Skip to main content

Cerpen: Ramadan Ini (Part II)

BARU sahaja aku selesai menyiapkan filing yang tertangguh buat beberapa hari. Sibuk menguruskan hal lain, terlepas pandang kerja yang mudah dan ringkas ini. Fail yang berisi segala dokumen bagi bulan Julai itu sudah ditutup. Aku bangkit hendak memasukkan ke dalam rak yang memuatkan segala fail-fail bagi aktiviti pejabat ini. Selaku setiausaha bos di sini, kerja aku banyak menuntut menghadap surat dan fail-fail.
            Azan Zuhur sudah mula berkumandang di corong radio. Tidak mahu melengahkan masa, aku terus berlalu ke surau. Kelihatan beberapa orang kakitangan yang sudah berbaring. Mungkin hendak melepaskan lelah berpuasa dan bekerja. Cuaca yang panas terik di luar, memang akan membuatkan  semua terasa lemah dan tidak bermaya. Tetapi, itu tidak harus menjadi sebab kita mensia-siakan ibadah puasa kita dengan pengisian tidur sahaja. Kalau ada masa dan ruang, baik dilakukan sedikit tadarus. Tidak banyak pun, sedikit jadilah. Sekurang-kurangnya, ada juga pengisian Ramadan itu.
            Selesai bersolat, aku terus ke ruang kerja. Komputer aku yang sengaja terpasang surah Maryam, aku kuatkan sedikit suaranya. Biarkan berkumandang di ruang kerja ini. Allah bukan sahaja menjanjikan ganjaran kepada si pembaca, malah mendengarkan kalam Allah itu pun sudah ada pahalanya. Subhanallah!
            Aku terleka seketika apabila membaca petikan artikel di blog Genta Rasa, tanpa menyedari sudah ada yang duduk berhadapan denganku. Aku tersentak apabila tetikus dirampas.
            “Assalamualaikum…” sapanya apabila riak wajahku berubah.
            “Waalaikumsalam. Encik Azman ada meeting di luar. Encik boleh tunggu sekejap di ruang menunggu.” Laju sahaja aku memberi jawapan. Selebihnya hendak mengelak. Sudah beberapa panggilan daripada lelaki ini aku buat tidak peduli sahaja. Untuk apa dilayan sedang kami tidak saling-mengenali.
            “I datang nak jumpa you.”
            “Encik tak ada urusan dengan saya!” aku menjadi geram. Tetapi cepat sahaja aku sabarkan hati. Bulan Ramadan ini… tidak harus aku terlalu ikutkan nafsu amarah. Biarlah aku bertenang.
            “Ada Najihah…” lembut suaranya. Segak senyumannya. Tenang riak wajahnya. Aku terkedu melihat pemandangan indah di depan mata ini.
            “Urusan apa Encik Azmi?” soalku mengalah. Tidak lagi marah-marah.
            Dia tidak terus menjawab. Dia mengetuk-ketuk mejaku dahulu. Sepertinya sengaja hendak biarkan aku ternanti. Bibirnya terus tersenyum apabila riak wajahku mulai resah. Resah dengan penantian yang tiada jawapan.. Terasa dimainkan.
            “I akan call you, lepas tarawih malam ni. Nanti you akan tahu, urusan apa.”
            Bibir kuketap laju. Aku tahu, dia sengaja hendak main-mainkan aku! Geramnya!!! Bulan-bulan puasa ini ada sahaja yang hendak mengurangkan pahala amalan aku yang sudah mula mengata-ngata dia dalam hati.
            “Kalau you tak jawab call I… I akan terus ke rumah,” sambungnya.
            Aku tersentak. “Mana encik tahu rumah saya?” soalku hendak berlagak. Susah untuk mencari rumah aku di hujung Kampung Sena ini. Hanya orang yang arif jalan kampung sahaja mudah untuk jumpa rumah peninggalan arwah abah aku itu.
            “You ingat, I tak terror explore jalan kampung? I dah sampai dah pun depan rumah dua tingkat tu. Half batu, half papan. Warna hijau lumut combine dengan coklat cream. Very nice, very simple… sesuai macam isi rumah tu.”
            Aku sudah terlopong apabila apa yang digambarkan itu, sebijik macam rumah aku.
            “Jangan terkejut kalau tiba-tiba ada kereta warna silver datang berhenti depan rumah you.” Dia menambah dan wajah aku semakin cuak.

