MATAKU
terpahat pada siaran televisyen yang sudah sampai ke penghujung rancangan.
Kukerling pula ke sebelah kanan, Adib dan Aifa, si kembar tidak serupa yang
sedang ketawa sambil menekan perut. Tidak tahu apa yang terlalu lucu dengan
siaran drama sebentar tadi. Kenapa ia seakan tidak terkesan di hatiku seperti
mana mereka merasakannya?
“Dah, tak sudah-sudah lagi duduk
melangut depan TV? Pergi masuk tidur, esok nak kena bangun sahur!” suara emak
aku, Hasmah sudah mula melaung kuat.
Waktu itu baru aku tersedar, seakan
terleka seketika. Kami akan menyambut Ramadan untuk tahun ini. Hatiku bertahmid
sendiri. Rasa terkesan sangat kerana masih mempunyai peluang untuk meraikan
Ramadan setelah menginjak usia 24 tahun ini.
Seperti terkenang-kenang Ramadan
tahun lalu, yang aku berpeluang meraikan bersama Jannah, sahabat baik aku sejak
kecil lagi. Peluang untuk menyambut bulan penuh keberkatan ini tidak kami
lepaskan begitu sahaja. Tarawih dan tadarus al-quran bersama, pasti akan
dilaksana di kala ada ruang dan peluang.
Namun tahun ini, aku terasa sepi
seketika. Jannah sudah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan semasa pulang
dari kilang tempatnya bekerja. Digilis trailer, yang membuatkan jasadnya
berkecai hilang rupa. Sungguh menyayat hati mengenangkan keadaannya yang pergi
dalam tragedi sedemikian rupa. Namun, kuasa bukan di tangan kita. Sudah
ditakdirkan, hari itu, hari terakhir buat Jannah. Allah sudah berjanji, setiap
yang hidup ini pasti akan mati. Dan aku, sudah tidak tega untuk meratap lagi
dengan takdir ketentuan Ilahi. Hanya doa mampu kukirim buat sahabatku Jannah.
Semoga dia tenang di sana.
“Najihah!!!” suara kuat emak,
menyentakkan ingatan aku pada Jannah. Segera aku bangkit daripada sofa berwarna
coklat gelap itu. Figura emak sudah bercekak pinggang di hadapan aku.
“Nak mak announce pakai mikrofon
pulak ke? Kau tak reti nak masuk tidur?” marah emak. Aku tidak banyak
berbicara. Menurut sahaja sambil mengatur langkah menuju ke tandas. Hendak
membersihkan diri dahulu sebelum masuk tidur.
Sebelum menutup mata, sempat aku
menanam azam di hati, biarpun kali ini aku bersendiri tanpa Jannah, moga
semangat mengimarahkan bulan berkat ini tidak luput di hati. Mana tahu, mungkin
ini Ramadan terakhir buat diriku pula.
Selesai berniat, aku terus
memejamkan mata.
BAJU
kurung berwarna hijau lumut yang tersarung di tubuh kubetulkan kainnya. Pertama
kali aku menyarungkan pemberian terakhir Jannah kepadaku. Cantik sekali jahitan
dan sulaman di baju ini. Ringkas tetapi memikat. Aku tersenyum puas. Ramadan
pertama, aku terasa bersemangat. Aku harapkan semangat ini akan terus terikat
di hati sehingga ke akhir bulan penuh keberkatan ini.
Jam di dinding sudah berdenting
menandakan jam 7 pagi. Aku segera mencapai beg silang yang biasa dibawa ke
tempat kerja dan melangkah keluar dari bilik.
Di luar bilik, emak sudah bercekak
pinggang. Mungkin marah sebab aku lambat. Biasanya 6.50 pagi aku sudah
bergerak. Sekali menghantar Adib dan Aifa ke sekolah. Dan aku pula masuk kerja
pukul 7.30 pagi. Bukan kerja hebat, tapi cukuplah aku dapat mencari rezeki yang
halal untuk mengisi perut-perut di dalam rumah ini.
“Yang lenggang-kangkung sangat ni
kenapa? Kau tahu tak dah lambat?!” marah emak.
Aku senyum nipis. Emak aku memang
begini. Tiada hari yang dia tidak memarahi kami tiga-beradik. Tapi itu sudah
menjadi tabiat dalam dirinya. Dia seakan tidak tahu sahaja bagaimana hendak
bermesra. Namun aku tidak pernah terasa. Kerana aku tahu, dalam hati emak,
pasti ada kasih seluas lautan buat kami, anak-anaknya.
“Awal lagi mak. Sempat aje kalau
gerak sekarang.” Balasku memandang wajah emak. Emak sudah mendengus sambil
menghulurkan tangannya. Ku salam dan cium tangan itu seperti biasa.
