja soalan itu berlegar di ruang
mindaku.
PAGINYA
menghadap muka abang. Malamnya menghadap muka adik. Beria sahaja emak aku
menjemput Encik Azmi datang berbuka di rumah. Hatiku geram sendiri. Tetapi
tidak pula aku pamerkan rasa marah itu pada dirinya yang asyik tersenyum dari
tadi. Aku terleka seketika. Hanyut dengan pandangan mata yang mempesonakan
jiwa. Tidak tahu kenapa, aku terasa dekat dengan Jannah setiap kali melihat
senyumannya. Entah-entah? Erk…
Ada sesuatu yang mengganggu
fikiranku. Tapi mana mungkin? Mustahil! Jannah itu anak tunggal. Mana dia ada
kembar tidak seiras. Boleh pula aku mengandaikan sesuatu yang jauh daripada logik
akal.
“Jiha… termenung apa lagi? Sendukkan
nasi dalam pinggan Azmi.”
Tersentak aku. Emak ceria sangat
hari ini. Entah apa ‘kuasa’ yang ada pada Encik Azmi ini yang mampu membuatkan
emak tersenyum sahaja semenjak dia masuk meminang diri aku di bulan Ramadan
ini. Mungkin keberkatan Ramadan itu yang menjadikan ikatan baharu ini menjadi
lebih bererti dengan restu daripada orang tua kedua pihak.
Aku terus mencedukkan nasi tomato
dimasak khas oleh emak. Aku terdengar-dengar Aifa kata tadi, nasi ini special
request daripada bakal menantu emak ini. Kalau benar ya, hatiku tersayat lagi.
Ini adalah kegemaran ‘kembarku’, Jannah. Oh, sungguh aku rindu. Menatap wajah
Encik Azmi makin aku tidak keruan.
Keningku
bertaut dengan renungan pelik di wajahnya. Jemariku menjadi sejuk. Kenapa?
Mungkin aku seorang sahaja mengandaikan begitu? Melihat Jannah yang aku sayangi
dalam diri Encik Azmi?
“Najihah…”
dia menyebut namaku perlahan.
“Jannah.”
Itu juga yang meniti bibir di kala ini. Tidak dapat ditahan, air mataku menitis
laju. Semua menjadi kaget dengan tangisan aku. Maafkan aku Jannah! Bukan niat
aku untuk mengambil ‘abang Azmi’ kau.
MALAM
yang dingin, aku membasahkan diriku dengan wuduk. Tangisan terus berlarutan.
Hanya pada Dia yang mampu aku adu segala duka dan lelah di hati ini. Tidak
pasti dengan rasa hati yang sedang aku alami. Aku seakan dilema. Terasa seperti
aku mengambil hak Jannah. Biarpun Encik Azmi sudah pun menyatakan, dia tidak
kenal dengan Jannah. Tetapi siapa Abang Azmi yang sering diceritakan oleh
Jannah? Tidak samakah dengan bakal suamiku ini?
“Kalau
aku jauh dari kau, agak-agaknya, kau rindukan aku tak Jiha?” soal Jannah.
“Soalan
apa ni, mestilah aku rindu. Kaulah antara orang yang paling aku sayang. Sayang
sangat-sangat dengan Jannah.” Aku cium pipinya selamba. Dia menolak laju. Aku
ketawa melihat aksinya mengelap pipinya. Seolah-olah aku ini mempunyai minat
seks songsang.
Tapi keadaan aku dengan Jannah,
kadang-kadang disalah anggap begitu juga. Biarpun kami berdua bertudung dan
berbaju kurung sentiasa. Eh, seks songsang, tak perlu dilihat pada penampilan.
Lihat pada hati dan tarikan nafsu… erk! Bahaya.
“Kalau kau lelaki Jannah, aku
mesti dah masuk meminang kau.” Ujarku dengan tawa.
“Desperate-nya kau!” perlinya.
Aku tidak peduli.
“Biarlah. Desperate ke, apa ke…
asalkan kau jadi hak aku. Sentiasa dengan aku. Sebab aku sayang sangat dengan
kau. Biar aku aje jaga kau, sampai bila-bila.” Tambahku sambil menarik bahunya
rapat denganku.