“NAJIHAH…” suara Encik Azman seakan menyedarkan aku dari mimpi. “Ada pesanan untuk saya ke?” soalnya.
            Aku menggeleng. Tiada. Tetapi ada sesuatu yang ingin kutanya.
            “Encik Azman…”
            Langkahnya berhenti.
            “Encik kenal tak dengan Encik Azmi?”
            Dia tersenyum dulu sebelum datang dekat dengan meja aku. “Dah jumpa dia?”
            Aku mengangguk. “Dah, dia siapa ya encik? Kenapa dia cari saya?”
            “Saya pun tak pastilah Najihah… awak tanyalah dengan dia nanti.” Tersenyum sahaja Encik Azman menjawab. Sekali lagi aku terasa seperti dimainkan. Geramnya!!!

TARAWIH di masjid Ar-Raudhah yang terletak di persimpangan jalan masuk ke kampung. Aku, emak dan adik-adik lebih senang pergi dengan kereta. Emak pun kadang merungut tidak boleh berjalan jauh sangat. Duduk di saf kedua kerana kami terlambat sedikit daripada semalam. Bising terdengar suara-suara yang bertingkah.
            “Datang masjid pun tak sudah-sudah nak bergosip. Mengganggu orang nak solat aje.” Adib dengan mulut lasernya bersuara. Aku buat tidak tahu sahaja. Kadang-kadang terasa geram juga. Datang ke masjid ini tujuannya untuk apa? Bukankah ini rumah ibadat? Jadi, isikanlah dengan ibadat daripada membuang masa. Lagipun suara-suara yang menganggu solat orang lain, itu tidak sepatutnya. Sedangkan orang mengaji pun harus memperlahankan suara apabila ada orang lain bersolat di sisinya. Apatah lagi bersembang? Allah sahaja boleh beri hidayah kepada hati-hati ini supaya tidak tersasar daripada misi mencari pahala di bulan mulia ini.
            Sebaik sahaja iqamat, semua makmun sudah berdiri memenuhkan saf. Namun masih ada yang berenggang. Tidak mahu bahu bertemu bahu. Adib yang sejak tadi sudah merungut-rungut di sisi aku terus bersuara menyindir. “Kalau tak nak rapat-rapat, baik tak usah datang berjemaah. Menghilangkan fadilat aje!”
            Emak di sisi sudah menyiku. Namun Adib buat tidak tahu.
            Setiap tahun ada sahaja keadaan ini yang berlaku. Makmun seakan tidak memahami fadilat saf yang memerlukan bahu bertemu bahu. Teringatkan artikel yang aku baca dalam akhbar tempoh hari. Keajaiban Solat Berjemaah dari Sudut Kajian Sains oleh seorang professor Amerika Syarikat yang mengatakan fakta bahawa tubuh manusia mengandungi dua cas elektrik iaitu positif dan negatif.
Dalam aktiviti harian, banyak tenaga daripada badan yang digunakan dan dalam proses pembakaran tenaga banyak berlaku pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh badan. Ketidakseimbangan cas itu akan membuatkan badan terasa letih dan lesu dan ia harus diseimbangkan semula untuk kembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.
Semasa solat berjemaah, saf harus diluruskan dan bahu bertemu bahu serta bersentuh tapak kaki. Ianya mempunyai kelebihan tersendiri kerana persentuhan tubuh dengan ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas berlebihan, positif atau negatif akan dikeluarkan dan ditarik ke dalam tubuh. Semakin lama pergeseran yang berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh manusia. Hebatnya kuasa Allah!
Aku segera merapatkan bahu pada mak cik di sebelah kanan. Dan turut menarik seorang gadis sebaya adikku ke kiri supaya lebih rapat. Allah menetapkan sesuatu dengan kebaikan yang berlipat ganda buat hamba-Nya. Cuma kita sahaja yang sering terleka dan melepaskan segala kebaikan dan kelebihan yang ada.