Dimuka pintu, emak menghantar kami
bertiga. Seperti biasa, dia tidak akan lupa berpesan, “Bawa kereta elok-elok.
Ingat dengan mak dekat rumah ni.” Masih dengan nada yang garang, tetapi kasih
itu terasa hingga ke dasar hati. Aku tersenyum. Serentak itu suara Adib dan
Aifa berpadu. Mereka ketawa.
“Emak tu kalau bercakap lembut,
mahunya ribut taufan kampung kita ni!” Adib melahirkan komen sesedap mulutnya.
“Biarlah emak nak cakap macam mana
pun. Kamu berdua tak perlu nak komen-komen pasal tu.” Balasku seraya mematikan
tawa mereka.
“Alah… Kak Jiha ni, tak sportinglah.
Cakap pasal emak, sikit pun tak boleh.” Rungut Aifa pula.
Aku tersenyum lagi sambil kaki sudah
menekan clutch kereta. “Kalau nak… cakap terus dengan emak. Jangan cakap dengan
Kak Jiha, tapi emak tak tahu.”
“Alah…” serentak mereka berdua
mengeluh. Aku simpan sahaja senyum.
Adib dengan Aifa memang begitu.
Nakal dan lucu. Mereka berdualah penyeri dalam rumah kami. Emak marah bagai
rumah hendak terbelah dua sekalipun, usah diharap mereka berdua ini akan akur.
Makin nakal adalah. Tetapi nakal yang tidak melampaui batas. Sekadar
nakal-nakal manja. Biarpun usia keduanya kini sudah 17 tahun dan bakal
menduduki peperiksaan SPM dalam masa kurang daripada dua bulan lagi.
“NAJIHAH…”
namaku dipanggil ketika aku sedang berkemas untuk pulang ke rumah. Encik Azman
sedang melemparkan senyuman. Kubalas sahaja biarpun masih tidak tahu, apa
tujuan diriku dipanggilnya.
“Hari ni, ada jemputan buka puasa
daripada pejabat daerah. Awak tolong pergi ya, gantikan saya,” arah Encik
Azman. Wajahku sudah berubah. Ini adalah Ramadan pertama dan aku sudah
mengimpikan untuk berbuka dengan emak, Adib dan Aifa.
“Encik Azman…” suaraku menjadi sayu
seketika. “Kena pergi ke? Awal Ramadan ni… saya ingat nak berbuka dengan emak
dan adik-adik.”
Encik Azman kulihat masih senyum
tenang. Lelaki beranak empat ini, sentiasa mempamerkan wajah yang dapat
menyejukkan hati sesiapa sahaja. Aku kagum melihatnya. Tidak pernah melenting
sekalipun pada pekerja. Tetap sabar dalam melayani kerenah pekerjanya di
pejabat ini.
“Pergilah Najihah, orang dah jemput.
Tak elok menolak… lagipun saya ada hal, nak pergi melawat mentua saya. Dia
kurang sihat… kalau saya boleh pergi, saya mesti takkan susahkan awak,
Najihah.”
Rasa bersalah tiba-tiba. Encik Azman
tidak pernah mengarahkan pekerjanya sesuka hati. Dan ini aku kira permintaan
yang pertama dia minta aku laksanakan. Luar daripada tuntutan kerja. Terasa
tidak patut untuk aku menolak. Lantas aku anggukkan kepala. Mungkin bukan
rezeki aku hari ini untuk berbuka di rumah.
Aku sudah mencapai telefon dan
memaklumkan kepada emak, aku akan pulang lambat sedikit.
PELBAGAI
hidangan sudah disajikan di depan mata. Namun satu pun tidak mampu
membangkitkan deria rasa. Mungkin nafsu makan terkambus dek kerana berjam-jam
perut menahan lapar. Aku diam sahaja berada di tengah-tengah meja yang aku
rasakan begitu asing sekali. Biarpun ada yang mengenali diriku dengan begitu
baik sekali.
“Najihah…” Puan Hamidah menyapa aku.
Aku tersenyum. Tadi lagi dia sudah berpesan, ada sahabat lama Encik Azman
sedang mencari aku. Mungkin ada sesuatu untuk disampaikan.
“Kenalkan ni, Encik Azmi.”
Aku tunduk menganggukkan kepala.
Encik Azmi tersenyum seketika. Entah kenapa wajah itu, sekilas pandang
mengingatkan aku kepada seseorang. Pada mulanya, aku sangkakan Encik Azmi
seusia dengan Encik Azman. Tetapi dihadapanku ini, kelihatan usianya jauh lebih
muda. Namun tidak dapat hendak diagak juga.