“Eh Jiha, reporter kampung ni
banyaklah. Mahu difitnahnya kita ni, tak ke kes aniaya.”
“Aku cakap, kalau lelaki. Aku pun
tak adalah terdesak sampai nak langgar hukum Allah. Buat dosa aje minat dengan
kaum sejenis.” Balasku geram. Dia tak dengar ke aku sebut kalau. Biarpun kalau
itu sebenarnya tak wajar disebut pun. Kita mengharapkan sesuatu yang mungkin
melalaikan hati dan fikiran manusia.
“Yang aku nak gariskan dekat sini,
perasaan sayang aku pada kau.” Tekanku. Biar Jannah faham. Seperti biasa,
sahabatku itu akan terus tersenyum.
“Insya-Allah, moga Allah kukuhkan
ukhuwah ni hingga ke akhirat sana. Jannah pun sayang Najihah.” Kini pipi
kananku pula menjadi mangsa. Jannah tersengih apabila aku melakonkan semula
aksinya. Serentak kami ketawa. Bahagia.
Jannah!
Mindaku tersentak lagi. Kerap kali dia menjengah fikiranku. Makin kerap apabila
Ramadan kali ini sudah mula memasuki ke penghujungnya. Aku menjadi sayu lagi.
Ramadan tahun lepas, yang terakhir buat dia. Mungkin Ramadan ini, yang terakhir
untuk aku pula? Mengingatkan itu, aku terus mencapai tafsir mini di atas meja
solek. Aku teruskan bacaan yang terhenti di surah Al-Fath. Bermula sahaja ayat
pertama, aku sudah terasa sebak.
‘Sesungguhnya
Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan
yang jelas nyata.’
Mataku
meniti pada baris maksud ayat kedua.
‘Kemenangan
yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan
yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu, serta menambahkanmu
hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan
hukum-hukum-Nya).’
Sesungguhnya hanya Dia yang memberi
petunjuk kepada hati-hati yang ketandusan dan menagih kasih pada-Nya yang Esa.
Aku terus menyembamkan wajah ke kulit tafsir. Memikirkan hakikat diri masih
dikurniakan hidayah untuk terus meletakkan diri mengejar redha daripada-Nya.
Dia memberikan petunjuk ke jalan yanglurus kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Betapa aku mengharapkan agar tidak
dipalingkan hati ini daripada nikmat itu. Agar hatiku akan terus redha dengan
segala ketetapan yang telah ditentukan-Nya untuk perjalanan hidupku ini.
Mungkin rasa bersalah pada Jannah mampu dibuang jika aku dapat kukuhkan
keyakinan bahawa tidak ditetapkan sesuatu buat hamba Allah melainkan yang
terbaik sahaja buat mereka. Dan jika didatangkan ujian pun, itu tandanya Allah
hendak menguji atas sebab rasa kasih kepada hamba-Nya.
Semoga Ramadan ini akan menjadi
lembaran buat hidup aku.
1 Syawal.
Takbir berkumandang. Hibanya terasa. Emak sudah mengesat air mata. Aku tahu dia
terkenangkan siapa. Kalau bukan abah, siapa lagi. Abah pergi dijemput Ilahi
kerana ketumbuhan di otak. Waktu itu, Adib dan Aifa baru hendak belajar
bertatih. Tidak dapat aku hendak bayangkan kekuatan emak pada ketika itu.
Semangatnya terlalu kuat untuk membesarkan kami bertiga menjadi manusia dalam
erti kata sebenar.
Garang
yang dipamerkan oleh emak, adalah garang bersebab. Dia tidak mahu kami terlalu dimanjakan
dan akhirnya membawa bahana kepada diri sendiri. Aku tidak kisah kerana aku
tahu sayang emak, tiada tolok
bandingnya.
“Jiha
minta maaf mak.”