PULANG dari tarawih, seperti biasa Adib dan Aifa akan bertadarus di ruang tamu. Emak pula awal lagi masuk tidur. Sakit kepala katanya. Jadi aku cadangkan, sahur esok goreng nasi sahaja. Lebih mudah. Biarlah emak berehat. Mungkin letih kerana malam ini lebih panjang bacaan dalam solat tarawih. Maklumlah, imam muda. Baru datang ke sini, kata Ustaz Basri tadi.
            Aku masuk ke bilik dan mula mencapai telefon bimbit yang sudah mencecah usia lima tahun itu. Tetapi masih elok digunakan biarpun keadaan luarnya sudah sedikit usang. Tiada sebarang panggilan seperti yang dijanjikan. Aku melepaskan nafas lega. Hendak tidur segera sebelum ada panggilan yang menuntut jawapan tiba.
            Baru sahaja aku hendak meletakkan kepala, sudah ada panggilan menjelma. Argh!!! Menyesal tidak terus terlena. Lambat-lambat aku menekan butang untuk menjawab.
            Salam sudah kedengaran di hujung talian. Aku membalas dengan resah.
            “Lambat angkat?” suara itu seakan hendak mengugut.
            “Tertidur sekejap.” Bohongku.
            Dia diam. Tidak mempertikaikan jawapan itu. “Jadi, dah sedia nak tahu?”
            “Encik, jangan main-main dengan saya! Kalau nak, cakap. Kalau tak nak, sudah!” geram aku dibuatnya. Ketenangan yang cuba aku tanamkan seakan lesap apabila orang sana itu seperti bermain tarik tali.
            “Jangan garang sangat Najihah…” dia ketawa. Pertama kali aku mendengarnya. Mempesonakan jiwa. Nada tawa itu, benar-benar mengingatkan aku pada seseorang. Dadaku terasa sesak. Aku teringatkan Jannah. Aku teringatkan Abang Azmi yang disebutkannya.
            “Encik…” suaraku bergetar. “Encik kenal dengan Jannah ke?” soalku dengan debaran. Wajah Jannah sudah mula memenuhi ruang mata. Aku menjadi sebak.
            “Najihah… you menangis ke?”
            “Encik tak jawab soalan saya!” aku biarkan sahaja air mata jatuh ke pipi.
            “I tak kenal dia, tapi I tahu dia siapa.”
            “Tipu! Encik tipu saya… Jannah pernah bagitahu, bakal suami dia nama Azmi.”
            “Najihah… salah faham aje tu, I bukan Azmi yang dia sebutkan tu. Lagipun I tak pernah berjumpa dengan dia pun.”
            “Encik jangan nak tipu saya!” aku tidak mahu mengalah. Dia ingatkan aku ini budak-budak agaknya. Hendak ditipu dengan mudah. Masih terpahat dengan kemas di dalam minda ini, nama Azmi yang meniti bibir Jannah.
            “You have to believe me, even you don’t want to. I tak dapat apa pun kalau I tipu you. Lagi-lagi bulan puasa macam ni, you ingat I suka ke nak memberatkan bahu kiri I sedangkan orang lain semua sibuk mengejar pahala?”
            Aku terkedu. Terasa disindir. Tetapi aku tidak pasti, benarkah setiap patah yang ditutur oleh lelaki itu? Dan kenapa pula aku harus percaya kepadanya?
            “Jadi, urusan apa yang encik ada dengan saya, kalau encik tak kenal dengan Jannah?” tanyaku tegas.
            “I ada urusan dengan mak you, itupun kalau you izinkan.”
            Berkerut dahi aku. “Urusan apa?” soalku bingung.
            “I dapat izin ke?”
            Geram apabila soalanku tidak terjawab. Aku terus mematikan telefon. Bingung kepala aku memikirkan apa urusan antara Encik Azmi ini dengan emak aku? Dan lagi, mindaku terkenangkan Jannah. Dan bibirnya yang tidak pernah lokek dengan cerita abang ‘Azmi’nya.
            “Abang Azmi aku tu, tinggi orangnya. Kulit cerah, mata kuyu…” Jannah tergelak. “Handsome Jiha…” tambahnya lagi.
            Aku mencebik. Pujinya melambung tinggi. Kalau dilambung ombak, belum tentu akan mendarat ke tanah lagi. Namun sinar bahagia jelas terpancar di wajah Jannah.
            “Kau tak nak kenal dengan Abang Azmi aku ke Jiha?” soal Jannah.
            Dahiku berkerut. “Kenapa aku nak kena kenal dengan dia pulak? Nanti kau kahwin, aku tengoklah.” Balasku malas sahaja. Sejak kebelakangan ini, dia selalu sangat cerita pasal lelaki bernama Azmi itu dengan aku, sehinggakan ada kalanya aku terasa tersisih.
            “Mana tahu, kau tak suka. Kau rasa dia tak sesuai dengan aku.”
            “Kau jangan nak merepeklah! Pernah ke selama ni, apa yang kau pilih, aku bangkang?”
            Dia menggeleng.
            “Dah tu, kenapa cakap macam ni? Aku tak suka tau! Macam aku ni, jenis kawan kongkong kawan pulak.” Balasku merajuk. Tetapi Jannah tersenyum terus.
            “Nanti… mesti aku rindu nak tengok kau merajuk dengan aku.”
            “Kau ni… cakap macam esok kau dah kahwin, lepas tu tinggalkan aku terus dekat sini.” Aku tidak suka mendengar bicaranya yang seakan hendak menjarakkan perhubungan persahabatan kami ini. Tetapi Jannah, tersenyum. Kalah dengan senyuman indah itu, aku ikut tersenyum juga.
            Air mataku terus mengalir di malam yang hening ini. Jannah, aku sayang sangat dengan kau! Gambar kenangan kami berdua, aku kucup lama. Menghilangkan rasa rindu yang singgah.