“Encik Azmi duduklah sini, dari tadi
memang cari Najihah kan.”
Aku terkedu seketika. Sudahlah aku
tidak kenal dengan Encik Azmi ini, datang pula duduk sebelah menyebelah. Hanya
berpotensi mewujudkan keadaan yang kekok sahaja.
“Najihah…” panggilnya.
Aku diam. Senyum sahaja. Tidak tahu
hendak bercakap apa. Sebab aku ini pun bukan dalam kategori wanita-wanita yang
peramah. Aku bercakap bila perlu sahaja.
“Lama dah I nak jumpa you, tapi baru
sekarang ada peluang.”
Erk! Aku terasa seakan ada batu yang
menghempap kepala. I dan you? Geli aku. Encik Azmi ini orang korporat ke?
Gayanya tidak nampak begitu pula. Hendak buka mulut dan bertanya, aku segan.
“Encik Azmi ada nak sampaikan
apa-apa pada Encik Azman ke?” soalku terus.
Dia menggeleng. “I memang nak jumpa
you.”
Mendengarkan jawapan itu, aku
mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Wajahnya aku amati. Mungkin kami
pernah berjumpa sebelum ini? Mungkinkah? Dan atas sebab itu dia mencari aku?
Aku bingung, tetapi tidak bertanya. Masa yang sudah menginjak ke waktu berbuka
makin membuatkan aku tidak terasa untuk berbual-bual dengannya. Hati aku terus
sahaja beristighfar dan memanjatkan doa sementara menanti azan berkumandang.
“You memang macam ni ke?” soalnya
ketika aku mula menyuapkan nasi ke dalam mulut.
Dahiku berkerut. Macam ni? Macam
mana itu? Apakah salah aku makan nasi dengan tangan? Atau menu kari kepala ikan
dalam pinggan aku yang dipersoalkan? Macam-macam yang muncul dalam benak
fikiran, tetapi langsung tidak terluah di mulut. Aku jungkitkan bahu sambil
meneruskan suapan. Sekejap lagi akan diadakan solat Maghrib berjemaah.
“Najihah…” panggilnya lagi.
Panggilan yang memaksa aku mengalihkan wajah dan memandangnya. Dia tersenyum. “It
is so good to have you by my side.”
Suapan aku terhenti. Aku terkaku
sendiri. Apa maksud Encik Azmi yang tidak aku kenali ini?
RAMADAN
ini seakan menguji hati dan perasaanku. Tidak tahu di mana silapnya, aku seakan
tidak mampu menepis bayangan wajah dan ucapan itu. Terus berulang tanpa jemu.
Cubaan untuk fokus dengan bacaan surah Ali-Imran seakan tidak berkesan. Setiap
kali memulakan bacaan, wajah itu menganggu fikiran. Keluhan terlepas.
“Apa ni Kak Jiha… mengeluh sambil
tengok al-quran. Tak baik tau!” tegur Adib yang berada di sebelahku.
“Entah Kak Jiha ni, quran tu untuk
bagi ketenangan bila dibaca. Bukan dikeluh apabila dibaca.” Tambah Aifa pula. “Masalah
jiwa betullah Kak Jiha ni.” Sambungnya lagi sambil berlalu menjauhi aku.
Mungkin keluhku itu hampir menganggu fokus mereka berdua yang sedang khusyuk
membaca kitab suci kalam Allah. Tersedar akan khilaf, aku meminta maaf.
Bibirku berzikir seketika, cuba
bertenang.
“Najihah…” suara emak sudah
memanggil. Segera aku meletakkan quran di rak dan berlalu ke dapur.
“Tumis bawang ni… mak sakit perut
pulak.” Arah emak pendek dan terus meninggalkan aku di dapur itu. Telekung yang
masih di kepala, aku tanggalkan dan sangkut di kerusi. Tanpa berlengah aku
menumis bawang . Sempat aku jenguk bahan memasak yang disediakan emak. Ada
udang, bawang kisar, cabai dan kicap. Sambal tumis udang, terus otak aku
membuat kesimpulan. Masakan aku teruskan sehingga siap. Sempat aku merasa
supaya rasanya cukup.
“Dah siap?” emak sudah muncul di
belakang.
“Dah mak.”
“Biar aje atas dapur. Esok pagi,
panaskan semula.”
“Sayur mak?”
“Esok pagilah. Dah pergi tidur…”
arah emak sambil berlalu ke depan. Aku akur sahaja.
Sudah menjadi kebiasaan emak untuk
memasak santapan sahur kami di malam hari. Bangun pagi esok cuma tinggal
dipanaskan sahaja.
Belum sempat aku keluar dari dapur,
Adib sudah muncul memanggil namaku.
“Kenapa?”
“Ni ha…” tanpa jawapan yang
spesifik, dia sudah menghulurkan telefon bimbit nokia milik aku yang sudah
chokia itu. Keningku terangkat.
“Ada call.” Jawabnya dan terus
berlalu.
Sempat mataku melirik pada jam di
dinding dapur sebelum melekapkan telefon ke telinga.
“Najihah…” itu suara yang aku
dengar.
“Ya saya.”
“I mengganggu ke?” mendengarkan
perkataan I itu, aku seakan sudah dapat meneka. Siapa yang menelefon di lewat
jam sebelas malam ini.
Aku mengeluh kecil sebelum membalas.
“Saya sibuk, harap encik tak kisah
kalau saya letak telefon. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu balasan, aku
mematikan talian.
Tidak mahu telefon berbunyi lagi,
aku terus mematikannya. Langkah ku atur lemah menuju ke bilik. Kalau dulu-dulu,
sudah menjadi kebiasaan aku bergayut. Tidak tahu berbualkan tentang apa, tetapi
ada sahaja idea yang akan muncul antara kami. Tetapi itu dulu. Sebelum Jannah
pergi meninggalkan aku. Hanya dialah peneman bicara aku siang dan malam. Aku
seperti tidak sudi untuk mencurahkan sedikit waktu itu bersama orang lain.
Teringatkan Jannah, mindaku
terfikirkan sebaris harapan yang disebutkan olehnya.
“Aku ingatkan Jiha, Ramadan tahun
depan… aku tak nak sorang-sorang lagi!”
Aku tiba-tiba terasa. Aku sudah ada
di depan matanya. Dia masih berasakan dia seorang diri?! Sungguh tidak adil
bagi diriku yang setia meluangkan masa dan ruang bersamanya. Tiba-tiba sahaja
rajuk sudah menyapa.
Jannah tersenyum. “Bosan aku
tahun-tahun raya, asyik muka kau aje!” tambahnya lagi apabila wajahku sudah
masam mencuka.
“Jadi, selama ni… raya dengan aku,
bosanlah?” soalku geram.
Dia mengangguk. Aku sedih. Segera
aku bangun hendak berlalu. Tapi dia lebih cekap menarik tanganku.
“Aku ingat, aku nak kahwinlah.”
Ucapan itu mematikan langkahku.
Terkedu aku seketika. Kahwin? Asingnya terasa apabila mendengarkan sesuatu yang
tidak selalu menjadi bual bicara antara kami.
“Kau
nak kahwin dengan siapa?” soalku kekok.
“Tekalah.”
“Fuad?”
Imam ‘hot’ kampung kami.
Jannah
menggeleng.
“Johari?”
anak penghulu kampung, yang selalu usik Jannah setiap kali kami jalan berdua.
Jannah
menggeleng lagi.
“Harun?”
Geleng.
“Kamil?”
Geleng.
“Bosanlah
nak teka. Kalau nak cakap, kalau tak nak, sudah!” geram sahaja aku menjawab.
“Abang
Azmi.” Jannah tersenyum dengan manisnya.
“Siapa
tu?” aku tidak kenal mana-mana lelaki bernama Azmi dalam kampung ini.
“Bakal
suami akulah!”
“Tahulah,
tapi dia siapa? Tak ada asal-usul ke?” tekanku geram. Jannah tersengih
memanjang.
“Kau
akan kenallah bila sampai masanya.”
Auch! Gigitan di kaki membuatkan aku
terhenyak dari lamunan. Terasa gatal kesan gigitan nyamuk yang berbisa. Namun
mindaku seakan tersentak dengan satu nama itu. Tetapi, kenapa baru sekarang aku
teringat? Azmi? Abang Azmi? Jannah pernah menyebut nama itu padaku? Tetapi aku
tidak berpeluang mengenali Azmi itu? Adakah mereka itu orang yang sama?
Banyak pula persoalan yang muncul di
kepala. Aku mengeluh lagi sebelum meletakkan kepala di atas bantal. Fikirkan
Azmi, aku terlena sendiri.
----------------------------
motif cerita, sekadar menghilangkan kebosanan. Taip pun ikut suka hati aje. InsyaAllah, nantikan Part II pula :)
Walau apapun tetap best...#^_^
ReplyDeletecepat sambung sis..:)
ReplyDeleteazmi yg ni azmi yg jannah nak kawen tu ke?
ReplyDeletesambung lagi ek umi...
bru nk tarik nafas..erkkk..dh bis, tggu sambung??hehe..yg pasti bez
ReplyDelete