Emak
terus memelukku erat. Air matanya semakin lebat. “Jiha anak mak… mak sayang
Jiha. Mak harap, Jiha dapat hidup baik-baik dengan Azmi nanti.” Harapan emak,
mungkin itu adalah harapan aku juga. Aku tersenyum kecil sambil membalas
pelukan emak.
“Jiha
dah sedia?” soal emak lembut. Lembutnya pandangan itu menusuk ke dalam hati
aku. Bersediakah aku untuk menjadi isteri kepada Azmi? Sudah tiada lagi pangkal
encik itu apabila aku selalu diperli oleh Adib dan Aifa. “Encik??? Lawak spesies apa entah kak Jiha ni! Dia ingat kahwin ni
macam nak pergi kerja di ofis kot. Nak masuk bilik nanti, ketuk pintu… encik, boleh
Jiha masuk?” Masih aku ingat lagi tawa galak kembar itu. Menyampah aku!
Emak
masih memandangku. Menanti jawapan nyata dari bibir ini. Bersediakah aku? Akad
nikah akan diadakan selepas Asar petang ini. Mungkin terlalu awal, tetapi itu
adalah permintaan aku. Atau… lebih kepada permintaan Jannah sebenarnya. Dia ada
menyebut padaku, ingin dinikahkan pada bulan Syawal. Satu Syawal akan lebih
mengembirakan hatinya. Mungkin aku ingin menyudahkan apa yang tidak dapat
dilaksanakan oleh Jannah.
“Jiha
dah sedia mak,” balasku yakin. Namun jantung sudah berdegup kencang. Memikirkan
petang ini terasa lemah seluruh sendi. Biarpun bibir tersenyum pada emak, namun
hatiku sudah dibanjir pilu. Tidak tahu kenapa.
Mungkin
kerana, Ramadan ini telah pergi. Mungkin kerana bimbang tiada lagi Ramadan buat
diri aku. Atau bimbang fikirkan bagaimana kehidupan akan datang dengan Azmi?
Petang
itu, semua sudah bersedia awal. Emak awal lagi sudah menjemput adik-beradiknya.
Majlis serba ringkas kerana aku terlalu ingin mendahulukan apa yang wajib.
Supaya aku akan terus rasa tenang dan majlis ini akan mendapat redha-Nya.
Melangkah
ke dalam masjid, diiringi Adib dan Aifa. Buat seketika, terasa bagaikan
bidadari. Hatiku menjadi lapang. Ketenangan itu makin terasa apabila hati
berulang-ulang kali mengalunkan surah Al-Insyirah. Surah yang jelas maksudnya,
ketenangan itu hanya dengan mengingati Allah. Allah sudah berjanji, setelah
kesulitan pasti akan disusuli kemudahan. Sesungguhnya, hanya pada Dia hendak
kita memohon. Kunci ketenangan hati adalah Dia. Bibir aku dengan mudahnya
tersenyum kerana aku tahu, Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
“NAJIHAH…”
aku berkalih padanya yang setia memandangku dari tadi. Tidak menyahut panggilan
itu. Aku cuma tersenyum. “Terima kasih.”
“Patutnya Jiha yang ucap terima
kasih, sebab sudi jadikan Jiha permaisuri hidup abang.”
Itulah yang dikatakan olehnya,
sewaktu pertama kali kakiku melangkah masuk ke dalam mahligai yang disediakan
buat kami meniti hidup rumahtangga ini. “Silakan
masuk wahai permaisuri hatiku.” Tersenyum aku ketika itu. Malu.
“Sini…” dia menarik tangannya.
Diarah duduk sebelahnya. Aku diam, memerhati sahaja. Biarpun minda
tertanya-tanya.
“Nak dengar satu cerita…” tanyanya
seperti bertanya kepada seorang anak kecil. Aku tersenyum dulu sebelum
mengangguk. “Jiha pernah tanya, abang kenal dengan Jannah ke tidak?”
Aku tersentak. Tidak segera memberi
respon. Aku menanti sahaja kata-kata seterusnya.
“Dia ada di sini…” tanganku ditarik
dan dilekapkan ke dadanya yang bersarung t-shirt biru cair. Mataku membulat.
Aku tersentak. Jantungku memalu tidak tahu rentaknya. Refleks, membuatkan aku
rasa kecewa. Laju sahaja aku menarik tangan daripada genggamannya.
“Abang tipu Jiha!” ucapku perlahan.
Terluka. Sungguh bijak dia menidakkan sebelum ini.
Namun bibirnya masih tersenyum.
Gelengan kepalanya membuatkan aku mencebik. Masih hendak menafikan? Hatiku
menjadi panas semula.
“Rasa ni…” ditarik semula tanganku
dan diletakkan di dadanya. Aku cuba memprotes, tetapi dia terus memaksa. Dan
kali ini, aku diam. Saat tanganku kembali di atas dadanya, aku merasakan
degupan itu. Jantung?
“This heart… is your Jannah’s.”
Membulat mataku.
“Sebenarnya dia kenal dengan abang…
masa tu, abang sakit. Dia tak ada cerita dengan Jiha? Dia ada join kerja-kerja
sukarela untuk approach orang ramai dermakan organ untuk pesakit macam abang
ni.”
Aku menggeleng. Masih terkejut.
“Dia selalu datang sembang dengan
abang, bagi semangat suruh pulih cepat. Dia pandai psikologi dan buat kami lupa
dengan sakit tu, walaupun sekejap. Dan dia janji, kalau apa-apa jadi dengan
dia, jantung dia akan didermakan pada abang.”
Tiba-tiba dia menarik aku,
didekatkan lagi.
“Kuasa Allah Jiha…” suaranya menjadi
sebak. “Dia kemalangan. Walaupun nampak macam badan dia dah hancur teruk, tapi
Subhanallah, tak ada bahagian lain yang luka melainkan muka dan leher dia.
Macam yang dia minta, jantung dia… dipindahkan ke sini sebab kesesuaian darah
kami. Kalau tak sesuai, mungkin abang pun dah ikut Jannah masa tu.”
Aku mataku mengalir tanpa dipinta.
Bukan kerana jantung Jannah ada pada suamiku, Azmi. Tetapi kerana, Jannah
sememangnya sayangkan Azmi. Azmi yang disebut-sebut oleh Jannah bukan orang
lain, tetapi lelaki yang sedang memegang tanganku dengan begitu erat sekali.
“Abang sayangkan Jannah?” soalku
ingin tahu. Dadaku terasa sesak dengan kemungkinan yang aku andaikan dulu. Aku
telah merampas kebahagiaan milik Jannah.
Dia tersenyum. “Abang sakit. Masa tu
dalam kepala ni, tak ada fikiran selain daripada ingatkan hari dicabut nyawa
aje, Jiha.”
“Tapi Jannah… she’s something you
know… a very special person who always make me feels good.” Tambahnya lagi
dengan wajah ceria.
Sekali lagi aku menyambar tanganku
laju. Tidak tahu kenapa, aku cemburu. Ketawanya makin membakar hatiku.
“You cemburu ya sayang?”
Aku diam. Menarik muka masam.
“First time abang tengok Jiha, masa majlis
tahlil arwah Jannah. Mata abang memang tak boleh berganjak tengok muka sedih,
sayu Jiha tu. Rasa macam abang pulak yang sakit dengan kesedihan tu. Mungkin
sebab pemilik jantung ni, terlalu sayangkan Jiha… jadi abang pun tak boleh nak
elak, untuk sayang dengan isteri yang baru abang kahwin tujuh hari ni, tapi
bahang cemburunya sudah mula dirasai.” Usiknya dengan tawa.
Disebabkan geram, aku tolak badannya
kuat sebelum bangkit berlari ke muka pintu.
“Tapi sayang… demi Allah, I love you
so much.”
Tidak dapat berkata tidak. Bibir aku
tersenyum juga. Dan aku harap, Jannah pun pernah berbahagia dengan ‘rasa’ itu
biarpun dia telah dijemput pergi terlebih dahulu.
AKU
tersenyum sendiri sambil terus mencoretkan sesuatu di atas buku hijau lumut
itu. Buku yang telah lama aku tutup supaya tidak terkenangkan kisah indah aku
dan Jannah. Tapi kini, kami ‘bertemu’ semula dalam ikatan yang berbeza.
Ramadan ini,
Menjanjikan
sesuatu yang baru. Jannah sudah pergi, tapi dia terus dekat di hatiku. Dekat di
sisiku. Sentiasa di sampingku. Aku bahagia. Aku terus bahagia kerana hidup ini
begitu indah jika kita tahu belajar erti kata redha dengan setiap ketentuan
Allah.
Azmi,
lelaki yang tidak kukenali. Biarpun Jannah sudah berusaha untuk mengenalkan
kami berkali-kali. Siapa sangka, takdir Ilahi, aku kenal juga dengan dirinya
yang sudah menjadi suamiku kini.
Hidup
ini tidak akan rumit, asalkan kita tahu dan yakin hanya Allah Maha Kuasa.
Biarpun
tidak tahu, panjang mana usia dalam meniti kehidupan ini, tetapi aku harap
dapat membahagiakan suamiku hingga ke akhir hayatku nanti. Moga jodoh ini akan
kekal hingga ke syurga Sana. Insya-Allah.
Demi
Allah, I love you suami.
“Kalau Jiha boleh sebut kuat sikit,
abang rasa bahagialah jugak.”
Aku tersentak. Suaranya betul-betul
di belakangku ini. Tetapi hati nakal, ingin mengusik pula.
“Dah nampak kan? Nak sebut apa lagi.”
Dia geram. Aku nampak itu. Tangannya
sudah mencekak pinggang dan matanya sudah menjegil padaku.
“Baik Jiha cakap cepat, Jiha
sayangkan abang. Kalau tak… abang bermadu kasih dengan Jannah.” Beria sahaja
dia mengugut. Langsung tidak terkesan di hatiku.
Aku tersenyum. Teringatkan sesuatu,
aku tergelak kecil.
“Jiha pernah cakap dengan Jannah,
kalau dia lelaki… Jiha mesti akan meminang dia.”
Matanya membulat.
“Eeeiii, you guys ni… such a weird
la. Jiha ni normal tak?”
“Abang!!!” aku pula yang geram. Boleh
pula dia tanya soalan itu padaku. Sudah tentulah aku normal.
Serentak
itu dia ketawa. Dia sudah menarik aku ke sebelahnya, rapat. Mengusap perlahan
ubun kepalaku. “Kita jumpa Ramadan pertama, kita nikah Syawal pertama… insya-Allah,
tahun ni… kita berdua. Ramadan tahun depan… moga kita dah bertiga.”
Aku
tersenyum nipis. Mengiakan sahaja. Ramadan tahun depan, semoga kita akan
bertemu lagi. Insya-Allah.
----------------------------
Cerpen ala ringkas. Tidak terlalu beremosi dan tidak juga santai. Harap ada yang dipelajari daripada kisah ini.
Maaf kalau ada yang merasakan cerita ni tak logik dari mana-mana sudut.
kekurangan itu hanya daripada saya.
Dalam kesempatan ini, saya ingin ucapkan:
BEST...#^_^
ReplyDeleteSelamat Hari Raya...
Laaaa macam deejavu di kinabalu laa pulaak..derma jantung gitu...tpi its ok..terbaeekk
ReplyDeleteidea tu mungkin sama,bezanya jantung wanita kpd lelaki tapi itu bukan poin utama yang nak diketengahkan :)
ReplyDeletesemoga ada pengajaran lain yang dpt sy beri pada pembaca semua.
salam aidilfitri, mana2 yg terkurang tu, harap dimaafkan. :)
Owh rupenye jantung jannah ade kat dlm badan azmi... best... banyak info dlm cerpen ni...
ReplyDeleteselamat hari raya aidilfitri juga...
Jiha sama kan jantung Jannah bila ada pada Azmi.... semangkin erat jadinya.... insyallah.... besttt...
ReplyDeletehehe..lagi syok kalu wak sambungan
ReplyDeletedyorg ni cute laaa