“NAJIHAH…” pagi-pagi lagi namaku sudah dipanggil oleh emak. Aku yang baru terjaga dari tidur terpisat-pisat mata sebelum membalas panggilan emak.
            “Jiha!!!”
            “Ya mak!!!” laungku sama kuat.
            “Datang sinilah, ada benda mak nak cakap.” Garang sungguh suara emak di kala ini. Tidak mahu terus memarakkan api kemarahannya, aku segera berlalu ke tandas dahulu bagi membersihkan diri. Tidak sampai lima minit, aku sudah duduk bersila di depan emak. Wajah emak aku, sangat serius ketika ini. Tidak pernah lagi aku melihat wajahnya begini.
            “Kau pandai-pandai ya buat keputusan tak bincang dengan mak!” serang emakku. Aku terpinga-pinga. Apa yang emak sedang sampaikan ini?
            “Apa mak? Jiha buat apa?”
            “Jangan nak tipu mak Jiha! Mak dah tahu… cuba berterus-terang apa yang kau sorokkan daripada mak.” Suara emak keras sekali.
            Aku bingung. Dengan kepala yang masih terasa biul baru bangun dari tidur, aku terasa pening. Masakan aku boleh berfikir dalam keadaan ini.
            “Mak cakap ajelah dengan Jiha. Apa yang Jiha dah buat… Jiha pening ni, tak boleh nak fikir.”
            “Masih tak mengaku dengan mak?” marah mak.
            “Bukan tak nak mengaku, masalahnya Jiha pun tak tahu, apa salah Jiha?” wajahku sudah keruh. Bulan-bulan Ramadan ini pun masih kena marah dengan emak. Sudahlah hampir seminggu ini aku sering terkenang-kenangkan Jannah. Tapi, ada sesiapa yang ambil tahu dengan kemuraman aku itu? Langsung tiada!
            “Azmi dah cakap semuanya dengan mak.”
            Azmi? Mindaku seakan terasa segar dengan nama itu.
            “Dia cakap apa dengan mak?” soalku tidak sabar. Darahku terasa mendidih, marah.
            “Apa yang dia bagitahu Jiha?”
            “Dia cakap dengan Jiha, dia ada urusan dengan mak. Bila Jiha tanya, urusan apa… dia tak cakap pula. Malaslah Jiha nak ambil tahu… Jiha bukan kenal pun dengan Azmi tu!” balasku jujur.
            Mataku tepat pada wajah emak. Seketika, aku sudah terkejut. Melihatkan segaris senyuman yang mekar di bibir emak, aku terasa pelik.
            “Jiha janganlah terus tipu mak.” Lembut nada suara emak. Tidak pernah lagi aku dan adik-adik mendengar bicara selembut ini. “Mak dah tahu, Azmi dah cerita. Mak dah bagi izin pun.”
            Apa yang emak tahu? Apa yang Azmi cerita? Dan izin untuk apa?
            “Apa yang mak cakap ni?” aku tidak faham.
          “Dia nak kahwin dengan Jihalah. Minggu depan keluarga dia nak datang meminang.”
            Terasa batu besar yang menghempap kepala. Seakan tidak dapat dicerna apa yang disampaikan oleh emak. Dan cerianya wajah emak, membuatkan jiwaku terasa gusar. Mana mungkin aku hendak bersetuju berkahwin dengan Azmi yang tidak kukenali itu. Dan ini fesyen orang mana, masuk meminang bulan Ramadan pula? Tak pernah lagi aku dengar!

------------------
Akan bersambung lagi, InsyaAllah the end sebelum habis puasa. :)

Comments

  1. Best...
    Masih tertanya-tanya apa kaitan Najihah dan Azmi sebenarnya???

    ReplyDelete
  2. kalo bukan azmi jannah, ni azmi mane pulak ek... wahaha masuk meminang bulan ramadan...

    ReplyDelete
  3. terbaikkkk.... terus minta pada mak....

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia